Vous êtes sur la page 1sur 10

Soalan 1

Meskipun terdapat kesan krisis minyak kepada perdagangan antarabangsa dan keadaan
inflasi yang tinggi (dalam linkungan 10 peratus setahun), ekonomi negara telah
mencatatkan kadar pertumbuhan sebenar sebanyak 8 peratus setahun dan lebihan terus
menerus dalam imbangan pembayaran disebabkan oleh adanya pengeluaran minyak,
harga-harga barangan yang tinggi dan ekspot buatan yang kukuh.

Namun demikian, sejak 2 tahun kebelajangan ini, pertumbuhan ekonomi negara menjadi
semakin lemah disebabkan oleh kemelesetan ekonomi dunia yang berpanjangan di
samping kelemahan-kelemahan struktur ekonomi negara yang telah wujud setakat ini.

Berdasarkan hakikatnya inilah, campur tangan kerajaan adalah amat diperlukan bagi
mengatasi situasi ekonomi negara yang semakin gawat. Kemelesetan ekonomi yang
melanda negara juga berlaku secara global. Oleh yang demikian, situasi ini tidak dapat
diselesaikan dengan kadar yang segera dan secara bersendirian. Oleh yang demikian,
langkah-langkah jangkah pendek seperti mengawal kenaikan harga barang merupakan
satu contoh langkah campur tangan kerajaan.

Kepentingan campur tangan kerajaan


1. Seperti yang kita sedia maklum bahawa kemelesetan ekonomi yang berlaku sekarang
ini adalah bersifat global. Tidak seperti masalah ekonomi sekitar tahun 1997 dan 1998
dahulu yang hanya berlaku hanya di benua Asia. Maksudnya di sini adalah, masalah
ekonomi yang berlaku di mana-mana negara mempunyai pertalian antara satu dengan
yang lain. Oleh yang demikian, penyelesaiannya seharusnya merupakan penyelesaian
bersama. Berbalik kepada isu ekonomi di negara kita, kerajaan boleh campur tangan
dengan cara mengawal harga barangan dan perkhidmatan.

Apakah yang akan berlaku jika kerajaan tidak campur tangan? Pastinya negara akan
mengalami keadaan inflasi. Kadar inflasi negara kita pada tahun 2006 adalah 3.6% dan
turun kepada 2.0% pada tahun 2007.
Rajah : Kadar Inflasi Berbanding Dengan Beberapa Negara ASEAN

Kadar inflasi negara telah mengalami penurunan pada tahun 2007, akibat campur tangan
kerajaan. Salah satu campur tangan kerajaan yang paling ketara adalah dalam isu harga
minyak. Tanpa kawalan daripada kerajaan, termasuklah membenteras penyeludupan
minyak ke negara jiran, sudah tentu harga minyak akan lebih tinggi berbanding dengan
harga baru yang ditetapkan oleh kerajaan, iaitu RM1.58 (diesel), RM1.92 (Petrol RON
97) dan RM1.88 bagi (Petrol RON 92) pada Februari 2008. Pengawalan harga runcit
minyak ini dapat mengelakkan berlakunya inflasi. Walaupun harga minyak meningkat,
namun barang-barang keperluan harian tidak melambung naik harganya. Di sinilah
pentingnya campur tangan kerajaan dalam mengawal situasi ekonomi pada masa kini.

2. Satu lagi campur tangan kerajaan dalam menangani masalah kemelesetan ekonomi
adalah dengan meningkatkan keluaran makanan bagi mempastikan bekalan makanan
mencukupi. Ini dapat diterangkan melalui rajah berikut:
Rajah : Indeks Harga Makanan

Seperti mana yang kita tahu dalam hukum ekonomi, apabila permintaan melebih
penawaran, maka harga akan meningkat. Oleh itu, bagi mengelakkan harga makanan
meningkat, kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) telah memfokuskan
strategi menngkatkan hasil keluaran makanan sebagai intipati utama. Berdasarkan rajah
di atas, beberapa jenis makanan mengalami kenaikan harga. Ini termasuklah, beras, roti
dan bijirin lain, susu, keju dan telur, sayur-sayuran dan sebagainya. Pendekata, campur
tangan kerajaan dalam menguatkuasakan polisi seperti RMT9 mampu membantu
mengatsai masalah kemelesetan ekonomi.

