Vous êtes sur la page 1sur 21

ISI KANDUNGAN

PERKARA

HALAMAN

BAB 1

PENGENALAN

BAB 2

PERBINCANGAN 2.1 Pendahuluan 2.2 Seni Lukis dan Sumbangannya ke atas Perkembangan dan Pembelajaran Kanak-kanak. 2.3 Seni Lukis dan Sumbangannya dalam Meningkatkan Kesedaran Terhadap Kepelbagaian Budaya di Malaysia. 15 4 3

BAB 3 RUJUKAN

PENUTUP

19 21

BAB 1

PENGENALAN

Proses perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak merupakan suatu proses yang melibatkan banyak perkara serta boleh dipengaruhi oleh pelbagai aspek. Setiap kanak-kanak juga melaluinya dalam cara yang berbeza-beza bergantung kepada persekitaran kehidupan mereka. Salah satu aspek yang boleh mempengaruhi perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak ialah aspek seni. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, seni membawa maksud karya termasuklah sajak, lukisan, muzik dan lain-lain lagi yang dicipta dengan bakat atau kecekapan dan hasil daripada sesuatu ciptaan. Terdapat juga istilah lain yang dikaitkan dengannya seperti seni kreatif. Seni kreatif yang sinonim dengan masyarakat hari ini termasuklah seni muzik, tarian, drama dan seni lukis yang mana cabang seni ini dapat memberi sumbangan dalam perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak. Slavin (1997) menyatakan bahawa perkembangan berkaitan dengan mengapa dan bagaimana individu berkembang dan membesar, menyesuaikan diri dengan persekitaran dan berubah seiring dengan peredaran masa. Setiap individu akan mengalami perkembangan sepanjang hayat dari segi fizikal, kognitif, personaliti, sosioemosi dan bahasa. Woolfolk (2005) pula menyatakan bahawa pembelajaran ialah proses di mana pengalaman menyebabkan perubahan dalam pengetahuan dan tingkah laku. Proses perkembangan dan pembelajaran juga saling berkait rapat antara satu sama lain. Kedua-duanya berlaku seawal hayat manusia dan berterusan sepanjang kehidupannya. Oleh kerana perkembangan dan pembelajaran dalam pelbagai aspek kehidupan bermula seawal hidup individu, maka perhatian wajar diberikan kepada proses perkembangan dan pembelajaran di kalangan kanak-kanak. Ini bagi memastikan kanak-kanak mampu membesar menjadi generasi yang cemerlang dalam pelbagai aspek. Tambahan pula, kanak-kanak merupakan golongan yang suatu masa nanti akan menerajui kepimpinan negara, bahkan dunia.

Sebagaimana yang dinyatakan di atas, salah satu perkara yang boleh mempengaruhi perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak ialah seni kreatif. Antara contoh seni kreatif ialah seni lukis, seni kraftangan, muzik, tarian dan drama. Perbincangan seterusnya akan memfokuskan kepada salah satu bidang seni kreatif iaitu seni lukis dan peranannya ke atas perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak. Selain itu, perbincangan seterusnya juga akan menyentuh tentang sumbangan seni kreatif iaitu seni lukis dalam meningkatkan kesedaran terhadap kepelbagaian budaya di Malaysia.

BAB 2

PERBINCANGAN 2.1 - Pendahuluan Seni lukis merupakan salah satu cabang bidang seni kreatif yang sinonim dengan pelbagai lapisan masyarakat di seluruh dunia. Ia berkait rapat dengan gambar, yakni lukisan yang dihasilkan oleh seseorang pelukis itu. Seni lukis mempunyai peranan tersendiri dalam proses perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak. Perkembangan dan pembelajaran ini boleh meliputi pelbagai aspek misalnya perkembangan artistik, kognitif, sosial dan sebagainya. Dengan kata lain, penglibatan kanak-kanak dalam aktiviti seni lukis boleh memberi kesan yang positif ke atas perkembangan dan pembelajaran mereka. Penggunaan hasil-hasil kerja seni lukis sebagai bahan bantu mengajar khususnya oleh para guru juga boleh menyumbang kebaikan dalam perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak. Selain itu juga, seni lukis mampu meningkatkan kesedaran di kalangan kanak-kanak terhadap kepelbagaian budaya di negara ini. Kesedaran terhadap kepelbagaian budaya ini amar penting kerana di negara Malaysia ini, kita hidup dalam masyarakat majmuk dan perpaduan amat perlu bagi mengekalkan keharmonian masyarakat. Perbincangan seterusnya akan menyentuh dengan lebih lanjut mengenai sumbangan atau peranan seni lukis dalam perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak serta fungsi seni lukis dalam meningkatkan kesedaran terhadap kepelbagaian budaya di Malaysia.

2.2 Seni Lukis dan Sumbangannya ke atas Perkembangan dan Pembelajaran Kanakkanak. Seni lukis, seperti mana yang dinyatakan sebelumnya adalah merupakan salah satu medium yang boleh digunakan dalam perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak. Ia mempunyai peranannya yang tersendiri dan perlu diberi perhatian dalam usaha melahirkan generasi yang cemerlang untuk masa hadapan masyarakat dan negara. Penglibatan kanak-kanak

