Vous êtes sur la page 1sur 4

Pelaziman Operan;

Manakala, teori pelaziman operan yang dipelopori oleh Skinner lebih menekankan kepada peneguhan
diberikan selepas responden berjaya dalam sesuatu usaha atau berlakunya peningkatan positif. Melalui
kajian yang dijalankan beliau terhadap tikus, dapatlah disimpulkan bahawa tingkahlaku yang disertai
dengan pengukuhan akan meningkatkan kebarangkalian berlakunya tingkahlaku yang sama pada masa
akan datang. Manakala peneguhan negatif yang diberi akan membawa kesan tidak menyeronokkan dan
responden akan mengulangi tingkah laku operan yang diingini.
Antara implikasi teori tersebut dalam P&P ialah, sesuatu kemahiran atau teknik yang baru dipelajari
hendaklah diberikan peneguhan secara berterusan dan diikuti dengan secara berkala supaya kemahiran
atau teknik itu dapat dikukuh dan dikekalkan. Selain daripada itu, prinsip penghapusan melalui proses
pelaziman operan adalah sesuai digunakan untuk memodifikasikan tingkah laku pelajar yang tidak diigini,
misalnya menghentikan peneguhan yang diberikan dahulu, sama ada peneguhan positif atau negatif.
Peneguhan negatif sesuai digunakan untuk mendapatkan tingkah laku yang diingini. Malah, guru juga
perlu membantu pelajar menguasai konsep diskriminasi melalui proses pelaziman operan supaya mereka
memperoleh ilmu dan kemahiran dengan tepat.

Hukum Kesan:
Teori yang dikemukakan oleh Edward Thorndike ini terdapat pertindahan untuk dikelaskan. Dalam
sesetengah sumber, ia dikategorikan dalam teori pelaziman, dan sesetengahnya pula pengklasifikasikan
sebagai Hukum Kesan. Thorndike menjalankan kajian ke atas kucing yang sedang lapar dibiarkan di
dalam sangkar yang mempunyai penyendal untuk membuka pintu sangkar tersebut dan kucing tersebut
boleh mendapatkan makanan yang berada di luarnya. Dalam teorinya, terdapat tiga jenis hukum iaitu
hukum kesediaan, latihan dan kesan.
Implikasi teori Thorndike dalam P&P ialah untuk meningkatkan tahap kesediaan belajar. Pada masa yang
sama, guru perlu memainkan peranan dalam menggunakan motivasi yang sesuai. Selain daripada itu, ia
mampu mengukuhkan pertalian antara ransangan dan gerak balas pelajar dengan memperbanyakkan
aktiviti latihan, ulangkaji, aplikasi serta pengukuhan dalam keadaan yang menyeronokkan. Guru juga
perlu memberikan ganjaran atau peneguhan untuk respons atau gerak balas yang betul daripada pelajar.
Antara peneguhan yang boleh digunakan ialah peneguhan social dan material. Malah, teori ini juga
menekankan pemberian peluang kepada pelajar untuk menikmati kejayaan dalam pembelajaran mereka.

