Vous êtes sur la page 1sur 24

BBA MKM-UUM

IJAZAH SARJANA MUDA


PENGURUSAN KOPERASI
SESI 2013/2014
TEORI DAN AMALAN PERNIAGAAN ISLAM
BPMS 1013

TAJUK:
KAJIAN PERSEPSI PELANGGAN TERHADAP
SISTEM TAKAFUL DI MALAYSIA

DISEDIAKAN UNTUK:
DISEDIAKAN OLEH:
FARAH HIDAYAH BINTI ISHAK

(229584)
FATIN HAZIRAH BINTI AYOB
(229583)
ISI KANDUNGAN
PERKARA

M/S

PENGENALAN

Manusia di seluruh pelusuk dunia tidak boleh mengelak dari menerima segala ujian
yang diberikan oleh Allah SWT. Sebagai seorang Muslim, kita telah diajar dari kecil lagi
bahawa segala ujian yang kita lalui itu merupakan qadak dan qadar Allah SWT. Oleh sebab
itu, kita diajar untuk menerima kesemua ujian itu dengan hati yang redha. Kita juga diajar
supaya sentiasa bersiap sedia dengan segala perkara yang mungkin akan berlaku pada masa
akan datang. Hal ini kerana, tanpa persediaan yang rapi, kita akan mengalami kesusahan pada
masa depan kelak.
Segala risiko yang mungkin akan berlaku perlu diurus dengan betul dan bijak agak
kita dapat mengurangkan kesan risiko tersebut. Dalam hal ini, konsep Takaful merupakan
antara kaedah pengurusan risiko yang boleh diterima pakai oleh Islam bagi mengurangkan
kesan yang berkemungkinan besar akan kita lalui jika berlaku sebarang ujian.
Di dalam konsep Takaful, istilah risiko merujuk kepada kerugian yang dialami
disebabkan kehilangan atau kemusnahan harta benda.Melalui konsep Takaful, kerugian yang
dialami oleh pembeli produk Takaful akan ditanggung oleh syarikat pengendali insurans
tersebut. Permintaan yang semakin meningkat di kalangan masyarakat yang semakin sedar
akan kepentingan dan keperluan dalam mengatur pelan kewangan masing-masing telah
menyumbang kepada perkembangan pesat industri takaful dan insurans di negara ini.

DEFINISI DAN KONSEP SISTEM TAKAFUL

Menurut Akta Takaful 1984, istilah Takaful membawa maksud skim yang berasaskan
persaudaraan, kesatuan dan saling bantu-membantu yang menyediakan bantuan kewangan
dan pertolongan atas dasar kerjasama kepada para peserta skim ketika mereka memerlukan
bantuan melalui sumbangan bersama oelh para peserta untuk tujuan tersebut.
Kata dasar bagi perkataan takaful ialah kafala yang bererti menjamin,menjaga atau
memelihara. Oleh kerana takaful merupakan kata nama yang berasal daripada kata kerja
takafala, maka ianya memberi erti saling menjamin, saling menjaga dan saling memelihara.
Di dalam al-Quran terdapat perkataan-perkataankafala dan juga yakfulu yang memberi
makna memelihara atau menjaga.Sebagaimana disebut dalam firman Allah SWT yang
bermaksud:
Maka ia (Mariam) diterima oleh Tuhannya (sebagai nazar) dengan penerimaan
yang baik dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk
dipelihara oleh Nabi Zakaria . (Surah Ali-Imran: ayat 37)
Sistem Takaful ini bertujuan untuk menggalakkan sikap tolong-menolong dan sikap
saling bersatu-padu di kalangan para peserta selari dengan konsep taawun (saling
bekerjasama). Dengan adanya konsep sistem Takaful ini perhubungan yang erat mengikut
amalan dan peraturan Islam di antara peserta-peserta yang berpakat dan bersetuju untuk
sama-sama menanggung kerugian atau kehilangan dapat diwujudkan.

Melalui takaful akan dapat diwujudkan satu hubungan yang erat mengikut amalan
dan peraturan Islam di antara peserta-peserta yang berpakat dan bersetuju untuk sama-sama
menanggung kerugian. Berpandukan kepada semangat perpaduan ini, maka dapat disusun
suatu sistem amali yang mementingkan prinsip-prinsip saling bertanggungjawab, saling
bekerjasama atau bantu-membantu dansaling lindung-melindungi antara satu sama lain.
Dalam erti kata lain, ia merupakan penyediaan sumbangan yang dikongsi bersama
bagi membantu mereka yang memerlukan. Islam amat menggalakkan sifat tolong-menolong
atau menyediakan bantuan pada mereka yang dalam kesusahan. Islam juga menuntut supaya
umatnya bekerjasama.

Asas falsafah ini adalah berpandukan kepada beberapa hadith Rasulullah SAW yang
antaranya:
1. Dalil Kerjasama
Allah akan sentiasa membantu hamba-Nya selagi mereka saling membantu antara satu sama
lain .
(Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Abu Daud)
2. Dalil Tanggungjawab
Ibarat hubungan dan perasaan orang-orang beriman sesama mereka adalah seperti jasad,
apabila salah satu daripadanya ditimpa kesusahan, maka seluruh anggota yang lan juga akan
merasainya .
(Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim)
3. Dalil Saling Melindungi
Demi hayatku yang berada dalam kekuasaan Allah, tiada siapa akan masuk syurga jika
beliau tidak melindungi jirannya yang berada dalam kesusahan .
(Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim)

