Vous êtes sur la page 1sur 7

AL FARABI

Al Farabi atau nama sebenarnya, Abu Nasr Muhammad Ibnu Ibnu Muhammad Tarkhan Ibnu Uzlaq Al Farabi. Beliau dilahirkan di Wasij dalam daerah Farab di Turkestan pada tahun 872 Masihi bersamaan tahun 260 Hijrah.. Al Farabi di sandarkan sempena nama tempat tersebut iaitu Farab. Bapanya merupakan seorang komanden tentera Turki. Beliau telah berpindah ke Baghdad dan telah mempelajari Bahasa Arab di sana di bawah pimpinan Ali Abu Bakar Muhammad Ibn alSariy. Selepas beberapa lama di sana beliau telah berpindah ke Damsyik dan seterusnya ke Halab. Semasa hidupnya beliau amat bersederhana, tidak gilakan harta dan tidak cintakan dunia. Beliau lebih menumpukan perhatian untuk mencari ilmu, daripada mencari kekayaan dunia. Beliau merupakan seorang ilmuan yang cukup terkenal pada zamannya dan mampu menguasai pelbagai bahasa. Kemampuan Al Farabi bukan sekadar itu sahaja, malah beliau merupakan seorang yang memiliki ilmu pengetahuan yang mendalam dalam pelbagai pelbagai bidang seperti perubatan, sains, matematik, muzik dan juga sejarah. Namun begitu keterampilannya lebih menonjol dan terkenal dalam bidang falsafah. Kehebatannya dalam bidang falsafah mengatasi ahli falsafah islam yang lain seperti al-Kindi dan Ibnu Rushd. Beliau telah kembali ke rahmatullah semasa berumur 80 tahun, pada tahun 950 masihi. Al-Farabi menulis kesemuanya karyanya di dalam Bahasa Arab. Di sebabkan penulisan tokoh ini meluas mencakupi bidang yang berbagai, maka ramai sarjana moden yang cuba mengenal pasti bentuk serta pola penulisannya serta titik asas kemiripan intelektualnya dengan mengklafikasikan ke dalam kumpulan-kumpulan tertentu. Pembahagian penulisannya lebih bermakna jika pembahagian itu menuruti pembahagian ilmu yang dikemukakan sendiri oleh alFarabi di dalam kitab ihsa al-ulum. Di dalam Ihsa al-ulum, al-Farabi telah mengklasifikasikan berbagai-bagai cabng ilmu kepada lapan kumpulan utama; ilmu nahu dan linguistik, ilmu logik, ilmu matematik, ilmu fizik, ilmu metafizik, ilmu politik, ilmu fikah dan ilmu kalam. Bidang fikah mendapat catatan yang paling pendek di dalam perbincangan al-Farabi tentang cabangcabang ilmu di dalam kita.

Matlamat Pendidikan Menurut Al Farabi

Bagi Al Farabi, pendidikan merupakan suatu yang mesti diperjuangkan. Semasa hidup dizamannya didapati masih lagi terdapat kaumnya yang masih lagi berpegang pada mitos, tahyul dan sebagainya yang tidak dapat diterima akalnya. Baginya pendidikan merupakan suatu yang wajib dipelajari. Bermula dari itulah beliau telah melahirkan satu idea tentang pendidikan dengan berpandukan dari ahli falsafah yang lepas iaitu Plato dan juga Aristotle. Beliau telah memperkenalkannya metod pendidikannya dengan bertujuan untuk membawa keluar bangsanya dari pandangan sempit dan berjaya untuk hidup dalam keadaan realiti yang sebenar. Tujuan utama pendidikan baginya adalah untuk mencapai kesempurnaan hidup dengan gaya hidup yang sempurna dan mempunyai nilai moral yang tinggi berlandaskan Islam. Bagi mencapai tujuan ini, seseorang mestilah mempunyai sikap keberanian dan keterbukaan untuk menerima perubahan. Beliau menegaskan bahawa, pendidikan bertujuan untuk mempersiapkan manusia sebagai anggota yang bersiap sedia untuk terjun kedalam masyarakat. Iannya haruslah bermula semenjak dari kecil sehinggalah ke dewasa. Sekiranya pendidikannya sempurna maka ia akan melahirkan insan yang sempurna. Menurut beliau pendidikan semacam ini amat penting untuk membentuk jiwa manusia seterusnya dapat melahirkan manusia yang berjiwa kental, mempunyai kesempurnaan yang tinggi. Al Farabi berpendapat untuk mencapai kesempurnaan hidup dengan gaya hidup yang sempurna dan bermoral tinggi, maka pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk sahiah individu. Baginya tanpa pendidikan perkara ini tidak akan tercapai. Beliau berpendapat pendidikan memainkan peranan penting dalam mendisiplinkan seseorang. Ini kerana hidup tanpa disiplin akan membuatkan seseorang atau sesebuah masyarakat akan hidup tanpa had sempada dan menyebabkan mereka boleh melakukan apa sahaja tanpa batasan. Dengan wujudnya disiplin seseorang itu akan dapat melatih diri mereka untuk hidup dengan landas-landas yang telah ditetapkan.

