Vous êtes sur la page 1sur 14

1.

0 Pendahuluan
Alam Melayu sering disebut sebagai kepulauan Melayu atau Malay Archipelago adalah
merujuk kepada wilayah yang dikenali sebagai Nusantara. Kepulauan Melayu atau nusantara
yang merangkumi daerah-daerah kepulauan Semenanjung Tanah Melayu, Indonesia, Filipina,
Vietnam dan Taiwan hingga ke Madagascar.
Semenanjung Tanah Melayu dahulunya diberi gelaran Semenanjung Emas atau Golden
Khersonese kerana tarafnya sebagai jajahan besar Funan ketika itu. Kepulauan Melayu turut
terkenal sebagai pengawal lalulintas antara Barat dan Timur tertamanya antara China dan India
kerana kedudukannya yang strategik dari sudut geografi. Selain itu, Kepulauan Melayu turut
terkenal dari sudut keilmuan kerana pelbagai falsafah aliran pemikiran pelbagai aliran agama
termasuk agama Islam turut bertapak di Alam Melayu ketika itu. (Ishak Saat, 2006, 48)
Alam Melayu juga dikenali sebagai mutiara timur kerana muka buminya yang subur
dengan pelbagai flora dan fauna serta menyimpan khazanah sumber ekonomi yang tidak ternilai
harganya. Objektif penulisan ini ingin menghuraikan pengaruh agama Islam terhadap sosial
masyarakat melayu melalui kajian terperinci yang telah dilakukan dan melatari perkembangan
pengaruh Islam sehingga mentranformasi kehidupan masyarakat melayu pada peringkat awal
sehingga kini.
2.0 Sosial Alam Melayu sebelum kedatangan Islam
Pada peringkat awal tamadun melayu, kepercayaan Animisme menjadi pegangan utama
masyarakat melayu yang amat mempercayai wujudnya kuasa roh. Mereka percaya bahawa roh
wujud dalam setiap benda hidup malah mereka juga mempercayai roh tersebut boleh
mempengaruhi kehidupan manusia.
1

Selain itu, mereka juga mempercayai Dinamisme iaitu kepercayaan yang tidak berjisim
yang lahir dalam diri manusia, haiwan, tumbuhan dan benda-benda tertentu. Antara ideologi
Dinamisme ialah mempercayai semangat daripada pokok besar yang boleh mendatangkan kesan
baik atau buruk kepada kehidupan seharian mereka dan mereka perlu menyembah pokok tersebut
bagi mendapatkan perlindungan daripada bencana agar mereka hidup sejahtera.
Selepas era kepercayaan animisme, kepercayaan Hindu-Buddha mula mengusai
keseleruhan alam melayu sehinggakan merubah segala gaya dan pemikiran masyarakat melayu
dengan mengikut kepercayaan tersebut. Kepercyaan Hindu-Buddha merupakan hasil daripada
gabungan Senskritisme dengan amalan tempatan dan dianuti oleh golongan atasan terutamanya
golongan raja. Kepercayaan tersbebut memperuntukan pemujaan dewaraja di mana raja dianggap
sebagai pentitisan Dewa Siva dan Visnu termasuklah dewa Buddha Mahayana. Raja bukan
sahaja pelu ditaati tetapi juga perlu disembah malah berdaulat dan tidak boleh ditentang atau
durhaka. (Ishak Saat, 2006, 137)
Seterusnya, Masyarakat Melayu terbahagi kepada dua bahagian kasta yang berlainan iaitu
kelas pemerintah merupakan raja dan golongan bangsawan dan kelas yang diperintah pula
merupakan rakyat jelata yang menjadi hamba abdi. Keadaan tersebut telah mewujudkan
diskriminasi yang ketara dalam undang-undang awam. Warna kuning pula menjadi warna khusus
untuk golongan raja sahaja, rakyat dianggap salah jika mengenakan warna kuning dalam
pemakaian dan dekorasi. Selain itu, raja dianggap dari keturunan dewa ataupun bayangan Tuhan
dan adanya penggunaan Bahasa Melayu Kuno dan Jawa kuno hasil daripada asmilasi bahasa
Sanskrit dan Tamil. Ringkasnya kehidupan masyarakat di Alam melayu sebelum kedatangan
Islam masih diselubungi kejahilan dan pekara tahyul serta khurafat yang jauh dari nilai-nilai ilmu
yang bersifat ilmiah dan logik.
2

