Vous êtes sur la page 1sur 8

EPL 311 PENGANTAR LINGUISTIK

1 | P a g e


1. Pengenalan


Menjelang abad ke 21 Bahasa Melayu mula dilanda bahasa SM atau sistem pesanan
ringkas yang dilihat mencabar keutuhan bahasa Melayu untuk terus relevan dan lestari.
Bahasa SMS merupakan kod bahasa yang digunakan dalam telekomunikasi internet- telefon
bimbit serta telefon pintar. Bahasa terdiri daripada kod teks yang diringkaskan dan piktograf
( simbol, smiley dan emotikon) bagi menyampaikan mesej dalam konteks komunikasi secara
tidak formal.
Kewujudan bahasa SMS pada era teknologi maklumat masa kini telah menambah seri
perkembangan bahasa Melayu.Input baharu dalam bahasa SMS tidak menjejaskan keutuhan
bahasa Melayu malahan menjadikan bahasa Melayu berkembang dan relevan dalam
telekomunikasi moden.
Bahasa SMS semakin popular dalam kalangan kita. Hal ini ekoran daripada
perkembangan teknologi yang pesat. Seterusnya, penggunaannya menjadi gaya hidup
masyarakat kita pada hari ini. Penggunaan bahasa SMS juga menjadi satu fenomena
terutamanya dalam kalangan remaja. Penggunaan bahasa singkatan SMS turut mempengaruhi
kehidupan dan urusan harian mereka terutama dalam pelajaran. Bahasa SMS ini diringkaskan
dan dicampur aduk sehingga hilang ejaan, struktur ayat, kosa kata dan sebagainya.
Perbahasan mengenai sama ada bahasa dan SMS merosakkan bahasa baku atau tidak
telah berlaku sedekat lalu dan kesimpulannya tidak semua bahasa SMS merosakkan bahasa
Melayu dalam komunikasi tidak formal. Bahasa SMS hanya bersifat sementara sehingga
teknologi yang ternyata berubah begitu pantas itu mampu menawarkan khidmat pesanan
ringkas yang membenarkan pengguna menulis dengan nahu bahasa yang betul sahaja.
Oleh yang demikian, satu kajian telah dijalankan oleh Encik Tay Meng Guat,
Pensyarah Jabatan Pengajian Bahasa Melayu, Institut Perguruan Malaysia Kampus Batu
Lintang telah menjalankan kajian tentang penggunaan bahasa SMS dalam kalangan guru
pelatih dengan menggunakan 110 skrip SMS yang telah dikumpul oleh 22 orang responden
yang telah dipilih untuk menjayakan penyelididkan ini.





EPL 311 PENGANTAR LINGUISTIK
2 | P a g e


2. Tujuan dan Kaedah Pengumpulan Data Penyelidikan.
Secara amnya kajian ini cuba meneliti ciri-ciri linguistik penggunaan bahasa SMS
dalam kalangan guru pelatih dalam aspek morfologi khususnya dari segi bentuk dan
pembentukan kata. Tumpuan utama adalah tentang penggunaan kata dan ciri linguistik yang
terdapat dalam bahasa SMS yang digunakan oleh responden dalam menyampaikan
maklumat dan pesanan kepada penerimanya. Secara spesifik, kajian ini bertujuan untuk
meninjau menganalisis :
a. Bentuk dan pembentukan kata dalam bahasa SMS dari segi linguistik. Analisis dan
penelitian dari sudut bentuk perkataan dan ayat yang digunakan di dalam bahasa
SMS
b. Mengenalpasti jenis-jenis singkatan kata dalam bahasa SMS dari segi linguistik dan
jenis-jenis singkatan yang dicipta dalam bahasa SMS.
c. Ciri-ciri linguistik umum teks mesej SMS dan keunikan bahasa SMS yang
digunakan untuk menyampaikan maklumat bagi tujuan berkomunikasi.