SEJARAH KEMUNCULAN TAKAFUL


Konsep takaful pada hari ini bukanlah sesuatu yang baru malah telah dijalankan sejak
zaman kemunculan Islam lagi. Apabila Islam datang dan lahirnya kerajaan Islam di Madinah,
beberapa sistem yang diamalkan mengikut adat resam masyarakat Arab sebelum kedatangan
Islam dan didapati sistem-sistem tersebut tidak bercanggah dengan syariat Islam, kerajaan
Islam membenarkan sistem-sistem tersebut dikekalkan. Dalam kitab-kitab feqah dan sejarah
Islam ada menyatakan terdapat beberapa amalan pada zaman tersebut yang menggambarkan
bentuk-bentuk insurans. Antaranya ialah dalam Kitab Sirah Ibn Hisyam digambarkan bentuk
insurans yang telah diamalkan oleh kaum Muhajirin:Kaum Muhajirin dari Quraisy tetap mempunyai hak mereka; mereka senasib
sepenanggungan dan menerima wang tebusan darah (diat) sesama mereka (kerana
pembunuhan tidak sengaja) dengan cara baik dan adil di kalangan orang-orang beriman.
Bani Auf (dari Yathrib) tetap mempunyai hak mereka, tanggung-menanggung wang tebusan
diri; setiap keluarga mereka membayar bersama wang tebusan dengan baik dan adil di
kalangan orang-orang beriman.
Menurut Sobri Solomon (1989), tiga sistem yang masih dikekalkan ialah sistem
aqilah, qasamah dan akad muwalah. Sistem aqilah ialah sistem yang telah diperkenalkan
oleh Rasulullah SAW sewaktu Baginda berhijrah ke Madinah dan mempersaudarakan
golongan Muhajirin dengan golongan Ansar. Sistem ini berteraskan kepada konsep saling
bertanggungjawab di kalangan ahli-ahlinya. Mengikut sistem ini, setiap ahli tidak kira orangorang Ansar atau Muhajirin perlulah mengadakan tabung kewangan bersama yang dikenali
sebagai kunz. Semua pungutan atau caruman yang dibayar oleh ahli-ahli mengikut tempoh
yang telah dipersetujui akan dimasukkan ke dalam tabung berkenaan. Salah satu tujuan
tabung ini ialah menyediakan bayaran yang akan dijadikan bantuan untuk menolong mana-

mana ahli yang terlibat dengan pembunuhan tidak sengaja atau untuk menebus tawanan
perang muslimin daripada musuh.
Sistem al-Qasamah pula adalah satu sistem bayaran pampasan kepada keluarga
yang terbunuh. Melalui sistem ini, dana dikumpulkan ke dalam sebuah tabung atau wang
daripada kutipan caruman ahli-ahli. Manfaat akan dibayar kepada ahli waris yang terbunuh
jika kes pembunuhan itu tidak diketahui siapa pembunuhnya atau tidak mempunyai sebarang
keterangan saksi yang layak untuk mengenalpasti pembunuhnya. Dalam sebuah hadis riwayat
Bukhari dari Said bin Atai:Apakah kamu boleh mendatangkan saksi orang yang membunuhnya? Mereka
(golongan Ansar) menjawab: Tidak. Tanya Rasulullah: Baiklah kalau mereka: (orang-orang
Yahudi) bersumpah untuk kamu? Mereka menjawab: Kami tidak menerima sumpah mereka.
Kerana Rasulullah tidak suka mensia-siakan darah manusia, maka Baginda memberi
diatnya seratus ekor unta kutipan sedekah .
Akad muwallah pula merupakan sebuah perjanjian jaminan. Contohnya jika Ahmad
berkata kepada Brahim: Awak menjadi pelindung (wali) kepada saya, kalau saya melakukan
jenayah tak sengaja, awak perlu membayar diat kepada saya. Kalau Brahim bersetuju, maka
kontrak mereka menjadi sah. Sekiranya Ahmad melakukan jenayah tidak sengaja maka
Ahmad akan menyediakan diat dan sebagai ganjarannya Brahim boleh mempusakai hartaharta Ahmad sekiranya ia mati tanpa waris. Di bawah sistem ini, penjamin akan menjamin
sesorang yang tidak berwaris dan tiada pula diketahui keturunannya seperti seorang
pendatang baru. Penjamin bersetuju akan menanggung bayaran diat (denda atau tebusan)
sekiranya orang yang dijaminnya itu melakukan sesuatu jenayah. Sebaliknya, jika orang yang
dijamin itu meninggal dunia, penjamin boleh mempusakai hartanya selagi tidak diketahui
siapakah waris orang yang dijamin.
Syarikat Insuran Islam yang pertama telah ditubuhkan pada tahun 1979 iaitu
Syarikat Insuran Islam Sudan. Bertitik tolak daripada perjalanan dan perkembangan Syarikat
Insuran Islam Sudan ini, maka pelbagai usaha dan langkah susulan telah dibuat khususnya
oleh negara-negara Islamdan negara-negara di mana bilangan penduduk Islam agak besar
bagi memperkenalkan syarikat-syarikat insurans yang menawarkan perniagaan insurans
secara Islam.
Lanjutan daripada usaha tersebut, pada awal tahun 1980-an, beberapa buah syarikat
insurans Islam mula ditubuhkan termasuk yang beroperasi dinegara-negara Eropah.
Antaranya ialah Syarikat Insurans Islam Arab yang ditubuhkan pada tahun 1979 di Arab
Saudi. Pada tahun 1983, telah diperbadankan Syarikat Takaful Islam Luxembourg oleh Dar
Al-Maal Al-Islami (DMI), London. Beberapa puluh tahun yang lalu, terdapat maklumat
mengenai penubuhan syarikat Insuran Islam di Australia yang diberi nama Syarekat AlTakafol Al-Islamiah.

Malaysia adalah negara pertama di Asia Tenggara yang merintis perniagaan insurans
Islam melalui penubuhan Syarikat Takaful Malaysia Sendirian Berhad yang operasinya
bermula pada Ogos 1985. Menurut Mat Hassan Abu Bakar (2003), objektif penubuhan
syarikat ini adalah untuk menyediakan perkhidmatan takaful (insurans Islam) yang berkualiti
secara professional kepada umat Islam dan masyarakat bukan Islam di negara ini.
Pelaksanaan skim Takaful adalah berdasarkan hukum syara yang mengharamkan
perkara-perkara berikut:
i. Gharar (Ketidakpastian atau ketiadaan penjelasan berhubung sesuatu perjanjian)
ii. Maisir (Perjudian)
iii. Riba (Bunga atau faedah)
iv. Amalan-amalan lain yang bercanggah dengan hukum syarak.

Terdapat beberapa sebab yang mendorong pembentukan dan penyediaan perniagaan


takaful ini. Pertamanya orang Islam ingin mengamalkan ajaran dan peraturan Islam
sepenuhnya
dalam
kehidupan
mereka.
Kedua,orang
Islam
mahukan
sistem kewangan yang bersesuaian dengan ajaran dan kehendak agama dipraktikkan dalam
wawasan mereka bagi membina ekonomi Islam yang lengkap untuk kemudahan ummah.
Yang ketiga, apabila bank-bank Islam ini ditubuhkan maka keperluan perniagaan takaful atau
insurans Islam akan menjadi keperluan oleh umat Islam kerana boleh dikatakan semua urusan
bank memerlukan perlindungan insurans. Oleh itu, adalah sesuai sekali jika urusan bank
Islam dapat dilindungi oleh insurans yang berasaskan hukum-hukum Islam.

