Vous êtes sur la page 1sur 44

7 Habits, Paradigma dan Sikap: Isu Agamakah Semua Itu?

KENYATAAN: Artikel ini adalah sebahagian siri artikel saya berkaitan modul The 7 Habit of Highly Effective People milik Franklin Covey yang cuba saya olah berdasarkan perspektif dan nilai Islam. Tujuannya adalah untuk menggalakkan masyarakat mengambil manfaat daripada buku-buku Self Help yang ada di pasaran untuk memperkemaskan persembahan Islam agar keberkesanannya berada di tahap semasa dan optimum. Ikuti lanjutan artikel ini melalui artikelartikel di bawah kategori Revolusi Sikap, atau terus ke Pendahuluan, Habit 1, Habit 2, Habit 3, Habit 4, Habit 5, Habit 6 dan Habit 7 ABU SAIF Seperti mana yang diperkatakan oleh Covey di dalam kitabnya, err!, saya tergamam sekejap. Kitab? Sejak bila pula 7 Habits of Highly Effective People menjadi kitab . Bismillah sepatah habuk pun tak ada. Seperti mana yang diperkatakan oleh Covey di dalam bukunya, aaa! , baru saya lega menyebut. Peserta pun ramai yang ketawa. Walhal kitab dan buku, kedua-duanya sama sahaja. Cuma persepsi kita sahaja yang berbeza. Ya, seperti menyebut sekolah dan madrasah walhal di Jordan sekolah paling sekular dan liberal pun namanya madrasah. Malah sama juga seperti babi dan khinzir. Sebut khinzir terasa seperti lebih sopan berbanding babi. Macam mencarut di dalam masjid pula, apabila menyebut babi di dalam kuliah maghrib! Tetapi soal persepsi terhadap buku Covey dan tema PUISI kali ini, lebih mendalam dari sekadar isu kitab atau buku. Buat pertama kalinya, PUISI jauh dari kitab turath (kitab warisan keilmuan Islam) sama ada kuning, mahu pun putih warna lembarannya. PUISI kali ini jauh benar jika mahu dibandingkan dengan Deen Intensive Dublin. Malah persepsi terhadap kuliah saya jauh lebih mendalam dari isu buku Covey, kerana persoalannya di sini ialah APAKAH ISU SIKAP, ISU AGAMA? Ada atau tidak al-Quran bercakap tentang masalah sikap? Atau ia hanya perbualan kosong seorang jurulatih motivasi? Berniaga air liur kata sesetengahnya! Jika Covey memperkatakan tentang paradigma sebagai topik pertama sebelum mengubah tabiat kehidupan, apakah al-Quran ada menyebutnya? Soalan ini rumit. Maklum sahaja, jika yang diperkatakan ini tiada asal usul agama, ramai yang gusar untuk mendengarnya. Apabila ternyata al-Quran ada menyebutnya, ia dikomen pula sebagai alaa, benda ni dalam Islam pun ada. Covey pinjam dari Islam. Nak hairan apa? Jika benar ia ada di dalam al-Quran, kenapa harus menunggu peminjaman Covey baru mahu terlihat akan wujudnya ia di dalam al-Quran?

Soalan-soalan di atas, saya perlu mencari jawapannya untuk diri saya sendiri sebelum ia dijawab untuk orang lain. Saya perlu kepada alasan untuk meletakkan isu sikap sebagai isu agama, agar saya dapat meyakinkan pelbagai pihak untuk memberi laluan kepada saya berceramah tentang sikap. Sama ada dalam konteks pelajar darjah 5 dan 6, sekolah menengah dan kolej persediaan, universiti dan graduannya, malah di dalam program-program gerakan Islam, saya perlukan kepada alasan yang kukuh, bahawa isu sikap ini adalah MUQADDIMAH AGAMA dan PERJUANGAN. AL-QURAN MEMBETULKAN PARADIGMA Ketika membaca surah al-Ahzab (33) ayat 21, saya termenung.

Sesungguhnya bagi kamu, pada diri Rasulullah s.a.w itu ada suri teladan yang baik (uswah hasanah) Jelas sungguh keterangan ayat ini. Rasulullah s.a.w adalah contoh terbaik. Tetapi jika ayat ini begitu jelas, mengapa ramai yang salah faham terhadap Rasulullah s.a.w? Ada salah faham yang didiamkan, banyak pula sekarang ni yang disuarakan. Lihat sahaja kepada peristiwa yang diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Daud, ketika baginda s.a.w bertanya kepada Aisyah r.ah, apakah ada makanan untuk dimakan? . Aisyah menjawab, tiada . Maka baginda s.a.w bersabda, jika begitu, maka hari ini aku berpuasa . Ya, jika Rasulullah s.a.w. itu suri teladan yang baik, teladan apakah yang boleh diambil dari sebuah rumah tangga yang seorang suami tidak dapat menyediakan makanan untuk dimasak oleh si isteri? Apakah rumah tangga ini yang layak menjadi contoh rumah tangga terbaik? Dalam konteks definisi rumahku syurgaku hari ini, saya yakin ramai yang gelisah untuk mengambil contoh dari rumah tangga yang dapurnya tidak berasap ini. Gelisah Kegelisahan ini tambah sulit apabila ilmu sains politik hari ini mendesak agar kuasa menggubal undang-undang, kuasa melaksanakan undang-undang dan kuasa kehakiman, ketiga-tiga bidang kuasa ini mesti berasingan dan tidak boleh ada di tangan satu pihak atau individu. Jika tidak, pemerintahan semacam itu adalah pemerintahan diktator. Ya, jika definisi ini diterima sebagai definisi sebuah pemerintahan yang adil, maka adilkah pemerintahan Rasulullah s.a.w? Bagindalah yang membuat undang-undang, baginda jugalah yang melaksanakannya dan jika ada kesalahan dan perlanggaran akta, maka baginda jugalah hakim yang memutuskan hukuman, maka tidakkah ini contoh sebuah pemerintahan yang diktator? Bahaya, bahaya

Isu ini bukan saya reka untuk mengundang gelisah kita semua, tetapi sekurang-kurangnya kumpulan The Young Ottoman, anak-anak muda yang dibiayai pengajian mereka oleh kerajaan Othmaniyyah pada kurun yang ke 19, sudah pun merasa gelisah dengan hal ini. Mereka balik sebagai saintis yang mempunyai idea sains, dan idea terhadap survival negara hasil Revolusi Perancis (1789 1799). Pada mereka Sultan Osmanli adalah diktator kerana mewarisi corak pemerintahan kuasa berpusat, yang diamalkan sebagai warisan pemerintahan Rasulullah s.a.w. Ya, adakah contoh pemerintahan seperti ini, layak menjadi uswah hasanah bagi kita hari ini? Jika mahu diselongkar keraguan masyarakat terhadap SUNNAH, jumlahnya berderet-deret. Malah banyak pula yang mengejutkan kita. Seperti seruan Sisters in Islam kepada keperluan mentafsirkan semula al-Quran, dengan alasan mufassir klasik Islam semuanya lelaki belaka, sebab itu bias terhadap wanita! Aduh, hampir terkena serangan jantung saya dibuatnya. Semasa saya membaca Tafsir Ibn Katheer dan alThabari atau al-Qurthubi, tidak pernah terlintas di fikiran saya selama ini apakah jantina ahli tafsir itu. Apa yang dilihat adalah hujah, bukannya jantina. Tetapi hari ini ia jadi isu. Jika isu ini tidak diselesaikan, susahlah agama mahu disebarkan kepada orang ramai. Bawakanlah sederet nas-nas yang sahih, semuanya disalah ertikan. Mengapa? Paradigma cara berfikir, cara melihat sesuatu. Maka keluarlah pepatah yang sering saya ulang, what you see is what you get. Who you are determines how you see. Apa yang kamu lihat, itu yang kamu dapat. Siapa kamu, menentukan bagaimana kamu melihat! Di sinilah saya mahu berkongsi contoh, bagaimana al-Quran mengemukakan set pemikiran yang betul supaya Rasulullah s.a.w itu dinilai dari pandangan dan pemikiran yang betul. Firman Allah SWT:

Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu ada suri teladan yang baik. Iaitulah bagi orang yang (1) meletakkan harap (matlamat) hidupnya hanya kepada Allah, (2) meletakkan harap (ganjaran kerjanya) pada Akhirat, dan (3) secara konsisten berkekalan mengingati Allah sebanyakbanyaknya [Al-Ahzab 33: 21]

Benar, tidak semua orang boleh menghargai Rasulullah s.a.w sebagai teladan yang baik. Perlu ada muqaddimah pada paradigma pemikirannya sebelum kehebatan dan kebaikan junjungan mulia s.a.w. dapat dihargai. Seorang yang boleh menghargai Rasulullah s.a.w. dalam kehidupan ini, perlulah berfikir dengan 3 asas pemikiran iaitu: 1. Hidupnya bermatlamatkan Allah. Tujuannya Allah. Hidup untuk melaksanakan TUJUAN, akan bertolak ansur terhadap KEPERLUAN. Ukuran kejayaan rumah tangga di zaman Nabi s.a.w. bukanlah pada keupayaan suami memenuhkan peti ais dan memastikan 3 pinggan lauk terhidang setiap kali makan. Soal makan apa, tidak menjadi persoalan di zaman itu. Malah najis umat Islam di era itu tidak jauh beza dengan najis unta kerana makanan mereka tidak banyak berbeza! Sebab itulah, uswah hasanah rumah tangga Nabi s.a.w. tidak ada kena mengena dengan menu hidangan. Uswah hasanahnya adalah pada keelokan pergaulan dan layanan baginda s.a.w. kepada ahli keluarganya, adab dan sopan yang diamalkan dan senarainya panjang pada panduan Bait Muslim berasaskan SUNNAH. 2. Ganjaran amal adalah pada ganjaran Akhirat. Fitrah manusia apabila bekerja, dia mengharapkan hasil dan ganjaran. Maka seorang yang boleh mengambil Rasulullah s.a.w. sebagai suri teladan yang baik, mengutamakan ganjaran Akhirat berbanding dunia. Tanpa Akhirat, kita lemah semangat untuk terus berbuat kebaikan tanpa mendapat sokongan, galakan dan pujian warga dunia. Walhal kita lupa, Allah SWT yang Maha Baik itu pun jarang disyukuri dan dihargai. Siapa sangatlah kita untuk kebaikan yang dilakukan mendapat pujian? Namun, sekecil-kecil kebaikan pun, akan diperlihatkan dan diberikan balasan kebaikan, pada sebuah kehidupan bernama Akhirat. Jika ini menjadi pertimbangan kita, maka barulah kita boleh menghargai saranan Nabi s.a.w. agar mengalihkan kayu dari menyakiti pejalan kaki di jalanan, senyum dan salam kepada insan yang ditemui, dan pelbagai benda remeh temeh dan kecil halus itu. Ia besar, bagi sebuah penilaian Akhirat. 3. Berkekalan dan banyak mengingati Allah. Seorang itu harus sentiasa hidup dalam keadaan sedar dirinya berTuhankan Allah. Dia melakukan setiap satu perkara, seolah-olah dia melihat Allah. Seumpama seorang yang menjawab soalan peperiksaan ketika mana guru subjek tersebut berdiri berpeluk tubuh di depan mejanya memerhatikan jawapan yang ditulis! Tentu kepala kuat memerah mencari jawapan terbaik. Tentu segera timbul rasa menyesal kerana tidak menbaca betul-betul. Tentu masa itu juga sudah siap terasa malu sebelum keputusan peperiksaan diumumkan. Atau sekurangkurangnya merasa diri dilihat Allah. Inilah yang dimaksudkan sebagai the consciousness of the Creator, yang terhasil sebagai hikmah galakan basmalah pada setiap awal amal. Jika watak-watak ini ada bagi seorang insan, nyata dan teranglah pada dirinya kehebatan dan keunggulan Sirah Rasulullah s.a.w. sebagai uswah hasanah, kerana pemikiran dan paradigmanya sama. MELIHAT KEHIDUPAN DARI PANDANGAN PENCIPTA KEHIDUPAN!

Dan al-Quran serta al-Sunnah banyak melakukan hal ini iaitu membetulkan cara berfikir sebagai muqaddimah Syariah. Izinkan saya untuk menumpukan tulisan dan ceramah pada aspek ini, agar kehebatan Islam dan keagungan teks al-Quran dan al-Sunnah tidak disia-siakan oleh cara berfikir yang salah. Atas titik itu, 7 Habits of Highly Effective Muslim saya mulakan dengan tajuk PARADIGMA dan PRINSIP KEHIDUPAN.

Ulasan Tabiat 1: Pro Aktif Mulakan Dengan yang di Depan Cermin


Macam mana saya nak baik, kalau suami saya jenis manusia macam tu? , keluh seorang isteri. Saya faham Insya Allah, tentang apa yang ustaz cakap. Tapi isteri saya yang masalahnya. Ustaz tak ada buat kursus untuk isteri-isteri?, kata seorang suami. Apa yang ustaz cakap tu betul. Tapi kami orang bawah nak buat macam mana? Teori graviti bukankah atas ke bawah? Orang atas yang kena dengar benda-benda ni , keluh kerani-kerani dari sebuah bank. Saya rasa puas hati betul dengan huraian ustaz. Kami di bahagian pengurusan faham Insya Allah. Alangkah baiknya kalau orang bawah faham benda-benda ini. Sebab mereka yang nak buat kerja-kerja itu nanti , kata bos-bos yang berkursus. Itulah nada-nada biasa yang saya dengar setiap kali mengendalikan kursus. Semua orang meletakkan syarat perubahan pada orang lain. Pada seseorang dan sesuatu yang dia tidak boleh ubah. Walaupun suami ke atas isteri, bos ke atas pekerja, kita hanya mampu menarik kuda ke sungai, tetapi minum atau tidak, tiada siapa yang boleh memaksanya. Tetapi, itulah yang kita suka harapkan. Harapkan orang berubah supaya kita berubah. Susahlah begini. Ini falsafah bangau. Sentiasa menyalahkan pihak lain. BANGAU OH BANGAU Bangau oh bangau, kenapa engkau kurus? Macam mana aku tak kurus, ikan tak mahu timbul. Ikan oh ikan kenapa tak mahu timbul? Macam mana aku nak timbul, rumput panjang sangat. Rumput oh rumput, kenapa panjang sangat?