Teori Kognitif:
Jean Piaget merupakan individu bertanggungjawab yang telah mempelopori teori ini. Menurut beliau,
perkembangan kognitif kanak-kanak adalah berbeza dan berubah melalui empat peringkat; peringkat
deria motor (0-2 tahun), pra operasi (2-7 tahun), operasi konkrit (7-12 tahun) dan operasi formal
(selepas 12 tahun). Teori ini juga menekankan lima konsep asas iaitu skema, adaptasi, keseimbangan,
asimilasi dan akomodasi.
Teori Kognitif ini memberikan beberapa implikasi dalam proses P&P. Menurut teori tersebut, isi
kandungan hendaklah disusun mengikut perkembangan kognitif kanak-kanak dan yang paling relevan
adalah daripada konkrit kepada abstrak, dekat kepada jauh, pengalaman sedia ada kepada pengetahuan
baru dan daripada kasar kepada halus. Contohnya, untuk mengajarkan tentang buah-buahan tempatan,
mulakan dengan memberi contoh yang diketahui oleh murid- murid terlebih dahulu. Selain daripada itu,
guru seharusnya berperanan sebagai fasilitator dalam proses P&P yang bertugas sebagai penyusun
maklumat yang hendak disampaikan bagi memudahkan murid mengaitkan pelajaran baru dengan
pelajaran lepas.
Seterusnya, guru harus sedar bahawa ada murid yang berada dalam mod pembelajaran yang berbeza
dan guru perlu bijak memainkan peranan dalam menguasai proses P&P. sebagai contoh, jika terdapat
murid yang tidak dapat menumpukan perhatian dalam proses pembelajaran yang berlangsung, guru
perlu memikirkan cara yang efisyen bagi menarik minat mereka.
Teori Konstruktivisme:
Teori ini berlandaskan bahawa ilmu pengetahuan tidak boleh wujud di luar minda, tetapi dibina dalam
minda berdasarkan pengalaman sebenar. Antara tokoh yang bertanggungjawab memperkanalkan teori ini
adalah L. Vigotsky dan Jean Piaget. Melalui hujah- hujah yang dikemukakan, dapatlah disimpulkan
bahawa, implikasi teori ini dalam P&P ialah peranan guru merupakan pembimbing, pemudahcara serta
perancang dan pelajar memainkan peranan utama dalam aktiviti pembelajaran. Malah, pengalaman dan
kesediaan pelajar adalah faktor penting yang mempengaruhi proses pembentukan ilmu baru. Ini bererti
tahap isi pelajaran hendaklah sesuai dengan kebolehan pelajar. Contohnya, jika pelajar tidak mampu
menguasai sesuatu topik, guru perlu mengubah pendekatan yang lebih mudah difahami oleh murid
tersebut.
Selain daripada itu juga, penilaian tradisi tidak sesuai lagi digunakan dan bentuk serta alat penilaian
terhadap tahap pembentukan ilmu hendaklah dibentuk oleh guru dan murid bersama- sama. Hal ini
bermaksud, penilaian seperti peperiksaan dan ujian bukanlah peratusan atau kemahiran sebenar murid-
murid. Guru seharusnya menyediakan penilaian lain secara berterusan bagi menentukan tahap sebenar
anak didiknya.

IMPLIKASI TEORI PEMBELAJARAN KE ATAS PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (P&P)
KEPADA KANAK-KANAK BERKEPERLUAN KHAS

Teori pembelajaran yang diperkenalkan bukan sahaja memberi implikasi dalam P&P kanak-kanak normal,
namun ia turut mencakupi kanak- kanak berkeperluan khas. Kanak-kanak berkeperluan khas ialah kanak-
kanak yang mengalalami masalah penglihatan, pendengaran dan masalah pembelajaran[2]. Bagi guru-
guru yang sudah lama berkecimpung dalam dunia khas, semestinya mereka telah memahami dan begitu
arif tentang pengubahsuaian kurikulum berdasarkan kognitif dan tahap keabnormalan murid- murid.
Malah, jika diteliti dan dihayati, pengajaran terhadap kanak-kanak khas juga banyak mengaplikasikan
teori-teori pembelajaran yang diutarakan.

Teori Behavioris:
Dalam mengajar kanak- kanak berkeperluan khas, pengaplikasian teori ini amat tepat dengan situasinya.
Jika kita melihat kepada masalah kanak-kanak khas yang kebanyakkannya tidak tahu membaca,
pendekatan teori ini mampu meningkatkan sedikit ransangan mereka agar terus berminat dalam
mengikuti pembelajaran. Berdasarkan teori tersebut juga, guru-guru boleh menggunakan peneguhan
positif atau negatif bagi meransang murid-murid berusaha untuk meningkatkan kemahiran membaca.
Seelok-eloknya, guru perlu memberi ganjaran atau hadiah kepada murid-murid yang menguasai
kemahiran tersebut. Sebagai contoh, seorang guru memberikan coklat kepada muridnya yang mampu
membaca huruf a hingga h dengan betul. Kaedah ini akan memberikan motivasi kepada kanak-kanak
lain untuk mencuba dan kanak-kanak yang memperoleh peneguhan tersebut untuk terus menguasai
huruf seterusnya.

