Vous êtes sur la page 1sur 17

BML 3022 BAHASA DAN LINGUISTIK

APAKAH LINGUISTIK DAN KEFAHAMAN ANDA TENTANG LINGUISTIK

NITO ANAK TONY D20112055167 AT 05J : PENDIDIKAN BAHASA MELAYU SEMESTER 2 SESI 2012/2013 KUMPULAN : UPSI 03

PENSYARAH DR. IDRIS BIN MOHD RADZI FAKULTI BAHASA DAN KOMUNIKASI

PENGHARGAAN Pertama sekali, saya ingin mengucapkan syukur kepada Tuhan kerana dengan izin-Nya, tugasan ini dapat disiapkan tepat pada masanya. Dalam menyiapkan tugasan ini saya mendapat sokongan dan bantuan daripada pelbagai pihak yang bersungguh-sungguh dalam membantu saya supaya dapat menyiapkan tugasan ini dengan jayanya.. Saya ingin menyampaikan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada Dr. Idris bin Mohd Radzi kerana membantu saya dalam memberikan maklumat dan penjelasan yang sejelasnya untuk membuat tugasan ini. Tidak ketinggalan juga penghargaan untuk rakan-rakan guru yang turut sama membantu dari segi memberi tunjuk ajar dan idea dalam usaha untuk memahami dan menyiapkan tugasan yang diberikan mengikut had masa yang ditetapkan. Saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung sepanjang usaha saya menyiapkan tugasan ini. Sekian, terima kasih.

Kandungan Bil. 1. Perkara Pengenalan *Sejarah Perkembangan Ilmu Linguistik *Definisi Linguistik *Definisi Bahasa 2. Dapatan *Linguistik Sebagai Suatu Sains *Bidang-bidang Ilmu Linguistik *Bahasa Dan Linguistik *Linguistik Teoritis *Linguistik Gunaan *Fungsi Ilmu Linguistik *Hubungan Linguistik Dengan Pengajaran 3. Kesimpulan 12 2 Muka surat 1

Pengenalan Sejarah perkembangan ilmu linguistik Mengikut sejarah manusia yang berminat kepada bahasa dan pengkajiannya secara teratur dan agak sistematis, manusia yang diketahui sebagai golongan yang pertama bergiat dalam bidang pengkajian bahasa ini adalah orang-orang Yunani ( Dr. Raja Mukhtaruddin Raja Mohd. Dain,1979:25). Pengetahuan mengenai aktiviti mereka ini telah didorong oleh bukti-bukti dalam bentuk catatan-catatan untuk dikaji semasa zaman ilmu linguistik ini bermula di Eropah. Pengkajian berkaitan bahasa ini walaupun telah berlaku jauh lebih awal dari itu iaitu seawal 800 tahun sebelum masihi yang berlaku di India namun titik permulaan kajian tetap bermula dari zaman Yunani. Ini disebabkan kajian mengenai kegiatan orang-orang India khusunya yang didasarkan kepada hasil kajian Panini telah diketahui hanya dalam abad ke-17. Definisi linguistik Linguistik merupakan suatu sains yang mengkaji bahasa mengandungi teori-teori dan teknik-teknik menganalisa bahasa yang dipelajari oleh ahli-ahli bahasa untuk menganalisa sesuatu bahasa itu. Teknik dan teori menganalisa bahasa ini dirumuskan oleh ahli-ahli bahasa dari pemerhatian mereka terhadap bahasa. Menurut kepercayaan dengan menggunakan teori dan teknik dalam linguistik, seseorang ahli bahasa dapat menghuraikan serta menganalisa sesuatu bahasa secara objektif tanpa dipengaruhi oleh sebarang prasangka atau sentimen ( Dr. Raja Mukhtaruddin Raja Mohd. Dain,1979:25 ). Seorang ahli bahasa menjadi seorang pemerhati yang berkebolehan menghurai dan menganalisa sesuatu bahasa secara objektif dan tidak hanya sebagai seorang peserta sahaja. Beliau mungkin tidak boleh menuturkan bahasa yang dikajinya namun berkemampuan menganalisa bahagian-bahagian bahasa seperti kelainan bentuk pertuturan, bentuk deskriptifnya termasuklah perkembangan sejarah yang dilalui oleh perkataan-perkataan dan seterusnya. Pengkajian yang dilaksanakan tetap bersifat objektif dan empirikal sepanjang masa walaupun aspek yang dikaji itu mungkin berbeza. Definisi bahasa Ahli-ahli bahasa telah terlebih dahulu berusaha memberikan pengertian kepada apa yang 1