3. Langkah seterusnya yang di ambil oleh kerajaan adalah dengan penubuhan Majlis
Harga Negara. Majlis ini mempunyai beberapa peranan seperti memantau paras harga
dan merangka dasar bersesuaian bagi menjamin kestabilan harga, kecekapan system
bekalan dan pengedaran. Selain itu majlis ini juga meneliti harga barang di seberang
sempadan Malaysia dan memperaku dasar dan program bersesuaian. Penubuhan majlis
ini mampu membantu negara mengatasi krisis ekonomi.

4. Bagi menstabilkan harga barangan, kerajaan telah menubuhkan Stok Penimbal


Kebangsaan. Tujuan penubuhan Stok Penimbal Kerajaan ini adalah bagi untuk
menyimpan barangan jika stok terlalu banyak, dan mengeluarkan barangan jika ia
mengalami kekeurangan di dalam pasaran.
5. Penyenaraian beberapa barangan sebagai barangan kawalan juga boleh membantu
mengawal kemelesetan ekonomi. Untuk itu kerajaan telah membahagikan Senarai
Barang Terkawal kepada kategori kawalan berjadual, kawalan secara pentadbiran dan
kawalan barangan musim perayaan. Bagi kategori kawalan berjadual, terdapat 12 jenis
barangan yang disenaraikan seperti tepung gandum, minyak tanah, gula, baja kimia dan
sebagainya. Petrol, Diesel, Gas Petroleum Cecair, besi kelui, simen pula merupakan
antara 11 barangan yang kawalannya secara pentadbiran. Barangan kawalan musim
perayaan pula terdiri daripada 25 jenis barangan. Antaranya mentega, keju, majerin,
minuman kotak dan botol halal dan sebagainya. Rasional daripada campur tangan
kerajaan ialah, harga barang-barang ini bukan dikawal oleh para pekedai atau pemborong,
tetapi berdasarkan harga seragam yang telah ditetapkan kerajaan.

Sebagai kesimpulannya, campur tangan kerajaan adalah relevan dan sangat penting
khususnya dalam usaha menangani masalah kemelesetan dan memastikan ekonomi lebih
stabil. Tanpa campur tangan kerajaan, ekonomi negara akan bertambah gawat. Contoh-
contoh campur tangan kerajaan di atas merupakan antara langkah-langkah yang boleh
membantu mengatasi kemelesetan ekonomi dan seterusnya memastikan ekonomi negara
lebih stabil.

Soalan 2
Dasar awam menurut Profesor Bauer dalam majalah “Public Administration Review, Vol
XXX No.4, Julay / August 1970 “ adalah “kenyataan yang dibuat oleh kerajaan
berkenaan negara dan cara melaksankannya oleh pentadbir atau pengurus ”. Dasar
awam ini sebenarnya adalah hasil terjemahan politik kepada program dan tindakan untuk
mencapai hasil yang diinginkan. Dalam konteks Negara Malaysia, dasar awam yang
diperkenalkan oleh kerajaan adalah bertujuan menjadikan Malaysia makmur dan bersatu
padu berasaskan sistem demokrasi dalam suasana pembangunan aman untuk
kesejahteraan rakyat. Lazimnya dasar awam yang digubal itu memenuhi kriteria-kriteria
seperti keadaan negara Malaysia yang berbilang bangsa dan keturunan, pelbagai fahaman
dan agama serta kebudayaan.
Pada 9 Februari 1986, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan Dasar Induk
Perindustrian (PIP). Dasar ini mempunyai 3 tujuan yang utama iaitu sektor perkilangan
sebagai pemangkin pertumbuhan perindustrian, mengalakkan penggunaan sepenuh
sumber asli negara dan meningkatkan tahap R&D teknologi tempatan. Antara sektor yang
turut menjadi tumpuan adalah sektor elektrik dan elektrikal.

Rajah 1 : 12 jenis industri yang menjadi tumpuan dalam PIP

Namun demikian, sector elektrik dan elektrikal yang pada peringkat permulaan
pelaksanaan dasar menjadi penjana utama dalam eksport negara telah mengalami
penurunan yang mendadak khususnya 3 tahun kebelakangan ini.