Macam mana aku tak panjang, kerbau tak makan aku. Kerbau oh kerbau, kenapa tak makan rumput? Macam mana aku nak makan, perut aku sakit. Perut oh perut, kenapa engkau sakit? Macam mana aku tak sakit, makan nasi mentah. Nasi oh nasi, mengapa engkau mentah? Macam mana aku tak mentah, kayu api basah. Kayu oh kayu mengapa engkau basah? Macam mana aku tak basah, hujan melimpah turun. Hujan oh hujan, mengapa engkau turun? Macam mana aku tak turun, katak panggil aku. Katak oh katak kenapa panggil hujan? Macam mana aku tak panggil, ular nak makan aku. Ular oh ular, kenapa nak makan katak? Macam mana aku tak makan, MEMANG MAKANAN AKU. Ya, mujurlah ular berhenti menyalahkan orang lain. Jika ular masih mencari alasan, mungkin nama anda pun akan ada dalam lagu ini. Pelbagai isu akan terlibat. Globalisasi, dasar kerajaan, Orientalis, jiran, bapa mertua? Siapa lagi dalam senarai pihak yang ingin kita salahkan? Lihat, apabila ular mula mengambil tanggungjawab terhadap AKU iaitu dirinya sendiri, selesai polemik dan masalah di hutan. Ya, masalah boleh menampakkan penyelesaian apabila anda akan mula bercakap tentang AKU, iaitu diri anda, diri saya, diri masing-masing. ERTI PROAKTIF Inilah namanya PRO AKTIF. Proaktif bermaksud, mengambil kawalan dan tanggungjawab ke atas diri kita sendiri. Kita tidak meletakkan kualiti hidup kita atas sesuatu yang kita tidak boleh kawal. Ana tak boleh buat apa-apa, kalau jalan jem macam ini, memang ana jadi kaki mencarut punya, kata seorang pemandu di Kuala Lumpur. Susahlah begitu. Mungkin dia kena pindah ke Kampung Bongek, baru boleh berhenti mencarut. Kalau cuaca gloomy macam ini, saya memang depressed, kata seorang pelajar di Galway, Ireland.

Emm, dia sudah tersalah memilih tempat belajar. Sepatutnya dia memilih untuk belajar di Thaif, Arab Saudi, atau di Burkina Faso. Barulah cuaca cerah sentiasa. Kenyataan-kenyataan seperti ini, adalah seperti meletakkan remote controller kehidupan kita di pihak lain. Kita gembira atau sedih, kita bahagia atau derita, semua ditentukan oleh orang lain. Cuaca yang akan menentukan mood kita. Ibu bapa yang akan menentukan saya boleh jadi ibu atau bapa yang baik. Bursa Saham sahaja yang boleh menentukan tahap senyum dan bahagia saya. Oh, kehidupan seperti ini adalah kehidupan reaktif. Kita tiada upaya untuk memutuskan tindakan atas pilihan sendiri. Kita hanya mampu memberi reaksi. Hidup begini, adalah hidup yang rumit lagi sulit. Masakan tidak, jika ujian kehidupan menentukan kebahagiaann diri, mampukah kita mencari sebuah kehidupan yang bebas dari ujian? Berhentilah daripada mencari unsur luar, kerana semua itu ada dalam dirimu. Mahu bahagia atau derita, pilih sendiri. Mahu menafsirkan ujian sebagai kaffarah dari Allah, peluang untuk diperbaiki dan memperbaiki, atau mahu menafsirkannya sebagai bala bencana penyebab derita lagi sengsara, atau mahu menafsirkannya dengan gaya si luncai yang AKU TIDAK PEDULISMA, anda pilih sendiri. Mulakanlah perubahan dengan mengubah diri sendiri. Warnakan alam dengan pandangan anda sendiri. MENCARI ATAU MENJADI? Saya sedar saya tidaklah sehebat Fatimah, sebab itu saya perlukan suami yang soleh seperti Ali untuk membimbing saya , kata seorang mahasiswi. Ana memang tidak sebagus Ali, sebab itu ana kena pilih isteri yang sempurna macam Fatimah. Ana tak mampu nak memFatimahkan seorang yang tidak Fatimah!, tegas seorang mahasiswa. Semua sibuk mencari. Mudahkah untuk mendapatnya? Semua sibuk mencari. Jika jumpa, mudahkah untuk mengekalkannya? Kita bertemu dengan pasangan hidup semasa duduk dalam suasana usrah. Alhamdulillah, imejnya berjubah dan bertudung labuh. Tetapi mampukah kita mengekalkan isteri kita para benchmark solehah seperti itu di sepanjang alam rumah tangga? Dia mungkin akan diubah oleh suasana kerja, dia mungkin akan diubah apabila kembali ke pangkuan keluarga, dia mungkin berubah atas banyak pengaruh, atau paling utama, dia mungkin berubah kerana dia memang berubah. Maka mampukah kebahagiaan dan kesempurnaan rumahtangga dipertahankan, jika suami meletakkan kesempurnaan itu ialah pada apa yang isteri buat dan tidak buat, jadi atau tidak jadi?

Kita mahu mencari pasangan hidup yang soleh, dan kita menemuinya di dalam suasana semua lelaki nampak sempurna. Semasa bercinta, dialah Ultraman, dialah Gaban. Tetapi siapa sangka, selepas berumahtangga, Ultraman berubah menjadi raksasa! Jika bahagia dan sempurnanya rumahtangga ialah pada apa yang suami buat atau apa yang isteri buat, kita akan hidup dan mati dalam pencarian. Pencarian yang tidak berkesudahan. Maka jika mahu mendapatkan yang soleh, kurangkan sedikit agenda menCARI si Soleh, tetapi berusahalah menJADI yang solehah. Jika inginkan yang solehah, janganlah cerewet sangat menCARI yang solehah, tetapi berusahalah menJADI yang soleh. Bertemu yang solehah, solehahnya dia belum tentu kekal. Bertemu yang soleh, solehnya boleh berubah kerana si solehah dan si soleh adalah insan biasa. Tetapi jika semua orang fokus kepada JADI dan bukannya CARI, maka ramailah calon, dan mudahlah sedikit kehidupan. Dan kita sendiri tidak bimbang untuk berumahtangga dengan pasangan itu walaupun mungkin tidak 100% (30% pun belum tentu) mengenalinya. Apa yang nak dibimbangkan, kita berkahwin sebagai sebahagian daripada proses untuk MENJADI, bukan MENCARI. PROAKTIF DAN BUTANG PAUSE Orang yang proaktif, tidak mudah melatah. Dia tidak akan bertindak mengikut apa yang merangsangnya. Tidak seperti orang yang reaktif: Marah, disambut dengan kemarahan. Sedih, dirundung kesedihan. Geram, diselubung kegeraman. Hidup seperti ini susah lagi menyusahkan. Ingatlah kita kepada cerita Stephen Covey tentang anak dan isterinya? Ketika Covey sampai di pintu rumah, dia diterpa anak kecilnya sambil berkata, daddy, I am a hardworking man Sandra, isterinya berkata, tadi semasa saya baru balik kerja, anak kita ini sedang menaburkan bekas-bekas makanan kotor di atas lantai. Kemudian disimbahnya dengan air Oh, itu pengalaman kita semua. Balik kerja, penat-penat, sakit-sakit, tiba-tiba anak buat hal. Apa reaksi anda? Bagaimana reaksi Sandra? Saya tahan sabar. Saya tanya anak kita kenapa dia buat begitu? , kata Sandra.

Apa katanya? , tanya Stephen. Saya nak tolong emak! , jawab si anak. Ya, si anak menyepahkan pinggan mangkuk dengan niat mahu MEMBANTU EMAK. Bayangkan jika Sadra menampar si anak tadi, apakah pelajaran yang anaknya perolehi? Hatinya akan berkata, kalau nak tolong emak, nanti kena tampar! Jangan terkejut jika anak kita akhirnya membesar berat tulang, berat punggung. Kita yang mengajarnya dulu. Jika mahu menolong emak, habuannya penampar! Apa kata Sandra? Oh begitu, kenapa tak basuh di sinki? , tanya Sandra kepada anaknya. Tak sampai , kata si anak kecil. Baiklah, lepas ini kalau kamu nak tolong emak, beritahu dahulu, ok? Emak akan ambilkan bangku dan kamu basuh di sinki, boleh? , pujuk Sandra. Boleh , jawab di anak. Bagus, you are a hardworking man , puji si ibu yang proaktif. Stephen Covey membuat kesimpulan, dalam situasi seperti itu, prioritinya bukanlah lantai dapur yang bersih, tetapi anak yang ,mendapat pelajaran yang betul. Bagaimana Sandra boleh menyabarkan diri untuk menjadi proaktif, tidak melatah dan bertindak melulu mengikut rangsangan? Sandra mengamalkan apa yang kita orang Islam namakan sebagai SABAR! Sabar itu adalah butang PAUSE untuk kita berupaya berhenti sejenak dan berfikir apakah tindakan paling tepat yang kita patut buat. Sabar bukan sentiasa menjadikan diri sebagai mangsa. Sabar adalah upaya untuk bertindak tepat kerana ada penapis yang menapis persekitaran. Tidakkah Nabi SAW sudah mengajar kita tentang hal ini? Bukanlah gagah itu, pada orang yang kuat bergusti. Akan tetapi yang gagah itu adalah orang yang menguasai dirinya ketika marah! Ya, proaktif adalah simbol kegagahan seorang Mukmin semata. Ia bukan topik motivasi, ia sifat Mukmin yang mesti dibaja.

SUMBER SABAR Bagaimana untuk sabar? Dari mana sumber sabar? Dan bersabarlah kamu. Dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan Allah [Al-Nahl 16: 127] Ya, sumber sabar adalah dengan Allah. Hiduplah dalam meletakkan setiap asas perbuatan pada kesedaran diri terhadap Allah, dari situlah terbitnya sabar. Tiada proaktif tanpa Allah. DAIE YANG GAGAH Sabar dari gusti dan gaduh bukan hanya untuk ibu terhadap anak, malah pendakwah! Semua yang berlaku di sekitar kita, semuanya mengundang marah. Siapa tidak marah melihat artis celupar terhadap isteri Nabi? Siapa tidak berang dengan penghinaan orang Islam terhadap agamanya sendiri? Semua yang berlaku di sekeliling kita, memang patut dimarah, memang patut dibalas dengan setimpal-timpal balasan! Tetapi seorang pendakwah yang gagah bukanlah pendakwah yang kuat bergusti. Gusti hujah gusti lidah, gusti tangan gusti pemikiran. Tetapi pendakwah yang gagah adalah pendakwah yang dapat mengawal dirinya ketika marah! Simpan kemarahan itu, dan hamburkan di atas sejadah semasa menangis di depan Tuhan. Ubatkan sakit hati itu dengan meratap di sunyi malam di hadapan Tuhan. Namun, untuk pergi kepada madu, kuatkan diri dan banyakkan interaksi, bukan konfrontasi. Mahu terus bergusti silakan Selamat tinggal pendakwah Islam, selamat maju jaya missionari Nasrani!

Ulasan Tabiat 2: Bermula Langkah Dengan Akhir di Minda


Saya nak supaya rumah yang dibina ini ada tiga bilik. Dapurnya biar di depan ya , kata Jamal. Encik Jamal dah siapkan pelan rumah tersebut? , tanya Lim, wakil syarikat pembinaan yang bakal membina rumah impian Jamal. Eh, awak dah bina begitu banyak rumah, masih perlukan pelan lagikah?, Jamal kehairanan. Encik Lim menggaru kepala. Lebih hairan.