dalam aktiviti seni lukis dapat membolehkan perkembangan artistik kanak-kanak dirangsang ke tahap yang lebih baik. Ini kerana ia memberi peluang kepada kanak-kanak terbabit meluahkan idea serta imiginasi mereka dan mengembangkan daya kreativiti masing-masing. Kreativiti secara ringkasnya melibatkan daya berfikir dan kemahiran berfikir. Oleh itu kreativiti boleh dibentuk dan dilatih misalannya menerusi aktiviti dalam seni lukis seperti menghasilkan sesebuah lukisan. Kreativiti boleh dilihat dalam diri individu yang mempunyai daya kreatif. Individu yang mempunyai daya kreativiti yang tinggi berupaya mengubah dan mentafsir semula sesuatu benda yang ada kepada penghasilan yang lebih menarik. Dia juga sensitif kepada masalah di sekelilingnya dan cenderung bertindak mencari jalan keluar dalam bentuk penghasilan melalui daya kreatifnya berdasarkan keupayaan dan kehendaknya untuk mengubah sesuatu keadaan supaya lebih sempurna. Individu ini juga berupaya bertindak berdasarkan kebolehannya menyesuaikan sesuatu keadaan kepada sesuatu keadaan yang lebih baik. Pembelajaran seni lukis di kalangan kanak-kanak khasnya, dapat memantapkan keupayaan membuat dan merekacipta. Ini dapat menjadikan mereka lebih imaginatif dalam menghasilkan sesebuah lukisan. Di sinilah sumbangan seni lukis kepada perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak dapat diperhatikan. Seni lukis sememangnya berkait rapat dengan kreativiti individu. Oleh kerana seni lukis serta seni kreatif yang lain dapat meyumbang kepada perkembangan dan pembelajaran kanakkanak, ibu bapa serta guru disarankan melengkapkan diri dengan pengetahuan yang berkaitan agar dapat membantu kanak-kanak terutamanya yang berminat dan berbakat dalam seni lukis untuk mengembangkan lagi potensi diri mereka. Pengetahuan tentang kreativiti dilihat mampu mencapai matlamat tersebut. Ellis Paul Torrance merupakan penyelidik dan ahli akademik yang banyak mengkaji tentang kreativiti. Menerusi teori kreativiti yang beliau bangunkan, beliau mengutarakan tujuh aspek utama yang perlu diberi perhatian dalam memupuk dan mengembangkan kreativiti individu. Tujuh aspek tersebut ialah penyoalan, penemuan, pemerhatian, percubaan, penerokaan, memanipulasi dan aktiviti atau permainan. Ketujuh-tujuh aspek ini boleh diaplikasikan oleh para guru mahupun ibu bapa dalam usaha mengembangkan kreativiti kanak-kanak dalam seni lukis. Berikut adalah huraian bagi

ketujuh-tujuh aspek dalam teori perkembangan kreativiti Torrence yang boleh digunakan dalam memupuk serta mengembangkan kreativiti kanak-kanak. i) Penyoalan Dalam aspek ini, penekanan boleh diberikan dalam bentuk rangsangan melalui proses penyoalan. Guru Seni Visual misalnya boleh mengadakan sesi ringkas kritikan seni yang mana menerusinya guru boleh bertanya soalan-soalan yang berkaitan bagi menggalakkan pelajarnya berfikir. Namun ianya perlulah bersesuaian dengan tahap umur kanak-kanak terbabit. Rangsangan seperti ini boleh membantu mengembangkan daya fikir mereka seterusnya membuka peluang untuk mereka mengembangkan daya kreativiti masing-masing. Penyoalan juga boleh dilaksanakan semasa proses penghasilan sesuatu karya seperti lukisan. Guru atau ibu bapa perlu mewujudkan suasana atau sesi soal jawab yang mampu menarik perhatian agar boleh menerbitkan perasaan ingin tahu di kalangan kanakkanak. Ringkasnya, aspek penyoalan ini memerlukan kepada rangsangan dalam bentuk soalan-soalan untuk menggalakkan kanak-kanak berfikir, memproses maklumat dan seterusnya meluaskan skop kreativiti masing-masing dalam seni lukis ini.

ii)

Penemuan Proses penemuan merujuk kepada usaha untuk memberikan galakan dan rangsangan misalannya oleh ibu bapa kepada anak-anak atau guru kepada pelajarnya . Kanak-kanak perlu digalakkan membuat eksplorasi dan eksperimen melalui aktiviti seni lukis seperti mewarna dan melukis. Menerusi eksplorasi dan eksperimen ini pelajar akan berpeluang mempelajari serta menemui pelbagai perkara baru yang akan membantu meningkatkan kreativiti mereka. Guru mahupun ibu bapa juga boleh memberikan galakan-galakan motivasi kepada anak-anak bukan sahaja dalam bentuk lisan tetapi juga dengan cara membawa mereka mengunjungi tempat-tempat yang sesuai untuk dilawati seperti Galeri Seni Negara.

iii)

Pemerhatian Aspek ketiga dalam teori perkembangan kreativiti Torrence ialah proses pemerhatian. Proses ini tidak hanya tertumpu kepada deria pengamatan bahkan juga melibatkan deria yang lain seperti deria sentuhan, deria bau dan sebagainya. Rangsangan melalui penggunaan pelbagai deria amat berguna bagi mewujudkan suatu bentuk pemerhatian yang benar-benar peka seterusnya menjana daya kreativiti yang lebih tinggi. Daya kreativiti yang tinggi akan membantu kanakkanak menghasilkan karya seni lukis yang dapat membanggakan mereka.

iv)

Percubaan Aspek seterusnya dikenali sebagai proses percubaan. Percubaan merujuk kepada usaha yang berterusan untuk mendapatkan hasil terbaik. Kanak-kanak yang kreatif akan terus bereksperimentasi dan tidak jemu mencuba sehingga berjaya memperolehi bagi mendapatkan hasil dan kesan yang dikehendaki. Di dalam kelas misalnya, guru boleh memainkan peranan untuk memberi semangat kepada para pelajar jika mereka tidak dapat menghasilkan sesuatu karya sebagai mana yang mereka kehendaki. Guru perlu memberi kata-kata semangat dan perangsang supaya kanak-kanak tidak berputus asa dan terus mencuba. Percubaan-percubaan yang mereka lakukan demi memperbaiki kualiti karya masing-masing akan membekalkan mereka dengan pelbagai pengetahuan dan pengalaman yang pasti dapat dijadikan panduan dalam penghasilkan karya-karya yang lain pula.

