Vous êtes sur la page 1sur 21

Topik X Hubungan

Etnik dan
Pembinaan
Negara Bangsa

HASIL PEMBELAJARAN
Pada akhir topik ini, anda seharusnya dapat:
1.

Menerangkan tentang proses pembinaan negara bangsa di dunia


dan di Malaysia;

2.

Menjelaskan sejarah pembinaan negara bangsa dan kaitan dengan


hubungan etnik di Malaysia; dan

3.

Menilai tahap kejayaan Malaysia menguruskan hubungan etnik.

X PENGENALAN
Pembinaan negara bangsa (nation state) bertitik tolak daripada kewujudan
bangsa atau ras (race) dan lahir sebagai entiti sebuah negara yang mewakili
bangsa berkenaan. Satu bangsa melahirkan sebuah negara. Shamsul Amri
Baharuddin (2012) dalam membincangkan konsep negara bangsa membahagikan
kewujudan negara bangsa ini pada tiga keadaan.
Keadaan pertama ialah satu bangsa mewakili satu negara. Konsep negara bangsa
bertitik tolak daripada satu ras membentuk bangsa dan melahirkan satu negara.
Justeru, ia akan melahirkan sebuah negara bangsa. Sebagai contoh, bangsa Jepun
membentuk negara Jepun.

TOPIK 1

HUBUNGAN ETNIK DAN PEMBINAAN NEGARA BANGSA

Keadaan kedua pula ialah bangsa tanpa negara (state without nation). Terdapat
beberapa bangsa tanpa negara dan mereka menuntut bangsa mereka untuk
bernegara dan mempunyai autonomi sendiri. Misalnya, kita dapat lihat bangsa
Melayu Patani di Selatan Thailand. Bangsa Melayu Patani dahulu merupakan
sebuah kerajaan yang berautoriti sendiri. Akan tetapi akibat daripada
penjajahan, maka Patani diserahkan kepada Siam (Thailand) sedangkan, bangsa
Melayu Patani adalah beragama Islam dan berbudaya Melayu. Justeru, wujud
konflik apabila mereka merasakan bahawa mereka bukan sebahagian daripada
bangsa Thailand yang berbudaya Thai dan beragama Buddha. Tambahan lagi,
muncul gerakan dalam kalangan bangsa Melayu Thailand yang cuba untuk
membebaskan diri daripada negara bangsa Thailand yang dibina. Begitu juga
halnya dengan bangsa Kurdis yang bertapak di utara Iraq. Bangsa ini berjaya
membentuk wilayah autonomi Kurdistan tetapi negara Kurdistan tidak diiktiraf
dalam peta dunia.
Keadaan negara bangsa yang dibina seterusnya ialah negara tanpa bangsa
(nation without state). Senario ini berlaku pada negara apabila kewujudan
sesebuah negara berlaku dan diperakui kedaulatannya, tetapi tidak jelas dari segi
identiti bangsa yang dibina. Kewujudan negara sebegini boleh dirujuk dalam
konteks Malaysia. Malaysia lahir sebagai sebuah negara yang terdiri daripada
pelbagai bangsa atau ras dengan setiap etnik berkenaan mengekalkan identiti
etnik masing-masing. Namun begitu, aspek ini merupakan keunikan yang ada
pada Malaysia dari segi pembinaan negara. Dalam topik pertama ini, kita ingin
melihat dan memahami pembinaan negara bangsa Malaysia.

1.1

HUBUNGAN ETNIK DAN PEMBINAAN


NEGARA BANGSA

Hubungan etnik yang harmonis merupakan kunci pembinaan negara bangsa.


Dalam konteks Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik,, mustahil negara
ini dapat dibina jika hubungan etnik tidak dapat diuruskan dengan baik. Urusan
berkaitan pembinaan negara bangsa ialah proses membina tamadun. Pembinaan
negara bangsa memerlukan perhatian terhadap dua perkara iaitu,, kejayaan
menguruskan::
(a)

Keterbatasan (Scarcity)
Menguruskan keterbatasan ialah kunci kejayaan kerajaan untuk
menguruskan sumber yang terhad sama ada dari aspek bahan mentah atau
sumber ekonomi. Kejayaan ini mendorong kemajuan dan pembangunan.
Sementara itu, menguruskan kesepaduan sosial (solidariti) amat berkait
rapat dengan proses pembinaan negara bangsa.

TOPIK 1

(b)

HUBUNGAN ETNIK DAN PEMBINAAN NEGARA BANGSA

Kesepaduan Sosial (Solidarity)


Kejayaan menguruskan kesepaduan sosial ialah kunci penting dalam
mewujudkan kestabilan. Kejayaan kerajaan dalam menguruskan
keterbatasan dan kesepaduan sosial menjadi elemen penting dalam
pembinaan negara bangsa.

1.1.1

Konsep Negara Bangsa

Pembinaan negara bangsa bukan konsep yang baharu, tetapi ia telah lama
diperkatakan. Konsep negara bangsa merupakan kesan penting lanjutan
daripada pembinaan tamadun. Konsep ini bermula di Eropah. Ia bertitik tolak
daripada kelahiran ras tertentu atau etnik tertentu. Bermula daripada konsep
etnik, lahir konsep bangsa yang menggambarkan identiti yang besar dan menuju
ke arah satu aspek iaitu negara. Menurut Abdul Rahman Embong (2001), konsep
negara bangsa di Eropah bermula apabila lahirnya kelompok bangsa yang
menentang kuasa feudal dan proses pembentukan sistem baru yang dipanggil
kapitalis. Kejayaan kapitalis membolehkan mereka berkuasa dan membentuk
sebuah negara moden yang mana entiti negara ialah mempunyai sempadan atau
wilayah tertentu dan juga adanya bangsa tertentu yang mendukung negara
tersebut. Misalnya di Eropah, bangsa Inggeris muncul lebih awal sebelum
lahirnya bangsa Eropah dan negara England yang moden.
Konsep negara bangsa ialah dua perkataan yang berbeza tetapi mempunyai
hubungan antara satu sama lain. Negara merujuk pada sebuah masyarakat
yang mendiami kawasan tertentu dan adanya kerajaan yang memerintah.
Sementara itu, bangsa merujuk pada sekumpulan manusia dalam satu ikatan
ketatanegaraan (Mahayuddin Hj. Yahaya, 1998). Godwin dan Wahlke (1997),
mendefinisikan negara bangsa sebagai, ... one nation in the area covered by the

