Vous êtes sur la page 1sur 3

Akhlak remaja masa kini membimbangkan

JULAI2000
Oleh : Norizan Yusof

Para remaja atau muda-mudi kita adalah warisan kita bagi masa hadapan. Mereka adalah
aset yang berharga agar ugama Islam tetap dihayati dan dipraktikkan oleh masyarakat Islam
masa hadapan. Mereka adalah harapan masyarakat dan negara.Maka adalah penting bagi
kita memastikan agar mereka bersedia untuk membawa obor perjuangan kita pada masa
hadapan. Mereka mestilah menjadi orang-orang yang boleh diharapkan, bukan sahaja untuk
membina masyarakat dan negara yang maju jaya, tetapi yang lebih penting adalah agar
Islam akan terus menjadi panduan masyarakat kita. Kita sekarang sudah mempunyai contoh-
contoh yang baik yang boleh kita ambil sebagai tauladan. Kita mempunyai segolongan
muda-mudi Islam yang boleh menjadi kebanggaan dan harapan masyarakat kita. Dan
sekarang kita melihat semakin ramai anak muda kita yang berpelajaran tinggi mempunyai
kesedaran dan penghayatan terhadap agama Islam. Mereka ingin mempraktikkan ugama
Islam dalam semua aspek kehidupan mereka. Ini harus dibanggakan dan disemai agar lebih
ramai remaja dan golongan muda menjadikan Islam teras kehidupan mereka. Akan tetapi
masih ramai lagi di kalangan remaja kita yang terbawa-bawa dengan budaya yang
bertentangan dengan nilai-nilai murni Islam. Sebagai contoh, kita sering mendengar
terdapat sebilangan muda-mudi melahirkan anak luar nikah dan mencampakkan bayi di
tempat pembuangan sampah, sementara sebahagian lagi menggugurkan kandungan
mereka. Ini tidak termasuk muda-mudi yang ketagih arak dan alkohol. Adakah ini yang kita
inginkan dalam masyarakat Islam kita? Adakah mereka ini yang diharapkan sebagai contoh
khaira ummah atau sebaik-baik umat? Semakin ramai remaja kita yang tanpa segan silu
membuka aurat mereka. Malah ada yang lebih berani lagi. Mereka berdua-duaan dan
berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai. Ini bertentangan dengan ajaran Islam.
Mengapakah mereka berkelakuan demikian? Banyak faktor yang menyumbangkan
peranannya. Tetapi yang paling ketara adalah faktor pendedahan terhadap budaya-budaya
asing. Kalau zaman datuk nenek kita, cuma ada radio, zaman ibu bapa kita pula ada
televisyen. Sekarang ini kita menghadapi pula teknologi internet dan televisyen kabel yang
mana segala bentuk informasi dapat diraih hanya dengan menekan butang sahaja. Memang
tidak dinafikan bahawa internet dan televisyen kabel membawa kebaikan. Dengannya kita
lebih tahu perkembangan dunia dan ilmu-ilmu sains terkini. Masyarakat kita pula tidak lagi
seperti katak di bawah tempurung. Berbagai-bagai faedah yang boleh diraih. Akan tetapi
internet dan televisyen kabel juga membawa bersama unsur-unsur yang bertentangan
dengan nilai Islam. Dan jika kita tidak dibentengi dan diperkuatkan dengan ugama, maka kita
juga boleh terpedaya dengan unsur-unsur negatif tersebut. Setiap kali kita menonton filem
barat, akan dipaparkan adegan-adegan yang tidak sesuai dengan Islam. Setiap kali kita
menonton televisyen kita akan mendengar perkataan-perkataan lucah. Setiap kali kita
menonton televisyen, kita akan disajikan dengan cara kehidupan yang bertentangan dengan
Islam. Bayangkanlah! Seorang remaja yang masih memerlukan kepimpinan dalam
kehidupan mereka, disajikan setiap hari dengan budaya hidup yang bertentangan dengan
Islam, tidakkah ia akan mudah terpengaruh? Di internet pula, lelaman lucah dengan mudah
diperolehi. Kalau inilah sajian yang tersaji kepada anak-anak Islam kita semasa mereka
sedang membesar, maka tidak hairanlah akhirnya nilai-nilai Islam menjadi asing kepada