v)

Penerokaan Penerokaan atau eksplorasi merujuk kepada galakan untuk menggunakan atau memanipulasi pelbagai barangan dan perlatan alat yang terdapat di

sekeliling. Sehubungan dengan aspek ini, guru pendidikan seni khususnya boleh menggalakkan pelajar menggunakan bahan semulajadi, kitar semula, bahan terpakai atau apa sahaja bahan yang boleh dimanipulasikan dari persekitaran mereka dalam menghasilkan sesuatu karya lukisan yang lebih kreatif.

vi)

Memanipulasi Aspek keenam yang diutarakan oleh Torrence yang boleh memupuk kreativiti ialah memanipulasi. Ia merujuk kepada situasi di mana seseorang individu mampu bertindak menggunakan bahan atau keadaan sedia ada. Dalam konteks lain, kanak-kanak boleh diajar menggunakan objek dan bahan yang terdapat di persekitarannya untuk dijadikan sesebuah hasil seni lukis. Dalam masa yang sama, ini mendidik pelajar supaya lebih berjimat dan mengelakkan pembaziran lebih-lebih lagi dalam menghasilkan sesuatu karya seni yang kreatif.

vii)

Aktiviti atau permainan. Aspek terakhir dalam teori perkembangan kreativiti Torrence ialah aktiviti atau permainan. Kreativiti boleh dirangsang melalui aktiviti bermain dan aktiviti ini amat bersesuaian dengan kanak-kanak. Masa bermain adalah masa yang menyeronokkan dan mencabar bagi kanak-kanak. Oleh itu guru boleh mewujudkan aktiviti bercorak permainan akademik yang menyeronokkan seperti melukis mural secara berkumpulan untuk mencantikkan lagi kawasan sekolah sekaligus merangsang kreativiti kanak-kanak atau para pelajar. Selain itu, ia juga dapat meningkatan kemahiran komunikasi dan keyakinan diri di kalangan kanakkanak apabila bergaul dengan orang lain.

Aktiviti seni seperti melukis juga perlu melalui proses yang dikenali sebagai proses penghasilan karya. Proses-proses dalam penghasilan karya ini mempunyai fungsi tertentu yang boleh membantu perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak. Laura H. Chapman (1978) memperkenalkan tiga kaedah yang penting dalam penghasilan karya. Kaedah-kaedah tersebut ialah kaedah penjanaan idea, pengolahan dan pemurniaan, serta kemahiran menggunakan bahan. (a) Kaedah Penjanaan Idea (Inception of Idea). Kaedah penjanaan idea memerlukan penetapan objektif, haluan dan tujuan karya yang ingin dihasilkan. Walau bagaimanapun bagi sesetengah individu, mereka tidak menetapkannya kerana penetapan ini turut bergantung kepada cetusan ilham atau idea seseorang. Dalam situasi pengajaran dan pembelajaran di sekolah, guru lazimnya akan
8

menerangkan kepada murid mengenai kaedah penjanaan idea dan membimbing pelajar dalam menetapkan hala tuju penghasilan karya. Menerusi bimbingan dalam menghasilkan karya seni lukis inilah kanak-kanak akan lebih berkemampuan mengembangkan kreativiti mereka seterusnya menyerlahkan lagi potensi diri masingmasing menerusi lukisan.

(b) Pengolahan dan Pemurniaan (Elaboration and Refinement) Proses pengolahan dan pemurnian idea bertujuan untuk mendapatkan kajian visual yang lebih sistematik dan tersusun. Ini bagi memastikan tema dan objektif penghasilan selaras dengan imej atau visual yang hendak dihasilkan atau dipilih. Ia seolah-olah suatu proses semakan dan perlu dilaksanakan dengan baik agar karya dihasilkan lebih berkualiti. Di peringkat penghasilan karya dalam kalangan kanak-kanak, proses ini dianggap penting dan signifikan serta diulangi beberapa kali untuk mendapatkan hasil terbaik. Proses ini perlu didedahkan kepada kanak-kanak sebagai suatu bentuk latihan agar kanak-kanak mempunyai pengamatan yang mendalam terhadap aspek ketelitian. Dalam konteks ini dapat diperhatikan bahawa seni lukis dapat memberi sumbangan yang positif terhadap proses perkembangan dan pembelajaran seseorang kanak-kanak. Kanak-kanak boleh dilatih agar menjadi seorang yang bersikap teliti dan tidak melakukan sesuatu secara sambil lewa sahaja. (c) Kemahiran Menggunakan Bahan (Execution in a Medium). Kaedah seterusnya melibatkan kemahiran menggunakan bahan. Dalam menghasilkan sesuatu karya seni lukis, kanak-kanak juga akan belajar tentang pemilihan bahan bagi menghasilkan sesebuah karya. Dalam konteks pendidikan seni di sekolah, guru berperanan untuk memperkenalkan bahan dan teknik penggunaan serta penghasilan kepada pelajar termasuklah golongan kanak-kanak ini. Tunjuk cara atau demonstrasi penggunaan bahan diberikan agar mereka lebih memahami makna dan nilai tersendiri yang ada pada setiap bahan yang dipilih atau digunakan dalam menghasilkan karya mereka. Ini akan menambahkan pengetahuan seseorang kanak-kanak itu dan meningkatkan daya perkembangan serta pembelajarannya.