dikatakan bahasa itu untuk memastikan linguistik menjadi suatu ilmu yang bersifat objektif. Perkara ini penting kerana bahasa itu sendiri merupakan bahan langsung yang menjadi tumpuan pengkajian terutamanya dalam usaha menunjukkan fungsinya sebagai hanya alat yang digunakan oleh manusia untuk berhubung sesama mereka. Menurut ahli bahasa, Edward Sapir yang amat berminat memberikan tumpuan terhadap maksud bahasa itu sendiri di dalam bukunya An Introduction to the study of speech menyatakan bahasa adalah suatu sistem lambang-lambang pertuturan yang digunakan oleh manusia secara arbitrari untuk menyampaikan fikiran dan perasaan. Pendapat beliau ini benar tetapi penekanan yang diberikan berpusat kepada fungsi dan perasaan itu adalah suatu tinjauan yang dilakukan dari sudut pemikiran yang berunsur psiopsikologi pada keseluruhannya. Mengikut linguistik huraian, satu pengertian yang sederhana merangkumi segala maksud yang terkandung dalam bahasa sebagai alat perhubungan manusia yang konkrit seperti diberikan oleh Bloch & Trager di dalam buku mereka Outline to linguistic analysis iaitu a language is a system of arbitrary vocal symbols by means of which a social group cooperates bermaksud bahasa adalah suatu sistem lambang-lambang pertuturan yang arbtrari digunakan oleh anggota-anggota sesebuah masyarakat untuk berhubung. Dapatan Linguistik sebagai suatu sains Ilmu linguistik merupakan suatu bidang pengkajian sains tentang bahasa bagi memenuhi syarat-syarat yang diperlukan dalam pengkajian sains-sains yang lain seperti mengandungi bahan tertentu untuk dikaji, sikap dan disiplin serta penggunaan kaedah-kaedah tertentu. Sebagai suatu ilmu sains, linguistik perlu mempunyai sesuatu yang dikajinya seperti juga bidang-bidang sains yang lain dan bahan untuk ilmu linguistik ialah bahasa sama ada bahasa yang hidup iaitu bahasa yang masih dituturkan orang dalam perhubungan dewasa ini ataupun bahasa-bahasa yang sudah mati iaitu bahasa-bahasa seperti bahasa Yunani, bahasa Anglo-saxon (Bahasa Inggeris tua), bahasa Sanskrit dan lain-lain yang tidak lagi digunakan di dalam perhubungan namun diketahui melalui bahasa bertulisnya sahaja. Ahli-ahli bahasa sebagai pengkaji bahasa-bahasa di dunia mesti mempunyai sikap yang sama bahawa bahasa yang dikaji mestilah bahasa pertuturan dan bukan bahasa tulisan. Penekanan kajian tidak terhad kepada bahasa-bahasa yang dituturkan oleh 2

anggota-anggota masyarakat yang sudah tinggi tamadunnya sahaja tetapi termasuklah bahasabahasa orang primitif seperti yang di Afrika, Papua, Amerika Latin dan lain-lain perlu dikaji untuk membina rumpun-rumpun bahasa bagi mengetahui asal-usul bahasa dan sebagainya. Ilmu linguistik juga menggunakan kaedah-kaedah yang bersifat empirikal sebagai suatu disiplin seperti penggunaan istilah-istilah teknikal tertentu yang sesuai dengan bidang kajiannya berpusat kepada penghuraian bahasa. Istilah-istilah ini boleh menerangkan struktur, sistem dan pola-pola bahasa sebaik mungkin. Penggunaan istilah-istilah ini penting sebab secara langsung mampu merujuk kepada benda, peristiwa, objek, sifat, konsep dan sebagainya yang diperlukan dalam selok-belok analisa bahasa. Linguistik memerlukan penggunaan istilah-istilah teknikal dalam penghuraian bahasa supaya ia wujud sebagai subjek yang dikaji dengan semua sifatnya yang saintifik. Pada umumnya, kajian bahasa juga berpandukan kepada beberapa syarat saintifik iaitu penggunaan eksperimen yang terkawal, berpegang kepada unsur-unsur keobjektifan dan pendedahan hipotesis kepada umum untuk diselidik dan disahkan kesahihannya oleh orang yang lain. Ringkasnya, linguistik merupakan suatu bidang kajian yang saintifik sebab kajiannya bersifat empirikal, tepat dan objektif. Berpandukan kepada syarat-syarat di atas, linguistik sebagai suatu ilmu yang mengkaji bahasa secara saintifik mestilah dari mula hingga akhir mengalami empat peringkat abstraksi iaitu pemerhatian, klasifikasi, formulasi hipotesis dan penubuhan tanggapan yang bersifat teoritis. Terlebih dahulu sebelum ahli bahasa itu memulakan kajiannya, beliau hendaklah melakukan pemerhatian yang teliti terhadap sesuatu bahasa sama ada dari segi sifat deskriptifnya ataupun aspek sejarah yang mungkin dilaluinya. Akhirnya, apa yang diperolehi berupa pengumpulan data-data kemudiannya diperingkatkan menurut fakta yang konkrit merupakan ciri-ciri bahasa yang diperhatikan itu dan dijalankan secara objektif. Sarjana-sarjana abad ke-19 menganggap bahawa keobjektifan ini membenarkan suatu disiplin bertaraf suatu sains tetapi setakat mengumpul dan mengkatalog data-data belum cukup dianggap sebagai kerja yang bertaraf suatu sains. Ilmu sains bahasa juga seperti ilmu sains fizik atau kimia bermula dari pemerhatian data yang sudah dikatalogkan itu, membina suatu tanggapan umum atau generalisasi 3