Antara faktor utama yang menjadi penyebab kepada penurunan nilai dari segi eksport ini
adalah Dasar Perlindungan Perdagangan Negara-Negara Maju & Newly Industrilised
Countries (NIC). Ini dilakukan oleh blok perdagangan seperti Eroupe Union (EU) dan
NAFTA. Keadaan diburukkan lagi dengan persaingan dengan Negara-negara yang sudah
maju iaitu NIC dan WTO.

Namun demikian, keadaan kemelestan ekonomi global yang menjadi beban negara di
seluruh dunia telah menyebabkan sektor elektrik & elektrikal ini telah bertambah tenat
Krisis kewangan global ini juga menyebabkan jumlah pekerja yang diberhentikan
mengikut oleh data Bank Negara Malaysia adalah 11,560 orang pada suku tahun ketiga
2008. Berdasarkan ramalan Persatuan Majikan Malaysia (MEF), kira-kira 200 000
pekerja bekal diberhentikan. Angka ini lebih besar berbanding 85 000 orang semasa krisis
ekonomi pada tahun 1998 dahulu. Sehubungan dengan itu, bagi mengelakkan sektor
elektrik dan elektrikal turut mengalami nasib seperti sektor lain, dasar-dasar yang
bersesuaian perlu diperkenalkan.

Untuk itu, sesuatu perlu dibuat bagi mengelakkan sektor ini mengalami kejatuhan yang
lebih teruk. Dalam hal ini, kerajaan mempunyai tanggungjawab dalam merangka strategi
bagi mengatasi masalah sector elektrik & elektrikal, dan yang paling penting pekerja-
pekerja dalam sektor ini tidak kehilangan pekerjaan dan seterusnya menganggur.

Untuk itu, suatu dasar awam perlu diperkenalkan. Pada hemat penulis, strategi yang
mampan perlu dilaksanakan bagi mengatasi kemelut sebagaimana dinyatakan di atas.
Dalam konteks kedudukan ekonomi yang meruncing, dasar awam sewajarnya
ditumpukan kepada mengukuhkan asas-asas ekonomi di samping mengawal kadar inflasi
dan memperbaiki kedudukan imbangan pembayaran negara. Dasar awam yang
dicadangkan ini bertujuan :-

 Untuk mengukuhkan kedudukan kewangan Kerajaan selaras dengan


sumber-sumber yang ada;

 Untuk mengurangkan defisit belanjawan Kerajaan ke tahap yang


selaras dengan pengurusan ekonomi yang berhati-hati

 Untuk mengawal pertumbuhan hutang awam supaya tidak menjejaskan


kedudukan imbangan pembayaran negara dan kadar pertukaran asing.

Dalam menangani masalah kemelesetan ekonomi ini khususnya dalam sektor elektrik dan
elektrikal, antara langkah popluar yang dilakukan oleh syarikat-syarikat atau firma-firma
adalah dasar pengurangan pekerja. Dengan pengurangan pekerja ini, kos upah yang
ditanggung oleh syarikat-syarikat ataupun firma dapat diminimakan. Namun, hakikatnya
tindakan seumpama ini merupakan suatu tindakan yang tidak mesra pekerja dan
mengabaikan kebajikan pekerja. Bagaimana para pekerja ini meneruskan kehidupan
mereka. Adakah duit simpanan mereka mencukupi untuk tempoh masa yang lama ,
sehingga mereka di ambil bekerja semula atau mendapat pekerjaan ? Oleh yang
demikian, pada hemat penulis, tindakan seperti ini tidak sesuai. Penulis berpendapat
adalah lebih baik jika kos upah yang ditanggung oleh syarikat-syarikat atau firma ditutup
dengan wang caruman pekerja (KWSP atau PERKESO). Katakanlah, dasar ini kita
panggil “Dasar Pengecualian KWSP dan PERKESO” . Maksudnya, kurangkan
potongan ataupun tiadakan potongan KWSP atau PERKESO untuk tempoh masa
sehingga keadaan ekonomi pulih. Dalam hal ini, keprihatinan kerajaan amat diperlukan.
Ini kerana potongan KWSP dan PERKESO ini telah menjadi kemestian. Kerajaan boleh
mengecualikannya untuk tempoh masa yang tertentu. Jika ini dilakukan, pengurangan
gaji pekerja tdak dirasai oleh pekerja kerana beban tersebut ditanggung melalui
pengecualian KWSP atau PERKESO itu tadi.

