Vous êtes sur la page 1sur 2

PENGAJARAN,TEKNOLOGI & PENAKSIRAN 1 SGRA3016

TAJUK TUGASAN

: BAGAIMANA MENGUJI, MENGUKUR DAN MENILAI PENGETAHUAN, KEMAHIRAN DAN SAHSIAH PELAJAR.

NAMA NO MATRIK

: HAIRNANEY BINTI SADRI : 210063

NAMA PENSYARAH : DR. MOHD ISHA B. AWANG

JAWAPAN: Pengujian, pengukuran dan penilaian adalah elemen penting yang digunakan untuk menilai sejauh mana keberkesanan sesuatu kandungan kurikulum yang dijalankan. Adakah pelajar telah dididik seiring dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mana menekankan perkembangan potensi pelajar secara menyeluruh dan bersepadu? Mampukah kita sebagai guru untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani? Oleh itu, kita amat memerlukan pengujian dan pengukuran ini untuk menilai pengetahuan, kemahiran dan sahsiah pelajar. Sama ada guru telah mengajar dengan baik atau pelajar telah dapat belajar juga akan diketahui. Bagi menguji dan mengesan kemajuan yang diperolehi pelajar di dalam aspek pengetahuan, guru boleh menjalankan beberapa ujian seperti penilaian formatif dan sumatif. Penilaian formatif adalah untuk mendiagnosis kesediaan pelajar untuk mengikuti pelajaran berikutnya yang lebih tinggi dan rumit. Manakala penilaian sumatif digunakan bagi menentukan tahap penguasaan pelajar di akhir tahun. Kuiz juga boleh dijalankan untuk menilai kefahaman pelajar itu. Proses pengujian pelajar ini amat penting kerana pengetahuan,kefahaman dan kecerdasan pelajar akan diperolehi. Hasil daripada jawapan yang didapati ini, guru akan memberikan satu ukuran yang disebut sebagai markah. Markah akan diberikan kepada pelajar yang berkenaan dan pengujian ini akan menjelaskan keadaan berapa baguskah prestasi seseorang pelajar itu mengenai sesuatu topik yang telah diajar. Untuk aspek kemahiran, guru boleh menilai pelajar dengan menggunakan ujian personaliti. Ujian personaliti digunakan untuk memahami tingkah laku pelajar khususnya dalam menilai sikap dan motivasi mereka. Ujian ini juga disediakan untuk mengenalpasti potensi diri, tahap kemahiran dan keupayaan seseorang pelajar itu. Ujian kecekapan juga boleh digunakan untuk mengukur kemahiran dan kecekapan pelajar dalam melakukan sesuatu tugas yang telah dipelajari. Contohnya, guru boleh memberikan ujian kecekapan bagi mengukur kemahiran pelajar melakar dan melukis reka bentuk sesebuah bangunan. Ujian ini boleh digunakan menggunakan kertas dan pensel, namun kebiasaannya guru juga boleh memberikan sesuatu aktiviti di mana kecekapan kemahiran mereka akan dinilai. Sahsiah pelajar juga boleh dinilai menerusi beberapa ujian. Ia bertujuan untuk menilai sikap dan perasaan pelajar itu. Bagaimana penerimaan dan tingkah laku mereka semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku boleh juga dinilai melalui pemerhatian secara tidak langsung di bilik darjah. Dengan teknik ini, guru akan mengetahui perubahan yang mungkin jelas kelihatan misalnya dari aspek emosi, ketegangan pelajar, bahasa dan kedudukan tubuh badannya yang tidak terhasil secara semula jadi iaitu seperti dipaksa-paksa dan juga perubahan tingkah laku mahupun sikap. Guru juga boleh merancang strategi dengan mengaplikasikan teknik pemerhatian yang lain seperti teknik pemerhatian dengan senarai semak, pemerhatian tingkah laku dan pemerhatian di luar bilik darjah. Selain melakukan pemerhatian, guru juga boleh menjalankan ujian psikologi. Ujian ini mengukur sikap, minat, personaliti dan ciri-ciri psikologi yang lain. Soalan-soalan yang diberikan kepada pelajar kebiasaannya akan dijawab secara langsung ataupun tidak langsung. Ia boleh dilakukan secara bertulis dengan disertakan soalan pelbagai pilihan atau esei mengikut kesesuaian dan tahap pelajar itu. Bagi ujian ini, tidak semestinya pelajar itu sedar bahawa sebenarnya ia sedang diuji. Kesimpulannya, guru haruslah bertindak dengan bijak bagi merancang dan merangka kepelbagaian ujian yang bersesuaian. Ia juga menuntut kecekapan dan kemampuan guru itu dalam melaksanakan penilaian dalam keseluruhan proses pengajaran dan pembelajaran sekaligus melakukan penambahbaikan dalam proses penyampaian ilmu ini. Kesemua ini adalah untuk menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran sekaligus menjadi pemangkin perkembangan individu dan mengangkat kecemerlangan pendidikan negara.

Vous aimerez peut-être aussi