Vous êtes sur la page 1sur 9

Asal usul Ulek Mayang Tamu : Tok Pa : Assalamualaikum Tok Pa. Waalaikumusalam.

Tamu : Tujuan saya datang jumpa dengang Tok Pa ni tujuanye ialah nok tahu serbe sikit hal asal usul Ulek Mayang. Tok Pa : Tamu : Buleh, tadok masalah. Boleh dok Tok Pa kabor ke saye mule-mule asal usul Ulek Mayang ni.

Tok Pa : Ulek Mayang ni acara biase orang Tenganu lame-lame dulu. Zaman tu, Ulek Mayang ni sohor sebagai care berobat zaman dulu. Kalu ada orang nyakit pelik make orang zaman dulu akan panggil Tok Bomoh. Tok bomoh ni kita panggil Tok Minduk. Mule-mula berobat tok bomoh buat semah dulu nok minta kebenaran. Tamu : Semah tu mende Tok Pa

Tok Pa : Semah tu ahla mintok kebenarang daripade alang ghaib. Lepas tu tok bomoh akang koyok mayang pinang dalam seludang. Dok buleh guna mayang hok pecoh doh. Dok jadi. Kemudian tok bomoh gune sebiji guri tembaga yang berisi air, sebatang lilin hok buat dari sarang madu lebah, bertih padi (bertih jantan), kemenyan dan beberapa kuntum bunga, biasanya bunga cempaka, melati dan melor. Lepas tu tok bomoh nyala lilin letakkan atas guri tembaga hok isi air. Bila sampai masa tok bomoh bakar kemenyan atas dupa hok siap dengan bara api. Lepas tu tok bomoh tengok aroh asap gi tang mane. Kalau asap gi tang kanan makne nye penyakit Mari dari kanan. Jadi tok bomoh akan Luang nyakit hala berlawang kiri. Tamu : Doh bila tok bomoh panggil tuan teri ?

Tok Pa : Lepas habis perasap kemenyang. Tok bomoh pun jampi serapah untuk panggil tuan teri. Biase nye acare ni dibuat di tepi pantai mase bulan purname penuh. Tok bomoh akan pegang mayang pinang dan lilit pale dengan kain batik lepas. Kemudian tok bomoh akan tutup orang sakit dengan kain putih sampai leher dang duduk sila depang orang sakit.tok bomoh akang mengulek. Mengulek ni maknanye nyanyi untuk panggil tuan teri 7 beradik. Lepas tu tok bomoh akan pukul rebana perlahang-lahang daripade nada rendah sampai nada tinggi. Masa mengulek dok buleh tersalah irama sebab kalu dok jadi mengulek tuan teri dok turung ke alam maya. Tamu : Lepas tu mende berlaku Tok ?

Tok Pa : Pada peringkat terakhir, tok bomoh akan pecahkan mayang dengan menghempaskannya ke pasir atau atas dulang di depannya. Masa tu, mayang tu akan dikebah-kebah untuk memanggil tujuh orang puteri sorang-sorang. Tuan teri satu adalah teri tua kena panggil dengan dengan tertib dang hormat sampailah tuan teri tujuh hok akhir sekali yakni puteri bongsu dang merupakan puteri hok paling cantik dan paling

sakti. Tujuan panggil tuan teri ni ialah nok suruh tuan teri tengok orang sakit dang ubat dia jika terkena sihir dan sebagainya. Tamu : Doh kalu tuan teri mari tok bomoh buat guane Tok Pa ?

Tok Pa : Kedatangan tuan teri biasanya disambut dengan tabur tujuh biji bertih jantan dan biasanya tuan teri akan beri salam yang hanya tok bomoh saje buleh dengar. Masa tok bomoh bual dengan tuan teri hok tepuk gendang akan berenti tepuk rebananya Tujuannye ialah nok gelok penonton atau orang yang ada di situ terasuk yang buleh menyebabkan suasana rumit, iaitu orang sakit dok sembuh atau hok dok sakit jadi sakit. penyakit. Tamu : Lagu apa yang akan dinyanyikan masa panggil tuan teri.

