Vous êtes sur la page 1sur 5

AKHBAR MELAYU BAKAL PUPUS?

Oleh AHMAD ZAKI ISMAIL

RAYUAN, tuntutan dan saranan bagi menyelamatkan khazanah negara dan waris
sejarah perjuangan bangsa berwadah media cetak yakni Kumpulan Utusan sudah
jelas menunjukkan bahawa ia dalam tahap kritikal.
Malah isu ini bukan satu pekara yang terpinggir atau sekadar sebahagian daripada
rutin dunia perdagangan komersial semata-mata. Tentu ada perkara yang lebih
besar agendanya, hebat cabarannya dan buruk impaknya jika tidak kita berikan
perhatian yang wajar.
Ini bukan satu gimik atau sinikal tidak juga dengan niat provokasi, tetapi lebih
merupakan satu hakikat. Ia mesti dilihat secara serius bukan sahaja oleh golongan
pejuang bahasa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu atau pemimpin politik
kerajaan. Malah ia juga patut diberikan perhatian sewajarnya oleh seluruh
masyarakat tanpa mengira bangsa, keturunan dan agama kerana legasi akhbar ini
mempunyai pertalian khusus dengan sejarah pembentukan negara Malaysia yang
merdeka.
Peranan besar Kumpulan Utusan tidak memerlukan sebarang hipotesis kerana
mempunyai banyak bukti yang amat nyata. Tetapi, cubaan memusnahkan
kredibilitinya sudah menjadi kenyataan apabila teras utama Kumpulan akhbar
Utusan Melayu dikuburkan tanpa nisan atau sebarang upacara pada 29 Januari
2006.
Hanya selepas diadakan pelbagai bantahan oleh golongan yang masih peka, maka
empat bulan kemudian ia diterbitkan semula sebagai sisipan percuma. Dengan kata
mudah tanpa nilai komersial tetapi lebih bersifat obligasi nasional dan sosial semata-
mata.
Sekiranya Kumpulan Utusan diibarat umpama rumah khususnya rumah tradisi orang
Melayu yang bertunjangkan tiang seri sebagai teras, maka kekuatan seluruh struktur
rumah itu sudah pun dipotong atau dirobohkan.
Dengan perkataan lain binaan yang tinggal tidak lagi mempunyai penyokong. Ia
samalah seperti manusia tanpa tulang belakang. Sedangkan sotong yang lembut
pun mempunyai tulang belakang, tetapi Kumpulan Utusan bergerak sebaliknya
dengan menongkah arus.
Selepas itu, serangan demi serangan terus dilakukan. Tuduhan yang pelbagai
dilemparkan, diperkuatkan pula dengan gerakan memboikot, mencerca, malahan
mengambil tindakan undang-undang oleh pelbagai pihak termasuk oleh mereka
yang sebangsa dan seagama bertali arus tidak pernah susut atau putus. Ini semua
dilihat bagai sebuah komplot bagi menutup wadah perjuangan utama umat Melayu
secara terang-terangan.
Tidak cukup setakat itu, kini wujud pula kumpulan yang lebih berbahaya sedang
cuba mengambil kesempatan mencurah tuba demi kepentingan poket sendiri. Usaha
menggabungkan dua akhbar utama yang sebelum ini dikuasai oleh bangsa Melayu
(kini tidak lagi) New Straits Times Press (NSTP) dan Kumpulan Utusan telah kecur
diuar-uarkan.
Ini amat meyakinkan bahawa memang benar wujud agenda dan tangan yang rakus
sudah mengambil kesempatan tanpa menghiraukan kepentingan bangsa Melayu itu
sendiri.
Apakah benar Kumpulan Utusan sudah tidak berdaya maju, tidak relevan, tidak
peka, tidak responsif, tidak bernilai, tidak komersial atau tidak memahami situasi
semasa sehingga perlu dilaksanakan penggabungan, penyingkiran atau ditutup
operasinya? Bagi memberikan keadilan kita lihat dahulu fakta-fakta sebenar
sebelum menarik sebarang kesimpulan mengenainya.
Mula diterbitkan di Singapura seawal tahun 1907. Versi pertama dicetak dan
diterbitkan oleh Singapura Free Press dan ia ditulis dengan menggunakan tulisan
Jawi dan Rumi yang mengandungi empat halaman.
Tujuannya adalah untuk memudahkan pembaca yang tidak dapat menguasai tulisan
Jawi ataupun Rumi dapat membuat pilihan mengikut keupayaan mereka.
Bagaimanapun, ruangan yang bertulisan Jawi lebih banyak kerana ia memuatkan
berita-berita ringkas dan iklan.
Di antara pengarang akhbar ini ketika itu ialah Yunos Abdullah (1907-1909), Abdul
Hamid Miskin (1909-1914), Mohd. Ismail Abdul Kadir (1914-1918) dan Syed
