Vous êtes sur la page 1sur 15

PERANAN YANG PERLU DIMAINKAN OLEH KEPIMPINAN SEKOLAH KEARAH

MELAHIRKAN WARGA SEKOLAH YANG CEMERLANG DAN BERPRESTASI


TINGGI

1.0. PENGENALAN

Pendidikan merupakan nadi penggerak kearah peningkatan tamadun sesuatu bangsa.
Maju atau mundurnya sesebuah Negara berkaitrapat dengan sistem pendidikan yang diterima
oleh rakyat sesebuah Negara. Melalui Wawasan 2020 yang digariskan oleh Dr. Mahathir
Mohamed pada 28 Februari 1991,beliau berhasrat ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah
Negara maju menjelang 2020 dengan rakyat memiliki pegangan yang teguh dan keyakinan diri
yang tinggi serta masih utuh kepada ajaran agama, moral dan etika ketimuran.Lanjutan itu, di
bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi telah
memperkenalkan MISI NASIONAL yang mengaitkan dengan Islam Hadhari yang menekankan
penguasaan ilmu pengetahuan dan pembangunan potensi individu bagi menyediakan sumber
tenaga manusia yang seimbang iaitu modal Insan. Misi Nasional ini memberikan penekanan
tinggi terhadap pembangunan modal insan minda kelas pertama. Kemudian dasar ini
diteruskan lagi oleh Perdanana Menteri sekarang iaitu dengan memperkenalkan Dasar 1
Malaysia hasil ilham Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak mengukuhkan lagi betapa
perlunya keupayaan modal insan ini digembleng demi kecemerlangan negara.







1.1. PENDAHULUAN
Kementerian Pelajaran Malaysia melalui PIPP ( Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
2006-2010) yang menggariskan 6 teras utama ke arah pencapaian pendidikan bertaraf dunia.
Melaluinya diharapkan Kementerian Pelajaran Malaysia akan mengorak langkah membuat
anjakan paradigma kepada budaya berasaskan ilmu dan pemikiran di sekolah-sekolah.
Sehubungan itu, sistem pendidikan diharapkan akan dapat mengeluarkan lepasan sekolah
yang kreatif dan berdaya fikir, mampu menjana idea dan rekaan baru untuk membangunkan
industri berasaskan produk serta perkhidmatan bernilai tambah.
Dalam usaha mengejar dan mencapai kecemerlangan pendidikan, kepimpinan
pemimpin sekolah iaitu Pengetua atau Guru Besar sering dilihat sebagai fokus utama. Dapatan
dapatan yang ditemui dalam penyelidikan tentang kecemerlangan sekolah telah menunjukan
bahawa peranan pemimpin sekolah akan menjadi penentu kejayaan sesebuah sekolah
Oleh itu, Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama Institut Aminuddin Baki
(IAB), telah menggariskan 9 tugas dan peranan yang perlu dikuasai oleh setiap pengetua atau
Guru Besar untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran menangani dunia
pendidikan bagi melahirkan pendidikan berkualiti dan sekolah berkesan atau sekolah cemerlang
(IAB, 2006). 9 Standard Kompetensi tersebut adalah:,Pengurusan dan Kepimpinan Organisasi,
Pengurusan Kurikulum, Pengurusan Ko-Kurikulum, Pengurusan Hal Ehwal Murid,Pengurusan
Kewangan, Pengurusan Pentadbiran Pejabat, Pengurusan Persekitaran dan Kemudahan
Fizikal, Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia dan Pengurusan Perhubungan Luar.
Ternyata peri pentingnya kepimpinan sekolah dalam menjana kecemerlangan sesebuah
sekolah. Pengetua atau Guru Besar sebagai peneraju utama sekolah menjadi penentu kepada
kejayaan setiap perancangan dan menggerakkan setiap warga sekolah ke arah pencapaian visi
yang seterusnya mewujudkan sebuah sekolah yang cemerlang.










2.0. DEFINISI KONSEP
2.1. Kepimpinan dan Pemimpin

Sebenarnya untuk mentakrifkan maksud kepimpinan adalah terlalu sukar (Yulk,
1999, Bass 1990). Pada kebiasaannya, makna dan takrif kepimpinan itu adalah
berdasarkan point of view, weltanchung dan world view pada pentakrifnya. Menurut
Fleishman (1973), kepimpinan adalah usaha ke arah pengaruh perseorangan yang
diarahkan melalui proses komunikasi bagi pencapaian sesuatu matlamat. Hersey dan
Blanchard (1977), pula menyatakan kepimpinan adalah proses mempengaruhi kegiatan
individu atau kumpulan dalam usaha mencapai matlamat dalam sesuatu tindakan.

