Vous êtes sur la page 1sur 8

Pengenalan Kepada Pengurusan Industri

Pengurusan

Pengurusan adalah satu bidang yang luas merangkumi segala aspek kehidupan manusia dan
kaitannya dengan persekitaran. Sains pengurusan telah wujud sejak beribu-ribu tahun yang lalu. Jika
pembinaan piramid di Mesir tidak diuruskan dengan teliti, kemungkinan hari ini kita tidak akan
melihat salah satu daripada keajaiban dunia itu. Manusia pada zaman itu sudahpun mengetahui
bagaimana menguruskan satu projek pembinaan yang amat besar. Dikatakan satu bongkah batu
piramid itu besarnya seperti sebuah rumah moden sekarang. Bayangkanlah jika pembinaan itu tidak
diuruskan dengan satu pengurusan yang teratur nescaya bongkah-bongkah batu itu tidak akan dapat
disusun dengan sedemikian rupa sehingga menjadi satu binaan yang begitu menakjubkan sehingga
ke hari ini! Begitu juga dengan Tembok Besar China, pastinya ia telah diuruskan dengan satu sistem
pengurusan yang begitu sistematik.

Definasi Pengurusan

Pengurusan telah diberi berbagai definasi semenjak bidang ini dikenalpasti sebagai satu cabang ilmu
yang perlu dipelajari. Salah satu definasi pengurusan dalam pertukaran abad ialah:

"Pengurusan adalah satu seni melakukan dan menyiapkan sesuatu kerja dengan cara mengelola
dan menyelia kerjasama yang diberikan oleh orang lain"

Dalam konteks pengurusan sesebuah organisasi, "orang lain" di sini merujuk kepada pekerja-pekerja
yang berada di bawah tanggungjawab seseorang pengurus.

Steers (1985) pula mendefinasikan pengurusan sebagai satu proses merancang, menganjur,
memimpin dan mengawal aktiviti-aktiviti pekerja-pekerja selaras dengan sumber yang ada untuk
mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

Koontz dan O'Donnell (1976) juga menyatakan bahawa pengurusan boleh dibahagikan kepada
beberapa fungsi yang utama termasuk perancangan, penganjuran, kepimpinan dan pengawalan.

Daripada beberapa definasi di atas, sains pengurusan, tidak kira samada diaplikasikan dalam bidang
perindustrian, pembinaan, perbankan, pengeluaran, pembuatan, perniagaan atau bidang-bidang lain,
mempunyai satu konsep asas yang serupa. Sains pengurusan mengandungi empat elemen yang
utama:

Perancangan (Planning)

Penganjuran (Organising)

Kepimpinan (Leading) dan

Pengawalan (Controlling)
Semua organisasi mempunyai matlamat dan objektif masing-masing. Boleh dikatakan semua
organisasi yang menjalankan perniagaan (business organisations) mempunyai matlamat yang sama,
iaitu untuk mendapatkan keuntungan yang maksimum berbanding pelaburan.

Keempat-empat elemen utama sains pengurusan di atas perlu disempurnakan dengan berkesan
supaya setiap organisasi itu dapat mencapai matlamat dan objektif. Cara bagaimana untuk
mencapainya bergantung kepada keupayaan dan sumber yang ada pada sesebuah organisasi.

Hubungan baik di antara pihak pengurusan dan pekerja perlu dititik-beratkan supaya matlamat dan
objektif organisasi dapat dicapai tanpa sebarang masalah. Ini adalah penting kerana jika pekerja
tidak memberikan kerjasama ke arah pencapaian matlamat, maka segala bentuk perancangan yang
baik akan gagal. Oleh itu pekerja adalah aset utama yang perlu diberi perhatian sepenuhnya kerana
merekalah nadi penggerak sesebuah organisasi.

Revolusi Perindustrian

Revolusi Perindustrian bermula di England sekitar tahun 1770-an dan telah merebak ke Eropah dan
Amerika pada kurun ke 19. Sebelum era tersebut, kebanyakan barangan dibuat di dalam bengkel
atau bangsal-bangsal kecil yang hanya memerlukan seorang yang mahir dan beberapa orang pekerja.
Peralatan yang digunakan juga adalah ringkas dan mudah, tidak secanggih seperti peralatan yang
ada sekarang.

Kemudian, beberapa ciptaan terhasil daripada keinginan manusia menggantikan tenaga mereka
dengan tenaga mesin. Salah satu ciptaan yang amat penting yang telah mengubah cara manusia
bekerja ialah ciptaan enjin stim oleh James Watt pada tahun 1764. Enjin stim ini mampu
menggerakkan mesin-mesin yang digunakan di kilang-kilang tekstil pada masa itu. Ini diikuti
dengan spinning jenny yang dihasilkan oleh James Hargreaves pada tahun 1770 dan power loom
oleh Edmund Cartwright pada tahun 1785. Peningkatan kemajuan yang mendadak ini dimangkinkan
juga dengan bekalan arangbatu dan besi waja yang mencukupi untuk menghasilkan tenaga dan
mesin-mesin yang tahan lebih lama berbanding dengan peralatan yang digunakan sebelum ini.

