Vous êtes sur la page 1sur 10

MASALAH PENGUASAAN BACAAN ASAS SOLAT DALAM KALANGAN PELAJAR BERMASALAH PENDENGARAN DI POLITEKNIK TUANKU SYED SIRAJUDDIN

Ainul Farhaan Harun Abstrak


Kajian ini dilaksanakan untuk meningkatkan penguasaan bacaan asas solat bagi kursus Pendidikan Islam 1 AK 101 dalam kalangan pelajar bermasalah pendengaran semester 1 Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin. Objektif kajian adalah untuk membantu pelajar menguasai bacaan asas solat, meningkatkan keupayaan pelajar menghafal bacaan tersebut dan meningkatkan kefahaman pelajar mengenai ayat hafalan bagi memudahkan proses mengingat bacaan solat. Seramai 10 orang responden daripada kelas Kemahiran Khas Hotel Katering semester 1 bagi sesi Jun 2011 terlibat dalam kajian ini. Dua kaedah telah digunakan untuk mengumpul data awal iaitu kaedah kualitatif dan kuantitatif melalui pelaksanaan ujian dan juga soalselidik. Bentuk pelaksanaan ujian adalah melalui ujian pra bacaan asas solat yang dijalankan secara individu semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Hasil dapatan menunjukkan tahap penguasaan pelajar di dalam bacaan asas solat adalah pada tahap yang lemah di mana hanya 20% responden yang tahu membaca Al-Fatihah manakala 80% responden masih lemah dalam penguasaan bacaan tersebut. Beberapa cadangan tindakan telah dikenalpasti untuk meningkatkan tahap penguasaan bacaan asas solat pelajar. Perancangan tindakan adalah berfokuskan kepada aktiviti dalam kelas, bimbingan rakan sebaya serta face-to-face di antara pelajar dan pensyarah. Kata kunci: Penguasaan, bacaan solat, pelajar bermasalah pendengaran.

REFLEKSI KAJIAN Kursus Pendidikan Islam Khas (AK 101) merupakan kursus wajib bagi pelajar bermasalah pendengaran semester 1 di politeknik. Kursus ini mengandungi empat topik utama iaitu, kewajipan menuntut ilmu, akidah, ibadah umum dan ibadah khusus serta akhlak Islam. Di dalam topik ibadah, pelajar-pelajar bermasalah pendengaran didedahkan dengan topik asas kewajipan seorang muslim iaitu pelaksanaan solat yang betul. Topik solat juga dinilai berdasarkan amali yang dijalankan secara individu sepanjang semester. Kriteria yang dinilai di dalam amali solat termasuklah bacaan asas solat seperti al-Fatihah, bacaan rukuk, iktidal, sujud, bacaan duduk di antara dua sujud dan bacaan tahiyat akhir. Kajian ini akan difokuskan kepada bacaan asas tersebut. Hasil daripada rekod penilaian bacaan solat tersebut didapati kesemua 10 orang pelajar Sijil Kemahiran Hotel Katering menghadapi masalah untuk menguasai bacaan asas dalam solat. Masalah yang telah dikenalpasti adalah berkaitan dengan keupayaan para pelajar untuk menghafal bacaan asas solat yang diterjemahkan kepada bahasa isyarat. Ini adalah kerana, keupayaan mental golongan bermasalah pendengaran berbeza dengan golongan biasa disebabkan kekurangan rangsangan deria pendengaran dan pertuturan yang mereka alami. Pendapat ini diperkukuhkan lagi oleh Woolfolk (1998), yang menegaskan bahawa pemprosesan maklumat merupakan aktiviti mental manusia yang berkaitan dengan proses menerima maklumat, menyimpan dan mengeluarkannya semula untuk digunakan. Aktiviti ini melibatkan ingatan sensori yang melibatkan deria penglihatan, deria pendengaran, deria rasa, deria bau dan sentuhan. Oleh itu, sedikit kekurangan kepada golongan bermasalah pendengaran memberi impak besar terhadap tahap kognitif mereka untuk menerima sesuatu maklumat . Selain itu,