Malah, berdasarkan hukum pembelajaran yang terdapat dalam teori tersebut, seseorang guru perlulah
membuat persiapan sebelum mengajar. Sediakan BBM yang menarik, ransangan yang sesuai dan teknik
pendekatan yang praktikal. Selain daripada itu juga, guru perlu memastikan tahap kesediaan murid. Bagi
mengetahui tahap murid-murid, gunakan waktu set induksi untuk berinteraksi dan bertanyakan hal-hal
umum kepada murid- murid. Contohnya, guru bertanyakan apakah yang dilakukan oleh anak muridnya
yang mengalami masalah hiperaktif.
Guru perlu memberikan respon yang spesifik dan kerap. Hal ini kerana murid-murid khas sentiasa
memerlukan perhatian dan respon agar mereka dapat meningkatkan tahap kelakuan kearah yang lebih
positif. Respon guru dan teguran yang positif serta spesifik agar kanak-kanak yang mengalami masalah
tingkah laku dapat mengetahui masalah mereka yang lari dari norma asal. Contohnya, kanak-kanak
down sindrom yang bermasalah akolalia iaitu mengulang-ulang perkataan dengan kerap, guru perlu
menegur secara terus terang bahawa perlakuannya adalah diluar norma manusia normal. Respon guru
tersebut, mampu mengurangkan keadaanya kepada yang lebih baik.
Selain daripada itu juga, guru perlu menggiatkan penghapusan tingkah laku yang tidak diingini. Gunakan
kaedah time-out, kontrak, pengasingan, dan sebagainya dalam mengawal dan mengurangkan tingkah
laku yang tidak diingini. Namun begitu, kaedah atau hukuman tersebut perlulah sesuai dengan masalah
tingkah laku kanak-kanak tersebut. Jika kanak-kanak yang mengalami masalah down sindrom, kaedah
time out merupakan antara kaedah yang boleh digunakan.

Teori Kognitif:
Menurut teori kognitif, guru perlu menyediakan BBM yang berbentuk besar, maujud ataupun benda yang
senang dilihat dan disentuh. Adalah lebih baik sekiranya bahan pengajaran tersebut berdasarkan
pengetahuan sedia ada murid- murid dan sesuatu yang hampir dengan kanak-kanak tersebut. Manakala
dalam mendidik kanak-kanak khas, guru perlu mempelbagaikan BBM kerana tahap kognitif mereka
terhad. Contohnya, guru ingin mengajarkan tentang buah-buahan, guru membawa dan menunjukkan
buah-buahan sebenar serta menyuruh murid menyentuh, melihat, mencium bau dan merasa buah
tersebut. Pendekatan tersebut akan menjadikan murid lebih mudah mengingat apa yang dipelajari pada
hari itu.
Bagi kanak-kanak yang mengalami masalah daya tumpuan yang singkat, guru perlu lebih peka dalam
penyediaan rancangan pengajaran. Jika murid-murid sudah menguasai konsep terdahulu, guru tersebut
perlulah meningkatkan tahap pembelajaran kepada sifat egosentrik. Kanak-kanak khas juga sebenarnya
mempunyai keupayaan jika diberi pendedahan secara sistematik dan terapi yang berterusan. Sebagai
contoh, jika murid sudah mampu menguasai operasi tambah dan tolak dalam subjek matematik, guru
perlu mempertingkatkan pengajaran kepada operasi darab dan bahagi yang lebih mencabar. Pada masa
tersebut, pemikiran mereka akan terus berkembang.
Selain daripada itu juga, kanak-kanak khas perlu diajar mengikut subjek yang telah disusun dan
diperingkatkan. Pemeringkatan tersebut perlulah dari yang senang kepada susah kerana mereka sangat
bermasalah dalam reseptif dan menyusun maklumat yang diterima. Apatah lagi untuk menyimpan
ingatan tersebut dalam stor jangka masa panjang. Contohnya dalam mengajar operasi tambah dalam
matematik, guru perlu memulakan dengan nombor yang kecil. Setelah murid-murid mampu
menguasainya, barulah guru memberikan soalan yang membabitkan nombor lebih besar.
Malah, guru perlu mengubahsuai kaedah dan pendekatan P&P untuk disesuaikan dengan keadaan murid-
murid khas tersebut. Contohnya, jika seorang guru ingin mengajarkan murid-murid yang dikategorikan
sebagai autisme, kaedah pengajaran tersebut perlulah menekankan komunikasi dan interaksi
terutamanya yang melibatkan eye contact. Perbanyakkan interaksi dua hala dan soalan yang mampu
dijawab serta menarik minatnya untuk terus meningkatkan tahap komunikasi. Kaedah P&P yang
digunakan perlulah ringkas dan berkesan kerana kanak-kanak khas tidak mampu menerima laras bahasa
yang tinggi.