Tidak mungkin sebuah rumah dapat dibina, tanpa terlebih dahulu siap pelannya. Lakarannya harus JELAS, ukurannya mesti TEPAT. Jelas dan tepat, mesti ada pada sebuah pelan membina rumah. Bukan sahaja pada rumah yang hendak dibina, malah anak-anak kita yang bermain jigsaw puzzle pun tahu betapa pentingnya untuk mereka melihat terlebih dahulu, apakah gambar yang bakal kelihatan melalui cantuman kepingan jigsaw puzzle tersebut. Gambar KLCCkah, atau Jambatan Pulau Pinang, atau tiga anak kucing di dalam bakul? Ada gambaran, baru langkah dimulakan. Inilah yang dimaksudkan dengan Begin with the End in Mind. Memulakan langkah dengan gambaran akhir di dalam fikiran. Tabiat kedua yang diajarkan oleh Steven Covey ini sangat bermanfaat untuk kehidupan duniawi kita. Buat sesuatu, biar jelas dan tepat. Sebelum terlibat di dalam satu hubungan, bayangkan kesudahan yang diharapkan. Jika mahu melaksanakan satu projek, apakah gambaran akhir kepada kesudahan projek itu. Maka tabiat melakukan sesuatu berteraskan visi dan misi yang jelas lagi tepat, menjadikan kehidupan seseorang itu terancang. Terarah. Hidup tanpa arah, adalah kehidupan yang tidak tentu arah. Hal ini adalah tabiat kedua yang mesti ada untuk seseorang itu cemerlang dan berkesan dalam hidupnya. Buat sesuatu, biar jelas matlamatnya. CITA-CITA Kamu bercita-cita nak jadi apa bila dewasa nanti? , saya bertanya kepada salah seorang peserta kursus motivasi. Baru tingkatan empat. Saya nak jadi doktor , jawabnya penuh yakin. Bagus. Kenapa nak jadi doktor? , saya cuba menguji adik yang seorang ini. Saya suka menolong orang. Gembira melihat orang gembira , katanya. Apa yang kamu mesti lakukan untuk memastikan kamu boleh menjadi doktor? , saya bertanya lagi. Oh, kena straight As dalam subjek teras Sains. Biologi, Kimia, Fizik, Matematik Tambahan , jawabnya. Lagi? , saya terus bertanya. Ko-kurikulum kena cemerlang. Kepimpinan mesti bagus , sambung pelajar pintar tersebut. Itu sahaja? Ada apa-apa lagi yang tertinggal? , saya menyambung soalan. Itu sahaja rasanya. Kenapa ustaz? , pelajar tersebut mula rasa kurang selesa. Tadi kamu kata kamu suka menolong orang lain. Semua persediaan yang kamu sebutkan tadi, adalah untuk kamu menolong orang lain. Tetapi kamu tidak boleh menolong orang lain sebelum kamu menolong diri kamu sendiri! , saya berkongsi pandangan. Maksud ustaz? , pelajar tersebut semakin bingung. Bagaimana dengan kemahiran memasak? Mengemas rumah? Melipat kain? Melayan kanak-kanak? , saya melontar idea.

Apa kena mengenanya semua itu dengan menjadi seorang doktor? , tanya pelajar tersebut. Satu hari nanti, kamu tentu akan berkeluarga. Berkahwin dan beranak pinak. Kalau kamu hanya cekap menolong orang lain sebagai seorang doktor, tetapi gagal menolong diri sendiri sebagai seorang isteri dan ibu, akhirnya kehidupan kamu akan tunggang langgang. Orang lain Baiti Jannati. Kamu nanti Baiti Naari! Naudhubillah , saya membuat kesimpulan. Betul ke ustaz? , tanya pelajar tersebut. Ya, semasa isteri saya menghadiri temuduga Master untuk menjadi doktor pakar, soalan yang ditanya oleh penemuduga, semuanya tentang rumahtangga. Bila rancang nak ada anak ketiga, suami dah pandai masak atau tidak dan sebagainya , saya tersenyum. Kisah di atas berlaku beberapa kali semasa saya mengendalikan kursus motivasi untuk pelajar sekolah. Mereka mesti dibantu untuk melihat kehidupan seorang doktor secara menyeluruh. Jangan hanya lihat pada kod putih dan stethescopenya sahaja. Hari ini mudah benar anak dara pergi ke universiti dan seterusnya menjadi seorang doktor, jurutera dan lain-lain, dalam keadaan satu apa pun skill rumahtangga tidak diketahuinya. Semuanya diuruskan oleh bibik dan supir. Yang lelaki usah kiralah Para pelajar yang kaya A hari ini, mesti dibantu untuk melihat keseluruhan hidupnya di masa hadapan. Jangan hanya bijak akademik tetapi tidak bersedia menempuh realiti hidup. Untuk menjadi seorang yang berjaya di masa hadapan, bukan hanya akademik yang jadi bekalan. Sikap, kemahiran hidup dan kematangan dalam membuat keputusan harian, adalah sesuatu yang sering hilang prioriti. Oleh itu, gambaran akhir terhadap sesuatu itu mesti diambil kira. BEGIN WITH THE END IN MIND DALAM BERPERSATUAN Tahun ini kita nak buat Tamrin, lima ke atau enam kali? , tanya si A. Saya rasa kita kena buat lima sahaja sebab kebanyakan kita akan menghadapi peperiksaan tahun akhir , jawab si B. Tapi saya rasa, kalau kita buat lima, nanti tak habis pula silibus Tamrin itu. Kita bukannya ada peluang untuk berjumpa lagi selepas peperiksaan , balas si A. Lima pun boleh, sebab kita boleh compress silibus agar muat dengan lima kali Tamrin itu , hujah si B. Tapi kita biasa buat enam , keluh si A. Lima, enam, lima enam, matlamat yang ingin dicapai dari Tamrin itu sendiri belum diputuskan lagi. Inilah kesilapan yang sering berlaku kepada kita semasa merancang program. Kita ada bajet, kita sibukkan diri dengan hal logistik dan teknikal, tetapi kita lupa kepada perkara

yang paling penting. Apa yang mahu dicapai dari program? Atau sekadar mahu ada program? Kalau analisa kita memperlihatkan ahli organisasi agak renggang dan lemah ukhuwwah, maka program yang melibatkan kerja berpasukan, di samping sesi-sesi yang menyentuh emosi mesti diutamakan. Kurangkan ceramah. Kalau semuanya bagus, tetapi tahun ini sasaran kita adalah melahirkan ahli yang mempunyai fikrah yang jelas terhadap 5 isu utama masa kini, maka kita tumpukan kepada sesi diskusi ilmiah dan kurangkanlah aktiviti berkayak, bermain bola tampar dan jaring, dan sebagainya. Maka dalam gerak kerja berpersatuan, Begin with the End in Mind menuntut kita agar memikirkan matlamat sebelum merancang program. Bukannya merancang untuk mengadakan program, kemudian baru difikirkan matlamatnya. Tak ada matlamat, tak payah buang masa berprogram. Dermakan sahaja bajet anda ke Palestin! END OF THE END Tetapi, soal Begin with the End in Mind bukan hanya soal dunia. Akhir yang paling akhir, jangan dilupa. Bagaimana soal hujung hidup di alam dunia? Bagaimana dengan hidup di sana selepas mati di sini? Maka hal ini juga membabitkan soal iman. Sama ada kita rancang atau tidak, sedar atau alpa, peduli atau membodohkan diri, kita tetap menuju akhir yang sama. Kita akan mati. Selepas mati, perjalanan kita akan terus berlangsung hingga ke detik muhasabah di hadapan Allah. Jika kita bayangkan akhir perjalanan itu adalah di Syurga, maka siapakah bakal kita temui di Syurga? Pasti yang pertamanya adalah Penghulu Syurga iaitu Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW. Siapa di sisi Baginda? Tentu sahaja nama sehebat Abu Bakar, Umar, Khadijah, Aishah dan sebagainya. Ya, kita sudah diberi gambaran bahawa Syurga itu tempat orang hebat. Bukan hebat harta atau ilmu. Tetapi hebat jiwa, hebat kehidupan, hebat perjuangan. Hidup mereka semasa di dunia adalah hidup memberi, barulah layak di Syurga hidup menerima. Maka ketika di dunia, semasa merancang untuk mengasihi seseorang, merancang untuk membenci dan memusuhi seseorang, apakah sudah dimasukkan gambaran Syurga dan Neraka dalam perancangan itu? Ketika malah berjuang, ketika banyak masa terbuang, ketika pelbagai alasan diberi dan ketika pelbagai dosa membelenggu diri, sudah dikirakah kesan itu semua pada akhir perjalanan ini? Sudahkah dianalisa, apakah perbuatan kita itu nanti bakal diproses menjadi pahala lantas membuka peluang untuk ke Syurga, atau dosa yang menjurus ke lembah neraka? Nak buat apa sahaja, fikir dulu kesan akibatnya. Jangan sekali sekali. Jadikan ia tabiat yang sebati pada jiwa. Renunglah pada kesudahan semua. Kesudahan seorang alim, kesudahan seorang jahil, kesudahan yang miskin, kesudahan yang kaya, semuanya berkesudahan dengan kesudahan yang sama.

Mati, Syurga, Neraka. Mulakanlah langkah di kehidupan ini, dengan merenung hujung sebuah perjalanan. Begin with the End in Mind!

Ulasan Tabiat 3: Utamakan Apa Yang Utama


Hiduplah kamu di dunia seolah-olah kamu ini warga asing atau pengembara di sebuah perjalanan - Riwayat al-Bukhari Nak bawa apa ni ya? , keluh si isteri. Dua beg besar sudah sendat berisi. Cukuplah tu. Kita bukannya nak pindah ke Dubai tu. Singgah sekejap sahaja. Masa saya mesyuarat nanti, awak pergilah beli baju baru , marah si suami, melihat isterinya mengemas pakaian. Yang ini, nak bawakah? , tanya si isteri sambil menunjukkan periuk nasik elektrik kecilnya. Lesung batu tak nak bawa? Alang-alang alat pembakar roti pun boleh juga awak angkut sekali! , sindir si suami. Tentunya amat membebankan, suatu perjalanan yang diberatkan oleh benda-benda yang kita tidak perlu. Bukanlah langsung tidak perlu, tetapi kalau tiada pun tidak menjejaskan apa-apa. Kalau setakat mengidamkan nasi, cari sahaja kedai Asia yang berlambak di Dubai. Mengapa perlu diangkut periuk nasi untuk perjalanan 4 hari? Seorang pengembara yang bijak, tidak akan menyusahkan dirinya dengan apa yang ia tidak perlukan. Perjalanannya perlu ringan dan cepat. Apatah lagi semua yang ditinggalkan itu, ada kedapatan di destinasi yang hendak dituju.

Hiduplah kamu di dunia seolah-olah kamu ini warga asing atau pengembara di sebuah perjalanan Rasulullah SAW mengingatkan kita bahawa dunia ini juga satu kembara. Dunia adalah tempat persinggahan. Kita datang dari alam lain dan sedang menuju kembali kepadanya. Maka di dalam kembara ini, apakah yang anda pilih untuk dimasukkan di dalam beg anda?

PUT FIRST THINGS FIRST Put First Things First adalah tabiat ketiga bagi manusia yang cemerlang. Iaitu manusia yang kalau berlari di trek perlumbaan, dia tiba segera dan sejahtera. Bahasa Melayunya adalah Keutamaan. Bahasa Arabnya adalah Aulawiyyat. Dalam kehidupan ini, Put First Things First sangat bergantung kepada sistem nilai kita. Sistem nilai yang menentukan apakah yang berharga dan apakah yang tidak berharga dalam hidup ini. Perkara yang berharga diberikan keutamaan, manakala perkara yang kurang berharga boleh diketepikan. Seorang lelaki cuba memasukkan batu pelbagai saiz di dalam sebuah bekas. Mula-mula dimasukkan pasir, kemudian batu kecil dan akhirnya batu besar malangnya batu besar tidak dapat dimasukkan sepenuhnya. Ada batu besar yang perlu dikorbankan, mesti ditinggalkan. Jika bekas itu adalah masa yang kita ada seharian, maka kita isikan ia dengan pasir, batu kecil dan akhirnya batu besar malang sekali batu besar itu tidak semua dapat dimasukkan. Ada batu besar yang perlu dikorbankan, mesti ditinggalkan. Bagaimana jika batu besar itu ialah melawat ibu di kampung yang tidak sihat? Bagaimana jika batu besar itu ialah Hari Ucapan Dan Penyampaian Hadiah anak di sekolah? Bagaimana jika batu besar itu Solat Jemaah di Masjid, atau Usrah bulanan, atau ceramah agama, atau pemeriksaan kesihatan? Batu besar mana yang bakal kita korbankan, jika tidak semua batu besar mampu masuk ke bekas masa yang ada? Batu besar, batu kecil, pasir dan air! Ya, jika bekas air dan masa diisi dengan Put First Things First, semua batu besar dapat dimasukkan. Pasir dan batu kecil mampu masuk dan mencelah. Malah air dapat juga diisi untuk memampatkannya. Hidup kita dan masa yang ada, adalah seumpama bekas air. Mengisinya harus dengan batu besar sebelum batu kecil. Apakah yang membesar dan mengecilkan batu itu? Itulah NILAI.

Jika kita menganggap usrah dan solat berjemaah itu sebagai kurang bernilai, maka ia akan diwakilkan oleh batu kecil ke bekas masa. Apa yang besar? Rancangan kegemaran di televisyen? Mencari aksesori kereta di setiap hujung minggu? Mengejar harga runtuh di pusat membeli belah? Apa yang bernilai dalam hidup anda ini? Penentuan nilai kita, adalah pada cara kita melihat kehidupan. World view WORLD VIEW Tabiat kedua sudah mengajar kita supaya Begin with the End in Mind. Apakah hujung perjalanan hidup di dunia ini? Bagaimana melihat kehidupan dari pandangan Pencipta kehidupan? Akhirat mengajar kita membuat penilaian terhadap setiap satu kebajikan dan kebaikan di dunia. Akhirat juga memberi amaran kepada kita terhadap setiap satu kejahatan dan dosa kedurhakaan. Kerana itulah, perkara-perkara yang susah dan rumit dalam hidup ini, Nabi SAW kaitkan ia dengan Allah dan Akhirat. Kalau kamu beriman kepada Allah dan Akhirat, muliakan tetamu. Kalau kamu beriman kepada Allah dan Akhirat, berbaiklah sesama jiran. Kalau kamu beriman kepada Allah dan Akhirat, berkatalah yang baik-baik, atau diam sahaja. Penat bekerja, terperangkap di dalam lautan kereta, kepala pening, anak-anak mohon masa bersama. Tiba-tiba pintu diketuk. Tetamu tiba mohon dilayan. Bukan mudah Bukan berfaedah jika nilai melayan tetamu hanya pada ukuran dunia yang tidak berhajatkannya. Namun tetamu datang dengan jaminan Allah. Bahawa kehadiran mereka membawa kebaikan dan keberkatan. Tanpa iman kepada Allah dan Akhirat, tiada upaya untuk memaniskan wajah, mengajak masuk tetamu yang dihantar Allah. Jiran pun sama juga. Mahu berkata-kata. Kata sahajalah apa yang ingin dikata. Tidak kering air liur, tidak bengkak gusi menanggung.