mereka juga tidak mempraktikkan bacaan solat yang dipelajari semasa peringkat sekolah dalam amalan solat harian. Pengkaji juga mendapati para pelajar bermasalah pendengaran ini hanya melakukan rukun fili (perbuatan) solat semata-mata tanpa melibatkan rukun qauli (perkataan). Sedangkan setiap binaan memerlukan tiang sebagai penyokong begitu juga dengan manusia. Setiap manusia memerlukan solat untuk bertindak sebagai tiang dalam menyokong akhlak dan peribadi yang baik. Selain itu, solat merupakan kombinasi di antara unsur fizikal dan rohani iaitu rukun fili (perbuatan) dan juga rukun qauli (perkataan). Bacaan di dalam solat memainkan peranan di dalam menyuburkan rasa kehambaan di samping mengukuhkan lagi ikrar keimanan kepada Allah. Hasil penilaian yang dijalankan oleh pengkaji juga didapati hanya 20% pelajar bermasalah pendengaran yang tahu membaca al-Fatihah. Manakala kesemua 10 orang pelajar tidak menguasai semua bacaan asas solat yang lain termasuklah al-Fatihah dan bacaan asas lain seperti rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyat akhir.

FOKUS KAJIAN Berdasarkan penilaian yang dijalankan, pengkaji mendapati bahawa pelajar menghadapi masalah untuk menguasai bacaan asas dalam solat. Masalah yang dikenalpasti adalah berkaitan tiada pendedahan mengenai bacaan asas tersebut serta kelemahan pelajar dalam menghafal dan mengingati ayat bacaan dalam solat.

OBJEKTIF KAJIAN Objektif am Kajian ini bertujuan untuk meningkatkan tahap penguasaan bacaan asas dalam solat para pelajar bermasalah pendengaran. Objektif khusus 1. Membantu pelajar menguasai bacaan asas solat. 2. Meningkatkan keupayaan pelajar menghafal bacaan asas solat. 3. Meningkatkan kefahaman pelajar mengenai ayat hafalan bagi memudahkan proses hafalan bacaan asas solat

KUMPULAN SASARAN Kajian ini melibatkan pelajar semester 1 Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti PTSS. Responden kajian terdiri daripada 10 orang pelajar kelas Sijil Kemahiran Hotel Katering semasa pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran kursus Pendidikan Islam 1 (Khas) dan penilaian amali solat.

PELAKSANAAN KAJIAN Proses pengumpulan data dilakukan melalui kaedah kualitatif dan kuantitatif iaitu pelaksanaan ujian dan juga soalselidik.

Ujian pra Bentuk pelaksanaan penilaian adalah melalui ujian lisan yang dijalankan di dalam bahasa isyarat secara individu di dalam kelas. Bacaan asas solat dilaksanakan menggunapakai bahasa isyarat, hasil terjemahan daripada Bahasa Melayu. Ujian ini melibatkan keseluruhan 10 orang pelajar dan dijalankan secara berperingkat di setiap akhir sesi pembelajaran. Seramai dua orang pelajar dipilih bagi setiap sesi ujian dan diperuntukkan masa selama 10 minit bagi setiap seorang. Kriteria yang dinilai di dalam ujian yang dijalankan adalah pengetahuan mengenai bacaan asas dalam solat dan kelancaran bacaan para pelajar. Semua hasil ujian direkodkan di dalam borang penilaian ujian lisan. Soalselidik Soalselidik dilaksanakan selama 15 minit bagi setiap pelajar setelah selesai ujian bacaan solat dijalankan. Soalselidik yang dijalankan terdiri daripada 9 soalan dan dikemukakan kepada setiap pelajar. Soalan yang dikemukakan merangkumi aspek pengetahuan sedia ada pelajar mengenai bacaan solat, masalah yang dihadapi dalam proses menghafal bacaan asas solat dan amalan bacaan asas dalam solat semasa melaksanakan solat. Soalan bagi soalselidik diterjemahkan ke dalam bentuk bahasa isyarat dan direkodkan oleh pengkaji untuk tujuan pengumpulan maklumat.

ANALISIS TINJAUAN MASALAH Ujian: Penguasaan bacaan asas dalam solat Analisis data berdasarkan ujian yang telah dijalankan, mendapati bahawa penguasaan bacaan asas solat pelajar semester 1 bermasalah pendengaran Sijil Kemahiran Hotel Katering adalah seperti berikut:

Rajah 1: Penguasaan bacaan asas solat dalam kalangan pelajar bermasalah pendengaran semester 1 Sijil Kemahiran Hotel Katering, Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti.