state to include most of the people who consider themselves part of that national
culture.
Justeru, dalam konteks Malaysia, kita dapat katakan bahawa negara bangsa
sebagai sekumpulan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai etnik, agama
dan budaya mendiami sempadan politik tertentu. Mereka mengamalkan sikap
toleransi dan bersefahaman dan kemudian berlakunya proses akulturasi dan
asimilasi dalam suasana hubungan etnik yang harmoni melibatkan pelbagai
kaum.
Pembentukan negara bangsa di Malaysia melibatkan proses dan perjalanan
sejarah yang panjang. Walaupun Malaysia telah merdeka lebih 56 tahun, tetapi
apa yang kita bentuk ialah sebuah negara dan bukannya sebuah negara bangsa.
Menurut Abdul Rahman Embong (2001), apabila Malaysia diisytiharkan merdeka
pada 31 Ogos 1957, apa yang lahir ialah sebuah negara dan bukannya sebuah

TOPIK 1

HUBUNGAN ETNIK DAN PEMBINAAN NEGARA BANGSA

bangsa. Begitu juga apabila Malaysia terbentuk pada 16 September 1963, apa
yang wujud ialah negara Malaysia dan bukannya bangsa Malaysia. Justeru,
Malaysia masih dalam proses pembentukan bangsanya. Antara cabaran yang
paling sukar dalam pembinaan negara Malaysia adalah untuk menyatukan
pelbagai etnik yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, agama, bahasa dan
pengalaman yang berbeza di bawah satu payung iaitu Malaysia. Perjalanan
sesebuah negara bangsa dapat dijelaskan sebagaimana Rajah 1.1.

Rajah 1.1: Ke arah pengukuhan negara bangsa

1.1.2

Tahap Pembinaan Negara Bangsa

Apabila berbincang mengenai hubungan etnik dan proses pembinaan negara


bangsa, kita sebenarnya bukan sahaja bercakap tentang pelbagai etnik yang ada
di Malaysia, tetapi kita perlu melihat dalam banyak aspek yang melibatkan
penghayatan proses pembinaan perpaduan dan kesepaduan pelbagai etnik
sebagai pedoman dan amalan hidup setiap warganegara Malaysia. Oleh yang
demikian, pembinaan negara bangsa yang jitu akan dapat diutarakan. Dalam
proses pembinaan negara bangsa Malaysia, kita perlu akur bahawa negara ini
dibina dalam masa yang singkat dan perpaduan dalam kalangan etnik terlibat
tidak berlaku dengan mendalam. Pembentukan negara pada peringkat dunia
dapat dipecahkan pada empat kategori yang utama seperti yang dapat dilihat
dalam Rajah 1.2.

Rajah 1.2: Faktor kelahiran negara bangsa di dunia

TOPIK 1

HUBUNGAN ETNIK DAN PEMBINAAN NEGARA BANGSA

Mari kita lihat satu persatu dengan lebih jelas.


(a)

Pengukuhan Kuasa
Negara yang terbentuk melalui proses pengukuhan kuasa dan kawasan
secara berperingkat-peringkat dapat dilihat di negara-negara Benua Eropah
seperti Perancis, Itali, Jerman dan United Kingdom. Ciri penting bagi
negara tersebut ialah pelbagai etnik yang ada hampir homogen dan
melengkapi pembentukan negara bangsa.

(b)

Keruntuhan Empayar atau Kerajaan yang Kuat


Kemunculan negara baru akibat berakhirnya empayar besar pada awal
abad ke-20. Contoh, negara seperti Eropah Timur yang lahir selepas
berakhirnya Empayar Austro-Hungry. Contoh lain seperti Arab Saudi,
Kuwait, Qatar, Emeriah Arab Bersatu, Lubnan dan lain-lain. Ia berlaku
selepas tamatnya penguasaan Empayar Turki Uthmaniyyah di tangan
kuasa Eropah. Antara ciri yang jelas dalam pembinaan negara tersebut
ialah penerapan sentimen nasionalisme. Selain itu, sempadan geografi
ditentukan oleh kuasa penjajah.

(c)

Kesanggupan Penjajah Melepaskan Jajahan Takluknya


Negara yang merdeka daripada kuasa penjajah termasuk negara di Asia,
Afrika dan Amerika Latin. Negara ini kebanyakannya merdeka selepas
Perang Dunia Kedua, tetapi terdapat juga negara yang merdeka lebih awal.
Secara umum, ia dapat dibahagikan sebagaimana berikut:
(i)

Negara maju yang warga mereka daripada keturunan Eropah (penjajah


sendiri) seperti Amerika, Kanada, Australia dan New Zealand;

(ii)

Negara Amerika Latin yang rakyatnya berasal daripada beberapa


buah negara Eropah seperti Argentina, Uruguay, Costa Rica dan lainlain;

(iii) Negara Asia, Afrika, Amerika Latin (termasuk kepulauan Caribbean)


yang memperoleh kemerdekaan sama ada menerusi revolusi atau
rundingan setelah memuncaknya semangat nasionalisme masyarakat
tempatan; dan
(iv) Negara yang berpecah daripada negara induk disebabkan oleh
perbezaan etnik. Contohnya, Pakistan telah terpisah dari India dan
Bangladesh telah terpisah dari Pakistan.

TOPIK 1

HUBUNGAN ETNIK DAN PEMBINAAN NEGARA BANGSA

(d)

Keruntuhan Kuasa Komunis Rusia


Negara yang baru muncul seperti Eropah dan Kesatuan Soviet setelah
runtuhnya sistem komunis dan berakhirnya Perang Dingin antara
Soviet dan Amerika pada 1989. Contohnya, Bosnia-Hezergovina, SerbiaMontenegro, Croatia, Macedonia, kesemua negeri dalam bekas Yugoslavia,
Jerman (percantuman Timur dan Barat), negara yang keluar dari Soviet dan
membentuk negara baru.

