Vous êtes sur la page 1sur 4

ANTARA MASYARAKAT HIJAU DAN

TEKNOLOGI HIJAU
24 Julai 2010 by Muhammad Qayyum in Uncategorized.
Saya dapat perhatikan terdapat beberapa seruan terhadap pengaplikasian teknologi teknologi hijau di UTM. Pada pandangan
saya, seruan terhadap teknologi hijau adalah seruan yang baik. Ianya merupakan satu daripada keperluan dalam pembangunan
lestari. Namun adakah pengaplikasian teknologi tersebut semata mata sudah cukup untuk kita mencapai maksud dan matlamat
penciptaannya?
Teknologi Hijau
Buat anda yang tidak biasa dengan istilah teknologi hijau, ianya bermaksud penggunaan sains alam sekitar untuk memulihara
sumber dan alam sekitar semula jadi dan mengawal kesan negatif aktiviti manusia
(sumber:http://ms.wikipedia.org/wiki/Teknologi_hijau) . Mungkin mudah ditakrifkan sebagai sebarang bentuk teknologi yang
boleh membantu memulihara dan memelihara alam sekitar.
Sebagai contoh, teknologi kereta berkuasa solar yang menjana tenaga daripada cahaya matahari sekaligus mengurangkan
pembebasan gas karbon dioksida dan gas karbon monoksida ke udara, disamping menggunakan sumber tenaga yang boleh
diperbaharui.
Pembangunan Lestari
Pembangunan lestari (sustainable development) pula bermaksud pembangunan yang memenuhi keperluan semasa serta masa
hadapan bagi mencapai kesinambungan antara pembangunan ekonomi, sosial dan alam sekitar demi kesejahteraan bersama tanpa
menjejaskan keperluan generasi seterusnya (sumber:http://www.jpbdjohor.gov.my/pautan_info/PbgnMampan.pdf). Mudah saya
ertikan sebagai pembangunan yang menepati keperluan generasi kini dalam masa yang sama tidak menyebabkan generasi depan
menghadapi ancaman. Pembangunan yang memikirkan keperluan generasi akan datang.
Sebagai contoh, projek pengayaan teknologi sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti biojisim. Untuk generasi kini,
keperluan terhadap biojisim tidaklah begitu terdesak kerana kita masih ada sumber tenaga bahan api fosil. Tetapi demi generasi
hadapan, kemungkinan bahan api fosil mungkin tidak lagi relevan kerana satu, kesan pencemaran daripada pembakarannya,
kedua, kehabisan sumber tersebut daripada perut perut bumi.
Persoalan Utama
Berbalik pada persoalan utama saya, apakah dengan mengimplimentasikan teknologi teknologi tersebut menggantikan
teknologi teknologi semasa semata mata sudah cukup untuk menyampaikan kita kepada matlamat asal kita, iaitu
pembangunan lestari? Saya kira jika inilah kesimpulan kita, ia adalah kesimpulan yang sangat tidak betul dan tidak cukup masak.
Dan saya akan bicarakan dalam konteks UTM secara khusus dan Malaysia umumya.
Sememangnya banyak teknologi teknologi hijau sudah dibangunkan di negara negara barat. Dengan pelaburan yang
mencukupi, memang kita mampu membeli teknologi teknologi tersebut. Kita gantikan sistem dan teknologi semasa sekian
sekian dengan sistem dan teknologi yang lebih mesra alam seperti di barat.
Tetapi dalam kegharaihan kita melihat fenomena kebangkitan teknologi hijau di barat, kita lupa meneliti faktor utama kepada
kebangkitan teknologi hijau itu. Iaitu faktor manusiawi. Manusia di sana. Bagaimana bentuk mentaliti mereka? Bagaimana pula
sikap mereka?
Masyarakat Mentaliti Hijau
Semester ini saya mengikuti kelas Principles of Chemistry & Environmental yang disyarahkan oleh Dr Maketab bin
Mohamed. Saya dimaklumi beliau sewaktu kelas pertama, di Amerika Syarikat, aktiviti memancing dikenakan lesen.
Permohonan lesen tersebut sudah pastinya memerlukan bayaran bayaran tertentu. Namun bagi masyarakat di sana, ianya tidak
menbebankan, kerana dana tersebut digunakan khusus bagi tujuan pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan habitat habitat
hidupan air.
Kemudian saya teringat dua tahun lepas sewaktu saya mengikuti kelas Pollution Control oleh En Ismail bin Mahmood. Saya
ditugaskan oleh beliau untuk mengkaji mengenai fenomena illegal dumping (pembuangan haram).
Saya mengambil beberapa penempatan di Amerika sebagai kes rujukan, salah satunya ialah di Whiting, Indiana. Kawasan 10
ekar di sana pada masa dahulunya menjadi tempat pembuangan haram oleh penempatan setempat. Namun atas usaha pihak
pentadbiran dan komuniti setempat, masyarakat dididik supaya bermentaliti hijau dan mesra alam. Kawasan ini, Lost Marsh,
dibersihkan daripada sampah sarap yang bertan tan, kemudian ditanam semula rumput, dibina kotak kotak sarang burung dan
pelbagai lagi usaha pemuliharaan oleh penduduk setempat dengan bantuan kerajaan. Dan mereka seterusnya berusaha
mengekalkan kehijauan kawasan ini sehinggalah hari ini, dengan izin Allah, telah menjadi habitat bagi 23 spesis burung dan 59