Selain itu, kajian ini juga mengambilkira isu semasa yang menjadi kebimbangan
masyarakat hari ini terhadap bahasa SMS ini. Kesalahan nahu dan tatabahasa pelajar
dipecayai berada di tahap yang membimbangkan. Kewujudan telefon bimbit dan
peningkatan penggunaan SMS dalam komunikasi didapati telah memberi kesan terhadap
tahap penguasaan kemahiran menulis para pelajar. Pelajar dikatakan gemar menggunakan
perkataan ringkas, ayat mudah dan perbendaharaan kata yang terhad. Ini membuktikan
bahawa kepesatan teknologi telah memberi definisi baharu kepada makna dan cara kita
berkomunikasi. Bahasa yang menjadi medium komunikasi juga tidak terlepas dari kesan
penggunaan teknologi yang menyebabkan penyelidikan mesti dilakukan untuk membuktikan
kebenaran dan kesahihan masalah yang timbul daripada fenomena bahasa SMS ini.
Kajian penyelidikan telah dijalankan dalam bentuk tinjauan yang dilaksanakan
secara kualitatif deskriptif berdasarkan korpus teks mesej SMS autentik yang dikumpul
daripada guru pelatih. Responden kajian terdiri daripada 22 orang guru pelatih Program
Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Ambilan Januari 2011 pengkhususan Pemulihan
(Bahasa Melayu)/Matematik/Bahasa Inggeris di Institut Pendidikan Guru Kampus Batu
Lintang (IPG KBL). Sebanyak110 teks mesej SMS dikumpul dan dijadikan korpus kajian.
Data yang dikumpul dianalisis berdasarkan ciri-ciri linguistik yang terkandung dalam bentuk
kata dan kalimat atau ayat bahasa SMS berkenaan.
EPL 311 PENGANTAR LINGUISTIK
3 | P a g e


3. Dapatan Kajian
Hasil daripada kajian yang dijalankan, beberapa dapatan yang telah diperoleh, dirumus
dan dibincangkan. Dapatan hasil daripada kajian yang telah dibahagikan kepada bentuk dan
pembentukan kata, jenis-jenis singkatan kata dalam bahasa SMS dan ciri-ciri linguistik umum
teks mesej SMS.
3.1 Bentuk Dan Pembentukan Kata Dalam Bahasa SMS Dari Segi Linguistik.
Bentuk kata yang paling popular dalam teks SMS ialah bentuk singkatan. Kata
singkatan ini diterjemahkan ke dalam pelbagai bentuk yang dipendekkan. Sewaktu
menulisnya perkataan yang digunakan melalui beberapa proses yang berbeza seperti
pengguguran vokal atau konsonan, pengguguran vokal dan konsonan, pengguguran suku kata,
penggunaan homofon huruf, angka atau simbol bagi menggantikan sesuatu kata dan
penggunaan huruf awal.
Singkatan juga kerap digunakan dalam bidang tertentu untuk menggantikan
keterangan yang panjang.Di samping itu, penggunaan kata bahasa asing iaitu bahasa
Inggeris dan dialek dalam teks mesej yang dikaji juga dikenalpastikan dalam teks SMS
responden. Selain itu terdapat beberapa bentuk kata bahasa Inggeris yang dieja mengikut
sebutan bahasa Melayu seperti fri =free, kol =call dan studi =study. Penggunaan bentuk
kata bahasa slanga dalam kalangan guru pelatih dapat dilihat daripada ungkapan berikut :
kuak lntg (kuak lintang) untuk maksud tidur atau baring.
Bahasa SMS ialah bahasa yang digunakan untuk berkomunikasi secara tulisan melalui
saluran SMS, dan bahasa yang lazim digunakan ialah bahasa yang tidak baku atau bahasa
basahan. Bahasa ini dari aspek leksikalnya mempunyai unsur campuran antara bahasa
Melayu, bahasa Inggeris, dan bahasa daerah atau dialek. Singkatan dan gabungan kata turut
digunakan secara sewenang-wenangnya dalam bahasa SMS, seperti leh join (boleh
bergabung), yg cute (yang cantik), sume (semua), jer (sahaja), dan pastu (selepas itu). Selain
itu, huruf, angka dan simbol juga turut digunakan dalam SMS, seperti U (awak), I (saya), 4
(untuk), 2 (itu), @ (atau), dan $ (duit).
3.2 Jenis-Jenis Singkatan Kata Dalam Bahasa SMS Dari Segi Linguistik
Singkatan SMS ialah singkatan yang digunakan dalam penulisan SMS. Lazimnya,
dalam komunikasi tidak rasmi, singkatan yang digunakan ialah singkatan yang dibuat sesuka
hati bergantung pada kehendak atau keinginan pengguna SMS. Singkatan yang digunakan
juga biasanya akan dibuat sesingkat mungkin untuk disesuaikan dengan ruangan mesej.
EPL 311 PENGANTAR LINGUISTIK
4 | P a g e

