Vous êtes sur la page 1sur 13

Bertitik tolak daripada keperluan mengisi kehendak

Falsafah Pendidikan Kebangsaan maka, kaedah pengajaran dan


pembelajaran di sekolah dipastikan memenuhi aspek
penggabungjalinan, penyerapan, penilaian, pengayaan dan
pemulihan. Kita semua maklum bahawa mata pelajaran Bahasa
Melayu adalah mata pelajaran yang wajib dipelajari oleh murid-
murid terutama di sekolah rendah sebagai langkah awal
mempercepatkan proses penyebatian perpaduan antara kaum
menerusi bahasa.

Bahasa Melayu, walaupun ditutur secara meluas oleh
kelompok kaum Melayu dan bukan Melayu, masih memerlukan
penambahbaikan dari segi penggunaan Bahasa Melayu Tinggi yang
tidak kedapatan di dalam bahasa rancu pertuturan harian
kita. Begitu juga dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran
Bahasa Melayu di sekolah, dari masa ke semasa memerlukan
penambahbaikan untuk memastikan ia berlangsung dengan seronok
di samping mencapai matlamatnya sebagai bahasa utama di
Malaysia.

Jean Piaget menegaskan murid-murid berumur 7 -11 tahun
berada di dalam tahap operasi konkrit di mana mereka sudah
membuka minda untuk bersosial iaitu berkawan, bermain dan
bergaul dengan rakan-rakan sebaya. Teori tahap ketiga ini
memungkinkan minda mereka penuh dengan kecurigaan dan sedikit
demi sedikit menguasai pemikiran logik. Begitupun, seadanya
kanak-kanak, perasaan mereka tidak terhindar untuk bermain dan
berseronok walaupun kesedaran berfikir secara egosentrik
semakin menipis.

Kabinet Malaysia pada 8 Julai 2009 telah memutuskan untuk
memansuhkan PPSMI dengan mata pelajaran Sains dan Matematik
kembali diajar di dalam Bahasa Melayu di sekolah kebangsaan pada
tahun 2012. Untuk melaksanakan pendekatan menguasai Bahasa
Melayu sebagai salah satu transformasi kurikulum di sekolah
rendah maka kaedah didik hibur diperkenalkan. Didik hibur
bermaksud mendidik dengan maksud mengajar atau memelihara tetapi
dengan cara yang menggirangkan dan menyenangkan hati. Secara
asasnya ialah adalah kaedah pengajaran dan pembelajaran santai
tanpa rasa tertekan oleh guru mahupun murid-murid di mana mereka
bebas berekspresi di dalam konteks pembelajaran dan pengajaran
bahasa Melayu yang mungkin meliputi unsur estitika, lakonan,
lelucon dan sebagainya.

Menurut (Amy 1964: Fagen), kanak-kanak bermain dengan
diarah oleh diri mereka sendiri tanpa mengambil kira tujuan
bermain. Ini menunjukkan betapa polosnya kanak-kanak yang
hanya mementingkan keseronokan bermain. Lalu, di sinilah
terselitnya cirri-ciri masukan didik hibur yang antaranya
mestilah ceria kerana berunsur kelakar walaupun tidak lari
daripada cakupan unsur pembelajaran bahasa seperti lakonan,
muzik, puisi dan lawak jenaka. Apabila kedapatan elemen-
elemen demikian, ia akan mengurangkan rasa cemas atau tidak
yakin murid-murid terhadap guru apabila sesi dipenuhi dengan
pelbagai aktiviti yang melibatkan kesemua murid. Guru
berperanan sebagai pemudahcara dan secara keseluruhannya
aktiviti dijalankan oleh murid-murid. Dengan itu, murid-
murid diharapkan dapat berinteraksi di dalam kumpulan dan
bereksperimen dengan wahana seperti nyanyian, lakonan, bacaan
berirama sebebasnya tetapi masih di dalam kawalan para guru.