Contohnya gaji pekerja adalah RM1000. Setelah ditolak KWSP atau PERKESO,
katakanlah berbaki RM850. Ini sebelum kemelesetan ekonomi. Pada situasi sekarang,
syarikat-syarikat atau firma bercadang berjimat dengan mengurangkan gaji pekerja
sebanyak 10% hingga 15%. Jika ini dicampur dengan KWSP dan PERKESO, jumlah
yang diterima pekerja sekitar RM700. Jumlah ini tidak mencukupi apatah lagi inflasi
menguasai pasaran. Bagaimanapun, jika menggunakan kaedah yang dibincangkan di atas
tadi, masalah seperti ini tidak begitu membebankan pekerja. Ini kerana pendapatan
pekerja tetap RM850. Pengurangan gaji antara 10% hingga 15% ini telah ditutup dengan
pengecualian KWSP dan PERKESO.

Selain daripada “Dasar Pengecualian KWSP dan PERKESO”, dasar kedua yang
dicadangkan oleh penulis ialah dasar “Mewajibkan Penggunaan Barangan Elektrik
dan Elektrikal Negara”. Menurut mitos ekonomi yang seringkali kita dengar adalah,
cara untuk mengatasi masalah ekonomi adalah berjimat – jangan berbelanja. Walaupun
teori ini ada kebenaranya, tetapi tidaklah efektif. Ini kerana, jika ini berlaku perjalanan
ekonomi akan menjadi pasif. Maksudnya ekonomi tidak akan bertumbuh.

Misalanya dalam sebuah desa, semua penduduknya yang seramai 10 orang (katakanlah),
masing-masing tidak mahu berbelanja. Simpan duit di bawah bantal. Kedai tidak lagi
dikunjungi. Tidak ada membeli ikan dan sayur. Penawaran sangat banyak tetapi
permintaan langsung tidak ada. Apakah yang berlaku dengam ekonomi di desa itu tadi.
Pertumbuhanya adalah 0%.

Maka dengan itu, dicadangkan agar bagi mempastikan kilang-kilang elektrik dan
elektrikal tidak ditutup, kerajaan mempastikan setiap isi rumah menggunakan barangan
elektrikal buatan negara. Kawasan-kawasan yang baru menerima bekalan elektrik,
kontraktor-kontraktor yang terlibat wajib menggunakan barangan buatan negara dalam
pendawaian rumah. Jika selama ini kita menggunakan barangan luar negara seperti
“Philips”, “National” ataupun “Toshiba”, apa salah kita gunakan barangan tempatan.
Dengan ini, permintaan terhadap barangan elektrikal buatan tempatan dapat ditingkatkan.
Biarlah barangan tempatan kita, dipasarkan secara tempatan juga. Walaupun kaedah
ekonomi tertutup ini, biasanya diamalkan oleh negara-negara yang berpenduduk besar
seperti China dan Amerika Syarikat, tetapi peniaga tradisonal Cina mengatakan, “lebih
baik mendapat keuntungan 1 sen, daripada langsung tidak ada”. Masalah pengangguran
juga sudah tentu dapat dikurangkan.

Seterusnya dasar yang boleh dicadangkan adalah “Pemberian Subsidi Tenaga”. Bagi
mempastikan syarikat-syarikat atau firma-firma elektrik dan elektrikal tidak menanggung
kos pengendalian syarikat terlalu tinggi, kerajaan boleh memberikan insenstif dengan
mengurangkan kos operasi tenaga syarikat atau firma. Seperti yang kita ketahui ketika
ini, harga minyak di pasaran dunia kini telah menurun. Oleh yang demikian, kos operasi
syarikat-syarikat pengendali tenaga negara seperti Tenaga Nasional, turut berkurangan.
Oleh yang demikian, Tenaga Nasional boleh memberikan “sedekah” kepada syarikat atau
firma elektrik dan elektrikal melalui dasar yang disebutkan tadi. Apabila operasi syarikat
dan firma telah berkurangan, maka tindakan untuk memberhentikan pekerja bagi maksud
mengurangkan kos operasi dapat dielakkan.