Ciri linguistik yang paling ketara dalam wacana SMS ialah teks yang memaparkan
penggunaan bentuk singkatan yang sangat meluas serta bentuk ortografik bahasa yang non-
standard. Jenis-jenis singkatan yang wujud ialah singkatan lazim, singkatan keguguran vokal
atau konsonan dan singkatan lazim kolokial, kependekan, akronim, penggunaan huruf dan
angka, pengejaan yang berbentuk lisan atau non-konvensi dan klu paralinguistik. Singkatan
lazim merupakan singkatan perkataan dalam bahasa Melayu yang sudah diterima sebagai satu
konvensi sebagaimana yang terdapat dalam Kamus Bahasa Melayu terbitan Dewan Bahasa.
Penggunaan singkatan ini dapat dilihat melalui perkataan berikut : lwt =lewat, jgn =jangan,
dan, mcm =macam.
Singkatan keguguran vokal atau konsonan dikenalpasti dengan wujudnya perkataan
yang disingkatkan secara konsisten iaitu terdapat huruf vokal atau konsonan digugurkan oleh
pengguna. Pengguguran huruf vokal dan konsonan ini dilakukan sesuka hati sehingga
wujudnya pelbagai singkatan bagi satu perkataan yang sama dan kadang kala terdapat
beberapa perkataan disingkatkan dengan cara yang sama seperti brg =barang atau borang,
thn =tahun atau tahan. Fenomena pengguran huruf vokal dalam bahasa SMS bukanlah satu
yang baru. Dalam erti kata lain, pengguguran huruf vokal dalam bahasa SMS yang digunakan
secara tidak rasmi dan untuk tujuan komunikasi peribadi tidak boleh dianggap sebagai
merosakkan bahasa baku. Penggunaan huruf vokal sebenarnya bertujuan mengindahkan
bahasa dan membantu meningkatkan keberkesanan dalam komunikasi. Bayangkan jika tidak
ada huruf vokal seperti a, e, i, o. u, mungkin kita tidak dapat bezakan perkataan-perkataan
yang ditulis kecuali ditulis dalam konteks ayat yang jelas
Selain itu terdapat juga penggunaan perkataan yang berasaskan bahasa kolokial atau
bahasa basahan dan berbunyi keanak-anakan dalam bahasa SMS responden. Penggunaan
perkataan sedemikian besar kemungkinannya didorong oleh hubungan peribadi yang intim
antara pengguna. Mengikut Doring (2001) penggunaan singkatan dan akronim ini
menunjukkan identiti kolektif antara pengguna SMS berkenaan kerana kedua-dua pihak harus
mempunyai pengetahuan yang dikongsi bersama agar boleh saling memahami.
Responden juga cenderung menggunakan homofon huruf atau angka untuk
menggantikan seluruh kata seperti k untuk kakak, g untuk pergi, 2untuk tu,
o untuk atau, c untuk si, dan d untuk di. Kedapatan juga penggunaan huruf
atau angka yang menggantikan sesuatu suku kata. Misalnya xment untuk assignment,
chat untuk sihat. Penghantar SMS menggunakan singkatan penggunaan simbol, kod
atau perkataan dalam menghantar SMS untuk memudahkan mereka menaip teks SMS
tersebut dengan lebih cepat. Tambahan, singkatan, lambang, angka atau kod tertentu banyak
EPL 311 PENGANTAR LINGUISTIK
5 | P a g e

