Vous êtes sur la page 1sur 27

1

PENGENALAN
Wau ialah permainan yang menggabungkan keunikan pembuatan dan
kemahiran bermain. Kini, wau merupakan permainan tradisional masyarakat Melayu
yang popular di beberapa buah negeri terutamanya Kelantan, Terengganu, Kedah
dan Perlis.
Wau terkenal di negeri-negeri ini kerana wau dimainkan apabila selesainya
musim menuai padi. Kawasan sawah padi yang lapang memudahkan pengedaran
udara yang menjadi unsur paling penting untuk menerbangkan wau.
Pada mulanya, wau dicipta sebagai lambang kebesaran sesebuah negera.
Wau turut digunakan sebagai panduan menentukan arah. Selain itu, wau juga
dikatakan menjadi lambang kejayaan bagi setiap serangan yang dilakukan oleh
sebuah negara ke atas negara lain pada zaman silam.
Apabila berjaya dalam sesuatu serangan misalnya, satu pesta akan diadakan
oleh penduduk setempat bagi meraikan kemenangan, Caranya adalah dengan
mengadakan upacara menaikkan wau di tempat-tempat terbuka serta disaksikan
oleh orang ramai. Justeru, lama-kelamaan wau telah dijadikan sebagai satu
permainan untuk mengisi masa lapang yang popular hingga turut diadakan
pertandingan di peringkat antarabangsa.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa permainan wau merupakan
permainan masyarakat Melayu yang amat unik. Lantaran itu, penghasilan dan
kemahiran bermain wau oleh pemain wau adalah perlu bagi memastikan wau dapat
terbang dengan baik di ruang angkasa. Setiap wau yang dibuat juga mempunyai
jenis-jenis tertentu biarpun tujuan pembuatannya adalah serupa iaitu untuk terbang
tinggi di udara.





2

1.0 LATAR BELAKANG WAU/LAYANG-LAYANG
Perkataan wau dikatakan berasal dari perkataan Thailand memandangkan
negeri seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah menggunakan perkataan
tersebut.
Perkataan layang-layang pula digunakan di kebanyakan negeri seperti di
Pantai Barat dan Selatan Semenanjung Malaysia seperti Selangor, Melaka dan
Johor. Hal ini dapat dibuktikan menerusi catatan Tun Seri Lanang yang menyatakan
bahawa Raja Ahmad bermain layang-layang bersama pemuda-pemuda serta
kerabat DiRaja, dan tidak pula disebut bermain wau.
Selain itu, kemunculan nama wau juga dikaitkan bunyi yang terhasil daripada
busur yang diikat pada wau. Apabila dinaikkan ke udara, daun ibus yang dipasang
pada busur tersebut akan menghasilkan bunyi wau, wau, wau secara berirama.
Permainan layang-layang atau wau amat digemari oleh penduduk-penduduk
kampung. Permainan ini dimainkan semenjak lebih 500 tahun yang lalu. Wau masih
digemari dan dimainkan di kawasan-kawasan seperti Kelantan, Terengganu, Kedah
dan Perlis. Musim bermain wau adalah buluh yang diraut halus yang ditampalkan
dengan kertas berwarna mengikut bentuk rangka. Wau bukan sahaja dimainkan
tetapi dipertandingkan yang dititikberatkan ialah kecantikan rupa, kemerduan bunyi
dan tinggi serta keindahan naiknya.
Permainan wau atau pun lebih dikenali layang-layang suatu ketika dahulu
lebih popular di kawasan pedalaman seperti di kawasan pantai dan kawasan lapang
seperti di padang, sawah padi dan sebagainya.
Kini, permainan tersebut telah mulai popular dan diminati oleh pelbagai kaum
termasuklah mereka yang menetap di kawasan bandar. Bukan itu sahaja, ia telah
diperkenalkan hingga ke peringkat antarabangsa seperti di Pasir Gudang Kite
Festivals International Guests yang diadakan pada setiap tahun. Sambutan festival
ini juga sangat memberangsangkan terutamanya peserta dari luar negara.

3

2.0 SEJARAH WAU/LAYANG-LAYANG
Kedatangan permainan wau di Malaysia tidak dapat dipastikan kesahihan
tarikh serta asal-usulnya. Walau bagaimanapun menurut sejarahwan Clive Hart,
layang-layang di Malaysia berasal dari negara China. Hal ini demikian kerana reka
bentuk serta ciri wau di Malaysia mempunyai persamaan dengan layang-layang
tradisional dari negara China.
Layang-layang pada masa dahulu menggunakan daun kayu yang lebar.
Kemungkinan evolusi layang-layang di Malaysia juga turut menyerap unsur-unsur
kebudayaan dari negara China memandangkan hubungan Malaysia-China telah
berlangsung sejak zaman Greek lagi.
Kemungkinan juga perkataan wau datangnya daripada perkataan Cina
Hokkien (Fujian). Kata untuk wau dalam dialek Hokkien ialah 'ao' di utara Malaysia.
Pada masa dahulu, orang-orang Melayu di Singapura turut menggunakan
layang-layang bagi menangkap ikan.
3.0 MITOS WAU/LAYANG-LAYANG
Mengikut satu cerita, pada awalnya wau adalah permainan tanpa nama.
Permainan yang dimainkan oleh kanak-kanak ini diperbuat daripada daun tertentu
yang diikat pada tulang belakang daun tersebut dengan tali kelopak batang pisang
atau urat-urat daun nanas. Wau dimainkan di tempat yang berangin. Satu waktu,
permainan tanpa nama itu putus talinya, dan anak itu pun menangis
wa,wa,wa,wa, maka, menurut yang empunya cerita, lahirlah perkataan "Wau".
Mengikut asal usul yang lain, yang lebih dekat dengan mitos, wau bermula
apabila Dewi Dewa Dani bersalinkan Dewa Muda. Bidan Ketujuh membuang
tembuni Dewa Muda ke laut. Maka, Mak si Dewa yang sedang bertapa di kayangan
merasa tidak selesa duduk di kayangan, lalu dia turun ke Medan Kulum Laman Yang
Rata, dan dilihatnya tembuni Dewa Muda terapung-apung di Sungai Nil. Tembuni itu
dipulihkan menjadi seorang dewa yang dinamakan Awang si Jambul Lebat dan
selaput tembuni Dewa Muda itulah dijadikan rangka Wau untuk Dewa Muda.
4