Selain daripada perkembangan artistik yang dinyatakan di atas, perkembangan kognitif kanak-kanak juga dapat dirangsang menerusi aktiviti seni lukis. Jean Piaget (1896-1980) amat berminat mengkaji tentang perkembangan kognitif kanak-kanak dan beliau terkenal dengan teori perkembangan kognitif Piaget. Menurut Piaget, pemikiran kanak-kanak berkembang dalam satu siri tahap yang kompleks dan setiap satunya berkait rapat antara satu sama lain (Jas, 2002). Tahap perkembangan yang beliau kemukakan terdiri daripada empat tahap iaitu: 1) Tahap sensori motor atau deria-pergerakan (0-2 tahun). 2) Tahap pra-operasi atau pra-olahan (2-6 tahun). 3) Tahap operasi konkrit atau pengolahan konkrit (7-11 tahun). 4) Tahap operasi formal atau pengolahan formal (12 tahun ke atas). Dalam semua tahap tersebut, tahap ketiga iaitu tahap operasi konkrit atau pengolahan konkrit terutamanya, boleh dikaitkan pula dengan perkembangan seni kanak-kanak. Secara asasnya, kanak-kanak berada pada tahap operasi konkrit atau disebut juga peringkat pengolahan konkrit dalam teori kognitif Piaget pada usia tujuh hingga 11 tahun. Pada peringkat pengolahan konkrit ini pertumbuhan mental adalah berterusan manakala penguasaan pengetahuan dan pemikiran turut bertambah. Pada usia ini juga kanak-kanak mempunyai perasaan ingin tahu dan ingin belajar yang sangat tinggi serta pertuturan mereka menjadi semakin baik. Mereka juga memiliki kecenderungan untuk menetapkan matlamat yang tinggi dalam sesuatu perkara di samping berharap segalanya boleh dicapai dengan sempurna. Kanak-kanak pada peringkat ini turut menguasai konsep pengekalan tentang nombor, paduan, berat dan padatan yang seterusnya membantu mereka memahami konsep lain yang lebih rumit seperti susunan angka, pengkelasan bahan berdasarkan sifat-sifat bahan tersebut serta mampu melihat sesuatu perkara daripada perspektif yang lebih pelbagai. Kematangan berfikir mereka mula terserlah dan mereka tidak lagi bersifat egosentrik yakni mereka sudah boleh menerima pendapat orang lain dan bukan hanya merasakan pendapatnya sahaja yang betul (Jas, 2002). Apakah pula kaitannya peringkat pengolahan konkrit ini dengan proses perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak menerusi seni lukis? Jika diteliti ciri-ciri kanak-kanak yang berada pada peringkat ini, dapat dikatakan bahawa pada tahap pengolahan konkrit inilah kita perlu memberi perhatian terhadap perkembangan seni kanak-kanak dan salah satunya adalah
10

menerusi pendedahan terhadap seni lukis. Ini kerana pada peringkat ini kita boleh membimbing, merangsang serta menggalakkan kanak-kanak melibatkan diri dalam aktiviti seni lukis dalam usaha memupuk serta mengembangkan daya kreativiti dan kebolehan seni mereka. Pada peringkat pengolahan konkrit ini kanak-kanak mempunyai perasaan ingin tahu dan ingin mempelajari pelbagai perkara. Ini memberi peluang kepada kita untuk menjana perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak ke aras yang maksimum seterusnya menyediakan mereka menjadi modal insane yang berkualiti. Penglibatan mereka dalam seni lukis akan merangsang perkembangan kognitif mereka ke arah yang lebih baik dan secara tidak langsung menyediakan mereka ke arah mengenal pasti kebolehan dan potensi diri masing-masing, seterusnya mempunyai gambaran tentang hala tuju mereka pada masa hadapan. Selain sikap ingin tahu, Piaget menyifatkan bahawa pada peringkat pengolahan konkrit ini juga kanak-kanak memiliki kebolehan untuk menguasai konsep pengekalan. Ini membantu mereka memahami konsep lain yang lebih kompleks serta melihat sesuatu perkara menerusi pelbagai perspektif. Dengan rangsangan yang betul, kanak-kanak terbabit akan dapat menghasilkan sesuatu karya seni seperti lukisan yang penuh dengan nilai estetika dan daya kreativiti yang tinggi. Kanak-kanak pada peringkat pengolahan konkrit ini juga tidak lagi dikuasai oleh perasaan egosentrik dan ini menjadikan mereka mudah menerima teguran atau pendapat orang lain. Sifat keterbukaan seumpama ini akan menjadikan proses perkembangan kanak-kanak dapat berlangsung dengan lebih sempurna menerusi aktiviti seni lukis. Jelas di sini bahawa seni lukis sememangnya mempunyai peranan yang penting dalam perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak. Dari aspek psikologi juga, penglibatan kanak-kanak dalam seni lukis dapat membantu perkembangan sensitiviti dan emosi mereka. Sensitiviti merujuk kepada kepekaan dan kebolehan membuat pertimbangan dan persepsi dari segi sosial serta estetik. Menerusi seni lukis kanakkanak mampu meningkatkan kepekaan sensitiviti mereka yakni kebolehan untuk merasa dan menghayati apa yang ada di sekeliling mereka. Ini akan dapat menjadikan kanak-kanak bersikap lebih prihatin dan peka kepada perkara-perkara yang berlaku di persekitaran mereka. Aktiviti melukis juga dapat memberikan kepuasan kepada kanak-kanak dalam meluahkan apa yang dilihat lalu dipindahkan semula dalam bentuk dan rupa imej yang unik mengikut tahap pemahaman mereka. Melalui aktiviti melukis, kanak-kanak dapat meningkatkan daya sensitiviti
11