digunakan untuk menggantikan maksud sebenar dan kadang kala ayat yang ditulis bercampur
aduk antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, bergantung pada perkataan yang lebih
pendek supaya maksud yang disampaikan difahami oleh penerima SMS tersebut.
Penggunaan singkatan sebegini secara berterusan dan menjadi satu kelaziman akan
menyebabkan kita terbawa-bawa menggunakan singkatan tersebut dalam penggunaan rasmi
Bahasa Melayu yang boleh memberi kesan kepada bahasa kita. Pada hemat saya, tidak salah
untuk kita menggunakan ringkasan dalam penulisan SMS kerana ruang yang terhad tetapi
kita sebagai pengguna Bahasa Melayu perlu mengelakkan penggunaan bahasa SMS ini dalam
penggunaan bahasa secara rasmi atau formal. Selain itu juga, kita perlu memastikan bahawa
penerima SMS tersebut memahami ringkasan yang kita buat kerana jika ringkasan tersebut
tidak difahami dan kebetulan mempunyai maksud lain sama ada positif atau negatif yang
akan menyebabkan maksud SMS kita berubah.
3.3 Ciri-ciri linguistik umum teks mesej SMS
Penggunaan bahasa SMS dalam kalangan guru pelatih mengalami beberapa unsur
pengubahsuaian dari segi linguistik seperti penggunaan homofon huruf atau angka, sistem
pengejaan yang non-standard, pengguguran tanda baca, kurang penggunaan kata hubung dan
penggunaan huruf besar tanpa kawalan dari segi tatabahasa.
Perkara yang amat ketara ialah bahawa pihak interlokuter mengutamakan aspek apa
yang hendak dipertuturkan dan aspek bagaimana hendak dipertuturkan dalam maksim
perbualan. Dengan ruang yang terhad pada skrin telefon bimbit menyebabkan pengguna
SMS terpaksa meringkaskan kata dan menggugurkan vokal atau konsonan. Apa yang penting
ialah maklumat yang disampaikan difahami oleh penerima mesej tersebut.
Sebahagiaan besar ayat SMS adalah tidak koheren dan terpisah-pisah. Pengguna SMS
lebih mengutamakan kandungan mesej daripada bentuk komunikasi yang menyebabkan
wujudnya bentuk bahasa baharu. Sifat komunikasi melalui SMS yang secara interpersonal
ini melibatkan unsur pragmatik dan pengalaman yang dikongsi bersama dalam
penginterpretasian mesej antara pengirim dan penerima.
Kerencaman mesej teks SMS yang dikaji dapat digolongkan kepada dua kategori
utama iaitu mesej yang ringkas dan kompleks. Mesej yang ringkas mengandungi satu ayat,
klausa atau satu idea sahaja. Mesej-mesej tersebut adalah pendek, secara terus tanpa banyak
menggunakan tanda baca dan unsur tatabahasa. Sebaliknya mesej yang kompleks
mengandungi lebih daripada satu idea tetapi disampaikan dengan secara ringkas dan padat
tanpa tanda baca dan unsur tatabahasa yang tepat.
Unsur pencampuran kod merupakan salah satu unsur perlakuan linguistik
EPL 311 PENGANTAR LINGUISTIK
6 | P a g e

yang biasa dalam latar multilingual. Dalam konteks SMS, pencampuran kod tidak hanya
terhad kepada bahasa Inggeris dan bahasa pidgin tetapi juga meliputi kod yang dicipta oleh
pengguna sendiri untuk mengekspresi diri dalam situasi yang berbeza. Pengaruh leksikal
dimanifestasikan melalui pinjaman dan terjemahan. Kebanyakan perkataan daripada Bahasa
Inggeris digunakan untuk menyampaikan mesej dengan lebih tepat. Oleh itu, pengunaan kod-
kod ini dilihat tidak bersalahan dan tidak merosakkan bahasa baku. Begitu juga dengan
bahasa SMS yang ditulis dalam kod singkatan dan simbol yang digunakan untuk menghantar
mesej kepada individu tertentu dan bersifat peribadi. Oleh kerana mesej itu bersifat peribadi
dan bukan awam, maka bahasa SMS yang kelihatan bercampur aduk bahasa Melayu dan
Inggeris, salah nahu, struktur mahupun ejaan tidak boleh dihukum sebagai salah atau boleh
merosakkan bahasa kebangsaan.
Dalam komunikasi interpersonal yang informal ini penerima lebih mengutamakan
mesej atau maklumat. Teks mesej lazimnya mempunyai struktur yang ringkas, terputus-
putus, konkrit dan bergantung kepada referensi situasi. Terdapat kreativiti dalam mencipta
singkatan iaitu singkatan perkataan yang paling pendek, paling mudah ditaip dan paling
mudah dieja. Namun yang demikian, komunikasi ini boleh bersifat formal dan tidak formal.
Dalam konteks formal, mesej yang dihantar dalam SMS ditulis dengan ayat yang betul dan
baik mengikut nahu dan ejaaan rasmi. Sebaliknya dalam konteks komunikasi tidak formal,
lazimnya mesej dihantar melalui SMS dengan menggunakan kod singkatan dan simbol yang
kelihatan salah pada nahu dan ejaan. Sebab utama penggunaan kod singkatan dalam bahasa
SMS didorong oleh faktor penjimatan wang dan faktor kesegeraan dalam konteks komunikasi
tidak formal. Pada hakikatnya, dalam konteks komunikasi tidak formal, tidak salah kita
gunakan ayat dan ungkapan dalam ayat yang tidak lengkap, ayat yang tergantung, ayat yang
bercampur bahasa atau dialek sepertimana kita lakukan dalam perbualan harian kita secara
lisan. Bahasa perbualan ini dikenali sebagai bahasa slanga atau bahasa basahan.
Pengguna meringkaskan perkataan dengan menggugurkaan mana-mana vokal atau
konsonan sesuka hati dan penerima dikehendaki menginterpretasi gugusan vokal dan
konsonan yang diterimanya dengan menambah mana-mana vokal atau konsonan yang perlu
berdasarkan konteks kerana terdapat perkataan atau frasa yang menggunakan singkatan yang
sama.Tegasnya penggunaan bahasa SMS ini tidak menurut tatabahasa yang baku dan tidak
terdapat dalam kamus atau diterima oleh para akademik.