3.0 Sistem sosial selepas datangnya Islam ke alam melayu


Penerimaan agama Islam secara meluas di Nusantara pada abad ke-13 masihi telah
mengubah banyak nilai dalam masyarakat tempatan, termasuk yang berkait dengan sistem sosial.
Sistem sosial yang ingin dirungkaikan ialah organisasi masyarakat melayu yang bermula
daripada golongan atasan iaitu para pemimpin sehinggalah golongan bawahan. Bermula
dariapada waktu itu, Islam telah menjadi peranan yang besar dalam bidang kepimpinan yang
meluas dan merangkumi hampir semua kegiatan hidup masyarakat melayu termasuk keagamaan,
Ibadat, keilmuan dan politik.
Agama Islam sering menitik beratkan tentang unsur-unsur persamaan taraf antara
manusia dan menegakkan keadilan dengan menghukum orang yang bersalah tanpa mengira latar
belakang sesorang termasuklah pemimpin. Dengan itu, Islam telah membawa satu perubahan
yang radikal sebagai ganti kepada sistem Kasta Hindu yang membahagikan penduduk alam
Melayu kepada beberapa susun lapis seperti di India, malah Islam juga menghapuskan semangat
kedaerahan dan membentuk perpaduan dikalangan penduduk alam melalui konsep ummah atau
masyarakat Islam.
Pelbagai bentuk kepimpinan telah terbentuk di alam melayu tetapi dengan tersebarnya
agama Islam, sistem sosial alam melayu mengubah sistem feudalisme Hindu yang digunakan
kepada sistem feudalisme yang diperkenalkan zaman kerajaan Abbasiah seterusnya merubah
seluruh alam melayu dengan memberi corak keislaman dalam sistem kesultanan Melayu.
Pada zaman sistem feudalisme Hindu menganggap raja merupakan penjelmaan dewa
yang menjadi pemerintah tetapi Islam menukar tanggapan tersebut kepada bahawa Sultan ialah

seorang pemimpin yang seharusnya menjalankan pemerintahan dengan adil dan bertimbang rasa
kepada rakyat serta bertindak mengikut perintah Allah, membuat kebaikan dan mencegah
kejahatan. (Abdullah Ishak, 1990)
Ternyata daripada apa yang dihuraikan bahawa Islam, sejak mula kedatangannya lagi ke
nusantara telah memainkan peranan kepimpinan yang baik malah bukan sekadar sebagai agama
dalam skop yang kecil tetapi sebagai cara hidup yang luas dan syumul merangkumi segala aspek
termasuklah mendisplinkan pemimpin untuk membentuk kerajaan yang adil dan saksama.
Penguasaan agama Islam yang luas dan menyeluruh di alam melayu telah menyebabkan
penubuhan masyarakat yang hidup dengan cara Islam malah Malaysia diiktiraf sebagai negara
Islam, masyarakat dan negara Islam seperti yang dihuraikan di atas mula ditubuhkan di Melaka
di awal abad ke-15, kemudian islam terus berkembang ke merata tempat seluruh semenanjung,
begitu juga ke Sabah dan Sarawak.
3.1 Kesan-kesan pengaruh Islam Terhadap Aspek Sosial Melayu
3.1.1 Taraf dan kedudukan masyarakat.
Kedatangan islam ke alam melayu juga menjadikan golongan bawahan mula mendapat perhatian
dan penghormatan. Komunikasi antara masyarakat berjalan dengan lancar menerusi sifat hormatmenghormati dan bergotong-royong. Persefahaman tidak mengira bangsa dan kaum menjadi
tunjang kemajuan dan kemakmuran masyarakat melayu. Islam juga sering menekankan sikap
saling menghormati, akhlak yang berasaskan kepada keimanan, keadilan bagi memastikan
keamanan terus dikecapi manusia hidup di dunia ini. (En. Burhan Che Daud, 2011, 36)
Taraf dan kedudukan masyarakat menjadi amat berbeza setelah terebarnya Islam di alam
melayu. Islam telah mengangkat taraf manusia iaitu dengan menyamakan kedudukan antara
mereka tanpa mengira bangsa mahupun pangkat, manusia hanya dipandang mulia di sisi Allah
4