Abas Awang dan Abdullah Ngah, (2007) mentakrifkan kepimpinan sebagai setiap
tindakan yang menumpukan sumber-sumber ke arah matlamat yang benar-benar
bermanfaat. Hollander (1978) mendefinisikan kepimpinan sebagai satu proses pengaruh
mempengaruhi di antara pemimpin dan pengikut. Walaupun pemimpin mempunyai
kuasa tetapi kekuatan pengaruh lebih bergantung kepada pemujukan daripada paksaan.

Menurut koontz dan Wiehrich (1992), menjelaskan kepimpinan sebagai suatu
seni atau proses mempengaruhi orang supaya mereka berjuang atau melakukan
sesuatu dengan rela hati dan penuh semangat kea rah pencapaian matlamat kumpulan.
Kepimpinan menurut kacamata Islam adalah berteraskan konsep Khalifah iaitu setiap
manusia yang dijadikan Allah di alam ini adalah pemimpin yang bertanggungjawab
memimpin diri, keluarga dan ahli ahli di bawahnya.
Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu akan ditanya tentang rakyat yang
dipimpin. (Riwayat Bukhari dan Muslim 1528).

Dari hadith tersebut dapatlah diutarakan bahawa Islam tidak meletakan
pemimpin itu sebagai seorang individu yang boleh mempengaruhi para pengikutnya
sebagaimana yang diutarakan oleh pengarang pengarang dari Barat, tetapi Islam
mengamanahkan pemimpin untuk menegakkan ummah dan melaksanakan sistem
kehidupan kerana Allah menurut nilai nilai dalam Islam (Yusof Ismail,1991).

Dalam konteks kepimpinan, ianya boleh dibincangkan dalam dua kategori iaitu :

2.1.1 Kepimpinan Instruksional
Mengikut Sweeny (1982) ,enam ciri kepimpinan pengetua / guru besar yang
berkaitan dengan kepimpinan pengajaran di sekolah;
penekanan terhadap pencapaian pelajar dalam pelajaran, menyusun dan menetapkan
strategi pengajaran; menyediakan dan mengekalkan suasana kondusif di sekolah (iklim
sekolah); kerap menilai pencapaian akademik pelajar; menyelaras program pengajaran;
membantu dan memberi semangat kepada guru-guru. Menurut Hussien Mahmood(
1993), mengatakan bahawa kepimpinan pengetua / guru besar bertanggungjawab
mengadakan falsafah, matlamat dan objektif sekolah, membimbing para guru
meningkatkan kecekapan mereka dalam pengajaran dan lain-lain bidang kurikulum.
Pengetua juga melaksanakan program perkembangan staf, menyelaras aktiviti
pendidikan serta lain-lain usaha. Jelaslah, kepimpinan pengetua dalam melaksanakan
dan menumpukan seluruh tenaga dalam memastikan tugas hakiki dan utama dalam
kecemerlangan kurikulum, amatlah penting.

2.1.2 Kepimpinan Tranformasional
Menurut tulisan Zaidatol Akmaliah (2003) mendefinasikan kepimpinan ini sebagai
pemimpin yang mampu mempengaruhi perubahan besar dalam organisasi serta
membentuk komitmen ahlinya untuk mencapai visi, misi, matlamat dan strategi
organisasi. Beliau seterusnya melanjutkan bahawa pengetua bukan lagi diperlukan
untuk mengawal organisasi tetapi berperanan memimpin staf untuk menyumbang di
peringkat yang lebih tinggi. Hal ini disokong oleh Rahimah Ahmad (2002) yang
menyarankan agar pengetua mengamalkan pengupayaan kepimpinan dalam kalangan
guru-gurunya. Oleh itu, benarlah seperti apa yang dimaksudkan oleh Bass (1978) yang
menyatakan bahawa kepimpinan transformasi ini merupakan ciri kepimpinan yang
mengandungi sifat-sifat keupayaan membangkitkan inspirasi, kebolehan merangsang
intelektual dan bersifat bertimbang rasa secara individu. Hal ini penting kerana
kepimpinan sekolah pada hari ini bukan sahaja bertanggungjawab menjalankan tugas
fungsionalnya sahaja malahan ia perlu menangani segala permasalahan yang berkaitan
dengaan kepimpinannya di sekolah secara profesional (Hussien Ahmad, 2002).
Oleh itu, jelaslah bahawa pengetua atau Guru Besar sebagai pemimpin
organisasi yang mengamalkan kepimpinan tranformasional perlulah mampu
menjelaskan kepada staf bawahannya mengenai halatuju sekolah, berkongsi idea serta
menerima pandangan orang bawahannya, mampu membawa perubahan dan inovasi,
menunjukkan semangat dan inspirasi tinggi, sanggup berkorban demi kemajuan
organaisasi dan perihatin terhadap keperluan orang bawahannya.

