Vous êtes sur la page 1sur 4

Amalan Gaya hidup Sihat

Amalan membentuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.


.
.
..........Gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa
impak positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara contoh kehidupan
yang sihat ialah individu tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa mengalami sebarang
masalah yang boleh menjejaskan kehidupannya untuk satu tempoh tertentu pula. Sudah pasti
dalam kehidupan era moden yang begitu banyak tekanan ini gaya hidup sihat menjadi satu
matlamat yang perlu dicapai segera. Oleh itu, terdapat pelbagai tindakan yang boleh
dilakukan untuk mencapai matlamat ini.
.
..........Tindakan awal ialah seseorang itu perlu mengamalkan satu bentuk pemakanan yang
seimbang dalam kehidupannya. Dalam keadaan kehidupan sebenar, orang ramai lebih suka
mengambil makanan yang bersifat mudah seperti mengamalkan pengambilan makanan
ringan ataupun makanan segera. Tidak kurang juga masyarakan kita hari ini yang lupa kesan
pengambilan makanan berlemak ataupun makanan yang mempunyai kandungan garam, gula
atau sodium glutamit yang tinggi. Hal ini boleh mendatangkan pelbagai penyakit kronik
seperti sakit jantung, darah tinggi ataupun kencing manis yang juga menjadi punca kematian
tertinggi di negara kita. Orang ramai juga mesti menjauhi amalan buruk seperti merokok atau
meminum arak kerana kesannya amat membahayakan. Jelaslah, diet yang seimbang
membolehkan kita semua mencapai kehidupan yang ceria kerana semua nutrien yang
diperlukan oleh badan diperoleh menerusi pemakanan yang seimbang.
.
..........Selain itu, aktiviti senaman yang berkala mampu menjadikan kehidupan yang dijalani
oleh seseorang itu lebih sihat dan menceriakan. Kita boleh menjalankan aktiviti seperti
bersukan, berekreasi, berjalan atau berlari bersendirian atau bersama-sama keluarga ketika
hujung minggu. Aktiviti senaman seperti ini diakui oleh pakar perubatan mampu menjadikan
sistem peredaran darah manusia lebih baik serta menjadikan sistem imunisasi mereka tinggi.
Mereka yang gemar bersukan biasanya memiliki badan yang sihat dan minda yang cerdas
berbanding dengan orang yang jarang bersukan. Jelasnya, semakin kerap senaman dilakukan
maka semakin tinggilah tahap kesihatan seseorang itu kerana minda yang cerdas datangnya
daripada badan yang cergas.
.
..........Orang ramai juga perlu mengutamakan kebersihan diri pada setiap masa bagi
memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok
gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan
hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah
mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci
tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar tidak diharung
lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu selera. Sikap
sambil lewa masyarakat dalam aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru,
amalan sebegini harus diutamakan agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat dalam
kalangan masyarakat.
.
..........Pada masa yang sama selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, masyarakat
juga perlu menjaga kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih perlu dijadikan
amalan dan gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, orang