Bagi menyiapkan wau itu, Mak si Dewa Dewa mengambil panau Dewa Muda untuk
dijadikan bunga Wau, tangan Dewa Muda untuk sayap Wau, laras kaki Dewa Muda
dijadikan tangan dan badan wau serta rambut Dewa Muda dijadikan jambul Wau.
Apabila wau ini dinaikkan, maka busurnya berbunyi dua belas bahasa dan dua belas
ragam. Dari bunyi busur itulah wujudnya nama "Wau". Mengikut asal usul ini juga,
wau yang tidak ada busur atau busurnya tidak berbunyi dua belas bahasa dan dua
belas ragam dipanggil "layang-layang".
Mengikut asal usul yang lain pula, wau wujud dari semangat padi. Pada satu
hari, seorang petani bersama isterinya yang tidak mempunyai anak terjumpa dengan
seorang anak perempuan yang cantik, lalu dipelihara oleh mereka. Si suami tiap-tiap
hari membawa minuman dan makanan kepada anak perempuan itu di mana-mana
tempat dia bermain dalam rumah padi, yang akhirnya menimbulkan perasaan
cemburu dalam hati isteri. Anak perempuan itu dipukul oleh si isteri lantas melarikan
diri dari rumah petani tersebut menghala angin barat. Berikutan dengan kejadian itu,
padi petani suami isteri tadi, tidak berbuah dan diserang penyakit. Mengikut nujum,
anak perempuan yang dihalau tadi adalah semangat padi. Untuk memohon maaf,
petani itu harus membuat satu lembaga merupai Wau Bulan sekarang ini dan
dinaikkan setelah menuai.
Mengikut asal usul yang lain, Wau Bulan lahir sebagai lambang penyatuan
kembali Empayar Srivijaya oleh Dewa Muda. Setelah kemangkatan pembina
Empayar Srivijaya iaitu Sri Maharaja Sri Jayanaga, maka empayar yang meliputi
seluruh Asia Tenggara ini mulai berpecah,iaitu diperintah secara berasingan dari
negara induk Srivijaya. Pada awal abad ke-8, munculnya seorang tokoh, iaitu cucu
Sri Maharaja Sri Jayanaga yang bernama Jaya Sinha. Beliau mempunyai berbagai
gelaran, antaranya Sabjaya atau Sanjaya Putera, Inu Dewa, Seri Panji, Mahisa
Kelana Seri Panji, Raden Inu Kertapati atau Raden Asmarajaya dan Hyang
Kamajaya, tetapi dia lebih terkenal dalam cerita-cerita tradisi sebagai Dewa Muda.
Dewa Muda telah mengadakan beberapa serangan untuk menyatukan kembali
Empayar Srivijaya. Sebelum Dewa Muda mengadakan serangan, dia telah lama
bertapa dan apabila selesai, dia pulang dari gua tempatnya bertapa dengan
membawa rangka atau lembaga wau bulan yang baginya merupakan peta
penyerangan dan penaklukan kembali Empayar Srivijaya atau Asia Tenggara itu.
5