pancaindera. Begitu juga halnya dalam aspek perkembangan emosi. Emosi boleh ditakrifkan juga sebagai keupayaan melahirkan idea, rasa hati serta membuat pertimbangan dan pernyataan diri (Jas, 2002). Pembelajaran dan aktiviti seni lukis selain dapat membangkitkan perasaan dan sensiviti kanak-kanak, ia juga dapat mencorak perlakuan perasaan yang semulajadi seperti rasa cinta terhadap sesuatu misalnya kepada alam semulajadi. Dalam konteks seumpama inilah seni lukis ternyata mampu menjadikan perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak semakin baik dan komprehensif. Selain itu, menerusi seni juga perkembangan ekspresi sesorang kanak-kanak juga dapat dirangsangkan. Ekspresi ialah tindakbalas emosi hasil daripada interaksi atau komunikasi

dengan persekitaran, orang lain, masyarakat, peristiwa dan benda. Menerusi pembelajaran seni lukis, misalnya dalam Pendidikan Seni Visual di sekolah-sekolah, kanak-kanak dapat juga dilatih untuk memantapkan pengucapan, curahan idea, gambaran pemikiran dan perasaan, menggambar, memberi makna menerusi perkataan, pergerakan, arahan dan simbol. Seni lukis juga

memberi peluang kepada kanak-kanak dalam aspek perkembangan dan pembelajaran sosial mereka. Menerusi seni lukis kanak-kanak dapat membentuk jaringan komunikasi dengan orang lain di sekeliling mereka seperti ibu bapa, guru dan rakan-rakan. Komunikasi ini boleh terhasil misalnya apabila mereka berkongsi idea mahupun hasil seni lukis mereka dengan orang lain. Interaksi ini akan membantu kanak-kanak terbabit membina hubungan yang lebih kukuh dengan individu lain lebih-lebih lagi jika individu tersebut memberi maklum balas yang positif terhadap idea atau hasil lukisannya. Pertukaran idea atau pendapat mengenai sesuatu idea lukisan dengan ibu bapa, guru atau rakan-rakan juga akan membantu mengembangkan lagi daya kreativiti dan pengetahuan kanak-kanak. Ia juga boleh meningkatkan keyakinan diri kanak-kanak di samping menjadikan mereka lebih mahir melibatkan diri dalam persekitaran sosial. Selain itu, apabila kanak-kanak melukis gambar-gambar maupun potret, kanak-kanak sebenarnya mula berkomunikasi secara visual. Kanak-kanak mungkin melukis bagi menyatakan pengalaman yang mereka lalui seperti bermain di taman permaianan. Seni lukis juga boleh memberi gambaran terhadap luahan perasaan dan perubahan emosi kanak-kanak tersebut. Dengan kata lain, selain berinteraksi secara lisan, hasil lukisan kanak-kanak turut menjadi medium untuk mereka berkomunikasi dengan orang lain (Kohl, 2010). Maka menerusi seni lukis
12

kanak-kanak dapat menjalani proses perkembangan dan pembelajaran dalam pelbagai aspek termasuk komunikasi dengan lebih menyeluruh. Oleh itu ibu bapa dan guru wajar memberi galakan lebih-lebih lagi jika anak-anak sememangnya meminati dan berbakat dalm bidang seni lukis. Sokongan terhadap minat kanak-kanak kepada bidang seni lukis perlulah dizahirkan terutamanya oleh ibu bapa dan guru sebagai individu yang meluangkan banyak masa dengan mereka. Ini kerana seni lukis juga memberi ruang kepada kanak-kanak untuk meluahkan apa yang mereka rasa, alami atau bayangkan dalam kehidupan seharian mereka. Kemampuan untuk meluahkan perasaan melalui lukisan akan membantu kanak-kanak membentuk kekuatan emosi mereka seterusnya menjadikan mereka lebih bersikap positif. Sikap positif dalam diri kanakkanak ini amat penting dalam proses perkembangan dan pembelajaran mereka. Menerusinya kanak-kanak akan dapat belajar dan menerima banyak perkara baru dalam kehidupan mereka dengan cara yang positif juga. Situasi ini akan mewujudkan persekitaran yang sangat baik untuk tumbesaran kanak-kanak. Jelasnya di sini, seni lukis menjadi medium perantara yang sangat berkesan kepada kanak-kanak untuk menzahirkan perasaan atau pemikiran mereka seterusnya menyediakan ruang untuk kanak-kanak belajar lebih banyak perkara secara positif. Dengan kata lain juga, menerusi aktiviti seni lukis kita dapat menyediakan persekitaran yang baik untuk perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak. Seni lukis juga memberi peluang untuk kanak-kanak belajar kaedah menyelesaikan masalah. Ini kerana apabila kanak-kanak meneroka idea seni mereka, mereka akan turut berfikir dan mengemukakan soalan kepada diri sendiri tentang bagaimana mereka boleh menjayakan idea yang mereka fikirkan (Kohl, 2010). Kanak-kanak mungkin cenderung bertanya atau berfikir sambil menghasilkan sesuatu lukisan. Misalnya bagaimana hasilnya jika saya melukis sesuatu di bahagian ini? atau bagaimana jika saya mewarnakannya dengan warna oren? atau mengapa lukisan ini kelihatan berbeza daripada yang saya inginkan? Persoalan-persoalan seperti ini akan menjadikan kanak-kanak terdedah kepada usaha untuk mencari penyelesaian ke atas masalah yang mereka alami. Mereka akan mempunyai keinginan dan pengalaman untuk menyelesaikan masalah dan ianya boleh dikembangkan kepada penyelesaian masalah yang tidak berkaitan dengan aktiviti seni lukis mereka. Jelas di sini bahawa menerusi seni lukis, perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak menjadi lebih meluas.
13