Pembentukan negara bangsa yang terbina ini merupakan negara bangsa bentuk
moden. Menurut Zulhilmi Paidi dan Rohani Abdul Ghani (2003), dalam proses
modenisasi, setiap negara harus mengalami tiga tahap perkembangan dalam
proses pembinaan negara bangsa, iaitu:
(a)

Pembentukan Kuasa Pusat (Centre of Formation)


Merujuk kepada usaha menguatkuasakan kewibawaan awam ke seluruh
negara;

(b)

Pembentukan Negara (State Formation)


Bertujuan memupuk rasa sepunya, patriotisme dan semangat kesetiaan
dalam kalangan rakyat; dan

(c)

Pembangunan Negara Bangsa (Nation Building)


Merujuk kepada usaha menggerakkan seluruh sumber manusia dan
material bagi mencapai kemajuan dan perpaduan.

Negara di Eropah telah mengambil masa yang panjang untuk menyelesaikan


peringkat pembinaan negara bangsa. Mereka juga tidak menghadapi masalah
yang kronik dalam pembinaan negara bangsa mereka berbanding Malaysia.
Keadaan berbeza di Malaysia dan negara merdeka selepas Perang Dunia Kedua
apabila negara berkenaan perlu melaksanakan ketiga-tiga proses tersebut secara
serentak dengan kadar yang lebih cepat berbanding dengan negara maju.
Justeru, pembinaan negara bangsa dalam konteks masyarakat Malaysia terdapat
banyak perkara yang masih belum dapat diselesaikan pada peringkat pembinaan
negara bangsa.

1.1.3

Konsep Negara Etnik (Ethno Nations), Negara


Sivik (Civic Nations) dan Ethno Civic Nations

Antara beberapa penulisan yang membincangkan konsep negara bangsa dan


hubungan etnik ialah satu artikel yang telah diterjemah bertajuk, Negara Sivik
(Civic Nations) atau Negara Etnik (Ethno Nations)? Dua pertembungan konsep
di Latvia. Artikel ini membincangkan dua konsep besar pembinaan negara iaitu
konsep ethno nations dan civic nations. Kedua-dua konsep ini mempengaruhi

TOPIK 1

HUBUNGAN ETNIK DAN PEMBINAAN NEGARA BANGSA

sistem perundangan di Latvia dan mewujudkan pendebatan. Walaupun pada


tahun 1940, ia terganggu disebabkan oleh penjajahan Soviet, tetapi selepas
merdeka dari Kesatuan Soviet pada tahun 1991, elemen sivik dan elemen etnik
muncul kembali dalam perdebatan pembinaan negara bangsa di Latvia.
Antara sarjana yang mendukung ethno nations ialah Ernest Blanks pada tahun
1917 yang memperkenalkan idea Latvia sebagai negara berdaulat. Beliau
mengaitkan istilah Atmoda yang membawa makna Kebangkitan. Antara
aspek yang diberikan penekanan oleh Blanks dalam penulisan beliau adalah
merujuk kepada:
(a)

Budaya Nasional
Beliau melihat penting untuk mengekalkan budaya tradisi dan menentang
unsur luar.

(b)

Asimilasi
Mendukung konsep satu bangsa, satu bahasa dan satu agama sebagai asas
pembinaan negara bangsa.

(c)

Penapisan Kaum
Etnik minoriti dipinggirkan dan diasingkan. Hanya yang diterima ialah
pembela nasionalisme.

(d)

Berprasangka
Orang Yahudi dianggap sebagai pembelot kerana tidak sanggup untuk
berasimilasi dengan budaya Latvia.

(e)

Penolakan Dominasi Luar


Menolak unsur luar atau pengaruh dari luar.

Justeru, jelaslah di sini bahawa Blanks merupakan seorang sarjana yang


mendukung konsep payung anak watan. Idea beliau lebih kepada konsep
ethno nations, yakni beliau berpandangan kaum luar perlulah ditolak keluar.
Beliau mendukung konsep satu bangsa, satu bahasa dan satu agama. Idea yang
dibawa oleh beliau lebih kepada idea bercorak etnosentrik.
Seterusnya, penyokong kepada konsep civic nations ialah Mikelis Valters (1894
1964) dalam bukunya, The Question of Our Nationality pada tahun 1914.
Beliau menyatakan bahawa etnik Latvia adalah dominan. Walau bagaimanapun,
beliau membenarkan tradisi etnik minoriti asalkan tidak mengganggu
pentadbiran autonomi. Bagi beliau, perpaduan akan dapat dicapai melalui
solidariti (integrasi dan kesepaduan sosial) dan bukannya asimilasi. Idea beliau
ini bertentangan berbanding dengan Ernest Blankas yang lebih bersifat etnik.

TOPIK 1

HUBUNGAN ETNIK DAN PEMBINAAN NEGARA BANGSA

Antara kedua-dua pemikir ini, terdapatnya sarjana yang mengutarakan jalan


tengah dengan memperkenalkan konsep ethno civic nations iaitu Mergers
Skujeneeks (18861942) melalui buku beliau, The Nations Question in Latvia
pada tahun 1913. Bagi Skujeneeks, kehidupan manusia boleh diatur melalui
ideologi. Beliau juga menolak negara yang dibina berasaskan perhubungan
darah dan bagi beliau juga ikatan kenegaraan bukan suatu yang kekal, tetapi
berubah mengikut keadaan. Idea beliau ini adalah untuk meletakkan gabungan
kumpulan etnik yang berbeza ke dalam satu unit politik yang menjadi perkara
asas dalam projek nasional. Secara ringkas konsep ini dapat difahami dengan
mudah sebagaimana Rajah 1.3.

Rajah 1.3: Gambaran perhubungan antara tiga konsep dalam pembinaan negara bangsa

Perbincangan ketiga-tiga para sarjana ini penting dilihat dan dianalisis


memandangkan mereka melihat cara pembinaan negara bangsa dengan cara
yang berbeza. Setiap negara mempunyai cara sendiri dalam proses pembinaan
negara masing-masing. Cara mana yang terbaik adalah terpulang kepada sejarah
dan latar belakang negara itu. Dalam konteks Malaysia, kita lebih kepada idea
yang dibawa oleh Mergers Skujeneeks iaitu ethno civic nations.

AKTIVITI 1.1
Adakah anda bersetuju Malaysia ialah sebuah negara bangsa?
Bincangkan bersama rakan sekelas dan nyatakan kefahaman anda
berasaskan penyataan ini.