Dasar seterusnya yang boleh dilakukan adalah “Dasar Pengabungan Syarikat”. Melalui
dasar ini, syarikat dan firma yang mempunyai operasi yang hampir sama akan
digabungkan. Contohnya syarikat A terlibat dalam pemasangan komponen barangan
elektrik jenama XYZ. Manakala syarikat B terlibat dalam pengedaran barangan elektrik
jenama yang sama, iaitu XYZ.

Oleh yang demikian, adalah lebih elok kedua-dua syarikat ini bergabung bagi
mengukuhkan nilai modal syarikat atau firma. Pengabungan ini akan akan mampu
meningkatkan kecekapan dan keberkesanan operasi. Di samping itu, beberapa kos yang
serupa yang mana ditanggung oleh syarikat atau firma sebelum ini, dapat ditanggung
bersama dan kos bertindih dapat dikurangkan. Ini akan memberikan faedah kepada
syarikat atau firma yang bergabung. Ini juga akan menyelamatkan syarikat atau firma
yang menerima “tsunami” ekonomi. Maksudnya, syarikat atau firma yang kuat dapat
menyelamatkan syarikat atau firma yang telah “nazak”. Konsepnya ini pernah diamalkan
oleh agensi perbankan ketika krisis ekonomi lewat tahun 1997 dan 1998 lalu.

Langkah memberikan “Pakej Rangsangan Fisikal” juga boleh dilakukan bagi tujuan
membantu mempertingkatkan Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK). Dengan
meningkatnya KDNK ini, dapat membantu syarikat atau firma, khususnya dalam sektor
elektrik dan elektrikal menjana ekonomi. Ini boleh dilakukan dengan menyalurkan Pakej
Rangsangan Fisikal ini kepada sektor-sektor utama negara, seperti sektor pengeluaran dan
sektor perkilangan.

Selain daripada itu, syarikat-syarikat atau firma yang terpaksa mengurangkan kos
operasinya, tidak perlu memberhentikan pekerjanya. Sebaliknya mereka diberikan
program latihan semula (retraining). Ini kerana jika mereka diberhentikan, kos
pengambilan pekerja baru termasuk latihan adalah tinggi. Oleh yang demikian, apabila
keadaan ekonomi pulih, syarikat-syarikat atau firma tidak perlu bersusah payah
mengambil pekerja baru, kerananya pekerja sedia ada yang telah diberikan latihan
bersedia untuk bekerja semula.

Sebagai kesimpulannya, dasar-dasar yang diperkenalkan adalah bersifat jangka pendek.


Dasar-dasar ini boleh dihapuskan atau diperbaiki bergantung kepada sumbangan dasar-
dasar ini terhadap usaha pemulihan ekonomi negara. Kemelesetan ekonomi yang berlaku
sekarang ini boleh dikatakan sebagai gelombang kedua. Gelombang pertama telah
berlaku pada tahun 1997 dan 1998. Namun apa yang dikesalkan adalah, kegawatan
ekonomi yang berlaku pada tahun tersebut, tidak di ambil peluang oleh kerajaan untuk
memperbaiki struktur ekonomi, bagi menghadapi kemungkinan berlakunya kemelesetan
ekonomi. Kesanya, selepas 10 tahun, perkara yang sama berlaku. Diharapkan,
kemelesetan ekonomi yang berlaku ketika ini memberikan musibah diri kepada kita
semua. Jika sekiranya berlaku krisis ekonomi dalam tempoh masa 10 – 20 tahun daripada
sekarang, kita sudah bersedia sepenuhnya.

Rujukan

1. Berita Bernama . Program Latihan Semula Tangani Pemberhentian Pekerja. 29


Januari 2009

2. Berita Bernama. Perkeso Kaji Tabung Berhenti Kerja. 14 Februari 2009.

3. Ekonomi Malaysia : Fakta dan Maklumat. Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana
Menteri. 2008. Kuala Lumpur.

Vous aimerez peut-être aussi