Menerusi seni lukis iaitu dengan cara melukis dan mewarna, kanak-kanak juga dapat memperkembangkan kemahiran psikomotor mereka. Seni lukis mampu meningkatkan kemahiran kanak-kanak mengawal pergerakan tubuh mereka seperti tangan dan jari selain kemahiran mereka mengendalikan material atau bahan-bahan dalam aktiviti seni lukis. Melalui seni juga kanak-kanak dapat mempelajari tentang perkongsian seperti berkongsi alatan melukis dan mewarna (Kohl, 2010). Maka selain mempelajari seni, nilai-nilai murni juga dapat diterapkan dalam diri kanak-kanak menerusi aktiviti seni. Situasi ini pastinya mewujudkan suasana yang positif untuk perkembangan kanak-kanak. Selain melibatkan sendiri kanak-kanak dengan aktiviti seni lukis, hasil seni lukis seperti lukisan-lukisan juga boleh digunakan sebagai bahan bantu mengajar di kalangan para guru khasnya. Guru-guru boleh menggunakan lukisan-lukisan yang pelbagai semasa sesi pengajaran dan pembelajaran mengikut kesesuaian. Misalnya lukisan buah-buahan, bunga-bungaan ataupun haiwan yang boleh digunakan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran sains mengenai benda hidup. Pastinya lukisan-lukisan tersebut dapat menarik minat kanak-kanak untuk belajar seterusnya membantu mereka untuk lebih mudah memahami apa yang diajar oleh para guru. Mengikut penyelidikan yang telah dibuat oleh pakar -pakar alat pandang dengar, konsep kefahaman dan pengetahuan yang diperolehi oleh manusia, 75% adalah diperolehi melalui deria pandang, 13% daripada deria dengar, 6% daripada deria sentuh, 3% daripada deria rasa manakala 3% pula daripada deria bau (Mok Soon Sang dan Lee Shok Mee, 1986). Berdasarkan kajian tersebut, bolehlah dikatakan bahawa pancaindera pandang dan dengar merupakan dua saluran deria yang penting sekali dalam proses pembelajaran, terutama bagi murid-murid di sekolah rendah. Bagi murid-murid dalam lingkungan umur enam hingga 12 tahun, mereka masih banyak bergantung kepada pengalaman-pengalaman konkrit dan banyak menggunakan deria pandang dan dengar untuk menguasai kemahiran dan memperolehi ilmu pengetahuan. Oleh yang demikian sumber pengajaran dan pembelajaran yakni bahan bantu mengajar khasnya alat pandang dengar dapat memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Lantaran itulah, hasil-hasil seni lukis boleh digunakan oleh para guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan cara tersebut, kefahaman kanak-kanak terhadap

14

pelajaran yang disampaikan oleh guru dapat ditingkatkan lagi. Para ibu bapa juga boleh menggunakan kaedah yang sama semasa di rumah. Selain menyumbang kepada perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak, seni lukis juga dapat meningkatkan kesedaran terhadap kepelbagaian budaya yang wujud di negara kita. Sebagai sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk, pendidikan mengenai kepelbagaian budaya amat penting diterapkan kepada generasi muda. Perbincangan selanjutnya akan memfokuskan kepada sumbangan atau peranan seni kreatif dalam meningkat kesedaran terhadap kepelbagain budaya di Malaysia.

2.3 Seni Lukis dan Sumbangannya dalam Meningkatkan Kesedaran Terhadap Kepelbagaian Budaya di Malaysia. Malaysia merupakan sebuah negara yang terkenal dengan masyarakat majmuknya. Lantaran itu tidak hairanlah jika wujud kepelbagaian budaya dalam masyarakat di negara ini. Masyarakt di Malaysia boleh dibahagikan kepada tiga kaum yang utama iatu Melayu, Cina dan India. Selain itu terdapat juga kaum Bumiputera dan Peranakan (Che Su dan Rasilah, 2005). Perpaduan merupakan aspek yang penting bagi mengekalkan keharmonian dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya ini. Oleh itu setiap anggota masyarakat perlu dididik untuk menerima dan menghormati budaya ahli masyarakat yang lain. Ini bagi menjamin kelangsungan kewujudan semangat bersatu-padu, hormat-menghormati dan

bertoleransi di kalangan masyarakat kita. Oleh yang demikian adalah wajar kesedaran terhadap kepelbagaian budaya ini dipupuk sejak kecil lagi. Golongan kanak-kanak dan remaja khasnya perlu didedahkan dan diingatkan tentang peri pentingnya menghormati budaya lain dan menjaga hubungan baik dengan orang yang berlainan bangsa dan agama dengannya. Salah satu cara meningkatkan kesedaran tentang kepelbagaian budaya di negara kita adalah menerusi seni lukis. Seperti yang dinyatakan dalam bahagian terdahulu, seni lukis membolehkan perkembangan dan pembelajaran komunikasi berlaku di kalangan kanak-kanak. Apabila kanak-kanak terlibat dengan aktiviti melukis misalnya, guru ataupun ibu bapa boleh menggalakkan mereka untuk bertukar-tukar idea dan pendapat dengan rakan-rakan yang
15