Sadullah Khan (1908-1921) sehinggalah akhbar ini dihentikan penerbitannya pada
tahun 1921.
Bagaimanapun, hasil usaha gigih para pejuang Melayu, akhbar ini diwujudkan
semula dan diperbadankan pada tahun 1938 sebagai Utusan Melayu Press Limited.
Akhbar ulungnya, Utusan Melayu kembali dilancarkan pada 29 Mei 1939. Dengan
menggunakan tulisan Jawi, akhbar tersebut dicetak di Singapura bagi memenuhi
kehendak para pembaca yang celik Jawi di Tanah Melayu yang menjadi jajahan
British.
Menyusulinya pada tahun yang sama edisi Ahad, Utusan Zaman telah diterbitkan.
Utusan Melayu dan Utusan Zaman berada di barisan hadapan membangunkan
intelek-intelek nasionalis Melayu yang kemudian bangun sebagai pejuang
kemerdekaan daripada cengkaman kolonial British.
Mulai Februari 1958, lima bulan selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, ibu
pejabat Utusan Melayu dipindahkan ke Kuala Lumpur. Dengan perpindahan ini,
Kumpulan Utusan telah memperkukuhkan kedudukannya dan terus memainkan
peranan utama sebagai penyumbang aktif dalam pembangunan ekonomi, sosial dan
politik Malaysia.
Pada 1967, ia telah diperbadankan sebagai sebuah syarikat berhad awam di bawah
Akta Syarikat, dengan nama Utusan Melayu (Malaysia) Berhad. Sejak itu, ia telah
berkembang dengan amat pesat sehingga mencapai puncaknya dengan
penyenaraian di Papan Utama Bursa Saham Kuala Lumpur pada 1994.
Malah sebagai peneraju media cetak berbahasa Melayu, Kumpulan Utusan peka
terhadap perkembangan dunia multi media dan elektronik. Kerana itu, mereka
mengambil langkah pro aktif untuk menubuhkan Utusan Multimedia Sdn. Bhd., pada
tahun 1996. Tidak lama kemudian ia disusuli dengan pelancaran Utusan Malaysia
On-Line, akhbar dalam talian yang terulung di Malaysia dalam bentuk teks dan
visual yang mantap.
Tidak terhenti setakat itu sahaja, untuk lebih berdaya saing dan mengukuhkan
kedudukannya, syarikat ini bermula pada tahun 1997 telah menjadi penyedia akses
Internet melalui penubuhan Jaring. Usaha ini telah menggalakkan pembentukan
intranet Kumpulan Utusan sendiri dan penubuhan Net Space Learning Sdn. Bhd.,
sebuah syarikat pendidikan multimedia. Langkah ini kemudiannya diikuti oleh
akhbar-akhbar lain apabila mendapati bahawa banyak pembaca di negara ini sudah
boleh menerima idea akhbar dalam talian.
Perniagaan kumpulan ini tidak terhad hanya kepada penerbitan akhbar semata-mata
tetapi mencakupi pelbagai bidang termasuk pengiklanan, percetakan, penerbitan,
pengedaran, penyedia perkhidmatan ICT, pengangkutan dan pelbagai lagi. Ia
dengan jelas menunjukkan bahawa Kumpulan Utusan bukan lagi sebuah perniagaan
media tetapi sudah membuat pelbagai penerokaan dengan kreativiti tersendiri.
Bermakna ia bukan sahaja bertaraf korporat tetapi sudah menjadi konglomerat.
Lantaran kemampuan kumpulan ini dan juga komitmen mereka yang tidak berbelah
bahagi menjadi pendokong perjuangan bangsa telah mengundang rasa marah,
dengki malahan benci yang sengaja diolah sedemikian rupa bagi menggambarkan
bahawa ia semata-mata memperjuangkan golongan tertentu.
Musuh bangsa telah mengatur strategi halus bagi memusnahkan platform kukuh ini
supaya segera dapat dinyahkan dan dihindarkan untuk menjadi penghalang kepada
agenda besar mereka menghapuskan dasar 'Ketuanan Melayu.'
Cabaran ini bukan kecil, tetapi amat mantap dan tersusun serta sistematik.
Menggunakan pelbagai pendekatan yang tidak mampu terhidu dan dikesan secara
mata kasar sekiranya kita tidak peka menggunakan deria yang lebih sensitif. Apa
yang dikhuatiri sekarang ia sudah hampir mencapai matlamatnya.
Mudah untuk mengukur kejayaan mereka yang jelas terpamer apabila khalayak
pembaca dan pengiklan sudah lebih mengutamakan akhbar berbahasa lain
berbanding bahasa Melayu. Walhal dengan jumlah penduduk bumiputra yang
melebihi 16 juta orang, sepatutnya edaran akhbar berbahasa Melayu juga
sepatutnya menjadi yang terbesar, paling berpengaruh dan menerima tempahan
iklan tertinggi malah menjadi pilihan utama kepada rakyat negara ini.