PETUNJUK Bil Item A1 A2 A3 A4 A5 A6 Item Bacaan al- Fatihah. Bacaan rukuk. Bacaan iktidal. Bacaan sujud. Bacaan duduk antara dua sujud. Bacaan tahiyat akhir. Lemah 80% 100% 100% 100% 100% 100% Sederhana 10% 0% 0% 0% 0% 0% Baik 10% 0% 0% 0% 0% 0%

Berdasarkan Rajah 1, didapati sebanyak 80% responden lemah di dalam bacaan al-Fatihah untuk item 1 yang melibatkan penguasaan para pelajar membaca al-Fatihah. Responden yang lemah ini adalah mereka yang tidak dapat menguasai al-Fatihah dan tidak membaca surah tersebut semasa melaksanakan kewajipan solat. Manakala, sebanyak 10% responden berada pada tahap sederhana dan 10% pula dapat menguasai bacaan surah tersebut dengan baik. Bagi item 2 pula, sebanyak 100% responden tidak dapat menguasai bacaan rukuk ketika melaksanakan solat. Ini menunjukkan bahawa kesemua 10 orang responden bermasalah pendengaran tersebut tidak dapat menguasai bacaan rukuk. Seterusnya item 3 yang berkaitan dengan bacaan iktidal pula menunjukkan dapatan yang sama dengan item 2 di mana tiada seorang daripada pelajar yang tahu membaca bacaan ketika iktidal. Ini menunjukkan bahawa 100% responden tidak menguasai bacaan ketika iktidal. Item 4 pula adalah berkaitan dengan bacaan sujud. Dapatan menunjukkan 100% responden lemah dalam penguasaan bacaan ketika sujud. Begitu juga dengan item 5, sebanyak 100% responden tidak pernah membaca bacaan duduk antara dua sujud ketika melaksanakan solat kerana tidak tahu mengenainya. Akhir sekali bagi item 6 iaitu berkaitan bacaan tahiyat akhir, kesemua 10 responden lemah dalam menguasai bacaan tersebut dan sekaligus menunjukkan 100% responden lemah dalam penguasaan bacaan ini dan tidak pernah mengamalkannya ketika menunaikan solat. Sebagai rumusan, penguasaan bacaan asas dalam solat responden adalah pada tahap yang lemah. Hanya dua responden yang tahu mengenai bacaan al-Fatihah dan ini menunjukkan hanya 20% responden sahaja yang boleh membaca al-Fatihah dalam solat yang dilaksanakan. Di samping itu, dapatan ini jelas menunjukkan bahawa responden melaksanakan solat secara fili (perbuatan) semata-mata tanpa rukun qauli (perkataan). Sedangkan ibadah solat terdiri daripada bacaan yang merupakan doa untuk mengukuhkan keimanan seorang hamba kepada PenciptaNya.

Soalselidik: Pendedahan berkaitan bacaan asas dalam solat.

Rajah 2: Pendedahan berkaitan bacaan asas solat dalam kalangan pelajar bermasalah pendengaran semester 1 Sijil Kemahiran Hotel Katering, Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti.

Bil Item B1 B2 B3 B4

PETUNJUK Item Pernah mempelajari bacaan asas dalam solat. Mempelajari bacaan asas dalam solat melalui ahli keluarga. Pernah mempelajari bacaan asas dalam solat semasa di peringkat sekolah . Pernah menghadiri kelas fardhu ain mengenai bacaan asas dalam solat.

Ya 30% 30% 100% 0%

Tidak 70% 70% 0% 100%

Berdasarkan rajah 2, item 1 menunjukkan sebanyak 30% responden menyatakan mereka pernah mendapat pendedahan asas mengenai bacaan asas solat. Manakala 70% pula menyatakan sebaliknya. Item 2 pula menunjukkan sebanyak 70% responden menyatakan bahawa mereka tidak pernah mendapat pendedahan bacaan asas dalam solat daripada ahli keluarga. 30% responden pula menyatakan bahawa mereka mendapat pendedahan mengenai bacaan dalam solat melalui ahli keluarga terdekat. Bagi item 3 pula, kesemua responden bersetuju bahawa mereka pernah mendapat pendedahan mengenai bacaan asas dalam solat semasa di peringkat sekolah. Seterusnya item 4 pula menunjukkan tiada seorang pun daripada responden yang pernah menghadiri kelas fardhu ain yang menyediakan pembelajaran berkaitan bacaan dalam solat untuk pelajar bermasalah pendengaran. Kesimpulannya, semua responden yang terlibat pernah mendapat pendedahan awal mengenai bacaan asas dalam solat samada secara formal atau tidak formal.

Faktor yang menyebabkan masalah penguasaan bacaan asas dalam solat.

