Vous êtes sur la page 1sur 16

ANALISIS ARTIKEL ISU KEGURUAN :

Sabar, Minat Pendinding Guru

JABATAN ILMU PENDIDIKAN IPG KAMPUS TUANKU BAINUN

Isu : Sabar, Minat Pendinding Guru

1.0 Pengenalan Ramai berpendapat, secara umumnya kerjaya sebagai seorang guru merupakan suatu pekerjaan yang murni. Tambahan pula dikatakan guru mempunyai cuti yang banyak. Ada juga yang mengatakan menjadi seorang guru senang dan memperoleh pendapatan tinggi dan tetap. Tidak kurang juga yang menyatakan menjadi seorang guru merupakan jalan mati setelah profesion lain tidak memberikan peluang yang baik. Pelbagai tanggapan yang boleh disimpulkan sama ada dalam kalangan masyarakat umum tentang profesion seorang guru. Namun begitu, sebenarnya profesion menjadi seorang guru bukan sahaja suatu pekerjaan yang murni dan baik malah seorang guru perlu menggalas suatu tugas dan cabaran yang hebat untuk mendidik, membimbing dan menunjuk ajar dalam proses membentuk seorang manusia untuk menjadi modal insan yang berguna untuk agama, bangsa dan negara. Dalam mengharungi proses dan sistem pendidikan tersebut khususnya di negara kita, seorang guru sering menghadapi pelbagai cabaran. Oleh itu, dalam diri setiap guru perlu tersemat ciri-ciri yang boleh membantu mereka dalam mengharungi cabaran dunia pendidikan masa kini. Salah satu ciri seorang guru yang perlu ada adalah sabar. Perkataan sabar adalah sangat sinonim dengan profesion peguruan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan sabar didefinisikan dalam dua makna. Pertama, sabar ialah perihal seseorang yang sanggup menahan penderitaan dan yang keduanya sabar bermaksud perihal seseorang yang boleh menahan kesusahan. Dalam dunia seorang guru, menghadapi sikap anak didik yang tidak sesuai dengan apa yang diingini, seperti tidak mempedulikan pelajaran, melanggar disiplin, tidak membuat tugasan yang diberikan, atau bahkan tidak boleh memahami pelajaran yang telah disampaikan adalah satu senario biasa. Seorang guru yang tidak sabar pasti akan merasa jengkel dengan keadaan ini

sekaligus perasaan marah akan timbul. Namun, bagi seorang guru yang boleh bersabar, mereka tentu akan mendapatkan hasil yang menyenangkan. Hal ini kerana, guru yang sabar mempunyai keyakinan bahawa hal yang tidak diinginkan dan yang terjadi pada anak didiknya adalah sesuatu yang tidak kekal. Cepat atau lambat perilaku anak didik yang tidak diinginkan tersebut pasti akan berubah seiring dengan tempoh tumbesaran mereka. Selain itu, aspek kedua yang perlu diambil kira untuk menceburkan diri dalam profesion seorang guru ialah minat. Tanpa minat sukar untuk seseorang berjaya dalam bidang yang diceburi. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan minat bermaksud keinginan, kegemaran, kesukaan dan kecenderungan kepada sesuatu. Oleh itu, secara lateralnya minat membawa maksud suatu perasaan suka melakukan sesuatu perkara yang boleh membawa kejayaan kepada sesebuah organisasi. Dalam konteks perguruan, minat menjadi seorang guru perlu dibuktikan berdasarkan keupayaan seorang guru dalam melaksanakan tugasannya dengan cemerlang bukan sahaja dalam bilik darjah namun di sekolah secara amnya.

Manakala, definisi perkataan pendinding pula membawa maksud penutup, penyekat, penghalang, dan pelindung. Justeru, jelaslah di sini bahawa ciri sabar dan minat menjadi seorang guru menjadi satu benteng yang utuh kepada seorang guru untuk terus bertahan dalam menghadapi dunia pendidikan masa kini yang semakin mencabar.