yang bertaraf hipotesis dari pemerhatian dan dikatalogkan item-item dalam data tersebut. Suatu disiplin sebagai suatu sains mesti sampai kepada peringkat formulasi hipotesis iaitu sesudah dibuat pemerhatian dan klasifikasi data-data yang relevan seperti unsur morfofonemik. Hipotesis tidak boleh dibiarkan tanpa dibuktikan kesahihannya, jadi mestilah terlebih dahulu fakta-fakta terkumpul dari data-data bahasa berbentuk hipotesis itu diuji. Suatu disiplin di peringkat ini ialah memahami masalah-masalah asas yang terlibat di dalam kajiannya seterusnya mengemukakan beberapa soalan terhadap masalah tersebut. Suatu hipotesis hanya dapat diterima kesahihannya sebagai sah seandainya ujian-ujian yang dilakukan itu seboleh-bolehnya menjawab segala bentuk persoalan dan masalah dalam semua kemungkinan yang lebih luas daripada hanya bidang yang diselidiki tersebut. Selepas hipotesis itu diuji kebenarannya atau mencakupi seluruh ciri-ciri bahasa yang berkaitan barulah hipotesis itu diterima sebagai suatu teori bermakna bahawa semua persoalan yang menjadi masalah itu terjawab dengan memuaskan dan lojik. Kaedah suatu teori itu tercapai adalah tidak penting walaupun ia tercapai secara penemuan tidak sengaja. Perkara penting dalam penciptaan teori ialah ujian yang teliti terhadap hipotesis ke atas data-data. Bagi membolehkan sesuatu teori itu diterima maka ia mestilah exhausif, konsisten dan ekonomis. Suatu teori bahasa dikatakan exhausif apabila ia dapat menerangkan segala fakta-fakta. Teori yang konsisten ialah suatu yang tidak menunjukkan gejala percanggahan atau pertelingkahan. Teori yang ekonomis ialah teori yang senang dan tidak begitu kompleks. Seandainya suatu teori tidak memenuhi ketiga-tiga kriteria di atas maka ia haruslah ditolak atau diperbaiki. Peranan ahli bahasa dalam mencipta teori ialah menjawab kaedah bahasa atau bahagian-bahagian daripada bahasa itu berfungsi. Atas dasar inilah maka linguistik sebagai suatu kajian bahasa yang saintifik terjawab dengan jelasnya. Bidang-bidang ilmu linguistik Ilmu linguistik mengandungi bidang kajian bahasa yang luas, dibuat dari pelbagai sudut dan berdasarkan aspek-aspek tertentu maka ia boleh berdiri sebagai salah satu daripada disiplindisiplin seperti linguistik umum, linguistik huraian atau deskriptif, linguistik perbandingan atau komparatif dan linguistik sejarah atau historis. Jenis linguistik umum adalah bidang yang 4

mengkaji aspek-aspek teori ilmu linguistik secara umum. Perkara-perkara yang dikenalpasti dalam bidang ini adalah pembinaan konsep-konsep yang merangkumi persoalan mendefinisikan aspek-aspek dan daerah kajiannya secara umum, persoalan menentukan sifat-sifat umum yang ada pada semua bahasa secara universal, persoalan menentukan cara dan kaedah tertentu yang boleh digunakan dalam penghuraian bahasa secara deskriptif dan sebagainya. Linguistik huraian adalah bidang yang menghuraikan bahasa menurut cara-cara