Sebagai contoh, guru boleh memperdengarkan murid-muridnya
lagu Rama-Rama (lihat Lampiran 1) nyanyian Ella. Lagu ini
dipilih kerana ia agak moden berbanding lagu-lagu puisi berima
yang keanak-anakan Pelbagai aktiviti boleh dilaksanakan
berasaskan lirik lagu ini seperti aktiviti nyanyian. Aktiviti
nyanyian adalah untuk aplikasi teknik ajuk hafaz untuk
membiasakan murid-murid dengan liriknya. Boleh juga dilakukan
aktiviti bacaan berirama dengan bantuan guru.

Apabila lirik tersebut telah diingati, aktiviti lanjutan
boleh dilakukan seperti aktiviti lakonan. Guru boleh
melibatkan jumlah murid yang ramai berdasarkan lirik lagu
tersebut. Sebagai contoh watak rama-rama, bunga, pokok,
matahari, manusia dan penyanyi latar atau pencerita. Aktiviti
boleh dijalankan berasaskan lirik tersebut tetapi menggunakan
skrip yang kreatif dan melucukan. Guru-guru mungkin boleh
merujuk kepada klip video persembahan akhir tahun siri Upin
dan Ipin, sebagai contoh.

Selanjutnya guru boleh memulakan sesi memahami bahasa
puitis dan makna puisi sebagaimana yang tercatat di dalam
lirik sebagai contoh memahami rangkap

Ekspresi dirimu menawan hatiku
Ingin aku terbang bersamamu
Melihat kerenah melihat telah
Manusia yang sering telagah


Murid-murid boleh digalakkan mencari makna dan diajar
membaca kamus seterusnya memahami rangkap demi rangkap.
Semasa sesi ini berlangsung, murid-murid boleh dibahagikan
kepada kumpulan kecil dan mereka akan diminta menulis semula
rangkap tersebut secara kreatif. Secara kreatif mungkin
bermaksud kebolehan mewarna dan melukis boleh diaplikasikan
sekaligus memberi peluang mereka menggunakan kedua-dua otak
kiri dan kanan secara maksimun. Untuk sesi ini, pendekatan
komunikatif digunakan dimana pengajaran berpusatkan murid di
dalam proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Guru-
guru menjadi pemimpin dan pemandu serta pemudahcara.

Sebagai intihanya, kaedah didik hibur merupakan kaedah
yang sesuai dengan situasi generasi Y pada masa sekarang.
Pendekatan berasaskan keceriaan tanpa meninggalkan aspek
pendidikan amatlah diperlukan memandangkan kaedah pembelajaran
tradisional memungkinkan suasana pembelajaran dan pengajaran
berlangsung hambar. Akhir kalamnya akan menjadikan murid-
murid lesu dan hilang minat mendepani subjek tersebut. Ini
akan meninggalkan impak negatif terhadap perkembangan bahasa
melayu itu sendiri dan melayukan proses menjadikan ia sebagai
bahasa utama penyatuan kaum di Malaysia.











psikolinguistik dan sematik dalam konteks pendidikan dan pengajaran
bahasa

Pendidikan peringkat rendah adalah pendidikan yang bertujuan untuk melahirkan
insan yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh dan bersepadu dari segi
intelek, rohani, emosi, dan jasmani selaras dengan hasrat Kurikulum Bersepadu Sekolah
Rendah (KBSR) dan Falsafah Pendidikan Negara. Pada peringkat ini, Bahasa Melayu
diajarkan sebagai mata pelajaran wajib, selaras dengan status Bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Bahasa Melayu perlu dikuasai pada
peringkat awal bagi membolehkan murid-murid berkomunikasi dan menimba ilmu
pengetahuan, seperti kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Dalam hal ini proses pengajaran dan pembelajaran yang baik dan berkesan
adalah melibatkan kemahiran yang pelbagai serta mengintegrasikan unsur-unsur lain
supaya menjadi lebih berkesan dan kreatif adalah amat penting dan berkesan. Peranan
guru yang kreatif dan inovatif juga penting dalam memastikan proses pengajaran dan
pembelajaran mereka adalah efektif. Abd. Rahim (1999) menyatakan daya kreativiti yang
tinggi membolehkan sesuatu kaedah atau metod pengajaran mencorakkan
perkembangan minda, emosi, sikap dan nilai para murid. Manakala inovatif pula ialah
kebolehan seseorang guru memulakan sesuatu yang baru dalam bentuk kaedah, sistem
pendekatan dan sebagainya. Kaedah pengajaran adalah satu siri tindakan guru (cara)
yang sistematik bertujuan untuk mencapai objektif pengajaran yang telah ditetapkan.