Tetapi nilai kata-kata besar bagi sebuah Akhirat. Ada kata jadi pahala, banyak kata jadi dosa. Yakin pada balasan Akhirat, menjadikan seorang warga dunia berhati-hati memilih kata. Nyatakan yang baik-baik, atau diam sahaja. Diam mulut dari bercakap, diam tangan dari menyiar idea. Berbual, pilihlah bualan yang baikbaik. Membuka blog, pilihlah idea yang baik-baik, atau diam sahaja. Semua ini bahasa sistem nilai manusia yang sudah sebati dalam dirinya tabiat Begin with the End in Mind. KELESUAN MAJLIS ILMU Ramai sahaja yang mengeluh kerana majlis ilmu kurang mendapat sambutan. Majlis lagu lebih makmur dan menerima kebanjiran serta tumpuan.

Ada dua kemungkinan yang menjadikannya begitu. Sama ada sistem nilai manusia sudah rosak, atau majlis ilmu itu sendiri tidak punya nilai. Manusia hari ini dipujuk agar melupakan Akhirat. Pujukan paling berkesan ialah pada menambah perisa kehidupan melalui HIBURAN. Hidup kita hari ini menjadi hiburan centric . Semua mesti ada unsur hiburan. Dari ringtone telefon hingga ke majlis agama, mesti ada unsur hiburan. Jika yang ditawar hanya makanan minda, maka bersedialah untuk ramai AJK dari peserta Tetapi jangan semata-mata dipersalahkan hadirin. Tidak semestinya majlis ilmu mempunyai nilai setinggi nilai ilmu. Ilmu apa yang dibentangkan? Bagaimana ia dibentangkan?

Majlis ilmu juga perlu Put First Things First. Ketika orang ramai keliru dan sesat akibat sekularisma, jangan dikeluh jika tiada sambutan kepada majlis ilmu yang menentang Muktazilah. Dari satu sudut yang lain, ketika orang ramai terkapai-kapai mencari erti hubungan dirinya dengan Islam, jangan dikeluh jika mereka tidak terpanggil ke majlis yang menggesa mereka mengorbankan diri demi Islam. First Things First Usrah yang asyik mengulang tajuk yang sama, majlis yang asyik berbalah topik yang sama, seminar yang mencari kesudahan kepada polemik yang memang tiada kesudahan, mungkin bersambut sekali dua, tetapi hilang sambutan apabila hilang keutamaan. Maka pengendali majlis ilmu perlu musahabah dua dimensi. Dimensi sistem nilai hadirin dan yang keduanya dimensi nilai majlis ilmu itu sendiri. Jika semua produk di pasaran bermatimatian mengeluarkan belanja untuk pengiklanan yang mempengaruhi sistem nilai pembeli, berapa susah payah daie mengemas dan memperelokkan pakej Islam yang ditawarkannya? Hambar, bosan, ceramah sekadar melepaskan batuk di tangga macam tak ada harga! Benda yang bernilai tinggi, juga akan berharga tinggi. Subjek yang tinggi nilai dan tinggi harga, akan menerima pengorbanan yang tinggi. Apa batu besar dalam hidup anda? Atau anda selesa hidup dipenuhi pasir, habuk dan debu?

Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan ia terbuang sebagai debu yang berterbangan. [AlFurqan 25: 23]

Ulasan Tabiat 4: Berfikir Menang-menang Untuk Survival Dakwah


Saya tidak akan menang kecuali ada yang kalah, kata Ahmad. Betul, jika ia sebuah pertandingan. Tetapi hakikat kehidupan kita bukan suatu pertandingan. Ia adalah suatu realiti yang kita boleh menang bersama, jawab Syarif. Betulkah begitu? Bukankah sudah sekian lama kita hidup dalam dunia pertandingan? Sejak Darjah 1 lagi. Kalau tak dapat nombor 1 hingga 30, tentu sahaja masuk ke kelas 2 Bakti dan bukan lagi 2 Aman. Silap-silap tercampak ke 2 Erat, sambung Ahmad pula.

Ya, sebab itulah susah untuk Think Win-Win kerana kita hidup dan membesar di dalam dunia Win-Lose atau jika dua Win-Lose gagal beralah, ramai pula yang memilih Lose-Lose, ujar Syarif sambil mengenang-ngenang kembali PUISI 2006 yang ditelitinya dari Saifulislam.Com. THINK WIN-WIN Ramai yang bertanya kepada saya mengapa saya mengambil masa yang terlalu lama untuk mendokumenkan Habit 4 iaitu Think Win-Win, selepas 3 habit yang pertama telah selesai saya nukilkan. Jawapannya mudah. Terlalu sukar untuk menulis tentang Think Win-Win, sebagaimana susah untuk mempraktikkannya. Kita sudah benar-benar selesa hidup, makan, minum, belajar, bekerja malah berdakwah dengan Think Win-Lose. Pemikiran Win-Lose terbit dari sangkaan diri bahawa dunia ini miskin kebaikan. Pemikiran yang membayangkan bahagian masing-masing seperti sebuah kek. Jika engkau makan potongan yang besar, maka ia akan mengecilkan bahagianku! Lantas kita sentiasa bertanding di luar pertandingan. Hasilnya tidak ada sesiapa yang menang. Menang atas kekalahan orang lain, bukanlah kemenangan yang bermakna. Ia umpama enjit-enjit semut, siapa sakit naik atas. Sakit apa? Sakit iman. Memanjat kejayaan dengan memijak orang lain. Paling malang, apabila pemikiran Win-Lose ini menguasai jiwa daie. Bertanding di dalam dakwah. Saya pernah menempuh pengalaman yang mengajar saya betapa peritnya berdakwah di dalam kerangka Win-Lose. PENGALAMAN PAHIT Semasa bertugas sebagai Imam di Belfast Islamic Centre, saya sungguh berhasrat untuk memberikan sepatah dua kata menyambut kedatangan pelajar baru tahun itu. Atas kapasiti saya sebagai Imam, saya bertemu dengan pelajar Muslim baru dari pelbagai negara yang datang belajar di The Queens University, Belfast. Namun sudah tentu saya juga mahu bercakap secara khusus kepada pelajar Malaysia yang senegara dengan saya. Lantas sebuah program diatur semenjak seminggu dua sebelum pelajar baru tiba, dan ia adalah amalan biasa bagi komuniti pelajar Malaysia. Tiba-tiba saya dikejutkan apabila ada pula pelajar senior lain yang mahu mengadakan program pada tarikh dan masa yang sama. Untuk berkelakuan rasional dan berfikiran Win-Win, saya mengajak pelajar yang mahu bercakap itu

untuk bersama-sama di dalam program yang telah dirancang ini. Malah saya menawarkan diri untuk bercakap hanya setengah jam, supaya setengah jam berbaki diisi oleh pelajar tersebut. Prioriti utama ialah, saya tidak mahu pelajar baru diletakkan di dalam suasana terpaksa memilih. Ia bukan pertandingan populariti, tetapi ia adalah tanggungjawab agama yang maqasidnya adalah pada mengumpulkan manusia di dalam kebaikan.

Agar kamu tegakkan agama, dan janganlah pula kamu berpecah belah di dalam urusan itu (Al-Syura 42: 13) Beberapa panggilan telefon dibuat untuk mencari kata sepakat. Tetapi masa dibuang dari pagi hingga lewat malam tanpa penyelesaian kerana Win-Lose adalah jenayah kepada dakwah. Ustaz ambil pelajar lelaki dan biar pelajar perempuan datang ke program kami, katanya. Apa? Apakah kalian ini feminist atas nama dakwah?, mengapa yang lelaki disingkirkan dari manfaat jika benar dakwah kamu substancenya adalah kebaikan?, tersirap darah saya menerima cadangan itu. Selepas puas berdiskusi, akhirnya saya pula disinggung sebagai outsider yang sepatutnya ke tepi. Lambakan gerakan Islam yang ada di Malaysia belum berupaya memenangkan Islam kerana mereka sangat berminat untuk bertanding di dalam dakwah. Kemenangan hanya dapat dicapai di atas kekalahan orang lain! Jika soal pilihanraya yang dimaksudkan, maka amat sahih hanya satu kemenangan yang boleh diwartakan. Tetapi soal Tarbiyah, pemuliharaan spesis manusia agar keluar dari Jahiliah kepada Islam, Win-Lose telah membazirkan masa dan manusia.

Lose-Lose jua yang sering terhasil REFORMASI 1998 Besarnya hikmah di sebalik Reformasi 1998, gerakan Islam diajak bermuhasabah dan tiada peranan yang signifikan boleh dimainkan oleh sesiapa jika setiap satunya masih terperangkap di dalam kesumat Win-Lose. Kita harus mencari titik pertemuan, bukan untuk bertolak ansur semata, tetapi untuk mencipta suatu momentum yang berkesan ke arah memenangkan Islam. Tetapi Win-Lose itu sudah melekat pada hemoglobin darah mujahidin dakwah kita, terlalu sukar untuk mempercayai bahawa kemenangan sebenar ialah pada keupayaan diri membawa orang lain untuk sama-sama berjaya. Berjaya sendiri-sendiri adalah kepalsuan yang menipu. Apabila mereka yang berjuang atas nama Islam gagal melakukan hijrah dari Win-Lose kepada Win-Win, akhirnya pencapaian kita pada ulangtahun ke-50 kemerdekaan Malaysia, adalah LoseLose. Semakin kita sangka yang kita berdakwah, semakin rancak orang melarikan diri dari Islam. Kerana pseudo mujahid ini tidak mahu mencari kemenangan Islam, sebaliknya lebih berselera mencari kemenangan sendiri-sendiri. PAS Antara pencetus kepada pemikiran Win-Lose ialah pada superiority complex. Lawannya ada inferiority complex yang sentiasa membiarkan dirinya menjadi tempat orang mengelap kaki. Ia adalah Lose-Win. Untuk itu saya sering mencadangkan sahabat-sahabat yang mahu menggunakan alasan PAS sebagai jemaah tertua sebagai alasan untuk mewajibkan penyertaan bersamanya, agar membuat semakan semula terhadap pendekatan sebegini. Di zaman orang berani berfikir dan bercakap apa sahaja, nanti yang tertua itu akan disendakan sebagai terbongkok, ternyanyuk dan tertinggi tekanan darahnya. PAS sebagai jemaah tertua, tetap jemaah tertua. Tetapi keistimewaan menjadi jemaah tertua, ialah pada kelebihan

pengalaman dan pelajarannya di dalam senario dakwah dan politik Malaysia. Tawarkan ia sebagai suatu kelebihan, dan bukannya hak yang menekan. Menawarkan kelebihan, lebih berkesan dalam mencipta kawan tanpa perlu mengambil risiko membiakkan lawan. Alhamdulillah pendekatan yang proaktif ini semakin mudah diterima, khususnya di kalangan generasi muda yang mempunyai prospek yang tinggi terhadap angin perubahan. Jika ia belum begitu membantu PAS dalam menambah keahlian sekali pun, ia meramaikan orang yang memahami dan tidak memusuhi PAS. Saya yakin gerakan-gerakan Islam sedang rancak menjana perubahan ke arah Win-Win ini. ABIM Alhamdulillah dengan sikap yang positif, saya tidak berdepan dengan apa-apa masalah malah menghargai peluang dari sahabat-sahabat di dalam ABIM yang sering mengajak saya kepada dialog dan kerjasama. Saya telah beberapa kali mengisi program di Anjung Rahmat dan semua orang saling mengambil manfaat. Diskusi saya bersama kepimpinan ABIM juga menyegarkan jiwa dakwah atas keyakinan semua bahawa Win-Win adalah kunci kejayaan. Salah satu siri diskusi GPTD Turki Saya juga diberi kepercayaan untuk menjadi salah seorang penasihat Gabungan Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) yang diusahakan oleh tenaga-tenaga muda ABIM, sebagai mengambil manfaat dari serba sedikit pengetahuan saya di dalam Sejarah, khususnya Kajian Othmaniyyah. Sifat saling hormat menghormati dan terbuka kepada dialog dan kerjasama, menghasilkan banyak kebaikan yang pulangan manfaatnya ialah kepada Ummah. Itu keutamannya. Tetapi kesedaran di peringkat tinggi ini selalu hanyut di tengah jalan apabila di peringkat akar umbi, masih ramai yang suka meneruskan tradisi Win-Lose. TIDAK YAKIN DENGAN KEFAHAMAN SENDIRI Win-Lose ini juga menghasilkan tabiat yang merugikan bagi gerakan dakwah khususnya di peringkat pelajar. Setelah berpenat lelah berebut potongan kek ketika kedatangan pelajar baru, masing-masing cuba membina tembok menghalang dialog dan muzakarah. Sedangkan prinsip utama dakwah ialah pada membina jambatan. Setiap pendakwah harus yakin dengan apa yang dirinya faham tentang dakwah dan fikrah itu sendiri. Tajarrud, kata Hasan al-Banna. Secured with your own faith and understanding, adalah kunci untuk membolehkan kita menggalakkan persefahaman. Maka perbuatan cuba melarikan ahli dari memahami orang lain, menyekat maklumat dan pendedahan, adalah suatu kebodohan yang tidak boleh dimaafkan di era ICT seperti ini.