2.2. Guru Besar

Di Sekolah Rendah samada sekolah kebangsaan atau sekolah vernakular, Guru
Besar adalah individu yang paling penting dan berpengaruh di sesebuah sekolah. Dia
adalah individu yang bertanggungjawab terhadap semua aktiviti yang berlaku di sekolah.
Kepimpinan beliau yang menetapkan hala tuju sekolah, iklim pembelajaran, tahap
profesionalisme dan moral guru serta darjah keprihatinan terhadap masa depan pelajar,
(Rosemblum dalam Hussein Mahmood,1993)

Menurut Ibrahim Mamat (1998), Guru Besar adalah orang yang mengetuai atau
memimpin sesebuah sekolah. Pada diri seorang Guru Besar terdapat ciri ciri
kepimpinan. Guru Besar merupakan orang yang bertanggungjawab untuk mengambil
iniasiatif bagi menggerakan perubahan di sekolahnya (Sabri Salleh, 1998).

3.0. KONSEP KEPIMPINAN DALAM PENDIDIKAN

Di sekolah, kepimpinan adalah satu aspek tingkahlaku dan juga sejenis pengaruh
(Ramaiah,1999). Kepimpinan seorang Guru Besar adalah bergantung kepada kedudukan
formal dalam struktur organisasi sesebuah sekolah. Jawatan Guru Besar diberi pengiktirafan
dan status yang tersendiri dalam kedudukan organisasi sekolah tersebut sebagai ketua sekolah
serta mempunyai kuasa dalam menentukan hala tuju sekolah tersebut berdasarkan etika
penjawat awam. Apabila seseorang Guru Besar telah dilucutkan jawatan tersebut atau telah
bersara, maka status kepimpinan tersebut turut lenyap.

Dalam konteks kepimpinan dalam pendidikan, Guru Besar perlu melaksanakan dasar
dasar yang telah digubal oleh Kementerian dan Jabatan Pendidikan di sesebah negeri di mana
beliau bertugas. Guru Besar perlu memastikan bahawa dasar dasar yang telah digariskan
sebagai panduan untuk kelancaran pengurusan sesebuah sekolah adalah jelas kepada semua
anggota di sekolah. Dan sebarang peraturan yang dimurnikan oleh pemimpin sekolah bagi
kecemerlangan sekolah haruslah bersesuaian atau harmoni dengan dasar yang sedia ada di
mana dasar dasar ini adalah merupakan pemandu arah serta kenyataan visi.

4.0. PERANAN GURU BESAR SEBAGAI PEMIMPIN SEKOLAH

Menurut Hussein (1993) berdasarkan kajian sekolah berkesan, peranan Guru Besar
sering dibincangkan sebagai faktor yang menyebabkan kejayaan sesebuah sekolah. Oleh itu,
Guru Besar perlu memainkan peranannya dengan berkesan supaya sekolah akan terus
cemerlang. Pengetua sekolah di Malaysia bertanggungjawab dalam hal-hal yang berkaitan
dengan sekolah termasuklah (Hussien, 1993, p 21): berusaha bagi mencapai dasar pendidikan
di peringkat sekolah; mengurus dan mentadbir sekolah, kurikulum, kokurikulum, kebajikan
pelajar, guru dan staf sokongan sekolah; menyediakan khidmat bantu yang secukupnya bagi
meningkatkan pengajaran dan pembelajaran dan mewujudkan dan memajukan iklim dan
budaya sekolah. Justeru itu Guru Besar perlu berperanan memastikan segala tenaga dan
usaha guru-guru digembleng dengan menggunakan sumber yang ada ke arah pencapaian
program pendidikan yang berkesan berdasarkan lunas lunas kepimpinan.

