Vous êtes sur la page 1sur 3

Apakah Penyembuh Kekalutan Kita?

lundi 16 février 2009, à 08:24


Banyak email yang dihantar kepada saya mengadu betapa tenatnya perasaan melihat apa yang
sedang bergolak dalam negara kita. Ada yang kata dia sesak nafas memikirkan hal umat
Islam di negara kita. Ada yang menyatakan dia sudah malas nak fikir lagi. Ada yang kata dia
rasa tertipu dengan sikap para pemimpin politik yang dia sokong. Ada yang bertanya
penyelesaian dan berbagai lagi.

Jika kita ada penyakit, kita tidak patut mengubati apa yang kita nampak sahaja. Kita perlu
ubati akar atau punca penyakit tersebut. Jika tidak, ia akan menyerang semula. Mengetahui
punca asal penyakitnya, jika pun kita tidak dapat menyelesaikannya akan menjadikan kita
sentiasa beringat di masa hadapan, atau memboleh kita mengingati generasi yang akan datang
bahawa „Mencegah Lebih Baik Dari Mengubati‟.

Kekusutan yang berlaku pada hari ini, apakah ia baru bermula semalam, atau sudah bertahun
lamanya? Barah yang kelihatan boleh membunuh pada hari ini, apakah baru muncul ketika
doktor berjaya mengesannya, atau sudah bertahun lamanya? Banyak penyakit itu gagal
diubati disebabkan hanya pada sangat akhir ketika sudah benar-benar nazak, baru datang
berjumpa perawat. Bukan tidak boleh, tetapi penyelesaian yang lengkap akan sukar untuk
diperolehi.

Ya, banyak perkara dalam hidup kita, Islam hanyalah dirujuk ketika saat gawat. Ini seperti
mereka yang berumahtangga, Islam mencadangkan pakej yang lengkap bermula dari ciri-ciri
dalam memilih pasangan, mudahnya urusan perkahwinan, kehidupan dengan disiplin agama,
tanggungjawab suami, isteri dan anak-anak, hukum-hakam nusyuz sehinggalah kepada bab
talak apabila ternyata rumahtangga tidak lagi membawa kebaikan.

Malang sekali bagi pasangan muslim jika hanya merujuk kepada hukum Islam ketika ketika
hendak bernikah dan hendak talak sahaja. Sepanjang perjalanan rumahtangga; bermula dari
masa memilih pasangan, hukum-hakam syarak dalam rumah tangga, tanggungjawab
mendidik anak isteri dengan ajaran Islam dan berbagai lagi tidak pernah dipedulikan. Hanya
bertanya: “Apakah penyelesaian segera Islam bagi rumahtangga saya yang tidak aman?”.
Bagaimanakah dia inginkan penyelesaian segera, sedangkan dia telah biarkan barah itu
merebak sekian lamanya?

Masalah politik dalam negara kita juga sama. Ia tidak bermula pada krisis semalam, atau
kelmarin. Namun ia bermula dari prinsip, tingkah laku dan perjalanan yang sudah berusia tua.
Apakah sistem politik yang kita anut selama ini benar-benar diletakkan atas prinsip Islam?
Kita juga patut bertanya; bilakah politik permusuhan dan kebencian secara meruncing itu
disemai? Apakah puncanya, sehingga „ukhuwwah‟ parti, melebihi ukhuwwah Islamiyyah
yang diajar oleh Allah dan RasulNya. Permusuhan politik di peringkat kampung sehingga ke
bandar sering memperlihatkan kerakusan kuasa dan ketaksuban parti yang kedua-duanya
adalah menyanggahi prinsip Islam yang kudus.

Seterusnya, hilangnya kepercayaan kepada orang-orang politik, bermula bila? Saya secara
peribadi melihat ramai pemimpin politik berjawatan dalam negara kita ini sombong lagak dan
tingkahnya. Lebih buruk lagi, apabila „kerja-kerja salah‟ mereka menjadi bahan perbualan
umum. Sehingga hilangnya kepercayaan rakyat itu, bukan kepada mereka, ter„mangsa‟
sistem-sistem lain termasuk mahkamah dan polis.
Parti pemerintah bukan tidak boleh diubati, tetapi perlu ada kesungguhan dalam membuang
segala unsur barah yang bersarang ditubuhnya sekalipun barah itu berupa orang besar. Jika
tidak, generasi baru akan terus prajudis yang tiada hentinya.

Dalam banyak keadaan, manusia hilang prinsip dalam politik. Perkara yang diharamkan
semalam, mungkin dihalalkan hari ini. Lompat parti umpamanya, haram dan halalnya pada
orang politik parti berdasarkan untung rugi politik kepartian. Sistem Beraja juga demikian,
apabila ia menguntungkan, ia disanjung, apabila sebaliknya ia dikeji. Begitu juga politik
wang, halal dan haramnya diukur berdasarkan siapa yang beri?