bergantung kepada ketaqwaan dan keimanannya. Seterusnya, Islam juga membentuk sistem
masyarakat manusia yang saling mengasihi dan menghormati sesama manusia.
3.1.2 Memelihara harta benda
Allah SWT membuka ruang seluas-luasnya kepada setiap manusia untuk memiliki dan
memelihara harta yang ada kerana Allah telah menciptakan kekayaan melimpah ruah dan cukup
untuk semua makhluk. Setiap manusia dikehendaki berusaha mencari harta dalam kehidupannya
mengikut kemampuan dan kebolehan masing-masing kerana dalam Islam, harta dibenarkan
untuk dimiliki bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Malah, harta yang dimiliki orang
lain tidak boleh dilucutkan atau dirampas tanpa hak dan keizinan Allah, jika manusia yang
merampas dan mengambil serta mencuri harta manusia lain tanpa hak dan kebenaran akan
dikenakan seksaan yang berat dan di akhirat. Islam secara umumnya sentiasa memelihara hak
manusia agar dunia seimbang dan sejahtera sebagaimana firmanNya di dalam surah al-Nisa ayat
29-30 bermaksud:
Wahai orang yang beriman, Janganlah kamu saling memakan harta dengan jalan
yang batil (tidak benar), kecuali dalam perdagangan yang berlaku atas dasr redha
meredhai di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu. Sesungguhnya
Allah maha penyayang kepadamu. Dan barangsiapa berbuat demikian dengan cara
melanggar hukum dan berlaku zalim, kami akan masukkan dia ke dalam neraka.
Yang demikian itu mudah bagi Allah (Dato Syeikh Mohammad Nor Mansor, 2012,
83)
Oleh kerana itu, konsep pembangunan masyarakat melibatkan pembentukan pribadipribadi muslim yang memiliki keimanan dan ketakwaan. Sikap tersebut bukan sahaja pelu dari
dalam lubuk hati Tetapi ia juga harus dengan kesadaran manusia untuk melaksanakan kewajiban
sebagai seorang hamba-Nya. Islam mengajar manusia perlu bertanggungjawab untuk
mengendalikan diri daripada tindakan yang melampaui batas dari hukum syarak yang telah
ditetapkan.
5

3.1.3 Nilai-nilai murni masyarakat melayu


kehadiran Islam telah mengubah corak kehidupan masyarakat melayu di mana mereka lebih
banyak mengamalkan nilai-nilai murni yang telah diterapkan dalam ajaran Islam. Sebagai
contohnya, struktur masyarakat menjadi lebih tersusun, malah kepatuhan kepada pemimpin yang
adil diperkukuhkan lagi.
Begitu juga perubahan adat dan pantang larang yang diamalkan sejak dahulu, Islam
berjaya mengatur perjalanan kehidupan masyarakat melayu dari segi kepercayaan masyarakat
melayu agar menghindari amalan syirik seperti meminta pertolongan kepada makhluk halus
seperti jin dan syaitan.
Ajaran Islam sangat menitik beratkan berkaitan hal-hal kekeluargaan dan juga hubungan
sesama manusia dan pelbagai amalan yang telah diterapkan kepada masyarakat melayu. Antara
nilai-nilai murni yang diajar adalah seperti memberi keutamaan kepada yang tua atau yang lebih
berusia terutamanya kepada ibu bapa. Anak dilarang sama sekali meninggikan suara dengan ibu
bapa apa lagi berkata kasar lebih daripada itu dan bersikap kurang ajar terhadap mereka.
Bagaimana perkara tersebut telah diterangkan dalam firmanNya, surah Al-isra ayat 23-24
bermaksud:
Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia
dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika
sala seorang di antara keduanya atau kedua-duanya berusia lanjut dalam
pemeliharaanmu, maka sekali-sekali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya
perkataan ah, dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada
mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua
dengan kasih sayang dan ucapkanlah: Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka berdua
sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku di waktu kecil.(Dato Syeikh
Mohammad Nor Mansor, 2012, 284)