Hussein (1993), peranan yang perlu dimainkan oleh Guru Besar itu meliputi tiga aspek
utama iaitu sebagai pengurus, pentadbir dan pemimpin. Sebagai pengurus, Guru Besar
bertanggungjawab terhadap belanjawan dan kewangan sekolah, pengagihan sumber dan
sebagainya. Sebagai seorang pentadbir, Guru Besar bertanggungjawab terhadap tugas tugas
pentadbiran yang meliputi penilaian kerja kerja stafnya, pengurusan hal hal rasmi,
penjadualan kerja dan waktu belajar. Guru Besar juga harus pakar dalam pengurusan kurikulum
yang membawa hala tuju sekolah kea rah kecemerlangan dari segenap sudut sama ada dalam
bidang kurikulum atau ko kurikulum sekolah. Hal ini boleh dicapai sekiranya seorang Guru
Besar dapat menggemblingkan seluruh tenaga komuniti yang ada di sekolah dengan
cemerlang.

Guru Besar juga harus sentiasa mendorong, merangsang serta menaikkan semangat
guru dan pelajar pelajar yang ada di sekolah supaya bekerja dan belajar dengan bersungguh
sungguh dengan penuh keikhlasan. Oleh yang demikian, Guru Besar sendiri harus menjadi
contoh teladan yang boleh diikuti dan disegani oleh para guru dan komuniti sekolah. Ini adalah
contoh kepimpinan yang cemerlang. Untuk menterjemahkan kecemerlangan sekolah yang
ditadbir, seorang Guru Besar juga harus memiliki sikap, pengetahuan dan kemahiran sebagai
seorang Guru Besar. Prestasi Guru Besar dalam kepimpinan merupakan penggunaan
pengetahuan dan kemahiran yang releven yang dimiliki dan ditunjukan atau dilakukan menerusi
tindakan dan tingkahlakunya.
Bagi melahirkan sekolah yang berkesan dan cemerlang, kepimpinan Guru Besar
hendaklah menunjukan kualiti yang tinggi. Kajian menunjukan bahawa kepimpinan Guru Besar
bergantung kepada banyak faktor. Hussein Mahmood (1993), mengutarakan antara faktornya
adalah :-

4.1. Pengurusan dan Kepimpinan Organisasi

Kecemerlangan dalam pengurusan dan kepimpinan organisasi bermaksud kejayaan
Guru Besar menggerakkan sumber bagi mencapai objektif organisasi dan membentuk halatuju
organisasi, mengamalkan konsep pembelajaran sepanjang hayat dan membawa perubahan
serta kualiti peribadi dan professional.
Guru Besar haruslah mampu menterjemahkan dasar kerajaan, menerapkan pengurusan
organisasi berkesan, menjana visi dan misi sekolah, menggunakan maklumat dan pendekatan
terkini, memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat, melaksanakan perubahan dan
menjalankan penilaian dan penambahbaikan.
Di sekolah,seringkali menegaskan setiap staf untuk mengamalkan nilai-nilai murni di
dalam perkhidmatan seperti berazam meningkatkan mutu perkhidmatan, bekerja dengan penuh
tanggungjawab, berusaha mengikis sikap mementingkan diri, berkhidmat dengan penuh
muhibbah dan kemesraan dan berpegang teguh kepada ajaran agama. Pentadbiran secara
telus dan tegas sentiasa diterapkan di dalam pentadbiran sekolah. Guru-guru dan staf diberikan
empowerment untuk melaksanakan tugas agar mereka berupaya membuat keputusan dan
berani terutamanya di dalam usaha meningkatkan pencapaian akademik dan ko-kurikulum
serta sahsiah pelajar. Melalui dasar mesra dan terbuka, setiap orang digalakkan memberikan
pandangan dan idea untuk memajukan sekolah.
Pada peringkat awalnya memang ada pihak-pihak yang berasa tidak selesa. Ada
sebahagiannya sudah selesa dengan budaya ikut saja arahan yang diamalkan sebelumnya.
Kesannya ialah hubungan sesama guru semakin rapat dan setiap orang telah menunjukkan
komitmen yang tinggi. Dengan dasar yang sedemikian, kemungkinan tidak berlaku lagi masalah
ponteng kerja atau balik awal terutamanya di kalangan pekerja bawahan. Mereka akan sedar
tentang tanggungjawab yang telah diamanahkan dan akan mematuhi waktu bekerja yang
ditetapkan dan sentiasa berlumba-lumba untuk meningkatkan prestasi. Dengan itu lahirlah bibit
kecemerlangan dan pretasi tinggi dalam komuniti sekolah.


