Vous êtes sur la page 1sur 3

Amalan Gaya Kepimpinan Instruksional Hubungan dan

Gaya Kepimpinan Instruksional Linear Pemimpin Sekolah


1. Kepimpinan Instruksional telah lama dianggap sebagai salah satu tanggungjawab
utama seseorang pemimpin sekolah. Namun, sehingga kini masih belum jelas tentang
peranan sebenar tangggungjawab kepimpinan instruksional yang diamalkan oleh
seseorang pemimpin sekolah di dalam urusan tugas sehariannya.
2. Antara perkara yang sering menjadi pertanyaan banyak pihak ialah bagaimanakan
seseorang pemimpin sekolah mengamalkan kepimpinan instruksional dalam
menjalankan tugasnya? dan apakah hasil yang diperolehi daripada amalan kepimpinan
instruksional yang mereka laksanakan selama ini?
3. Secara tradisinya seperti yang kita ketahui, bahawa amalan kepimpinan
instruksional seseorang pemimpin sekolah termasuklah menyatakan harapan-harapan
tingginya terhadap prestasi guru-guru dan pelajar-pelajar, menyelia proses pengajaran,
memantau proses penilaian dan perkembangan pelajar, menyelaras kurikulum sekolah,
serta mewujudkan iklim pembelajaran dan suasana kerja yang baik di sekolah.
4. Pada masa kini didapati bahawa amalan kepimpinan instruksional seorang
pemimpin sekolah telah diluaskan fokus peranannya daripada hanya menjadi " seorang
penilai kecekapan guru" kepada berperanan sebagai "fasilitator perkembangan
profesion guru".
5. Antara peranan yang boleh dimainkan oleh seorang fasilitator perkembangan guru,
ialah dengan mengadakan perbincangan-perbincangan profesional bersama gurugurunya, mewujudkan peluang guru-guru melakukan refleksi dan perkembangan
profesional mereka, serta mengembangkan komuniti pembelajaran profesional (PLC)
di sekolah.
6. Gaya Kepimpinan Instruksional Hubungan (Relational Instructional Leadership)
adalah berasaskan perspektif hubungan manusia yang melihat organisasi yang
dipimpin sebagai sebuah keluarga besar.
7. Sebagai pemimpin di dalam keluarga besar, kepemimpinan sekolah akan berusaha
memastikan guru-guru dan pelajar-pelajar di bawahnya sentiasa berada dalam keadaan
terbaik dengan perkara-perkara yang mereka lakukan supaya mereka dapat gigih
berusaha serta berbangga dengan segala usaha mereka.

8. Melalui gaya kepimpinan ini, peningkatan prestasi keputusan peperiksaan tidaklah


diperolehi melalui amalan kepimpinan instruksional biasa secara langsung, tetapi
peningkatan prestasi berlaku hasil daripada hubungan baik yang dibina antara
kepemimpinan sekolah dengan para guru dan pelajar-pelajarnya.
9. Antara usaha yang boleh dilakukan melalui gaya kepimpinan jenis ini ialah pemimpin
sekolah akan berusaha meluangkan masanya untuk bersama-sama pelajar dan gurugurunya sama ada di sekolah atau di luar kawasan sekolah.
10. Pada peluang keemasan ini juga, beliau akan bertanya khabar kepada mereka,
bersedia untuk mendengar masalah, rungutan atau cadangan, berusaha mendengar
cerita dan khabar pelajar, membela dan mendorong pelajar-pelajar yang lemah,
memberi kaunseling terhadap para guru dan pelajar yang memerlukan serta
memastikan guru-guru di bawahnya sentiasa berada dalam keadaan "OK" (dari segi
mental, emosi dan kesihatan fizikal) untuk membantu pelajar-pelajar mencapai
kejayaan.
11. Manakala, gaya Kepimpinan Instruksional Linear (Linear Instructional Leadership)
pula ialah gaya kepimpinan instruksional yang biasa diamalkan oleh pemimpinpemimpin sekolah. Melalui gaya kepimpinan ini, pihak pemimpin sekolah akan
berusaha memastikan supaya segala aktiviti akademik di sekolahnya seiring dengan
kehendak dan piawaian yang telah ditetapkan.
12. Dalam hal ini, segala aktiviti pengajaran akan dipantau dengan teliti bagi
memastikan segala aspek di dalamnya mematuhi sistem yang telah direkabentuk dan
serta menepati sasaran yang telah ditetapkan.
13. Selain itu, pemimpin sekolah juga akan memastikan supaya wujud penyelarasan
antara kurikulum, objektif pembelajaran dan ujian rujukan kriteria dengan piawaianpiawaian yang telah ditetapkan. Di samping itu, beliau akan sentiasa memantau hasilhasil pengajaran melalui data-data ujian.
14. Antara perkara yang dilakukan melalui gaya kepimpinan jenis ini ialah menyediakan
dokumen panduan kurikulum bagi memperincikan tentang perkara-perkara yang
seharusnya diajar pada tarikh tertentu.
15. Seterusnya perkara lain yang dilakukan ialah mengadakan Ujian Penanda Arasan
(Benchmark Testing) bagi menguji sama ada para pelajar telah diajar tajuk-tajuk

khusus yang telah ditetapkan di dalam dokumen panduan kurikulum dalam tempoh
tertentu .
16. Di samping itu, aktiviti yang dilakukan oleh pemimpin sekolah melalui gaya
kepimpinan ini ialah pemantauan terhadap rancangan pengajaran guru. Gaya
kepimpinan ini mengandaikan bahawa terdapat hubungan positif antara rancangan
pengajaran guru yang baik dengan pembelajaran pelajar yang baik.
17. Secara ringkasnya, gaya kepimpinan instruksional linear ini merupakan satu bentuk
kepimpinan instruksional yang lebih menjurus ke arah peperiksaan. Ini kerana
kebanyakan proses kepimpinan di dalamnya lebih kepada memimpin dan memantau
pengajaran guru bagi tujuan menyediakan pelajar untuk menghadapi peperiksaan.
18. Kesimpulannya, Gaya Kepimpinan Instruksional Linear lebih bersifat impersonal
dan lebih memfokuskan terhadap hasil keputusan peperiksaan. Namun, Gaya
Kepimpinan Instruksional Hubungan pula didapati hanya sesuai digunakan pada
peringkat permulaan tahun sesi persekolahan berbanding pada waktu hampir
peperiksaan.

Vous aimerez peut-être aussi