4.0 Transformasi Sosial Berteraskan Islam Selepas Kemerdekaan


Kebangkitan semula Islam pada tahun 1970-an telah mencetuskan fenomena yang akhirnya
menjurus pengembalian bangsa Melayu kepada identiti dan akar Islamnya. Gelombang
kebangkitan tercetus akibat rasa kehilangan identiti diri masyarakat Islam melihat kegagalan
masyarakat Islam dalam bidang ekonomi dan politik akibat sistem kapitalisme Barat serta
ancaman daripada dominasi ekonomi kaum pendatang. Implikasinya, beberapa dasar berkaitan
ekonomi dan sosial telah dibentuk berasaskan kepada pendekatan Islam, seperti pengenalan
sistem perbankan Islam dan takaful Islam serta penerapan nilai-nilai Islam. Pembangunan Islam
dalam tahun 1970-an juga dikaitkan dengan kembalinya Dato Seri Dr. Mahathir Mohamed (kini
bergelar Tun) ke arus perdana politik Malaysia. Di bawah kepimpinan Tun, kerajaan Malaysia
dilihat banyak menyokong dasar-dasar berkaitan pembangunan Islam. Setelah Tun kembali aktif
dalam politik, beliau telah dilantik sebagai Menteri Pelajaran pada tahun 1974. Dalam tahun
1976, beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan lima tahun kemudian sebagai
Perdana Menteri oleh Tun Abdul Razak, Perdana Menteri pada ketika itu.
Kesungguhan Tun Dr. Mahathir terhadap pelaksanaan Islam menyerlah setelah beliau
menjadi Perdana Menteri. Dalam tahun pertama perlantikannya, iaitu pada tahun 1981,
kerajaannya telah mengumumkan penganjuran seminar besar bertajuk the Concept of
Development in Islam, yang merupakan saranan-saranan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan
yang menyentuh aspek berkaitan undang-undang, ekonomi, pendidikan dan sains serta teknologi.
Petanda awal yang menunjukkan minat pentadbiran Mahathir terhadap Islam secara rasminya
telah diisytiharkan pada tahun 1984 ke arah mengislamkan jentera kerajaan (Hussin Mutalib,
1993). Bagi menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan dasar tersebut, Mahathir menyatakannya
seperti berikut:
7

Apa yang kita maksudkan sebagai Islamisasi ialah penyerapan nilainilai dalam kerajaan. Penyerapan tersebut tidak sama seperti
pelaksanaan undang-undang Islam dalam negara. Undang-undang Islam
adalah untuk orang Islam dan bermaksud untuk undang-undang peribadi
mereka. Akan tetapi undang-undang bangsa, walaupun tidak berasaskan
Islam boleh digunakan selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip Islam,
(Rahman Shaari. 1983, 30).
Walaupun undang-undang Islam tidak ditujukan kepada golongan bukan Islam, namun
kerajaan di bawah pimpinan Dr. Mahathir telah pun memperkukuhkan program-program yang
berkaitan Islam dan melaksanakan dasar-dasar lain yang sehubungan dengannya. Ini termasuklah
pengisytiharan untuk mengkaji semula sistem undang-undang negara agar sistem ini selari
dengan undang-undang islam, menjadikan ilmu agama sebagai mata pelajaran dalam
peperiksaan, meningkatkan program-program berkaitan Islam untuk siaran radio dan televisyen
Malaysia.
Sistem pendidikan negara turut mengalami perubahan besar dalam beberapa perkara
penting yang menyentuh tentang dasar dan falsafah pendidikan. Pada tahun 1972, Kementerian
Pelajaran telah meletakkan bahagian khusus untuk mempertingkatkan pentadbiran tentang segala
aspek berkaitan pendidikan Islam khususnya pengasingan sistem Sekolah Arab/Sekolah Agama
dengan sekolah-sekolah persendirian (independent) atau dengan bantuan oleh kerajaan atau
Majlis Agama yang bilangannya pada lewat tahun 1980-an melebihi 80,000. Kebanyakan pelajar
lepasan sekolah ini menyambung pengajian ke peringkat pendidikan tinggi Islam sama ada di
dalam mahupun di luar Negara (Mohd. Kamal Hassan et. al., 1992). Semasa pemerintahan era
Mahathir, Kolej Islam yang ditubuhkan pada 1955 di Klang Selangor, dinaiktaraf menjadi
Jabatan Pengajian Islam pada tahun 1970 yang kemudiannya ditubuhkan Universiti Kebangsaan
Malaysia. Jabatan Pengajian Islam yang ditubuhkan pada tahun 1959 di Universiti Malaya,
kemudiannya ditukarkan kepada Akademik Pengajian Islam dan mempunyai cawangan di Nilam