4.2. Kecemerlangan Kurikulum

Kecemerlangan kurikulum ini membawa maksud kepada peranan Guru Besar dalam
menggerakkan segala sumber untuk menyokong perlaksanan pengajaran dan pembelajaran
yang berkesan bagi memastikan kejayaan muridnya. Kesan kejayaan seringkali dikaitkan
dengan peningkatan pencapaian di dalam peperiksaan awam dan juga kemampuan pelajar
menguasai semua kemahiran yang sepatutnya dikuasai pelajar di dalam tempoh pembelajaran
mereka.
Oleh yang demikian, peranan Guru Besar dalam membina sekolahnya sebagai sekolah
yang cemerlang hendaklah memberi penekanan terhadap pencapaian pelajar dalam bidang
akademik, menyusun dan menetapkan strategi pengajaran, menyedia dan mengekalkan
suasana kondusif di sekolah (iklim sekolah), kerap menilai pencapaian akademik pelajar,
menyelaras program pengajaran; dan membantu dan memberi semangat kepada para guru.
Sebagai contohnya di sekolah Guru Besar mungkin menghadapi situasi masalah berkaitan
tahap keinginan belajar yang rendah di kalangan pelajar. Ramai pelajar yang kurang berminat
untuk belajar dan tiada semangat berlumba-lumba untuk mengejar kejayaan. Akibatnya tahap
pencapaian akademik berada pada tahap sederhana. Oleh itu Guru Besar harus saling
berganding bahu dengan guru guru dan masyarakat sekitar berusaha merancana program
kepada pelajar agar timbul perasaan ingin berjaya dalam pembelajaran mereka.
Guru Besar harus berkeupayaan melaksana permuafakatan strategik pendidikan di
antara PIBG dan NGO yang terlibat secara langsung dengan usaha pembangunan dan
kemajuan pendidikan termasuk agensi kerajaan dan swasta. Permufakatan strategik pendidikan
dilakukan menerusi aktiviti yang boleh dilaksanakan oleh warga sekolah dengan pihak yang
dilibatkan dalam hal yang disepakati dan dilaksanakan sesuai dengan keperluan dan
kemudahan di peringkat sekolah. Permuafakatan strategik pendidikan perlu ada networking,
kepakaran, sumber, kemudahan, pengalaman intitusi dan organisasi. Kemudian dibina pasukan
petugas menjayakan satu-satu usaha yang telah disepakati bersama. Pemuafakatan strategik
pendidikan mesti diinstitusikan agar berlangsung secara berkekalan dan berterusan serta
sentiasa dibugarkan.
Dengan adanya tindakan yang dirancang dan mendapat pemufakatan yang tulus dari
semua pihak, semestinya untuk meningkatkan pencapaian kurikulum di sekolah ini benar-benar
berhasil sehingga menjadikan sekolah ini cemerlang.

4.3. Kecemerlangan Kokurikulum

Kecemerlangan ko-kurikulum adalah bermaksud, seseorang Guru Besar mampu
meningkatkan penglibatan para pelajar di dalam setiap bidang ko-kurikulum di samping dapat
mencipta kejayaan dalam permainan, kelab dan bidang beruniform yang disertai sama ada di
peringkat sekolah, daerah atau negeri. Dan lebih manis jika pelajar mampu membawa nama
sekolah sehingga peringkat yang lebih tinggi. Dari segi penglibatan, sasarannya adalah setiap
pelajar terlibat di dalam setiap aktiviti ko-kurikulum di sekolah. Di samping itu, sekolah juga
haruslah mampu membentuk watak sekolah melalui program ko-kurikulum ini. Bidang ko-
kurikulum ini mempunyai peranan yang penting di dalam pembentuk modal insan yang
berguna. Melaluinya pelajar didedahkan kepada kepimpinan, akhlak dan kepatuhan kepada
disiplin, semangat kekitaan, kesediaan bertolak ansur dan saling tolong-menolong dan
berdikari. Kecemerlangan insan yang dilahirkan melalui aktiviti ini, sudah pastilah akan
melahirkan modal insan yang tahan menempuh cabaran dan seterusnya sihat mindanya.
Dalam menjayakan misi sekolah dalam ko-kurikulum, Guru Besar dengan gandingan Penolong
Kanan Ko-Kurikulum serta guru sebagai jurulatih pelajar, duduk berbincang tentang strategi
yang harus dilaksanakan. Pengurusan sukan dan kokurikulum telah dilihat sebagai satu aspek
yang penting dalam sekolah dan juga institusi pengajian tinggi. Kepentingan untuk mewujudkan
golongan profesional dalam sukan semakin dipandang serius. Dalam skop ini juga, akauntabiliti
pengurus iaitu Guru Besar amat penting bagi membina dan memantapkan semangat pelajar
terhadap sukan dan kokurikulum yang dibangunkan bagi melahirkan individu yang berjaya
dalam bidang sukan yang diceburi. Sekiranya tiada usaha untuk mewujudkan sikap
profesionalisme dalam sesuatu bidang sukan atau aktiviti kokurikulum akan mengakibatkan
aktiviti-aktiviti sukan dan kokurikulum tersebut semakin pupus dan sekolah itu sendiri akan
malap.