1.2

PEMBINAAN NEGARA BANGSA DAN


HUBUNGAN ETNIK DI MALAYSIA

Menurut Abdul Rahman Embong (2006), Malaysia merupakan sebuah negara


berbilang kaum, bahasa, agama dan budaya dengan anggota masyarakatnya
hidup berdampingan dan bercampur gaul antara satu sama lain. Sebelum
merdeka proses campur gaul ini berlaku dengan kadar yang terbatas, tetapi
selepas merdeka proses ini berlaku dengan kadar yang lebih tinggi. Malahan

TOPIK 1

HUBUNGAN ETNIK DAN PEMBINAAN NEGARA BANGSA

kewujudan Malaysia merupakan manifestasi kepada perjuangan semua


kaum utama yang ada di Malaysia atas dasar perpaduan, permuafakatan dan
persefahaman. Walaupun mereka berbeza daripada segi keturunan etnik, bahasa
dan budaya, tetapi mampu menjalinkan hubungan yang baik antara etnik.
Menurut beliau lagi, semasa Malaysia dibentuk, kita hanya mampu membina
negara dan bukannya bangsa. Ini kerana pembinaan satu-satu bangsa
mengambil masa yang panjang dan berlaku secara semula jadi, secara evolusi
dan bukannya revolusi. Walaupun selepas kemasukan Sabah dan Sarawak pada
tahun 1963, kita hanya mampu membina negara dan bukannya negara bangsa.
Justeru, Datuk Shamsul Amri Baharuddin (2012) telah membincangkan secara
terperinci berkaitan proses pembinaan negara bangsa Malaysia melalui kaedah
sosiologi sejarah. Beliau membahagikan pembinaan negara Malaysia kepada tiga
tahap utama iaitu Era Konflik (19451960), Era Stabil Tapi Tegang (19611970)
dan Era Kesepaduan Sosial (19712011). Ketiga-tiga era ini akan dibincangkan
secara khusus dalam subtopik ini.

1.2.1

Era Konflik (19451960)

Sesuai dengan era ini sebagai era konflik, maka masyarakat di Malaysia
dikaitkan dengan pelbagai konflik yang wujud. Selepas Perang Dunia Kedua,
kehidupan masyarakat adalah amat daif. Ia boleh mengundang kepada pelbagai
masalah. Bermula dengan penguasaan anggota Komunis dikenali sebagai
Bintang Tiga yang menguasai pentadbiran di Tanah Melayu selama 14 hari,
sementara peralihan kuasa telah mengorbankan banyak nyawa sama ada orang
Melayu atau Cina. Anggota Komunis ini bebas melakukan kezaliman dan
melakukan aktiviti membalas dendam.
Peristiwa kedua apabila Malayan Union yang telah diisytiharkan pada 1 April
1946 yang mengundang perasaan tidak puas hati dalam kalangan orang Melayu.
Namun begitu, Malayan Union telah menerima tentangan daripada orang
Melayu hingga mendesak Malayan Union ditamatkan. Kesan penting Malayan
Union ini ialah penyatuan Melayu hingga membawa penubuhan United Malay
National Organization (UMNO). Kemudian, bagi menyelesaikan permasalahan
ini, British telah menubuhkan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang
mendapat respons daripada semua pihak iaitu orang Melayu yang diwakili oleh
UMNO dan raja Melayu.
Satu usaha penting dalam meredakan konflik antara kaum pada waktu ini ialah
penubuhan Communities Liaison Committee (CLC) pada 1949 yang terdiri
daripada pemimpin etnik Melayu, Cina dan India. Badan ini dianggap
berperanan penting dalam meredakan ketegangan antara kaum pada ketika itu.
Menurut Shamsul Amri Baharuddin, dari sinilah munculnya kegiatan ethnic

10

TOPIK 1

HUBUNGAN ETNIK DAN PEMBINAAN NEGARA BANGSA

bargaining atau tolak ansur antara kaum yang digunakan dalam analisis politik
mengenai Malaysia. Walaupun Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos
1957, Malaysia masih dalam Darurat yang hanya tamat pada 31 Julai 1960.
Justeru, Malaysia masih dalam keadaan berkonflik walaupun telah merdeka.

1.2.2

Era Stabil Tetapi Tegang (19611970)

Era ini merupakan era yang kritikal terutamanya selepas tamatnya Darurat dan
Perang Dingin masih lagi berterusan. Pembentukan Persekutuan Malaysia
dengan kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura pada 1963 menjadi penanda
aras yang penting bermulanya sebuah negara yang dikenali dengan Malaysia.
Menurut Shamsul Amri Baharuddin (2012), kejayaan memasukkan Sabah dan
Sarawak merupakan manifestasi kepada CLC yang ditubuhkan pada 1949 atas
prinsip tolak ansur etnik.
Kerajaan di Tanah Melayu ketika itu sanggup bersetuju dengan tuntutan
20 Perkara dari Sabah dan 18 Perkara dari Sarawak dalam aspek autonomi
mereka dalam menguruskan negeri mereka. Pihak Indonesia tidak berpuas hati
dengan penubuhan Persekutuan Malaysia dan menganggap negara ini sebagai
neo-colony. Konfrontasi ini dipimpin oleh Soekarno yang dikatakan kerajaannya
banyak dipengaruhi oleh Parti Komunis Indonesia (PKI). Serangan telah
dilancarkan ke atas Malaysia. Namun begitu, konfrontasi ini berakhir apabila
Soeharto dilantik sebagai Presiden Indonesia dan beliau memperakui kewujudan
Persekutuan Malaysia.
Peristiwa rusuhan kaum terbesar telah berlaku dalam dua siri berbeza iaitu
semasa Singapura dalam Malaysia pada 21 Julai dan 3 September 1964. Peristiwa
ini telah mengorbankan lebih kurang 40 orang dan ribuan telah ditangkap. Isu
ini menjadi asas penting penyingkiran Singapura dari Malaysia untuk tujuan
pembinaan negara Malaysia yang stabil. Selain itu, peristiwa 13 Mei 1969
merupakan rusuhan kaum terbesar di Malaysia. Rusuhan kaum ini menjadi asas
penting pada Malaysia bahawa perlunya ada usaha ke arah kesepaduan sosial.
Justeru, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan secara top-down.
Antara usaha ini termasuk menubuhkan Majlis Perundangan Rakyat, Jabatan
Perpaduan Negara, Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru. Justeru, bermulalah
usaha kerajaan dalam setiap perlaksanaan dasar yang mempunyai matlamat
akhirnya iaitu untuk perpaduan nasional.