saintifik meliputi usaha-usaha menentukan kaedah dan teknik yang boleh diaplikasikan bagi menghuraikan sesuatu bahasa yang tertentu sahaja. Ia lebih berbentuk bidang disiplin yang mempraktikkan teori-teori dan teknik-teknik tertentu linguistik umum apabila seseorang ahli bahasa itu berdepan dengan tugas menghuraikan aspek-aspek tertentu atau semua aspek bahasa tertentu yang dihuraikannya itu. Aspek yang dihuraikan oleh ahli bahasa adalah sistem bahasa atau keseluruhan yang menyatakan cara bahasa itu berfungsi seperti aspek-aspek fonetik, fonemik, morfologi dan sintaksis sesuatu bahasa itu. Linguistik perbandingan merupakan bidang kajian yang membuat perbandingan antara bahasa-bahasa sekeluarga bertujuan untuk melihat ciri-ciri perubahan dan persamaan di antara bahasa sekeluarga iaitu bahasa-bahasa turunan daripada satu bahasa induk yang mungkin sudah tidak wujud lagi. Perbandingan yang dibuat di antara beberapa aspek tertentu sahaja atau seluruh aspek bahasa-bahasa yang dibandingkan itu. Ia memperlihatkan hubungan yang erat dengan linguistik huraian kerana huraian yang lengkap diperlukan terlebih dahulu mengenai aspek-aspek tertentu bahasa-bahasa yang dibandingkan itu sebelum tugas membandingkan itu dijalankan. Sekiranya seorang ahli bahasa membuat tugas perbandingan itu maka penghuraian di antara bahasa-bahasa yang dibandingkan itu perlu diperoleh secara deskriptif sebelum tugas membandingkan di antara bahasa-bahasa yang berkontras itu dibuat. Linguistik sejarah atau historis pula merupakan cabang ilmu linguistik yang berusaha untuk menunjukkan perkembangan bahasa dari segi sejarah yang dilaluinya melalui masa. Selain itu, bidang ini juga mengkaji perubahan-perubahan bahasa, asal-usul atau etimologi sesuatu bahasa, faedah mengetahui perkembangan dan proses-proses yang telah dilaluinya daripada masa-masa lampau sehingga pada masa sekarang ini. 5

Bahasa dan linguistik Kajian tentang bahasa merupakan suatu sains dengan bahasa itu sebagai bahannya dan kajian ini dikenali dengan istilah linguistik. Keseluruhan aktiviti berbahasa adalah semata-mata suatu fenomena iaitu dari segi kebolehan manusia berhubung. Fenomena itu sendiri terdapat pelbagai jenisnya tetapi fenomena yang dibincangkan adalah tentang simbol yang mengandungi konsep pengucapan dan makna iaitu bahagian pengkajian yang disebut tatabahasa. Tatabahasa terdiri daripada dua bidang kajian iaitu morfologi dan sintaksis. Morfologi merupakan kajian tentang simbol-simbol yang mudah dan hubungan beberapa simbol binaannya. Sintaksis mengendalikan percantuman simbol-simbol itu sendiri untuk menghasilkan simbol yang lebih luas mengandungi bentuk-bentuk pengucapan dan makna sebagai satu kesatuan keseluruhan. Simbol itu sendiri merupakan kesatuan atau unit yang mengandungi dua bahagian yang bertentangan, setiap satu bahagian itu dapat dikaji secara berasingan dan bebas. Bidang linguistik yang mengkaji masalah ini disebut fonologi dan semantik. Fonologi merupakan kajian tentang sifat-sifat pengucapan dan semantik mengkaji selok-belok bidang maknanya. Linguistik Teoritis Linguistik menjadi satu bidang ilmu teoritis dapat menyatakan atau menghuraikan kebiasaan-kebiasaan deskriptif melalui kaedah induksi yang biasanya digunakan sebagai kemingkinan bagi meneroka fakta-fakta suatu bahasa pada suatu waktu yang tertentu. Langkahlangkah yang boleh digunakan apabila sumbangan kepada teori itu dikembangkan berbentuk: i. pernyataan gejala yang teliti untuk menjelaskan lagi situasi teori yang terhad dan langkah ini adalah fakultatif. ii. iii. pengumpulan data daripada suatu bahasa dikemukakan. cara mengendalikan data dengan menyatakan kaedah mengetahui fakta-fakta dalam data disertakan pertimbangan yang alternatif untuk memudahkan kefahaman. iv. implikasi teoritis penghuraian yang telah dipilih.