4.4. Kecemerlangan Pengurusan Hal Ehwal Murid

Pengurusan Hal-Ehwal Murid merupakan satu bidang yang penting di sekolah.
Sekiranya tidak dikendalikan dengan baik ia akan mencacatkan dan menjejaskan perjalanan
dan prestasi sekolah itu sendiri. Dengan adanya permintaan dan harapan yang tinggi di
kalangan murid/pelajar dan masyarakat seluruhnya terhadap kemampuan sekolah, pengurus
atau pemimpin sekolah seharusnya memainkan peranan yang lebih daripada hanya
menjalankan fungsi pentadbiran dan penyelenggaraan. Pengurus/pemimpin sekolah mesti
berupaya menjadi penggerak dan penggalak perubahan untuk mempengaruhi ahli-ahli dalam
sekolah menuju ke arah kecemerlangan. Untuk membantu individu supaya seimbang dari segi
jasmani, emosi, rohani, dan intelek sebagaimana yang tercerna dalam FPN bukanlah satu yang
mudah. Di peringkat sekolah ia berkehendakkan satu perancangan yang lebih berstruktur dan
strategik. Untuk mencapai hasrat ini, jawatan khas Guru Penolong Kanan (HEM) telah
diwujudkan di sekolah bagi membantu pihak pentadbir (guru besar/pengetua) dalam
memainkan peranan sebagai pemaju, pembina, pembantu, perancang, pemudahcara,
penyelaras, pengawal, penawar, dan kaunselor kepada ahli-ahli di bawah pengawasannya
khususnya murid/pelajar.
Dalam perkara yang berkaitan dengan kecemerlangan pengurusan hal ehwal murid
bermaksud Guru Besar berperanan memastikan pengurusan berasaskan prinsip dan peraturan,
melaksanakan strategi peningkatan prestasi hal ehwal murid, aktiviti 3K, menangani konflik
hubungan gurumurid, menangani masalah disiplin dan meningkatkan sahsiah murid. Para
guru diminta untuk memastikan kebajikan pelajar di jaga, hak-hak setiap pelajar dipelihara dan
sahsiah mereka dibangunkan untuk menjadi insan yang sempurna. Guru Besar dan guru juga
harus menjadi model serta ikutan pelajar dengan menunjukkan keperibadian yang mulia.
Pelajar perlu didedahkan dengan akhlak mulia dan hidup berpandukan kepada agama. Konsep
Sekolahku Rumahku harus menjadi panduan guru-guru. Kasih sayang dan layanan sebagai
anak yang memerlukan kasih sayang dan bimbingan harus sentiasa ada di jiwa setiap guru bagi
menjamin keselesaan pelajar di sekolah. Pelajar yang dididik akhlak dengan akhlak mulia
sudah pasti akan menjadi insan berguna di dalam masyarakat.




4.5. Pemantuan dan Pencerapan

Kaedah pengurusan dalam organisasi pembelajaran yang paling berkesan ialah melalui
kekerapan aktiviti pemantauan dan pencerapan. Pemantauan dan pencerapan hendaklah
dijadikan amalan kebiasaan dan budaya di sekolah. Pengetua , guru besar dan guru guru
kanan terlibat secara langsung dalam aktiviti ini. Dengan melihat dan memantau sendiri
pengajaran guru di bilik darjah, pentadbir sekolah dapat mengetahui tahap keupayaan dan
kebolehan guru-guru dan memudahkan mereka mengambil tindakan penambahbaikan.
Maklumat tentang keupayaan dan kebolehan guru tersebut membolehkan pengetua atau guru
besar menyediakan program yang sesuai bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran
mereka. Pengajaran yang berkualiti dalam bilik darjah merupakan nyawa kepada sekolah.
Kepimpinan instructional perlu sentiasa berusaha mencari kaedah yang sesuai atau yang lebih
baik bagi membantu guru melaksanakan pengajaran mereka. Mereka bolehlah mendapatkan
sokongan daripada guru senior atau guru yang lebih berpengalaman bagi membimbing dan
membantu guru baru.

