Vous êtes sur la page 1sur 7

AKHBAR / : LAIN-LAIN NEWSPAPER TARIKH / DATE : 15-Feb-2004 ISU / ISSUE : KERAJAAN TEMPATAN TAJUK / TITLE : SMS rosakkan bahasa

SEKSYEN / SECTION HARI / DAY MUKA SURAT / PAGE

: : AHAD : 18

Teks Keratan KUALA LUMPUR: Sistem Pesanan Ringkas (SMS), alat yang menjadi penghubung di antara dua individu dengan kaedah cepat dan menjimatkan, dikatakan merosakkan bahasa. Penggunaan simbol, kod dan perkataan singkatan tertentu secara meluas itu dikatakan punca kemerosotan penguasaan Bahasa Melayu di kalangan masyarakat dan pelajar sekolah. Malah, antara sebab kemerosotan pencapaian kelulusan Bahasa Inggeris dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2003 juga dikatakan berpunca daripada budaya perkhidmatan SMS dan sembang Internet di kalangan pelajar. Ramai calon menggunakan singkatan perkataan dalam esei mereka seperti yang dilakukan ketika bersembang atau SMS. Setiap hari kita dapat melihat iklan SMS yang memaparkan penggunaan kata singkatan, kod atau simbol disiarkan di media elektronik dan media cetak. Mengulas mengenai perkembangan bahasa SMS, Pengarah Jabatan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan, berkata langkah meminimumkan bahasa ketika berhubung dengan SMS sememangnya tidak dapat ditolak kerana ruang yang disediakan terhad. Menurutnya, singkatan perkataan, lambang, angka atau kod tertentu banyak digunakan untuk menggantikan maksud sebenar. Kadang-kala ayat yang ditulis bercampur aduk antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, bergantung kepada perkataan mana lebih pendek supaya maksud yang hendak disampaikan difahami oleh penerimanya dalam ruang terhad itu. Beliau berkata, penggunaan bahasa yang minimum itu tidak salah jika hanya digunakan ketika berhubung melalui SMS, seperti juga menulis dengan trengkas.

Bagaimanapun, masalah yang timbul sekarang ialah bahasa SMS terbawabawa kepada penggunaan rasmi hingga merosakkan bahasa. Pencemaran "Jika pengguna tidak dapat membezakan ragam bahasa rasmi dengan ragam bahasa basahan, pencemaran bahasa akan berlaku. Oleh itu, seseorang itu tidak sepatutnya terikut-ikut dengan ragam bahasa basahan hingga menggunakannya ketika melakukan urusan rasmi seperti karangan, surat rasmi dan memo," katanya. Antara contoh penyampaian dalam SMS ialah `x' bagi maksud tak atau tidak, `4' (untuk atau for), `cnma' (macam mana), `yg' (yang), `u' (awak), `tq' (terima kasih), `ok' (okey), `lg' (lagi), `g' (pergi) dan `p'kdmtn' (perkhidmatan). Menurut Dr Awang, walaupun perhubungan bersifat peribadi melalui SMS tidak dapat dielakkan, tidak sepatutnya bentuk gaya bahasa itu diketengahkan. "Saya yakin semua pemilik telefon bimbit menggunakan bahasa ringkas ketika berhubung melalui SMS kerana ruangnya terhad. "Penggunaan bahasa ringkas itu tidak salah, tetapi bahasa akan jadi rosak jika terbawa-bawa dalam penggunaan bahasa rasmi. Ini berlaku jika pengguna tidak dapat membezakan ragam bahasa rasmi dan tidak rasmi," katanya. Menurutnya, pengaruh bahasa SMS tidak meluas jika pengguna tidak menggunakan bahasa ringkas itu ketika berurusan rasmi, tulisan, memo, nota dan surat. Bagaimanapun, katanya, DBP tidak dipertanggungjawabkan dalam mengawal penggunaan bahasa ketika berhubung dalam bentuk peribadi seperti melalui SMS, seperti juga dengan penggunaan bahasa dalam perbualan harian di kalangan masyarakat. "Tanggungjawab DBP ialah memajukan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi seperti dalam bidang pendidikan, pentadbiran, media massa, bahasa di tempat awam dan undang-undang. "DBP tidak memberi perhatian terhadap bahasa yang diguna pakai dalam SMS, tetapi jika ragam bahasa itu digunakan dalam urusan rasmi yang mempengaruhi masyarakat, DBP akan memberi perhatian bagi mengelakkannya merosakkan bahasa," katanya. Beliau berkata, bagi mengelakkan bahasa rasmi tercemar akibat penggunaan

