Vous êtes sur la page 1sur 5

ADA dalam kalangan umat Islam yang memberi alasan bagi menolak usul persendirian

berkaitan undang-undang jenayah dengan menggunakan beberapa perkataan yang berkaitan


hukum Islam.
Antaranya menyebut perkataan-perkataan seperti Siyasah Syariyyah, Maqasid Syariah,
Fiqh Aulawiyyat, Maslahah dan lain-lain.
Ketika membicarakan tajuk yang berat seperti ini, maka tentunya sangatlah tidak manis
sekiranya kita menjadi laksana burung kakaktua yang pandai hanya menyebut kalimah yang
diajar oleh tuannya, namun tetap berstatus binatang tanpa akal tanpa memahami hakikat atau
tasawwur daripada perkataan yang diucap.
Maka menjelaskan maknanya dengan ilmu yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah
adalah sangat penting.
Hudud adalah cabutan daripada salah satu daripada hukum jenayah yang banyak dan
menyeluruh. Mungkin sengaja dijadikan hujah yang difikirkan bagi menolak syariat.
Mereka menganggap Hudud paling sesuai dijadikan sasaran kerana pandangan mereka paling
ganas, tanpa mengetahui secara detail dan objektif. Tanpa menyedari pula betapa ganasnya
undang-undang ciptaan manusia yang masih dibanggakan, seperti hukuman bunuh secara
kuno : menjerut tali ke leher secara menggantung, begitu juga hukuman sebat sehingga
menyeksa tanpa kesan mendidik masyarakat.
Penjelasan ini khusus bagi penganut Islam yang jahil tanpa dimaafkan, kerana beriman tanpa
ilmu dan tidak berbudiman terhadap agama sendiri, serta tanpa peduli terhadap batas-batas
iman dan kufur yang wajib diketahui dan dipelihara secara fardu ain.
Dr Yusuf al-Qardawi dalam kitabnya [Memudahkan kefahaman (terhadap agama ) kepada
Muslim Semasa atau terkini] di halaman 102 menjelaskan:
Terdapat tiga madrasah (pandangan) apabila menghadapi masalah semasa :
1- Kalangan yang berpegang kepada nas juzii yang zahir secara jumud tanpa
menterjemahkannya secara ijtihad melalui ilmu Siyasah Syariyyah, Usul dan Maqasid.
2- Kalangan yang menyalahggunakan Siyasah Syariyyah, Usul dan Maqasid sehingga
membelakangi nas yang nyata.
3- Kalangan yang mengambil kira kedua-dua aspek yang penting dalam ilmu Islam.
Nas yang nyata adalah ilmu Allah yang difirmankan atau ucapan Rasul S.A.W. yang bersifat
masum. Adapun yang lain dari nas yang nyata adalah keizinan Allah bagi ruang ijtihad di
kalangan para ulama bagi melaksanakan syariat Islam dengan bijak dan adil, bukannya
meninggal syariat Allah dengan alasan sehingga boleh digantikan dengan undang-undang
ciptaan manusia yang dianggap lebih baik.
1- Siyasah Syariyyah
Perkataan siyasah daripada bahasa Arab yang bermaksud mentadbir, mengurus dan
memandu atau memimpin yang disebut terkini dengan perkataan politik atau pentadbiran atau
panduan. Dicampur dengan perkataan Syara dengan maksud kaitannya dengan urusan

pelaksanaan syariat mengikut jadual, pelaksanaan, dan pengurusan melaksanakan hukum