Dewa Muda menakluk kembali empayar yang agung itu kira-kira pada tahun 713
hingga 779 Masihi. Setelah mendapat kemenangan, Wau Bulan yang menjadi
lambang Empayar Srivijaya dikenali sebagai Sejagat Tanah Jawa. Kepala dan
tengkuk wau bulan yang berbentuk garuda itu melambangkan raja segala burung
yang sebenarnya seorang wali. Namanya ialah Riah, dalam Bahasa Arab disebut
Nabi Mahlail Alaihissalam antara 313 rasul dan dalam Bible, beliau disebut dengan
nama Mahalelselt. Dalam cerita-cerita tradisi dia digelar Burung Petala Indera.
Jadi, kepala Wau Bulan ini melambangkan roh dan semangat Empayar Srivijaya,
dan memberi erti asas kebudayaan dan asas peradaban dalam empayar ini.
Dikisahkan bahawa busur wau ini memiliki dua belas bahasa, dua belas ragam yang
melambangkan negeri atau daerah yang disatukan kembali dengan negara pusat
Empayar Srivijaya. Dua belas negeri tersebut ialah Filipina, Vietnam, Segenting,
Kemboja-Laos-Thailand Tengah dan Utara, Burma, Burma Barat dan Benggala
Timur menganjur ke Kepulauan Andaman, Pulau Irian dan Pulau Sulawesi.
Sementara dua belas ragam bererti dua belas suku terdapat di dua belas
daerah/negeri tersebut tadi. Bulatan bulan pada Wau Bulan melambangkan negeri-
negeri daratan yang dinamakan Nusarantang-kawasan yang bersambung. Bintang
yang terletak di antara bulatan bulan sabit penuh dilambangkan sebagai negara
pusat atau kawasan pusat pemerimtahan yang dinamakan Nusa Kencana-
Kawasan Emas dan bulan sabit penuh yang menjadi bahagian bawah wau ini
dilambangkan dengan negeri-negeri kepulauan yang dinamakan Nusantara-
Kawasan yang dirantai oleh laut-laut. Wau Bulan ini memiliki tiga teraju yang
melambangkan tiga bahagian empayar Srivijaya dan tiga teraju ini diikat oleh satu
tali, yang melambangkan Empayar Srivijaya ini diperintah oleh satu pentadbiran
pusat.
Dalam asal usul yang lain pula, wau dinyatakan berasal dari Kembayat
Negara di zaman Siti Zubaidah dan wau ini bernama Wau Lenggang Kembayat.
Wau inilah yang dinaikkan oleh Pembina Empayar Srivijaya iaitu Dewa Muda.
Bentuknya tidaklah seperti Wau Bulan seperti yang dinyatakan dalam asal usul di
atas. Wau Lenggang Kembayat ini bentukya seperti Wau Ikan yang wujudnya
sekarang ini.

6

4.0 JENIS-JENIS WAU/LAYANG-LAYANG
4.1 Wau Bulan
Wau bulan merupakan jenis wau yang paling popular. Wau ini mempunyai
bentuk seperti Bulan Sabit pada bahagian hadapan dan separa bulatan pada
bahagian ekornya. Justeru, wau tersebut kelihatan seperti bulan yang terbit di
angkasa apabila diterbangkan. Jadi, tidak hairanlah kenapa wau tersebut diberi
gelaran sedemikian berbanding dengan wau-wau lain.
Dari segi saiznya, wau bulan dibentuk dengan saiz yang lebih besar
berbanding wau lain. Bidang biasa adalah sepanjang 2.5 meter dengan tinggi 3.5
meter. Hal ini demikian untuk memastikan corak yang terdapat pada wau tersebut
kelihatan jelas dan menyerlah. Bagi kelihatan lebih menarik, pemilihan warna yang
terang dan corak yang lebih besar menjadi pilihan.
Lantaran itu, tidak hairanlah wau bulan sentiasa menjadi perhatian.
Keindahan yang terpamer pada dadanya menjadi tontonan dan tarikan. Justeru,
bentuk wau bulan yang menarik ini turut menjadi lambing syarikat kepada Syarikat
Penerbangan Malaysia (MAS).






Rajah 1 : Wau Bulan

4.2 Wau Burung
Wau burung mempunyai bentuk asas seperti wau bulan. Namun begitu, wau
burung mempunyai bentuk badan dan kepala yang lebih kecil. Terdapat juga bentuk
wau burung yang hampir menyerupai seekor burung yang sedang terbang di
angkasa ketika melayang.
Pada kebiasaannya, wau burung akan dipasang dengan degung atau busur
pada bahagian atasnya. Hal ini bertujuan bagi menghasilkan bungi berdengung yang
terhasil apabila angin melalui tali busur yang direntang. Ketika diterbangkan ke
7

udara, busur wau akan mengeluarkan bunyi yang nyaring. Sesetengah wau yang
berdengung turut dimainkan pada waktu malam kerana dapat menghasilkan bunyi
yang baik. Kebanyakan jenis wau burung dihiasi dengan motif tumbuhan menjalar
bagi bentuk tradisi atau gambar burung yang menjadi nama jenis wau tersebut
seperti wau bayan, wau helang, wau kenyalang, wau merak, wau pungguk dan wau
sewah.
Dua jenis wau yang paling diminati ialah wau burung helang dan wau burung
merak. Wau burung helang dibentuk seperti burung helang yang mempunyai kepala
serta berparuh kecil. Pada bahagian kepala turut dihiasi dengan dengan ropol yang
kelihatan seperti bulu. Justeru, layangannya menjadikan wau tersebut kelihatan
seperti seekor burung helang yang sedang terbang. Wau burung merak pula dihiasi
dengan ukiran yang berbentuk corak dan warna seekor burung merak. Bagi
kelihatan lebih cantik dan unik, pelbagai jenis ropol diletakkan di bahagian ekor wau.







