Vous êtes sur la page 1sur 2

ASAL USUL KOMPANG

Kompang ialah sejenis alat muzik tradisional yang paling popular bagi masyarakat
Melayu. Ia tergolong dalam kumpulan alat muzik gendang. Kulit kompang biasanya diperbuat
daripada kulit kambing. Mempunyai baluh berbingkai yang dibuat dari kayu keras, lazimnya
kayu jenis nangka atau nama saintifik Artocarpus Heterophyllus. Belulang dari kulit kambing
digunakan sebagai bahan bunyi yang dipasang pada permukaan baluhnya dengan
menggunakan bahan pelekat dan ditindih dengan paku supaya ketegangannya lebih terjamin.
Pada kebiasaannya, seurat rotan akan diselit dari bahagian belakang antara kulit dan
bingkai kayu bertujuan menegangkan permukaan kompang, bertujuan menguatkan bunyi
kompang. Kini, gelung plastik turut digunakan.

Alat muzik ini berasal dari dunia Arab dan dipercayai dibawa masuk ke Tanah Melayu
sama ada ketika zaman Kesultanan Melaka oleh pedagang India Muslim, atau melalui Jawa
pada abad ke-13 oleh pedagang Arab.
Kompang biasanya berukuran enam belas inci ukur lilit dan ditutup dengan kepingan
kulit pada sebelah permukaan. Ia mempunyai bukaan cetek dan dimainkan dengan memegang
dengan sebelah tangan sementara dipalu dengan sebelah tangan yang lain.

Cara memalu kompang ialah dengan menepuk kulit kompang dengan bahagian jari-jari
atau tapak tangan mengikut rentak. Kompang lazimnya dimainkan secara berkumpulan.
Kompang biasanya dimainkan semasa perarakan, kenduri dan upacara-upacara tradisi lain.
Dalam konteks persembahan, kumpulan kompang akan dibahagi kepada tiga kumpulan
mengikut peranannya masing-masing.

Bunyi yang berlainan dihasilkan dengan membezakan cara bukaan tapak tangan. Bunyi
bum di perolehi dengan tepukan di sisi kompang dan tapak tangan dikuncup/rapat. Bunyi pak
di perolehi dengan tepukan di tengah kompang dengan jari tangan yang terbuka.
Paluan kompang terbahagi kepada 2 bahagian iaitu paluan tradisi dan paluan moden
ataupun kreatif. Paluan tradisi adalah paluan di mana memukul kompang sambil menyanyi
ataupun bersyair dalam versi Arab ataupun bahsa Melayu klasik. Manakala paluan moden pula
di mana paluan tersebut diselitkan dengan gerakan ataupun tarian. Di Sabah, pertandingan
kompang sering diadakan untuk memartabatkan kembali kesenian Melayu yang telah hampir
pupus ini.