Sebuah gerakan dakwah sebenarnya menghina dan menganggap bodoh ahlinya dengan menyekat mereka dari dialog dan meraikan keluasan input. Jika gerakan dakwah gagal melahirkan daie yang berani mendedahkan diri kepada cabaran pemikiran, maka lupakan sahaja agenda untuk memenangkan Islam. Cukup sekadar meletakkan sasaran menjadikan jemaah masing-masing sebagai alat menjaga diri dari terseleweng, dan bukannya sebuah force untuk memenangkan Islam. Sikap-sikap negatif oleh penyorok dan orang yang menyorok di balik tembok yang dibina ini, adalah hasil kegagalan menghayati tabiat-tabiat positif yang diolah melalui 7 Habits. Iaitu kegagalan menghayati substance Islam sebagai Din yang mewajibkan penganutnya berdiri yakin terhadap prinsip dan pendirian, bukannya sepanjang hidup menyumbat jari ke telinga dari mendengar. Jika takut mendengar, bagaimana bisa boleh suaramu sendiri didengar orang? Habit 5: Seek First to Understand, Then to be Understood akan membicarakannya dengan panjang lebar lagi, Insya Allah. BAGAIMANA MENJANA PEMIKIRAN WIN-WIN? Titik tolaknya ialah pada Be Proactive. Berpemikiran positif dan cenderung kepada manfaat dan penyelesaian. Dorongannya ialah pada Begin with the End in Mind kerana Lose-Lose adalah kesudahan yang dijanjikan bagi pertembungan Win-Lose yang tegar. Langkah mempraktikkannya ialah Put First Things First iaitu pada mengutamakan kepentingan ramai dan kejayaan bersama, berbanding kelakuan kanak-kanak yang berebut potongan kek. Bahagianku kecil kerana engkau makan besar Namun kita yang sudah dewasa dalam dakwah harus bersedia untuk kenduri buffet bahawa ia adalah sebuah kehidupan yang memiliki kebaikan yang cukup untuk dikongsi bersama. LIFE IS AN ALL-YOU-CAN-EAT BUFFET. Rombak kembali kepada kefahaman kita terhadap pemikiran Win-Win Rasulullah SAW di dalam Perjanjian Hudaibiyah. Put First Things First amat berkait rapat dengan persoalan nilai yang dipegang dalam kehidupan. Maka Think Win-Win juga amat rapat kaitannya dengan nilai. Mengapa suami dan isteri mudah mencari persefahaman? Mengapa ibu bapa dan anak-anak lebih mudah beralah berbanding kita yang duduk dalam organisasi? Kerana di dalam sebuah rumahtangga, suami dan isteri, ibu bapa dan anak-anak berpegang kepada nilai kasih sayang dan tanggungjawab. Kedua-duanyalah yang membentuk sebuah rumah tangga dan keluarga.

Titik tolak kepada kesediaan kita untuk Think Win-Win, adalah pada sejauh mana dada dan hati kita luas dengan perasaan kasih sayang serta tanggungjawab. Kasih sayang kerana kita bersaudara atas iman. Tanggungjawab iaitu pada memikirkan maslahah ummah yang hanya terbela apabila para Dhuat berfikiran Win-Win. Ukhuwwah berkadar terus dengan iman. Tinggi iman, tinggilah ukhuwwah. Susut iman, lerailah ukhuwwah. Pada seruan Think Win-Win itu, marilah rakan.. numin saah!

Ulasan Tabiat 5: Berusaha Untuk Memahami, Sebelum Difahami

Susah nak cakap, ustaz. Beratnya rasa hati ini, keluh seorang bapa kepada seorang pesakit. Tak apa. Encik tak perlu cakap apa-apa. Saya tahu apa yang sedang Encik alami. Semua ini dugaan Allah. Kita sebagai umat Islam wajib beriman bawa semua yang berlaku itu ada hikmahnya di sisi Allah. Jadi, kita tidak sepatutnya mengeluh dengan kejadian ini tetapi sepatutnya mencari hikmah terhadap apa yang terjadi!, balas si ustaz dengan penuh kefasihan dan keyakinan. Huh! Macamlah si ustaz ni tahu sakitnya menanggung derita anak kena uji macam ini!, pakcik tersebut mengeluh di dalam hati. Wajahnya pun masam. Si ustaz kehairanan. Di mana salahnya nasihat aku tadi?, fikir ustaz tersebut. Sangkanya realiti hidup ini macam kertas jawapan peperiksaan. Menjawab mengikut skema. Asalkan betul dengan

al-Quran, betul dengan al-Sunnah, tepat seperti huraian ulama, maka berhak mendapat markah penuh. Salahnya bukan pada nasihat. Tapi nasihat tak bertempat. Tak betul masa, tak betul suasana, tak betul konteks. Puncanya mudah. Tidak bijak mendengar lantar terlalu mudah untuk berkelakuan memahami. Anda tidak kepingin untuk pergi lagi ke kedai yang penjualnya terlalu tahu dengan selera anda hingga tidak peduli dengan kehendak anda yang sebenarnya. Anda juga serik untuk ke klinik yang doktornya terlalu cepat membuat diagnosis sebelum sempat anda menceritakan sakit yang anda hadapi. Anda juga bosan dengan ibu bapa, guru-guru termasuklah pendakwah yang seakanakan tahu dan faham belaka masalah anda, dengan alasan mereka makan garam lebih awal. Anda berhak untuk rasa begitu kerana mereka lupa bahawa Allah SWT menciptakan manusia ini dengan satu mulut dua telinga. Maka kurangkan cakap, banyakkan mendengar! Seek first to understand, then to be understood!

Golongan yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut apa yang terbaiknya; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna. [Al-Zumar 39 : 18] Manusia yang berakal sempurna dan beroleh petunjuk dari Allah itu, adalah manusia yang memilih qaul yang terbaik. Mana mungkin seseorang menemui pandangan terbaik, jika dirinya tidak terbuka untuk mendengar kepelbagaian pandangan terlebih dahulu? Maka, kemahiran dan keupayaan mendengar dengan baik, adalah asas untuk manusia mencari, memberi dan menerima yang terbaik dalam hidup ini. CEPAT MELOMPAT Oh, Ustaz A ke ceramah malam ni? Jom kita dengar, mesti hebat dan betul punyalah ceramah dia!, kata seorang pengunjung kuliah Maghrib. Oh, ustaz anu ke ceramah malam ni? Tak payah le dengar. Mesti mengarut punya!, katanya pada hari yang berbeza. Ustaz itu pun dibahasakannya sebagai anu sahaja.

Jika kita konsisten berkelakuan begini, membuat keputusan sebelum sesi hearing mengambil tempat, maka akan banyaklah kebaikan yang terlepas dan banyak juga keburukan yang terbit dari kelakuan begitu. Masakan tidak, jika tabiat seperti ini dibawa ke rumah, bagaimanakah sang suami boleh memahami masalah isteri? Bagaimana pula isteri boleh menangkap kehendak suami? Bolehkah ibu bapa membantu anak keluar dari belenggu masalahnya jika mereka terlalu cepat melompat kepada kesimpulan sebelum mendengar dan memahami? Ia jadi penyakit. Mungkin di situ hikmahnya Allah menggesa kita supaya berdoa. Bukan Allah tidak tahu apa yang kita mahu dan perlu sebelum kita meminta. Tetapi disuruhnya kita meluahkan dahulu, agar kita sendiri faham apa yang kita hajatkan, sebelum Allah memakbulkan permintaan. Allah mahu kita berdoa supaya kita melihat betapa Allah Maha Mendengar, sebelum menunaikan hajat kita. Sebelum bertindak. Mendengar itu sendiri sudah merupakan syifaa, rawatan buat yang memperdengarkan masalahnya. Maka hamba-hamba-Nya juga harus begitu. Sebelum bertindak, luaskan ruang untuk orang meluahkan keinginan dan perasaan serta mulakan semua itu dengan kesediaan kita untuk mendengar. PENDENGARAN SONGSANG Jangan dibiasakan diri dengan cara-cara mendengar yang songsang. Mendengar, mendengar juga. Tetapi tidak membantu malah memburukkan keadaan. Setelah sepanjang hayat kita belajar membaca, menulis dan bercakap, pernahkah anda luangkan masa untuk belajar mendengar? Kita belajar kaedah membaca pantas, menulis dengan baik dan bercakap dengan fasih, tetapi amat jarang sekali kita memperbaiki cara kita mendengar. Akibatnya, kita jarang mendengar kerana setiap kali berlaku percakapan kita akan sibuk menyiapkan diri untuk memberikan respond, sibuk untuk menilai dan menapis percakapan itu mengikut paradigma diri kita sendiri. Sikap ini banyak menjejaskan kehidupan kita. Pekerjaan di pejabat. Rumahtangga antara suami, isteri dan anak-anak. Pergaulan sesama rakan. Malah dakwah dan penyebaran Islam.

Berikut adalah contoh-contoh pendengaran songsang yang wajar sama-sama kita elakkan: 1. MACAM DENGAR TETAPI TIDAK DENGAR Aku pun dah habis ikhtiar. Tak tahu nak buat macam mana. Apa pandangan engkau?, tanya Ali. ., Ahmad termenung. Matanya menembus dinding. Hoi, ko dengar tak apa yang aku cerita tadi?, Ali kepanasan. Err !, itu sahaja jawapan Ahmad. Kita sering terbabas semasa meminjamkan pendengaran kepada seseorang yang mahu berkongsi masalah. Tetapi terlalu kerap melakukan perkara sedemikian akan menyebabkan kita kehilangan reputasi dan kepercayaan rakan. Blurred memanjang! 2. BUAT-BUAT DENGAR Ini adalah kebiasaan yang lebih popular. Kita tidak begitu mempedulikan apa yang sedang diperdengarkan kepada kita. Sebaliknya cuba menyembunyikan kehilangan kita dari perbualan itu dengan memberikan komen-komen tanpa makna berbunyi hmm, ooo, I see, gitu Semua itu adalah cara yang mudah untuk memberitahu kepada rakan yang sedang bercakap itu betapa tidak bernilainya percakapan beliau, tidak signifikan dan tidak berharganya segala yang disuarakan itu. 3. DENGAR APA YANG MAHU DIDENGAR SAHAJA Disebabkan oleh obsesi kita dengan beberapa isu yang mendominasi fikiran, kita menjadi sangat selektif dalam meminjamkan pendengaran. Tumpuan kita hanya kepada apa yang kita minat, malah mungkin menyebabkan perbincangan tersasar dari maksud asalnya. Aku sebenarnya susah hati. Ada ura-ura yang isteri aku akan dipindahkan ke Sabah hujung tahun ini, kata Ali kepada Ahmad, rakan karibnya. Sabah? Oh, aku memang suka betul dengan Sabah. Especially bab udang. Murah betul di sana tu. Setiap kali aku ke Sabah, mesti aku bawa balik sekotak udang dari Sabah, jawab Ahmad sambil tangannya sibuk memicit jerawat batu yang degil di atas dagunya. Apa rasanya jika kita mendapat maklum balas yang sebegini? Tentu panas hati dibuatnya.

Ini merupakan gejala yang semakin biasa dan berleluasa di dalam internet hari ini. Lihat sahaja diskusi yang dibuat dalam format forum. Bandingkan tajuk asal pada posting pertama, dengan posting terakhir. Masjid di Atas Tanah Waqaf Ditutup Oleh Pihak Berkuasa Kerana Politik, bunyi tajuk yang diberikan oleh penghantar artikel berkenaan. Diskusi sepatutnya memfokuskan kepada tindakan pihak berkuasa yang menutup masjid atas motif politik, tetapi perbincangan tersasar apabila ramai yang mendengar secara selektif, menarik tumpuan kepada isu hukum membina masjid di atas tanah waqaf! Anda juga boleh melihat secara konsisten corak diskusi sebegini di dalam blog saifulislam.com, namun saya terpaksa berperanan memadamkan diskusi-diskusi yang dirasakan menyimpang dari tujuan asal sesuatu tajuk diketengahkan. Pakcik itu hanya penoreh getah. Tetapi dengan sikap yang baik, beliau lebih berguna dari seorang kardiologist dalam insiden berkenaan, walaupun dia hanya ada payung mayat yang orang kampung sedekah selepas talqin, saya pernah mengulas begini tentang iklan Petronas di dalam ceramah berkenaan sikap. Ustaz, bukan talqin tu bidah ke?, sampuk seorang peserta. Saya rasa terpancit kebosanan apabila disampuk sedemikian rupa. Semenjak itu saya lebih selektif dalam memilih perkataan kerana masyarakat kita amat mudah tersampuk dengan perkataan-perkataan yang berada di dalam obsesi masing-masing semata. 4. HANYA MENDENGAR PERKATAAN Dunia ini bukan kertas. Bukan juga skrin komputer. Lantas apa yang dibaca hasil tulisan, mungkin berlainan maksud disebabkan oleh faktor-faktor di luar dunia kata-kata. Pendengar yang baik bukan hanya cuba memahami perkataan, tetapi harus juga memberikan perhatian kepada apa yang tidak diperkatakan. Tolong belikan aku seluar dalam dua tiga helai!, sms sahabat saya kepada rakan kami yang pulang bercuti ke Malaysia. Terkasima rakan di Malaysia menerima sms sebegini. Sms yang kering dari sebarang ekspresi wajah, intonasi suara dan gaya tubuh. Apakah rakannya meminta beliau membeli seluar dalam, sebanyak dua tiga helai, atau membelikannya seluar biasa, dalam dua tiga helai? Masalah komunikasi boleh berlaku hanya kerana perkara sebegini. Jika di dalam tulisan, kita dibantu oleh tanda koma, tanda seruan, tanda soal dan titik, maka semasa mendengar kita juga harus peka kepada tanda-tanda sedemikian yang dizahirkan bukan melalui perkataan, tetapi sebaliknya melalui gaya tubuh, memek muka, intonasi suara dan sebagainya.