Walaupun dengan bantuan mesin-mesin ini pengeluaran didapati tidak memuaskan kerana
mengambil masa yang lama dan menelan belanja yang tinggi. Ini adalah kerana produk dikeluarkan
oleh seorang yang mahir yang cuma boleh menumpukan perhatiannya kepada satu produk sahaja
dan tidak ada satu piawai yang wujud untuk alat-alat ganti yang digunakan.

Untuk mengatasi masalah ini satu sistem ukuran piawai telah diwujudkan dan ini sedikit sebanyak
telah dapat mengatasi masalah yang dihadapi. Kesan daripada ini kilang-kilang telah banyak
didirikan dan mampu memberikan mata pencarian kepada orang ramai.

Pengurusan Saintifik Taylor

Walaupun bidang perindustrian berkembang dengan baik, namun teori dan amalan pengurusan tidak
menunjukkan banyak perubahan. Apa yang diperlukan ialah satu sistem pengurusan yang lebih
sistematik dan berkesan.

Frederick Winslow Taylor, juga dikenali sebagai Bapa Pengurusan Saintifik, percaya kepada sains
pengurusan yang berdasarkan pemerhatian, pengukuran, analisis dan pembaharuan kaedah kerja,
dan insentif ekonomi. Beliau telah membuat kajian yang mendalam tentang kaedah kerja yang
paling sesuai untuk melakukan sesuatu kerja atau tugas.

Taylor juga percaya bahawa pihak pengurusan perlu bertanggungjawab untuk merancang, memilih
pekerja dengan teliti, memberi latihan yang mencukupi kepada pekerja dan memelihara hubungan
baik dengan pekerja. Pengurusan juga perlu bertanggungjawab ke atas apa yang pekerja lakukan.
Kesemua teknik dan konsep pengurusan ini telah dibukukan dalam "The Principles of Scientific
Management" yang telah diterbitkan pada tahun 1911.

Antara kandungan Pengurusan Saintifik Taylor bolehlah diringkaskan seperti berikut:

1. Setiap aktiviti perlu didasarkan kepada sains untuk menggantikan pendapat atau peraturan-
peraturan yang tiada asas.
2. Pekerja perlu dipilih dengan teliti dan kaedah sains digunakan untuk melatih dan
membangunkan pekerja-pekerja yang sudah dipilih.
3. Pihak pengurusan perlu bekerjasama dengan pekerja supaya aktiviti dilakukan berpandukan
kaedah-kaedah sains yang telah dibangunkan.
4. Pihak pengurusan perlu lebih bertanggungjawab ke atas aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh
pekerja di mana sebelum ini tanggungjawab itu dipikul oleh pekerja sahaja.

Tokoh-Tokoh Perindustrian Lain

Selari dengan pemerhatian dan kajian Taylor, terdapat beberapa tokoh industri yang lain yang telah
menyumbang ke arah kemajuan di dalam bidang pengurusan perindustrian terutamanya:

Frank Gilbreth

Beliau telah membuat kajian ke atas pergerakan tubuh badan manusia untuk melakukan sesuatu
kerja. Hasil daripada kajian ini beliau telah membangunkan prinsip ekonomi pergerakan yang
mengandungi 17 pergerakan asas manusia dikenali sebagai Therbligs.

Henry Gantt

Menghasilkan satu sistem penjadualan yang digunakan seluruh dunia dikenali sebagai Gantt Chart.

Henry Ford

Memperkenalkan mass production, satu sistem di mana jumlah pengeluaran yang besar dihasilkan
daripada kegunaan komponen-komponen piawai dan tidak memerlukan pekerja-pekerja mahir.

