Vous êtes sur la page 1sur 2

Abdul Rahman Al-Ghafiqi (Generasi Tabi’in)

Oleh : M Afzal Alias (ISMA Australia)

Nama beliau boleh dikatakan sinonim dengan peperangan Battle of Tours/Poitiers atau
lebih dikenali sebagi Balat as-Syuhada. Sebelum menyelusuri kisah Balat as-Syuhada ini,
marilah kita mengenali dengan serba ringkas tentang kisah hidup Abdul Rahman Al-
Ghafiqi.

Nama sebenar beliau adalah Abu Said Abdul Rahman ibn Abdullah ibn Bashir ibn Sarem
Al’Aki Al Ghafiqi. Beliau berasal dari kabilah Ghafiq di Yaman. Ketika zaman mudanya,
beliau merantau ke Ifriqiya (Tunisia), kemudian ke Maghribi dimana dia mengenali
gabenor-gabenor Andalusia. Di situlah bermulanya ketokohan beliau dalam sejarah
Islam.

Pada tahun 721M (103H), beliau telah dilantik untuk menjaga kawasan Timur Andalus.
Pada ketika itu, gabenor-gabenor Andalusia silih berganti kerana syahid di medan perang.
Akhirnya, pada tahun 730M (112H), Khalifah Hisham ibn Al-Malik (Zaman Khilafah
Ummaiyah) melantik beliau menjadi gabenor Andalusia.

Dengan tanggungjawab yang diberikan, Abdul Rahman mula mengorak langkah untuk
membebaskan tanah-tanah disekitar Andalusia daripada jahiliyyah. Dengan tentera dari
pelbagai bangsa dan negara, seperti Yaman, Mesir, Palestin, Lubnan, Syria dan Turki,
beliau mula memasuki Perancis dari Gaul ke Pergunungan Pyrenees, ke Bordeaux dan
seterusnya ke Tours/Poitiers. Disinilah tentera Abdul Rahman bertembung dengan tentera
Salib (Franks) yang diketuai oleh Charles Martel.

Peperangan ini berlangsung pada bulan Oktober 1732M (114H). Banyak yang tidak
diketahui tentang peperangan ini, seperti jumlah sebenar tentera kedua belah pihak, di
mana lokasi perang sebenar, dan berapa hari peperangan ini berlangsung. Tapi apa yang
pasti ialah syahidnya Abdul Rahman al-Ghafiqi di medan perang yang membawa kepada
kekalahan tentera Islam.

Apakah yang sebenarnya terjadi pada peperangan ini sehingga tentera Islam yang pada
ketika itu suatu kuasa terbesar dunia kalah kepada tentera salib yang berperang tanpa
kelengkapan yang sempurna? Ada dua sebab yang utama.

Pertama: Ketika peperangan masih berlangsung, sebahagian besar tentera islam mula
rambang mata melihat hasil rampasan perang. Melihat akan kekayaan dunia yang
melimpah ruah, fokus mereka telah beralih dari peperangan kepada harta benda dunia.
Abdul Rahman terpaksa mundar mandir dari medan peperangan ke kem tentera islam
menggesa tenteranya mengabaikan dahulu hasil rampasan perang itu dan meneruskan
peperangan. Tidak ramai yang menyahut seruan Abdul Rahman, dan pada ketika itulah,
diceritakan bahawa Abdul Rahman syahid dipanah pihak musuh.

Kedua: Setelah ketiadaan Abdul Rahman, jeneral-jeneral yang tinggal mula syura akan
siapa yang akan menggantikan Abdul Rahman sebagai amir. Oleh kerana tentera Islam
terdiri dari pelbagai kaum dan bangsa, pertelingkahan berlaku tentang siapa yang patut
menjadi amir. Masing-masing mahu orang dari bangsanya untuk menggantikan tempat
Abdul Rahman. Pertelingkahan ini berterusan sehingga diceritakan bahawa sehingga
keesokkan paginya, amir masih belum dilantik, lantas peperangan tidak dapat diteruskan.

Dapat kita lihat, pada peperangan ini akan kuatnya pengaruh dunia. Dikala suasana
kelam-kabut peperangan, manusia masih lagi dapat dipengaruhi untuk melebihkan dunia
dari syahid fi sabilillah. Apatah lagi kita, yang berada dalam suasana yang aman dan
selesa. Ingatlah sahabat-sahabat sekalian, apabila kita mula tunduk kepada dunia, telah
tewaslah kita. Sepertimana tentera Abdul Rahman yang telah tunduk kepada dunia,
tindakan mereka itu telah membawa kepada kekalahan di medan perang. Jika kita masih
leka bersama komputer kita dirumah, masih suka berehat-rehat di rumah, dan tidur diatas
katil kita yang empuk… barangkali lama lagi kemenangan itu akan tiba. Tidak dikatakan
disini bahawa benda-benda/harta-harta itu tidak perlu.. memang ia perlu.. tapi kita perlu
tetapkan prioriti kita, tetapkan fokus kita.

Kita juga dapat lihat akan kepentingan persefahaman dan ukhuwwah sesama mukmin.
Tentera islam pada ketika itu barangkali lupa bahawa mereka semua adalah satu umat,
yang berpegang pada satu aqidah yang sama, bersatu diatas kalimah La ilaha ilallah tanpa
mengutamakan satu kaum dari satu kaum yang lain. Jika mereka kembali kepada Al-
Quran dan As-Sunnah tentang bagaimana memilih amir, mungkin mereka tidak akan
bertelingkah. Dalam situasi kita pula.. kita semua mungkin berasal dari rumpun yang
sama dan bercakap bahasa yang sama. Namun begitu, terdapat juga perbezaan antara kita
seperti latar belakang keluarga, tarap pendidikan, tarap ekonomi keluarga dan
sebagainya. Perbezaaan ini, tidak boleh kita jadikan hujjah tentang siapa yang lebih baik
diantara kita. Yang membezakan antara kita hanyalah taqwa kita kepada Allah. Sesiapa
yang lebih bertaqwa itu lebih mulia dan lebih dekat darjatnya disisi Allah. Oleh itu, kita
tidak boleh sama sekali bertelingkah diatas perkara-perkara yang remeh seperti perbezaan
kulit, keturunan, warna, bahasa, dan budaya. Kita semua adalah satu umat selagimana
kita mengucapkan syahadah dan beramal dengannya.

Vous aimerez peut-être aussi