Umbut mayang diumbut Umbut dengan jala jemala Ulek mayang diulek Ulek dengan puterinya satu Puteri satu berbaju serong Puteri satu bersanggul sendeng Puteri satu bersubang gading Puteri satu berselendang kuning Umbut mayang diumbut Umbut dengan jala jemala Jika sambut mayang disambut Sambut dengan puterinya dua Puteri dua berbaju serong Puteri dua bersanggul sendeng Puteri dua bersubang gading Puteri dua berselendang kuning Ulek mayang diumbut Ulek dengan jala jemala Jika sambut mayang disambut Sambut dengan puterinya tiga Puteri tiga berbaju serong Puteri tiga bersanggul sendeng Puteri tiga bersubang gading Puteri tiga berselendang kuning .................................................. ..................................................

Nyanyian dinyanyikan terus sehingga sampai kepada Puteri Ketujuh. Penutup lagu tersebut adalah seperti di bawah : Ku tahu asal usul mu Yang darat pulang ke darat Yang laut pulang ke laut Nasi kuning hamba sembahkan Pulih mayang ku pulih Pulih balik sedia kala. Samada dalam persembahan permainan atau pengubatan, ke tujuh orang puteri itu menghilangkan diri pulang ke laut. Hal ini sesuai dengan persekitaran hidup masyarakat pesisir pantai Kuala Terengganu, Marang dan Dungun. Manakala di daerah Hulu Dungun, Ulu Tembeling dan daerah pedalaman lain, puteri tujuh menghilangkan diri atau pulang ke gunong dan berselendang hijau adalah manifestasi hutan belantara berwarna hijau. Ulek Mayang, Pantun dan Mantera Melayu Berbicara tentang ulek mayang tidak akan bermakna tanpa memperkatakan tentang pantun dan mantera. Ini adalah kerana ketiga-tiga seni pengucapan ini dilakukan serentak dalam persembahan (perbomohan dan pengubatan) dan ketiga-tiga aspek ini saling berkait antara satu sama lain. Seperti yang difahami umum bahawa pantun adalah seni pengucapan Melayu yang paling indah dan popular dalam masyarakatnya. Hampir seluruh wilayah-wilayah adat yang termasuk 19 wilayah suku besar Melayu seperti Acheh, Gayo-Alas, Batak-Nias, Minangkabau-Mentawai, Jambi-Engganao, Melayu-Melaka-Medan-Riau-Pontianak, Dayak-Raya, Bangka-Belitung, Sunda, Jawa-Tengah,Jawa-Timor-Madura, BaliLombok,Sulawesi-Selatan-Makasar, Teroja, Gorontolo, Flores-Timor, Minahasa-SanghiTalaud, Maluku-Utara (Ternate), Malaku Selatan (Ambon), Papua ( Jakob Sumardjo:2002), daerah ini mempunyai tradisi pantun masing-masing. Dalam penelitian yang dilakukan pengkaji, peranan pantun dalam tradisi lisan Terengganu (juga tulisan yang terkemudiannya) pantun bukan hanya tertumpu dalam persembahan ulek mayang sahaja, malah dijadikan senikata lagu rodat, lagu-lagu persembahan gamelan, makyong Kampung Raja, dikir barat di Besut, pantun rejang Ulu Dungun dan banyak lagi kesenian daerah negeri Terengganu. Kembali kepada penggunaan pantun dalam persembahan Ulek Mayang, dapat dilihat kepada fungsi magisnya iaitu sewaktu upacara memanggil ketujuh-tujuh Puteri Tujuh turun menyertai acara atau upacara menurun bagi mengubati penyakit. Puteri Tujuh merupakan lambang daripada mitos masyarakat, dan ianya juga sebagai watak-watak yang sentiasa hadir dalam kebanyakan cerita-cerita lisan tempatan,watak atau peristiwa