Teori Konstruktivisme:
Implikasi teori konstruktivisme dalam proses P&P kanak-kanak berkeperluan khas pula ialah guru perlu
membina suasana P&P yang mampu membina pengetahuan murid-murid. Pastikan suasana yang dibina
tidak merencatkan pengetahuan mereka. Contohnya, seorang kanak-kanak yang mengalami mental
retardation tahap ringan dan boleh dididik dibiarkan dalam kelas yang menempatkan kanak-kanak
mental retardation sederhana akan memberi kesan negatif terhadap perkembangannya. Sepatutnya,
kanak-kanak tersebut perlu ditempatkan di kelas yang mampu meningkatkan daya pemikirannya.
Selain daripada itu juga, guru perlu merancang dan melaksanakan strategi-strategi pengajaran seperti
soalan terbuka dan dialog bersama murid- murid. Kaedah ini akan membantu peningkatan tahap
komunikasi. Komunikasi merupakan item terpenting dalam membina kemahiran menganalisis, mentafsir
dan meramal maklumat. Contohnya, semasa set induksi sesi P&P guru bertanyakan khabar dan mengenai
hobi seorang kanak-kanak autisme sebelum memulakan pembelajaran bertemakan hobi pada hari
tersebut. Selain daripada itu juga, guru boleh menggunakan kaedah dialog bersama rakan sekelas untuk
membantu kanak-kanak khas meningkatkan tahap interpersonal. Perancangan guru yang sistematik dan
fleksibel boleh digunakan oleh guru tersebut dalam menagani pelbagai karenah murid.
Implikasi seterusnya adalah guru menggunakan Rancangan Pendidikan Individu (RPI) sebagai untuk
menganalisis perkembangan dan kemajuan murid dari semasa ke semasa. Seperti yang diketahui umum,
kanak-kanak khas tidak mengambil peperiksaan umum kecuali mereka yang mengikuti kelas inklusif
dengan kelas normal. RPI yang digunakan merupakan kolaborasi pelbagai disiplin. Jadi, perkembangan
dan kemajuan yang dianalisis merupakan peningkatan dari pelbagai aspek. Contohnya, jika seorang
murid yang mengalami masalah tingkah laku, perubahannya diperhatikan oleh semua pihak yang terlibat
dan terapi diberikan dari pelbagai aspek. Keadaan dan perkembangannya dicatat dari semasa ke semasa.
Apa yang menjadi fokus keutamaan adalah proses perubahannya, bukanlah hasil terakhir. Hal ini kerana
setiap individu mempunyai kebolehan dan kelemahan yang pelbagai.

Vous aimerez peut-être aussi