bahasa SMS, guru mesti memberi penekanan kepada pelajar supaya tahu membezakan antara bahasa untuk urusan rasmi dan tidak rasmi. Menurutnya, penggunaan singkatan perkataan berlaku terhadap semua bahasa di dunia, tetapi tidak menjadi masalah jika mereka dapat membezakan pengunaannya untuk tujuan rasmi atau tidak. "Dalam semua bahasa, ada bahasa tinggi dan bahasa basahan atau percakapan seharian. Masalahnya, dalam masyarakat kita, orang selalu tidak peka terhadap wujudnya sistem bahasa rasmi hingga berlaku kejadian mencampuradukkan bahasa," katanya. Menurutnya, usaha mengelakkan bahasa rasmi tercemar oleh bahasa SMS patut dipikul oleh semua pihak, misalnya DBP turut memberi khidmat nasihat bahasa, kursus, ceramah dan kempen kesedaran. "Pihak berkuasa tempatan dan jabatan kerajaan perlu bekerjasama dalam hal ini kerana mereka bertanggungjawab mengawal selia papan tanda dan memastikan pihak yang mengeluarkan iklan menggunakan bahasa betul. "Selain itu, penerbitan bahan bacaan yang menggunakan bahasa rojak atau pasar perlu dihentikan kerana dikhuatiri mempengaruhi remaja," katanya. Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sharifuddin Ibrahim, berkata DBKL sentiasa memantau bagi memastikan Bahasa Melayu dimartabatkan. Katanya, semua pihak di bawah bidang kuasa DBKL terikat dengan Undangundang Kecil Wilayah Persekutuan 1982 pindaan 1985 yang mensyaratkan mereka meletakkan Bahasa Melayu lebih jelas dan terang di papan tanda atau papan iklan, sekali pun jika ada bahasa lain bersamanya. (END)

Isnin Disember 11, 2006

Rosakkah bahasa kerana SMS?


Oleh Mohd Fadzli Fadhilah

PETALING JAYA: Di negara yang mempunyai lebih 21 juta pemilik telefon bimbit, Khidmat Pesanan Ringkas telah menjadi sebahagian daripada proses komunikasi harian. Ini bermakna, komunikasi teks melalui singkatan perkataan dan ayat yang kini dikenali sebagai bahasa teks menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kita. Walaupun ada pencinta Bahasa Melayu yang berpendapat bahasa teks ini boleh menghakis Bahasa Melayu, seorang pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berpendapat di sebaliknya berdasarkan kajian beliau. Felo Penyelidik Kanan Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Supyan Husin berkata dalam konteks Malaysia bahasa teks mampu merevolusi Bahasa Melayu. Kajian Dr Supyan dibentangkan dalam kertas kerja beliau yang bertajuk "Perimbangan Pembangunan Bahasa SMS dan Pelestarian Bahasa Kebangsaan" pada Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu anjuran Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya di sini baru-baru ini. Beliau berpendapat, walaupun bahasa teks tidak boleh mengantikan bahasa Melayu rasmi tetapi dengan mengambil langkah yang sewajarnya, bahasa teks boleh diterima sekurang-kurangnya untuk membolehkan komunikasi cepat. SINGKATAN LAZIM Menurut beliau, walaupun terdapat kecaman terhadap bahasa teks yang boleh merosakkan bahasa, beliau menegaskan tidak semua bahasa teks yang terbahagi kepada tujuh kategori singkatan bersifat begitu. Lima kategori singkatan yang boleh diterima pakai adalah singkatan lazim, singkatan gugur vokal/konsonan, singkatan lazim kolokial, singkatan representasi bunyi dan singkatan kataganda sementara dua kategori lagi boleh mencemar bahasa. Singkatan lazim adalah singkatan yang biasa digunakan dan sudah diterimapakai dalam bahasa Melayu serta terdapat dalam Kamus Bahasa Melayu terbitan Dewan Bahasa. "Penggunaan singkatan ini tidak menjejaskan pemahaman dalam komunikasi bahasa teks dan ia tidak merosakkan Bahasa Melayu, contoh singkatan adalah seperi "Bdr" yang membawa maksud Bandar, "Dlm" untuk Dalam, "org" untuk Orang dan "Kg" untuk Kampung," kata Supyan. SINGKATAN GUGUR KONSONAN/VOKAL DAN SINGKATAN KOLOKIAL Singkatan gugur vokal/konsonan berlaku apabila satu atau dua huruf vokal dan konsonan daripada perkataan asal digugurkan. Contohnya, "Ntah" untuk Entah, "Mrh" untuk Marah, "Nnti" untuk Nanti dan "Skrng" untuk Sekarang. Walaupun demikian perkataan-perkataan ini masih boleh difahami.