Rajah 2 : Wau Burung

4.3 Wau Daun
Wau daun juga dikenali sebagai wau barat dan wau tersebut merupakan
sejenis layang-layang popular yang telah dimainkan secara turun-temurun
di Malaysia.
Wau daun menyerupai bentuk wau bulan tetapi wau daun adalah lebih lebar
dan ringan. Wau daun turut memiliki corak-corak yang menarik tetapi corak-corak
tersebut adalah dilukis dan tidak menggunakan teknik sobek, iaitu kaedah potong
dan tampal sebagaimana wau-wau yang lain. Oleh sebab corak-corak tersebut
hanya dilukis pada badan wau dan bukannya ditampal, wau daun adalah lebih
ringan dan mampu terbang tinggi walaupun angin bertiup dengan perlahan seperti
pada waktu pagi. Oleh itu, wau daun juga dikenali sebagai wau pagi.
8

Lukisan pada badan wau sering kali menggunakan teknik batik, malah wau ini
sering kali dilukis oleh pelukis batik. Bentuk dan rupa wau daun adalah lebih dinamik
dan cepat berubah. Wau daun sering kali memaparkan reka bentuk asli dan unik
yang diterima pakai dalam pertandingan-pertandingan.







Rajah 3 : Wau Daun
4.4 Wau Ikan
Wau ikan yang dihasilkan berbentuk ikan bawal, ikan emas dan sebagainya.
Berbanding dengan bentuk-bentuk lain, wau berbentuk ikan emas lebih menarik
kerana mempunyai ropol-ropol yang membentuk ekor atau sirip. Namun, wau ikan
kurang diminati oleh kebanyakan penggemar wau berbanding wau bulan.









Rajah 4 : Wau Ikan

4.5 Wau Kucing
Wau kucing ialah wau yang dihasilkan untuk mempelbagaikan corak dan
bentuk wau. Wau mendapat nama daripada bentuknya yang menyerupai seekor
kucing yang sedang duduk dari sudut belakang, bermula dari bahagian kepala,
badan dan seterusnya ekor kucing.
9

Pada kebiasaannya, wau kucing akan dipasang dengan degung atau busur
pada bahagian atasnya. Wau kucing ini dipercayai berfungsi untuk menakutkan roh
jahat dan meramalkan keadaan cuaca pada keesokan harinya. Motif ukiran sobek
yang digunakan pada wau ini ialah motif bunga dan tumbuh-tumbuhan dan cara
hiasannya adalah sama seperti wau bulan. Wau kucing mempunyai warna yang
lebih gelap dan mempunyai jurai-jurai di bahagian ekor wau seperti seekor kucing.
Wau kucing jarang dihasilkan kerana kurang menarikkan.

Rajah 5 : Wau Kucing

4.6 Wau Jala Budi
Wau Jala Budi merupakan sejenis jenis layang-layang yang popular di
negeri Kedah. Wau Jala Budi mendapat nama daripada bentuknya yang menyerupai
daun budi manakala perkataan jala pula wujud dari kerangka ekor Wau Jala Budi.
Pada kebiasaannya, wau jala budi akan dipasang dengan degung atau busur pada
bahagian atasnya. Bunyi berdengung agak garau, terbit dari busur yang terdapat di
bahagian kepala. Wau Jala Budi ini juga dikatakan memiliki persamaan dengan
'layang-layang Chula' yang berasal dari negara Thailand.







Rajah 6 : Wau Jala budi
10

5.0 CORAK DAN UKIRAN WAU/LAYANG-LAYANG
Wau merupakan antara permainan tradisional yang paling menarik.
Kebolehannya berlegar-legar di ruang angkasa sungguh mempersonakan,
ditambahkan lagi dengan pemilihan pelbagai corak yang menarik serta berwarna-
warni.
Bagi menghasilkan wau yang menarik, pelbagai corak dilakarkan pada dada
wau. Kemahiran melakar wau bergantung kepada kreativiti seseorang. Oleh itu,
pengalaman dan kemahiran amat diperlukan.
Bentuk wau tidak akan menarik sekiranya tidak dihiasi dengan motif-motif di
atasnya. Seandainya wau dihasilkan tanpa warna atau corak tertentu, wau akan
kelihatan kosong. Dalam menghasilkan motif-motif yang menarik, biasanya motif
yang berasaskan alam semula jadi menjadi panduan.

5.1 Motif Bunga-bungaan
Bunga-bungaan yang menjadi pilihan adalah daripada jenis yang mudah
dilakar seperti bunga labu, bunga pecah lapan dan sebagainya. Motif bunga menjadi
pilihan kebanyakan pereka disebabkan kecantikan dan keindahannya selain
memang sinonim dengan kehidupan masyarakat Melayu yang suka akan bunga.

5.2 Motif Abstrak
Corak abstrak ialah corak yang sukar untuk ditafsirkan. Namun begitu, corak
abstrak terus menjadi pilihan pembuat wau. Antara bentuk abstrak yang digemari
ialah pucuk jala dan mata berkait.

5.3 Motif Haiwan
Motif haiwan juga menjadi daya tarikan untuk mencorakkan wau. Hanya
sesuatu bahagian haiwan sahaja yang dilakarkan terutama pada sudut pandangan
tertentu namun tetap kelihatan menarik.
Terdapat pelbagai jenis motif haiwan yang dapat dicorakkan tetapi
bergantung kepada kemahiran pembuatnya. Ada kalanya, lakaran haiwan diselang-
selikan dengan kombinasi warna abstrak yang memberikan imej yang lebih terserlah
pada wau tersebut.

11

5.4 Motif Geometri
Motif geometri turut menjadi daya tarikan mencorakkan sesuatu wau. Bentuk
geometri biasaya hanya berkisar pada bentuk garisan lurus, melintang dan juga
menyerong. Jika dipelbagaikan bentuk-bentuk ini, garisan-garisan ini tetap
menghasilkan kelainan yang unik lagi mempersonakan serta lari daripada imej
lakaran berbentuk biasa.