Puri Kelantan. Dalam tahun 1990 pula Maktab Perguruan Islam yang ditubuhkan pada lewat
tahun 1980-an, berpindah ke kampus Bangi. Manakala dalam tahun 1982, kerajaan telah
mengumumkan pelan Universiti Islam Antarabangsa di Kuala Lumpur hasil perjuangan ABIM
dan organisasi pelajar, seperti PKPIM (Roff, William R. 1998, 219).
Selain itu, reformasi pendidikan turut dilakukan dengan penggubalan Falsafah
Pendidikan Negara (FPN) yang berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi
intelek, rohani, emosi dan jasmani (JERI) berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan. Bagi
mencapai hasrat murni FPN tersebut, Kurikulum baru Sekolah Rendah (KBSR) telah digubal di
peringkat sekolah rendah pada awal tahun 1980-an, manakala Kurikulum Bersepadu Sekolah
Menengah (KBSM) dilaksanakan pada tahun 1988 susulan daripada kurikulum di peringkat
rendah. Jawatankuasa Kabinet juga memperakui bahawa semua pelajar hendaklah disemai
dengan nilai-nilai murni melalui pengukuhan mata pelajaran Pendidikan Islam. Sementara bagi
pelajar-pelajar lain, mata pelajaran Pendidikan Moral perlu diajar. Selaku Menteri Pelajaran pada
ketika itu, Anwar Ibrahim turut merangka strategi pelaksanaan bagi memastikan keberkesanan
kurikulum yang digubal antaranya menjangkakan cabaran pelaksanaan yang memerlukan
tindakan oleh semua pihak. Beliau menyatakan:
Kita juga menginsafi kenyataan bahawa falsafah murni, jika diterjemahkan ke
dalam kurikulum secara terperinci, perancangan yang teratur, kaedah latihan guru
yang cukup baik dan pengurusan sekolah yang berkesan, akan tinggal sebagai
penyataan falsafah sahaja. Oleh itu, perlu ditekankan penyediaan beberapa strategi
pada peringkat pelaksanaan (Wan Zahid, 1993).
Selanjutnya, pengenalan komponen adab dan akhlak Islam dalam kurikulum Pendidikan
Islam pada 2003 adalah merupakan suatu usaha untuk mempertingkat dan mengemaskini lagi
pengajaran dan pembelajaran akhlak di sekolah. Perubahan ini antara lainnya berhasrat untuk
mencapai matlamat melahirkan pelajar yang mempunyai ciri-ciri khusus iaitu, mantap serta
9

kukuh iman dan taqwa sebagai benteng ketahanan diri, menguasai ilmu fardu ain dan fardu
kifayah, sebagai pedoman dan amalan hidup, mengamalkan tuntutan fardu ain dan fardu kifayah
bagi memenuhi tanggungjawab ibadah dan berakhlak mulia sebagai pelengkap diri dan tonggak
budaya. (Asmawati Suhid, 2005, 249)
Reformasi Islamisasi dalam pendidikan kemudiannya disusuli dengan beberapa perubahan
dalam penyiaran dan media. Dalam tahun 1988, dalam reaksi terhadap seruan bukan Islam agar
agama-agama lain diberikan ruang untuk menyiarkan aktiviti-aktiviti mereka di radio dan
televisyen, kerajaan tanpa ragu-ragu telah menegaskan bahawa hanya Islam akan diperuntukkan
masa untuk bersiaran ke udara.
Pada tahun 1987, semua pembaca berita lelaki Islam di RTM dikehendaki memakai
songkok pada hari Jumaat dan memulakan berita dengan sapaan Islam, iaitu, Assalamualaikum
(Hussin, 1993, 31). Hal ini diikuti dengan pengisytiharan Dasar Kebudayaan Kebangsaan
(DPN) oleh kerajaan pada November tahun yang sama, yang meletakkan Islam sebagai identiti
yang mencerminkan dan mendasari budaya kebangsaan. Di bawah Dasar Kebudayaan
Kebangsaan, Islam menjadi elemen utama dalam pembentukan budaya di peringkat nasional, di
samping tidak menghalang budaya bagi kumpulan etnik yang lain. Walaupun budaya bukan
Islam diterima, namun budaya tersebut tidak boleh bercanggah dengan ajaran Islam.
Pada tahun 1988, selain perasmian pembukaan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah,
iaitu masjid yang termahal di Malaysia pada ketika itu yang terletak di Shah Alam, polisi lain
yang menekankan Islam telah dilancarkan. Mahathir berjanji bahawa kesucian Undangundang
Islam akan terus dipelihara daripada serangan sekular, undang-undang sivil, status mahkamah
Islam akan diletakkan sama taraf dengan mahkamah sivil; beberapa usaha untuk mengambil