yang ada hubungan lagenda dan sejarah tempatan atau pandangan dunia semesta masyarakat Melayu secara umumnya. Mitos dan lagenda, warisan daripada cerita-cerita lisan dan sejarah tempatan, atau mungkin watak-watak dan peristiwa hari-hari dan telatah manusia dalam masyarakat setempat, dijadikan juga lambang-lambang atau semacam direct statement tersemat dalam mana-mana kedudukan dalam serangkap pantun (Harun Mat Piah:1989). Kalau dilihat pantun yang digunakan dalam persembahan ulek mayang tidak banyak bezanya antara rangkap pertama hingga ketujuh: Puteri satu berbaju serong Puteri satu bersanggul sendeng Puteri satu bersubang gading Puteri satu berselendang kuning Berdasarkan petikan pantun di atas, dasar pembentukan sebuah pantun mestilah dua baris pertama sebagai pembayang dan dua baris berikut adalah maksud tidak akan kita temui. Ini kerana keempat-empat baris merupakan kesinambungan pemerihalan tentang puteri yakni berbaju serong di baris pertama, bersanggul sendeng dibaris kedua, bersubang gading dibaris ketiga dan berselendang kuning di baris keempat. Begitulah hingga puteri ketujuh. Pantun di atas dinyanyikan pada peringkat menghidupkan mayang. Apabila mayang telah hidup dan puteri tujuh telah turun dan teresap sama ada kepada pesakit, suasana akan menjadi rancak maka pelbagai jenis pantun akan dinyanyikan namun lebih memfokuskan kepada puteri yang dikaitkan dengan semangat suatu bentuk aforisme, iaitu menghaluskan ungkapan sebagai lambang atau kias kepada tujuh jenis semangat yang terdapat di dalam diri pesakit dan juga di alam ghaib termasuk, hantu, jin, penunggu, roh dan sebagainya. Antara pantun yang terkait dengan memenuhi ciri-ciri pantun Melayu seperti berikut: Tiut liut terhulai balai Pucat simpul tergulung-gulung Habis maja tawar maja Hendak sambut puteriku turun Turun mencecah naik bujur Sentak berdengung punca tali Apa sudah badanku tidur Bingkas bangun serta menari Limau ciut condong berlapis Koyak kulit buat rebana Tuan puteri tujuh beradik Masuk ke kebun menyiram bunga (Harun Mat Piah:1989) Tiga rangkap pantun di atas memperlihatkan ciri-ciri pantun Melayu, dua baris pertama adalah pembayang dan dua baris berikut adalah maksud. Setiap kata atau perkataan

dalam ketiga-tiga pantun tersebut merupakan metafora atau perlambangan yang berhubungan dengan penyakit tiut liut terhulai balai bermaksud raga atau tubuh badan yang lemah longlai, pucat simpul tergulung-gulung berwajah pucat cengkung,habis maja tawar maja habis tenaga tawar tenaga,hendak sambut puteriku turun hendak panggil balik semangat yang hilang. Konsep panggil semangat dalam persembahan Ulek Mayang ini tidak banyak bezanya dengan tarian balai atau main pulau dan juga indung di Ulu Tembeling (Pahang): Tabik ke hulu tabik ke hilir Tabik di air tabik di darat Minta tabik empunya kampung Saya mengambil si anak indung ...................................................... Hendak dulang kuberi dulang Dulang berisi sagu mentah Indung nak pulang ke beri pulang Mintak indung pantun sepatah Timun betik timun belulang Secucuk dengan ranting buluh Balik encik baliklah tuan Balik indung ke gunung tujuh Timun betik timun belulang Mari panjat pucuk sungkai Indung nak pulang ku beri pulang Pulang indung ke puncak Mahligai (Norazit Selat, Noorhisham Osman dan Mohd. Ramli Raman, rakaman Indung Kampung Bantal, Ulu Tembeling 1996). Pada struktur pantun di atas, semua bercerita atau mengandungi imaginasi dunia atas (dunia roh atau semangat) yang serba gunung serba langit dan serba mahligai.Pantun di atas memperlihatkan struktur dasar tubuh badan manusia timun betik timun belulang, secucuk dengan ranting buluh, minta tabik yang punya kampung- tubuh badan manusia yang urat daging yang selembut timun betik dibalut timun belulang (kulit/belulang), secucuk dengan ranting buluh, iaitu berstruktur dengan tulang temulang (ranting buluh), empunya kampung (raga) yang bermaksud tubuh badan (tempat berlindung) anak indung. Formula makna yang cukup dari lambang-lambang yang cukup abstrak dalam pantunpantun tersebut harus dilihat diungkai dari konsep kosmologikal budaya ladang, sawah masyarakast daerah tersebut. Ini merupakan bahagian yang paling sulit dalam melakukan tafsiran kosmologi pantun mantera ulek mayang atau prosesi perubatan dan perbomohan di daerah tersebut.