Pendidikan juga bertujuan untuk melatih diri seseorang atau sesebuah masyarakat, dalam mengharungi kehidupan di dunia ini untuk mencapai kesempurnaan hidup. Pendidikan juga bertujuan untuk membimbing dan juga mengajar seseorang dalam mengenal hakikat kehidupan yang sebenar. Tanpa pendidikan seseorang itu akan sesat dialam nyata dan juga akan kegelapan di dalam kehidupan. Menurut pendapatnya seseorang itu tidak akan dapat berdiri dengan sendiri, melainkan ianya mendapat bimbingan dan tunjuk ajar dari orang lain. Selain itu Al Farabi juga menekankan bahawa pendidikan juga bermatlamat untuk menaksir dan juga mengasuh individu. Dalam mentafsir, tanpa ilmu dan pendidikan manusia tidak akan dapat menafsir sesuatu dengan betul. Begitu juga denga asuhan, manusia di asuh untuk agar dapat menjadi insan yang sempurna. Menurut Al Farabi pendidikan amat penting untuk semua manusia tanpa mengira bangsa, ini kerana tanpa pendidikan manusia tidak akan mampu mencapai kebahagian dan kesempurnaan yang diidam-idamkan.

Kurikulum Mengikut Al Farabi Pendidikan, menurut Al-Farabi, harus menggabungkan antara kemampuan pembelajaran dari segi teori yang mampu diaplikasikan dengan tindakan yang yang dipraktikkan dengan betul. Beliau berpendapat, kesempurnaan manusia, terletak pada tindakannya yang sesuai dengan teori yang difahaminya. Sebagaimana diketahui bahawa pendidikan dalam Islam mempunyai martabat yang suci dan penting sekali dan ia menjadi bahagian yang tidak dapat dipisahkan dari Islam kerana merupakan tuntutan dan kewajiban. Dalam pandangan Islam mencari ilmu dan mengajarkannya adalah suatu kewajiban yang sangat mulia, oleh itu mencari ilmu adalah suatu kewajiban bagi setiap muslim. Lebih tegas lagi, Islam mewajibkan bagi setiap orang muslim dan muslimat untuk menuntut ilmu. Al Farabi menekankan akan kepentingan Pendidikan Islam dengan tumpuan kepada Fiqh ( Jurisprudence), Qanun (undang-undang Islam) dan juga ilmu kalam atau teologi. Kurikulum dalam pendidikan al-Farabi disusun sedemikian rupa dan dari yang senang kepada yang rumit atau dari yang umum kepada yang abstrak. Kurikulum awal pendidikan tersebut adalah bahasa, kemudian dilanjutkan dengan logika, matematik, ilmu alam, ilmu politik, fiqh, hukum, dan teologi (kalam) . Dengan urutan kurikulum yang semacam ini, diharapkan anak