12

6.0 PEMBUATAN WAU/LAYANG-LAYANG

Rajah 7: Struktur wau

Bahan-bahan utama untuk membuat wau ialah buluh, benang, kertas, gam
dan pisau raut. Wau mempunyai empat bahagian utama iaitu kepala, sayap,
13

pinggang dan ekor. Untuk menghasilkan wau yang besar, menarik dan cantik
bukanlah satu kerja yang senang.
Pembuat wau mestilah mempunyai kemahiran, ketekunan dan kesabaran
yang tinggi kerana pembuatan wau merupakan kerja yang rumit terutamanya pada
bahagian sayap dan tulang belakang.
Kekuatan wau banyak bergantung pada buluh yang menjadi rangka asas wau.
Buluh merupakan bahan asas untuk membuat wau. Namun, bukan semua jenis
buluh sesuai digunakan untuk membuat wau. Bulub betung dan buluh minyak
merupakan buluh yang sering digunakan untuk membuat wau. Hal ini demikian
kerana buluh jenis ini mempunyai ruas yang panjang dan tahan lebih lama.

6.1 Petua Dan Pantang Larang Memilih Buluh
Mencari dan Menebang Buluh
1. Rumpun buluh mestilah di kawasan yang tinggi dan lapang, bukan di
dalam semak atau dusun.
2. Pilih buluh yang kelihatan kering, seelok-eloknya di tengah rumpun.
3. Jangan tebang buluh yang mempunyai pucuk muda kerana buluh
tersebut mempunyai banyak kanji dan mudah diserang serangga
perosak.
4. Buluh yang condong ke arah matahari naik adalah lebih baik kerana
mempunyai semangat yang kuat menurut kepercayaan orang tua-tua.
5. Keadaan cuaca kering dan panas adalah sangat sesuai untuk
menebang buluh seperti di waktu tengah hari.
6. Jika menebang buluh pada waktu pagi, pastikan penebang menindih
bayangnya.
7. Sebelum menebang buluh, digalakkan membaca doa dan selawat
terlebih dahulu
8. Adalah lebih baik buluh yang sudah ditebang dipotong di situ juga.
9. Petua orang tua-tua di Kelantan pula semasa membawa balik buluh
yang sudah ditebang, akan meninggalkan pesan kepada Sang Bubuk
iaitu, Wahai Sang Bubuk, hak aku tinggal ini adalah hak mu, hak aku
wat kelik ni ialah hak aku, mu tok sah ikut akulah, mu make hok sini.

14

Penyimpanan Buluh
1. Buluh akan disimpan dahulu sekurang-kurangnya setahun sebelum
diraut menjadi rangka wau. Biasanya tempat penyimpanan mestilah
tinggi untuk mengelakkan buluh daripada dilangkah manusia.

Rajah 8: Buluh ditebang dan dikumpulkan bersama untuk disimpan

6.2 Meraut Buluh
Buluh perlu diraut untuk membuang bahagian-bahagian yang tidak diperlukan
seperti ruas dan kulit. Selain itu tujuannya adalah untuk memberi keseimbangan
pada bentuk dan berat bahagian sayap wau. Pisau khas digunakan untuk meraut
dan mestilah benar-benar tajam bagi memastikan kerja-kerja tersebut dapat
dijalankan dengan mudah dan mengelakkan daripada kesilapan.
Antara bahagian buluh yang perlu diraut adalah seperti :-
1. Bahagian tulang belakang diraut sehingga 1.0 sentimeter dengan kadar
lembut dan sederhana keras.
2. Bahagian bilah sayap di kedua-dua bahagian diraut sehingga 1.5
sentimeter dan semakin halus di hujung bilah tersebut iaitu sebesar lidi
kelapa.
3. Bahagian ekor yang mempunyai dua bahagian juga perlu diraut sehingga
0.5 sentimeter
4. Raut bilah-bilah buluh untuk bahagian pinggang dan bulatan berbentuk
bulan. Rautan di bahagian tersebut adalah lebih nipis dan bersaiz kecil
0.5 sentimeter untuk memudahkan ia dibentuk.
5. Selepas semua buluh diraut, proses seterusnya ialah semua bilah
tersebut akan digosok pula dengan kertas pasir.

15








Rajah 9: Meraut Buluh

6.3 Membuat Bingkai Wau







Rajah 10: Proses membuat bingkai

Bingkai wau terdiri daripada beberapa bahagian utama iaitu tulang belakang,
tulang rentas sayap, rangka sayap dan rangka ekor. Buluh yang sudah diraut akan
dipotong mengikut ukuran wau yang dikehendaki iaitu dua keping buluh untuk sayap,
satu keping untuk tulang belakang dan dua keping lagi untuk rangka ekor. Kepingan
buluh yang hendak dibuat sayap perlulah diseimbangkan dengan menandakan di
tengah-tengah kepingan buluh.
Proses mengikat bingkai wau :