Jati diri
Malangnya, yang terjadi adalah sebaliknya. Atas dasar menjaga sosio status, warga
Malaysia yang kononnya cintakan negara ini memilih membeli dan membaca akhbar
yang menggunakan bahasa pengantara yang tidak menggambarkan jati diri mereka
sebagai warganegara Malaysia. Apakah kerajaan atau pihak berwajib menyedari
perkara ini?
Apakah tidak boleh dijadikan dasar bahawa 70 peratus iklan mestilah diterbitkan di
dalam bahasa Melayu, manakala semua jabatan kerajaan mesti membeli akhbar
berbahasa yang sama. Apabila pihak berkuasa sendiri dan pemegang amanah
bangsa sendiri tidak mempunyai sikap nasionalis dan rasa cinta kepada hak milik
sendiri apalah yang boleh diharapkan daripada orang lain.
Lihat sahaja akhbar lain yang dianjurkan oleh etnik berbeza di dokong dan disokong
oleh bangsa mereka sehingga tanpa segan dan silu mereka membeli, mengelek,
membaca dan menghargai akhbar berkenaan.
Walhal kita pula dengan jauh dan bangga menopengkan kebodohan diri dengan
memaparkan budaya intelektual kononnya menyokong tidak bertempat penerbitan
akhbar lain sehingga mengabaikan milik sendiri.
Benarlah pepatah mengatakan bahawa 'kera di hutan disusukan anak di pangkuan
mati kelaparan'. Bukanlah kita menafikan kepentingan bahasa kedua, tetapi
namanya pun bahasa kedua tentulah prioritinya pun patut di kelas kedua juga dan
bukanlah sebaliknya.
Tentu tidak lama lagi akhbar-akhbar berbahasa Melayu akan segera berkubur. Malah
bangsa Melayulah juga yang menguburkannya kerana mereka sudah menjadi
penderhaka dan pengkhianat kepada bangsa, bahasa dan budaya sendiri. Jangan
tuding jari kepada orang lain untuk mencari kesalahan dan meletakkan alasan,
cerminlah diri sendiri dan sekiranya inginkan perubahan, lakukanlah dengan diri
sendiri dahulu termasuk bijak menggunakan kuasa yang dimiliki secara bestari.
Memang sukar dipercayai bila orang Melayu memegang kuasa menjadi pemerintah
dan pegawai kanan kerajaan gagal memahami apa yang disebut sebagai agenda.
Sehingga hidup seharian tidak lebih sifatnya daripada seekor beruk yang hanya bila
celik mata mencari rezeki dan petang pulang ke rumah untuk menggauli bini
semata-mata. Esok perkara yang sama diulangi lagi dan lagi. Tidak langsung terniat
atau terlintas bagi menyumbang sekadar berfikir mencari jalan untuk membantu
anak bangsa sendiri menggapai impian dan mencipta kejayaan seperti yang
dilakukan oleh bangsa lain.
Sudah di penghujung jalan, amat tersepit dan diasak dari pelbagai penjuru.
Bukanlah pula mustahil dalam masa terdekat tema yang tercatat yakni akbar
berbahasa Melayu akan pupus lebih segera berlaku sebelum kita sempat
menyedarinya. Janganlah menjadi petualang kepada bangsa sendiri sekiranya kita
tidak mampu menyumbang. Keteguhan dan kekuatan negara bukanlah tidak
mungkin goyah kerana ia bersifat fleksi. Kita tidak boleh mengharap orang lain
mempertahankannya kerana orang lain pula akan mengharapkan kita. Begitulah
sebalik dan seterusnya.
Strategi mesti disusun, sahsiah perlu diasah, gerakan mesti diatur bagi mempastikan
kesinambungan akhbar berbahasa Melayu terutama Kumpulan Utusan ini
berlanjutan untuk diwariskan kepada generasi yang akan datang.
Takut nanti bahasa Melayu dan budayanya hanya mampu dipamerkan di galeri
muzium sebagai tatapan sejarah. Ia sudah berlaku di Amerika syarikat, Australia,
Rom dan sebagainya. Sejarah tidak pernah berdusta.
Akhbar Melayu umpama spesies dinosour dan sumber alam terpelihara. Sekiranya
tidak dilindungi ia akan segera pupus. Hayatilah luahan ini bukan sebagai retorik
tetapi ia berlandaskan fakta, kajian dan juga justifikasi yang amat bertanggung jawab
dan teliti.
Para pembaca, aktivis malahan seluruh rakyat yang cintakan negara yang namanya
juga dikaitkan dengan Melayu mestilah mengambil langkah ke hadapan dengan
kadar segera supaya ia dapat dihindar daripada berlaku. Jangan menyesali takdir
sekiranya kita mampu mengubahnya.

Utusan Malaysia, Isnin 24/11/2008

Vous aimerez peut-être aussi