Vous êtes sur la page 1sur 10

AKU SALAFI, ANAK MURIDKU BAGAIMANA?

agama sehari dua ini amat mengelirukan


www.saifulislam.com

KISAH SELUAR

"Eh, Mid. Seluar engkau tu tak sesuai. Warnanya tak masuk dengan warna
baju engkau. Tukarlah seluar lain. Pakai yang gelap sedikit", Edi
menunding jari ke arah Hamid yang wajahnya masam mencuka.

"Mid, engkau nak keluar macam tu? Tak malu ke? Orang zaman sekarang ni
sudah tidak pakai seluar begitu. Carilah yang up-to-date sikit", Zamri
pula mencelah, turut sama memberi komen kepada Hamid yang baru sahaja
menukar seluarnya.

"La Ilaha Illallah. Itukah seluar terbaik engkau? Malu aku nak
berjalan dengan kamu, Mid. Seluar macam itu, orang sekarang buat kain
pengelap lantai sahaja, kau tahu tak?", kata Azlan yang tidak berpuas
hati dengan penampilan rakan serumahnya, Hamid.

Pipi Hamid sudah merah. Wajahnya sudah masam mencuka. Rupanya seperti
bom yang mahu meletup. Pakai yang ini salah, pakai yang itu salah,
habis yang mana satu?

"Yelah yelah, susah sangat, aku keluar rumah bertelanjang lagi


senang", akhirnya Hamid keluar dari biliknya bertelanjang. Ia menjadi
insiden yang amat mengaibkan. Tidak tergamak untuk ditulis di sini.

Ya, akibat keliru dan diasak dengan pelbagai pendapat, akhirnya Hamid
mengambil keputusan paling drastik iaitu bertelanjang.

Kisah di atas mungkin sekadar bayangan saya. Namun saya menulisnya


sebagai gambaran tentang kekeliruan yang berlaku di kalangan
masyarakat kita dengan kepelbagaian pendapat yang menyerang. Bila
dibuat begini, dikatakan Bid'ah. Bila dibuat begitu, diserang pula
dengan tohmahan sebagai Wahabi. Akhirnya golongan ini terkeliru dan
mereka membuat keputusan yang paling popular masa kini, iaitu
bertelanjang. Mereka menelanjangkan diri dari agama, kerana agama itu
sungguh mengelirukan.

Siapakah yang mengelirukan masyarakat tentang agama? Tidak lain dan


tidak bukan, iaitulah golongan agama sendiri. Sama ada yang
berkelulusan agama dari Alif sampai Ya, mahu pun yang Alifnya rumi,
dan di tengah-tengah jalan, Lamnya menjadi jawi dan Arabi.

REALITI YANG DILUPAKAN


Ya, dalam keasyikan melayan pelbagai pandangan dan aliran, kita sering
terlupa bahawa majoriti telah memilih untuk bertelanjang. Mereka
menanggalkan agama dari diri kerana agama sungguh menyerabutkan.
Pandangan ini saya kutip daripada pelbagai siri pertemuan, terutamanya
apabila mengendalikan kursus wajib yang disediakan oleh pihak
Universiti dan Kolej. Saya bertemu dengan ramai pelajar yang pelbagai
dan nyata sekali di hari pertama kursus, kebanyakannya hadir dengan
paksa rela.

Ia berbeza dengan kuliah di masjid. Masjid hanya dihadiri oleh mereka


yang berjiwa masjid. Maka kita bertemu dengan insan yang hampir sama
corak fikir dan gelombang frekuensinya. Ia juga tidak sama dengan
program terbuka yang iklan di papan kenyataan hanya dipedulikan oleh
mereka yang peduli. Akan tetapi, ketika saya berprogram melalui Fitrah
Perkasa, saya bertemu dengan manusia yang sungguh pelbagai. Saya tidak
berhasrat untuk mengulas dalam skala yang terlalu besar, maka untuk
kali ini saya hanya ingin mengajak pembaca menumpukan perhatian kepada
kekeliruan yang menimpa golongan muda, khususnya pelajar sekolah,
kolej dan universiti.

Saya masih ingat, semasa di Belfast, saya menghadapi masalah yang


sama. Soalan saya semasa itu mudah sahaja, AKU SALAFI, ANAK (MURID)KU
BAGAIMANA?