Dalam percakapan, perkataan hanya mewakili 7% makna, 40% diwakili oleh nada dan perasaan, manakala 53% disampaikan melalui bahasa tubuh. Maka pendengar yang baik ialah seseorang yang mendengar apa yang tidak diperdengarkan! 5. MENDENGAR SUARA SENDIRI SEMATA Mendengar seperti ini, lazim berlaku kepada seseorang yang sangat obses dengan dirinya sendiri. Kita sentiasa menilai orang lain dari pandangan diri kita sendiri, dan jarang sekali memakai kasut orang lain untuk melihat masalah dari sudut yang di luar lingkungan persepsi sendiri. Susah sangat ke nak faham benda macam tu?, kita cepat melenting kerana menyangkakan orang lain juga ada daya memahami seperti kita. Oh, aku faham sangat dengan perasaan engkau!, kita bersuara dengan hasrat membantu. Hakikatnya kita tidak faham dengan perasaan dia. Kita hanya faham dengan perasaan kita dan kita sangka orang lain mempunyai perasaan yang sama dengan kita. Lantas orang yang seperti ini, akan mudah menghukum, terlalu cepat mahu memberi nasihat dan gemar menceroboh sempadan. Menghukum Lihat sahaja perbualan berikut dan perhatikan betapa sibuknya si pendengar menghukum kawannya. Hukuman-hukuman yang bersarang di kepala pendengar itu dicatatkan dengan Italic untuk memudahkan pembacaan. ALI: Seronok betul ana pergi dengar ceramah Ustaz Abu semalam. AHMAD: Oh, baguslah begitu (Ustaz Abu lagi! Apa benda yang dia nak cari dari kuliah ustaz macam Ustaz Abu tu?). ALI: Tak sangka pula bagusnya ceramah Ustaz Abu tu. AHMAD: Iye? Masya Allah (Itulah penyakit engkau, Ali. Semua ustaz engkau kata best). ALI: Ana ingat nak ajak Ustaz Abu ceramah di surau pejabat ana lepas ni. AHMAD: Ana ingat anta cuma pilih penceramah yang aliran kita sahaja (Engkau ni dah gila ke? Baiklah engkau ajak Ustaz Aman tu. Ceramahnya tidaklah menarik tetapi alirannya jelas). ALI: Memang macam tu. Tapi ana rasa Ustaz Abu juga harus diberi peluang di tempat kita. Biar ada kelainan. AHMAD: Tak apalah kalau begitu. Jemputlah dia (Aku yakin esok engkau mesti berubah fikiran punya).

Lihatlah betapa sibuknya Ahmad menghukum dan menilai Ali hingga terlepas banyak peluang baginya untuk memberikan pandangan yang lebih menjurus kepada kebaikan. Saya Penyelesaian Awak Sama jugalah dengan mendengar ala-ala self centered yang dilakukan dalam bentuk keghairahan memberikan nasihat dengan diri sendiri sebagai objek contoh. Lazimnya nasihat sebegini akan berbunyi kalau sayalah, zaman saya dulu dan yang seumpama dengannya. ALUMNI sekolah sering mengundang senior untuk memberikan ceramah kepada pelajar dengan bahasa nasihat seperti ini. Zaman kami dulu, sekolah ini serba kekurangan. Tetapi kami boleh berjaya. Apa masalahnya dengan kalian semua sekarang ini?, tanya seorang profesor, bekas pelajar sebuah sekolah terkenal di zaman 70 an dahulu. Zaman prof dulu cabarannya Pop Yeh Yeh. Zaman kami cabarannya Black Metal! Mana sama daaa!, bangkit seorang pelajar Tingkatan 4 yang kepanasan. Ambik! Menjadi mangsa perbandingan, adalah sesuatu yang menyakitkan. Anak diminta menginsafi pengalaman ibu bapa, generasi muda dipaksa menghayai perjuangan generasi sebelum merdeka, ia sesuatu yang tidak mengundang penyelesaian. Manusia memang berkongsi prinsip dan nilai kehidupan yang sama, tetapi konteks sentiasa berbeza. Cabaran di zaman susah adalah kesusahan hidup pada keperluan fisiologi. Tak cukup makan, tak cukup minum, tak cukup pakai, berjalan kaki berbatu-batu untuk ke sekolah itulah cabaran di zaman itu. Cabaran di zaman senang pula bukan lagi kesusahan hidup tetapi pada fikiran dan perasaan. Fikiran dicabar oleh idea-idea yang tidak pernah mengganggu keagamaan generasi dulu, malah mencabang-cabangkan pandangan kehidupan. Perasaan pula terpaksa bertarung dengan kekurangan perhatian ibu bapa, desakan kehidupan yang sangat materialistik hingga menggersangkan jiwa generasi hari ini itu cabaran semasa. Tiada zaman susah dan tiada zaman senang. Setiap zaman ada kesusahan yang berbeza, di samping kesenangan yang bersama. Jangan banding-bandingkan, kerana apa yang berkesan dalam menyelesaikan masalah kita, mungkin tidak berkesan dalam menyelesaikan masalah orang lain. Menceroboh

Apabila kita terlalu mendesak seseorang untuk meluahkan masalahnya dalam keadaan dirinya belum bersedia, kita sudah menjadi penceroboh. Mungkin keadaan seperti ini sering dilakukan oleh ibu bapa semasa mendesak anak-anak untuk bersuara. Niatnya murni untuk cuba memahami masalah anak-anak. Tetapi mendesaknya untuk bercerita tanpa kesediaan, adalah pencerobohan yang tidak dialu-alukan. Ani, apa khabar?, tanya si emak kepada anak yang baru pulang dari sekolah. Ok!, jawab Ani bersahaja. Peperiksaan tadi senang ke susah?, tanya si emak lagi. Boleh laaa, Ani membalas lesu. Kawan-kawan Ani rasa boleh jawab tak?, emak masih tidak berputus asa. Entah!, Ani semakin sejuk dan beku. Kenapa dengan Ani? Ada masalah ke?, si ibu mula kehairanan. Ala Ani masuk bilik dululah ye!, anak perempuannya terus berlari masuk ke bilik dan menghempas pintu. Bila mana soalan kita tidak membawa perbincangan lebih jauh, ia mungkin sudah beralih menjadi sebuah pencerobohan. Tiada sesiapa yang suka dirinya dicerobohi. Mungkin belum masanya lagi untuk beliau berkongsi. Maka cukuplah sekadar kita memberitahu tentang kesediaan diri untuk mendengar apabila diperlukan, itu sudah cukup baik, dan berikan ruang kepada mereka yang memerlukannya. PENDENGARAN SAHIH Marilah kita bersama-sama memperbaiki cara kita mendengar. Ia adalah kunci komunikasi yang efektif, pembaik hablun minannaas yang dituntut oleh agama. Mendengar yang betul itu adalah mendengar yang membantu kita mengenalpasti ketepatan dan kebenaran. Demikian itu, mendengar dengan telinga semata adalah tidak memadai. 1. Dengar Dengan Mata, Hati dan Telinga Telinga yang menangkap perkataan yang mewakili 7% maksud pengucapan, sedangkan maknamakna berbaki itu banyak terkandung pada intonasi, gaya badan dan ekspresi muka. Cuba semak semula tiga ayat berikut dengan mengubah intonasi pada perkataan yang ditebalkan dan bergaris: 1. SAYA rasa awak ada masalah sikap.

2. Saya rasa AWAK ada masalah sikap 3. Saya rasa awak ada masalah SIKAP. Oleh itu, belajarlah untuk mendengar dengan mata, hati dan telinga! 2. Memakai Kasut Orang Lain Apakah punca kepada kejadian di masjid tadi? Mari kita senaraikan, saya mengendalikan bengkel di dalam sebuah seminar. Salah seorang peserta di dalam kumpulan saya adalah seorang aktivis Sisters in Islam. Pemikiran yang konservatif!, jawabnya tegas. Seperti yang saya jangkakan. Kejadian pegawai masjid menghalau rombongan kami petang tadi sememangnya masih panas membakar perasaan kebanyakan kami. Aktivis SIS ini juga tidak terkecuali. Izinkan saya memberi pandangan, saya mencelah. Silakan, beliau dan ahli kumpulan yang lain menyatakan persetujuan. Jika kita guna istilah konservatif, istilah tersebut mempunyai konotasi yang pelbagai dan falsafah yang mengundang perdebatan. Kita mungkin tidak punya cukup masa untuk menjelaskannya dan kehilangan peluang untuk menghuraikan fakta-fakta yang lain. Saya rasa, apa yang saudari maksudkan tadi ialah pemikiran sempit, narrow-mindedness. Boleh tak kita gunakan sahaja istilah yang lebih casual iaitu narrow-mindedness?, saya memberikan cadangan. Well, not a bad idea at all. Of course, narrow-mindedness, jawabnya. Rakan-rakan yang lain juga bersetuju. Mungkin ramai di luar sana yang alergik dengan SIS. Tetapi saya berfikir, jika tiada rasa sayang kepada Islam, mengapa perlu beliau hadir ke seminar ini dan bersusah payah memeningkan kepala dengan masalah dunia (ummah)? Beliau boleh memilih untuk duduk sahaja di rumah pada hujung minggu, berehat di spa atau menonton televisyen, seperti kebanyakan orang di luar sana! Tetapi beliau hadir ke sini. Saya tidak dapat membohongi diri bahawa saya percaya mesti di hatinya ada perkongsian cinta yang sama kepada Islam seperti saya. Tetapi, disebabkan kami datang dari kawasan kelahiran dan perumahan yang berbeza, cara hidup yang berbeza, sekolah dan persekolahan yang berbeza, lingkungan kawan-kawan yang berbeza, maka cara kami menyatakan sayang kami kepada Islam jadi berbeza malah mungkin bertentangan. Tetapi sikap seek first to understand, then to be understood berupaya mengumpulkan saya dan seorang aktivis Sisters in Islam di dalam sebuah LDK dan kami mencapai banyak kata sepakat.

Oleh kerana SIS sering dikaitkan dengan idea Liberal, maka mungkin kerana itu secara spontan beliau mengatakan bahawa kelakuan buruk pegawai masjid petang tersebut adalah manifestasi pemikiran Konservatif iaitu lawan kepada Liberal. Tetapi dengan meletakkan diri di tempat beliau, saya mendapat idea untuk mencadangkan sesuatu yang lebih damai dan mencapai maksud dengan menawarkan perkataan narrow-mindedness. Cuba melihat sesuatu dari sudut orang lain, banyak merawat prasangka yang kadang-kadang sudah teranut hingga ke taraf yakin! 3. BERLATIH CERMIN-MENCERMIN Berfikirlah seperti cermin. Lihat wajah anda di hadapan cermin. Cermin tidak menghukum, tidak menilai, tidak mengkritik, tidak memberi nasihat. Sebaliknya cermin hanya memberikan refleks. Seorang mukmin itu adalah cermin kepada saudaranya (Abu Dawood 41: 4900) Iman yang menjadikan kita bersaudara, diterjemahkan dalam bahasa komunikasi sebagai tindakan cermin. Rasulullah SAW mahu kita melihat saudara kita sebagaimana kita melihat cermin. Seperti melihat diri sendiri. Ini merupakan langkah yang sangat kritikal dalam membentuk upaya mengamalkan tabiat seek first to understand, then to be understood. Lihat sahaja perbualan Amin dengan ayahnya ketika Amin mahu ke Tamrin. Ayah, Min nak minta izin keluar rumah sehari ya. Esok Min balik, Insya Allah, kata Amin kepada ayahnya. Min nak ke mana?, tanya si ayah. Tegas bunyinya. Err.. Min nak ke Gombak, jawab si anak. Sedikit gugup. Tak boleh. Kamu jangan ke mana-mana. Duduk di rumah, perintah si ayah. Tapi ayah, Amin cuba memujuk. Tak ada tapi-tapi. Masuk!, ayah memberi kata pemutus. Jika perbualan Amin dengan ayahnya terhenti di situ, Amin mungkin akan masuk ke bilik dan tidur dengan persepsi yang pelbagai terhadap ayahnya sendiri. Beliau berasa sedih dengan kedegilan ayahnya terhadap pendirian politik mereka. Amin akan menghantar sms kepada rakan-rakan yang sudah pun sampai ke lokasi Tamrin di Gombak, bahawa beliau sedang berdepan dengan ujian seperti kisah ghulam dalam Ashab al-Ukhdud. Persepsi-persepsi Amin terus meliar dan meracau.