Rajah 3: Faktor masalah penguasaan bacaan asas solat dalam kalangan pelajar bermasalah pendengaran semester 1 Sijil Kemahiran Hotel Katering, Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti. PETUNJUK Item Sukar menghafal. Tidak memahami maksud ayat bacaan asas solat. Mudah lupa hafalan bacaan asas solat. Tidak berminat untuk menghafal bacaan asas solat. Tidak mendapat pengajaran yang berterusan mengenai bacaan dalam solat.

Bil Item C1 C2 C3 C4 C5

Setuju 80% 70% 100% 0% 100%

Tidak Setuju 20% 30% 0% 100% 0%

Berdasarkan rajah 3, faktor yang menyumbang kepada masalah penguasaan bacaan asas solat menunjukkan 80% responden bersetuju mereka mengalami masalah dalam menghafal bacaan asas solat manakala 20% pula tidak bersetuju. Bagi item 2, berkaitan faktor tidak memahami maksud ayat bacaan asas solat pula, 70% responden bersetuju dan 30% pula berpendapat sebaliknya. Seterusnya bagi item 3, 100% responden bersetuju bahawa mereka mudah lupa bacaan asas solat yang dihafal. Manakala bagi item 4 yang berkaitan tiada minat untuk menghafal bacaan asas solat, 100% responden tidak bersetuju dengan pernyataan tersebut. Bagi item 5, 100% responden bersetuju bahawa tiada pengajaran berterusan merupakan faktor yang menyumbang kepada permasalahan penguasaan bacaan solat yang mereka alami. Sebagai rumusan, faktor utama yang dihadapi oleh responden adalah berkaitan masalah menghafal dan kebolehan mengingat maklumat yang telah dihafal.

TINDAKAN YANG DIJALANKAN UNTUK MENGATASI MASALAH Berdasarkan analisa yang telah dijalankan, tahap penguasaan bacaan asas solat responden adalah pada tahap yang lemah. Ini adalah kerana, hanya dua daripada sepuluh responden yang dapat menguasai bacaan al-Fatihah. Di antara faktor yang menyumbang kepada berlakunya permasalahan ini adalah kurangnya pendedahan khusus berkaitan bacaan asas solat dan kemampuan para responden dalam mengingati ilmu yang telah dipelajari. Pengkaji mendapati bahawa kekurangan deria pertuturan dan pendengaran turut menyumbang kepada masalah menghafal dalam kalangan responden. Aspek pendedahan asas juga turut dianalisa oleh pengkaji. Ini adalah kerana pengetahuan asas berkaitan bacaan asas dalam solat memainkan peranan penting di dalam menentukan penguasaan pelajar. Mereka tidak mendapat pendedahan asas yang mencukupi mengenai asas bacaan solat. Hal ini disebabkan perbezaan bahasa di antara pelajar bermasalah pendengaran dengan ahli keluarga yang normal. Pelajar bermasalah pendengaran bergantung sepenuhnya kepada bahasa isyarat berbanding dengan golongan normal yang menggunakan bahasa pertuturan biasa. Jurang bahasa juga menyumbang kepada masalah penguasaan bacaan asas solat yang dihadapi oleh pelajar-pelajar tersebut. Di samping itu, hasil analisa juga menunjukkan keseluruhan responden hanya melaksanakan ibadah solat tanpa bacaan asas solat. Ini menunjukkan bahawa mereka melaksanakan solat secara gerakan fizikal dan tidak melibatkan bacaan asas solat disebabkan tiada pendedahan khusus untuk golongan bermasalah pendengaran sejak di peringkat asas persekolahan. Pengkaji berpendapat responden sepatutnya mampu menguasai bacaan asas dalam solat dengan baik, kerana mereka telah didedahkan dengan kurikulum Pendidikan Islam seperti mana pelajar biasa. Menurut Chua dan Koh (1992), murid-murid bermasalah pendengaran di Malaysia belajar mengikut kurikulum biasa yang diubahsuai mengikut keperluan dan pencapaian mereka. Bagi murid-murid biasa persekolahan wajib adalah enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah. Walau bagaimanapun khusus untuk murid-murid bermasalah pendengaran, mereka diberi masa tambahan selama dua tahun. Hasil daripada analisa di atas, pengkaji akan menjalankan tindakan untuk mengatasi masalah tersebut. Tindakan yang dicadangkan adalah seperti berikut: 1) Melaksanakan program Saya lihat..Saya ingat yang melibatkan penggunaan video solat dalam bahasa isyarat. 2) Menjalankan aktiviti Bimbingan rakan sebaya (My learning partner) untuk meningkatkan tahap ingatan dan hafalan bacaan asas solat. 3) Menjalankan program perjumpaan berkala di antara pensyarah dan pelajar (`Program dari mata turun ke minda). Tindakan yang dicadangkan ini adalah merangkumi keseluruhan aspek bacaan asas dalam solat. Tindakan yang akan dilaksanakan bukan sahaja melibatkan pengajaran berpusatkan pensyarah malah turut berfokus kepada pembelajaran aktif para pelajar dalam menguasai ilmu yang mereka pelajari. Pengkaji berpendapat bahawa penglibatan pelajar secara langsung akan merangsang penyimpanan maklumat ke dalam ingatan jangka panjang. Ini bersesuaian dengan pendapat Rohizani, Shahabudin & Mohd Zohir (2005), yang menegaskan bahawa pengajaran kemahiran perlu menekankan kepada arahan, demonstrasi dan pembaikan kesilapan pelajar. Selain itu, menurut Abdul Raof (1998), gabungan pelbagai aktiviti pengajaran yang melibatkan strategi, pendekatan, kaedah dan teknik akan membawa kepada pengajaran yang berkesan.