v.

pembinaan hipotesis atau perkara yang dikatakan oleh Bloomfield sebagai kemingkinan membuat ramalan atau tafsiran tentang kebenaran keterangan yang diperoleh daripada penghuraian lalu linguistik itu diberikan sifatnya sebagai saintifik.

vi.

pengesahan impilkasi teoritis itu melalui keterangan-keterangan formal sebagai suatu sumbangan pula kepada teori iaitu langkah ini adalah bersifat fakultatif. Jika langkah pertama itu difikirkan sebagai bersifat prasangka maka bolehlah langkah ini

diketepikan daripada pertimbangan. Situasi yang serupa dapat juga dibuat bagi langkah keempat jika keterangan yang formal itu dirasakan terlalu menekankan kebenaran fakta yang melulu di kalangan para pembaca. Langkah yang ketiga dapat digunakan kesederhanaannya dari segi keperluan yang mesti ada kerana jika tidak penghuraian akan menjadi tidak deskriptif. Semantik merupakan bidang yang mengkaji selok-belok makna kerana makna adalah ciri semua sistem lambang-lambang mengandungi bidang gunaan yang lebih luas daripada hanya terhadap bahasa sahaja. Ramai ahli bahasa pada hari ini memberikan keutamaan kepada suatu penghuraian makna yang formal mengikut keperihalan dan ini memanglah lebih berguna kepada seorang guru yang mengajar. Secara intuitif, bidang makna boleh digunakan sebagai suatu rujukan pada sesetengah tempat dalam sesuatu penyelidikan namun penghuraiannya perlulah dilakukan berdasarkan kepada bentuk. Seluruh penyelidikan sebaik-baiknya patuh kepada konsep form underlies meaning. Bidang ethnolinguistik menumpukan kepada pengkajian yang melihat perhubungan di antara bahasa dengan penyelidikan primitif. Bidang ini kadang kala merujuk kepada pertalian bahasa dengan kumpulan etnik iaitu menghuraikan pada tahap yang praktis dengan menggunakan kesan-kesan imigrasi di mana bahasa tetap ada di sisi hubungan ras. Bidang ini jika diperluaskan kepada gejala-gejala masyarakat yang dibendung di bawah suatu kebudayaan dan peranan bahasa itu dalam hubungannya dengan sistem nilai masyarakat serta kebudayaan sesuatu masyarakat bahasa itu selalu dikenali sebagai disiplin yang dinamakan linguistik anthropologi. Stylistik adalah satu lagi bidang disiplin yang merujuk kepada kajian tentang ciri-ciri 7

linguistik yang berbeza berlaku di kalangan kelompok-kelompok sosial yang dibezakan seperti bidang pekerjaan dan perbezaan taraf di dalam sesuatu masyarakat itu. Pada kebiasaannya, stylistik merujuk kepada kajian mengenai bahasa literari sesuatu komuniti dengan menggunakan kaedah-kaedah linguistik. Kaedah-kaedah ini telah banyak digunakan untuk menghuraikan tingkahlaku bentuk-bentuk bahasa tulisan yang digunakan atau yang dicipta oleh pengarangpengarang dalam karya-karya deskriptif mahupun karya-karya kesusasteraan. Stylistik berusaha mencari penyelesaian untuk menghuraikan perhubungan di antara bentuk pengucapan dengan makna yang dibawa dalam karya kesusasteraan, gaya bahasa banyak digunakan dan ke atas jenis bahasa sastera. Psikolinguistik merupakan satu disiplin yang melihat perhubungan di antara linguistik dengan psikologi, dapat dikatakan sebagai sebahagian daripada bidang Linguistik Gunaan tetapi kerana bidang ini khusus memperlihatkan pertalian di antara penguasaan bahasa yang ditinjau dari sudut psikologi yang mempengaruhi proses penguasaan sesuatu bahasa pertama itu maka psikolinguistik telah berupaya berdiri sebagai satu disiplin yang tersendiri iaitu berlainan daripada disiplin yang lain. Perhubungan di antara linguistik dengan psikologi ini telah banyak mendapat perhatian sebagai kesan daripada penekanan Chomsky di dalam Language and Mind bahawa sumbangan yang paling penting dapat diberikan oleh linguistik ialah dengan mengkaji fikiran manusia supaya linguistik secara teratur dan kemas boleh dilihat atau dianggap sebagai satu cabang psikologi kognitif. Seseorang tidak dapat menyangkal akan adanya perkaitan yang menyeluruh di antara psikologi dan linguistik sebagai gejala yang saling bertindak walaupun pandangan ini tidak memperoleh pegangan kebanyakan ahli bahasa. Perkaitan ini sangat ketara dalam persoalan kaedah bahasa boleh mengatur struktur fikiran, persoalan cara tanggapan terhadap mudah dan kusutnya bahasa itu dapat dinyatakan oleh asas psikologi yang tertentu, persoalan kaedah itu boleh mempengaruhi atau dipengaruhi oleh kuasa ingatan dan tanggapan. Di samping itu, juga persoalan cara bahasa dapat memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam memahami pertumbuhan manusia dan sebagainya. Sosiolinguistik merupakan bidang yang mengkaji perhubungan di antara bahasa dan gejalanya dengan masyarakat. Salah satu perkara yang dihadapi oleh ahli-ahli bahasa di dunia hari ini ialah masalah bahasa dalam negara-negara yang membangun. Masalah ini secara 8