INSURAN DALAM ISLAM


[A] PERLINDUNGAN INSURAN KONVENSIONAL
Perlindungan Insuran yang disediakan oleh syarikat-syarikat insuran terdiri daripada dua
jenis perniagaan iaitu:1. Perniagaan Insuran Nyawa
Perniagaan insuran ini adalah untuk menghadapi musibah yang boleh membawa kepada
kematian atau kecederaan tubuh badan seperti diserang penyakit atau ditimpa kemalangan
2. Perniagaan Insuran AM
Perniagaan insuran ini pula adalah untuk menghadapi musibah yang boleh membawa
kehilangan atau kemusnahan harta benda umpamanya kebakaran, banjir, kemalangan dan
sebagainya
[B] PRINSIP SALING BEKERJASAMA
Para ulama dan pakar-pakar perundangan Islam telah membuat kajian mengenai
kendalian dan perjalanan syarikat insuran. Mereka berpendapat bahawa kendalian dan
perjalanan syarikat insuran yang ada pada zaman ini adalah tidak selaras dengan kehendak
syarak. Hal ini kerana operasi urus niaga insurans mengandungi tiga unsur iaitu:1.Gharar
Gharar bermaksud tidak jelas. Dalam Islam, perjanjian atau kontrak perlulah dijelaskan
tentang akadnya sebelum perjanjian itu dimenterai. Ia haruslah jelas, nyata dan diketahui oleh
kedua-dua belah pihak yang membuat perjanjian.
2.Maisir

Maisir atau perjudian merupakan lanjutan daripada unsur gharar. Keuntungan daripada
syarikat insuran dilihat sebagai hasil yang mempunyai unsur perjudian. Keuntungan insuran
tersebut berpunca daripada pengalaman penangungan. Syarikat insuran akan mendapat
keuntungan disebabkan oleh tuntutan yang lebih bergantung kepada nasib. Unsur daripada
nasib inilah yang dianggap sebagai perjudian.
3. Riba
Terdapat banyak aktiviti-aktiviti pelaburan syarikat-syarikat insurans tidak diluluskan oleh
syarak kerana aktiviti-aktiviti tersebut mempunyai unsur riba.

[C] AL-TAKAFUL ASAS INSURANS ISLAM


Bekerjasama kamu pada perkara-perkara kebajikan dan takwa dan jangan
bekerjasama dalam perkara-perkara dosa dan boleh menimbulkan permusuhan.
(Al-Maidah:2)
Melalui ayat Al-Maida di atas dapat kita pelajari bahawa Islam menyuruh umatnya supaya
sentiasa bekerjasama dalam melakukan perkara kebaikan dan mengelak daripada melakukan
perkara-perkara berdosa. Suruhan ini telah lama diamalkan oleh umat-umat Islam zaman
silam lagi. Sebagai contoh, jika terdapat ahli-ahli sesebuah puak itu terbunuh, semua ahli
puak tersebut bertanggungjawab untuk menghulur bantuan yang berbentuk manfaat
pampasan kepada waris-waris ahli yang telah terbunuh itu. Sifat saling lindung-melindungi
dapat dilihat dalam diri ahli-ahli puak ini.
Atas prinsip ini terdapat banyak persatuan-persatuan ditubuhkan. Persatuan-persatuan
nini ditubuhkan untuk membantu ahlinya yang ditimpa musibah.Ahli-ahli persatuan diberi
kemudahan yang cukup untuk memudahkan mereka membayar sumbangan secara beransuransur dalam satu tempoh tertentu. Persatuan yang mempunyai bilangan ahli yang ramai
mampu menyediakan bantuan kewangan yang besar kepada ahlinya yang memerlukan
bantuan.Hakikat-hakikat inilah yang memerlukan insurans secara Islam berasaskan prinsip
salaing bekerjasama kerana:1- Pemegang polisi saling bekerjasama antara satu sama lain untuk mengadakan manfaat
bersama.
2- Insurans ini tergolong di bawah perjanjian memberi sumbangan kerugian dan
menyamaratakan tanggungan mengikut kaedah pengumpulan sumber bersama.

3- Unsur ketidaktentuan berkaitan dengan bayaran sumbangan dan bayaran manfaat dapat
diketepikan.
4- Tidak bertujuan memberi keuntungan atau kelebihan kepada satu pihak sahaja sehingga
merugikan pihak lain.

[D] TAKAFUL KELUARGA DAN TAKAFUL AM


Jika dibawah insurans konvesional,jenis perniagaan yang disediakan boleh
dibahagikan kepada insurans nyawa dan insurans am, di bawah takaful, perniagaan yang
disediakan boleh dikelaskan kepada dua jenis iaitu:1-Takaful Keluarga
Takaful keluarga memberi bimbingan bagi mereka yang menghadapi masalah akibat
kematian dan kemalangan ke atas diri seseorang peserta. Ada dua cara untuk seseorang
melindungi keluarganya iaitu sama ada meninggalkan sejumlah wang kepada warisnya
apabila ia meninggal dunia atau mempunyai simpanan wang yang cukup sebagai nafkah
hidup diri dan keluarga apabila ia mengalami kecederaan dan tidak berupaya untuk bekerja.
Oleh itu, syarikat takaful telah menyusun skim-skim perlindungan takaful keluarga bagi
membolehkan peserta-peserta mendapat perlindungan ini. Tujuannya adalah untuk
membenarkan peserta menyimpan atau menabung secara berterusan, menyediakan
perlindungan dalam bentuk manfaat takaful yang berkenaankepada peserta yang ditimpa
malapetaka atau bencana, serta mengembalikan bahagian simpanan dan bahagian untung
serta manfaat takaful yang berkenaan kepada peserta yang tidak ditimpa malapetaka atau
bencana.
Melalui skim takaful keluarga, setiap peserta perlu membayar caruman mengikut
kemampuannya tertakluk kepada jumlah minimum. Bayaran caruman boleh dibuat sama ada
secara tahunan, setengah tahun, suku tahunan atau bulanan.Caruman yang dikumpulkan
daripada peserta akan dimasukkan ke dalam dua akaun iaitu akaun peserta dan akaun khas
peserta mengikut kadar yang telah ditentukan. Sebanyak 95% daripada caruman peserta akan
dimasukkan ke dalam akaun peserta bagi tujuan simpanan dan pelaburan manakala 5%