10

tindakan terhadap orang Islam yang ditangkap makan dan minum ketika bulan puasa
(Ramadhan) menaiktarafkan program-program keIslaman oleh Pusat Islam; mengadakan
Yayasan Dakwah (YADIM) untuk mengkoordinasikan segala aktiviti-aktiviti dakwah di seluruh
negara. Kerajaan juga telah mengumumkan bahawa UMNO sebagai Parti Islam Terbesar di
Malaysia dan pengumuman pelan yang besar untuk membangunkan perkampungan Islam di
bandar-bandar utama bermula dengan Kuala Lumpur pada bulan Ogos 1988. Dalam ucapan
umumnya juga Mahathir dalam membezakan antara extremism dan fundamentalist beliau
merujuknya sebagai prinsip asas kepercayaan. Pada tahun 1992, ketika ucapan Tahun Baru
kepada rakyat Malaysia beliau telah menyatakan tentang memastikan pembangunan antara
rohani dan jasmani yang seimbang.
Sokongan kerajaan berhubung pembangunan Islam semasa pemerintahan Tun Mahathir
kemudian diteruskan oleh Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi setelah mengambilalih tampok
pemerintahan pada tahun 31 October 2003. Islam Hadhari yang diperkenalkan semasa kempen
pilihan raya tahun 2004 mempopularkan idea progresif Islam dan menjelaskan lagi pendirian
pihak pemerintah tentang dasar-dasar berhubung pembangunan Islam. Walaupun Islam Hadhari
pada peringkat permulaannya menerima pelbagai reaksi dan tafsiran sama ada di dalam mahupun
di peringkat global, namun begitu, Islam Hadhari telah pun menjadi satu dasar kerajaan di
peringkat nasional yang dilaksanakan dalam pentadbiran beliau. Pelan Integriti Nasional (PIN)
juga diperkenalkan bagi memupuk amalan beretika dan berintegriti dalam kalangan keluarga,
masyarakat dan pemerintah (Siti Akmar, Kamaruzaman, 2008).
Beberapa perubahan telah dapat dilihat melalui pembentukan dasar-dasar kerajaan yang
membantu menyuburkan lagi fungsi Islam sebagai cara hidup yang lebih kukuh dalam sistem
kenegaraan. Tuntutan yang kuat terhadap pelaksanaan Islam menyebabkan akhirnya pihak
11

pemerintah yang dipimpin oleh UMNO terpaksa akur terhadap gelombang kebangkitan Islam
yang implikasinya membawa kepada tiga keadaan.
Pertama, kewujudan pelbagai sistem Islam yang terus berkembang luas disebabkan ruang
yang begitu luas diberikan oleh pemerintah. Kedua, perubahan daripada sistem konvensional
yang tidak Islam kepada sistem Islam; dan ketiga, perubahan orientasi dengan penyerapan unsurunsur Islam dalam sistem sedia ada. Kewujudan sistem Islam ini merupakan pengisian dan
impak terhadap tuntutan penghayatan Islam yang bersifat menyeluruh yang kesannya meluputi
pelbagai aspek-aspek lain seperti ekonomi, sosial, politik dan kenegaraan.
Dasar-dasar yang dilaksanakan semasa era kini jelas memperlihatkan bagaimana Islam
menjadi faktor pendorong yang utama dalam menggerakkan perubahan masyarakat Melayu.
Tindakan yang diambil ini merupakan reaksi terhadap sistem ekonomi, sosial dan politik sedia
ada yang didapati gagal melahirkan individu, masyarakat dan negara sebagaimana digariskan
oleh al-Quran dan as-Sunnah. Inilah fitrah Sunatullah SWT yang berlaku dalam masyarakat
Melayu yang sentiasa dinamik untuk melakukan perubahan sebagaimana tuntutan Islam yang
mengkehendaki umatnya sentiasa melakukan transformasi demi kesejahteraan ummah
keseluruhannya.
5.0 Kesimpulan
Kedatangan Islam ke Tanah Melayu jelas telah membawa pengaruh yang cukup besar kepada
masyarakat Melayu. Islam yang tersebar ke seluruh Tanah Melayu melalui beberapa faktor telah
berjaya merubah kepercayaan, pemikiran dan cara hidup orang-orang Melayu sehingga
membentuk satu peradaban Melayu yang berbeza dengan sebelumnya. Pengaruh Islam ini terus
berkembang dengan baik dalam tempoh yang agak lama.
12