langsung melibatkan pembinaan dan perancangan bahasa. Keperluan-keperluan negara dalam bidang sains teknologi dan ekonomi memerlukan usaha yang berterusan untuk mengemaskan lagi kemampuan bahasa itu menemui keperluan zaman khususnya zaman moden. Penentuan dan pemilihan bahasa tertentu untuk dijadikan bahasa kebangsaan perlu dilaksanakan untuk mencapai tujuan dan matlamat perpaduan negara yang dikehendaki itu. Persoalan inilah menjadi antara tugas ahli bahasa yang tergolong ke dalam kumpulan disiplin Sosiologi bahasa atau sosiolinguistik itu. Linguistik Gunaan Linguistik gunaan adalah bidang yang berkaitan sekumpulan beberapa disiplin yang berhubungan. Pada mulanya, istilah ini digunakan di dalam ilmu linguistik umum bagi merujuk kepada bidang linguistik yang berhubungan dengan pengajaran bahasa. Beberapa disiplin tertentu turut terlibat dalam bidang pengajaran bahasa sendiri. Psikolinguistik merupakan bahagian yang meneroka perkaitan di antara bahasa dengan fikiran dan tanggapan di dalam minda si penutur bahasa yang dipelajari dan hal-hal tentang selok-belok penguasaan bahasa di kalangan para pelajar. Pada kebiasaannya, psikolinguistik mengendalikan persoalan tentang psikologi bahasa iaitu persoalan yang dianggap luar biasa berbanding dengan persoalan yang lumrah dalam gejala bahasa dan tingkahlakunya yang bersifat deskriptif itu. Fungsi ilmu linguistik Salah satu daripada fungsi ilmu linguistik ialah faedah yang diperolehi oleh seseorang guru yang mengajar dengan mempelajari ilmu linguistik itu. Walaupun kadang kala ilmu linguistik sebagai satu sains tidak mempunyai banyak sumbangan dalam pengajaran bahasa seperti difikirkan orang namun sumbangan linguistik yang paling bererti ialah untuk menambah pengetahuan seseorang yang cuba memahami sifat-sifat bahasa. Pada kelazimannya, seseorang yang telah mempelajari linguistik adalah berkebolehan menjangkau kepada masalah-masalah bahasa dan sensitif kepada sebarang kesukaran pembelajaran bahasa. Biasanya, seseorang yang mengkaji linguistik akan terdorong untuk menguasai isi bahasanya iaitu tatabahasanya dengan baik. 9