2.0 Perkembangan

Melalui artikel yang telah dipilih, isu yang diperkatakan ialah mengenai perlunya sifat sabar dan minat terhadap profesion dalam diri seorang guru atau pendidik. Kewujudan kedua-dua elemen ini akan menjadi pemangkin untuk seseorang guru terus bertahan dalam dunia pendidikan. Dalam proses membentuk elemen-elemen baik ini dalam diri seorang guru, antara cabaran yang perlu dihadapi ialah, guru menghadapi cabaran dari segi mendisiplinkan murid. Seringkali sifat sabar seorang guru teruji dengan tahap disiplin murid masa kini. Dahulu, para pendidik mempunyai status yang tinggi dalam hierarki hidup masyarakat tetapi sekarang tidak lagi. Hal ini kerana murid hari ini dimewahkan oleh ibu bapa sendiri. Fenomena yang biasa berlaku sekarang ialah para guru menunggu bas manakala murid menunggu pemandu peribadi mereka untuk pulang apabila selesai sesi persekolahan. Tidak kurang yang memandu sendiri ke sekolah dan amat biasa murid memegang telefon bimbit. Kedudukan ekonomi mereka yang lebih baik menyebabkan hormat mereka terhadap guru berkurangan. Guru sering dipandang rendah dan akibatnya mereka tidak takut untuk melawan guru. Sikap ibu bapa yang menyebelahi anak-anak juga menjadi punca murid melawan guru. Cabaran guru sekarang adalah untuk membangunkan rapport bersama murid. Masalah ini akan lebih ketara bagi guru permulaan. Perhubungan antara guru dengan murid di dalam bilik darjah perlu diwujudkan supaya pembelajaran berkesan dapat dipraktikkan. Situasi ini akan mendorong seseorang guru mengamalkan tingkah laku yang efektif dan berkualiti. Fenomena ini memerlukan kemahiran, keupayaan dan komitmen yang tinggi. Selain dari itu, terdapat percubaan guru untuk memasuki dunia murid dengan hasrat mempengaruhi dan memimpin mereka. Kejayaan memasuki dunia murid dapat menghasilkan persefahaman dengan murid khususnya pada taraf emosi yang mesra. Namun begitu cabaran yang dihadapi oleh guru adalah untuk membina hubungan yang dimaksudkan itu. Bukan semua guru dapat melaksanakannnya. Jika guru

berjaya mengatasi cabaran tersebut, akhirnya dua pihak yang terlibat akan saling bersedia serta sanggup berkongsi pengalaman dan saling bekerjasama ( Syed Ismail Bin Syed Mustapa, Ahmad Subki Bin Miskon 2010). Dalam hal ini, sekali lagi sifat sabar seorang guru sangat diperlukan. Bukanlah sesuatu yang mudah untuk menyelami karakter murid yang pelbagai. Sebagai contoh, satu kes yang pernah dilaporkan oleh akhbar Harian Metro berkaitan seorang murid darjah enam yang membelasah gurunya dengan penyodok sampah pada 18 April 2006 kerana tidak puas hati dengan hukuman guru terbabit terhadapnya berikutan tidak menyiapkan kerja sekolah. Dalam kejadian tersebut, murid itu dimarahi oleh guru dan disuruh menyiapkan kerja rumah sambil berdiri. Melalui kes-kes yang berlaku ini, jelas menunjukkan kepada umum bahawa, kini guru tidak lagi mempunyai hak kuasa veto untuk menghukum pelajar. Pelajar sekarang sangat agresif dalam tindak tanduk mereka. Andai diteruskan bentuk hukuman yang sama seperti zaman dulu iaitu dengan merotan, pasti akan membawa padah kepada guru. Selain itu, apa yang menjadi kebimbangan kini bukan sahaja reaksi negatif pelajar atas hukuman yang dikenakan ke atas mereka tetapi respon daripada ibu bapa sering membatasi guru dalam menjatuhkan hukuman. Terdapat ibu bapa yang lebih sedia menyalahkan guru daripada menerima hakikat bahawa anak mereka bersalah melanggar disiplin sekolah. Mereka tidak percaya anak mereka telah melakukan kesalahan serius di sekolah. Faktor campur tangan ibu bapa turut mendorong guru mengambil sikap mendiamkan diri terhadap pelajar yang melakukan kesalahan disiplin. Kini dalam era serba moden dan canggih, kerjaya guru semakin mencabar. Dilaporkan adanya segelintir kecil guru tidak dapat mengawal emosi lantas mengambil tindakan menghukum anak didik di luar batas hingga masyarakat dikejutkan dengan berita kematian murid yang berpunca daripada tindakan guru.