Rajah 11: Proses mengikat bingkai wau
16

1. Tulang belakang wau diukur kepada 3 bahagian dan kemudiannya
ditanda 3 bahagian tersebut.
2. Bahagian sayap wau akan diikat terlebih dahulu
3. Sayap yang sudah diikat akan diikat pula pada tulang belakang
4. Ikat di bahagian atas dan bawah ekor pada tulang belakang. Pastikan
bahagian tersebut seimbang di kedua-kedua belah.
5. Cantumkan hujung bahagian ekor kemudian tautkan pada hujung
bahagian sayap
6. Untuk bahagian pinggang terutamanya jenis wau bulan, kepingan
buluh ditaut membentuk separa bulatan pada bahagian sayap dan ekor
wau. Seterunya kepingan buluh yang diraut lebih nipis dibentuk
menjadi bulatan untuk diikat di tengah pinggang wau. Saiznya
ditentukan dengan mengikut nisbah iaitu bersamaan dengan keluasan
kepala wau.
7. Proses terakhir ialah membuat kepala wau iaitu dengan mengikat
separuh daripada kepala wau dengan sayap dengan jarak 2 inci dari
tulang belakang.

6.4 Memasang Tanah Wau











Rajah 12: Bingkai wau yang telah siap (sebelah kiri) dan pemasangan tanah wau
(sebelah kanan).

17

Setelah bingkai wau siap, satu lapisan asas yang dipanggil tanah akan
dipasang pada wau. Tujuannya supaya wau tersebut tahan lasak kerana sifat utama
kertas tersebut lebih kenyal dan tidak ditembusi angin. Pemasangan melibatkan
beberapa langkah :-
1. Ukur kertas dengan saiz bingkai.
2. Kemudian kertas ditanda dengan pensil dan perlu dilebihkan dua
sentimeter dari rangka bingkai.
3. Potong kertas wau tersebut dan lebihan tadi dipotong dalam bentuk V.
4. Lekatkan kertas pada bingkai dengan menggunakan gam kanji.

6.5 Mengukur, Melukis dan Menyobek Corak
Ukiran lukisan pada badan wau adalah antara elemen utama yang
menjadikan wau tersebut unik dan istimewa. Antara langkah-langkah yang terlibat :
1. Lipat empat kertas warna untuk bahagian sayap, dan lipat dua untuk
bahagian ekor.
2. Mulakan melukis dari bahagian dada sehingga ke hujung sayap
dengan mengosongkan satu ruang kosong untuk ruang tapak kijang,
bagi bahagian ekor pula, corak yang hendak dilukis mestilah sama
dengan corak di bahagian sayap.
3. Corak perlu dipotong menggunakan pisau tajam khas dan corak ini
menjadi corak asas bagi wau.
4. Corak akan ditampal pada kertas warna lain, biasanya warna emas
dengan menyapu gam di belakang kertas corak. Gam perlu dicampur
dengan air terlebih dahulu untuk elakkan daripada berkedut. Kertas
bercorak akan diletakkan di atas kain lembap. Kertas berwarna
diletakkan perlahan-lahan ke atas kertas corak dan kemudiannya
diratakan dengan menggunakan seterika panas di atas kain lembap
tadi.
5. Potong semula corak yang hendak disobek dan tampal sekali lagi
dengan kertas berlainan warna sehingga siap sepenuhnya.
6. Tampal ukiran sobek tadi pada tanah wau dengan hanya menyapu
gam kanji pada bahagian tepinya sahaja.
7. Bahagian yang tidak lekat dikemaskan dengan menyapu gam
menggunakan berus lukisan. Bagi wau hiasan akan ditampal kertas
18

hiasan di belakang wau untuk menutup kecacatan iaitu kerangka buluh
dan tulang rentas sayap wau. Berlainan pula dengan wau yang hendak
diterbangkan mestilah menggunakan kertas yang tidak menyerap air.
Selain itu, belakang wau tersebut tidak ditampal kertas hiasan dan
ukiran sobek hanya mempunyai tiga atau empat lapis sahaja
berbanding dengan wau hiasan yang mempunyai sehingga lapan
warna.

6.6 Membuat Serta Memasang Jambul atau Rambu
Jambul atau rambu dipasang dengan dililitkan pada rangka ekor atau sayap wau.
Jambul diperbuat daripada kertas crepe yang dipotong dengan gunting secara
memanjang untuk membentuk rambu.








Rajah 13: Jambul dipasang

6.7 Membuat serta Memasang Belalai
Menggunakan bahan yang sama dengan jambul tetapi dipasang pada kepala
wau.









19

7.0 KAEDAH PERMAINAN

Kelebihan permainan wau adalah wau dapat dimainkan di mana-mana sahaja
tanpa keperluan gelanggang khusus. Setiap kawasan lapang boleh dijadikan tempat
permainan wau. Biasanya wau dimainkan di kawasan lapang di tepi pantai, kawasan
sawah, padang dan sebagainya. Kelebihan kawasan lapang ialah mempunyai tiupan
angin kencang yang mampu menerbangkan wau lebih tinggi di samping
memudahkan lagi pergerakan seseorang pemain wau.
Bagi penggemar wau, kepuasan jelas terlihat apabila wau yang dimainkan
mampu terbang tinggi. Sebelum diterbangkan, wau perlu mempunyai keseimbangan
yang baik dan tidak berat sebelah. Faktor ini akan menentukan sama ada wau dapat
terbang dengan baik atau sebaliknya.
Wau yang seimbang sudah bersedia untuk dinaikkan. Biasanya dua orang
diperlukan sewaktu menaikkan wau. Seorang akan bertindak untuk memegang tali
wau yang digelar juruanjung. Sementara rakannya pula yang digelar jurumain tali
akan bertindak membawa wau kira-kira 15 hingga 25 meter dari kedudukan
juruanjung.
Sewaktu angin bertiup kencang, wau akan dilepaskan ke udara. Sepantas itu
juga juruanjung akan menarik wau sambil berlari-lari anak. Ketika itu, wau akan naik
sedikit demi sedikit agar wau dapat dinaikkan lebih tinggi sehingga ada kalanya
mampu mencecah ketinggian 600 meter. Setelah wau naik tinggi, juruanjung akan
menambat tali wau pada pangkal pokok atau terus memegang tali itu. Wau hanya
akan jatuh setelah tiada angin yang bertiup.