Strategi pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di peringkat sekolah
rendah menekankan penggabungjalinan, penyerapan, penilaian, pengayaan, dan
pemulihan. Ini selaras dengan usaha memenuhi konsep bersepadu dalam Falsafah
Pendidikan Negara. Namun demikian, guru-guru adalah digalakkan untuk menggunakan
pelbagai kaedah mengajar yang sesuai dengan kebolehan murid-murid. Keberkesanan
pengajaran dan pembelajaran adalah bergantung kepada pengolahan teknik dan
penggunaan bahan bantu mengajar yang dapat merangsang dan menggalakkan murid-
murid berkomunikasi, berinteraksi, dan berfikir.

(i) Pendekatan Teori

Pada peringkat sekolah rendah pembelajaran merupakan suatu proses yang
berlaku dalam akal fikiran atau lebih dikenali sebagai kognitif dan kesan dari proses ini
akan dapat dilihat melalui perubahan dalam tingkah laku dan percakapan. Bagi
memastikan proses pembelajaran ini akan lebih berkesan kepada murid-murid salah
satu teori yang ditemui ialah Teori Konstruktif. Pengajaran dan pembelajaran (P&P)
berdasarkan teori konstruktif ini menyeimbangkan peranan guru dan murid untuk saling
bersandar di antara atu sama lain. Peranan guru hanya dilihat sebagai pengawal bilik
darjah selain mereka seharusnya menerima murid-murid sebagai individu yang
mempunyai ciri-ciri perlakuan yang berbeza. Melalui teori ini ianya dapat membuka
ruang serta peluang kepada guru untuk memilih kaedah yang sesuai dalam memperolehi
sesuatu konsep dan pengetahuan.


Konstruktif di ambil dari perkataan bahasa Inggeris konstruktivisme yang
membawa maksud falsafah membina. Di bawah konteks pembelajaran teori konstruktif
menganggap bahawa ilmu pengetahuan tidak boleh wujud di luar minda tetapi dibina
dalam minda berdasarkan pengalaman sebenar iaitu pengetahuan dibina melalui proses
pengaruh di antara pembelajaran terdahulu dengan pembelajaran terbaru yang
berkaitan. Murid-murid membina ilmu pengetahuan dengan aktif dalam merialisasikan
teori ini. Pendekatan teori pembelajaran ini menyediakan peluang kepada murid-murid
untuk membina kefahaman terhadap perkara yang dipelajari dengan mewujudkan
jaringan antara idea serta fakta yang sedang diajar atau dipelajari.

Peranan guru sebagai pembimbing dan fasilitator juga dapat membantu dalam
mengawal disiplin para murid dengan baik. Di dalam menghadapi situasi di mana
kewujudan murid yang enggan melibatkan diri di dalam aktiviti pengajaran dan
pembelajaran, guru seharusnya lebih kreatif dalam mempelbagaikan aktiviti serta
mengajukan pelbagai persoalan sebagai ransangan terbaik sebagai jaminan keterlibatan
aktif murid-murid dalam menemukan idea-idea terbaru. Melalui teori konstruktif ini kita
tidak lagi melihat aktiviti pengajaran dan pembelajaran berpusatkan murid.

Manakala murid sekali-kali tidak menganggap guru hanya sebagai pembekal
maklumat tetapi sebagai sesuatu dari sumber pengetahuan untuk membantu mereka
mencari maklumat dan peransang bagi mereka berfikir dan berkomunikasi. Ilmu baru
yang terbentuk adalah berasakan kepada inisiatif diri individu dan perkongsian
pandangan di kalangan mereka selain mengadaptasi setiap pengalaman yang dilalui
dengan alam sekeliling sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan. Dengan
wujudnya lontaran-lontaran idea dan pengalaman murid ini secara tidak langsung
berjaya memecahkan suasana dingin di kalangan murid itu sendiri.