Selain itu tindakan pelaksanaan yang akan dijalankan juga diimplementasikan secara berulang untuk memastikan para pelajar bermasalah pendengaran dapat menguasai bacaan solat dengan baik. Safani Bari, Manisah Ali, Norani Mohd dan Aliza Alias (2002) menyatakan bahawa kanak-kanak bermasalah pendengaran amat sinonim dengan masalah-masalah komunikasi, sosial serta akademik. Maka pengulangan terhadap topik yang dipelajari perlu dilakukan bagi memastikan mereka benar-benar mengingati apa yang telah dipelajari. PELAKSANAAN TINDAKAN DAN PEMERHATIAN Pelaksanaan tindakan ini telah dijalankan dalam tempoh enam minggu. Manakala pemerhatian terhadap hasil tindakan dilakukan selama seminggu terhadap pelajar berkenaan. Tindakan ( 1 ) dilaksanakan oleh pensyarah semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas selama dua minggu berturut-turut. Pensyarah mengambil masa 1 jam untuk menunjukkan video bacaan solat dan mengulanginya beberapa kali untuk mengukuhkan ingatan pelajar. Tindakan ( 2 ) pula dilaksanakan secara berterusan selama lima minggu. Pelajar dibahagikan kepada empat kumpulan yang terdiri daripada tiga atau dua orang ahli. Pelajar yang dapat menguasai bacaan dengan lancar akan bertindak membantu rakan yang lain. Aktiviti ini diadakan pada setiap hari Jumaat di antara pukul 8 hingga 9 pagi sepanjang tempoh tersebut. Manakala, tindakan ( 3 ) pula dilaksanakan setelah pelajar di dalam setiap kumpulan dapat menguasai bacaan dengan baik. Mereka dikehendaki bertemu face-to-face dengan pensyarah yang bertindak menilai bacaan mereka. Setiap pelajar diperuntukkan selama 15 minit bagi setiap sesi bacaan. Semasa sesi ini, pensyarah akan memperbaikki mutu bacaan dan hafalan pelajar. Perjumpaan dengan pensyarah diadakan berterusan sepanjang tempoh lima minggu tersebut. REFLEKSI KAJIAN Hasil daripada ujian pra dan temubual yang dijalankan selama satu minggu, didapati sebanyak 30% pelajar bermasalah pendengaran dapat menguasai manakala 70% daripadanya tidak tahu membaca al-Fatihah. Selain itu, keseluruhan 10 orang pelajar tersebut tidak menguasai bacaan asas solat yang lain seperti bacaan rukuk, iktidal, sujud, bacaan duduk antara dua sujud dan juga tahiyah akhir. Walaubagaimanapun setelah beberapa tindakan kajian dilaksanakan, seperti program `Saya lihat ... Saya ingat yang menayangkan video solat di dalam bahasa isyarat, aktiviti bimbingan rakan sebaya dan Program dari mata turun ke minda yang melibatkan perjumpaan face-to-face di antara pensyarah dan pelajar didapati tahap penguasaan pelajar semakin meningkat. Bagi melihat hasil daripada tindakan yang telah dilaksanakan, satu ujian pos telah dijalankan selama seminggu ke atas setiap pelajar bermasalah pendengaran yang terlibat. Hasil ujian pos yang dijalankan, didapati peratusan tahap penguasaan bacaan asas solat pelajar dapat ditingkatkan. Ini menunjukkan bahawa tindakan yang berkesan di samping mengambilkira keperluan khusus pelajar bermasalah pendengaran dapat meningkatkan penguasaan bacaan asas solat mereka ke tahap yang lebih baik. Hasil ujian pos yang dijalankan adalah seperti berikut :