Aspek yang penting dalam pengajaran bahasa ialah pengenalan aspek-aspek bahasa itu menurut cara-cara ianya digunakan dengan betul dari segi tatabahasanya. Hanya guru yang mempelajari ilmu linguistik itu sahaja yang mampu menggunakan kesempatan dan kelebihannya ini dalam pengajaran bahasa. Justeru itu, ilmu tatabahasanya pada peringkat penghuraian akan lebih dirasakan dapat membimbing dan mengatur pengajarannya dan pembelajaran muridmuridnya kepada keutamaan untuk menguasai tatabahasa yang diajar dan yang dipelajari oleh murid-muridnya itu dengan baik dan berkesan. Seseorang guru itu akan menyumbangkan pengetahuannya tentang tatabahasa bahasa yang diajarkan itu dengan baik iaitu melalui teknikteknik dan kaedah yang sesuai menurut teori linguistik yang diketahuinya. Nilai ilmu linguistik setidak-tidaknya dapat menjadikan dia seorang guru bahasa yang lebih baik. Menurut William Mackey, linguistik gunaan tidak semestinya merangkumi linguistik sekalipun linguistik itu adalah suatu sains. Pengenalan linguistik gunaan sebagai suatu disiplin adalah suatu usaha bagi mencari kegunaan secara praktis yang boleh diberikan oleh linguistik moden yang saintifik itu. Tanggapan bahawa linguistik terdapat dalam beberapa perkara berbentuk sains gunaan juga meliputi aktiviti yang agak menyimpang daripada perhitungan seperti penciptaan alphabet oleh pengembang-pengembang agama dan aktiviti penterjemahan elektronik. Hubungan linguistik dengan pengajaran Kita harus menerima hakikat bahawa seorang ahli bahasa tetap merupakan orang yang berkebolahan untuk menuliskan tatabahasanya, selok-belok bunyi bahasanya ataupun menulis kamus walaupun penghuraian linguistik tentang bahasa yang sama tidak serupa. Kebolehan ini dalam beberapa segi menjadikan ahli bahasa itu berkelayakan membina dasar-dasar pengajaran bahasa dan seterusnya berkebolehan menghuraikan bentuk-bentuk dan peraturan sesuatu bahasa itu setidak-tidaknya dapat mengajarkannya dengan baik, sekurang-kurangnya jika dibandingkan dengan orang yang tidak mempunyai kebolehan ini. Ilmu linguistik walaupun dari segi sifatnya amat mengetahui tentang bahasa dalam beberapa kebenaran dapat bersifat membantu kepada pengajaran yang lebih baik dan berkesan di samping faktor-faktor lain yang bersama menjayakan sesuatu pengajaran bahasa. Tugas seorang 10

guru bahasa yang perlu mengetahui bahasa asing, tahu cara mengajarkannya dan faham selokbelok tingkahlakunya. Aspek yang ketiga itulah yang telah mendorong kepada keperluan ilmu linguistik itu sebagai berguna bagi seseorang guru berdasarkan hubungan ini. Terhasilnya huraian-huraian secara objektif tentang sistem bunyi, struktur perkataan dan struktur ayat satu-satu bahasa itu daripada ahli-ahli linguistik bermakna wujudnya tatabahasa huraian satu-satu bahasa itu. Ahli-ahli bahasa telah melaksanakan tugas ini dengan menghasilkan suatu huraian yang lengkap lagi objektif tentang sistem yang terdapat pada pertuturan. Akhirnya, selesailah sudah tugas ahli linguistik (Dr. Raja Mukhtaruddin Raja Mohd. Dain,1979/80:26). Para pelajar beruntung jika guru mereka itu mempunyai pengetahuan dan kebolehan menghuraikan dengan baik bahasa yang mereka pelajari itu. Sekurang-kurangnya guru itu dengan sendirinya akan mempunyai kemampuan mengatasi masalah penguasaan struktur bahasa dalam pelbagai aspek dan sebagainya. Kemampuan ini membolehkan guru-guru mengatur kaedah dan teknik mengajar yang sesuai untuk menyampaikan isi bahasa itu sendiri iaitu penggunaannya mengikut peraturan seperti yang dikehendaki oleh seluruh sistem bahasa yang diajar itu. Sekalipun kebolehan menganalisa suatu bahasa tidak semestinya merupakan kelayakan untuk seseorang guru bahasa tetapi latihan-latihan tertentu dalam ilmu linguistik gunaan dapat membantu membolehkan seseorang guru itu mengenal pasti persamaan dan perbezaan dalam bahasa-bahasa yang diajarkannya berbanding orang yang tidak mempunyai pengetahuan dalam ilmu linguistik. Pengetahuan ini juga membantunya memahami, menilai dan menggunakan sesetengah daripada huraian-huraian bahasa yang diajarnya itu. Makna linguistik gunaan itu sudah jelas kerana pengetahuan dalam ilmu linguistik sahaja tidak mungkin menghasilkan guru bahasa yang cemerlang malah perlu dibantu dengan pengetahuannya mengenai psikologi. Analisa bahasa dan psikologi telah sentiasa digunakan di dalam pengajaran bahasa. Seandainya linguistik boleh digunakan sebagai bahagian bahasa daripada pembelajaran maka psikologi pula adalah bahagian pembelajaran bahasa itu sendiri. Maknanya, ilmu linguistik penting dari segi isi yang harus diajarkan manakala psikologi penting dari segi penguasaan isi yang disampaikan dengan cara tertentu di dalam sesuatu pengajaran itu. 11