Sehubungan dengan pendekatan teori psikolinguistik dan semantik dalam
konteks pendidikan dan pengajaran bahasa di sekolah rendah, responden (guru) terbabit
sangat memahami teori huraian bahasa sebagai pendapat yang memerihalkan teori
dalam bahasa menurut pandangan satau pemikiran tokoh-tokoh seperti
Panini,Bloomfield, Chomsky dan Halliday berhubung dengan fonologi, morfologi, dan
sintaksis. Sebagai seorang guru yang mengajar bahasa yang baik beliau berupaya
menggunakan bahasa Melayu yang menjurus kepada fungsi sebagai alat komunikasi
bagi menggambarkan fikiran dan emosi murid-murid.

(ii) Prinsip Pedagogi

Pengajaran dan pembelajaran adalah proses yang berterusan dan tidak statik
selari dengan perubahan-perubahan di sekeliling kita. Dalam era teknologi moden kini,
perkembangan ilmu pengetahuan dan kemahiran menuntut profesionalisme guru
mendalami inovasi dalam pedagogi bagi memperbaiki serta memperkukuhkan kapasiti
sebagai seorang pendidik. Bagi mengoptimumkan keberkesanan proses pengajaran dan
pembelajaran terdapat pelbagai teori pembelajaran menjelaskan bagaimana seseorang
belajar. Pendekatan teori-teori pengajaran dan pembelajaran memainkan peranan
penting dalam menentukan keberkesanan sesuatu pengajaran dan pembelajaran dalam
bidang pendidikan.

Pada pandangan saya pengajaran responden lebih berasaskan kepada Teori
Pembelajaran Konstruktivisme di mana aliran Behaviorisme, proses pembelajaran
individu mensasarkan pengetahuan diperolehi secara kognitivisme. Kaedah
pembelajaran telah ditemui berhubung dengan manusia sebagai cara untuk mengubah
tingkah laku manusia (behavior change) dan potensi (potential behavior change) yang
ada pada seseorang, khususnya murid-murid. Dengan lain perkataan, proses
pembelajaran manusia atau organisma berlaku berasaskan hukum pekaitan (Law of
Association) yang diutarakan oleh ahli Falsafah Yunani awal seperti Aristotle. Ivan
Pavlov seorang ahli psikologi Rusia telah menjalankan satu siri percubaan secara
saintifik dan sistematik mengkaji bagaimana pembelajaran berlaku pada sesutau
organisma. Menurut Ivan Pavlov (1849-1936) sesuatu organisma akan teringat sesuatu
kerana sebelum ini ia pernah mengalami sesuatu yang berkaitan. Tambah beliau
lagi,Learning is a result on an association formed between a stimulus (such as food)
and a respond (the animal salivating). Dalam kajian ini, anjing telah belajar mengaitkan
bekas makanan yang dilihat dengan makanan yang diberikan kelak. Oleh sebab itu,
pemilihan prinsip pedagogi pengajaran yang sesuai untuk sesuatu pelajaran amat
penting supaya penglibatan murid-murid pada tahap optimum.

Bertitik tolak daripada aliran Behaviorisme ini, proses pembelajaran murid-murid
mensasarkan pengetahuan diperolehi secara kognitivisme. Seorang sarjana, Jean
Piaget mengatakan bahawa kognitivisme adalah perwakilan mental yang dikenali skema.
Skema akan menentukan bagaimana data dan maklumat yang diterima akan difahami
oleh minda manusia. Jika maklumat tersebut sesuai dengan skema yang ada, maka
skema tersebut diterima atau mungkin ditolak atau diubah suai.

Pandangan kognitivisme telah melahirkan Teori Pembelajaran Konstruktivisme
yang menjelaskan pengetahuan dibina secara aktif oleh individu yang berfikir. Dalam
konteks ini, murid-murid tidak menerima sebarang maklumat (pengetahuan) tanpa
berfikir dan menyesuaikannya dengan idea dan maklumat baru selaras dengan
pengetahuan sedia ada mereka. Keadaan ini terbentuk hasil daripada interaksi
sosial[1]bersama guru dan rakan mereka. Bagi mencapai matlamat ini, guru perlu
memilih kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan pelbagai kebolehan
dan minat pelajar.

