Vous êtes sur la page 1sur 4

ADAB-ADAB MENUNTUT ILMU

    1. IKHLAS NIAT – Kewajipan ke atas setiap muslim di dalam memastikan niat ketika
menuntut ilmu ikhlas kerana Allah dan bukannya untuk mencari habuan dunia yang
sementara kerana Rasulullah S.A.W pernah  memberi  amaran yang mana Allah akan
menyediakan tempat di dalam neraka bagi mereka yang menuntut ilmu untuk kesenangan
dunia semata-mata tanpa memikirkan maslahat Islam dan ummatnya. Memang agak
susah untuk ikhlas di dalam belajar tetapi kita mesti terus berusaha ke arahnya. Kita yang
berada dalam sistem sekular yang mementingkan material menyebabkan kita terlupa
bahawa  ilmu yang dipelajari bukan untuk mendapatkan tempat dan kedudukan serta
kerja tetapi adalah untuk menjauhkan kita daripada kejahilan yang mana dengan ini
mampu menjadi perisai diri di dalam melawan arus kesesatan dan seterusnya membawa
perubahan kepada keislaman. Jadikanlah diri kita sebagaimana padi yang mana semakin
semakin berisi semakin tunduk ke bumi kerana rendah diri. Jangan jadi sebagaimana
lalang yang tinggi semakin mendongak ke langit kerana sombong. Ingatlah bahawa orang
yang benar ikhlas dalam menuntut ilmu sahaja yang mampu memiliki sifat terpuji
termasuk merendah diri. Maksud firman Allah dalam ayat 235 surah al-Baqarah
:.........Dan ketahuilah bahawa Allah mengetahui apa yang tersemat dalam hatimu maka
takutlah kepadaNya dan ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha
Penyayang. Ingatlah bahawa setiap orang akan binasa melainkan orang yang berilmu,
setiap orang yang berilmu akan binasa melainkan orang yang beramal dan setiap orang
yang beramal akan binasa melainkan orang yang benar-benar ikhlas.   

    2. TEKUN BERUSAHA DAN TAWAKKAL -  Sentiasa bersungguh-sungguh dalam


pembelajaran tanpa menurut keadaan dan  masa dengan menghindari perasaan malas dan
mudah jemu dengan buku pengajian. Ini dapat  diatasi dengan membaca nota atau buku-
buku yang kecil dan ringan atau mendengar kaset ceramah agama  yang berbahasa
Melayu dan sebaiknya berbahasa Arab.Perkara ini mampu melembut hati kita kerana
sesiapa yang menjauhi nasihat ataupun tazkirah diri ditakuti Allah akan mengeraskan
hatinya sebagaimana firman Allah dalam ayat 5 surah as-Sof yang bermaksud : Dan
ingatlah ketika mana nabi Musa berkata kepada kaumnya :"Wahai kaumku! Mengapa
kamu menyakitiku sedangkan kamu mengetahui bahawa aku ini adalah utusan Allah
kepadamu?". Maka tatkala mereka buat endah tak endah sahaja lalu Allah memalingkan
hati mereka dan Allah tidak memberi petunjuk kerpada kaum yang fasik. Ayat ini
walaupun menceritakan umat nabi Musa tetapi peringatannya terus kekal hingga sekarang
untuk kita sama-sama ambil iktibar dan pengajaran daripadanya.   Kita juga hendaklah
mewujudkan suasana sekeliling terutama di rumah dengan budaya ilmu bukannya budaya
yang dipenuhi dengan cara mewah dan kesenangan serta hiburan yang boleh
menghilangkan perasaan semangat untuk menambah ilmu dan pengetahuan.Kita
hendaklah mencontohi ulama'-ulama' silam yang mana mereka belajar dalam keadaan
susah tetapi tekun yang mana mereka sentiasa berada dalam suasana belajar bukannya
mewah dan penuh kesenangan yang menyebabkan hilangnya perasaan bersungguh untuk
belajar.Disamping itu kita mestilah bertawakkal kepada Allah agar kejayaan diimpikan
akan menjadi milik kita.Tawakkal yang dilakukan mestilah mencukupi syaratnya iaitu
berusaha, tekun, yakin, tidak mudah putus asa dan menyerah natijah ataupun keputusan
kepada Allah sepenuh hati.