berbilang kaum. Ini akan membantu kanak-kanak mempraktikkan kemahiran berkomunikasi dalam masyarakat yang berlainan latar budaya. Menerusinya diharapkan kanak-kanak terbabit dapat membina hubungan yang baik dengan rakan-rakan berlainan budaya seterusnya mengetahui serba sedikit mengenai budaya-budaya masyarakat lain. Dengan itu tidaklah mereka berasa janggal apabila perlu menghadapi situasi yang sama pada masa hadapan. Dalam menghasilkan sesebuah lukisan juga, kanak-kanak boleh digalakkan untuk melukis gambar yang bertemakan kepelbagaian bangsa di Malaysia. Dalam hal ini, guru pendidikan seni visual di sekolah mempunyai peranan yang penting dalam merealisasikannya. Para pelajar boleh diberikan maklumat serta digalakkan untuk mengumpul pelbagai maklumat yang berkaitan bagi tujuan menghasilkan lukisan yang bertemakan kepelbagaian bangsa dan budaya di Malaysia. Ini memberi peluang kepada mereka bukan sahaja untuk menghasil lukisan tetapi juga menambahkan pengetahuan mereka tentang budaya bangsa-bangsa lain yang terdapat di Malaysia. Dalam bentuk inilah bidang seni lukis dapat berfungsi sebagai medium untuk meningkatkan kesedaran tentang kepelbagaian budaya di Malaysia. Namun sudah semestinya kerjasama dari pihak lain misalannya pihak sekolah dan guru diperlukan bagi mencapai objektif tersebut. Kanak-kanak serta pelajar juga boleh diberikan tugasan untuk menghasilkan sesuatu karya seni lukis yang mempamerkan ciri kebudayaan bangsa lain. Misalannya menerusi lukisan batik, motif-motif corak batik boleh dipelbagaikan dengan mengambil motif lukisan yang biasa diguna pakai oleh kaum lain seperti masyarakat peribumi di Sarawak. Pendedahan terhadap hasil karya masyarakat lain dapat memperkayakan lagi idea lukisan mereka di samping memberi mereka pengetahuan tentang budaya tersebut. Ini dapat memupuk minat mereka bukan sahaja untuk menghasilkan karya seni yang pelbagai tetapi juga mempelajari kesenian dan kebudayaan bangsa lain. Hal ini seterusnya dapat memberi kesedaran tentang pentingnya memelihara

khazanah budaya yang pelbagai dalam masyarakat majmuk di negara kita. Menurut Che Su dan Rosilah (2005), pendidikan di Malaysia perlu menitik beratkan aspek kebudayaan dan masyarakat kerana pelajar secara realitinya hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya. Tanpa pendidikan yang bercorak kepelbagaian budaya, pelajar tidak akan mengenali jati diri masyarakat. Ini kerana budaya merupakan sebahagian
16

daripada warisan yang diperturunkan dan dipelajari daripada nenek moyang dan perlu diwariskan pula kepada generasi akan datang. Sehubungan dengan itu juga, pendidikan menerusi seni lukis wajar mengambilkira hal tersebut. Tambahan pula seni lukis sememangnya mampu meningkatkan kesedaran tentang kepelbagaian budaya di dalam masyarakat Malaysia. Dengan memepelajari seni dengan lebih terperinci, individu akan dapat mengetahui bagaimana masyarakat pada zaman dahulu menghasilkan alatan dan bahan-bahan yang berbeza bagi meghasilkan lukisan. Sebuah lukisan atau gambar pada zaman dahulu dibuat hanya dengan menggunakan bahan seperti arang, kapur, dan sebagainya. Salah satu teknik melukis terkenal pada zaman prasejarah yang dilakukan orang-orang gua adalah dengan menempelkan tangan di dinding gua, lalu menyemburnya dengan kunyahan daun-daunan atau batu mineral berwarna. Masyarakat peribumi di Sabah dan Sarawak serta masyarakat orang asli di Semenanjung juga menggunakan pelbagai bahan semulajadi seperti getah pokok, daun-daun atau kulit pokok yang tertentu untuk menghasilkan warna yang digunakan dalam kebudayaan masing-masing. Dengan mempelajari seni lukis secara lebih mendalam dan mengaitkannya dengan kebudayaan yang pelbagai, kanak-kanak mahupun generasi muda yang lainnya akan lebih menyedari dan menghargai kepelbagaian budaya yang kita miliki sekarang. Samsudin (2009) telah melaksanakan kajian bertajuk Pendidikan Pelbagai Budaya: Komik Mat Som sebagai Bahan Bantu Mengajar. Komik ini boleh dikatakan sebagai salah satu hasil seni lukis yang dibuat dalam bentuk kartun. Menurut beliau, kartun boleh ditafsirkan sebagai sejenis lukisan yang mengisahkan hal-hal seharian secara berjenaka. Beliau telah memilih komik Mat Som karya Datuk Lat sebagai bahan kajian. Komik ini dihasilkan dengan tujuan mengetengahkan budaya hidup masyarakat Malaysia dan kepelbagaian budaya dipaparkan dengan jelas melalui watak-watak dalam komik ini yang mewakili semua kaum yang hidup dengan budaya masing-masing dan membentuk entiti masyarakat Malaysia. Selain watak, unsure budaya setiap kaum juga dipaparkan secara langsung ataupun tidak langsung melalui gambaran ilustrasi dan dialog. Secara ringkasnya, dapatan kajian beliau menunjukkan bahawa komik ini berjaya memaparkan unsur kepelbagaian kaum di Malaysia yang melambangkan latar masyarakat majmuk di Malaysia. Pelbagai budaya masyarakat seperti dari segi pakaian, pekerjaan dan upacara agama dapat diketahui menerusi komik ini.

17

Kajian Samsudin ini jelas menunjukkan bahawa menerusi seni lukis, kanak-kanak serta setiap anggota masyarakat boleh mengetahui tentang budaya orang lain seterusnya meningkatkan kesedaran tentang kepelbagaian budaya yang menjadi keistimewaan negara kita. Kesedaran ini dapat melahirkan rasa kecintaan terhadap negara di samping menghargai dan menghormati budaya-budaya lain yang wujud di sekeliling kita. Dalam konteks ini juga, perkembangan dan pembelajaran seseorang kanak-kanak itu tentunya akan lebih baik dan sempurna kerana merangkumi segenap aspek yang diperlukannya dalam kehidupan bermasyarakat. Bermula dengan seni lukis, banyak perkara lain yang boleh dipelajari oleh mereka. Secara keseluruhannya, tidak dapat dinafikan lagi bahawa seni lukis bukan sahaja menyumbang kepada perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak dalam pelbagai aspek tetapi juga mampu meningkatkan kesedaran generasi ini terhadap kepelbagaian budaya di negara kita. Oleh itu kita perlu lebih terbuka dan prihatin dalam mengambilkira peranan bidang seni dalam perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak.