TOPIK 1

1.2.3

HUBUNGAN ETNIK DAN PEMBINAAN NEGARA BANGSA

W 11

Era Kesepaduan Sosial (19712011)

Menurut Shamsul Amri Baharuddin (2012), Era Kesepaduan Sosial (19712011)


ialah era ketika berlakunya pemantapan interaksi antara M + N + P, iaitu
masyarakat (society), negara (state) dan pasaran (market) telah disulam erat
dengan positif. Walaupun berlaku turun naik akibat pengaruh global, tetapi kita
masih mampu mempertahankan kesepaduan sosial dalam masyarakat pelbagai
etnik. Walaupun berlaku peristiwa seperti peristiwa Kampung Medan pada 2001
antara etnik Melayu dan India, telah memperlihatkan bahawa faktor ekonomi
sebagai indikator penting dalam memastikan kestabilan dan keharmonian kaum.
Justeru, kita perlu kembali kepada slogan unity in diversity dan perpaduan
nasional termasuklah cita-cita membentuk satu bangsa idaman iaitu, Bangsa
Malaysia.
Keupayaan kita menerima kepelbagaian, maka lahirlah slogan yang enak
didengar seperti Malaysia Truly Asia, Perpaduan dalam Kepelbagaian dan
Meraikan Kepelbagaian. Menurut Abdul Rahman Embong, antara lima
matlamat penting Rukun Negara dibentuk adalah untuk:
(a)

Mencapai perpaduan yang lebih erat;

(b)

Memelihara cara hidup demokratik;

(c)

Membina masyarakat yang adil;

(d)

Menjamin cara yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya raya
dan pelbagai corak; dan

(e)

Membina masyarakat yang progresif melalui pengamalan lima prinsip


rukun negara.

Justeru, melalui Era Kesepaduan Sosial, perbezaan bukan satu masalah kepada
pembinaan negara bangsa. Apa yang menjadi masalah ialah sifat perkauman
yang menebal, prasangka dan kurangnya tolak ansur antara etnik. Rajah 1.4
menunjukkan perkembangan kesepaduan sosial di Malaysia

Rajah 1.4: Perkembangan kesepaduan sosial di Malaysia

12

TOPIK 1

HUBUNGAN ETNIK DAN PEMBINAAN NEGARA BANGSA

AKTIVITI 1.2
Kesepaduan sosial merupakan kunci kepada kejayaan Malaysia. Sejauh
manakah anda bersetuju dengan pernyataan ini? Bincangkan bersama
rakan sekelas dan bentangkan.

1.3

KEJAYAAN MALAYSIA: SATU PENILAIAN

Formula Malaysia dalam proses pembinaan negara bangsanya ialah formula


integrasi. Formula ini membolehkan Malaysia dibangunkan berasaskan dengan
mengekalkan budaya asal satu-satu etnik. Sementara itu, di Indonesia, bangsa
Indonesia terbentuk terlebih dahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan
melawan penjajah Belanda sebelum lahirnya Indonesia yang merdeka pada
17 Ogos 1945. Kita dapat lihat dalam Sumpah Pemuda tahun 1928 sudah pun
ditegaskan bahawa rakyat Indonesia berjuang untuk pembentukan Satu
Bangsa iaitu Bangsa Indonesia dan bangsa ini berdiri dengan utuh apabila
Indonesia diisytiharkan mencapai kemerdekaannya (Abdul Rahman Embong,
2006).
Prinsip Pancasila ditegakkan dan dianggap mempunyai kedudukan tertinggi
kepada bangsa Indonesia dalam usaha membina Kesatuan dalam Kepelbagaian
(Bhinneka Tunggal Ika). Keadaan ini berbeza berbanding Malaysia apabila
kemerdekaan Tanah Melayu (1957) atau kemasukan Sabah dan Sarawak ke
dalam Persekutuan Malaysia (1963), bukannya kita membentuk Bangsa
Malaysia, tetapi kita membentuk sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai
bangsa atau etnik yang mempunyai latar belakang berbeza sama ada daripada
segi ras, budaya, bahasa dan agama. Apa yang menariknya di sini ialah
perbezaan ini tidak membawa kepada konflik yang teruk atau menghancurkan
negara ini. Malahan, ia menjadi kunci penting kepada pembinaan Malaysia.
Masyarakat luar berminat dengan Malaysia dan ramai pelancong datang ke
Malaysia untuk mengenali Malaysia dan masyarakatnya dengan lebih dekat.
Kejayaan Malaysia dapat dibincangkan dalam beberapa aspek iaitu politik,
ekonomi dan sosial.

TOPIK 1

1.3.1

HUBUNGAN ETNIK DAN PEMBINAAN NEGARA BANGSA

W 13

Politik

Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan


yang berasaskan kepada prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja
Berperlembagaan. Melalui sistem demokrasi, kerajaan dipilih melalui pilihan
raya yang diadakan secara berkala dalam tempoh lima tahun. Pilihan raya ini
diadakan bagi memilih parti yang mendapat majoriti untuk membentuk
kerajaan. Semenjak merdeka hingga kini, parti yang mendapat mandat daripada
rakyat untuk membentuk kerajaan ialah Barisan Nasional.
Barisan Nasional adalah parti politik gabungan yang menggabungkan tiga parti
etnik terbesar iaitu Persatuan United Malay National Organization (UMNO),
Malaysian Chinese Association (MCA) dan Malaysia Indian Congress (MIC)
yang mewakili kaum masing-masing iaitu Melayu, Cina dan India. Selain itu,
parti politik lain juga turut terlibat sehingga kini. Barisan Nasional mempunyai
14 buah parti komponen yang membentuk parti Barisan Nasional. Parti politik
yang dibentuk adalah berasaskan etnik dan juga mewakili kelompok tertentu.
Walaupun parti politik ini mewakili kaum yang berbeza, tetapi sejarah telah
menunjukkan bahawa formula ini menjadi tunjang penting kepada mengekalkan
kuasa dalam Barisan Nasional. Semenjak pilihan raya pertama pada 1955,
sebelum terbentuknya Barisan Nasional, formula ini dikenali dengan nama Parti
Perikatan telah memenangi semua 13 kali pilihan raya yang dijalankan. Kejayaan
Barisan Nasional mengekalkan kemenangan ini dengan jelas menunjukkan
Malaysia berjaya mengurus perjalanan politik dalam negara. Ini menggambarkan
rakyat Malaysia berpuas hati dengan formula yang telah diadunkan.
Selain itu, dalam Perlembagaan Persekutuan, terdapat beberapa bahagian dalam
perlembagaan yang berperanan dalam memberikan keistimewaan kepada kaum
Melayu dan Bumiputra. Ini merupakan manifestasi daripada sifat kompromi
yang ada melalui saluran politik dalam kalangan masyarakat Melayu dan bukan
Melayu semasa menuntut kemerdekaan negara ini. Perlembagaan Persekutuan
merupakan perkara asas dalam memastikan setiap etnik dalam negara ini
mempraktikkan konsep perkongsian sebagaimana termaktub dalam Kontrak
Sosial.