Bagaimanakah sepatutnya saya mengajar anak-anak murid yang pelbagai


itu? Jika saya mengajar solat Fajar tanpa qunut, ia menghairankan anak
murid saya yang beribu bapakan seorang Melayu yang tidak pernah
meninggalkan qunut, bahkan menggantikan qunut yang tertinggal dengan
sujud sahwi. Seandainya saya mengajar solat Fajar dengan qunut, ia
membingungkan anak murid saya yang berketurunan Pakistan dan Turki
yang hairan mengapa mereka diajar qunut sedangkan ibu bapa mereka
terus sujud selepas bangun dari rukuk di rakaat kedua.

Saya harus akur bahawa pelajar di sekolah saya terdiri daripada


anak-anak yang datang dari lebih 25 negara. Pakistan, India,
Bangladesh, Kashmir, Turki, Bosnia, Adzerbaijan, Mesir, Jordan, Syria,
Arab Saudi, Maghribi, Algeria, Libya, Tunisia, Lubnan, Iraq, malah
Iran dan tidak lupa Malaysia, serta yang sudah pastinya British,
English, Irish, dan Scottish. Semua itu terhimpun dalam sebuah sekolah
kecil bernama Belfast Islamic School yang berpengetuakan saya, seorang
budak Melayu yang baru berusia 26 tahun ketika itu.

Itu baru satu isu.

KEBENARAN ISLAM VS KRISTIAN


Masalah seperti ini juga membabitkan isu kebenaran Islam dan Kristian.
Saya tidak boleh secara mudah menyebut, "agama yang benar adalah
Islam, manakala Kristian itu batil dan sesat, tempatnya di neraka!".
Mengapa tidak? Sebabnya mudah. Hampir 20 orang daripada anak murid
saya yang ibu mereka Kristian manakala bapa mereka Muslim. Dengan
menggunakan peruntukan perkahwinan bersama ahli Kitab, jumlah penduduk
di Belfast yang mengahwini perempuan Kristian tempatan agak
signifikan.

"Imam, saya rasa emak saya yang Kristian lebih baik akhlaknya
berbanding ayah saya yang Muslim. Takkanlah mak saya masuk neraka!",
kata salah seorang anak murid saya.

Habis, apakah jawapan yang dapat saya berikan? Hakikatnya memang begitu.

Saya pernah dihubungi oleh pihak polis yang meminta agar saya hadir ke
sebuah funeral house. Saya dijemput dengan sebuah limosin hitam, bagi
menghadiri upacara menyembahyangkan jenazah seorang kanak-kanak
perempuan berusia 4 tahun yang meninggal dunia semasa tidur. Ibunya
Kristian bermazhab Katolik dan ayahnya seorang Muslim Arab dari
Algeria.

Semasa tiba di majlis tersebut, saya bertemu dengan si ayah.


Bertindik, rambut kerinting cantik berdandan. Si ayah bersalam acuh
tidak acuh dengan saya. Tiada sepatah pun kalimah dari mulutnya, salam
saya juga tidak berjawab.

Saya dibawa bertemu dengan si ibu, wanita Irish dalam usia akhir
20'an. Wajahnya sugul sekali dan ketika melihat saya, dia datang
sambil melemparkan senyuman yang dipaksa.

"Terima kasih, Imam. Saya amat menghargai kedatangan Imam. Maafkan


saya kerana meminta bantuan polis untuk mencari Imam sebab saya tidak
tahu lokasi masjid di Belfast.", katanya.

"Tak apa, puan. Malah saya amat berterima kasih di atas kesungguhan
puan menghubungi kami. Apa yang terjadi puan? Bagaimana puteri puan
meninggal dunia?", saya bertanya.

"Tuan Imam, anak saya tuan Imam. Itulah satu-satunya anak kami. Kami
amat sayangkan dia. Tetapi pagi Isnin baru-baru ini, kami bangun pagi
dan dapati Mary sudah tidak bernyawa. Wajahnya biru dan tubuhnya sejuk
membeku.", jawab wanita tersebut dengan tangisan air mata.

"Inna Lillah wa Inna Ilayhi Rajioon. Takziah dari saya, semoga Allah
memberi kekuatan kepada puan dan suami", saya cuba mententeramkannya.

"Maafkan suami saya Imam, dia memang begitu. Agak kurang peramah.",
kata perempuan tersebut sambil merenung suaminya yang sedang
menghembuskan asap rokok ke tingkap koridor.