Mantera yang mengambil bentuk pantun sebagai medium pengucapan memerlukan penelitian yang mendalam terutamanya psikologi masyarakat pendokongnya. Pertama, pantun ulek mayang di atas harus dilihat dari mentaliti orang laut atau nelayan atau masyarakat pesisir yang boleh disintesis seperti berikut: 1. Mobiliti 2. Independen 3. Pragmatik 4. Persaingan,penguasaan teknik 5. Harga diri tinggi Manakala pantun indung pula yang dihasilkan oleh kelompok ladang (gunung) memperlihatkan mentaliti sepetrti berikut: 1. Konsumtif-produktif 2. Independen-dependen 3. Hubungan kekeluargaan lebih penting berbanding hubungan tempatan (bangsa) 4. Mentaliti kekeluargaan 5. Pentingnya peranan perantara (orang pandai, dukun misalnya) Mereka juga harus dilihat sebagai kelompok pemburu yang mentalitinya boleh dirumuskan antara lainnya: 1. Komsumtif 2. Independen, bangga memecah persoalan sendirian 3. Improvisasi 4. Egaliter 5. Pemalu atau tidak suka menonjol diri Di samping itu juga mereka harus dilihat sebagai masyarakat pesawah atau desa secara keseluruhannya yang dapat dilihat mentalitinya: 1. Produktif 2. Dependen kolektif 3. Ada hubungan organisasi kerja 4. Perpaduan berdasarkan tempatan 5. Bermastautin/lokaliti (Jakob Sumardjo:2002) Dalam persembahan ulek mayang, struktur persembahan yang diungkap dalam pantun amat berkaitan dengan mentaliti persekitaran hidup mereka. Pantun-pantun yang diungkap menyebut tujuh alamat bidadari atau puteri yang diundang dalam upacara dalam tubuh dukun atau bomoh. Dengan ini memberikan kekuatan magis dan berpadu dengan segala rahsia kekuatan hal yang dikisahkannya. Pengkisahan ini amat berhubungan dengan mentaliti masyarakat pendokongnya. Dia amat memahami perilaku masyarakat yang dia juga hidup bersama. Dari pemahaman inilah setiap pengucapan