Rajah 4: Ujian pos penguasaan bacaan asas solat dalam kalangan pelajar bermasalah pendengaran semester 1 Sijil Kemahiran Hotel Katering, Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti. PETUNJUK Item Baik Bacaan al- Fatihah. 70% Bacaan rukuk. 90% Bacaan iktidal. 100% Bacaan sujud. 100% Bacaan duduk antara dua sujud. 60% Bacaan tahiyat akhir. 50%

Bil Item D1 D2 D3 D4 D5 D6

Sederhana 30% 10% 0% 0% 40% 50%

Lemah 0% 0% 0% 0% 0% 0%

Rajah 4 adalah berkaitan dapatan ujian pos bacaan dalam solat responden. Bagi item 1, 70% responden dapat menguasai bacaan al-Fatihah dengan baik manakala hanya 30% responden masih dalam tahap sederhana. Bagi item 2 pula, hanya 10% responden sahaja yang masih berada pada tahap sederhana dalam penguasaan bacaan rukuk manakala 90% daripada responden pula, dapat menguasainya dengan baik. Seterusnya bagi item 3, 100% daripada responden dapat menguasai bacaan iktidal dengan baik. Begitu juga dengan item 4, 100% daripada responden dapat menguasai bacaan sujud dengan baik. Sebaliknya, bagi item 5 pula, hanya 60% daripada responden dapat menguasai bacaan duduk antara dua sujud dengan baik manakala selebihnya masih berada pada tahap sederhana. Bagi item 6 pula, sebanyak 50% daripada responden dapat menguasai bacaan tahiyat akhir dengan baik manakala 50% responden pula masih di tahap sederhana. Kesimpulannya, pendedahan yang berterusan serta kaedah pengajaran yang menekankan penglibatan secara aktif para pelajar di dalam proses pengajaran dan pembelajaran mampu meningkatkan penguasaan mereka di dalam bacaan asas solat. CADANGAN KAJIAN SETERUSNYA Terdapat beberapa kajian tindakan susulan yang boleh dilaksanakan berkaitan dengan penambahbaikan proses pengajaran dan pembelajaran bagi pelajar-pelajar bermasalah pendengaran. Antaranya adalah:

Kajian mengenai kesan penggunaan multimedia dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam Khas (bermasalah pendengaran). Kajian ini dapat melihat sejauh mana penggunaan multimedia dapat menambahkan lagi kefahaman para pelajar pendidikan khas dalam kursus Pendidikan Islam. Ini adalah kerana pengkaji berpendapat, penggunaan multimedia dapat meningkatkan daya ingatan para pelajar pendidikan khas bermasalah pendengaran. Selain itu, pengkaji juga akan meluaskan lagi skop kajian berkaitan dengan peranan pensyarah pendidikan khas di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin di dalam meningkatkan minat pelajar-pelajar bermasalah pendengaran terhadap kursus. Penyelidik akan memfokuskan kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan oleh pensyarah-pensyarah di dalam kelas. Seterusnya, kajian yang dijalankan hanya melibatkan pelajar semester 1 di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin sahaja. Adalah dicadangkan, untuk kajian seterusnya pengkaji membuat kajian mengenai tahap penguasaan bacaan solat bagi pelajar bermasalah pendengaran di politeknik-politeknik lain. RUJUKAN Abdul Raof Dalip. (1998). Teknik pengajaran dan pembelajaran agama Islam di sekolah menengah. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Chua T. T., & Koh, B.B. (1992). Pendidikan khas dan pemulihan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Rohizani Yaakub, Shahabudin Hashim, & Mohd Zohir Ahmad. (2005). Pedagogi: Strategi dan teknik mengajar dengan berkesan. Bentong: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. Safani Bari, Manisah Ali, Norani Mohd, & Aliza Alias. (2002). Penggunaan alat bantuan pendengaran di kalangan murid-murid bermasalah pendengaran. Universiti Kebangsaan Malaysia. Woolfolk, A.E. (1998). Educational Psychology. (7th ed.). Boston: Allyn & Bacon.

Ainul Farhaan Harun, Unit Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan Pengajian Am, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin. Emel: eyenul04@yahoo.com

Vous aimerez peut-être aussi