Vous êtes sur la page 1sur 2

Cari

Ajal gadis tulang reput


Oleh Rosliza Mohamed

2010/08/11

PASIR MAS: Seorang gadis yang menghidap penyakit tulang reput terbunuh selepas dihempap kereta dinaikinya
bertembung dua kenderaan lain dalam kemalangan di Kampung Padang Licin, Rantau Panjang, petang
kelmarin.

REMUK...anggota polis memeriksa kereta dinaiki Siti Nor Izzah.


Kejadian jam 4 petang itu berlaku ketika mangsa, Siti Nor Izzah Shahdan, 21, bersama adiknya, Amar Zahid, 18,
dalam perjalanan membeli-belah di pekan Rantau Panjang selepas menziarahi datuk mereka yang menghidap
barah tulang di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) di Kota Bharu.

Ketika dalam perjalanan ke pekan terbabit, Perodua Kelisa dinaiki mangsa bersama dua lagi rakan terbabas
sebelum bertembung dengan dua kenderaan masing-masing Proton Saga dan Hyundai Atoz, menyebabkan
mangsa tercampak keluar menerusi tingkap kenderaannya.

Kemalangan itu mengakibatkan Siti Nor Izzah cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian selepas
dihempap kereta dipandu adiknya yang juga penuntut Kolej Teknologi Darulnaim, Pengkalan Chepa.

Ibu mangsa, Asmah Omar, 47, yang juga seorang guru di Perlis berkata, dia mengetahui kejadian menimpa
anaknya selepas dihubungi guru lain yang kebetulan berada di tempat kejadian kira-kira jam 4 petang.

Katanya, ketika kejadian anaknya dalam perjalanan ke Rantau Panjang membeli barang selepas beberapa hari
berada di Kota Bharu kerana membawa datuknya menjalani pembedahan di HRPZ II.

“Sebelum keluar ke pekan Rantau Panjang, arwah meminta wang daripada saya membeli barang, tapi saya tidak
memberikannya kerana bimbang mereka berbelanja lebih.

“Saya tak bimbang kerana sebelum ini adiknya biasa memandu kereta dan saya difahamkan suami, dia sentiasa
memandu secara berhemah,” katanya yang bercuti beberapa hari di negeri ini bagi menemani ayahnya yang
sakit di Kota Bharu.
Katanya, meskipun sukar menerima Siti Nor Izzah maut dalam kemalangan itu, mereka sekeluarga reda
pemergiannya.

Asmah berkata, dia bersama ahli keluarga ke Hospital Pasir Mas (HPM) sebelum membawa pulang jenazah ke
kampungnya di Perlis untuk urusan pengebumian.

Katanya, sebelum ini dia sentiasa ke Kota Bharu kerana membawa Allahyarham menerima rawatan susulan
daripada doktor pakar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, turut berada dalam kenderaan
dinaiki mangsa ialah dua rakan adiknya, Abd Rahman Mohd Nor, 21, dan Mohd Taufik Montasir, 18.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian kereta dipandu adik mangsa dipercayai cuba memotong kereta lain
sebelum terbabas merempuh Proton Saga yang datang dari arah bertentangan dan bertembung dengan
Hyundai Atoz dipandu seorang wanita.

“Akibat pertembungan itu, mangsa dipercayai tercampak keluar sebelum dihempap keretanya sendiri yang
dikatakan terbalik.

“Mangsa yang menghidap tulang reput sejak kecil dan berjalan menggunakan tongkat disahkan meninggal dunia
di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya.

Haliludin berkata, adik mangsa dan dua rakannya yang cedera ringan dikejarkan ke HPM untuk mendapatkan
rawatan.

“Mayat mangsa dihantar ke HPM untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya yang tinggal di
Perlis untuk urusan pengebumian,” katanya.

Katanya, polis juga mengambil keterangan daripada dua lagi pemandu kenderaan terbabit.

Vous aimerez peut-être aussi