20

8.0 PERTANDINGAN PERMAINAN WAU

Pertandingan bermain wau boleh dikategorikan kepada dua jenis, iaitu
pertandingan ketinggian dan pertandingan kecantikan.

Pertandingan Kecantikan

1. Wau dipertandingkan berdasarkan keindahan rekaan corak pada badan
wau.
2. Kreativiti dan originaliti corak akan menentukan markah yang tinggi.


Rajah 14: Motif flora menjadi inspirasi rekaan corak


Rajah 15: Kehalusan wau jelas dilihat




21

Pertandingan Tinggi

1. Wau akan diterbangkan setinggi sekurang-kurangnya 500 kaki dari bumi.
2. Pihak juri pengadilan akan menilai kedudukan tegak wau semasa berada di
awangan.
3. Ukuran tegak di ukur berdasarkan ketegangan tali wau.
4. Wau yang sentiasa berada dalam kedudukan menegak akan mendapat
markah yang tinggi.


Rajah 16: Wau dipertandingkan berdasarkan ketinggian















22

9.0 PERSAMAAN WAU DAN LAYANG-LAYANG

Layang-layang dan wau merupakan dua jenis permainan tradisional yang
menarik dan mendapat tempat terutama dalam kalangan pelbagai masyarakat di
negara ini.
Jika dikaji dari beberapa perspektif, terdapat banyak persamaan antara
layang-layang dan wau. Hal ini disebabkan kedua-duanya adalah permainan yang
menaikkan objek ke udara dengan bantuan angin.

9.1 Bentuk Asas
Layang-layang dan wau boleh dikategorikan dalam kumpulan yang sama. Hal
ini demikian kerana kedua-duanya mempunyai kerangka yang diperbuat daripada
buluh yang diraut halus dan badannya diperbuat daripada kertas.
Layang-layang dan wau juga mempunyai dua bahagian kepak yang terdapat
pada bahagian sisinya. Kepak ini merintang pergerakan angin yang membolehkan
layang-layang dan wau berterbang tinggi.
Sementara bahagian ekornya pula berfungsi untuk mengimbangi layang-
layang dan wau yang sedang terbang. Kedua-dua permainan ini memerlukan
bantuan tali atau benang yang kuat untuk menaikkannya.

9.2 Kawasan Permainan
Layang-layang dan wau tidak mempunyai kawasan khusus untuk dimainkan.
Walau bagaimanapun, kedua-duanya sesuai dimainkan di kawasa yang lapang
kerana mempunyai tiupan angin yang lebih baik.
Angin merupakan unsur penting dalam kedua-dua permainan ini, Sekiranya
tiada angin yang bertiup, wau dan layang-layang sukar dinaikkan. Justeru, baik
layang-layang mahupun wau, kedua-duanya adalah permainan yang memerlukan
bantuan angin.






23

10.0 PERBEZAAN WAU DAN LAYANG-LAYANG

10.1 Bentuk
Layang-layang mempunyai bentuk yang hampir sama iaitu bersegi.
Penghasilan sebuah layang-layang adalah mudah. Namun penghasilan sesebuah
layang-layang kurang menarik dan ketandusan kreativiti jika dibandingkan dengan
sesebuah wau.
Wau biasanya mempunyai bentuk yang juah lebih menarik dan boleh terdapat
dalam pelbagai bentuk, bergantung kepada kreativiti pembuat wau. Bentuk yang
pelbagai dengan dihiasi corak-corak yang menarik menjadikan wau kelihatan gah
sewaktu di udara.

10.2 Saiz
Layang-layang mempunyai saiz yang jauh lebih kecil jika dibandingkan
dengan saiz wau. Panjang layang-layang lazimnya sekitar 1 meter dan lebarnya
hanya setengah meter sahaja.
Sementara saiz wau adalah jauh lebih besar sehingga menjangkau bermeter-
meter. Terdapat juga wau yang dicipta mempunyai ekor yang sangat panjang
terutama sekali apabila menghasilkan wau yang berbentuk ular, naga dan
sebagainya.
Oleh itu, tidak hairanlah terdapat wau yang mempunyai berat melebihi tiga
kilogram kerana saiznya yang besar serta dimuatkan dengan pelbagai aksesori.