    3.  MENJAUHI MAKSIAT – Kita mestilah menghidupkan budaya amar ma’ruf dan
nahi munkar dalam diri dan suasana sekeliling mengikut kemampuan yang ada.
Sesungguhnya ilmu itu adalah nur yang suci yang mana ia tidak dapat kita perolehi jika
diri kita sentiasa disaluti dengan najis-najis dosa. Cubalah sedaya yang   mungkin di
dalam menghindari kehendak nafsu kita dengan menutup segala jalan menuju ke
arahnya.Jangan sekali-kali kita membuka jalan kepada maksiat untuk bertapak di hati
kita. Jangan terlalu mengambil mudah dan endah tak endah sahaja terhadap perkara
maksiat ini yang mana ia boleh menjerumuskan kita kepada maksiat yang lebih besar
lagi. Di zaman sekarang ramai orang memandang maksiat yang kecil seperti maksiat
mata, mulut, telinga, tangan(internet ataupun tulisan) serta pergaulan antara lelaki dan
perempuan yang halal berkahwin hanya suatu perkara yang biasa dan dirasakan ia
bukannnya maksiat dan mereka hanya menganggap hanya dosa besar seperti berzina,
mencuri, memukul orang dan lain-lain lagi sahaja sebagai maksiat. Dosa yang kecil jika
dibuat berterusan akan menjadi dosa besar. 

    4. MEMILIH TEMAN YANG SOLEH - Pilihlah teman yang mampu membawa kita
ke arah kebaikan dan cubalah hidupkan budaya nasihat menasihati antara satu sama lain
di dalam rumah kita sendiri samada berbentuk rasmi seperti diskusi kitab atau melalui
perbincangan yang tidak rasmi setiap hari.Loqman Al-Hakim pernah berpesan kepada
anaknya supaya sentiasa bersama orang alim dan soleh serta menghadiri majlis ilmu
kerana apabila Allah menurunkan keberkatan kita turut sama memperolehinya.
Disamping itu apabila kita sentiasa bersama orang soleh akan menasihati kita ke arah
kebaikan serta menegur kita apabila berlakunya kesilapan dan kesalahan. Ini kan
mematangkan lagi diri kita disamping menambahkan lagi semangat kita dalam belajar.
Ini bukan bermakna kita diminta menjauhi mereka yang tidak soleh sebaliknya kita
diminta berdakwah kepada mereka setakat kemampuan yang ada dan jangan pula kita
yang terpengaruh dengan cara hidup mereka. Ingatlah firman Allah dalam surah Al-
Zukhruf ayat 67 yang bermaksud :Teman-teman yang rapat pada hari itu sebahagiannya
menjadi musuh kepada sebahagian yang lain kecuali mereka yang bertaqwa. Rasulullah
S.A.W pernah berpesan kepada kita melalui hadis yang diriwayatkan oleh imam Tarmizi
dan Abu Daud : Seseorang itu mengikut agama sahabat temannya. Maka hendaklah
seseorang itu memerhati siapakah yang dijadikan teman. 

    5.  BANYAKKAN ZIKRULLAH – Pastikan kita sentiasa solat lima waktu secara
berjemaah dan mengamalkan wirid serta doa selepas solat walaupun ringkas kerana
ulama’ sufi begitu menitik beratkan perkara wirid ini  kerana ia boleh menghidupkan hati
yang mati dan ia juga boleh mendatangkan perasaan ingin memusabahkan diri dengan
amalan seharian. Tanpa wirid yang ma’thur selepas solat boleh menyebabkan perasaan 
zikrullah agak berkurangan dan ia boleh mendatangkan perasaan memudahkan segala
kewajipan yang telah diperintahkan oleh Rabbul ‘Izzati. Jangan ajar diri kita melengah-
lengahkan solat lima waktu kerana ia akhirnya mampu membawa diri kita ke arah
mengabaikan solat. Bacalah Al-Quran sekurang-kurangnya sehelai  setiap hari kerana ia
merupakan ibu segala ubat. Hidupkan amalan-amalan sunat dalam setiap gerak kerja  kita
seharian kerana hidup yang sentiasa dihiasi dengannya akan sentiasa diberkati dan
diredhai oleh Allah dan makhluk-Nya.

    6. MENJAGA KEHORMATAN- Kita wajib menjaga kehormatan diri sendiri dan juga
orang lain. Tutup segala ke'aiban diri dan orang lain kerana ia membawa kepada
keredhaan Allah dan manusia lain kepada diri kita.Hanya orang yang mana kehidupannya
dicucuri dengan keredhaan dan rahmat Allah sahaja yang  mampu merasakan kebahagian
di dalam kehidupan seharian. Manakala mereka yang jauh daripada  rahmat Allah, hidup
mereka dipenuhi dengan perkara yang kurang baik dan derita. Jangan sekali-kali
menyakiti hati orang lain kerana doa orang yang dizalimi adalah lebih bahaya daripada
panah malam.Firman Allah dalam ayat 12 surah Al-Hujurat yang bermaksud : Wahai
orang-orang yang beriman! jauhilah kebanyakan perasaan prasangka, sesungguhnya
sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari kesalahan
orang lain dan janganlah pula sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain.
Adakah salah seorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?.
Maka sudah tentu kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah,
sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.     