Justeru, guru perlu sentiasa ingat bahawa mendidik manusia memerlukan kesabaran tinggi dan nilai kasih sayang yang kental. Tanpa dua sifat penting itu, guru akan berhadapan masalah. Panduan ditunjukkan Rasulullah perlu dijadikan amalan ketika memenuhi tugas mendidik anak bangsa. Banyak kisah dan peristiwa yang dilalui Rasulullah mempamerkan perwatakan luhur pendidik unggul untuk dicontohi, yang tetap relevan di sepanjang zaman. Ahli sosiologi UKM, Dr. Sarifa Zaleha Syed Hassan berpendapat punca guru bertindak agak kasar mungkin kerana hilang kesabaran. Mungkin jika seorang murid yang nakal dapat dikawal tetapi kalau terlalu ramai boleh menghilangkan kesabaran guru. Guru juga manusia biasa jika terlalu tertekan, sesekali kesabaran tidak boleh dikawal. Alangkah baiknya jika pihak ibu bapa faham tentang tekanan tugas guru dengan cara mereka pula menghormati dan berterima kasih kepada para guru dan pihak sekolah kerana secara tidak langsung mengambil alih tugas mereka bagi mendisiplinkan dan memberi ilmu pengetahuan kepada anak-anak mereka. Semua tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada guru untuk mendisiplinkan murid-murid, adalah dengan niat untuk membentuk dan mendidik mereka supaya menjadi ahli masyarakat yang berguna suatu hari nanti. Selain itu, sikap tidak minat untuk menjadi guru juga menjadi faktor berlakunya pelbagai isu negatif membabitkan guru. Kaunselor Universiti Islam Antarabangsa, Asniza Mamat, menjelaskan salah satu andaian punca guru bertindak ganas terhadap murid ialah guru itu sendiri tidak berminat kepada profesion perguruan. Apabila tidak minat, bagaimana seseorang guru itu hendak menyesuaikan diri dengan karenah murid. Sudah tentu mereka tidak punya perasaan sabar dan mudah merasa marah. Guru juga adalah manusia biasa yang mempunyai emosi, kadangkala perasaan marahnya sampai ke tahap lupa bahawa dia adalah guru dan berhadapan dengan anak orang lain.

3.0 Implikasi

Antara kesan yang kita dapat lihat daripada tindakan individu yang tidak berminat dengan profesion keguruan ialah kualiti kerjaya sebagai seorang guru akan menurun. Seorang guru yang berkualiti mestilah mengutamakan tanggungjawabnya terhadap ilmu, kebajikan dan keselamatan pelajarnya (Mok Soon Sang 2002). Mereka yang memikul tanggungjawab sebagai seorang guru disebabkan faktor terpaksa tidak akan bertanggungjawab terhadap ilmu yang dimiliki, menjaga kebajikan dan keselamatan pelajar yang berada di bawah jagaannya. Keadaan ini akan menyebabkan kesan yang negatif yang akan dilihat oleh masyarakat sekeliling kepada bidang pekerjaan sebagai seorang guru (Prof. Dr. S. Nasution 1995). Kesan negatif ini akan menimbulkan prasangka yang tidak baik oleh masyarakat terhadap kerjaya sebagai seorang guru. Masyarakat tidak akan mempercayai tugas seorang guru sebagai pendidik dan keadaan ini akan mendatangkan masalah kepada proses pembelajaran yang dijalankan di sekolah.

Selain itu, seorang guru yang tidak berminat dengan pekerjaannya tidak akan mempunyai kualiti dalam pekerjaannya dan tidak akan mempunyai kejujuran dalam melakukan pekerjaannya. Mereka akan melakukan penipuan dalam setiap pekerjaan yang dilakukan dan tidak akan menjalankan tugasan yang diamanahkan dengan penuh berdedikasi sama ada dalam kelas mahupun diluar waktu persekolahan. Seorang guru yang tidak jujur dalam pekerjaannya tidak akan berusaha bersungguh-sungguh supaya hasil pekerjaannya mencapai ke tahap yang lebih cemerlang. Kejujuran dalam memberikan ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh seorang guru tidak akan dipenuhi kerana mereka tidak sepenuhnya memberikan ilmu pengetahuan kepada para pelajarnya. Kejujuran ini merupakan sifat yang perlu dimiliki oleh setiap guru sebagai orang tengah yang memberikan ilmu kepada pelajar-pelajarnya.