4.6. Budaya dan iklim Sekolah

Budaya sekolah merupakan suatu sistem sosial yang kompleks. Guru menyampaikan
ilmu dan kemahiran kepada pelajar dalam bilik darjah sebenarnya hanyalah sebahagian kecil
daripada sistem sosial di sekolah. Guru bukan sahaja memerlukan suasana bilik darjah yang
kondusif dan menarik bagi menyampaikan pengajaran berkesan tetapi juga memerlukan
suasana dan persekitaran keseluruhan sekolah yang teratur dan terurus dengan baik. Dengan
ini tersandarlah tanggungjawab kepada pengetua dan guru besar untuk membentuk budaya
dan iklim sekolah yang baik. Dengan kata lain, budaya sekolah yang baik turut membantu dan
menyokong keberkesanan pengajaran guru dalam bilik darjah. Iklim sekolah yang berkesan
sering dikaitkan dengan kepatuhan pelajar terhadap peraturan dan garis panduan yang telah
ditetapkan oleh pihak sekolah. Cerminan iklim sekolah yang baik itu ialah pelajarnya sentiasa
menghargai masa, patuh kepada arahan guru dan sentiasa bersedia mengharumkan nama
serta imej sekolah. Iklim sekolah yang baik juga dapat dilihat melalui penyertaan aktif ibu bapa
dan NGO.





4.7. Pengetua dan Guru Besar Sebagai Penyelesai Masalah

Sebagai pemimpin kurikulum atau pemimpin instruksional pengetua atau guru besar
hendaklah mendengar semua masalah yang disuarakan kepadanya dan mencari jalan untuk
menyelesaikan masalah tersebut dengan kadar yang segera. Oleh itu, pengetua atau guru
besar hendaklah banyak membaca ,berbincang dan berusaha meningkatkan tahap
profesionalisme mereka supaya mudah membantu pihak lain jika perlu. Dengan ini, diharapkan
dengan bantuan, sokongan dan peranan mereka sebagai penyelesai masalah atau trouble
shooter segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah mereka dapat dilaksanakan
dengan baik dan berkesan. Dengan wujudnya team building yang utuh, kecemerlangan
sesebuah organisasi akan lebih terjamin dengan emosi dan sahsiah komuniti di dalamnya yang
lebih releven dengan suasana semasa.


4.8. Koordinasi dan Penyelarasan

Koordinasi dan penyelarasan dari segi program, perancangan dan pelaksanaan
hendaklah selari dan disesuaikan dengan sumber manusia yang sedia ada iaitu dari segi
bilangan dan kelayakan guru, tempoh masa, tempat, jumlah peruntukan kewangan, sokongan
perkhidmatan dan perancangan kurikulum. Pengetua atau guru besar perlu merancang dan
melaksanakan aktiviti melalui kekuatan dan keupayaan yang sedia ada di sekolah mereka.
Setiap sekolah mempunyai persamaan dan perbezaannya sendiri. Oleh itu, koordinasi dan
penyelarasan yang dibuat adalah berbeza di antara satu sekolah dengan sekolah yang lain.
Berpandukan kekuatan dan kekurangan yang sedia ada , pihak pengurusan mampu membuat
perancangan yang lebih baik.










5.0. BEBERAPA CIRI PEMIMPIN YANG BERKESAN

1. Pengetua memiliki sense of mission dan sense of purpose, berwawasan, jelas
halatuju dan matlamat yang hendak dicapai oleh sekolah melalui pernyataan visi dan
misi sekolahnya. Berkeupayaan menjelaskan kepada warga sekolah dan komuniti
setempat tentang visi dan misi sekolah dengan amalan walk the talk iaitu
kepimpinan melalui teladan. Bertindak sebagai strategist yang berkesan dan
memiliki kecekapan merangka strategi supaya dapat menjamin visi dan misi yang
tersurat dan tersirat tercapai. Berupaya mengemblengkan segala sumber yang ada
di sekolah secara maksimum dan bertindak pantas menangani kekurangan dan
kekangan yang akan mengagalkan pencapaian visi.