ramai digalakkan mengadakan gotong-royong untuk membersihkan kawasan taman


perumahan dengan membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran
mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen
pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan
nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air
mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian, orang ramai akan dapat
menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit serta membentuk kehidupan yang sihat.
.
..........Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu.
Mereka yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati
lebih bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau
menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka
menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Masyarakat digalakkan
menjalin hubungan komunikasi yang mesra bersama-sama rakan atau jiran tetangga.
Hubungan baik yang berkekalan biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria
dan menggembirakan. Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi
memperoleh gaya hidup yang sihat ini.
.
..........Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh seseorang
itu bagi menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif
menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda
kehidupannya dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran
terutama tekanan di pejabat memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita.
Kepada mereka yang menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan
bantuan daripada pakar motivasi ataupun rakan-taulan di sekeliling mereka. Hal ini perlu
kerana tekanan yang dialami boleh menjuruskan seseorang pada perlakuan negatif seperti
mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin
positif minda seseorang itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapainya
kelak.
.
..........Kesimpulannya, gaya hidup yang sihat ini boleh diperoleh menerusi semua amalan
yang dipaparkan tadi. Gaya hidup sihat hanya boleh dicapai sekiranya masyarakat
mengamalkan semua aspek kehidupan berlandaskan ciri-ciri manusia sihat. Cuma sikap
masyarakat yang masih memandang rendah kepentingan gaya hidup sebeginilah yang
menyebabkan pelbagai masalah kesihatan timbul kelak. Kita semua perlulah memahami
bahawa mencegah lebih baik daripada mengubatinya.
....
Kesihatan amat penting dalam kehidupan kita. Oleh itu,kita perlulah menjaga kesihatan agar
berada dalam keadaan yang baik. Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah untuk
menjaga kesihatan diri.
Kesihatan amat penting dalam kehidupan kita sehari-hari. Dengan memiliki tubuh badan
yang sihat, seseorang dapat melaksanakan aktiviti harian tanpa halangan. Anak-anak dapat ke
sekolah menimba ilmu dan ibu bapa dapat mencari rezeki untuk keluarga. Bagi sesetengah
orang, nikmat kesihatan hanya disedari apabila mereka diserang penyakit. Mereka sanggup
menghabiskan wang membeli ubat dan makanan kesihatan untuk mengubati penyakit yang
dihadapi. Tambahan pula, pelbagai ubat dan produk makanan kesihatan wujud di pasaran
sekarang seperti Cendawan tumbuh selepas hujan. Oleh sebab peri pentingnya nikmat ini
dalam kehidupan, beberapa langkah perlu diambil agar kesihatan kita terjamin. (90 pk)

Salah satu langkah yang perlu kita beri perhatian untuk menjaga kesihatan adalah dengan
menjaga kebersihan persekitaran tempat tinggal. Keadaan di dalam dan di luar rumah
hendaklah bersih daripada sampah sarap dan tempat-tempat air bertakung. Perkara ini akan
dapat menghapuskan tempat pembiakan agen-agen penyakit seperti lalat, tikus, nyamuk dan
lain-lain. Kita perlulah menyahut seruan kempen yang dilancarkan oleh Majlis Perbandaran
Kota Bharu Bandar Raya Islam iaitu kempen Jumpa Sampah Kutip dan kempen
Memerangi LILATI (lipas,lalat dan tikus). Oleh itu, sampah perlu dibakar, dikambus atau
dibuang di tempat khas. Pasu-pasu bunga dan longkang perlu diperiksa agar air tidak
bertakung dan menjadi tempat pembiakan nyamuk. Dengan demikian, penyakit-penyakit
bawaan vektor seperti taun, malaria, dan denggi dapat dielakkan. Tegasnya, menjaga
kebersihan persekitaran merupakan langkah asas untuk kita semua ke arah mencapai tahap
kesihatan yang optimum. (131pk)
Selain itu, pemeriksaan kesihatan amat wajar dilakukan untuk memastikan kesihatan kita
berada dalam keadaan baik. Mengikut saranan pakar perubatan, seseorang perlu melakukan
pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya dua kali setahun atau enam bulan sekali.
Pemeriksaan ini meliputi tekanan darah, paras gula dalam darah, tahap kolesterol dan lainlain lagi. Tujuan pemeriksaan dibuat untuk memastikan tahap kesiahatan kita berada dalam
keadaan sihat dan dapat mengesan penyakit kronik dengan lebih awal seperti penyakit darah
tinggi, kencing manis dan sebagainya. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, Mencegah
lebih baik daripada mengubatinya. Bagi pesakit yang telah diserang penyakit ini,
keadaannya akan boleh dikawal sebelum menjadi serius seperti peribahasa,Cegah sebelum
parah. Pendek kata, kesihatan seseorang akan berada dalam keadaan baik jika kita secara
berdisiplin menjalani pemeriksaan kesihatan diri di hospital-hospital secara berjadual. (123
pk)
Mengamalkan pemakanan seimbang tidak kurang pentingnya sebagai langkah menjaga
kesihatan kita. Amalan pemakanan berkait rapat dengan kesihatan seseorang. Hal ini
bertepatan dengan peribahasa Inggeris tentang amalan pemakanan iaitu What you are, is
what you eat. Boleh dikatakan seseorang yang mengamalkan pemakanan yang seimbang
akan memperoleh kesihatan yang baik. Mengamalkan pemakanan seimbang bermakna
seseorang mengambil makanan yang berkhasiat dan berzat sesuai dengan keperluan tubuh
badan seseorang. Seseorang individu memerlukan makanan yang sesuai berdasarkan usia,
pekerjaan dan keperluan-keperluan lain. Sebagai contohnya, seorang bayi memerlukan lebih
kalsium berbanding orang dewasa yang memerlukan lebih protein. Untuk lebih jelas,
seseorang perlu merujuk kepada piramid makanan sebagai panduan untuk mendapatkan gizi
seimbang. Sehubungan dengan itu, makanan ringan dan minuman bergas perlu dielakkan
kerana boleh memudaratkan kesihatan kita. Pendek kata, langkah terbaik untuk mencapai
tahap kesihatan adalah dengan mengamalkan diet makanan seimbang. (135pk)
Seterusnya, kesihatan kita akan lebih terjamin jika kita melakukan kegiatan riadah. Amalan
riadah seperti berenang, jogging, menunggang basikal dan kegiatan sukan lain adalah baik
untuk kesihatan. Pensyarah Sains Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya
Dr. Zulkifli Abdul Kadir, menyarankan setiap individu melakukan kegiatan riadah selama 30