Guru yang tidak berminat dengan profesionnya juga akan tiada kemampuan menjalankan tanggungjawabnya sebagai pendidik yang cekap dalam menggunakan sumber-sumber yang ada sebaik mungkin. Mereka tidak mampu memenuhi matlamat profesion pekerjaan ini yang telah digariskan oleh kerajaan untuk memenuhi kehendak manusia dan rakyat di negara ini (Sufean Hussin 1993). Mereka tidak menggunakan segala peluang yang ada untuk mengolah sumber yang ada untuk diberikan kepada pelajarnya. Keadaan ini menjadikan pelajar di bawah jagaannya agak ketinggalan dari segi ilmu pengetahuan jika dibandingkan dengan pelajar di bawah jagaan seorang guru yang berkualiti dan berketrampilan dalam kerjanya.

Selain itu juga, seorang guru yang tidak mempunyai minat dalam profesionnya tidak akan menghasilkan pretasi kerja yang baik di samping melakukan tugasan yang diberikan secara sambil lewa sahaja (Drs. Syaiful Bahri Djamarah 2000). Golongan ini tidak melibatkan diri secara menyeluruh terhadap perkembangan pembelajaran pelajar, sekolah dan masyarakat. Justeru itu, mereka kurang berdedikasi terhadap kerjayanya memandangkan sebahagian besar masa seorang guru dihabiskan untuk memikir, merancang dan aktivitiaktiviti yang berkaitan dengan pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas (Sufean Hussin 1993). Mereka hanya melakukan aktiviti yang ringkas dan mudah tanpa memerlukan banyak tenaga. Akibatnya akan terhasil pelajar yang pasif dalam setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan di dalam kelas.

Implikasi lain yang akan timbul ialah, bagi mereka yang menerima jawatan sebagai seorang guru kerana terpaksa dan bukan bersandarkan kepada minat tidak akan mementingkan imej dan personaliti sebagai seorang guru. Kita dapat lihat melalui penampilan seharian seseorang guru ketika berada di kawasan persekolahan. Mereka hanya memakai pakaian yang sepatutnya tanpa memperbaiki penampilan yang harus ditampilkan dihadapan pelajar mereka.

Golongan ini hanya bersikap acuh tidak acuh terhadap imej yang harus ditonjolkan dihadapan pelajar mereka sebagai seorang yang bekerjaya.

Selain itu, guru yang tidak mempunyai sifat sabar juga tidak mampu menjadi seorang yang bertanggungjawab membentuk disiplin para pelajar serta membantu dalam membentuk sahsiah dan kelakuan yang yang terpuji kerana guru-guru itu sendiri tidak mempunyai disiplin terhadap personalitinya sebagai seorang guru. Mereka tidak dapat menjadi contoh model hidup yang mana tingkah laku yang ditunjukkan oleh seorang guru akan menjadi contoh dan ikutan pelajarnya. Nilai-nilai murni yang ada pada personaliti sebagai seorang guru tidak dapat ditonjolkan oleh seorang guru di sekolah dan secara tidak langsung tidak dapat diterapkan di dalam diri seorang pelajar. Keadaan ini sekaligus akan melahirkan sebilangan pelajar yang tidak mempunyai personaliti sebagai seorang pelajar yang diharapkan oleh ibu bapa, pihak sekolah, masyarakat dan negara.

4.0 Rumusan / Cadangan

Sebagai konklusinya, jelaslah bahawa sabar dan minat adalah dua unsur terpenting yang perlu disebatikan dalam diri setiap individu yang memilih profesion keguruan ini. Oleh kerana pentingnya tugas guru dan besarnya harapan masyarakat terhadap insan yang bernama guru, maka proses penyediaan guru perlu yang dilakukan dengan teratur dan bersistematik. Bagi mengatasi pelbagai masalah guru yang telah dikenalpasti di negara kita, tokoh pendidikan, Tan Sri Prof. Dr. Awang Had Salleh mencadangkan agar Jabatan Pendidikan Negeri perlu mengenalpasti guru-guru yang menghadapi masalah psikologi dan mengatasinya dengan segera. Beliau juga mencadangkan supaya bengkel-bengkel diadakan bukan sahaja untuk menaikkan imej dan kualiti guru, tetapi membantu mereka menghadapi situasi kerja yang semakin rumit serta mengendalikan perasaan tertekan. Dr. Mohamed Awang turut mencadangkan untuk mengatasi masalah guru yang bertindak ganas dengan cara menapis calon guru dari peringkat awal melalui ujian psikologi. Ujian ini berguna untuk menguji kesesuaian seseorang sebagai guru. Guru perlu sedar bahawa murid adalah manusia biasa yang memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar. Oleh itu, murid patutlah mendapat layanan yang beradab. Melalui cara inilah dapat mendorong murid memberi penghormatan yang setimpal dengan layanan yang diberikan oleh guru kepada mereka. Sikap guru yang bengis dan garang hanya menakutkan murid untuk ke sekolah. Justeru itu, guru sewajarnya sentiasa menghayati dan mengamalkan Tatasusila Profesion Penguruan. Guru perlu mengelakkan diri daripada nafsu marah dan jauhkan daripada membuat kesimpulan terburu-buru tanpa penyelidikan terlebih dahulu seperti yang digariskan dalam buku Panduan Tatacara Disiplin Sekolah Untuk Guru Besar dan Guru.