Selain daripada tokoh-tokoh di atas terdapat juga tokoh-tokoh industri yang lain yang telah
menyumbang sacara langsung ataupun secara tidak langsung kepada revolusi perindustrian sehingga
ke hari ini. Ini ditunjukkan seperti Jadual 1.1 di bawah:
 
Tahun Sumbangan Penyumbang

1776 Pembahagian kerja Adam Smith

1790 Alatan yang mudah ditukar-ganti (interchangeable Eli Whitney


parts)

1911 Prinsip Pengurusan Saintifik Frederick W.Taylor

1911 Kajian pergerakan; psikologi perindustrian Frank dan Lillian Gilbreth

1912 Penjadualan Henry Gantt

1913 Baris pemasangan Henry Ford

1915 Pengurusan inventori F.W.Harris

1930 Kajian Hawthorne ke atas motivasi pekerja Elton Mayo

1935 Statistik H.F.Dodge, H.G.Romig,


W.Shewhart, L.H.C.Tippett

1947 Pengaturcaraan lelurus George Dantzig

1951 Komputer digit Sperry Univac

1950-an Automasi Ramai penyumbang

1960-an Kaedah kuantitatif Ramai penyumbang

1975 Strategi pembuatan W.Skinner

1980-an Kualiti, saingan masa  Pengilang Jepun

1990-an Internet Ramai penyumbang

2000 Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) Ramai penyumbang

    Jadual 1.1: Penyumbangan Terhadap Revolusi Perindustrian

Walaupun prinsip pengurusan saintifik lebih banyak menekankan kaedah-kaedah teknikal berkenaan
rekabentuk kerja, terdapat juga tokoh-tokoh lain yang telah membuat kajian ke atas faktor hubungan
manusia dengan tempat kerja dan kerja yang mereka lakukan. Ini termasuklah Lillian Gilbreth, isteri
kepada Frank Gilbreth, yang telah mengkaji tentang kelesuan pekerja pada tahun 1920-an. Diikuti
dengan Elton Mayo (1930-an) yang telah melihat kerja dari segi aspek fizikal dan teknikal yang
mempengaruhi motivasi pekerja di Western Electric. Beliau berpendapat pekerja perlu diberikan
motivasi untuk membantu meningkatkan pengeluaran.

Pada tahun 1940-an, Abraham Maslow memperkenalkan teori motivasi dan diulas dengan lebih
mendalam oleh Frederick Hertzberg pada tahun 1950-an. Daripada sini Douglas McGregor (1960-
an) membuat kesimpulan bahawa teori motivasi terbahagi kepada dua iaitu Teori X dan Teori Y.
Teori X menyatakan bahawa manusia memang tidak suka untuk bekerja, menganggap kerja itu
sebagai satu paksaan. Manakala Teori Y menyatakan manusia adalah makhluk yang senang bekerja
sejak dari semulajadi. Pada tahun 1970-an, William Ouchi menambah satu lagi teori iaitu Teori Z di
mana ia menyatakan bahawa kerja adalah sesuatu yang kekal dan manusia perlu membentuk
kemahiran untuk menyelesaikan masalah secara berkumpulan.

Peranan Pengurus di Dalam Organisasi

Pencapaian matlamat dalam sesebuah organisasi akan menjadi lebih berkesan jika ia dilakukan
secara berkumpulan berbanding secara individu. Untuk memastikan setiap individu memberikan
kerjasama ke arah tersebut bukanlah satu perkara yang mudah. Pihak pengurusan ataupun pengurus-
pengurus perlu memainkan peranan yang penting supaya aktiviti yang dilakukan di dalam organisasi
tidak menyimpang daripada matlamat yang telah ditetapkan.

Peranan seorang pengurus itu bergantung kepada fungsi atau jabatan yang telah
dipertanggungjawabkan ke atasnya. Pengurus kewangan misalnya mempunyai peranan untuk
memastikan bahawa sumber-sumber diperolehi dan dibahagikan keseluruh bahagian organisasi.
Begitu juga pengurus pemasaran bertanggungjawab menilai kehendak pelanggan, mempromosikan
produk baru dan meningkatkan jualan supaya dapat bersaing dengan pengeluar lain di pasaran.
Pengurus operasi pula menentukan bahawa produk yang dikeluarkan adalah bermutu; pada kadar,
kos dan masa yang telah ditetapkan.

Terdapat juga fungsi-fungsi lain di dalam organisasi seperti akaun, sumber manusia, perhubungan
awam, penyenggaraan dan pembaikpulihan, pengedaran dan sebagainya. Kesemua fungsi ini
mempunyai seorang pengurus yang bertanggungjawab memastikan kesemua aktiviti di dalam
bidang kuasanya berjalan dengan lancar. Walaupun pengurus-pengurus berada di dalam fungsi atau
jabatan yang berbeza namun pada dasarnya mereka mempunyai tanggungjawab yang serupa seperti
yang telah disenaraikan oleh Mintzberg dalam Jadual 1.2 di bawah:
   Hubungan Sesama Manusia (Interpersonal)

Ketua (Figurehead) Melakukan tugas-tugas sosial dan yang berkaitan


undang-undang

Pemimpin (Leader) Membina hubungan yang baik dengan orang


bawahan, berkomunikasi dan memberi mereka
tunjukajar

Pengantara (Liaison) Mengekalkan hubungan luar

Berkaitan Maklumat (Informational)