14

TOPIK 1

HUBUNGAN ETNIK DAN PEMBINAAN NEGARA BANGSA

Walaupun hubungan antara etnik yang wujud adalah dalam bentuk perkauman,
tetapi atas kesedaran, semangat toleransi dan kebersamaan yang tinggi
membolehkan setiap kaum dalam negara ini bertolak ansur dan duduk semeja
untuk menyelesaikan permasalahan asas dalam kalangan pelbagai etnik. Justeru,
formula permuafakatan politik ini menjadi kunci penting kepada kejayaan
Malaysia. Sejak akhir-akhir ini, formula ini juga menjadi kunci penting kepada
parti pembangkang yang dulunya dikenali sebagai Barisan Alternatif dan kini
dikenali dengan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada tiga komponen parti
terbesar iaitu PKR, DAP dan PAS. Ketiga-tiga parti ini sanggup bergabung
walaupun mempunyai ideologi berbeza. Keberkesanan gabungan ini dapat
diperhatikan pada pilihan raya yang lepas iaitu tahun 2008 dan 2013 yang
berjaya menidakkan majoriti besar Barisan Nasional yang dimiliki sebelum ini.
Justeru, senario politik Malaysia ini akan berterusan sebegini. Menurut Shamsul
Amri Baharuddin (2012), rakyat Malaysia lebih suka bertikam lidah dan bukan
mengasah parang; dan lebih senang bercakap tentang konflik tetapi masih jalan
seiringan untuk berpadu (talk conflict, walk cohesion). Apa yang lebih penting di
akhir persimpangan, rakyat Malaysia akan memilih kerjasama dan keharmonian.

1.3.2

Ekonomi

Selepas merdeka, kedudukan pelbagai kaum di Malaysia mempunyai jurang


sosioekonomi yang cukup besar khasnya dalam kalangan orang Melayu dan
orang bukan Melayu. Ini kerana dasar British yang lebih berminat mengekalkan
sistem tradisi ekonomi orang Melayu berbanding memberikan peluang kepada
mereka terlibat dalam sektor ekonomi moden. Masyarakat pada masa penjajahan
dipisahkan kepada sistem ekonomi mereka iaitu orang Cina bekerja di sektor
perlombongan, orang India bekerja di sektor perladangan seperti getah dan
orang Melayu kekal dengan sektor tradisi mereka iaitu sistem tradisional seperti
bertani, perikanan dan perhutanan yang membawa pulangan pendapatan yang
kurang. Jika diperhatikan, di negara maju seperti Britain, kebergantungan
kepada ekonomi tradisi tidak sampai sepuluh peratus. Ini kerana ekonomi
sebegini tidak membantu dalam meningkatkan ekonomi negara. Negara maju
kini bergantung kepada aktiviti perindustrian dalam membangunkan negara
mereka.
Senario pemisahan bidang pekerjaan telah membahagikan masyarakat
secara berpola berasaskan kawasan. Misalnya, orang Cina ramai di kawasan
perlombongan, orang India di kawasan estet dan orang Melayu di kawasan desa
atau kampung. Justeru, pertembungan antara etnik berlaku dalam kadar yang
sangat rendah. Pada masa ini, pemisahan atau segregasi masyarakat berlaku
dengan ketara. Selepas kita merdeka, perkara ini perlu diberikan perhatian

TOPIK 1

HUBUNGAN ETNIK DAN PEMBINAAN NEGARA BANGSA

W 15

disebabkan orang Melayu masih jauh ketinggalan berbanding dengan kaum lain
dalam aspek ekonomi. Pengalaman Malaysia telah membuktikan jika ekonomi
tidak diuruskan dengan baik, konflik etnik akan mudah terjadi. Hal ini terbukti
melalui peristiwa Kampung Medan pada tahun 2001 antara orang Melayu dan
India. Begitu juga, peristiwa 13 Mei 1969 iaitu lebih kurang 12 tahun selepas
merdeka juga boleh dikaitkan dengan lompang ekonomi besar antara orang
Melayu dengan orang Cina. Wujud prasangka dan prejudis antara kedua-dua
etnik hingga diterjemahkan melalui tindakan.
Selepas peristiwa 13 Mei, pelbagai usaha telah digarapkan oleh kerajaan sama
ada melalui sosioekonomi bertujuan merapatkan hubungan antara kaum.
Misalnya, penubuhan konsep Rukun Negara yang diambil ideanya daripada
konsep Pancasila Indonesia dan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB)
bertujuan khusus untuk membantu ekonomi orang Melayu. Secara teorinya, jika
orang Melayu dibantu, maka orang bukan Melayu juga akan turut mendapat
manfaat. Pada akhir bantuan di bawah DEB akan mewujudkan kestabilan dan
keharmonian antara kaum. DEB merupakan dasar afirmatif yang diwujudkan
atas dasar cuba untuk membantu sesebuah masyarakat dalam sesebuah negara.
Dalam konteks ini, masyarakat Melayu ialah masyarakat yang perlu dibantu.
Selepas kemerdekaan Tanah Melayu pada thun 1957, masyarakat Melayu jauh
ketinggalan berbanding kaum lain daripada segi ekonomi disebabkan dasar
isolasi British yang mendiskriminasikan penglibatan orang Melayu dalam sektor
ekonomi moden. DEB mempunyai matlamat serampang dua mata iaitu untuk
membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Pelaksanaan DEB
mengambil masa lebih kurang 20 tahun, iaitu bermula tahun 1971 dan berakhir
pada tahun 1990 bermula dari Rancangan Malaysia Kedua hingga Rancangan
Malaysia Kelima. Secara umumnya, DEB telah berjaya mengurangkan jarak
sosioekonomi antara masyarakat Melayu dan masyarakat bukan Melayu. Usaha
membasmi kemiskinan sedikit sebanyak menunjukkan keberkesanannya,
khasnya di kawasan luar bandar apabila ramai orang Melayu telah menunjukkan
peningkatan dalam taraf ekonomi masyarakat. Lebih banyak peluang pekerjaan
disediakan dan penyusunan masyarakat di kawasan bandar dilakukan dengan
jayanya. Ramai orang Melayu berhijrah untuk mencari kehidupan yang lebih
baik dan berpindah ke bandar. Ini mewujudkan keseimbangan antara etnik di
kawasan bandar dan bandar raya, antara orang Melayu dan bukan Melayu.
Misalnya, Kuala Lumpur yang terdiri daripada ramai orang Cina telah seimbang
daripada segi pembahagian etnik selepas pelaksanaan DEB. Selepas tamatnya
DEB 1990, pelaksanaan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) dan Dasar
Wawasan Negara (DWN) masih mengekalkan matlamat utama DEB. Begitu juga,
dasar yang diwujudkan dengan diakhiri matlamat untuk perpaduan nasional.