Kesimpulannya, dalam dunia pendidikan yang semakin canggih seiring dengan perkembangan teknologi, seseorang guru tidak boleh lari daripada cabaran yang semakin hebat sama ada dalam bilik darjah ataupun sekolah secara amnya. Dalam masa itu, kesabaran yang sangat tinggi adalah sangat diperlukan disamping minat yang mendalam terhadap tugas. Tugas mendidik dan mengajar di sekolah perlu dilaksanakan bagi memastikan wawasan yang ingin dicapai melalui Falsafah Pendidikan Negara untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS) dapat dicapai.

REFLEKSI

Pada tanggal 1 Ogos 2012, saya telah diberi tugasan kerja kursus bagi subjek Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru. Secara ringkasnya, tugasan ini merupakan gabungan kepada tugasan berkumpulan dan individu. Kami dikehendaki membuat ulasan dan analisis artikel berkaitan isu keguruan yang telah dipilih dan dalam masa yang sama mewujudkan satu blog laman ilmu secara berkumpulan yang memuatkan setiap tugasan individu kami.

Secara kasarnya, saya melihat tugasan yang diberikan begitu rumit dan sukar untuk difahami. Walaupun kami diberi peluang untuk bebas memilih isu keguruan masing-masing, namun kehendak tugasan masih sukar untuk difahami. Selepas merujuk kepada pensyarah pembimbing, saya telah mendapat gambaran awal mengenai tugasan ini. Bermula dari taklimat tugasan yang diberikan oleh En. Azmi selaku pensyarah penyelaras kerja kursus, saya telah mula memilih isu dan merangka jalan kerja yang ingin dilakukan. Saya bersama rakan-rakan cuba mencari bahan-bahan rujukan untuk dijadikan panduan. Bagi mendapatkan bahan rujukan tersebut, saya telah mengunjungi pusat sumber dan dan saya juga berjaya mendapatkan beberapa buah buku daripada rakan-rakan opsyen lain yang saya kira sangat membantu.

Namun begitu, setelah selesai membuat draf pertama, barulah saya sedar bahawa kerja yang dilakukan hanya sia-sia sahaja kerana saya telah terkeluar dari kehendak soalan. Namun saya tidak berputus asa, walaupun telah bersengkang mata selama beberapa hari. Buat kali kedua, saya merujuk kepada pensyarah pembimbing untuk mendapatkan kefahaman yang lebih jelas berkaitan tugasan. Kali ini, saya melakukan tugasan ini dengan lebih berhati-hati dan terperinci supaya tidak lagi terkeluar daripada kehendak soalan.

Memang saya akui bahawa, bahagian pelajaran yang memerlukan pemahaman dan pembacaan amat sukar bagi saya. Tugasan ini bukan hanya sekadar mengarang semata-mata, tetapi saya telah diberitahu oleh pensyarah pembimbing untuk mengeluarkan idea-idea baru dalam mengulas isu tugasan. Kami perlu berfikir di luar kotak dalam memberi pendapat di samping mempunyai hujah-hujah sokongan yang bersesuaian daripada pelbagai sumber. Selain itu, saya dan rakan-rakan mengalami kesukaran kerana kami dikehendaki menyiapkan esei sebanyak 2500-3000 perkataan dan jumlah ini saya kira adalah sangat panjang. Saya mengambil langkah membaca lebih banyak bahan rujukan dari pelbagai sumber buku untuk menambahkan lagi idea mengarang.

Setelah beberapa hari, akhirnya saya dapat menyiapkan juga tugasan ini sebelum tarikh menghantar tugasan tamat. Walaupun berlaku sedikit salah faham, saya dapat juga menyiapkan tugasan ini dengan jayanya. Pengajaran yang berguna sepanjang saya menyiapkan tugasan ini ialah, kita perlulah faham dan tahu kehendak soalan dengan sejelas-jelasnya sebelum memulakan apaapa sahaja tugasan.