Teori Konstruktivisme ini merupakan proses pembelajaran yang mewujudkan
bagaimana pengetahuan (knowledge) disusun dalam minda pelajar. Teori ini bertitik
tolak daripada pandangan aliran Behaviorisme yang mengkaji perubahan tingkah laku
sehingga kepada kognitivism yang mengkaji tentang cara manusia (murid-murid) belajar
dan memperolehi pengetahuan yang menekankan perwakilan mental mereka.
Pengetahuan (knowledge) dikembangkan secara aktif dan lazimnya pembelajaran
berpusatkan murid-muirdn(student-centred)[2].

Bruner (1973) turut menyatakan bahawa pembelajaran merupakan proses di
mana murid-murid membina idea atau konsep baru berdasarkan pengetahuan semasa
mereka. Kelebihan proses ini murid-murid dapat memilih dan menginteprestasikan
maklumat, membina hipotesis dan membuat keputusan yang melibatkan pemikiran
mental (struktur kognitif seperti skema dan model mental) memberi makna dan
pembentukan pengalaman dan membolehkan individu melangkau melebihi maklumat
yang diberikan (Beyond the information given). Justeru, pembelajaran adalah usaha
murid sendiri dan bukannya dipindahkan daripada guru kepada murid. Konsep menuang
ilmu kepada murid-murid itu sendiri tidak wujud, sebaliknya mereka berusaha dan
menggunakan pengalaman atau pengetahuan sedia ada mereka.

Prinsip pembelajaran teori konstruktisvisme lebih menekankan aspek
pembelajaran (learning) berbanding dengan pengajaran (teaching). Kekuatan teori ini
memberi peluang dan ruang bagi murid-murid memilih goal (goal), strategi dan penilaian
ke atas pembelajaran mereka. Para guru hanya berperanan sebagai fasilitator
(pemudah cara) serta membimbing murid-murid ke arah pembelajaran mereka. Keadaan
ini akan memberi lebih keyakinan dan motivasi kepada murid-murid dalam meneroka
pembelajaran berdasarkan inisiatif sendiri. Keupayaan murid-murid mengkonstruk
pengetahuan melalui aktiviti pembelajaran seperti projek atau kajian dan seumpamanya
telah memaksimumkan kecenderungan kognitif (cognitive predisposition) mereka. Bagi
mengatasi murid-murid yang lemah membaca, penekanan diberi kepada mereka bagi
membentuk kemahiran (skill) dan pengetahuan (knowledge)dengan mengaitkan
pengalaman lampau untuk kegunaan masa depan. Murid-murid harus membina sendiri
proses berfikir mereka dan kemahiran berkomunikasi yang baik dan jelas.

(iii) Pendekatan Pembelajaran

Sebagai seorang guru bahasa Melayu yang baik dan berkesan responden telah
menggunakan pendekatan pembelajaran induktif dalam proses pengajaran dan
pembelajarannya. Berdasarkan tajuk yang diajar, haiwan di mana beliau mengarahkan
murid-murid mengumpul dan mentafsir maklumat dan seterusnya membuat generalisasi
(kesimpulan). Melalui langkah-langkah pengajaran dan pembelajaran terdapatnya aspek
ansur maju dalam usaha membimbing murid-murid. Kaedah inkuiri penemuan diamalkan
apabila mengajar mata pelajaran bahasa Melayu [dalam langkah 2] dengan meminta
murid-murid menyatakan cirri-ciri binatang berdasarkan petikan yang diberi.

Prinsip penggunaan pendekatan pembelajaran induktif digunakan oleh guru
apabila murid-murid dibimbing untuk mencari kesimpulan dalam konteks kognitif dan
sosial. Selain itu, responden ternyata menggalakkan murid-muridnya sentiasa berfikir
dan mengakses maklumat sendiri dengan menggunakan akses internet. Dalam hal ini
keupayaan berfikir berkait rapat dengan keupayaan berbahasa murid-murid. Menurut
Tarigan (1990) proses kognitif dalam bacaan membantu pembaca mengorganisasi,
menginterprestasi dan menghubungkan pertalian dengan maklumat baru bagi menyalin
makna. Selain itu, pembelajaran aktif dianggap sebagai aktiviti sosial juga menggalakkan
dialog dan perbincangan sesama pelajar atau antara guru dan pelajar. Oleh yang
demikian, faktor berbahasa (membaca) dan kemahiran berfikir dalam kalangan murid
perlu dititikberatkan.