daripada caruman peserta akan dimasukkan ke dalam akaun khas peserta untuk tujuan
membayar faedah takaful kepada peserta yang ditimpa musibah.
Wang yang dimasukkan ke dalam kedua-dua akaun ini akan disatukan dalam satu
kumpulan wang. Syarikat Takaful akan melaburkan kumpulan wang ini dalam bidang dan
bentuk pelaburan yang halal mengikut hukum syarak. Apa-apa keuntungan yangdiperolehi
dari usaha pelaburan yang dijalankan dan diuruskan oleh Syarikat Takaful akan dibahagikan
mengikut perjanjian Al-Mudharabah yang telah dipersetujui antara syarikat dan peserta
seperti yang dinyatakan dalam perjanjian. Bahagian keuntungan untuk peserta akan
dimasukkan ke dalam akaun masing-masing. Ini bermakna, dengan adanya keuntungan ini,
maka jumlah tabungan atau simpanan masing-masing yang terdapat di dalam akaun peserta
akan bertambah. Bahagian keuntungan bagi akaun khas peserta dari keuntungan pelaburan
yang sama pula akan dimasukkan ke dalam akaun khas masing-masing.

Produk utama yang ditawarkan dalam takaful keluarga termasuklah:i. Pelan Keluarga
ii. Pelan Berkaitan Pelaburan
iii. Pelan Pendidikan Anak
iv. Pelan Perubatan dan Kesihatan
v. Pelan Anuiti

2- Takaful Am
Takaful am merupakan skim perlindungan keatas barang-barang tertentu seperti takaful
kemalangan, takaful kebakaran, takaful motor, dan lain-lain dengan menyediakan suatu
kumpulan wang yang disumbangkan oleh orang ramai yang menyertai skim ini. Kumpulan
wang ini akan digunakan untuk membayar ganti rugi atau pampasan kepada peserta yang
mengalami kesusahan kerana ditimpa sesuatu risiko. Perlindungan jenis ini boleh disertai
orang perseorangan, syarikat, pertubuhan atau perbadanan.
Terdapat lima jenis perlindungan yang diberikan dalam takaful am iaitu:i. Kebakaran
ii. Kemalangan
iii. Kenderaan
iv. Kejuruteraan
v. Laut dan Udara

Mengikut skim takaful ini, para peserta diharuskan untuk membayar caruman dan
jumlah caruman bergantung pada jenis takaful am yang disertai. Kumpulan wang ini
kemudiannya akan dilaburkan dalam bidang-bidang pelaburan yang halal dari segi syariah.
Peserta-peserta takaful am yang tidak mengalami tuntutan akan berkongsi keuntungan dan
keuntungan tersebut akan diberikan secara tunai. Jika berlaku kerugian, peserta menambah
caruman tetapi secara praktikalnya, kerugian itu akan dibawa ke hadapan sehingga
keuntungan diperolehi semula. Berbeza dengan pemegang polisi am di mana mereka tidak
berhak berkongsi untung rugi kumpulan wang.
Skim perlindungan takaful am kebanyakkannya mempunyai tempoh akad yang
berkuatkuasa selama setahun. Sekiranya tempoh akad skim perlindungan ini tamat,peserta
boleh memperbaharui akad perlindungan tersebut bagi jangka masa setahun lagi. Skim
perlindungan ini boleh terus diperbaharui dari setahun ke setahun selagi kepentingan peserta
masih kekal ke atas harta benda atau barang yang dilindungi.

[E] KELEBIHAN SISTEM TAKAFUL


Sistem takaful mempunyai banyak kelebihan. Antara kelebihan-kelebihan tersebut ialah:1-Jaminan Perlindungan Kewangan Berlandaskan Prinsip-prinsip Islam
Takaful diwujudkan sebagai alternatif kepada sistem insurans konvensional yang telah
diperakukan oleh sebahagian besar ulama dan fuqaha Islam sebagai tidak memenuhi
kehendak syarak. Oleh itu, kelebihan utama sistem takaful adalah memberi jaminan
perlindungan kewangan kepada peserta-peserta mengikut garis panduan yang telah ditetapkan
syarak. Pembentukan sistem takaful merupakan hasil kerjasama antara para intelektual Islam
dengan golongan profesional dalam bidang ekonomi dan kewangan sebagai usaha mencari
jalan ke arah pelaksanaan ekonomi yang halal. Bagi memastikan dan menyakinkan bahawa
kajian dan percubaan ini akan berjaya, panduan-panduan telah diambil daripada syarikatsyarikat mudharabah secara Islam sedia ada yang menjalankan aktiviti di beberapa negara
Islam.
Dalam sistem takaful, skim perlindungan yang disediakan adalah berbentuk
perlindungan bersama di kalangan peserta-peserta skim takaful. Konsep saling menyumbang
dan saling melindungi di kalangan peserta takaful adalah unik berbanding dengan
kebanyakan skim insurans konvensional kerana kontrak takaful hanyalah di kalangan sesama
peserta sahaja. Sebaliknya pihak syarikat pengendali takaful hanya berfungsi sebagai
pengurus yang aktif berkenaan skim perlindungan tersebut. Oleh itu, syarikat pengendali
takaful bukanlah sebagai pihak yang memberikan perlindungan sebaliknya para peserta
takaful bertanggungjawabsebagai pihak yang memberi perlindungan selain menjadi pihak
yang dilindungi.

2- Bayaran Caruman Secara Berkala dalam Takaful Keluarga


Pencarum takaful keluarga diberi pilihan dalam membayar caruman sama ada secara
bulanan, suku-tahunan, setengah-tahunan atau tahunandengan kadar minimum yang telah
ditetapkan oleh pengendali takaful.Namun begitu, pencarum yang terlewat membayar wang
caruman dalam sistem takaful tidak akan dikenakan sebarang bayaran faedah kerana unsurunsur riba sangat dilarang dalam Islam. Hal ini berbeza dengan syarikat insurans yang
mengenakan bayaran faedah kepada pencarum yang terlewat menjelaskan bayaran premium.