duku, bomoh atau pawang dapat memenuhi psikologi khalayak dan dia dianggap orang pandai dan sebagai pengantara antara alam fizikal dan alam batin juga alam ghaib. Dengan mantera atau jampi serapah yang diawali terdahulunya, suatu bentuk pengucapan antara dia dan puteri memberikan nilai mistik dan sakral: Tujuhkan beradik Tujuh sebiring Tujuh segenap Mengikutlah dari bari Amboilah kan tujuh Semangat tujuh Selangkat tujuh Tunjanglah kan tujuh Anggota tujuh Sifatkan tujuh Maknuyah tujuh ........................... Ai..turunlah kan tujuh Belahkan sifat. (Aripin Said: 1997) Dalam tradisi mantera Melayu terdapat tujuh jenis angin (dilambangkan tujuh puteri) iaitu Angin Dewa tujuh (tambahan dari penulis, Dewa tujuh terdiri Dewa sakti,dewa Muda, Dewa Kecil, Dewa Indera, Dewa Bisnu, Dewa Syahmalik,dan Dewa Kesukma Daru ataupun Dewa Semar Daru, iaitu Angin dalam persembahan Main Puteri atau tokoh-tokoh dalam cerita Mak Yong), Angin Bidan ketujuh, Angin Hala Ketujuh, Angin Mambang Ketujuh,Angin Raja Bongsu, Angin Hulubalang atau Pendekar dan Angin Bersenang Pesakit (Hashim Awang:2007). Pelbagai jenis mantera sama ada dalam bentuk pantun atau mantera biasa ianya bertujuan yang pertamanya untuk memanggil semangat dan yang keduanya untuk memanggil angin. Bagi keempat-empat kelompok mentaliti masyarakat Melayu seperti yang diungkapkan di atas, konsep semangat dan angin adalah sama sahaja. Konsep semangat tujuh ini juga hampir sama dalam mantera masyarakat Jawa. Tujuh bidadari itu adalah Tohok (tuak), Sulasih (air), kuranta (sayur mayur), tunjung biru (laut/garam),Wilotomo(daging/buah), supraba (padi) dan gagarmayang (minuman keras) (Jakob Sumardjo:2002) yang mengambil lambang-lambang dipersekitaran kehidupan mereka. Ini sesuai dengan konsep perlambangan yang diambil dari alam keseluruhan, yakni gunung, laut, bukit bukau, dan lambang-lambang dari flora dan fauna serta anatomi tubuh badan manusia itu sendiri. Kembali kepada persembahan ulek mayang. Pada kebiasaanya, mantera (juga mantera dalam bentuk pantun) digunakan bagi memulihkan semangat pesakit yang telah dirasuk atau diserang hantu laut (puteri berselendang kuning) manakala hantu gunung (belantara) disebut puteri berselendang hijau: Bismillah al-Rahman al-Rahim Syeikh minat raja di kapal

Penjajah pengganti Kecil besar, tua muda Jantan betina, riuh rendah Buta rengek, riuh pikuk Jangan dikosek Balik anak cucuku Orang di hutan kita minta jauhkan diri Orang di laut kita minta jauhkan diri Orang di darat kita minta jauhkan diri Orang di laut ada di darat Diminta balik ke laut (Hashim Awang:2007) Dalam mantera ulek mayang, semangit pesakit dipanggil balik serta dipulihkan dengan istilah yang disebut angin bersenang pesakit, dengan ungkapan lemah lembut hantu laut (juga hantu hutan/gunung/belantara) yang merasuk atau mengusai pesakit, diminta kembali ke tempat asal diminta balik ke laut . Kerasukan hantu ini dipercayai telah masuk ke dalam timun betek timun belulang ( ke dalam diri) pesakit sehingga pesakit tidak sedarkan diri, meracau, berkelakuan anih dan kadangkala tidak sedarkan diri. Perkara ini terjadi mungkin kerana pesakit telah secara tidak sengaja telah memasuki wilayah tempat tinggal penunggu laut atau gunung atau tidak menghormati pantang larang, misalnya kencing dalam laut. Pesakit boleh dipulih dengan menghantar pulang hantu atau penunggu yang menumpang dalam dirinya. Setelah segala-galanya dapat dikembalikan pulih seperti sediakala akan ada upacara lain iaitu mengirimkan ancak atau sesaji ke laut tanda terima kasih pesakit kepada semangat atau hantu laut Rujukan: Ahmad Zuhairi Abdul Halim, 1999, Amalan Mistik dan Kebatinan, Serta Pengaruhnya Terhadap Alam Melayu, Kuala Lumpur: Tamadun Research Trust. Aripin Said, 1997,Lagu-Lagu Tradisional Rakyat Pahang,Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia. Harun Mat Piah, 1989,Puisi Melayu Tradisional: Satu Pembicaraan Genre dan Fungsi, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Jakob Sumardjo, 2002, Arkeologi Budaya Indonesia,Yogyakarta: Penerbit Qalam Rogayah Abdul Hamid dan Mariam Salim,2006, (edited) Kepustakaan Ilmu Tradisional Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka ......................................................................., 2007, (edited) Pandangan Semesta Melayu:Mantera, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Wan Abdul Kadir Wan Yusoff, 1996, (edited),Pantun Manifestasi Minda Masyarakat, Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Vous aimerez peut-être aussi