Dari sudut bahan bantu mengajar (BBM) yang baik, mencukupi dan berkesan
ianya dilihat sebagai langkah yang proaktif dalam meningkatkan suasana pembelajaran
yang menarik, bermakna dan seronok dapat dihasilkan. Antara lain, penggunaan deria-
deria murid dalam pelbagai aktiviti bahasa dapat membentuk interaksi sosial murid
dengan persekitaran telah membentuk maklumat dan idea baru ke dalam struktur
pengetahuan yang sudah sedia ada. Murid-murid akan menjadi kreatif dan kritis.
Aapabila berlaku pertembungan idea lama dan baru, murid-mutrid akan berupaya
membuat analisis dan membentuk idea baru mereka yang lebih konkrit dan relevan.

(iv) Kaedah Pengajaran

Dalam proses mencerap responden ternyata beliau dapat membuat persediaan
sebelum proses pengajaran dan pembelajaran; semasa proses pengajaran dan
pembelajaran; dan selepas proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Kaedah
pengajaran adalah satu siri tindakan guru (cara) yang sistematik bertujuan untuk
mencapai objektif pengajaran yang telah ditetapkan. Kaedah pengajaran juga
merupakan usaha keseluruhan yang terdiri daripada prosedur yang tersusun
berdasarkan pendekatan yang dipilih (Shahabuddin Hashim, Rohizani Yaakub dan
Mohd. Zohir Ahmad, 2003).

Pada peringkat permulaan pelajaran responden berupaya mencungkil
pengetahuan yang sedia ada pada murid; mengaitkan pelajaran lepas dengan pelajaran
baru; dan menumpukan perhatian serta minat murid pada pelajaran yang akan
dipersembahkan. Responden dapat menghubungkaitkan set induksi dengan isi pelajaran
berhubung dengan ciri-ciri binatang. Murid-murid turut teransang untuk belajar secara
lebih lanjut. Kaedah pengajaran yang digunakan oleh responden adalah bersoaljawab,
mengakses maklumat, dan membimbing murid-murid dari mula hingga akhir proses
pengajaran dan pembelajaran.

Pada peringkat perkembangan pelajaran, peringkat ini soalan digunakan untuk
menduga kefahaman murid mengenai bahan pelajaran yang dibincangkan; memastikan
penyertaan murid yang aktif; dan mengekalkan minat murid serta tumpuan perhatian
mereka.

Manakala peringkat penutup, soalan pada peringkat penutup digunakan untuk
membuat rumusan pelajaran; menguji kefahaman murid secara menyeluruh. Pada
umumnya turutan menyoal di dalam kelas boleh dijalankan seperti yang berikut; [1] guru
mengemukakan soalan kepada murid, [2] guru memberi masa untuk murid menjawab;
[3] guru boleh tujukan soalan tersebut kepada semua murid di kelas; [4] guru boleh
memanggil murid tertentu menjawab; dan [5] guru memberi perhatian kepada jawapan
yang dikemukakan dan seterusnya ajukan jawapan murid tersebut kepada murid lain.

Oleh itu pengajaran terancang memerlukan murid menghabiskan masa mereka
memperoleh pengetahuan atau memaparkan pengetahuan yang telah diajar. Pengajaran
terancang merupakan teknik pedagogi utama yang dibangunkan oleh pakar teori Skinner
sebagai aplikasi eksplisit tentang prinsip teori pembelajaran operan atau teori
peneguhan. Oleh itu setiap pencapaian mestilah diikuti dengan peneguhan.