Saya dan rombongan masjid dibawa ke dewan. Kami meminta supaya di arah
kiblat, tiada sebarang tanda salib atau patung. Semasa menjenguk ke
keranda, berderai air mata saya melihat si anak kecil yang dihias
cantik, dengan gaun putih dan rambut yang disikat kemas.

"Allah telah menyelamatkan dirimu wahai anakku, Maryam. Pulanglah


engkau ke syurga-Nya.", saya berbisik sendirian ke arah sekujur
jenazah yang mati penuh misteri.

Saya susunkan saf menjadi tiga. Seterusnya saya imamkan solat jenazah
di pagi yang hening itu, sambil diperhatikan oleh puluhan anggota
keluarga ibu si Mary. Ayahnya enggan bersolat bersama kami.

Selesai mengerjakan solat, saya diminta berucap di hadapan orang


ramai, sebagaimana adat yang diamalkan oleh penganut Kristian
Katholik.

SAYA BERTALQIN?

"Tuan-tuan dan puan-puan, khususnya Puan Catriona sekeluarga.


Sesungguhnya kematian ini adalah sesuatu yang pasti. Kita merancang
pelbagai perkara yang entahkan sempat atau tidak kita melakukannya.
Tetapi janganlah kita lupa merancang untuk hidup selepas mati.

Ajaran agama kami iaitu Islam, menyatakan bahawa setiap bayi yang
lahir, adalah suci dan bersih. Suci dan bersihnya mereka menyebabkan
setiap mata yang melihat wajah kanak-kanak akan terhibur, kerana pada
diri mereka tiada dosa. Di antara kanak-kanak yang suci itu adalah
Mary Daly yang akan berpisah dengan kita buat selama-lamanya hari ini.
Mary lahir dengan penuh kesucian, seperti kanak-kanak yang lain,
seperti Mary ibu kepada Isa. Dan apabila dia pulang kepada Tuhan
seawal usia ini, dia pulang dengan suci, dan pastinya Tuhan menyambut
kepulangan Mary dengan penuh restu.

Walaupun sedih, namun bergembiralah Puan Catriona dan suami, serta


sekalian yang mengasihinya kerana Mary pulang ke syurga. Tempat yang
selayaknya untuk insan-insan yang suci sepertinya. Semoga Allah
menerima Mary dengan sebaiknya, dan memberikan kekuatan kepada ibu dan
ayahnya, Amen.", saya mengakhiri ucapan pagi itu dengan sekalung doa.
Entahlah, apakah perbuatan saya itu menjadi talqin yang dibid'ahkan
oleh sesetengah orang? Namun ia adalah peluang dakwah yang amat besar
kerana hanya dengan Islam sahaja, kematian Mary boleh dilihat positif,
sedangkan ramai yang hadir gusar kerana Mary belum disucikan daripada
original sin sebab belum sempat dibaptiskan paderi.

PENTINGKAH ILMU PEDAGOGI?

Pengalaman di atas sungguh unik, namun saya tetap melihatkan sebagai


suatu cabaran yang mengelirukan, apabila ia dibawa ke institusi
pendidikan. Di Belfast Islamic School, saya harus serius memikirkan
kaedah pendidikan yang tersendiri lantaran keadaan anak-anak murid
saya yang sungguh unik lagi tersendiri.

Pada masa itu ilmu dan pengalaman saya amat cetek. Saya terpanggil
untuk berusaha meningkatkan diri dengan memohon menyertai program
Master di bidang Sosiologi Agama di The Queen's University of Belfast.
Tetapi semasa hari pendaftaran saya membatalkan hasrat itu kerana
tidak mempunyai bekalan wang yang mencukupi.

Pada tahun yang berikutnya saya telah mengambil keputusan untuk


melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di bidang Pendidikan
(Curriculum Studies) bersama The Open University, UK. Tujuan saya
memilih bidang ini adalah kerana cabaran saya di Belfast Islamic
School. Saya harus serius membangunkan kurikulum yang tepat bagi
sekolah itu bahkan sekolah-sekolah lain di UK dan Ireland.

Tidak mungkin generasi anak-anak ini dididik dengan sistem pendidikan


yang dilalui oleh ibu bapa mereka. Anak-anak ini menerima pendedahan
terhadap Islam dalam bentuk yang berbeza. Soal mazhab, perkahwinan
campur dan banyak lagi isu, harus ditangani dengan teliti.