3- Sistem Insurans Berlandaskan Syariat Islam


Para peserta tidak perlu ragu-ragu untuk menyertai skim perlindungan ini kerana
takaful bebas daripada unsur-unsur yang bercanggah dengan kehendak syarak seperti gharar
(ketidakpastian), maisir (perjudian) dan riba. Ini kerana skim takaful tertakluk kepada Akta
Takaful 1984, Seksyen 8 (5)(b):
"Bahawa terdapatnya dalam artikel persatuan pengendali Takaful yang berkenaan
peruntukan bagi penubuhan Majlis Pengawasan Syariah untuk menasihati pengendalian
tentang perniagaan takafulnya untuk memastikan yang ia tidak terlibat dalam apa-apa unsur
yang tidak diluluskan"
Akta ini menjelaskan bahawa setiap pengendali takaful dikehendaki menubuhkan
Jawatankuasa Syariah. Jawatankuasa ini memberi panduan kepada pengendali-pengendali
takaful supaya tidak terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang ditegah syarak seperti amalan
gharar , maisir dan riba sebagaimana yang diamalkan oleh sistem insurans konvensional.
Penyertaan dalam skimTakaful tidak terhad kepada golongan Muslim sahaja bahkan
skim takaful adalah untuk semua pihak tanpa mengira bangsa dan agama .Oleh itu, kelebihan
dan keistimewaan yang terdapat dalam sistem takaful ini juga turut dinikmati oleh pesertapeserta bukan beragama Islam yang sama-sama menyertai skim takaful.

[F] KEBURUKAN SISTEM TAKAFUL


Selain kelebihan-kelebihan yang telah disebutkan, sistem takaful pada hari
inikhususnya masih mempunyai beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki terutamanya

dalam aspek pemasaran dan pendedahan kepada orang ramaimengenai sistem takaful. Antara
kelemahan-kelemahan tersebut ialah:1- Kekurangan Pendedahan Terhadap Sistem Takaful
Sistem takaful mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 1985 melalui penubuhan
Syarikat Takaful Malaysia Sendirian Berhad (STM). Sehingga kini, orang ramai khususnya
umat Islam masih kurang didedahkan dengan pelaksanaan sistem takaful walaupun sistem ini
diperkenalkan sebagai alternatif kepada insurans konvensional yang telah diharamkan oleh
sebahagian besar ulama. Kelemahan ini juga dilihat apabila agen yang menjual produk
takaful tidak dapat menjelaskan secara terperinci akan kelebihan-kelebihan yang boleh
didapati daripada produk takaful berbanding insurans konvensional sekaligus tidak dapat
menyakinkan orang ramai untuk sama-sama menyertai takaful. Oleh itu, pengendalipengendali takaful perlulah memastikan latihan diberi secukupnya kepada agen-agen takaful
yang dilantik agar mereka mampu menarik lebih ramai orang untuk menyertai
takafulterutamanya umat Islam dan beralih dari terus membeli insurans konvensional.

SISTEM PERAKAUNAN DAN AMALAN KEWANGAN


[A]PERAKAUNAN ASET TAKAFUL
Aktiviti perniagaan adalah bertujuan untuk mengumpul harta atau aset. Lebih banyak aset
yang dapat dikumpul dan dimiliki oleh sesebuah perniagaan, semakin kuat kedudukan
kewangan perniagaan tersebut.Menurut Islam, harta ditakrifkan sebagai sesuatu yang boleh
disimpan dan mempunyai nilai. Harta yang dimiliki haruslah halal di sisi syarak. Islam
menggalakkan umat-umatnya mengumpul harta asalkan cara mendapatkannya adalah tidak
bercanggah dengan ajaran Islam.
Islam menuntut supaya segala harta dan aset tersebut dijaga dan diurus dengan baik
kerana harta merupakan salah satu keperluan asas kehidupan manusia. Harta dapat diuruskan
dengan baik jika pemiliknya menyediakan dan melaksanakan sistem penyimpanan maklumat
rekod dengan sempurna. Apabila butir-butir serta nilai-nilai harta ini dicatat, maka kerja-kerja
menghisab dapat dilakukan dengan mudah dan tepat.
Syarikat yang mengendalikan urus niaga akan menerima wang sebagai harga bayaran
dari pelanggan setelah mereka menerima perkhidmatan atau barangan yang diingini. Syarikat
tersebut juga akan menggunakan harta mereka untuk mengembangkan kegiatan perniagaan
mereka. Pengairan keluar masuk wang ini menyebabkan sistem maklumat mencatat menjadi
amat penting.
Sistem ini juga penting bagi sistem takaful. Segala maklumat penerimaat wang
sumbangan daripada peserta amat diperlukan agar terdapt bukti kukuh sebelum syarikat

melakukan pengeluaran tidak kira untuk menjelaskan tuntutan atau membayar perkongsian
keuntungan kepada peserta yang terbabit.
Penggunaan dan amalan ilmu perakaunan meningkat apabila penubuhan syarikatsyarikat dan penambahan baitulmal. Apabila kegiatan ekonomi dan kewangan meningkat,
penggunaan sistem perakaunan juga semakin meluas.
Arahan peraturan kewangan pada zaman kegemilangan Islam telah menyebabkan
terbentuknya asas ilmu perakaunan. Arahan yang dimaksudkan termasuklah menetapkan
semua urusan kewangan harus ditulis dan disimpan dengan penjelasan yang teliti. Arahan ini
sebenarnya merupakan prinsip dan kerangka asas ilmu perakaunan moden.
Takaful sebagai sebuah bidang perniagaan juga mempunyai aset. Aset tersebut haruslah
dijaga dengan penuh amanah dan memastikan ia dapat menambahkan hasil perniagaan. Oleh
kerana aset takaful pasa asalnya milik kepunyaan peserta maka keuntungan yang diperoleh
daripada aset ini akan menjadi hak peserta sebagaimana mengikut prinsip al-Mudharabah.
Aset takaful terkumpul di bawah Kumpulan Wang Pemegang Syer dan Kumpulan
Wang Takaful yang terdiri daripada Takaful Keluarga dan Takaful Am. Aset Takaful Keluarga
terkumpul di bawah Kumpulan Wang Takaful Keluarga, manakala aset Takaful Am pula
terkumpul di bawah Kumpulan Takaful Am.
[B] PELABURAN WANG TAKAFUL
Majlis Pengawasan Syariah adalah sebuah majlis yang mengawalselia segala aspek
operasi, urusan perlaburan, pengurusan dan pemasaran perniagaan. Antara fungi Majlis
Pengawasan Syariah adalah untuk memberi nasihat kepada pengendalian takaful yang
dikehendaki, memastikan setiap aspek operasi takaful yang dikehendaki oleh syarikat, dan
sebagai pelaburan.
Terdapat dua tujuan utama pelaburan iaitu untuk mendapat keuntungan.Hal ini kerana
peserta takaful berhak untuk berkongdi untung daripada perniagaan takaful. Tujuan pelaburan
yang kedua adalah untuk membantu mengembang dan menambah harta atau aset kumpulankulpulan wang yang terbabit.
Bidang-bidang pelaburan bagi takaful adalah meliputi sektor-sektor seperti hartanah,
saham, kemudahan pembiayaan, pelaburan dan simpanan di bank. Pulangan daripada
pelbagai bidang ini merupakan hasil bagi kumpulan-kumpulan wang yang terbabit.
[C] MENGAGIH KEUNTUNGAN KEPADA PESERTA TAKAFUL
Kendalian takaful adalah berdasarkan akad dan kontrak berkongsi untung dalam
perniagaan secara Islam mengikut prinsip al-Mudharabah. Dengan kata lain segala
keuntungan yang diperoleh akan dikongsi antara peserta takaful dengan syarikat tersebut.
Perolehan keuntungan akan ditentukan daripada pergerakan dan operasi Kumpulan Wang
Takaful Am dan perkongsian tersebut akan dibuat mengikut nisbah yang telah dipersetujui.