Penggunaan singkatan ini boleh difahami jika kita merujuk kepada bahasa Melayu yang ditulis menggunakan huruf Jawi. Tulisan Jawi tidak menggunakan huruf vokal tetapi dikuasai oleh huruf konsonan dan disebut mengikut konteks. "Ini bermakna orang Melayu yang biasa dengan tulisan Jawi tidak akan menghadapi masalah dalam memahami singkatan perkataan Bahasa Melayu yang digunakan dalam bahasa teks. Setiap singkatan perkataan yang digunakan harus berdasarkan konteks ayat yang dipakai," kata Supyan. Kategori ketiga ialah kategori singkatan lazim kolokial. Singkatan ejaan dalam kategori ini pula lari daripada kaedah mengeja dalam bahasa Melayu. Bagaimanapun, singkatan ini boleh difahami kerana biasa digunakan dalam pertuturan tidak rasmi contohnya, "amek" untuk ambil, "ari" untuk hari, dan "kuar" untuk keluar. SINGKATAN REPRESENTASI DAN SINGKATAN KATAGANDA Singkatan representasi atau homofon diguna untuk melambangkan sesuatu perasaan atau perbuatan. Singkatan seperti "Hmm..." yang menunjukkan sedang berfikir, "Wow!" untuk rasa kagum, "Eeee" untuk jeritan, "Errr" untuk rasa geram dan "Hehehe/hahaha/ kehkeh untuk ketawa. Kategori terakhir yang boleh diterimapakai ialah singkatan kataganda. Perkataan berganda dalam bahasa Melayu telah disingkatkan dalam bahasa teks, contohnya "tetiba" untuk tiba-tiba dan "kekadang" untuk kadang-kadang. "Apa yang berlaku ialah gabungan perkataan ditambah dengan huruf awalan perkataan berkenaan dan huruf `e'. "Perkataan seperti `Masing-masing' boleh disingkatkan menjadi Memasing, Sama-sama menjadi Sesama, Kupukupu sebagai Kekupu serta kelip-kelip disingkatkan sebagai Kekelip. Sekiranya perkataan ganda ini boleh disatukan, maka sudah pasti singkatan ini boleh menyumbangkan kepada perkembangan bahasa Melayu," kata Supyan. Beliau turut memberikan contoh keadaan di Indonesia yang mana bahasa Indonesia merupakan bahasa yang paling ramai penuturnya di Nusantara yang mana perkataan bahasa teks sudah mula diterimapakai dalam bahasa rasmi Indonesia. Singkatan seperti Bandara untuk Bandar Udara iaitu lapangan terbang dan Wartel untuk Warung Telefon diterima pakai meluas dalam bahasa Indonesia. BAHASA TEKS YANG MENGANCAM BAHASA MELAYU Menurut Supyan, terdapat perkataan dalam bahasa teks yang tidak bersifat singkatan tetapi bersifat kelampauan. Kelampuan perkataan ini boleh merosakkan bahasa Melayu dan jika diterima meluas oleh generasi baru ia boleh mencelarukan keadaan. Perkataan "Giler" yang bermaksud "gila", "Jadik" untuk jadi, "xnak" bermaksud tidak hendak, "wat" untuk buat, "cian" untuk kasihan, "nape" untuk kenapa dan "keje" untuk kerja. "Perkataan-perkataan ini bukanlah satu singkatan tetapi perkataan yang ejaannya telah diubah sembarangan dan keadaan ini tidak meyumbang kepada perkembangan bahasa teks tetapi sebaliknya mengelirukan dan membantutkan proses inovasi bahasa yang positif," kata Supyan. Supyan menambah lagi, terdapat juga perkataan yang disingkatkan daripada bahasa Inggeris dan "dimelayukan seperti "lebiu" untuk "love you", "opis" untuk "pergi office" dan "kol" untuk `saya call nanti'.