minit dua kali seminggu bagi mendapatkan tahap kesihatan yang optimum. Kegiatan riadah
ini akan menjadi kebiasaan jika setiap hari kita melakukannya dengan penuh disiplin dan
istiqamah sesuai dengan peribahasa, Alah bisa tegal biasa. Dengan melakukan kegiatan
riadah, otot-otot tubuh akan lebih bertenaga dan kecergasan badan akan bertambah baik. Di
samping itu, seseorang dapat menghirup udara segar semasa melakukan senaman di tamantaman permainan serta dapat mengurangkan tekanan atau stress selepas seharian penat
bekerja di pejabat. Seyogia disarankan agar kita dapat melakukan kegiatan senaman secara
untuk memperoleh kesihatan yang baik. (134 pk)
Amalan gaya hidup sihat merupakan langkah yang tidak kurang pentingnya untuk
mendapatkan kesihatan yang baik. Kini, kita dikejutkan dengan bermacam-macam amalan
hidup yang negatif telah menular dalam masyarakat kita. Antara gaya hidup yang negatif
ialah amalan seks rambang dan bebas, melanggani pelacur, penagihan dadah dan pil-pil
khayal, ketagihan arak serta lain-lainnya. Begitu juga amalan merokok yang masih menjadi
sebahagian cara hidup muda-mudi dan remaja dalam masyarakat kita seolah-olah kempen
Katakan Tak Nak Pada Rokok giat dijalankan. Sudah tentu, gaya hidup tidak sihat akan
mengundang penyakit seperti Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS), siflis dan lainlain. Amalan-amalan sebegini perlu dijauhkan seterusnya mengamalkan cara hidup sihat
berdasarkan norma-norma agama dan budaya timur kita. Lantaran itu, beralihlah kepada cara
hidup sihat bagi mendapatkan kesihatan yang baik sebagaimana kempen Gaya Hidup Sihat
yang diuar-uarkan oleh kerajaan. (132pk)
Sebagai kesimpulannya, penjagaan kesihatan perlu menjadi agenda dan keutamaan dalam
hidup kita seharian. Pelbagai langkah boleh diambil untuk memperoleh kesihatan yang baik.
Antaranya, menjaga kebersihan diri dan persekitaran, mengambil pemakanan seimbang dan
melakukan kegiatan riadah. Kita haruslah lebih prihatin dan mengambil berat tentang
kesihatan diri agar dapat menjalani kehidupan yang berkualiti. Individu yang sihat akan
mampu memberi sumbangan kepada pembangunan dan kemakmuran negara selaras dengan
slogan, Rakyat Sihat Negara Sejahtera. (70pk)

Vous aimerez peut-être aussi