10.3 Corak Permainan
Dari segi pertandingan, layang-layang jarang dipertandingkan disebabkan
layang-layang tidak mempunyai nilai komersial. Oleh itu, layang-layang banyak
dimainkan oleh kanak-kanank untuk megisi masa lapang di samping mencari
keseronokan.
Perkara ini sangat berbeza dengan wau yang banyak dipertandingkan bukan
sahaja di peringkat negeri dan kebangsaan tetapi jufa di peringkat antarabangsa.
Dari segi pertandingan, wau yang terbang tinggi menghasilkan bunyi yang kuat dan
dicorakkan dengan kreativiti tertentu yang menjadi pilihan untuk menang.
Selain itu, layang-layang bersaiz kecil dan amat mudah dinaikkan. Pemain
akan menarik layang-layang hanya pada jarak 10 meter dan berlari-lari anak untuk
24

menaikkannya. Tiupan angin yang perlahan juga sudah mencukupi untuk menaikkan
layang-layang kerana sifatnya yang kecil dan ringan.
Di sebaliknya, bagi menerbangkan wau bukanlah semudah seperti layang-
layang. Saiznya yang besar menyebabkan dua orang dewasa diperlukan untuk
menaikkannya. Pemain pertama akan memegang tali sementara pemain kedua pula
akan memegang wau. Apabila angin bertiup, jarak antara kedua-dua pemain adalah
sekitar 20 meter. Wau akan diterbangkan dengan cara melontarkanya dengan kuat
ke udara dan kemudiannya wau akan terbang di udara.











Rajah 17: Permainan wau memerlukan 2 orang pemain



Rajah 18: Permainan layang-layang hanya memerlukan 1 orang pemain



25

10.4 Barang Perhiasan
Dari segi barang perhiasan atau aksesori yang terdapat pada layang-layang
dan wau juga cukup berbeza.
Layang-layang tidak memerlukan apa-apa perhiasan. Hal ini disebabkan
layang-layang boleh menjadi berat dan sukar untuk diterbangkan sekiranya
diletakkan pelbagai jenis perhiasan seperti renda, ropol, manik dan sebagainya,
Apatah lagi saiz layng-layang yang kecil menyukarkan layang untuk diletakkan
sebarang aksesori.
Wau, sebagaimana yang diketahui mempunyai pelbagai perhiasan yang
menarik. Antara perhiasan yang terdapat pada wau ialah pelbagai jenis renda dan
manik. Renda lazimnya digunakan untuk dijadikan ekor manakala manik-manik
dilekatkan pada badan wau agar kelihatan lebih cantik, menarik dan menawan.









Rajah 19: Renda Rajah 20: Manik-manik









26

RUMUSAN
Wau tradisional dan layang-layang mempunyai keunikannya yang tersendiri.
Namun, pada zaman yang berpaksikan teknologi moden ini, permainan tradisional
semakin dipinggirkan dan dipandang hina oleh masyarakat terutamanya di kawasan
bandar. Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana warisan tradisional ini perlu
dikekalkan sebagai identiti budaya bangsa Melayu dan juga sebuah negara.
Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pihak berkuasa bagi memartabatkan
permainan tradisional ini dan seterusnya memberi kesedaran kepada masyarakat
untuk menghargai warisan tradisional yang diwarisi secara turun-temurun. Oleh yang
demikian, permainan wau mulai popular dalam kalangan masyarakat bandar dan
tidak lagi terhad di luar bandar sahaja. Bukan itu sahaja, permainan wau ini juga
telah dimodenkan dan mula memasuki peringkat antarabangsa. Para pembuat wau
dan layang-layang juga mengubahsuai rupa bentuk dan corak wau dan layang-
layang dengan karton supaya lebih mudah diterima oleh kanak-kanak.
Dengan berlangsungnya pesta layang-layang dan festival layang-layang di
Malaysia, ekonomi negara dapat ditingkatkan kerana banyak pelancong asing
terpesona dengan kecantikan wau dan sanggup melancong di Malaysia untuk
menyertai pertandingan tersebut, Secara tidak langsung, hal ini telah banyak
membuka peluang pekerjaan kepada pembuat wau dan layang-layang. Selain itu,
sektor pelancongan juga dapat dikembangkan. Oleh itu, Malaysia dapat duduk
sebaris dengan negara-negara maju dan mampu bersaing di persada dunia.

27

RUJUKAN
Zabri Zakaria. (2005). Variasi Seni dan Budaya Permainan Rakyat. Penerbit
Sejati. Petanling Jaya, Selangor.
Wolfgang Schimmelpfennig. (1988). Hamlyn Creative Crafts Making and Flying Kites.
The Hamlyn Publishing Group Limited. Singapore.
David F.Jue. (1967). Chinese Kites, How to Make and Fly them. The Charles E.
Tuttle Company. Japan
Susan Mayes. (1992). Mari Mencuba Wau. Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.. Shah
Alam, Selangor.
Maya. (2008). Permainan Tradisional Wau. Dilayari pada 2 Mac 2013 di URL
http://puadede.com/v1/permainan-tradisional-wau/
Diyana Rose Kamaludeen. (2008). Utusan Online. Dilayari pada 2 Mac 2013 di URL
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1216&sec=Keluarga&
pg=ke_02.htm
Kumpulan Syazwan. (2010). Wau. Dilayari pada 2 Mac 2013 di URL
http://paichorwan-tradisional.blogspot.com/2010/08/wau.html
Nur Amira Asri. (2008). Pembuatan Wau. Dilayari pada 2 Mac 2012 di URL
http://www.bb2008-amiraa.blogspot.com/

Vous aimerez peut-être aussi