EPL 311 PENGANTAR LINGUISTIK
7 | P a g e

4. Kesimpulan
Penggunaan bahasa SMS yang tidak terkawal dan sewenang-wenangnya oleh
pengguna SMS terutamanya dalam SMS yang disiarkan di layar TV dan media sosial telah
melahirkan kebimbangan kepada ahli bahasa kerana gejala ini boleh memberi kesan terhadap
perkembangan bahasa Melayu. Sehubungan itu, risalah Panduan Singkatan Khidmat
Pesanan Ringkas (SMS) Bahasa Melayu (2008) yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP) diharapkan dapat dijadikan panduan dalam penulisan SMS standard,
terutamanya untuk SMS yang digunakan dalam situasi rasmi (seperti untuk menyampaikan
maklumat rasmi kepada pihak tertentu, baik kerajaan mahupun swasta dan orang yang
dihormati).
Penggunaan singkatan bahasa SMS sama ada menerusi telefon bimbit atau laman
sosial juga memberi impak yang besar kepada pelajar sehingga mereka terbawa-bawa dalam
penulisan seperti karangan atau jawapan dalam peperiksaan. Seterusnya, rasa cinta akan
bahasa dalam diri mereka semakin merosot kerana penggunaan bahasa SMS menjadi tabiat
dalam kehidupan seharian. Kebanyakan singkatan bahasa SMS terdiri daripada bahasa
Inggeris dan simbol tertentu. Justeru, masalah ini perlu diatasi dengan segera agar kualiti
bahasa Melayu dalam kalangan pelajar dapat ditingkatkan. Kesedaran diri dalam kalangan
pelajar sendiri sangat penting supaya mereka dapat menggunakan bahasa yang betul dan tidak
terpengaruh dengan bahasa singkatan SMS.
Meskipun penggunaan singkatan perkataan berlaku terhadap semua bahasa di dunia,
tetapi tidak menjadi masalah jika mereka dapat membezakan penggunaannya untuk tujuan
rasmi atau tidak. Usaha untuk mengelakkan kesan negatif bahasa rasmi oleh sms patut
dipikul oleh semua pihak, misalnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut memberi
khidmat nasihat bahasa, kursus, ceramah dan kempen kesedaran. Selain itu, penerbitan bahan
bacaan yang menggunakan bahasa rojak atau pasar perlu dihentikan kerana dikhuatiri
mempengaruhi remaja.
Akhir kata, kita sebagai pengguna bahasa harus menekankan keaslian penggunaan
Bahasa Melayu dalam perkara rasmi dan tidak terbawa-bawa dengan pengaruh bahasa rojak
seperti dalam SMS. Penggunaan singkatan dalam SMS boleh digunakan tetapi penggunaan
bahasa tersebut tidak sewajarnya diketengahkan dalam urusan rasmi agar sistem tatabahasa
Bahasa Melayu kita terus terpelihara.




EPL 311 PENGANTAR LINGUISTIK
8 | P a g e




RUJUKAN

Jabatan Bahasa.2008. Panduan Singkatan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS)
Bahasa Melayu. Dewan Bahasa & Pustaka. Kuala Lumpur.
Ari Kusmiatun. 2008. Style Bahasa Sms Ucapan: Sebuah Kajian Stilistika,
Pendidikan Bahasa & Sastra Indonesia. Indonesia.
Tay Meng Guat. 2011. Analisis Linguistik terhadap Penggunaan Bahasa SMS
dalam Kalangan Guru Pelatih. Jabatan Pengajian Melayu. Jurnal Penyelidikan IPG Kampus
Batu Lintang, Jilid 10.
Norizah Aripin. 2004. Pola Penggunaan Perkhidmatan Pesanan Ringkas dalam
kalangan Pelajar I nstitusi pengajian Tinggi. Penerbitan Universiti Putra Malaysia. Serdang.
M Jasni Majed. 2012. Minda: Bendung Bahasa SMS Dalam Urusan Rasmi, Akhbar
Mymetro.
Iqbal Nurul Azhar. 2010. Style Bahasa SMS, Jurnal METALINGUA, 2010, Vol 8,
No2.
Afiq Hanif. 2009. Singkatan Cemar Bahasa?. Harian Metro, 30 Januari 2009.

Vous aimerez peut-être aussi