(v) Bahasa
Keupayaan mengajar merupakan salah satu peramal kepada prestasi kerja guru.
Dua dimensi penting bagi keupayaan mengajar ialah pengetahuan asas dan
pengetahuan pedagogi isi kandungan guru. Dalam pengajaran bahasa terdapat
beberapa kemahiran yang perlu diajarkan oleh guru kepada pelajar. Kemahiran-
kemahiran itu diajarkan secara berperingkat-peringkat iaitu kemahiran mendengar yang
merupakan kemahiran asas, kemahiran bertutur, membaca dan kemahiran menulis.
Dalam kajian ini, responden mampu melahirkan penerbitan bahasa dalam pertuturan
dan komunikasi dalam kalangan murid-muridnya dengan membaca teks prosa,
mempelajari system bahasa seperti ayat tunggal dan ayat majmuk di samping
menguasai kosa kata yang berkaitan dengan isi pelajaran.
Aspek interaksi sosial antara guru dengan murid, dan murid sesama murid
merupakan kecekapan komunikatif penguasaan bahasa secara naluri (instinc) yang
dimiliki oleh seseorang penutur (murid) yakni keupayaan murid menggunakan dan
memahami bahasa secara wajar dalam proses berkomunikasi dan berinteraksi dengan
individu lain dan jalinannya dengan konteks sosial. Dari sudut psikolinguistik penerbitan
bahasa guru dan murid-murid dalam sesi pengajaran dan pembelajaran merupakan
pertuturan mengkaji segala proses mental yang berlaku dalam otak ketika
seseorangcuba berfikir.

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas proses formulasi adalah
berkaitan dengan konsep penterjemahan bahasa dari segi fonologi, sintaksis dan
semantik. Operasi semantic dalam proses pengajaran dan pembelajaran ini melibatkan
pemilihan perkataan yang sesuai dengan makna petikan prosa seperti liar, berlari,
beranak dan melompat. Operasi sintaksis pula merupakan hal pemilihan pola ayat yang
sesuai dan dalam pola ayat inilah semua perkataan yang terpilih itu disusun supaya
menjadi frasa dan ayat tunggal dan majmuk.

Sebagai contoh frasa ialah hidup liar; ayat tunggal; Monyet bergayut di atas
pokok; dan ayat majmuk; Katak melompat ke dalam kolam sewaktu dikejar oleh seekor
ular tedung selar. Manakala fonologi pula melibatkan tugas menerbitkan idea dalam
bentuk bunyi bahasa yang dihasilkan oleh sistem ujaran seperti lidah. Dalam hal ini
kaedah menyebut dan membaca perkataan dan ayat perlu betul selaras dengan
sukukata dan struktur ayat tersebut. Pengajaran dan pembelajaran membaca, membina
dan menulis ayat ditekankan oleh responden dalam kajian ini.

(vi) Kajian Proses Pelajaran

Berkenaan data-data yang diperolehi melalui instrument pencerapan pengajaran
dan pembelajaran yang dijalankan oleh pengkaji didapati respoden telah menjalankan
satu proses pengajaran dan pembelajaran dengan baik [instrument dilampirkan].
Persediaan sebelum proses pengajaran dan pembelajaran telah dirancang dengan baik
umapamanya rancangan pelajaran tahunan, harian, pengurusan kelas dan set induksi
yang sesuai. Responden berjaya menghubungkaitkan set induksi dengan becerita
mengenai binatang dengan isi pelajaran berhubung dengan ciri-ciri binatang. Isi
pelajaran berkaitan dengan set induksi yang dipilih oleh responden. Keadaan ini dapat
menarik perhatian dan minat murid-murid beliau untuk terus mengikuti pelajaran
selanjutnya.

Semasa proses pengajaran dan pembelajaran responden mampu merancang
dan menyampaikan isi pelajaran dengan baik dan berkesan kerana mempunyai
pengetahuan mata pelajaran yang mendalam, penggunaan bahasa yang tepat, beransur
maju, pengurusan masa yang baik, BBM yang baik, pengintegrasian ICT[3],
pembelajaran berpusatkan murid, murid aktif, teknik penyoalan yang berkesan, penilaian
dan peneguhan berterusan, kawalan kelas yang baik serta membuat rumusan yang
tepat dan bersesuaian dengan topik. Melalui pemerhatian oleh pengkaji respon murid-
murid terhadap proses pengajaran dan pembelajaran beliau sangat aktif. Teknik ansur
maju dalam proses penyampaian isi pelajaran sangat menepati kehendak kurikulum
KBSR. Tambahan pula, murid-murid disyorkan meneroka dan mengakses
maklumat[4]berhubung dengan topik yang diajar bagi mendapatkan seberapa banyak
maklumat yang berkaitan.