mereka. Dalam kesedaran ini, siapakah yang harus dipersalahkan? Setiap ibu-bapa
bertanggungjawab mendidik anak-anak mereka dengan nilai-nilai Islam. Anak-anak adalah
amanah Allah. Dan Allah akan menyoal kita di akhirat kelak tentang didikan terhadap anak-
anak kita tersebut. Berapa ramai ibu-bapa yang akan diseret ke neraka atas perbuatan anak-
anak mereka?! Kita tidak boleh menyalahkan televisyen kabel atau internet atas keruntuhan
akhlak para remaja dan muda-mudi zaman sekarang ini. Sebaliknya kita perlu merenung
kembali. Adakah kita sudah memainkan peranan yang secukupnya sebagai seorang bapa,
sebagai seorang ibu, sebagai seorang abang atau kakak? Adakah kita sudah memainkan
peranan yang secukupnya dalam mendidik dan menanamkan keimanan dalam jiwa anak-
anak Islam kita sehingga mereka tidak mudah terpedaya? Sudahkah anak-anak kita diberi
pengajaran Islam yang secukupnya untuk mereka menghadapi dunia sekarang yang penuh
cabaran ini? Anak-anak secara semulajadi memandang ibu-bapa mereka dahulu sebagai
panduan hidup mereka. Sekiranya ibu-bapa tidak memberikan contoh yang baik, sekiranya
ibu-bapa sendiri terpengaruh dengan unsur-unsur negatif Barat, maka tidak hairanlah jika
anak-anak mereka juga berkelakukan sedemikian. Bak kata pepatah "bapak borek anak
rintik." Akan tetapi kalau ibu-bapa menunjukkan contoh yang baik terhadap anak-anak
mereka, menjadikan keluarga mereka sebagai keluarga Islami, yang menerapkan nilai-nilai
Islam dalam keluarga mereka, maka percayalah, anak-anak mereka juga akan menjadikan
Islam sebagai panduan kehidupan mereka. Oleh itu kita menyeru kepada para remaja dan
belia kita, agar menyedari bahawa mereka adalah adalah harapan keluarga dan negara. Jika
mereka menjalankan tanggungjawab sebagai belia Islam yang dinamik, maka masyarakat
kita dan negara akan menjadi lebih maju lagi. Akan tetapi jika mereka lebih mementingkan
keseronokan dan hiburan sehingga lalai dari tanggungjawab, maka masyarakat dan negara
kita akan menjadi lemah. Sebagai belia dan remaja Muslim, kita mempunyai empat
tanggung-jawab: Pertama: Kita mestilah sedar bahawa waktu remaja bukanlah untuk
berseronok semata-mata, tetapi waktu tersebut mestilah diisi dengan mencari ilmu
pengetahuan dan menghayati ugama Islam. Jadikan waktu tersebut sebagai persiapan untuk
menghadapi masa hadapan apabila kita semakin tua kelak. Kedua: Kita tidak harus mudah
terpedaya dengan unsur-unsur negatif. Ambillah budaya yang baik dari sesiapun dalam
mencari dan meningkatkan ilmu. Tetapi kekalkan akhlak dan cara kehidupan orang Islam.
Kita akan menjadi orang yang paling disegani dan dihormati kelak. Kita akan berjaya di dunia
dan di akhirat, insya Allah. Ketiga: Sebagai remaja dan belia, janganlah kita menghabiskan
masa berkhayal dengan perasaan cinta dan mencari pasangan. Ia tidak membawa banyak
hasil. Malah masa kita yang berharga yang sepatutnya dihabiskan dengan mencari ilmu atau
menyumbang kepada masyarakat. Keempat: Hormatilah ibu bapa kita, walaupun pada
pandangan kita mereka tidak memahami jiwa dan perasaan kita. Sesungguhnya, ibu bapa
adalah pintu syurga. Sekiranya kita tidak bersetuju dengan mereka maka katakanlah dengan
nada yang lembut dan sopan, bukan dengan membentak dan menunjukkan marah. Firman
Allah s.w.t dalam surah Al-Isra', ayat 23 ertinya: "Dan Tuhanmu telah menentukan agar
kamu jangan menyembah melainkan Allah dan hendaklah kamu berbuat baik dengan
mereka. Jika salah seorang dari mereka atau kedua-dua mereka telah mencapai umur tua,
maka janganlah berkata kasar kepada mereka, akan tetapi ucapkan kepada mereka dengan
ucapan yang baik dan lembut."

Vous aimerez peut-être aussi