Antara kemahiran baru yang diperoleh sepanjang menyiapkan tugasan ialah, saya mendapat pengalaman baru dalam membina laman blog. Saya yang baru pertama kali menceburkan diri dalam membina laman blog ini, sememangnya agak terkial-kial untuk membinanya. Namun tunjuk ajar yang berguna dari rakan-rakan sekumpulan memang banyak membantu. Sepanjang pengamatan saya, pembinaan laman blog ini merupakan satu ilmu yang perlu dipelajari berbekalkan usaha, kesabaran serta kerajinan yang tinggi.

Seiring dengan arus perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), seorang guru yang berinovatif haruslah mempunyai kemahiran dalam ICT, namun hal yang sebaliknya pula berlaku. Saya terbaca satu penyataan yang mengatakan bahawa :

Guru-guru pendidikan Islam masih berada pada tahap yang rendah dalam menjadikan komputer sebagai budaya dalam proses pengajaran dan pembelajaran, ini disebabkan oleh kurangnya, kemahiran, sarana, serta nilai sikap dari guru tersebut.

Berdasarkan kenyataan ini, perubahan perlu dilakukan. Kelak, saya berhasrat untuk mempelbagaikan cara mengajar saya agar pembelajaran dapat dijalankan dengan lebih berkesan mungkin serta menyeronokkan. guru Saya dapat Islam

membayangkan

bagaimana

seorang

Pendidikan

menerangkan tajuk solat, haji, sirah nabawiyah hanya dengan chalk and talk. Oleh itu, penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi khasnya

penggunaan komputer dan laman blog dalam pengajaran dan pembelajaran sememangnya menjadi salah satu jawapan untuk menjawab soalan tersebut.

BIBLIOGRAFI

Buku : Abdullah Hassan, Ainon Mohd. (2006). Kemahiran Interpersonal Untuk Guru. Kuala Lumpur.PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

Akhiar Pardi, Shamsina Shamsuddin (2011). Pengendalian Dispilin Remaja di Sekolah Dan di Rumah. Selangor Darul Ehsan. Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Dr. Yusuf Al-Qardhawi (1995).Keindahan Sabar. Kuala Lumpur.Percetakan Nasional Malaysia Berhad.

Dr. Yusuf Al-Qardhawi (2000). Sabar Dalam Islam. Johor Darul Takzim. Perniagaan Jahabersa.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2010). Kuala Lumpur. Dewan Bahasa Dan Pustaka. Kamus Zaba Edisi Kedua (2004). Shah Alam Selangor.

Pustaka Antara Books Sdn. Bhd. Abd Rahim Abd Rashid (2001). Nilai-Nilai Murni Dalam Pendidikan : Menghadapi Perubahan Dan Cabaran Alaf Baru. Kuala Lumpur. Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Mok Soon Sang (2010). Kompetensi Kecerdasan Emosi. Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd. Selangor Darul Ehsan.

Salhah Abdullah, Ainon Mohd.( 2008). Guru Sebagai Mentor. Kuala Lumpur. PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

Internet :

http://perkhidmatanpelajaran.blogspot.com/2012/05/guru-ejen-transformasi.html. Diakses pada 24 Ogos 2012.

http://perkhidmatanpelajaran.blogspot.com/2012/05/kesabaran-kunci-kejayaantokoh-guru.html Diakses pada 24 Ogos 2012.

http://unitrendahspsjpnt.blogspot.com/2012/04/guru-penyayang-muridberkualiti.html Diakses pada 24 Ogos 2012.

http://notapismp.blogspot.com/2010/05/implikasi-amalan-budaya-penyayangdalam.html Diakses pada 24 Ogos 2012.

http://www.iluvislam.com/inspirasi/motivasi/1877-sabar-itu-perlu-setiapmasa.html Diakses pada 24 Ogos 2012.

http://khairolkhalid.wordpress.com/2010/02/19/guru-yang-mengajar-sifat-sabar/ Diakses pada 24 Ogos 2012.

http://www.bharian.com.my/articles/Guruperluterapnilaisabar_penyayangterhada panakdidik/Article/ Diakses pada 24 Ogos 2012.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pendidikhebatmilikikesabarantinggi/ Article/index_html Diakses pada 24 Ogos 2012.

http://www.sinarharian.com.my/rencana/sabar-minat-pendinding-guru1.49720?localLinksEnabled=false Diakses pada 24 Ogos 2012.

Vous aimerez peut-être aussi