didik mampu berkembang dengan penuh kesempurnaan imannya. Ia akan menguasai ilmu yang ada di dunia ini namun ia tidak akan lupa kepada pencipta ilmu tersebut. Bahasa merupakan bahagian yang amat penting dalam kurikulum menurut al Farabi. Beliau menegaskan bahawa pembelajaran mestilah bermula dengan susunan dan struktur bahasa itu sendiri seperti tatabahasa dan seterusnya. Ini kerana jika seseorang yang tidak dapat menguasai bahasa, maka dia tidak akan dapat memahami akan sesuatu dan mereka tidak akan dapat memajukan diri mereka. Ini kerana tidak dapat dinafikan lagi bahawa penguasaan bahasa adalah asas untuk semua jenis ilmu pengetahuan yang lain. Menyedari akan kepentingan ini, beliau telah menitik beratkan akan pendidikan bahasa. Selepas bahasa Al Farabi menekankan pula pada ilmu mantiq ataupun ilmu logik sebelum kepada ilmu-ilmu yang lain seperti matematik, sains, musik dan juga seni. Ilmu mantik atau logic amat penting untuk menguasai ilmu sains dan matematik. Menurutnya bahasa wajib dikuasai sebelum penguasaan ilmu-ilmu lain, tetapi ilmu logic atau mantic adalah satu jalan atau kaedah untuk menguasai bahasa. Kurikulum seterusnya menurut Al Farabi, tentang matematik dan juga sains. Setiap orang wajib mempelajari matematik sebelum dapat menguasai ilmu sains. Menurut beliau sesiapa yang ingin mempelajari seni yang berasaskan teori mesti menguasai ilmu matematik terlebih dahulu, yang dimulai dengan nombor dan diikuti dengan pengukuran. Selain dari itu, dasar kurikulum Al Farabi juga menyelitkan pendidikan muzik dan juga seni. Menurut beliau kedua-dua ilmu ini amat penting untuk seseorang. Seseorang akan dapat menjelaskan perasaan, pandangan dan juga kritikan melalui muzik dan juga seni. Menurut Al Farabi, orang yang bijak adalah mereka yang mahir dalam bidang seni dan muzik. Peranan Guru dan Kaedah Pengajaran Menurut Al Farabi Al-Farabi menggunakan pelbagai istilah untuk menerangkan konsep pendidikan yang secara tak langsung merupakan peranan seorang guru. Baginya tujuan pendidikan ialah untuk mendisiplin (tadib), melatih (tahdhib), membimbing (tasdid), mengajar (talim), mengasuh (tarbiya), dan menaksir (taqwim). Tugas guru ialah untuk mendidik pelajar ke arah mencapai kebahagiaan dan keseumpurnaan (bermoral tinggi) kerana manusia dicipta untuk tujuan ini.

Menurutnya guru bukanlah orang yang sembarangan, guru mestilah orang yang mempunyai akhlak dan moral yang tinggi dan tidak mementingkan akan harta dunia sematamata. Seorang guru mestilah penuh dengan sifat qanaah dan sentiasa ingin mencari kebenaran. Seorang guru juga mestilah ikhlas dan secara sukarela untuk menyampaikan ilmu. Seorang guru juga menurutnya mestilah menunjukkan kefahaman yang mendalam tentang ilmu yang hendak disampaikan atau yang hendak diajar. Guru juga mesti bijak memainkan peranan dalam apa jua situasi sekalipun agar apa yang diajarkan dan disampaikan mudah difahami dan di kuasai oleh muridnya. Menurut Al Farabi lagi, seorang guru tidak boleh terlalu berkeras dalam memberi hukuman kepada pelajar. Ini kerana perihal tersebut akan menimbulkan rasa benci dikalangan pelajar. Sebaliknya guru sepatutnya pandai menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan pelajarnya. Jika terlalu berlembut pula, menurutnya akan membuatkan pelajar kurang memberi tumpuan dan pemerhatian kepada pelajaran. Oleh itu beliau menekankan agar guru bersederhana dalam semua aspek sama ada dalam memberi hukuman dan juga tegas semasa mengajar. Seterusnya kepentingan menilai hasil pembelajaran. Beliau menyarankan agar guru