Pemantau (Monitor) Mencari maklumat dalaman dan luaran yang


mempengaruhi organisasi

Penyampai (Disseminator) Menyampaikan maklumat di dalam organisasi

Jurucakap (Spokesperson) Menyampaikan maklumat organisasi kepada


pihak luar

Berkaitan Keputusan (Decisional)

Usahawan (Entrepreneur) Merupakan nadi penggerak kepada perubahan


dan inovasi terbaru

Pelerai Masalah (Disturbance Melakukan tindakan pembetulan bila organisasi


Handler) menghadapi masalah

Pengagih Sumber (Resource Mengagih semua sumber-sumber yang diperolehi


Allocator) termasuk masa, kewangan, peralatan dan tenaga
manusia)

Perunding (Negotiator) Mewakili organisasi dalam perbincangan


mengenai perniagaan
Jadual 1.2: Peranan Pengurus (Mintzberg)

Pendekatan Kepada Pengurusan

Terdapat dua pendekatan utama kepada pengurusan iaitu pendekatan yang melihat sains pengurusan
sebagai satu proses dan pendekatan yang melihat sains pengurusan sebagai satu sistem.

Pengurusan Sebagai Satu Proses

Pendekatan ini telah diasaskan oleh Henri Fayol, seorang tokoh perindustrian Perancis pada sekitar
tahun 1916 seiringan dengan perkembangan yang sedang berlaku di Amerika oleh Frederick W.
Taylor pada ketika itu. Secara dasarnya Fayol melihat pengurusan terdiri daripada empat fungsi atau
proses yang penting (perancangan, penganjuran, kepimpinan dan pengawalan). Keempat-empat
fungsi ini merupakan proses-proses utama dalam pengurusan sesebuah organisasi untuk mencapai
matlamat dan objektif yang telah ditetapkan. Ini dapat digambarkan seperti Rajah 1.1 di bawah:
 

Rajah 1.1: Pendekatan Pengurusan Sebagai Satu Proses

Pengurusan Sebagai Satu Sistem

Pendekatan ini bermula sekitar tahun 1960-an di mana pengurusan dilihat sebagai satu sistem yang
terdiri daripada berbagai bahagian atau komponen yang saling berkait di antara satu sama lain,
bekerjasama ke arah satu tujuan yang sama. Dalam konteks organisasi perniagaan, organisasi boleh
digambarkan sebagai satu sistem yang besar yang mengandungi beberapa sub-sistem (contohnya
sub-sistem pemasaran, sub-sistem operasi, sub-sistem kewangan dan sebagainya), dan setiap sub-
sistem ini mungkin boleh dibahagikan kepada sub-sistem yang lebih kecil.

      Rajah 1.2: Pendekatan Pengurusan Sebagai Satu Sistem

Umumnya, organisasi sebagai satu sistem boleh dibahagikan kepada tiga bahagian (Rajah 1.2)
utama iaitu masukan (input), proses transformasi, dan keluaran (output). Masukan selalunya
termasuklah tenaga manusia, bahan mentah, modal, polisi syarikat dan sebagainya. Masukan ini
kemudian akan melalui proses penambahan nilai supaya ia boleh dijual pada harga yang lebih tinggi
berbanding harga asalnya. Hasil daripada jualan ini akan digunakan semula ke dalam sistem dan jika
keluaran didapati tidak mencapai sasaran maka tindakan pembetulan akan diambil. Oleh yang
demikian, keluaran (output) daripada setiap sub-sistem mestilah memenuhi keperluan prestasi yang
telah ditetapkan oleh organisasi sebagai satu sistem.

Sebuah organisasi adalah merupakan satu sistem yang terbuka di mana ia perlu berinteraksi dengan
persekitarannya dalam menjalankan aktiviti-aktiviti hariannya. Contohnya jika Kerajaan meluluskan
satu undang-undang baru, organisasi terlibat perlulah membuat penyesuaian yang sewajarnya
supaya perjalanan sistem yang sedia ada tidak terganggu.
 

Rujukan
Zulkiflle Leman, Nota Kuliah—KMP3903 Pengurusan Industri I (November 1998-Mei 2000), Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan,
Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia. Mohd Rasid Osman, Nota Kuliah—KS373 Pengurusan Perindustrian (November 1997), Jabatan
Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia. Stevenson, W.J., "Production Operations
Management", Irwin/McGraw-Hill,6th Edition, 1999. Turner, W.C., Mize, J.H., Case, K.E., "Introduction to Industrial and Systems Engineering",
Prentice Hall, 3rd Edition, 1993. Mar, D.D., "Operations and Industrial Management", McGraw-Hill, 1985.

Vous aimerez peut-être aussi