Selain itu, Kedatangan Islam telah menjadikan golongan bawahan mulai berasa diri
mereka dihargai seperti golongan lain. Nilai sosialnya tidak sama dengan ajaran hindu yang
mempunyai berbagai-bagai kasta dan kedudukan. Perubahan sosial juga berlaku dengan adanya
revolusi ideologi yang diketengahkan oleh Islam dalam masyarakat di Malaysia. Semua ajaran
Islam mengandungi unsur-unsur rasionalisme yang menekankan konsep kesamarataan di sisi
Allah. Berpandukan dengan konsep rasionalisme yang menggunakan akal dan berpandukan dalil
menjadikan masyarakat melayu dengan sendirinya menolak kepercayaan Hindu dan fahaman
animisme.
Islam juga menonjolkan unsur-unsur metafizika yang berkaitan dengan rukun Iman dan
perkara-perkara yang berkaitan dengan Samiyyat di samping hukum-hukum syarak. Unsurunsur ini amat mempengaruhi pemikiran mereka. Oleh itu, segala tindak-tanduk mereka bukan
sahaja didokongi untuk kesenangan duniawi tetapi juga untuk mendapat keredhaan
Allah. Seterusnya, segala amalan sama ada dari aspek sosial, ekonomi dan politik adalah
berdasarkan pemikiran dan petunjuk Islam.
Kesimpulannya, terdapat beberapa elemen penting dalam pembangunan struktur sosial
masyarakat melayu mengikut garis panduan Islam iaitu pewujudan keadilan yang mutlak dalam
masyarakat, seterusnya pengamalan konsep amal makruf dan nahi mungkar dan termasuklah
persamaan taraf antara masyarakat.

Biblografi
Abdul Rahman Abdullah. (1990). Pemikiran Umat Islam di Nusantara: Sejarah dan
Perkembangannya Hingga Abad ke-19. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Asmawati Suhid. (2005). Pemantapan Komponen Akhlak dalam Pendidikan Islam bagi
Menangani Era Globalisasi. Jurnal Kemanusiaan, 6, 95-104.
13

Dato Syeikh Mohammad Nor Mansor, 2012, Az-zikir Terjemahan Al-Hidayah Al-Quran
Al-Karim (Rasm Uthmani). Batu Caves: Al-Hidayah House of Quran Sdn Bhd
En. Burhan Che Daud, 2011, Modul Tamadun Islam & Tamadun Asia. et. al. Bachok: Pusat
Pengajian Bahasa & Pembangunan Insaniah Universiti Malaysia Kelantan.
Hussin Mutalib. (1993). Islam in Malaysia: From Revivalism to Islamic State. Singapore:
Singapore University Press.
Ishak Saat. (2006). Sejarah Sosiobudaya Melayu. Shah Alam: Karisma Publication.
Rahman Shaari. (1983). Zaman Mahathir. Kuala Lumpur: Munora Publishing Sdn. Bhd.
Roff, William R. (1998). Pattern of Islamization in Malaysia, 1890s-1990s: Exemplars,
Institutions and Vectors. Journal of Islamic Studies, 9 (2), 210-228.
Siti Akmar Abu Samah, Kamaruzaman Jusoff. (April, 2008). Instilling Moral Values in Report
Writing Course. Asian Social Science, 4 (4), 122.
Wan Zahid Mohd. Noordin. (1993). Reformasi Pendidikan dan Kurikulum Bersepadu Sekolah
Menengah: Strategi, Cabaran dan Harapan. Dalam Dalam Gerakan Dakwah dan Orde
Islam di Malaysia: Strategi Masa Depan. Petaling Jaya: Angkatan Belia Islam Malaysia.

14

Vous aimerez peut-être aussi