mestilah menilai hasil pembelajaran dengan bertujuan untuk menilai kebolehan pelajar dan juga tahap pencapaian pelajar dalam sesuatu bidang yang dipelajari olehnya. Padanya tugas seorang guru amat rumit, namun ianya merupakan tugas yang amat besar dalam membentuk dan mendisiplinkan seseorang yang berguna kepada masyarakat dan seterusnya manpu menjadi pemimpin untuk memajukan Negara. Metod atau kaedah pengajaran pula Al Farabi menekankan pada dua metod atau kaedah utama. Pertama metod atau kaedah demontrasi dan satu lagi kaedah memujuk. Kaedah demontrasi menurutnya memerlukan guru bercakap dan mengutarakan persoalan untuk menyampaikan pengetahuan. Manakala pelajar pula digalakkan untuk mengeluarkan pendapat dan berdailog dalam situasi-situasi yang tertentu. Menurutnya melalui kaedah ini pelajar akan dapat memperolehi pemahaman yang sebenar tentang sesuatu perkara. Kaedah ini memerlukan penjelasan dari guru sebelum meminta pelajar memberikan pendapat melalui perbincangan berdailog dan sebagainya. Manakala bagi kaedah memujuk pula guru perlu mempengaruhi pelajar untuk memujuk mereka. Kaedah ini tidak memerlukan kepastian tentang pengetahuan yang ada pada seseorang.

Selain dari dua kaedah ini terdapat beberapa kaedah lain yang ditekankan oleh Al Farabi seperti kaedah huraian, perbandingan atau banding beza, perkaitan dengan sesuatu, kesimpulan pemilihan penyelesaian masalah, inkuiri penemuan dan sebagainya. Walaupun terdapat kaedah yang diutarakannya diambil dari pendapat Plato namun ianya telah disuaikan dengan kehendak masa dan juga kehendak Agama Islam. Untuk mencapai kesempurnaan dalam melaksanakan kaedah-kaedah yang telah diutarakan, Al Farabi menekankan pada kebiasaan dan pengulangan. Ini kerana jika seorang pelajar sentiasa mengulang-ulang sesuatu perkara, akan menjadi kebiasaan baginya dan membolehkan pelajar memahami kandungan pelajaran yang disampaikan oleh guru. Pada pendapatnya untuk mengubah orang yang degil atau keras kepala, kaedah pengulangan dan kebiasaan ini amat di perlukan, dengan mengajak mereka membiasakan diri dengan berfikir dan betingkah laku yang baik akan dapat memujuk mereka kembali ke jalan yang sebenarnya. Al-Farabi menggunakan pelbagai istilah untuk menerangkan konsep pendidikan yang secara tak langsung merupakan peranan seorang guru. Baginya tujuan pendidikan ialah untuk mendisiplin (tadib), melatih (tahdhib), membimbing (tasdid), mengajar (talim), mengasuh (tarbiya), dan menaksir (taqwim). Tugas guru ialah untuk mendidik pelajar ke arah mencapai kebahagiaan dan kesempurnaan (bermoral tinggi) kerana manusia dicipta untuk tujuan ini.

Rujukan Rujukan Abd. Rahman Hj. Abdullah (2005). Wacana Falsafah Ilmu : Analisis Konsep-konsep Asas Falsafah dan Falsafah Pendidikan Negara. Kuala Lumpur : Utusan Publications. Abdul Rahman dan Zakaria Kasa (1986). Falsafah dan Konsep Pendidikan (Edisi Ketiga). Serdang : Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd. Azizi Jaafar (2009). Aliran-Aliran Falsafah Pendidikan, diambil pada 7 April, 2012, daripada http://abuakhyar1.blogspot.com/ Mok Soon Sang (2004). Ilmu pendidikan untuk KPLI. Edisi Ketiga. Kuala Lumpur : Percetakan Seasons Sdn. Bhd Mok Soon Sang (2010). Falsafah dan Pendidikan Di Malaysia. Selangor : Multimedia Marketing Sdn Bhd. Mok Soon Sang (2012). Falsafah dan Pendidikan di Malaysia (Edisi Ketiga). Selangor : Penerbitan Multimedia Sdn Bhd.

Vous aimerez peut-être aussi