18

BAB 3

PENUTUP

Bidang seni amat luas skopnya serta merupakan bidang yang sebenarnya mampu memberi sumbangan yang tersendiri kepada perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak. Kanak-kanak pula merupakan golongan yang istimewa yang bakal memimpin masyarakat pada masa hadapan. Tidak dapat dinafikan bahawa golongan kanak-kanak juga meminati bidang seni tidak kiralah seni lukis, tarian, drama, muzik mahupun pelbagai lagi cabang seni yang lain. Ibu bapa serta guru khasnya sebagai individu yang amat dekat dengan golongan ini wajar memberi perhatian terhadap minat anak-anak kepada bidang seni. Galakan dan bimbingan perlu diberikan agar kanak-kanak mampu menjadikan bidang seni yang mereka minati sebagai wadah yang positif dalam perkembangan dan pembelajaran mereka.

Seni lukis sebagai salah satu dimensi seni kreatif ternyata memberi sumbangan yang cukup besar dalam aspek perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak. Penglibatan kanakkanak dalam aktiviti seni lukis membolehkan perkembangan artistik kanak-kanak berada pada tahap yang lebih baik. Daya kreativiti kanak-kanak juga dapat dipupuk menerusi aktivti seni lukis. Pengetahuan mengenai kreativiti misalnya berkenaan intipati teori kreativiti Torrence pula dapat membantu ibu bapa, guru mahupun golongan dewasa lainnya untuk meningkatkan lagi keupayaan kanak-kanak mengembangkan potensi kreativiti mereka dalam seni lukis atau cabang seni yang lain. Pengetahuan tersebut sebenarnya amat berguna kerana menerusi aktiviti seni yang lebih komprehensif, perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak juga akan lebih sempurna.

Laura H. Chapman (1978) memperkenalkan tiga kaedah yang penting dalam penghasilan karya seni. Kaedah-kaedah tersebut ialah kaedah penjanaan idea, pengolahan dan pemurniaan, serta kemahiran menggunakan bahan. Proses-proses dalam penghasilan karya ini mempunyai fungsi tertentu yang boleh membantu perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak. Ini

19

membuktikan bahawa menerusi seni lukis, perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak dapat ditingkatkan kerana ia melibatkan proses-proses yang bermakna. Menerusi seni lukis juga, perkembangan psikologi kanak-kanak yang merangkumi aspek seperti kognitif, emosi, sensitiviti dan emosi dapat dipertingkatkan. Begitu juga perkembangan dan pembelajaran sosial mereka di mana seni lukis memberi peluang dan pendedahan untuk kanak-kanak memperbaiki skil komunikasi dan memberi pendedahan kepada mereka tentang aspek penyelesaian masalah.

Penglibatan kanak-kanak dalam seni lukis juga secara langsung ataupun tidak dapat meningkat kesedaran di kalangan mereka tentang kepelbagaian budaya yang wujud di negara kita, Malaysia. Pengetahuan dan kesedaran tentang kepelbagaian budaya ini adalah amat penting lebih-lebih lagi dalam masyarakat majmuk di negara ini. Ia dapat membantu mengekalkan serta mengukuhkan lagi perpaduan kaum yang telah sedia ada agar generasi pada masa hadapan masih dapat menikmati keharmonian yang dikecapi sekarang. Dalam kata lain, seni lukis tidak hanya melibatkan nilai estetika tetapi juga menyediakan ruang untuk kanak-kanak belajar mengenali jati diri bangsa dan masyarakatnya.

Secara kesimpulannya, amat jelas bahawa banyak aspek perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak yang boleh dipengaruhi oleh bidang seni. Bidang seni juga mampu menjadikan generasi muda celik budaya yakni bukan sahaja mengetahui budaya bangsa sendiri tetapi memahami dan menghormati juga budaya-budaya lain yang wujud di negara ini. Oleh yang demikian, kerjasama daripada pelbagai pihak amat diperlukan bagi memastikan peranan bidang seni terhadap perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak tidak dipandang mudah. Ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memastikan bahawa kanak-kanak pada masa kini dapat menjadi modal insan serta ahli masyarakat yang berkualiti serta cemerlang dalam segenap aspek kehidupan.

20

RUJUKAN

Chapman, L.H. (1978). Approaches in Art Education. New York: Harcourt Brace Jovanovich, Inc. Che Su Mustaffa & Rasilah Mohd Rosdi. (2005). Budaya Masyarakat Malaysia. Kedah : Penerbitan Universiti Malaysia Utara. Jas Laile Suzana Jaafar. (2002). Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Kamus Dewan ( Edisi keempat). Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka. Kohl, M.F. The Importance of Art in a Child's Development. Dipetik dari http://www.barnesandnoble.com/u/maryann-kohl-importance-of-art/379002442/. 12 Mac 2012.

Mok Soon Sang & Lee Shok Mee. ( 1986 ).Kurikulum Baru Sekolah Rendah, Tahap I, Siri Maktab Perguruan. Kuala Lumpur: Heinemann Malaysia Snd.Bhd. Prof. Dr. Haji Abdul Shukor, Badrul Isa, Khairezan Rahmat, & Zuraimi Zakaria. (2010). HBAE 1203: Perkembangan Seni Kanak-kanak. Open University Malaysia. Robert E. Slavin. (1997). Educational Psychology. Allyn and Bacon. Samsudin bin Suhaili. Pendidikan Pelbagai Budaya: Komik Mat Som sebagai Bnhan Bantu Mengajar. Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Woolfolk, A. (2005). Educational Psychology. Englewood Cliffs. New Jersey: Prentice Hall, Inc.

21

Vous aimerez peut-être aussi