Berkawan dengan „parti kafir‟ juga serupa, kufur dan islamnya bukan diukur dengan dasar
yang dipegang, tetapi siapa yang mereka berkawan? Jika kita berdasarkan prinsip dari awal,
kita sentiasa akan istiqamah dalam memutus semua perkara berdasarkan prinsip. Kita akan
bertanya; dari segi prinsip „apakah melompat parti itu memenuhi akhlak mulia yang diajar
oleh Islam? Apakah wang yang mengikis ketelusan itu diizinkan oleh syarak? Apakah Sistem
Beraja atau segala adat-istiadat Beraja itu diajar oleh Islam sedemian rupa? Banyak lagi
perkara yang boleh dibangkitkan. Jika benar hendak menilai, kita mesti menilainya dengan
bebas dan hanya bergantung kepada Allah.

Saya dukacita melihat kadang-kala pertelingkahan politik telah mengikis akhlak dan nilaian
Islam dalam jiwa kita. Dalam dunia internet, maki-hamun, carut-marut dan sumpah-seranah
menjadi mainan dan hiasan para penyokong aliran-aliran politik. Lebih mendukacitakan,
apabila perbuatan keji seperti itu menggunakan nama Islam. Tercemarlah kemuliaan agama
ini atas kegelojohan berpolitik.

Saya membaca komen-komen penyokong parti tertentu mengenai kenyataan Mufti Perak
Dato Seri Harussani Zakaria yang melarang rakyat menentang keputusan Sultan Perak.
Komen-komen itu penuh dengan carutan dan makian yang tidak tergamak untuk kita baca.
Ya, bagi saya sendiri banyak pandangan dan pendapat Mufti Perak berkenaan yang saya
kurang setuju. Namun, memaki hamun dan mencarut kepada seseorang yang ada
sumbangannya yang tersendiri bukanlah akhlak yang diajar oleh Islam.

Malangnya, saya juga pernah melihat rakaman seorang pemimpin politik di Pahang yang
membuat isyarat lucah ketika kempen pilihanraya. Demikianlah, perangai orang atasan
menjadi contoh buruk kepada rakyat bawahan. Dalam hadis al-Imam al-Bukhari daripada
Anas bin Malik r.a. katanya:

“Bukanlah Nabi s.a.w itu seorang pemaki orang, tidak juga seorang pengucap kekejian dan
bukan seorang pelaknat orang lain”.

Melihat kepada masalah-masalah yang seperti ini, membawa kita insaf bahawa ada dua
perkara yang memerlukan perubahan dalam negara kita. Pertama; melihat semula segala
dasar dan sistem yang dipakai dalam negara ini; sejauh manakah itu semua memenuhi
prinsip-prinsip yang ditegaskan oleh Allah dan rasulNya.

Kedua; kembali mentarbiah kaum muslimin; pemimpin dan rakyat agar berdisiplin dalam
prinsip, amalan dan akhlak selaras dengan ajaran Allah dan rasulNya. Maksudnya hendaklah
dilakukan penegakan Islam di peringkat dasar dan penghayatan. Dengan syarat, tafsiran Islam
itu mestilah atas keikhlasan dan ilmu yang bebas dari kepentingan parti dan politik tertentu.
Saya menyeru kepada para pejuang perubahan, semoga apa yang berlaku menginsafkan kita,
betapa kita perlukan Islam yang tulen yang merdeka dari kepentingan puak, adat, bangsa,
parti dan seumpamanya. Hanya kembali kepada Allah dan rasulNya. Inilah perkara yang
pernah disebut oleh al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani r.h:

“Bilamana menjadi sesuatu yang putus bahawa “Sesungguhnya al-Din di sisi Allah ialah
Islam”, maka sesungguhnya tidak mungkin dapat difahami apa yang dikehendaki Allah
melainkan dengan perantaraan RasululLah. Sesungguhnya tiada jalan kita sampai kepada
baginda melainkan melalui pengetahuan mengenai sunnah baginda. Pula tiada jalan kepada
sunnah baginda melainkan dengan ilmu hadis. Justeru itu menjadi kewajipan ke atas kaum
muslimin, samada pemerintah atau rakyat, pendakwah atau yang didakwah, beriman bersama
kita bahawa tiada jalan terlaksananya apa yang kita seru kepadanya iaitu perlaksanaan
keadilan dan keamanan, menegakkan hukum Allah di atas muka bumi kecuali dengan
berdakwah kepada sunnah dan mengamalkannya, juga mentarbiah kaum muslimin
dengannya. Bukan dengan hukum-hakam dunia, undang-undang ciptaan manusia,
pandangan-pandangan individu dan pegangan-pegangan kepartian. Itu semua menjadikan
umat semakin berpecah dan jauh dari matlamat yang dituju” (Al-Albani, Sahih al-Adab al-
Mufrad m.s. 8-9 Saudi: Dar al-Sadiq)

Vous aimerez peut-être aussi