    7.  DOA DAN KEREDHAAN IBUBAPA- Kita hendaklah sentiasa menjaga perasaan
kedua ibubapa kita dan menghormati mereka dalam perkara yang tidak menyalahi syariat
Islam. Sentiasa berhubung dengan mereka dan mengambil berat tentang keadaan
keduanya serta mendoakan kebahagian mereka di dunia dan akhirat. Kita juga hendaklah
sentiasa meminta agar mereka meredhai kita dan mendoakan kejayaan kita. Ingatlah
bahawa keredhaan Allah bergantung kepada keredhaan ibubapa terhadap kita. Firman
Allah dalam ayat 23 hingga 24 surah al-Isra' yang bermaksud : Dan Tuhanmu telah
memerintahkan supaya kamu tidak menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat
baik kepada kedua ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang daripada
keduanya ataupun kedua-duanya telah lanjut usia mereka dalam jagaan kamu, maka
jangan sekali-kali kamu mengherdik kepada keduanya dengan perkataan "uf" dan
janganlah kamu menghertak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang baik.
Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan
ucaplah : " Wahai Tuhanku! kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua
telah mendidikku semasa kecil".

    8. MENGHORMATI GURU- Kita juga wajib menghormati guru dan mematuhi segala
arahannya selagi mana tidak menyalahi kehendak Islam. Kita mesti patuh kepadanya
walaupun fikrah atau pendapat kita berbeza. Kita pernah mendengar bagaimana imam
As-Syafi'e walaupun berijtihad bahawa qunut di dalam solat Subuh sunat ab'adh(kena
sujud sahwi jika tidak melakukannya) tetapi dia tidak melakukannya apabila mendirikan
solat itu berhampiran maqam gurunya imam Malik kerana menghormati gurunya.
Bagaimana dengan kita? Sesungguhnya ulama' silam begitu menitik beratkan masalah
keberkatan ilmu, sedangkan kita hari ini tidak lagi mengendahkan perkara ini. Ini
menyebabkan timbulnya pelbagai masalah terutama keruntuhan akhlak di kalangan
remaja.Guru janganlah dianggap sebagai guru di sekolah, universiti atau di tempat
pengajian sahaja tetapi kita mestilah menganggap bahawa dia pengajar dan secara
langsung sebagai pendidik yang mesti dihormati walaupun di mana berada.Cubalah kita
fikir dan renungi bersama tentang dua keadaan berbeza antara pelajar dulu dan sekarang
mengenai pandangan dan penghormatan mereka terhadap guru. Tanpa ada keserasian dan
kasih sayang yang wujud antara guru dan pelajar tidak memungkinkan berlakunya
ketenteraman dalam kehidupan seharian.Oleh itu marilah kita sama-sama membina
kembali keutuhan dan mahabbah antara guru dan pelajar agar ia mampu menyinarkan
kembali suasana harmoni serta menghindari perkara negatif dalam kehidupan. 

    9. BERAMAL DENGAN SEGALA ILMU YANG DIPEROLEHI - Kita


mengamalkan segala ilmu yang dipelajari setakat mana yang termampu oleh kita. Ulama'
silam sentiasa mengingatkan kita bahawa orang yang berilmu dan tidak beramal dengan
ilmunya akan dihumban ke dalam api neraka lebih dahulu daripada penyembah berhala.
Jadikanlah ilmu yang dipelajari sebagai benteng daripada terjerumus ke kancah maksiat
dan jadikanlah juga ia sebagai senjata di dalam mematahkan serangan musuh Islam serta
jadikankanlah ia sebagai ubat yang mujarab di dalam menyembuhkan penyakit jahil dan
batil di dalam masyarakat. Jangan jadikan ia sebagai barangan jualan untuk mengejar
kekayaan dunia yang sementara. Berapa ramaikah yang telah dihinakan oleh Allah kerana
melacurkan  ilmu semata-mata untuk mengaut kemewahan dunia.Inilah merupakan antara
sebab atau punca yang menyebabkan umat Islam terus mundur.Berapa ramaikah mereka
yang belajar tentang al-Quran dan Hadis tetapi mereka dilaknat oleh keduanya kerana
tidak merealisasikan segala apa yang dipelajari.Oleh itu kita mestilah beringat dan
berhati-hati mengenai perkara ini demi kebahagian kita di dunia yang sementara dan
akhirat yang kekal selamanya. Begitu mudah untuk memberi nasihat dan tazkirah tetapi
begitu sukar untuk mengota dan merealisasikannya dalam kehidupan. Tanpa usaha yang
bersungguh- sungguh, kita tidak mampu melaksanakannya.Samalah kita sama-sama
menghayati firman Allah dalam ayat 2 hingga 3 surah as-Sof yang bermaksud :Wahai
orang-orang yang beriman! mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak kotakan?
Amat besar kebencian Allah di sisi Allah bahawa  kamu mengatakan apa yang tidak
kamu kotakan.   

Vous aimerez peut-être aussi