Islam, bukannya meninggalkan hukum Islam untuk diganti dengan yang lain. (Sila lihat
huraian secara khsus dalam kitab-kitab Ahkam Sultaniyyah Karangan al-Mawardi dan Ghiath
karangan Imam Haramain daripada Mazhab Syafei; al-Sair al-Kabir daripada mazhab Hanafi;
Siyasah Syariyyah Ibnu Taimiyyah dan Turuq Hukmiyyah Ibnu Qayyim daripada mazhab
Hambali dan Muqaddimah Ibnu Khaldun daripada mazahab Maliki).
Tegasnya ialah melaksanakan Syariat dengan betul, bukannya meninggalkan Syariat Allah
dengan gantian hukum yang lain.
2- Maqasid Syariah
Maqasid bermakna tujuan-tujuan, maksudnya ialah tujuan pelaksanaan syariat. Objektifnya
ialah cara mencapai matlamat membawa maslahat kebaikan kepada manusia secara umum
dan khusus secara adil dan istiqamah dan menolak kemudaratan.
Di sini pula ada tujuan yang telah ditetapkan oleh syara dan ada juga yang tidak disebut di
mana Allah memberi keizinan mengikut kemampuan akal dan ilmu manusia.
(Kepada yang mampu berbahasa Arab sila rujuk kepada dua tokoh ilmu Maqasi : Al Syatibi :
Al Muwafaqat : J:2, muka surat 391. Ibnu Asyur : muka surat 19)
Contohnya, apabila khalifah Umar R.A. tidak memotong tangan pencuri di tahun melesetnya
ekonomi kerana berlakunya kemarau panjang, dan bukannya kerana meninggalkan hudud,
tetapi disebabkan melihat keadaan desakan hidup apabila dibayar gaji yang tidak mencukupi,
menjadikan seseorang itu melakukan jenayah secara terdesak. Maka kerana itu hukuman
potong tangan adalah haram dilaksanakan, kerana Hadis Rasulullah S.A.W. : Hukuman
Hudud ditolak (kerana adanya syubuhat.
Ditolak hukuman hudud ini pula bukan bermakna terlepas begitu sahaja. Tetapi hendaklah
dipindahkan kepada hukuman takzir yang termasuk dalam ruang Syariat Islam. Hukuman
hudud tidak boleh dijatuhkan kerana tidak memenuhi syarat yang mencapai adil dan
mendidik masyarakat mengikut kemampuan. Mudarat daripada kemelesetan ekonomi yang
menimpa penjenayah adalah lebih besar. Sebaliknya kalau pencuri itu seorang berpendapatan
tinggi sudah tentu dihukumkan.
Maqasid Syariah tidak bermakna membatalkan penguatkusaan undang-undang Hudud.
Maqasid Syariah dalam hal ini bermakna hukuman tidak boleh dijatuhkan kerana menafikan
tindakan secara adil yang menjadi matlamat syariat. Kalau dijatuhkan hukuman juga,
bermakna kita tidak melaksanakan syariat kerana tidak mencapai matlamatnya.
Meninggalkan syariat secara total menghilangkan segala maqasidnya.
Contohnya juga ialah mengenai kalimah Allah dibenarkan penggunaannya pada asalnya oleh
penganut bukan Islam walau pun salah mengikut penafsiran kita, tetapi apabila tujuan
penggunaannya bagi mengelirukan penganut Islam yang jahil, maka pihak berkuasa
berkenaan agama Islam berhak menghalangnya . Mengikut Qaedah (Semua perkara dilihat
juga kepada tujuannya).
3- Fiqh Aulawiyyat

Bermaksud melihat keutamaan secara fiqh (faham mengikut panduan Syariat).


Contohnya Islam meletakkan perkara keperluan rukun hidup bagi manusia ialah memelihara
(1) Aqidah agama, (2) Nyawa, (3) Akal, (4) Keturunan dan (5) Harta.
Contohnya tidak dijatuhkan hukuman hudud terhadap pencuri kerana lapar adalah kerana
keutamaan memelihara nyawa hendaklah didahulukan daripada memelihara harta. Hukuman
hudud ditangguh dalam keadaan perang kerana menghalang penjenayah melarikan diri
kepada musuh, kerana keselamatan negara diutamakan. Bukan bermakna penjenayah
dibebaskan, tetapi diturunkan kepada hukuman takzir.
Orang bukan Islam dikecualikan dahulu kerana berdakwah dalam konsep tiada paksaan
dalam agama adalah lebih aulawiyyat.
Contohnya juga seperti pengambilan tanah untuk mendirikan hospital atau jalan raya adalah
diizinkan kerana kepentingan umum hendaklah didahulukan daripada kepentingan individu
atau segelintir, dan hendaklah diganti tanah itu secara yang adil pula.
Aulawiyyat itu pula hendaklah dalam ruang lingkup hukum syariat terlebih dahulu,
bukannya bermakna meninggalkan hukum syariat.
Apabila segala syarat tidak ada bagi hukum Hudud dan Qisas maka hendaklah dipilih dalam
ruang hukum takzir yang sangat luas.
Bukannya melarikan diri kepada hukum ciptaan Barat yang banyak kelemahannya. Perlu
disedari bahawa di sana ada juga tidak yang sama dengan undang undang yang sedia ada,
perbezaannya tidak ada roh seperti syariat Islam.
(Sila lihat Dr Yusuf Al Qardhawi dalam Siyasah Syariayyah halaman 284-297)
4- Maslahah
Maslahah dengan maksud tujuan membawa kebaikan. Sama ada mendapat faedah atau
menolak kemudaratan. Para ulama membahagikan maslahat itu kepada tiga kedudukan :
1- Maslahah Muatabarah
Ialah dalam perkara yang telah ditetap oleh Allah Yang Maha Mengetahui dan Rahmat
terhadap makhluknya. Maka ada yang diwajibkan dan ada pula yang diharamkan. Maka
percayalah bahawa semua yang diwajibkan tetap membawa kebaikan dunia dan akhirat.
Perkara yang diharamkan tetap mendatang mudarat kepada diri atau masyarakat. Contohnya
ialah seperti wajibnya berpuasa kepada yang mampu dan haramnya arak dan judi. Ianya
adalah ketetapan Allah SWT.
2- Maslahah Mulghah
Dalam perkara yang diharamkan kerana mudaratnya lebih besar atau manfaatnya tidak ada
.Contohnya seorang yang mencuri atau merompak atau mengedar dadah dengan maslahat
mengumpul duit untuk kebajikan atau nafkah keluarga. Maslahat ini dibatalkan kerana
mudaratnya sangat besar sehingga menimbus segala kebaikannya.
3- Maslahah mursalah atau Masoleh mursalah