16

1.3.3

TOPIK 1

HUBUNGAN ETNIK DAN PEMBINAAN NEGARA BANGSA

Sosial

Konsep sosial merupakan satu konsep yang luas yang terkandung di dalamnya
elemen kemanusiaan dan kemasyarakatan. Salah satu aspek yang penting dalam
sosial adalah budaya. Budaya merupakan satu cara hidup. Justeru, apabila kita
memperkatakan tentang budaya etnik di Malaysia, kita melihat satu budaya
yang rencam. Budaya masyarakat di Malaysia adalah unik, walaupun asimilasi
itu tidak berlaku tetapi dalam beberapa perkara berlaku proses akulturasi dan
asimilasi. Misalnya, dalam aspek pakaian, makanan, hiburan dan sebagainya.
Hanya dalam aspek agama sahaja terdapat penolakan yang jelas. Keadaan
sebegini dirujuk oleh Mansor Mohd Noor sebagai segmented assimilation dan
bukannya asimilasi sepenuhnya (total assimilation).
Asimilasi berlaku dalam kadar yang terhad dan waktu tertentu. Ini antara
perkara unik yang ada dalam masyarakat di Malaysia. Setiap etnik itu
menyumbang kepada berlakunya asimilasi. Orang Cina makan nasi lemak orang
Melayu. Orang Melayu menerima masakan orang Cina. Begitu juga perempuan
Cina yang memakai baju kurung dari budaya Melayu. Terdapat juga orang India
atau Melayu memakai baju Ceongsam pada majlis tertentu, terutama semasa
sambutan perayaan masyarakat Cina. Dalam aspek perekonomian juga berlaku
hubungan antara etnik. Orang Melayu selesa menghantar kereta mereka untuk
dibaiki ke bengkel orang Cina yang dikatakan mahir pasal kereta dan murah.
Jelaslah kepada kita, dalam masyarakat di Malaysia, wujud satu sifat saling
terima menerima dan hormat-menghormati. Amalan ini merupakan kunci
kepada kejayaan kehidupan masyarakat di Malaysia.
Antara aspek yang tidak berlaku secara asimilasi adalah dalam bidang agama.
Kaum Melayu dikaitkan dengan agama Islam, walaupun hakikatnya bukan
semua orang Islam Melayu. Perkara tiga Perlembagaan Persekutuan meletakkan
agama Islam sebagai agama rasmi pada peringkat persekutuan. Definisi Melayu
melalui perkara 152, Perlembagaan Persekutuan juga meletakkan selain daripada
berbahasa Melayu dan berbudaya Melayu, seseorang Melayu adalah mesti
beragama Islam. Justeru, definisi ini telah meletakkan Melayu sebagai satu kaum
tertentu dan mempunyai ciri-ciri tertentu. Boleh dikatakan etnik Melayu sebagai
pengamal agama Islam yang kuat. Masyarakat Cina pula dikaitkan dengan
agama Buddha dan India dikaitkan dengan agama Hindu.

TOPIK 1

HUBUNGAN ETNIK DAN PEMBINAAN NEGARA BANGSA

W 17

Perbezaan agama ini sering kali dilihat sebagai pencetus konflik dalam
masyarakat kerana agama boleh membawa kepada konflik jika tidak diuruskan
dengan baik. Namun begitu, ini yang unik di Malaysia kerana kita meraikan
perbezaan agama walaupun agama Islam ialah agama rasmi Malaysia. Kita
juga mengiktiraf kewujudan agama lain dan bebas diamalkan pada peringkat
persekutuan. Keselesaan untuk mengamalkan agama dengan bebas dalam
kalangan pelbagai etnik menjadi kunci kepada kesejahteraan dan keharmonian
masyarakat pelbagai agama di Malaysia.
Begitu juga dalam aspek bahasa, di Malaysia walaupun bahasa Melayu dan
kemudian dikenali dengan bahasa Malaysia untuk menggambarkan bahasa ini
kepunyaan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia, bahasa lain pula dibenarkan
untuk digunakan pada peringkat persekutuan tanpa ada sekatan. Menjadi
perkara biasa di Malaysia iaitu masyarakat yang bukan berbangsa Melayu boleh
bertutur bahasa Malaysia dengan baik. Bahasa Melayu merupakan kunci kepada
keharmonian kaum di Malaysia. Ini merupakan perkara yang unik dan
menambah warna-warni Malaysia.
Begitu juga, pendidikan iaitu kita mengekalkan sistem pendidikan vernakular.
Sistem pendidikan vernakular merupakan sistem pendidikan yang mengekalkan
bahasa ibunda masing-masing. Dengan itu, wujudlah sekolah pelbagai aliran di
Malaysia seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis
Kebangsaan Tamil (SJKT) masing-masing untuk orang Cina dan India. Selain
itu, terdapat juga sekolah aliran perdana seperti Sekolah Kebangsaan yang
disediakan oleh pihak pemerintah yang merupakan sekolah untuk semua etnik.
Kewujudan pelbagai aliran sekolah tidak menjadi masalah kerana dapat
menggembirakan semua pihak sama ada orang Melayu, Cina atau India.
Malahan menjadi kebiasaan dalam kalangan orang Cina dan India menghantar
anak mereka belajar di SJKC kerana anak mereka dikatakan dapat menguasai
matematik dengan lebih baik di samping menguasai bahasa Mandarin. Sistem
sekolah pelbagai aliran ini merupakan warisan yang ditinggalkan penjajah dan
menjadi sistem yang diterima untuk mengekalkan identiti etnik. Di Malaysia,
biarpun pelbagai etnik itu wujud dan disuburkan, tetapi mereka mampu
menyumbang untuk pembangunan negara ini.