Selepas proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung responden turut
memberi tugasan dan latihan kepada murid-murid. Di samping itu, di akhir sesi
pengajaran dan pembelajaran beliau turut membuat refleksi dan hasil tugasan murid-
murid disemak dengan teliti. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran responden
turut mengadakan aktiviti bimbingan ke atas murid-murid yang lemah dan bai murid-
murid yang cergas beliau turut memberikan latihan tambahan (pengayaan) kepada
mereka. Keadaan ini dilihat sangat baik dan berkesan dalam mewujudkan suasana
pembelajaran yang efisien dan kondusif.

Penutup

Sebagai rumusan dapatlah dikatakan bahawa melalui kajian kes ini responden
sebagai guru bahasa Melayu mampu menunjukkan komitmen dan usaha bersungguh-
sungguh dalam menjayakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. BBM yang sesuai dan
menarik minat murid turut memberi kesan kepada suasana pembelajaran yang aktif.
Murid-murid sangat aktif melibatkan diri dalam pengajaran beliau. Tambahan pula, aspek
ansur maju dalam perkembangan isi pelajaran tidak membunuh semangat dan usaha
murid-murid untuk terus belajar. Sikap guru yang proaktif dalam mendorong dan
memotivasikan murid-murid dalam rumusan pengajaran dan pembelajarannya dapat
mengukuhkan lagi kefahaman mereka dari segi kognitif dan sosial. Justeru, murid-murid
akan sentiasa bersemangat dan tidak sabar menunggu sesi pengajaran dan
pembelajaran selanjutnya.

Bibliografi:

________ (2009). Modul HBML 3303 Psikolinguistik dan Sematik. Universiti TerbukaMalaysia :
Meteor Doc. Sdn. Bhd.

Abd. Rahim Abd. Rahsid (1999). Kemahian Befikir Merentasi Kurikulum. Kuala Lumpur :
Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Brown, H.D. (1994). Teaching by principle : An introductive approach to language
pedagogy. New Jersey : Prentice Hall Reprints.

Bruner, J. (1973). Going Beyond the Information Given. New York : Norton.

Lev. S. Vygotsky (1978). (Terjemahan) Teori Pembelajaran Sosial.
http://planet.time.net.my/KLCC/azmo1/Teori/Teori_Pembudayaan_S...

Mok Soon Sang (2002). Pedogogi Untuk Kursus Diploma Perguruan. Subang Jaya. Kumpulan
Budiman Sdn. Bhd.

Shahabuddin, et.al (2003) dalam Ana Melissa binti Zainal dan rakan-rakan. Pendekatan
Proses pengajaran dan pembelajaran. 21 24 Mei 2007 : Hotel Capitol, Kuala Lumpur.

Tarigan, H.G. (1990). Membaca dalam Kehidupan. Bady. Penerbit Angkasa.




[1] Lihat, L.S. Vygotsky (1978), interaksi sosial, amat penting dalam membentuk
perkembangan kognitif pelajar.
[2] Lihat, Brown (1994), The student-centred approach is best suited to support student
for optimum learning as the subject matter is intregrated in one lesson. It allows students
to discover (discovery learning) for themselves in the process of learning.
[3] Aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan menggunakan komputer
yang berasaskan teori konstruktivisme dalam pembinaan perisisian pengajaran dan
pembelajaran memainkan peranan penting dalam membekalkan program pengajaran
yang sesuai dan mengembangkan potensi murid.
[4] Lihat Papert (1998) menegaskan bahawa komputer mempunyai impak ke atas kanak-
kanak (murid) kerana dengan menggunakan komputer ia dapat memberi pengalaman
yang konkrit.

Vous aimerez peut-être aussi