Dalam perkara yang didiamkan oleh al-Quran dan Hadis maka ruangnya adalah terlalu luas
kepada manusia di sepanjang zaman.
Melaksanakan Syariat adalah maslahah yang telah ditetapkan oleh Allah Yang Maha
Mengetahui dan Penyayang kepada makhluknya.
Isu Enakmen Kanun Jenayah Syariat (KJS) Negeri Kelantan
Isu undang-undang jenayah Syariat menjadi hangat sejak kedatangan penjajah apabila mereka
menghapuskannya. Seterusnya menjadi hangat di kalangan umat Islam sendiri kerana
kejahilan agama dan pendekatan, sehingga berlakunya isu kafir mengafir dalam masyarakat
sendiri kerana kejahilan hukum dan kejahilan cara pendekatan berdakwah.
Apabila keadaan dapat diredakan, maka PAS mengambil langkah ke depan melalui
kemenangannya di Kelantan, kemudiannya di Terengganu secara ilmu dan demokratik.
Langkah pertama ialah menubuhkan pasukan daripada Parti dan kerajaan. Pasukan ini
melibatkan Ketua Dewan Ulama dan kalangan ahli majlis Syura Ulama, Tun Saleh Abas
(Mantan Ketua Hakim Negara), al-Marhum Prof Ahmad Ibrahim salah seorang pengasas UIA
(mantan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat tahun lima puluhan daripada Singapura dan mantan
Peguam Negara Singapura yang pertama), al-Marhum Dr Mahmud Saedon Awang Osman
dari UIA dan Pakar Syariah Negara Brunei Darussalam, al-marhum Datuk Abdul Halim
Muhammad mantan Penasihat undang-undang negeri Kelantan dan Exco kerajaan negeri, dan
Datuk Daud Mohamad Kadi Besar negeri Kelantan.
Sebelum enakmen ini dibawa kepada Dun Negeri Kelantan, ianya terlebih dahulu
dibentangkan kepada umum di berbagai forum seminar dan dialog. Akhirnya enakmen
berkenaan dibawa ke Dun Kelantan pada tahun 1993 dan Dun Terengganu pada tahun 2000.
Manakala Kelantan pula memperkukuhkannya secara mengadakan seminar dan sambutan
mengenainya secara tahunan.
Kini setelah lebih dari 20 tahun (dua puluh tahun) Pas memperkenalkan enakmen ini,
disamping melaksanakan proses pendidikan mengenai KJS dalam masyarakat, dialog dan
sebagainya, maka Pas ingin bergerak setapak lagi dalam proses mendidik masyarakat untuk
mengenali hukum-hakam syariat Islam yang menyeluruh. Hasilnya kini suara yang mengeji
hukum Islam ini semakin hari menjadi terpencil.
Maka dengan sedikit ruang yang ada ini, Enakmen KJS ini mengalami beberapa pindaanpindaan memperkemaskannya dengan mengambil kira cabaran dalam perlembagaan dan
masyarakat majmuk, tanpa paksaan, dan bagi orang Islam sahaja setelah mengambil kira
pandangan para ulama daripada semua mazhab dan sejarah pelaksanaan yang berjaya di
sepanjang zaman.
Dalam masa yang sama, apa yang ingin dicadang dan akan dibawa oleh Pas menerusi Private
Members Bill nanti pula bukanlah rang undang-undang hudud, tetapi pindaan dalam akta
Mahkamah Syariah untuk membuka sedikit ruang bagi membolehkan satu-dua aspek syariah
itu dilaksanakan terhadap penganut Islam sahaja.
Kita adalah makhluk yang berilmu, bertamadun dan matang. Maka dengarlah dahulu apa
yang ingin dikemukakan. Jangan terus melompat dan bertempik gegak gempita memberikan

kritikan tanpa mengetahui hujung pangkalnya.


Firman ALLAH:
(Dan hendaklah kamu melaksanakan kalangan mereka hukum yang telah diturunkan oleh
Allah,dan jangan sekali-kali engkau mengikut hawa nafasu mereka (meninggalkan hukum
ALLAH) sehingga engkau meninggalkan sebahagian daripada apa yang telah diturunkan oleh
ALLAH kepadamu. Maka jika sekiranya mereka berpaling(enggan)maka ketahuilah bahawa
sesungguhnya ALLAH hendak mengenakan mereka dengan sebab sebahagian daripada dosadosa mereka. Dan sesungguhnya sebahagian daripada maknusia itu adalah orang-orang yang
jahat). Adakah mereka mahukan hukum jahiliyyah, padahal siapakan lagi yang paling baik
hukumnya daripada Allah kepada orang-orang yang percaya dengan yakin).
ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN PAS
* Ini adalah pendapat peribadi penulis yang dipetik dari blog beliau sendiri dan tidak
semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.

Vous aimerez peut-être aussi