Saya tidak boleh mengambil pendekatan bebal. Ahh, manhaj aku adalah
yang paling tepat dengan al-Quran dan al-Sunnah. Maka dunia harus
berputar mengikut putaranku. Soal mereka ikut atau tidak, itu tidak
penting. Yang mengikut tandanya dapat hidayah. Manakala yang menolak,
terserahlah nasib mereka untuk ditentukan Allah! Wah, mampukah saya
berkata demikian? Jika anak orang lain mungkin sedap mulut kita
menyebutnya. Tetapi apabila terkena anak sendiri, mahu dibiarkan
sahajakah dia terhumban ke lembah yang terpesong dari jalan ke syurga
itu?

Guru-guru yang mengajar anak murid tanpa mengambil kira kesan


pengajarannya, adalah sungguh tidak mempedulikan Sunnah. Kita mengajar
untuk express atau impress? Kita berceramah untuk memandaikan orang
atau untuk tunjuk pandai di hadapan orang?
Kerana itu, saya tenggelamkan diri saya dalam himpunan buku pedagogi.
Alhamdulillah, rakan-rakan sekuliah amat pelbagai. Ada cikgu sekolah
di Jepun, ada guru penjara di Hawaii, dan ramai lagi rakan forum saya
dalam subjek semester pertama kami. The Open University of UK
mempunyai Fakulti Pendidikan yang terbesar di Eropah, dengan jumlah
pelajar yang mencecah 16 ribu orang semuanya.

Malang sekali, di tahun pertama pengajian, saya ditimpa penyakit dan


terlantar selama berbulan-bulan di rumah. Saya tidak boleh keluar
rumah kerana kulit saya menjadi foto sensitif. Berbahang apabila
terkena matahari. Saya mengundurkan diri dari pengajian di tahun itu.

Manakala di tahun berikutnya, saya menyambung kembali pengajian,


tetapi malang sekali lagi, kami terpaksa pulang ke Malaysia kerana
isteri saya dipanggil pulang berkhidmat di tanah air.

Walaupun MEd. saya terbengkalai, namun saya masih sensitif dengan


metodologi pengajaran. Pada saya, ilmu mengajar adalah sama pentingnya
dengan ilmu yang hendak diajar.

DAKWAH ANTARA MASJID DAN KLCC

Kerana itu, pada bulan Mac 2005, semasa pulang dari pejabat, saya
telah singgah di Suria KLCC selama setengah jam, semata-mata untuk
bermuhasabah. Saya pulang selepas lebih 10 tahun saya tenang beribadah
menurut pendirian saya, ketika di luar negara. Tetapi apabila saya
pulang ke Malaysia, saya tercabar oleh pelbagai fenomena. Usahkan
hendak mempertahankan al-Fatihah tanpa Basmalah yang jahriah, atau
Solat Fajar berqunut atau tidak, nak mengajak kepada kewajipan solat
pun saya rasa kaget, ketika merenung orang ramai dari tingkat tiga
Suria KLCC petang itu. Berapakah jarak manusia di situ dari Kuliah
Maghrib kita di masjid. Usahlah masjid yang jauh-jauh. Cukup sekadar
Surau KLCC di tingkat 4 atau Masjid al-Syakirin itu, apakah relevan
dakwah dan pendekatan kita selama ini dengan manusia yang berpusu-pusu
ke kiri dan kanan Suria KLCC berkenaan? Saya memikirkannya dengan
serius, dan fikiran yang tercabar.

Saya berasa keliru di antara gembira dan kecewa. Saya gembira kerana
kesedaran masyarakat untuk kembali meneliti usul pegangan agama mereka
sudah bangkit. Hadith-hadith diteliti kesahihannya,
pendakwah-pendakwah yang bercakap sedap mulut semakin tersisih dari
pentas ceramah. Tetapi dalam masa yang sama, saya berasa sedih dengan
gejala yang menimpa kesedaran ini, dan gejala itu banyak berkait
dengan SIKAP.
PERANG DI KOLEJ

Banyak kolej yang saya hadir, pelajar yang mahu kepada Islam asyik
berbalah tentang baca Yasin tu syar'ie atau tidak, tetapi mereka 'syok
sendiri'. Mereka terlupa bahawa pelajar yang Khamis malam Jumaatnya
penuh dengan clubbing adalah lebih ramai dari yang mempertahankan
Yasin Khamis malam Jumaat tersebut.

