Vous êtes sur la page 1sur 1

Aspirin

Asprin digunakan untuk meredakan sakit, mengurangkan demam dan radang di bahagian sendi. Ia
juga boleh meredakan penyakit artritis dan melambatkan pembekuan darah. Untuk merawat
kesakitan, aspirin digunakan pada dos sehingga 1gm setiap empat jam. Dos oral maksimum yang
dibenarkan dalam sehari ialah lingkungan 4 gm. Dalam badan, aspirin akan ditukarkan di bahagian
hati menjadi salisilat. Bentuk salisilat yang terhasil ini merupakan ubat yang terdapat dalam sediaan
minyak gosok untuk kegunaan luar seperti linimen metil salisilat.

Penggunaan aspirin di kalangan kanak-kanak tidak digalakkan. Ini kerana aspirin didapati
mengakibatkan kesan sampingan yang dikenali sebagai penyakit Reye, suatu keadaan yang
membawa kepada kerosakan hati, otak dan akhirnya maut. Selain daripada itu, aspirin juga
merengsakan perut malah berupaya melukakannya dan menyebabkan perdarahan. Seterusnya ulser
boleh berlaku di bahagian perut dan sistem penghadaman. Rasa mual, perut sebu dan muntah sering
berlaku sebagai kesan sampingan pada orang dewasa. Sekiranya ini berlaku, hentikan serta-merta
penggunaan aspirin dan dapatkan nasihat perubatan.

Memakan aspirin melebihi dos yang disyorkan (biasanya 20-25 gm) telah dilaporkan boleh
menyebabkan kematian. Kesan keracunan yang berlaku pada peringkat awal ialah rasa mual, muntah
dan sakit perut. Ini kemudiannya diikuti dengan kesan keracunan lebih hebat melalui sakit telinga dan
pendengaran terganggu, berpeluh, suhu badan meningkat, pernafasan yang cepat dan kehausan.
Peringkat akhir keracunan ialah mangsa tidak sedarkan diri dan pernafasan terhenti. Dalam kes
keracunan salisilat, tiada penawar khusus yang boleh digunakan dan rawatan keracunan hanya
berdasarkan kepada masalah kesihatan semasa yang timbul dalam kes keracunan.

Vous aimerez peut-être aussi