Mengikut amalan Syarikat Takaful Malaysia, agihan keuntungan kepada peserta takaful
am adalah secara bulanan. Rata-rata tempoh takaful bagi skim-skim takaful am seperti
kebakaran, kemalangan dan lain-lain adalah untuk 12 bulan. Setiap agihan keuntungan akan
dibuat selepas diketahui keuntungan yang diperoleh oleh takaful am selepas cukup tempoh
tersebut. Bagi tujuan ini, semua urusan kewangan dan perakaunan Syarikat Takaful Malaysia
akan ditutup dan dibereskan secara bulanan. Untuk mengagihkan keuntungan maka tidak
perlu menunggu atau bergantung kepada jumlah keuntungan yang akan diperoleh semasa
tahun kewangan syarikat ditutup.

[D] PEROLEHAN UNTUNG BAGI PESERTA TAKAFUL KELUARGA


Mengikut prinsip al-Mudharabah, kerjasama dalam setiap perniagaan antara pihak yang
mengeluarkan modal dengan pengusaha yang menjalankan perniagaan itu dimenteraikan
dengan perjanjian berkongsi untung. Peserta takaful keluarga akan mengeluarkan modal dan
berkongsi untung dengan syarikat yang mengendalikan dan mengusahakan perniagaan
takaful. Perkongsian untung tersebut dibuat berdasarkan kepada nisbah yang telah
dipersetujui semasa cadangan menyertai Pelan Takaful.
Produk-produk yang disediakan di bawah Perniagaan Takaful Keluarga ialah pelan
takaful mengikut tempoh matang 10 tahun, 15 tahun, 20 tahun, 25 tahun, 30 tahun, 35 tahun,
dan 40 tahun.
Ansuran caruman yang dibayar sama ada tiap-tiap bulan, tiga bulan sekali, enam bulan
sekali atau setahun sekali akan dimasukkan ke dalam dana khas yang dipanggil Kumpulan
Wang Takaful Keluarga. Kumpulan wang ini dibahagikan kepada dua akaun yang dikenali
sebagai Akaun Peserta (AP) dan Akaun Khas Peserta (AKP). Sebagai operasi berbentuk
perniagaan, AP dan AKP akan dilabur atau diperniagakan oleh syarikat mengikut akad alMudharabah.Tujuannya supaya Kumpulan Wang Takaful Keluarga dapat memperoleh
pulangan kerana pulangan inilah yang dikira sebagai perolehan keuntungan Takaful Keluarga.
Jumlah keuntungan ini dapat dilihat dalam Akaun Pendapatan Bulanan yang menjadi
sebahagian daripada Penyata atau Laporan Kewangan syarikat. Oleh kerana akaun syarikat
ditutup pada tiap bulan maka Akaun Pendapatan juga akan disediakan secara bulanan.

Dengan menggunakan kaedah mengira kadar untung tiap-tiap bulan ini maka keuntungan
boleh dibayar kepada peserta yang menamat Pelan Takaful Keluarga sepanjang tempoh
penyertaan sehingga ke tarikh pembatalan. Berbeza dengan polisi insurans nyawa, peserta
takaful berhak untuk mendapatkan kembali wang caruman yang terkumpul dalam AP beserta
keuntungan mengikut prinsip al-Mudharabah pada bila-bila masa penyertaan Pelan Takaful
Keluarga dibatalkan.
[E] KEUNTUNGAN BAGI SYARIKAT
Seperti yang dinyatakan di atas segala perolehan keuntungan perniagaan takaful harus
dikongsi di antara peserta yang menyediakan modal dengan syarikat yang menusahakan
perniagaan tersebut. Namun keuntungan yang diperoleh syarikat perlu digunakan untuk
mengurus gaji, sewa dan segala kos pentadbiran. Syarikat tidak dibenarkan untuk
menggunakan modal yang telah diberi oleh peserta untuk menanggung kos-kos pentadbiran
syarikat.Segala perbelanjaan urus syarikat harus ditanggung oleh syarikat itu sendiri untuk
mengelak unsur gharar.
Menurut sistem takaful yang berasaskan prinsip al-Mudharabah, pendapatan syarikat
datang dari tiga sumber iaitu Perniagaan Takaful Am, Perniagaan Takaful Keluarga dan wang
Pemegang Syer. Ketiga-tiga sumber mempunyai dana masing-masing dan wang setiap
sumber ini diuruskan secara berasingan. Kumpulan Wang Takaful Am dan Kumpulan Wang
Takaful Keluarga merupakan himpunan semua sumbangan atau ansuran caruman takaful
yang dibayar oleh peserta-peserta takaful sebagai modal di bawah akad al-Mudharabah
sebagai balasan menyertai pelbagai pelan atau skim takaful.Kumpulan wang ini akan
dilaburkan oleh syarikat mengikut bidang dan kegiatan yang diluluskan oleh syarak dan
pulangan segala kegiatan pelaburan tersebut merupakan pendapatan kepada kumpulan wang
terbabit.
Pendapatan daripada ketiga-tiga sumber ini akan dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang
Pemegang Syer adalah dikira sebagai pendapatan syarikat. Daripada pendapatan inilah
syarikat akan membayar segala belanja mengurus seperti gaji kakitangan dan pegawai, sewa
pejabat, membeli pelbagai peralatan pejabat dan kos-kos lain bagi membolehkan syarikat
menggerakkan jentera pentadbiran. Jika pendapatan keseluruhan melebihi perbelanjaan
mengurus maka syarikat memperoleh keuntungan.

