Vous êtes sur la page 1sur 13

Di dalam sebuah kolam, tinggal seekor ikan laga yang cantik.

Di situ jugalah tempat tinggal ikan keli, ikan puyu dan ikan sepat.

Ekor ikan laga sangat cantik. Ekornya akan mengembang seperti kipas apabila ia berenang. Sisik birunya pula berkilat-kilat dan tersusun cantik.

Ikan laga sangat berbangga dengan kecantikannya. Bagi ikan laga tidak ada ikan lain di dalam kolam itu yang lebih cantik daripadanya.

Ikan laga sangat sombong. Ikan laga tidak mahu berkawan dengan keli, puyu dan sepat. Baginya ikan-ikan tersebut tidak menarik dan tidak setanding dirinya.

Pada suatu hari, ikan laga bertembung dengan ikan keli semasa berenang-renang. Hai, ikan laga ! Kamu hendak ke mana ? tegur ikan keli.

Namun ikan laga terus sahaja berenang dengan bongkak tanpa menjawab sapaan ikan keli itu.

Sombongnya ikan laga itu. Entah apa yang dibanggakan dengan kecantikannya itu, keluh ikan keli.

Keesokannya ikan laga bertemu pula dengan ikan puyu. Hai, ikan laga ! Kamu hendak ke mana ? tegur ikan puyu dengan ramah.

Seperti selalu, ikan laga tidak mempedulikannya.

Sombong betul ikan laga itu, kata ikan puyu dengan kesal.

Beberapa hari kemudian, ikan laga bertembung pula dengan ikan sepat. Hai, ikan laga ! Kamu hendak ke mana ? tegur ikan sepat yang ramah.

Walau ke mana sahaja aku ingin pergi, tidak ada kena mengena dengan kamu, jawab ikan laga dengan angkuh.

Aku sekadar bertanya. Bukankah kita tinggal di kolam yang sama ? Eloklah kita saling mengambil berat, jawab ikan sepat dengan mesra.

Aku tidak perlukan kawan-kawan seperti kamu. Kamu boleh berkawan dengan keli dan puyu kerana mereka sama seperti kamu. Badan kamu hitam dan hodah. Tidak menarik langsung, balas ikan laga menghina ikan sepat.

Semenjak hari itu ikan keli, ikan puyu dan ikan sepat tidak lagi menegur ikan laga. Bagi mereka biarlah mereka tidak cantik tetapi mereka mempunyai kawan yang baik dan tidak menyakitkan hati.

Ikan laga berasa gembira kerana ikan keli, ikan puyu dan ikan sepat tidak lagi mengganggunya.

Lega rasanya. Tidak ada lagi gangguan daripada ikan-ikan hodoh itu, bisik hati ikan laga.

Pada suatu hari, ikan laga bertembung dengan seekor ikan laga lain yang berwarna merah. Ikan laga terperanjat kerana selama ini dia tidak pernah bertemu dengan ikan laga merah di dalam kolam itu.

Sudah menjadi resam ikan laga akan bertarung setiap kali bertemu. Ikan laga yang sombong itu tidak dapat mengelak daripada ikan laga merah yang kelihatan bengis. Mereka mula mengembangkan ekor masing-masing tanda bersedia untuk beradu kekuatan.

Ikan laga merah sangat garang. Dia menyerang ikan laga yang sombong bertubi-tubi. Walau bagaimanapun ikan laga yang sombong itu tetap melawan dan tidak mudah menyerah kalah. Tidak lama kemudian ikan laga yang sombong itu mulai lemah dan hampir tewas.

Ikan laga yang sombong berasa sangat sakit. Habis ekornya yang kembang itu terkoyak. Badannya yang cantik dan selalu dibanggakan selama ini bercalar dan berdarah.

Pada masa yang sama, ikan keli lalu di tempat dua ekor ikan laga itu bertarung. Ikan keli melihat ikan laga yang sombong itu sudah terlalu lemah untuk terus melawan serangan musuhnya.

Ikan keli tidak menghiraukan pergaduhan tersebut kerana masih berkecil hati dengan keangkuhan dan hinaan ikan laga yang sombong itu.

Ikan keli terus berenang, berlalu dari situ. Tidak berapa lama kemudian ikan keli berpatah balik sambil berfikir.

Kasihan pula aku lihat ikan laga itu. Walaupun dia sangat sombong tetapi dia tetap penghuni di kolam ini. Kalau dia mati, aku akan rasa bersalah sepanjang hidup aku nanti, bisik hati kecil ikan keli.

Ikan keli terus berpatah balik dan menghampiri dua ekor ikan laga itu. Masing-masing tidak mahu mengalah. Ikan keli terus menyerang ikan laga merah yang sedang mengganas. Badan ikan keli yang besar bersama sengatnya yang berbisa berjaya menakutkan ikan laga merah.

Ikan keli membantu ikan laga sombong yang terlalu lemah untuk berenang sendirian. Ikan laga itu berasa amat terhutang budi kepada ikan keli yang sanggup membantunya walaupun pernah dihina.

Ikan laga berasa sangat malu dengan sikapnya yang sombong dan bongkak selama ini. Ikan laga sangat berterima kasih kepada ikan keli. Dia juga meminta maaf kepada ikan keli, ikan puyu dan ikan sepat.

Dia berasa insaf dan sedar kecantikan yang dibanggakan selama ini boleh hilang dalam sekelip mata. Sikap sombongnya pula tidak mendatangkan apa-apa kebaikan. Sebaliknya persahabatan amat penting dalam kehidupan.

Sejak hari itu, ikan laga, ikan keli, ikan puyu dan ikan sepat berkawan baik dan hidup harmoni di kolam tersebut.

TAMAT

No. matrik : J43783

RAHIMAH BT MOKHTAR Bachelor Pendidikan (Pendidikan Sekolah Rendah) Dengan Kepujian Major Bahasa Melayu

Untuk perhatian :

Prof. Madya Dr. Abdul Rasid B. Jamian

Vous aimerez peut-être aussi