Bagaimana kalau perbualan di atas diulang semula dengan Amin cuba melihat ayahnya seperti dia melihat cermin. Tak boleh. Kamu jangan ke mana-mana. Duduk di rumah, perintah si ayah. Amin minta maaf sebab susahkan hati ayah, Amin berlembut. Tahu pun kamu ayah susah hati. Keputusan peperiksaan kamu tak berapa elok, kamu nak keluar rumah pula masa-masa macam sekarang ni, ayahnya menyambung. Ayah risaukan keputusan peperiksaan saya, Amin sedikit terkejut. Ya. Kamu tahu kan, ayah bukannya ada duit nak sponsor kamu belajar. Kalau biasiswa kamu ditahan sebab keputusan peperiksaan merosot, apa yang akan terjadi nanti?, ayah bersuara kesah. Oh begitu. Maafkan Amin ayah, Amin bersuara perlahan. Kalau kamu dah selesai semua ulangkaji pelajaran kamu ayah tak kisah kamu nak keluar sesekali bersama kawan-kawan, ayahnya memberitahu. Alhamdulillah ayah, Amin dah selesai ulangkaji. Ini pun Amin memang ada bawa buku untuk ulangkaji dengan kawan-kawan Amin, si anak memberi penjelasan. Okay, kalau macam tu tak apa. Amin nak ayah hantarkan ke LRT ke?, tawar si ayah. Dapatkah anda perhatikan, dengan berusaha mengamalkan kaedah cermin-bercermin, Amin dapat membongkar sebab sebenar yang menghalang ayahnya daripada membenarkan beliau keluar. Ia langsung tiada kena mengena dengan pendirian politik, perjuangan, atau apa sahaja yang dilakarkan di dalam kertas-kertas kerja Tamrin. Ia hanya kerisauan biasa seorang ayah terhadap pelajaran anaknya. PENAFIAN Oleh kerana subjek yang saya perkatakan ini adalah berkaitan tabiat, ialah kelakuan manusia, maka saya tidak mempunyai sebarang upaya untuk memberi jaminan bahawa kaedah ini bakal menatijahkan apa yang kita harapkan secara yang begitu ideal lagi tekstual. Namun yakinlah, dengan memperbaiki cara kita mendengar, kita akan beransur-ansur membuang persepsi, prasangka, dhan yang sebahagiannya adalah dosa dan perosak komunikasi, rumahtangga, pekerjaan, dakwah dan keseluruhan hablun minannaas sesama insan. Setelah kita berusaha untuk merangka panduan bagi mengamalkan tabiat seek first to understand, maka bagaimanakah pula kaedah untuk melengkapkan bahagian kedua iaitu then to be understood? Nantikannya di dalam siri kedua artikel ini, Insya Allah.

Ulasan Tabiat 6: Sinergi Untuk 1+1=3 Malah Lebih


Baik, sekarang cuba awak jelaskan, kenapa awak kata saya telah mengabaikan rumahtangga kita?, tegas seorang suami, yang juga CEO sebuah syarikat besar, kepada isterinya. Penjelasan yang macam mana? Puas sudah saya jelaskan sebelum ini, jawab isterinya. Penjelasanlah! Facts and figures di mana kurangnya, apa kurangnya, muka si suami sedikit kemerahan. Tak adalah facts and figures tu. Tetapi ia suatu perasaan yang kuat. Saya rasa awak semakin longgar dari rumahtangga kita, kata isterinya. Tengok tu Encik Covey, tak faham saya dibuatnya. Asyik-asyik itulah yang diulangnya sejak sekian lama. Perasaan, perasaan, perasaan!, rungut si suami. Stephen Covey tersenyum melihat gelagat mereka berdua. Hilang sedikit tumpuannya kepada makan malam mereka. Si suami berfikir dengan otak kiri, manakala si isteri membalas dengan sentuhan otak kanan. Saya tahu awak mungkin tak suka saya jemput Encik Covey makan malam bersama dengan kita malam ini. Tetapi, saya nak beliau bantu selesaikan apa masalah kita. Awak kata kita bermasalah tetapi awak tidak dapat memberikan penjelasan mengenainya, si suami menyambung leteran. Buruk juga apabila orang lelaki berleter. Si isteri tunduk. Garpunya menguis-nguis kobis bunga di dalam pinggan. Baik, sekarang ni, awak puas hati tak dengan rumah kita?, tanya si suami. Cuba memecahkan kebuntuan diskusi mereka. Isteri mengangguk lemah. Cukup tak makan pakai kita selama ini?, soal si suami. Lebih dari cukup, jawab isterinya lemah. Habis, di manakah yang tidak kenanya?, si suami sudah naik angin sedikit. Bukan soal makan pakai. Tetapi bagaimana perasaan awak terhadap saya, terhadap anak-anak dan rumahtangga kita?, si isteri mengangkat muka. Sedikit memberontak. Saya sayangkan awak. Begitu juga anak-anak kita, kata si suami. Tetapi saya tidak dapat merasainya!, tegas si isteri.

Tengok, Mr. Covey. Tak habis-habis dia akan mengulang perkara yang dia sendiri tidak dapat jelaskan, si suami bernada mengalah. Bosan barangkali. Kisah ini dicatat oleh Covey di dalam bukunya The 7 Habits of Highly Effective Families. Tetapi ia bukan kisah Covey semata. Ia kisah kehidupan kita semua. Tadi awak kata awak ada anak. Berapa orang?, tanya Covey kepada pasangan itu. Dua orang!, mereka berdua menjawab serentak. Oh dua orang. Bagaimana keluarga kamu bertukar dari kamu berdua kepada empat orang sekarang ini?, tanya Covey dengan nada provokasinya. Apa maksud awak?, tanya CEO itu, kebingungan. Maksud saya, macam mana kamu berdua dapat anak? Dua orang pula tu. Satu campur satu jadi empat!, soal Covey. Merah padam muka mereka berdua. Faham-faham sahajalah bagaimana kami dapat anak, jawab si suami. Terasa sedikit aib pada soalan itu. Ya, kamu dan isteri bekerjasama untuk mendapat anak. Ketika kamu bekerjasama itu, kamu mahukan isteri kamu serupa dengan kamu, atau kamu menghargai dirinya sebab dia berbeza dari diri kamu?, tanya Covey lagi. Wah peliknya. Tentulah saya gembira kerana isteri saya adalah isteri saya, kata lelaki itu. Nafasnya kencang. Bagaimana kalau isteri kamu serupa dengan kamu? Bolehkah kamu gembira dan mampukah kamu berdua hari ini memiliki dua anak hasil persamaan itu?, Covey terus menghentak pemikiran pasangan suami isteri itu. Apa yang cuba Covey sampaikan, sudah difahami oleh mereka berdua. Mereka terlupa bahawa perbezaan antara suami dan isteri, bukan punca masalah, tetapi suatu nikmat dan peluang pengkayaan rumahtangga mereka. Kerana suami itu seorang lelaki, dan isterinya pula seorang perempuan, mereka bahagia, dan natijah kebahagiaan mereka, rumahtangga yang bermula dengan dua insan bercinta itu, sudah bertambah menjadi empat dengan sepasang anak yang menyerikan kehidupan. Rumahtangga itu bukan sahaja memuaskan naluri mereka sebagai manusia, tetapi juga mencambahkan kebaikan, menambah keturunan, dan manfaatnya tidak berhenti-henti, tidak putus. Itulah sinergi.

Satu tambah satu bukan dua, malah tiga, mungkin empat dan lebih lagi. SINERGI Sinergi adalah kemuncak kepada tabiat-tabiat yang telah dibincangkan sebelum ini. Ia adalah Sunnatullah yang telah menyuburkan kehidupan manusia, lantas seluruh kehendak Syariat mendorong insan untuk saling bersinergi. Lihat sahaja sepinggan nasi berlauk ikan. Kita membayarnya dengan harga RM5 tetapi hakikatnya, sebelum nasi dan ikan itu sedia untuk dihidangkan, berapa ratus malah mungkin ribu manusia yang terbabit untuk memastikannya? Nelayan yang turun ke laut, peraih dan pemborong, pemandu lori, pembuat lori, pembuat garam dan gula, penanam bawang, pekerja ladang kelapa sawit, pesawah dan senarai itu terus menerus memanjang tanpa henti. RM5 bukan harga sebenar pada usaha yang telah dilakukan untuk membolehkan kita menikmati sepinggan nasi berlauk ikan. Itulah hasil sinergi manusia. Malah kerana sinergi itu juga, kita hanya perlu membayar RM5 untuknya. Cuba patah kembali kepada zaman sebelum manusia bersinergi begini. Mudahkah untuk kita menikmati sepinggan nasi berlauk ikan, jika segala-galanya perlu dilakukan sendiri tanpa ikhtiar orang lain? Oleh kerana itu, salah satu teori yang wujud di bidang kajian ketamadunan, bahawa sejarah manusia bermula apabila mereka mula menghasilkan pemerosesan makanan bersama. Itu soal manusia. Lihat pula pada kehidupan di alam ini? Kerbau besar dan gagah, tetapi sering kegatalan kerana badannya berkutu. Burung gembala kerbau pula tidak pandai memburu makanan, sebaliknya dijadikan Allah gemar pada bersarapan, makan tengah hari dan makan malam dengan hidangan kutu kerbau. Mereka bersinergi untuk saling memberikan keselesaan hidup dan manfaat kepada manusia yang menggunakan kerbau dalam kehidupan. Malah burung yang kecil itu, dinamakan sebagai gembala kerbau, kerana mungkin peranan sinerginya telah mengekalkan ketenteraman kerbau dari terus gelisah dan turun minyak akibat kegatalan kutu. Burung itulah gembalanya. Semua orang tahu, apa kesannya jika kerbau itu turun minyak! Seluruh alam bersinergi

Seperti juga tubuh badan. Apalah sangat tangan, jika tangan hanya tangan. Tetapi kerjasama tangan kanan dan kiri, bersama kepala dan kaki, juga dengan anggota tubuh yang lain, ia mampu melakukan kerja-kerja yang hebat. KLCC itu juga hasil sinergi dua tangan seorang pekerja dengan tangan-tangan pekerja yang lain. Seluruh alam bersinergi untuk keperluan masing-masing. Hanya manusia sahaja yang diberi pilihan, sama ada mahu menjadi sebahagian daripada sistem ini, atau menjadi makhluk asing yang mengasingkan diri dari Sunnatullah? Jika dalam soal KEPERLUAN hidup, alam ini disusun oleh Allah agar mereka bersinergi, apatah lagi dalam soal TUJUAN hidup yang lebih besar dan utama? BERSUNGGUH MEMIKIRKAN SINERGI Betapa pentingnya sinergi dalam kehidupan, saya jadi tidak segan dan tidak pernah berasa susut keislaman jika saya mencadangkan bakal pengantin membaca buku Men Are From Mars, Women Are From Venus karangan John Gray. Ia mengajar seorang lelaki dan seorang perempuan untuk memahami bahawa lelaki itu sangat berbeza dari perempuan, dan perbezaan itu bukan masalah tetapi rahmat dan anugerah. Perkahwinan adalah untuk menghasilkan kebaikan daripada perbezaan itu. Perbezaan fizikal. Perbezaan cara berfikir. Perbezaan kekuatan rasional dan emosi. Perbezaan selera dan kecenderungan. Berbeza belaka Untuk itu, syarat pertama SINERGI adalah MERAI DAN MEMANFAATKAN PERBEZAAN.

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenalkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha

Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). [AlHujurat : 13] Kejadian manusia itu asasnya pada kepelbagaian dan perbezaan. Lelaki dan perempuan tidak sama, suku bangsa dan puak tidak serupa. Mereka itu memiliki pelbagai perbezaan, pada rupa, bahasa, kecenderungan, selera, cara berfikir, dan budaya yang terbit daripadanya. Terpulang kepada kita, sama ada mahu melihat perbezaan itu sebagai punca masalah, lantas masalah kita tidak pernah habis. Atau kita melihat perbezaan itu sebagai kunci taaruf kenal mengenal dan mengambil manfaat daripadanya.

Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing) dan kalau Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat, tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan . Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya. [Al-Maidah : 48] Sinergi bukan bermaksud berlapang dada dan berkompromi terhadap perbezaan. Ia bukan soal bertolak ansur di mana hari ini saya ikut jalan awak, dan esok awak pulalah ikut jalan saya. Tetapi sinergi itu bermaksud saya datang dengan pandangan saya dan awak datang dengan pandangan awak, tetapi kita berdua terbuka bukan hanya kepada memilih antara dua pandangan berbeza yang kita ada, sebaliknya bersedia untuk mencari sesuatu yang lebih baik dari cara saya dan cara awak. Kompromi akan menyebabkan awak buat cara awak, saya buat cara saya. Ia mendamaikan, tetapi perbezaan yang terbiar tanpa titik temu akan segera kembali kepada pusingan yang sama bertemu pada sebuah pertembungan, buat kali yang entah ke berapa. Kompromi bagus sebagai penyelesaian sementara tetapi ia bukan jalan terdekat kepada TAQWA. Ia tiada sinergi. Perbezaan yang tidak menerbitkan kebaikan, sebaliknya masingmasing membawa haluan sendiri. Setiap puak, gembira dengan apa yang ada pada diri mereka (Al-Rum : 32)

SINERGI RUMAHTANGGA Seorang lelaki dibesarkan oleh ibu bapanya dengan cara diplomasi dan berlembut. Jarang benar mengangkat suara, apatah lagi tangan naik ke muka. Didikan tersebut berjaya membentuk lelaki itu menjadi insan cemerlang menuju dewasa. Seorang perempuan dibesarkan oleh ibu bapanya dengan cara tegas dan garang. Jarang benar pandangan anak ditanya, sebaliknya melanggar peraturan rumah akan mengundang hukuman yang berbekas dan lama meninggalkan kesan. Cara itu berjaya membentuk perempuan itu menjadi insan cemerlang menuju dewasa. Lelaki dan perempuan ini bertemu, dan mereka diijabkabulkan sebagai suami isteri. Hasil sinergi, mereka berjaya menjadikan setiap perbezaan antara mereka sebagai suatu surprise dan adventure dalam rumahtangga sepasang pengantin baru. Mereka terus meniti hari bahagia hingga rumah berseri dengan kurniaan cahaya mata. Selepas cinta bersulam tanggungjawab, perbezaan mula menjadi ujian. Suami percaya bahawa cara ibu bapanya yang diplomatik itu cara terbaik. Isteri pula percaya anak-anak mereka harus dibesarkan dengan ketegasan dan kegarangan kerana hasil disiplin sebegitulah dia mampu menjadi manusia. Lantas suami isteri bertelagah, manakah cara terbaik untuk membesarkan anak-anak. Hal ini tidak boleh diselesaikan dengan kompromi. Bab marah-marah bagi pada ibu. Bab pujuk-pujuk bagi pada ayah. Di mata ibu ayah, mereka melihat pendekatan itu seimbang. Di mana anak-anak, mereka melihat ayah lemah dalam berprinsip tetapi kaya dengan kasih sayang, manakala ibu mengambil berat tentang disiplin tetapi tidak peduli kepada perasaan anakanak. Mungkin kompromi seperti ini menjadi punca mengapa ramai remaja yang saya temui membuat keputusan bahawa ibu lebih penyayang berbanding ayah, atau sebaliknya. Akan tetapi SINERGI mengajak bapa mengimbas kembali bahawa diplomasi yang mewarnai kehidupannya sebelum dewasa, banyak kemanisan dan kebaikan. Tetapi ia mungkin menjadikan dirinya atau ada adik beradiknya yang kurang berdisiplin dalam kehidupan, atau lemah dalam membuat keputusan. Diplomasi berlebihan itu ada beberapa kesan sampingan. Manakala si ibu pula atas tuntutan sinergi, muhasabah kembali dan melihat bahawa cara dirinya dibesarkan dengan ketegasan dan garang ibu bapa, memang telah berjaya menyuntik kecemerlangan akademik dan kerjaya, tetapi mereka tidak lupa kepada betapa peritnya hari-hari

yang mereka tempuhi dalam ketakutan dan sempitnya jiwa kerana ibu bapa tidak membuka pintu kepada mereka untuk bersuara dan memberikan pandangan. Ketegasan berlebihan itu ada beberapa kesan sampingan. Lantas mereka sedar, bukanlah diplomasi dan ketegasan itu saling bertentangan lantas perlu dipilih satu antara duanya. Sebaliknya pendekatan yang berjaya menggabungkan dua elemen itulah yang terbaik. Bapa yang penyayang juga ada ketegasan dan prinsip yang menjadikan dirinya disegani dan dihormati anak-anak. Ibu yang tegas dan garang juga ada sentuhan emosi dan diplomasi untuk menjadikan kasih sayangnya difahami oleh si anak. Maka bapa harus belajar teknik tegas dan marah. Ibu pula mesti belajar cara membelai dan mendengar suara anak-anak. Sinergi bukan kompromi, ia bukan My Way atau Your Way, tetapi High Way! Cara terbaik dari dua perbezaan yang bertentangan. SINERGI DI PESADA POLITIK Tiada keraguan bahawa sinergi di dalam pembentukan hidup peribadi dan keluarga itu penting. Sinergi itu Sunnatullah pada cara manusia disusun oleh Penciptanya. Maka kesan sinergi bukan hanya berperanan pada skala kecil di dalam sebuah rumahtangga, malah apa sahaja yang membabitkan manusia, sinergi penting untuk memperkembangkan kehidupan ke arah yang lebih baik. Pengalaman kita pada akhir kurun ke-20, melihat sesuatu yang mustahil telah berjaya disinergikan. Era reformasi Malaysia telah menemukan PAS dan DAP di meja rundingan. Siapa yang tidak tahu, kenyataan popular Cross My Dead Body Karpal Singh apabila isu Negara Islam dibangkitkan oleh PAS. Maka kedua-dua parti pembangkang utama Malaysia ini amat berbeza dan saling bertentangan. PAS mahukan Negara Islam, DAP mahukan Malaysian Malaysia. Tetapi suasana politik negara ketika itu mendesak semua pihak untuk menyemak mindset. Sama ada kita melihat perbezaan itu sebagai titik permusuhan, atau peluang untuk saling melengkapi dan bekerjasama. Analisa dibuat, mengapa PAS mahukan Negara Islam. Intipati kepada cita-cita PAS ini ialah, Negara Islam adalah alat untuk manusia beroleh pembelaan dan keadilan. PAS mahukan keadilan ditegakkan, dengan kepercayaan bahawa caranya ialah melalui sebuah Negara Islam. DAP pula mahukan sebuah negara sekular yang berjiwa Malaysian Malaysia. Ia adalah gambaran DAP kepada sebuah negara yang diyakini sebagai alat yang mampu memberikan keadilan kepada seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. DAP mahukan keadilan ditegakkan, dengan kepercayaan bahawa caranya ialah melalui sebuah Negara Sekular yang berjiwa Malaysian Malaysia.

Titik temunya adalah pada komitmen masing-masing kepada soal keadilan. Manakala kesemuanya sedang berdepan dengan isu yang sama iaitu pencabulan keadilan, dan penindasan ke atas massa. Maka perbezaan di antara PAS dan DAP tidak menjadi halangan untuk mereka bekerjasama dalam soal yang disepakati iaitu menentang kezaliman dan memperjuangkan keadilan. Mereka duduk semeja bukan dengan My Way, atau Your Way, tetapi mencari High Way. Tentu sahaja dalam soal ini, sinergi boleh dilihat sebagai suatu pendekatan yang berisiko tinggi. Keterbukaan kedua belah pihak memang boleh diterjemahkan secara dangkal sebagai penggadaian prinsip atas nama politik. Tetapi prinsip dan strategi adalah dua perkara yang harus dinilai dengan teliti. Bukan Nabi SAW tidak pernah bekerjasama dengan non Muslim. Bukannya Baginda SAW tidak pernah bersetuju dengan kekalahan superficial di pihak Muslim, demi kemenangan besar jangka panjang dalam Perjanjian Hudhaibiyyah. Semua itu bukan untuk diilmiahkan sebagai kenangan silam, tetapi harus lahir dalam bentuk panduan bersiasah dalam dunia kontemporari yang serba mencabar. Kerana itu, Stephen Covey sendiri menegaskan bahawa Sinergi mesti berasaskan kepada tiga Habit pertama, kerana ia menentukan nilai yang dipegang, destinasi akhir yang ingin dicapai, dan prioriti yang mahu diperjuangkan. Sinergi bukan keterbukaan yang mutlak tetapi ada prinsip-prinsip dan nilai yang memimpin. PAS tidak secara semberono datang ke meja rundingan. Nasihat-nasihat ulama tempatan, dan antarabangsa telah dirujuk malah percubaan PAS pada pilihanraya 1999 itu diterima sebagai suatu pengalaman berharga untuk dianalisa dan dipelajari oleh gerakan Islam yang lain di seluruh dunia. PAS dan DAP bukan sekadar bekerjasama hasil kompromi, malah mereka berjaya mengatur strategi dengan bersinergi. Bersama-sama dengan Parti Keadilan dan PRM ketika itu mereka membentuk Barisan Alternatif dengan meletakkan satu lawan satu di setiap kawasan pilihanraya. Hasilnya menjadi fenomena bersejarah dalam catatan politik tanah air. Tentu sahaja selepas kemenangan itu, soal perbezaan antara PAS dan DAP muncul kembali, dan pandangan saya terhadap gagasan Negara Islam yang PAS perjuangkan, telah pun saya perkatakan di dalam ulasan-ulasan saya tentang kemenangan AKP di Turki. Harapnya diskusi mengenai hal ini, tidaklah bercampur aduk dengan persoalan sinergi yang menjadi fokus kali ini. Tetapi pengalaman politik 1999 memperlihatkan apakah signifikannya SINERGI dalam pembangunan tamadun manusia.

PERBEZAAN ANTARA KITA: MASALAH ATAU PELUANG Sudah sekian lama, mereka yang mahu kepada Islam di negara kita sudah berpecah kepada begitu banyak kumpulan. Ada kumpulan politik, ada NGO Kebajikan, ada NGO Pendidikan, ada gerakan dakwah yang berpengkalan di masjid-masjid, dan senarai ini berterusan. Rasyid Ridha sudah lama menyeru dengan lisan Hasan al-Banna, bahawa kumpulan-kumpulan sebegini harus berlapang dada untuk bertolak ansur dalam perkara yang mereka saling bertentangan, dan bekerjasama dalam perkara yang disepakati. Tetapi ia masih slogan yang enak disebut, namun jauh dari realiti. Ia berbalik kepada mindset. Sudah lama PAS menganggap taaddud jamaah sebagai suatu jenayah kecelaan kepada dakwah dan ummah. Sudah lama juga JIM dan cabang-cabangnya menganggap keputusan mereka untuk wujud dan berkembang adalah kerana ketidakterbukaan PAS dalam mengakui kelemahan-kelemahannya yang banyak di kaca mata mereka. Manakala Tabligh melihat perbalahan ini sebagai sesuatu yang jauh dari fikir iman dan amal, lalu mereka menjauhkan diri dari polisi sosial dan memfokuskan kerja kepada agenda sendiri. Masing-masing buat hal masing-masing. Senarai ini berterusan dari satu kelompok kepada kelompok yang lain. Terkini, golongan Salafi muda pula membentuk entiti baru dengan elitisma Sunnah sebagai identiti kumpulan mereka. Selagi mana kita semua melihat perbezaan ini sebagai titik penting untuk mengekalkan survival masing-masing, selagi itu kita 1000 batu jauh dari sinergi dan mencari jalan keluar. Alangkan berlapang dada dan berkompromi terhadap perbezaan pun masih jauh dari realiti, apatah lagi untuk menjadikan perbezaan sebagai peluang dan bahan sinergi untuk tidak lagi taaasub menerima My Way dan taasub menolak Your Way, sebaliknya berusaha mencari High Way. Tidakkah ada kemungkinan untuk berbilang jemaah dan berbilang pendekatan ini tidak lagi dibaca sebagai masalah. Sebaliknya dilihat sebagai pengkhususan kerja oleh kumpulankumpulan Islam yang memang tiada siapa pun mampu untuk buat semua benda? Politik penting, tetapi dengan pembabitan dalam politik, menyebabkan banyak ruang yang ahli politik dan partinya tidak boleh tembusi atau berperanan. Pendidikan itu penting, tetapi beban dan tugasan dalam memperbaiki usaha mendidik masyarakat, memerlukan pergerakan ini bisa menembusi sempadan fahaman politik, agar sesiapa sahaja boleh datang mengambil kebaikan, lantas gerakan pendidikan harus mengambil sikap

bebas dari memihak kepada mana-mana aliran politik? Namun bukan dengan memusuhi politik. Tegasnya, kepelbagaian kumpulan Islam, wajar dilihat sebagai suatu perbezaan. Tetapi perbezaan itu adalah pengkhususan dan fokus, bukan semestinya persaingan atau pertembungan. Namun, Stephen Covey juga ada mengingatkan, bahawa sinergi perlu kepada penghayatan Habit #4 iaitu Think Win-Win, dan Habit #5 iaitu Seek First to Understand, Then to be Understood. Inilah cabaran kumpulan Islam. Pemikiran perlu dipositifkan, dan seterusnya bagaimanakah kesanggupan kita untuk memahami orang lain, sebelum meletakkan demand untuk difahami? Seruan saya kepada komitmen kita semua agar menghayati Habit #5 iaitu belajar untuk memahami sebelum mengharapkan diri difahami, itu pun sudah cukup untuk meributkan kehidupan saya, hingga Habit #5 itu menjadi terlalu pahit untuk ditulis buat masa ini. Akal, Hati dan Nafsu masih kunci kepada segalanya

y Habit #7: Sharpen The Saw


y y y y y

Sharpen the Saw Asah Gergaji bermaksud mengekalkan dan meningkatkan keupayaan asset sedia ada iaitu diri kita sendiri. Fizikal: Makanan berkhasiat, bersenam, dan berehat. Sosial/Emosional: Wujudkan hubungan sosial yang bermakna dan bermanfaat dengan orang lain. Mental: Belajar sesuatu, membaca, menulis, dan mengajar. Spiritual: Menggunakan masa sebaiknya, berkarya, berdoa, solat dan membantu golongan yang memerlukan serta dekat dengan masyarakat melalui badan pertubuhan amal anjuran kerajaan atau bukan. Rasulullah mengajar agar kita terus mengasah gergaji fizik, mental, sosial / emosional, dan spiritual ketika beliau bersabda: Orang Islam adalah orang yang begitu sibuk memperbaiki diri, sehingga tidak memiliki waktu lapang untuk mencari-cari aib orang lain. Orang Islam adalah orang yang hari ini lebih baik daripada kelmarin dan hari esok lebih baik darihari ini. Amal perbuatan yang paling disukai Allah adalah amal yang dilakukan terus-menerus walaupun sedikit .

Vous aimerez peut-être aussi