KEGUNAAN KHIDMAT TAKAFUL


1- MANFAAT TUNTUTAN TAKAFUL AM
Apabila terdapat peserta takaful ditimpa kesusahan, peserta tersebut boleh
mendapatkan kemudahan perlindungan yang berupa manfaat pampasan atau ganti rugi. Jika
kenderaan milik peserta mengalami kerosakan, kos membaiki semula kenderaan tersebut
akan dijamin dengan sumber kewangan syarikat takaful.
Namun jika mereka ditimpa kesusahan, mereka harus melakukan dua perkara penting
terlebih dahulu sebelum mengemukakan tuntutan. Mereka haruslah melaporkan kejadian
tersebut kepada pihak polis dalam masa 24 jam. Selepas itu barulah mereka boleh
melaporkan kepada syarikat takaful. Semasa melaporkan kepada syarikat takaful, peserta
memerlukan maklulat-maklumat peribbadi seperti nombor Sjil Takaful dan keterangan
ringkas mengenai kejadian. Dengan menggunakan maklumat ini, pihak takaful dapat
membuat pertimbangan jika kejadian tersebut dibawah skop perlindungan yang disertai
peserta.
Syarikat akan melantik orang tengah yang mempunyai kepakaran tertentu untuk
menyiasat dan menilai kerugian yang ditanggung. Tenaga pakar juga akan dipanggil untuk
melakukan penyiasatan yang lebih teliti. Anggaran kerugian dan kos gantian akan dijadikan
asas dalam menyelesaikan kes tuntutan. Anggaran ini tidak dibuat oleh pihak takaful namun
dilakukan oleh orang tengah supaya penilaian yang adil dapat dibuat. Selain itu, peserta juga
harus mendapat manfaat yang sama dengan nilai kerugian yang ditanggungnya.Manfaat yang
berada di luar skop perlindungan takaful juga tidak wajar dibayar.

2- MANFAAT TUNTUTAN TAKAFUL KELUARGA


Melalui Pelan Takaful Keluarga, peserta dapat merancang dalam usia yang masih
muda untuk menabung dan mengumpul wang secara beransur-ansuran bagi satu jangka masa.
Dengan tabungan itu, jika ditakdirkan peserta tersebut meninggal dunia awal, tabungan
tersebut akan diberikan kepada waris-waris peserta tersebut. Sebaliknya jika peserta tersebut
masih hidup sewaktu Pelan Takaful Keluarga yang disertainya telah genap tempoh, tabungan
tersebut boleh digunakan sebagai dana persaraan. Kedua-dua jenis tuntutan (permohonan) ini
diliputi di bawah akad takaful yang terdapat dalam dokumen kontrak Sijil Takaful
Keluarga
Bagi kes tuntutan kematian peserta, perolehan yang diterima sebagai manfaat oleh
waris peserta yang matang sebenarnyamerupakan sumbangan dari semua peserta yang
terkumpul dalam Kumpulan Wang Takaful Keluarga. Oleh itu, proses pengeluaran wang
haruslah dilakukan dengan teliti.
Mengikut akad takaful, peserta-peserta dan pemegang amanah tidak boleh
mengeluarkan wang dengan sewenang-wenangnya. Untuk menjamin keadilan, pemegang
amanah harus memastikan perolehan manfaat itu diberikan kepada pihak yang benar-benar
layak. Amaun yang diberikan mestilah yang sewajarnya, tidak boleh lebih dan tidak boleh
kurang.
Sebab kematian juga penting apabila menuntut tuntutan.Jika kematian peserta
berpunca daripada perbuatan membunuh diri, maka waris peserta tidak layak untuk
mendapatkan tuntutan manfaat tersebut. Semua pihak yang membuat tuntutan haruslah
memastikan jika beliau benar-benar layak di sisi undang-undang dan syarak. Apabila peserta
ingin menamakan wasi, peserta haruslah memilih orang yang paling sesuai. Hal ini kerana,
jika tersalah memilih wasi atau orang yang dilantik untuk mentadbir harta peninggalan
peserta,dikhuatiri harta peninggalan tersebut akan disalah guna. Tuntutan pihak yang bukan
wasi pula tidak akan dipertimbangkan oleh pemegang amanah kecuali jika pihak berkenaan
telah mendapat kuasa sebagai pentadbir daripada mahkamah atau daripada pihak berwajib.
3- TAKAFUL MELINDUNGI HUTANG
Hutang yang dimaksudkan di sini adalah hutang yang berkaitan dengan pemilikan
harta yang diakui sebagai kemudahan asas yang menjadi keperluan dalam kehidupan seharian
seperti tempat kediaman dan kenderaan. Selalunya bagi orang yang baru memulakan
kehidupan bekeluarga, amat sukar bagi mereka untuk menyediakan keperluan asas ini.
Melalui kemudahan berhutang yang disediakan oleh perbankan Islam, mereka mampu untuk
memiliki keperluan-keperluan asas tersebut dengan cara berhutang.
Jika peserta meninggal dunia sebelum sempat melangsaikan kesemua hutangnya,
mereka tidak perlu risau jika waris mereka terpaksa menanggung beban hutang tersebut.
Terdapat Pelan Takaful Keluarga yang disusun untuk melindungi baki-baki hutang
pesertanya. Hutang-hutang tersebut akan dilangsaikan daripada perolehan manfaat pelan
tersebut. Pelan Takaful Keluarga ini dipanggil sebagai Pelan Takaful Gadaian.