Apabila timbul di internet, atau majalah, isu-isu yang berkaitan


dengan MANHAJ, maka kita selalu menemui ulasan bahawa isu ini semakin
hangat dibicarakan di kampus! Walhal yang membincangkannya hanya 20%
sahaja, sedangkan yang 80% langsung tidak ambil tahu dan lebih
berminat untuk bertelanjang. Maksud saya, menelanjangkan diri dari
agama, kerana agama amat mengelirukan dalam sehari dua ini.

Kita bincang secara terbuka isu-isu khusus yang hanya layak disertai
oleh mereka yang sudah ada asas usrah, kuliah, dan tamrin. Kita
sangkakan isu itu besar dan bertaraf nasional. Antaranya adalah isu
UMMAH CENTRIC dan JAMAAH CENTRIC. Sedangkan 80% pembaca, pemerhati,
dan mereka yang berada di sekitar kampus, tidak tahu hujung dan
pangkal perbincangan.

Di manakah relevannya masyarakat pelajar seperti ini diajak kepada


perbincangan tentang mazhab, salaf dan khalaf, ketika mana mereka
sendiri tidak pasti sejauh manakah mereka perlukan Tuhan dalam hidup
ini?

Sukar untuk saya mengungkaikan soalan tersebut, tetapi saya cuba


menyuluhnya dari sudut yang biasa saya gunakan iaitu isu SIKAP.

Ya, guru-guru sama ada yang bermanhaj salaf atau khalaf ramai yang
ghairah mengajar fakta tetapi lupa mengajar SIKAP. Akhirnya pendirian
salaf dan khalaf tercemar oleh SIKAP yang menjelekkan sama ada oleh
guru mahu pun anak muridnya.

Ramai yang bermati-matian mempertahankan hukum Isbal, memakai pakaian


di atas buku lali dengan penuh kekasaran dan kesombongan. Mereka
terlupa yang kesombongan mereka itu sama seperti golongan bangsawan
Arab yang melabuhkan pakaian untuk menonjolkan kekasaran dan
kesombongan yang sama. Manhaj bertukar, sikap masih sama.

Manakala di satu sudut yang lain, golongan yang bertentangan pula


bermati-matian mempertahankan CARA BELAJAR tetapi tidak mempedulikan
HASIL BELAJAR. Kitabnya kena begini, duduknya kena begini, tradisinya
kena begini, hasilnya mereka tidak peduli. Malah ada yang belajar
zikir khas untuk mempertahankan diri dari Wahabi! Aduh, apakah Wahabi
ini sihir dan santau? Saya mengeleng sampai terpeleng.

WARGA SURAU MEMERANGAI USTAZ 'LAN'

Saya berasa simpati dengan ustaz-ustaz muda yang membimbing Mata


Pelajaran LAN di kolej-kolej, khususnya kolej swasta, yang disanggah
oleh anak-anak muridnya yang memandang rendah kepada ustaz berkenaan
kerana solat Subuhnya berqunut. Saya tidak menokok tambah komentar
saya terhadap isu ini tetapi ia adalah hasil pertemuan saya dengan
ramai tenaga pengajar kolej yang memohon perkongsian idea bagi
menyelesaikan masalah pelajar mereka.

Ketika ustaz-ustaz ini berpenat lelah mencari formula menjinakkan anak


murid mereka yang jauh dari agama, mereka terpaksa pula bertempur
dengan warga surau yang sangat keras mempertahankan kaedah-kaedah
solat yang baru mereka pelajari. Mereka sekali lagi terlupa bahawa 80%
pelajar memilih untuk bertelanjang. Menelanjangkan diri mereka dari
agama, kerana agama dalam sehari dua ini amat mengelirukan. Siapakah
yang mengelirukan 80% pelajar ini? Tidak lain dan tidak bukan, kita
sendiri. Orang yang belajar agama tetapi tidak belajar cara beragama.

Suatu ketika, saya amat skeptik dengan istilah "BELAJAR KENA BERGURU"
sebab pada masa itu, pelajar yang belajar di universiti disanggah oleh
pejuang aliran tradisional bahawa kononnya mereka ini banyak baca
sendiri dan tidak berguru. Tetapi saya mahu meminjam kembali istilah
berkenaan untuk ditujukan kepada anak-anak muda di kolej dan
universiti hari ini yang gurunya adalah buku, internet, majalah dan
vcd. Belajar biarlah berguru!

