Vous êtes sur la page 1sur 2

Perpaduan Kaum.

Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum dan etnik
justeru tidak hairanlah jika pelbagai adat, budaya dan perayaan wujud dalam setiap negeri. Antara
kaum yang terdapat di Malaysia ialah Melayu, Cina, India dan antara etnik yang terdapat di
Semenanjung Sabah dan Sarawak ialah Iban, Kadazan dan Bajau. Apabila berbicara perihal sebegini,
sudah tentu timbul di benak fikiran mengenai perpaduan yang merupa kan sesuatu yang simbolik
dalam setiap kaum atau etnik dan perpaduan memainkan peranan penting sebagai tunjang kepada
keharmonian negara. Perbezaan kaum ini menimbulkan pelbagai perkara antaranya perselisihan
faham seperti tragedi 13 Mei yang mengakibatkan tanah Melayu dilanda peristiwa berdarah.
Peristiwa yang sudah sekian lama berlalu ini menggamit memori pahit buat tanah Melayu. Oleh itu,
perpaduan memainkan peranan penting dalam memangkin keharmonian dalam setiap kaum dan
juga membawa peranan dalam membangunkan negara dalam pelbagai aspek.
Antara kepentingan perpaduan kaum adalah mengekalkan kestabilan politik. Hal ini
demikian kerana kestabilan politik bergantung kepada keharmonian yang dikecapi oleh pelbagai
kaum yang mendiami sesebuah negara. Struktur pentadbiran negara yang kukuh lagi utuh
dimanipulasi oleh kestabilan politik yang akan memacu negara di persada dunia. Oleh itu, isu
perpaduan kaum tidak boleh dipandang enteng. Pelbagai manfaat yang boleh diperolehi hasil
daripada kestabilan politik yang wujud dalam sesebuah negara. Umpamanya, kestabilan politik di
Johor telah memberi keyakinan kepada pelabur-pelabur asing untuk melabur di Malaysia bagi
membangunkan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). Malaysia juga dapat melebarkan lagi sayap
untuk menjadi sebuah negara yang maju hasil daripada perpaduan kaum yang utuh.
Antara faktor yang menyumbang kepada perpaduan kaum pula ialah aktiviti
bermasyarakat yang giat diadakan setiap tahun. Rumah terbuka, sesi bergotong-royong beramai-
ramai merupakan antara aktiviti bermasyarakat yang dapat merapatkan hubungan silaturahim
antara kaum yang berkerjasama dalam menjayakan aktiviti yang diadakan. Aktiviti rumah terbuka
yang dihadiri ramai menyumbang kepada sesi perkenalan dan merapatkan ukhuwah masyarakat
setempat. Sebagai contoh, semasa rumah terbuka diadakan oleh kaum Melayu ketika sambutan Hari
Raya Aidilfitri, kaum Cina, India dan pelbagai kaum lagi akan datang berkunjung ke rumah orang
Melayu dan begitulah sebaliknya bagi kaum lain. Misalnya, kaum Cina akan berusaha menyediakan
makanan yang halal kepada kaum Melayu apabila menjemput kaum Melayu yang hadir ke rumah
sewaktu mengadakan rumah terbuka ketika Tahun Baru Cina. Isu-isu keagamaan, kebudayaan yang
dihormati oleh masyarakat setempat ini membawa kepada perpaduan kaum. Sikap menghormati
dan bertoleransi ini juga mencetuskan keharmonian dalam sesebuah masyarakat dan amalan yang
dibawa menunjukkan perpaduan kaum ibarat isi dengan kuku.
Seperti yang sedia umum maklum, Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk
iaitu masyarakat yang berbilang kaum. Oleh itu, pelbagai perbezaan daripada segi adat,kebudayaan,
agama yang terdapat dalam setiap suku kaum. Apabila pelbagai perbezaan yang terdapat maka
timbul berbagai-bagai cabaran untuk mencapai kata sepakat di antara setiap kaum. Cabaran ini
menyukarkan perpaduan kaum untuk dikekalkan kerana setiap kaum mempunyai pegangan sendiri
yang ingin dipertahankan kerana nilai turun-temurun itu mencerminkan keluhuran kebudayaan
setiap kaum. Cabaran pelbagai perbezaan pendapat ini perlu dicakna supaya tidak berlaku
perselisihan yang tidak diingini dengan menyemai sikap bertoleransi atau nilai-nilai murni yang
membawa kepada keharmonian masyarakat setempat.
Setiap lapis masyarakat perlu memainkan peranan dalam membantu mengekalkan
perpaduan kaum. Antara langkah yang boleh diambil adalah pihak sekolah mengadakan aktiviti
kokurikulum yang melibatkan semua murid yang berbilang bangsa untuk berkerjasama melakukan
aktiviti yang dianjurkan. Sikap-sikap yang murni juga boleh disemai setiap individu dengan
melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum. Misalnya, sikap kepimpinan dapat diterajui oleh setiap
individu kerana masing-masing mempunyai tanggungjawab untuk menjayakan aktiviti yang
dilakukan. Sikap bekerjasama, bertoleransi dapat juga disemai dalam diri murid-murid agar menjadi
medium yang dapat mengekalkan perpaduan kaum bak kata aforisme Melayu, melentur buluh
biarlah daripada rebungnya.
Kesimpulannya, setiap individu merupakan aset penting dalam memainkan peranan
untuk mengekalkan perpaduan kaum dalam sesebuah negara. Tanggungjawab yang dipikul oleh
setiap individu membawa kepada keharmonian sejagat. Setiap individu perlu meyemat cogan kata,
bersatu teguh, bercerai roboh dalam diri agar keharmonian yang dikecapi dapat dilestarikan. Oleh
itu, perpaduan kaum harus sentiasa dipelihara bagi mengelakkan pergolakan dan membawa
kebaikan kepada diri, masyarakat dan negara dalam setiap penjuru aspek yang menjamin kemajuan
tamadun sesebuah negara.

Vous aimerez peut-être aussi