KEPERLUAN TAKAFUL SEMULA DAN RIZAB


1- MENGAGIHKAN BEBAN KEWANGAN KUMPULAN WANG
Bagi perniagaan yang bercorak jaminan kewangan, kemampuan perniagaan tersebut
untuk menawarkan khidmat kemudahan jaminan akan bergantung kepada kekuatan
kewangannya. Syarikat-syarikat jenis ini mudah menghadapi masalah ketidakupayaan dalam
memenuhi fungsinya. Peraturan dan garis panduan khusus telah disediakan oelh pihak
berkuasa supaya akan dipatuhi oleh institusi kewangan. Senario ini juga dihadapi oleh
syarikat takaful. Cuma di bawah takaful, wang jaminan tersebut ditanggung dan dibiayai
daripada kumpulan wang takaful dan bukannya wang syarikat.
Kemampuan takaful melaksanakan fungsi jaminannya itu adalah bergantung kepada
jumlah wang yang terkumpul dalam kumpulan wang takaful. Kumpulan wang takaful dibina
daripada wang sumbangan yang dibuat oleh setiap peserta sebagai balasan melanggani dan
menyertai produk takaful. Pada hakikatnya wang sumbangan tersebut adalah amat kecil jika
dibandingkan dengan manfaat jaminan yang ditanggung. Apa pun senarionya, takaful masih
mampu memenuhi amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Takaful berjaya
menghadapi dan menyelesaikan masalah-masalah ini dengan pelbagai kaedah.
Takaful boleh menghadkan bilangan peserta kepada sektor atau kumpulan tertentu
sahaja supaya kumpulan wang takaful tidak akan terdedah kepada kemungkinan risiko berat.
Selain itu takaful juga boleh mengamalkan sistem menghadkan amaun perlindungan. Dengan
kaedah ini, pendedahan kumpulan wang takaful kepada tanggungan jaminan yang tinggi

mungkin dapat dielak. Namun begitu, langkah-langkah ini berkemungkinan besar akan
membantutkan kemajuan perniagaan takaful itu sendiri.
2- RIZAB MEMANTAPKAN TAKAFUL
Segala tatacara kendalian takaful akan menyebabkan kumpulan wang takaful terdedah
kepada prinsip baki sifar. Walaubagaimanapun, prinsip baki sifar ini dapat diatasi dengan cara
pembentukan rizab-rizab tertentu. Pihak takaful amat dituntut agar memperuntukkan
sebahagian dana yang diuruskan sebagai rizab.
Rizab boleh digunakan untuk menampung kurangan kumpulan wang. Rizab juga
digunakan sebagai penimbal bagi mengelak jurang yang terlalu besar naik dan turun bagi
kumpulan wang.
Walau apa pun yang berlaku, Kumpulan Wang Takaful mesti mengambil kira dan
menerima tanggungannya. Ini memerlukan perlaksanaan rizab tuntutan diambil deripada
wang sumbangan yang dikutip dalam tahun perniagaan semasa musibah berlaku ke atas
peserta.
Selain itu, rizab tuntutan perlu dibuat apabila terdapat kes-kes tuntutan yang berlaku
tetapi belum dilaporkan oleh peserta. Sekiranya rizab tuntutan tidak dibuat, segala
keuntungan yang diperoleh tidak mencerminkan kedudukan yang sebenar.
3- RIZAB TEKNIKAL
Selain rizab tuntutan, terdapat juga rizab teknikal. Rizab ini merupakan kiraan wang
sumbangan atau caruman bagi tempoh takaful yang belum terpakai atau tamat. Tempoh
takaful atau jangka masa perlindungan adalah tidak sama dengan tempoh tahun kewangan
atau perniagaan syarikat. Dengan kata lain, penyertaan dalam produk takaful untuk tempoh
setahun, bahagian wang sumbangan tersebut akan diambil kira sebagai perolehan kumpulan
wang takaful untuk tahun kewangan. Amat tidak tepat jika wang sumbangan bagi tempoh
perlindungan yang belum tamat ini diambil kira sebagai pendapatan dalam kumpulan wang
takaful. Perbuatan ini akan menyebabkan jumlah keuntungan yang diperoleh daripada operasi
takaful menjadi besar daripada yang sepatutnya.
Keperluan dan kepentingan supaya rizab teknikal ini dilaksanakan dengan betul dan
sempurna telah digariskan dan ditekankan dalam peraturan-peraturan tertentu berhubung
dengan kaedah pengiraannya. Dengan adanya rizab teknikal ,operasi takaful dapat bergerak
mengikut landasan yang sama rata.

KEARAH MEMANTAPKAN OPERASI TAKAFUL


1-MENGGABUNGKAN
PERBANKAN

MANFAAT

TAKAFUL

DENGAN

KEMUDAHAN

Perbankan secara umumnya menyediakan kemudahan simpanan dan pembiayaan atau


pinjaman. Mana-mana pihak boleh menyimpan wang masing-masing dengan membuka
pelbagai jenis akaun yang ditawarkan oleh bank. Insurans pula menyediakan khidmat
perlindungan melalui pelbagai jenis pilisi yang disediakan oleh syarikat insurans. Kini
khidmat perbankan telah diperluaskan. Para pelanggan yang menggunakan perkhidmatan
perbankan akan memperolehi perlindungan insurans sebagai suatu manfaat atau kelebihan
sampingan yang disediakan oleh bank terbabit.
Gandingan manfaat insurans dan perbankan ini semestikan memberi kelebihan kepada
pengguna. Pelanggan akan mendapat perlindungan insurans manakala pihak perbankan pula
dapat mengatasi masalah kepentingannya tidak dilindungi insurans.
2-UNDANG-UNDANG MENGAWAL TAKAFUL
Sebelum Syarikat Takaful Malaysia dibenarkan beroperasi, kerajaan Malaysia telah
mengubal undang-undang khusus, Akta Takaful 1984. Undang-undang ini bertujuan untuk
melesen dan mengawal operasi perniagaan takaful. Ia juga memastikan kejayaan takaful
sebagai sektor perniagaan baru berasaskan hukuk syarak.

Dengan adanya Akta Takaful 1984, peruntukan undang-undang yang selaras hukum
syarak dapat dimasukkan. Akta ini juga dapat menghalang mana-mana pihak menjalankan
khidmat yang ditakrifkan bercanggah dengan undang-undang.
Kawalan undang-undang amat perlu bagi menjamin bidang dan kegiatan pelaburan
ini berpandukan syarak. Tanpa undang-undang, pengendali boleh terbawa-bawa dengan
kerakusan mendapat untung besar semata-mata tanpa mengambil kira selamat atau tidak
pelaburan yang dilakukan.
Pada masa ini, agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan menguatkuasakan Akta
Takaful 1984 ini ialah Bank Negara Malaysia. Pegawai penguatkuasa tertinggi ialah Ketua
Pengarah Takaful yang juga merupakan Gabenor BNM.
Akta Takaful 1984 ini dapat memperkuatkan dan memastikan hukum syarak
dilaksanakan dengan sempurna mengikut lunas den keperluan prinsip pengurursan moden.
Undang-undang ini tidak langsung bertentangan dengan kehendak Islam.

Vous aimerez peut-être aussi