Buku mengajar kita ilmu, tetapi buku tidak mengajar kita cara membawa
ilmu. Kita berilmu, tetapi horizon kita di dalam membudayakan ilmu itu
ke persekitaran, amat sempit.

TEMPIAS AKHLAK GURU

Saya masih ingat, semasa Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi,


seorang tokoh tafsir, ditanya oleh anak muridnya tentang satu masalah
di dalam Hadith, beliau menerangkannya dengan panjang lebar, tetapi
kemudiannya mencadangkan agar soalan itu diajukan kepada rakannya,
Sheikh Hammam Saeed yang lebih pakar tentang Hadith. Apabila soalan
tentang Tafsir ditanya kepada Sheikh Hammam Saeed oleh anak muridnya,
beliau menjawab dengan jawapan yang seluas-luasnya tetapi kemudiannya
mencadangkan kepada anak muridnya supaya bertanya kepada Sheikh Solah
al-Khalidi yang lebih pakar di dalam Tafsir. Ya, sikap saling hormat
menghormati sesama Tuan Guru ini tersimbah kepada saya yang menumpang
belajar sedikit sebanyak.
Sheikh Solah juga pernah menegur golongan yang berkeras untuk
membanteras 'solat Qabliah Jumaat'. Antara yang saya masih ingat,
beliau bertanya, apakah pada hari Jumaat kita digalakkan membanyakkan
solat Sunat? Jika ya, maka ketika 'orang lain' itu bersolat Qabliah
Jumaat, dirikan sahaja solat Sunat secara mutlak, demi dakwah. Tidak
perlu menonjolkan 'kelainan kita' jika hanya mengundang kemudaratan
kepada dakwah.

Semasa saya bertugas di Belfast, jemaah di masjid saya berbalah


tentang penyelesaian solat Isyak di musim panas. Pada musim panas,
kami menghadapi masalah kerana Isyak yang masuk terlalu lewat, sekitar
jam 11:50 malam, manakala solat Fajar pula masuk jam 2:15 pagi. Dalam
masa yang sama ada pula beberapa ketika solat Isyak langsung tidak
wujud kerana kemerahan cahaya matahari tidak hilang sampai pagi. Saya
mengikut fatwa Majlis Fatwa Eropah yang dipimpin oleh Sheikh Yusof
al-Qaradawi agar masjid menjamakkan Solat Maghrib dan Isyak. Tetapi
ada sekumpulan jemaah di masjid yang menentangnya.

Ketika itu saya berpeluang untuk ke Jordan dan saya mengambil


kesempatan untuk mengajukan soalan ini kepada beberapa orang pakar
rujuk Fiqh di University of Jordan. Jawapan mereka sungguh mengagumkan
saya.

Mereka berkata bahawa setelah Sheikh Yusof al-Qaradawi memberikan


fatwa tentang hal ini, maka mereka tidak mempunyai sebarang hak untuk
memberikan pandangan. Apatah lagi Sheikh Yusof al-Qaradawi berada di
Eropah dan mengetahui suasana sebenar di sana. Mereka mengingatkan
saya supaya menasihati ahli jemaah di masjid saya agar menghormati
fatwa Sheikh Yusof al-Qaradawi dan memelihara kesatuan umat Islam di
sana.

Ya, akhlak ini tidak mungkin tersentuh dan terserap ke jiwa saya jika
saya membina manhaj hanya dengan membaca buku, majalah dan vcd.
Keberkatan terhadap proses menuntut ilmu, tersimbah pada yang hadir di
majlis ilmu, maka kalau mahu menjadi mukmin profesional, protaz,
uspro, ustat (ustaz photostat), tazpro atau apa sahaja, maka biarlah
melalui susur proses yang sejahtera.

Dan guru-guru pula jangan sibuk melambakkan fakta semata-mata.


Sebaliknya didiklah dan bentuklah sikap anak murid agar bijak 'membawa
agama'. Ketika mengajar, pandaikan orang, jangan hanya tunjuk pandai
depan orang.

Jangan lupa, 80% remaja kita mengambil keputusan untuk bertelanjang.


Mereka menelanjangkan diri dari agama, kerana agama dalam sehari dua
ini sungguh mengelirukan.

Moga Allah mengurniakan tsabat kepada kita di jalan Ghurabaa'!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com


56000 Cheras 14 Jun 2006

Send instant messages to your online friends http://uk.messenger.yahoo.com

Vous aimerez peut-être aussi