spesis tumbuhan flora.
Bagaimana mentaliti hijau masyarakat kita? Soal membuang sampah merata rata itu sudah menjadi kelaziman. Bila hari
terakhir sewaktu anda memandu, kereta di hadapan anda membuang bungkusan sampah melalui tingkap? Enam hari yang lepas
bagi saya.
Bagaimana pula dengan tahap kesedaran kita terhadap perkara yang lebih asas, seperti penjimatan elektrik. Contoh yang jelas, di
UTM sendiri. Saya tinggal di tingkat 4 blok XB 1, Kolej Dato Onn Jaafar. Pernah satu hari, saya menggunakan tangga untuk
turun ke tingkat 1 pada jam 12.55 tengah hari. Semua lampu korridor di belah sayap saya daripada tingkat 3 hingga ke tingkat 1
masih menyala! Jam 12.55 tengah hari! Begitulah juga sewaktu saya tinggal di tingkat 5 blok XB 2, kolej yang sama pada tahun
lepas dan di Kolej Tun Dr Ismail pada tahun tahun sebelum itu. Berapakah kilowatt kuasa elektrik yang telah dibazirkan?
Buat pengetahuan anda, tenaga elektrik dijana melalui pembakaran bahan api fosil. Pembakaran bahan api fosil adalah
penyumbang kepada pencemaran kerana berlakunya pembebasan karbon dioksida berlebihan dan banyak lagi gas gas yang
merbahaya yang menyumbang kepada pemanasan global. Jika kita tidak menggunakan elektrik secara optimum, kita adalah
penyumbang kepada pencemaran dan kemusnahan alam.
Kiraan mudah, katakanlah kuasa elektrik yang sepatutnya kita gunakan cuma 100 kilowatt minggu ini. Tetapi akibat pembaziran,
penggunaannya meningkat, katakanlah kepada 200 kilowatt seminggu. Hal ini akan menyebabkan keperluan terhadap tenaga
elektrik meningkat. Bagi menampung peningkatan terhadap keperluan tersebut, pihak yang menjana tenaga elektrik terpaksa
meningkatkan pembakaran bahan api fosil. Peningkatkan pembakaran akan menyebabkan peningkatan pembebasan bahan
bahan pencemar ke alam sekitar.
Itu masalah lampu korridor, bagaimana pula dengan kipas dan lampu di bilik? Komputer peribadi dan komputer riba? Haru biru
mentaliti kita. Ramai mahasiswa yang membiarkan komputer mereka terbuka 24 jam sehari kerana memuatturunkan filem dan
video yang prosesnya memerlukan masa berjam jam, walhal tiada kepentingan langsung terhadap pembangunan intelektual
mereka. Hiburan semata mata. Bukankah Abu Hurairah RA pernah melaporkan, Rasullullah SAW bersabda;
Sebahagian kecantikan seseorang muslim itu adalah meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat terhadap dirinya
HR Imam at-Tirmidzi
Saya akui perbandingan yang saya buat tidak konsisten dari segi situasi. Tetapi saya kira kita boleh nilai daripada situasi situasi
yang saya tulis, betapa berbezanya bentuk mentaliti dan sikap masyarakat barat terhadap ekosistem alam berbanding masyarakat
kita.
Malahan, mentaliti mereka di peringkat pimpinan negara pun agak meragukan. Saya masih ingat, Dr Maketab pernah meluahkan
kekecewaannya dengan mengatakan, If you want to talk about environment, never talk with politicians, they just want to listen
to what they want, not the truth. Beliau banyak terlibat dengan penilaian terhadap pemeliharaan alam sekitar, saya kira
pengalaman hidup beliau pastinya mengajar beliau kecewa dengan pepimpin masyarakat yang tidak serius mengenai alam
sekitar.
Selain itu, Encik Ismail pula pernah memberitahu saya, sewaktu beliau mengendalikan kelas bagi pelajar pelajar separuh masa,
sekumpulan pelajar yang bekerja dengan syarikat besar milik kerajaan telah mengadu kepada beliau bahawa sisa yang dilepaskan
ke sungai oleh loji mereka di pantai timur tidak menepati piawaian Jabatan Alam Sekitar, tetapi tidak pernah diambil apa apa
tindakan.
Kecewa bukan? Itu sedikit yang saya kongsikan daripada apa yang mereka luahkan. Dan mereka adalah ahli akademik. Mereka
menilai berdasarkan ilmu pengetahuan mereka, bukannya omongan propaganda.
Penyelesaian
Sifirnya mudah, manusia yang mencipta teknologi dan sistem. Bukan sebaliknya. Menggunakan teknologi teknologi hijau sedia
ada tidak dapat menjamin pembangunan lestari dan menyelamatkan dunia daripada kerosakan akibat kegilaan industri kapitalis.
Sebaliknya, melahirkan manusia manusia bermentaliti hijau yang sensitif terhadap pemuliharaan dan pemeliharaan alam akan
sekaligus melahirkan masyarakat yang ingin kepada teknologi mesra alam, pembangunan industri yang tidak menjahanamkan
khazanah alam dan sistem yang tidak mencemar alam.
Penutup
Oleh itu, bagi saya mendidik masyarakat supaya membuang budaya haru biru dan berhijrah kepada mentaliti hijau adalah lebih
utama dalam melestarikan pembangunan. Bagaimanapun, jangan konklusikan saya sebagai orang yang menolak
pengimplementasian teknologi hijau.

Vous aimerez peut-être aussi