Kesimpulan Penemuan-penemuan yang telah didapati oleh Ferdinand de Saussure dalam bidang pengkajian bahasa telah mendorong ilmu linguistik moden memberikan keutamaan yang nyata kepada pertuturan. Prinsip yang mengutamakan bahasa pertuturan berbanding dengan bahasa tulisan menggambarkan bahawa bahasa pertuturan itu pada hakikatnya adalah lebih dulu kewujudannya jika dibandingkan dengan kewujudan bahasa tulisan. Kenyataan ini telah dibuktikan oleh sejarah bahawa sebelum manusia mengenal tamadun tulisan, sebenarnya manusia telah terlebih dahulu berbahasa bagi tujuan perhubungan. Ringkasnya adalah mustahil bagi sesuatu kumpulan masyarakat yang telah dikatahui wujud tidak mempunyai kemampuan berhubung dengan menggunakan bahasa. Secara logiknya, suatu kumpulan masyarakat yang buta huruf sekalipun tetap berkebolehan menggunakan bahasa untuk memenuhi keperluan-keperluan hidup anggotanya dan sebalikmya masyarakat yang sudah mengenal dan menggunakan sesuatu sistem tulisan itu mustahil sekali tidak mempunyai kebolehan bertutur. Penghuraian bahasa yang mengutamakan bahasa pertuturan itu telah membuka jalan kepada kajian bahasa sebagai suatu sains yang deskriptif sifatnya. Pengkajian bahasa yang mula dijalankan secara sainstifik ini adalah gejala pemisahan dengan pengkajian tradisional yang penghuraian bahasanya telah berlandas kepada bentuk-bentuk bahasa tulisan yang konsep betulsalah nahunya itu ditentukan oleh penggunaan dan peraturan normatif. Linguistik sinkronis yang telah dikemukakan oleh De Saussure itu akhirnya telah melahirkan titik-titik penyimpangan di antara dua aliran iaitu aliran tradisional dan akiran moden dalam penghuraian bahasa. Pada hakikatnya, aliran baru ini telah membuka jalan kepada konsep bahawa bahasa itu merupakan struktur dengan makna manusia berhubung dengan menggunakan struktur yang dapat didengar. Berbeza dengan penghuraian bahasa yang dilakukan secara deskriptif ini ialah penghuraian yang bersifat preskriptif telah mewujudkan tatabahasa preskriptif berabad-abad lamanya itu. Berbeza dengan tatabahasa preskriptif merupakan tatabahasa huraian yang kian diusahakan sehingga hari ini.

12

Rujukan Abdullah Hassan (1974). The Morphology of Malay. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Arbak Othman (1983). Permulaan Ilmu Linguistik. Selangor : Penerbitan Sarjana (M) Sdn. Bhd. Asmah Haji Omar (1968). Morfologi-Sintaksis Bahasa Melayu (Malaya) Dan Bahasa Indonesia. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Aitchison Jean (1972). General Linguistics, An Introduction. London : Teach Yourself Books Bloch & Trager (1942). Outline to Linguistic Analysis. Baltimore : Special Publication of The Linguistic Society of America. Bloomfield, Leonard (1935). Language : Allen & Unwin. Bolinger, Dwight (1968). Aspects of Language. New York : Harcourt, Brace & World Inc. Crystal, David (1971). Linguistics. England : Penguin. Gleson, H.A. (1961). Introduction to Description Linguistics. New York : Holt, Richard Winston. Halliday, MacIntosh & Strevens (1964). Linguistics Sciences and Language Teaching. London : Longman. Hockett, C.F. (1958). A Course in Modern Linguistics. New York : Macmilian. J.P.B. Allen & S. Pit Corder (1973). Reading for Applied Linguistics Vol. 1. London : Oxford University Press. Langacker, Ronald W. (1968). Language and Its Structure. New York : Hercourt, Brace & World Inc. Lyon, John. (1969). Introduction to Theoretical Linguistics. London : Cambridge University Press.

Lufti Abas (1971). Linguistik Deskriptif dan Nahu Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Raja Mukhtaruddin Raja Mohd. Dain (1979). Kaedah dan Teknik Mengajar Bahasa. Kuala Lumpur : Pustaka Ilmu.

Vous aimerez peut-être aussi