2. Pemimpin menjadi ketua guru dan ketua pedagogi serta mempunyai kemahiran
membimbing guru dan bertindak sebagai pedagogical innovator. Mempunyai
personaliti dan kekuatan minda dari segi intelek dan ilmu bagi menghadapi cabaran
serta dapat membuat keputusan dengan tangkas dan tepat.


3. Pemimpin memiliki kemahiran berkomunikasi interpersonal dengan baik dan berfikir
reflaktif, kreatif dan konstruktif serta beriltizam,beristiqamah dan sanggup
bermujahadah dalam pelaksanaan tugas dan tanggungjawab.Pengetua yang
berkemahiran komunikasi dan diplomasi boleh meraih sokongan guru dan sekaligus
menggalakkan penglibatan ibubapa serta komuniti setempat dalam usaha
meningkatkan kualiti pendidikan sekolah.

4. Pemimpin berpijak pada landasan yang tepat dan disokong oleh sifat muaddib,
murrabbi dan mursyid serta memiliki sahsiah bercirikan insan cemerlang. Bijak
memimpin, berakhlak terpuji, mempamer teladan yang baik dan berketrampilan serta
bersikap amanah, bertanggungjawab, proaktif dan bersikap profesional.


5. Pemimpin diiktiraf dan mendapat pengiktirafan umum bahawa sekolah yang ditadbir,
diurus dan dipimpinnya menepati konsep sekolah dan tidak dipesepsikan dengan
gambaran lain. Seiring dengan pengiktirafan perlu mempunyai iklim dan persekitaran
kondusif dan kemantapan pencapaian akademik yang lahir sebagai satu
pembudayaan atau etos sehingga wujud perhubungan yang harmoni di kalangan
warga sekolah, pelanggan dan stakeholders.

6. Pemimpin mempunyai stail kepemimpinan yang dapat menarik sokongan dan kerja
sepasukan, berpesonaliti, ada ketokohan dan world view pendidikan yang
luas.Pengetua berkelulusan, berilmu dan berkemahiran berkaitan Ilmu Teori
Pengurusan Sekolah yang tinggi dan boleh digunasama. Pengetua mempunyai
komitmen tinggi dan mendapat pengiktirafan guru, murid dan komuniti setempat
serta mempunyai kesihatan yang baik dan sihat dari segi jasmani, emosi, rohani dan
intelek

6.0. PENUTUP

Sistem pendidikan negara telah mengalami perubahan selaras dengan perkembangan negara
dalam aspek pembangunan, sosial, ekonomi dan budaya. Sehubungan dengan itu peranan
dan tanggungjawab Guru Besar juga telah mengalami perubahan dari semasa ke semasa dan
mereka perlu berusaha mengubahnya mengikut masa dan situasi. Jika seseorang Guru Besar
mempunyai ciri-ciri berkesan sebagaimana yang diterangkan di atas, kita yakin misi dan visi
untuk menjadikan sesebuah sekolah cemerlang akan tercapai. Sebaliknya jika seseorang Guru
Besar mempunyai ciri-ciri yang lemah dalam kepimpinannya maka akan mendatang kesan yang
tidak baik kepada pencapaian sesebuah sebuah sekolah.








BIBLIOGRAFI
Hussein Mahmood (1997) Kepimpinan dan Keberkesanan Sekolah Dewan Bahasa
Dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Institut Tadbiran Awam Negara. (1994). Citra karya: Falsafah, nilai dan etika dalam
perkhidmatan awam. Kuala Lumpur.

Jailani Md Yunos. (2004). Peningkatan kemahiran bakal pensyarah politeknik menerusi
kursus pengurusan kokurikulum. Jurnal Sains Sosial.

Omar Abdul Laja. (2006). Perkaitan kepimpinan pengajaran guru besar dengan keberkesanan
pengajaran guru: Kajian di beberapa buah sekolah pulau di daerah Semporna.

Omardin Ashaari. (1999). Pengurusan sekolah: Satu panduan lengkap. Utusan Publication &
Distributors Sdn. Bhd.Kuala Lumpur.

Standard Kompentasi Kepengetuaan Sekolah Malaysia (2006) Institut Aminuddin
Baki, Kementerian Pelajaran Malaysia

Vous aimerez peut-être aussi