Vous êtes sur la page 1sur 3

Terjemahan Sahih Muslim-takdir

Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sekiranya seseorang itu ingin bersetubuh dengan isterinya hendaklah dia membaca Yang bermaksud: Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Wahai Tuhanku! Jauhilah kami dari syaitan dan jauhkanlah syaitan dari apa yang Engkau kurniakan kepada kami. Sekiranya perhubungan kelamin itu ditakdirkan mendapat seorang anak. Anak itu tidak akan diganggu oleh syaitan untuk selamanya. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2591,Bab Doa Yang Sunat Dibaca Ketika Berjimak) Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a katanya: Kami pernah berperang bersama Rasulullah s.a.w dalam peperangan Bani Mustaliq dan kami berjaya menawan beberapa orang perempuan Arab yang sangat cantik. Sebenarnya kami ingin bersetubuh dengan mereka tetapi kami bimbang mereka hamil, jadi kami melakukan A'zal dalam persetubuhan itu. Kami lakukan itu di saat Rasulullah s.a.w masih ada. Kami takut untuk bertanya masalah itu kepada baginda s.a.w. Tetapi akhirnya kami bertanya juga masalah itu kepada baginda. Baginda bersabda: Tidak perlu kamu lakukan itu kerana segala sesuatu yang telah ditakdirkan oleh Allah pasti akan wujud. Perkara sebegitu akan berlaku hingga Hari Kiamat. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2599,Bab Hukum A'zal Iaitu Menahan Air Mani Dari Sampai Ke Dalam Rahim) Hadis Abu Hurairah r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Janganlah kamu bernazar kerana nazar itu tidak dapat menolak sedikitpun takdir, ia hanyalah untuk mengeluarkan sesuatu dari orang yang bakhil. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #3096,Bab Larangan Bernazar Kerana Sesungguhnya Nazar Itu Tidak Dapat Menolak Sesuatupun) Hadis Abdullah bin Abbas r.a: Sesungguhnya Umar bin Al-Khattab pergi ke Syam. Apabila sampai ke sebuah dusun yang bernama Sarghi, beliau telah dikunjungi oleh penduduk di sekitarnya, iaitu Abu Ubaidah bin Al-Jarrah dan para pengikutnya. Mereka mengkhabarkan bahawa wabak (penyakit taun) telah berjangkit di Syam. Ibnu Abbas berkata setelah mendengar berita itu, Umar berkata: Cuba panggilkan para sahabat Muhajirin yang pertama. Aku melaksanakan perintah Umar. Umar mengajak mereka berbincang dan memberitahu kepada mereka bahawa wabak telah berjangkit di Syam. Mereka telah berbeza-beza pendapat mengenai berita tersebut. Sebahagian di antara mereka berkata: Engkau pergi untuk suatu urusan yang besar, jadi kami tidak sependapat sekiranya engkau pulang. Sebahagian yang lain pula berkata: Engkau diikuti oleh orang ramai dan para sahabat Rasulullah s.a.w, jadi kami tidak bersetuju apabila engkau membawa mereka menuju ke wabak ini. Umar berkata: Tinggalkanlah aku! Kemudian beliau berkata lagi: Tolong panggilkan para sahabat Ansar. Aku pun memanggil mereka. Ketika mereka diminta