Menurut Supyan, perkataan-perkataan melampau ini beliau kumpulkan daripada ruang bual yang disediakan oleh stesen televisyen satelit Astro melalui saluran 15 dan 16. Perkataan bahasa Inggeris yang dimelayukan tanpa batasan adalah satu aktiviti yang tidak sihat dan boleh memberikan kesan yang tidak baik terhadap bahasa Melayu. "Jika tidak dipantau, perkataan yang bersifat kelampuan ini akan digunapakai oleh generasi muda akibat penggunaan yang berleluasa melalui media elektronik itu dan akan merosakkan bahasa kita dan mencemarkan identiti bahasa kebangsaan kita," tambahnya. BAHASA TEKS BAHASA TIDAK RASMI Mengulas mengenai perkembangan bahasa teks ini, Pengarah Jabatan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Noresah Baharom berkata penggunaan bahasa teks ketika berhubung dengan SMS sememangnya tidak dapat ditolak kerana ruang yang disediakan adalah terhad. Menurutnya, singkatan perkataan, lambang, angka atau kod tertentu banyak digunakan untuk menggantikan maksud sebenar. Kadangkala ayat yang ditulis bercampur aduk antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, bergantung kepada perkataan mana lebih pendek supaya maksud yang hendak disampaikan difahami oleh penerimanya dalam ruang terhad itu. Beliau berkata, penggunaan bahasa yang minimum itu tidak salah jika hanya digunakan ketika berhubung melalui SMS, seperti juga menulis dengan trengkas. Bagaimanapun, masalah yang timbul sekarang ialah bahasa SMS terbawa-bawa kepada penggunaan rasmi hingga merosakkan bahasa. Menurut Noresah, walaupun komunikasi bersifat peribadi melalui SMS tidak dapat dielakkan, tidak sepatutnya bentuk gaya bahasa itu diketengahkan. "Seseorang itu tidak sepatutnya terikutikut dengan ragam bahasa basahan hingga menggunakannya ketika melakukan urusan rasmi seperti karangan, surat rasmi dan memo," katanya. Menurutnya, penggunaan singkatan perkataan berlaku dalam semua bahasa di dunia, tetapi tidak menjadi masalah jika mereka dapat membezakan pengunaannya untuk tujuan rasmi dan bukan rasmi. Beliau berkata, bagi mengelakkan bahasa rasmi tercemar akibat penggunaan bahasa SMS, guru mesti memberi penekanan kepada pelajar supaya tahu membezakan antara bahasa untuk urusan rasmi dan tidak rasmi. Suka atau tidak, bahasa teks akan terus berkembang pesat sejajar dengan perkembangan teknologi komunikasi seperti internet dan telefon bimbit dengan peningkatan penduduk negara ini memiliki telefon bimbit. Senarai perkataan SMS akan terus meningkat dan terpulang kepada pihak yang terbabit untuk memanfaatkan teknologi demi mengembang dan memperkukuhkan bahasa Melayu.BERNAMA

Vous aimerez peut-être aussi