berbincang, mereka telah berbeza-beza pendapat sebagaimana para sahabat Muhajirin. Umar berkata: Tinggalkanlah aku! Lalu beliau berkata lagi: Tolong panggilkan para pembesar Quraisy yang berhijrah sewaktu penaklukan dan sekarang mereka berada di sana. Aku memanggil mereka dan ternyata mereka telah sepakat kemudian berkata: Menurut kami, sebaik-baiknya engkau bawa sahaja mereka pulang dan tidak mengajak mereka memasuki kawasan wabak ini. Lalu Umar menyeru di tengah-tengah orang ramai: Aku akan memandu tungganganku untuk pulang, pulanglah bersamaku. Abu Ubaidah bin Al-Jarrah bertanya: Apakah itu bererti lari dari takdir Allah? Umar menjawab: Harapnya bukan engkau yang bertanya wahai Abu Ubaidah! Memang Umar tidak suka berselisih pendapat dengan Abu Ubaidah. Ya, kita lari dari ketentuan (takdir) Allah untuk menuju kepada takdir Allah yang lain. Apakah pendapatmu seandainya engkau mempunyai seekor unta yang turun di suatu lembah yang mempunyai dua keadaan, satunya subur dan satu lagi tandus. Adakah jika engkau mengembalanya pada tempat yang subur itu bukan bererti engkau mengembalanya kerana takdir Allah? Begitu pula sebaliknya, bukankah engkau mengembalanya kerana takdir Allah juga? Lalu datanglah Abdul Rahman bin Auf yang baru saja tiba dari suatu keperluan. Beliau berkata: Sesungguhnya aku mempunyai pengetahuan mengenai masalah ini. Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu mendengar terdapat wabak di suatu daerah, janganlah kamu datang ke tempatnya. Sebaliknya, sekiranya wabak itu berjangkit di suatu daerah sedangkan kamu berada di sana maka janganlah kamu keluar melarikan diri daripadanya. Mendengar kata-kata itu Umar bin Al-Khattab memuji Allah, kemudian beredar meninggalkan tempat itu. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #4114,Bab Penyakit Taun, Tanda tanda Atau Firasat, Mempelajari Dukun Dan Sebagainya) Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Selepas sembahyang Subuh, Rasulullah s.a.w bersabda kepada Bilal: Wahai Bilal ceritakan padaku tentang amalan (besar pahalanya) kamu yang kamu lakukan setelah berada dalam Islam, kerana semalam aku mendengar suara hentakan seliparmu di dalam Syurga. Bilal berkata: Aku tidak pernah melakukan suatu amalan (besar pahalanya) pun dalam Islam, tetapi selagi Allah mentakdirkan aku mendirikan sembahyang, maka aku akan berwuduk dengan sempurna samada malam ataupun siang hari. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #4497,Bab Sebahagian Dari Kelebihan Bilal r.a) Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w seorang yang benar serta dipercayai bersabda: Kejadian seseorang itu dikumpulkan di dalam perut ibunya selama empat puluh hari. Sebaik sahaja genap empat puluh hari kali kedua terbentuklah segumpal darah beku. Manakala genap empat puluh hari kali ketiga bertukar pula menjadi seketul daging. Kemudian Allah s.w.t mengutuskan malaikat untuk meniupkan roh serta memerintahkan supaya menulis empat perkara iaitu ditentukan rezeki, tempoh kematian, amalan serta nasibnya samada mendapat kecelakaan atau kebahagiaan. Maha suci Allah s.w.t di mana tiada tuhan selain-Nya. Seandainya seseorang itu melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni Syurga sehinggalah kehidupannya hanya tinggal sehasta dari tempoh kematiannya, tetapi disebabkan ketentuan takdir nescaya dia akan bertukar dengan melakukan amalan

sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni Neraka sehinggalah dia memasukinya. Begitu juga dengan mereka yang melakukan amalan ahli Neraka, tetapi disebabkan oleh ketentuan takdir nescaya dia akan bertukar dengan melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni Syurga sehinggalah dia memasukinya. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #4781,Bab Peringkat Kejadian Manusia Di Dalam Perut Ibunya, Termasuk Penentuan Rezeki, Tempoh Kematian, Amalan, Juga Mengenai Nasibnya Samada Mendapat Kecelakaan Atau Kebahagiaan) Hadis Abu Hurairah r.a: Nabi s.a.w selalu memohon perlindungan dari suratan takdir yang buruk, dari ditimpa kecelakaan, dari keghairahan musuh dan dari terkena bala. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #4880,Bab Memohon Perlindungan Dari Takdir Yang Buruk, Ditimpa Kecelakaan Dan Sebagainya)

Vous aimerez peut-être aussi