18

TOPIK 1

HUBUNGAN ETNIK DAN PEMBINAAN NEGARA BANGSA

Justeru, perbincangan di sini bukan aspek perbezaan yang diutamakan di


Malaysia, tetapi keupayaan Malaysia menguruskan sentimen dan unsur negatif
menjadi kunci penting kepada keharmonian kaum dalam negara ini. Interaksi
yang kerap dan tinggi antara pelbagai etnik dalam kehidupan akan dapat
memupuk perasaan saling hormat-menghormati sesama mereka. Perasaan ini
penting kerana ia menjadi kunci kepada keharmonian Malaysia. Rajah 1.5
menunjukkan rahsia kejayaan kesepaduan sosial di Malaysia.

Rajah 1.5: Rahsia kejayaan kesepaduan sosial di Malaysia

AKTIVITI 1.3
1.

Bincangkan
faktor
masyarakatnya.

kejayaan

Malaysia

menguruskan

2.

Pada pandangan anda, bagaimanakah hubungan etnik yang


harmoni dapat dipupuk melalui pelbagai aktiviti? Bincangkan.

TOPIK 1

1.4

HUBUNGAN ETNIK DAN PEMBINAAN NEGARA BANGSA

W 19

KESIMPULAN

Masyarakat Malaysia ialah negara yang boleh dikatakan berjaya menguruskan


kepelbagaian etniknya. Walaupun bukan sebuah negara bangsa yang diidamkan,
tetapi kita berjaya menguruskan negara dengan baik. Misalnya, Malaysia berjaya
menduduki antara kedudukan yang baik dalam ranking Global Peace Index
(Indeks Keamanan Global) pada tahun 2011 iaitu pada kedudukan ke-19 di
belakang negara maju yang lain walaupun mempunyai masyarakat yang
rencam. Pada tahun 2013, walaupun kita jatuh kepada kedudukan ke-29 di dunia
dari segi Indeks Keamanan Global, tetapi masih boleh dikatakan antara negara
yang aman. Justeru, pelbagai adat dan budaya yang wujud dalam sesebuah
masyarakat bukan merupakan alasan untuk tidak berjaya. Malah, Malaysia telah
membuktikan kita berjaya menguruskan negara dengan baik. Kunci kepada
kejayaan Malaysia dalam perkara ini adalah implementasi dalam aspek
perpaduan dalam kepelbagaian (unity in diversity) dan kesepaduan dalam
kepelbagaian (cohesion in diversity).
Walaupun Malaysia tidak mencapai perpaduan yang sebenar, tetapi kita telah
membina kesepaduan dalam masyarakat Malaysia. Walaupun masyarakat
Malaysia dibentuk oleh perbezaan, pertentangan dan berkontradiksi, tetapi
setiap etnik itu mementingkan kerjasama hingga melahirkan konsep seperti
Malaysia Truly Asia. Kunci kepada kejayaan Malaysia menguruskan masyarakat
ialah kesepaduan sosial yang terbina dalam masyarakatnya. Malaysia adalah
rencam tetapi masyarakatnya berakomodasi. Kejayaan kita menguruskan
masyarakat membawa kepada kejayaan Malaysia dalam pelbagai aspek
kehidupan masyarakat.

SEMAK KENDIRI 1.1


1.

Jelaskan kaitan antara pembinaan negara bangsa dengan


pembentukan masyarakat di Malaysia.

2.

Nyatakan proses pembinaan negara bangsa di Malaysia.

3.

Bincangkan tentang asimilasi bersegmen (segmented assimilation)


di Malaysia.

4.

Pada pandangan anda, adakah Malaysia


menguruskan masyarakatnya. Huraikan.

telah

berjaya

20

TOPIK 1

HUBUNGAN ETNIK DAN PEMBINAAN NEGARA BANGSA

Apabila kita merdeka pada tahun 1957, negara yang terbentuk ialah bukan
negara bangsa, tetapi hanya sebuah negara. Begitu juga apabila kemasukan
Sabah dan Sarawak dalam gagasan Malaysia yang terbentuk ialah negara
Malaysia dan bukannya Bangsa Malaysia. Pembentukan satu-satu bangsa
mengambil jangka masa yang panjang.

Malaysia merupakan sebuah negara yang digolongkan sebagai negara yang


merdeka melalui kuasa penjajah. Penjajahan British di Tanah Melayu dan
kemudian terbentuknya Malaysia menggambarkan bagaimana kuasa penjajah
telah membentuk landskap Malaysia. Apabila kita memerintah negara ini,
satu aspek yang amat dititikberatkan ialah hubungan antara etnik.

Terdapat tiga konsep besar dalam membincangkan fenomena negara bangsa


dan hubungan etnik, iaitu konsep ethno nations, civic nations dan ethno civic
nations. Malaysia merupakan sebuah negara yang menerima kedua-dua
elemen iaitu elemen etnik dan sivik. Justeru, Malaysia merupakan sebuah
negara ethno civic nations.

Menurut Shamsul Amri Baharuddin (2012), terdapat tiga era dalam


pembinaan negara bangsa di Malaysia iaitu era konflik (19451960), era stabil
tapi tegang (19611970) dan era kesepaduan sosial (19712011).

Malaysia terbukti berjaya menguruskan masyarakatnya dengan baik.


Walaupun berlaku ketidakpuasan hati dalam aspek tertentu tetapi lebih
kepada pengukuhan hubungan etnik di Malaysia dan tidak menjurus kepada
konflik etnik yang berpanjangan.

Civic nations

Era stabil tapi tegang

Communities Liaison Committee (CLC)

Ethno civic nations

Era kesepaduan sosial

Ethno nations

Era konflik

Negara bangsa

TOPIK 1

HUBUNGAN ETNIK DAN PEMBINAAN NEGARA BANGSA

W 21

Abdul Rahman Embong. (2001). Negara bangsa: Proses dan perbahasan. Bangi,
Malaysia: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Abdul Rahman Embong. (2006). Negara bangsa: Proses dan perbahasan. Ed.ke-2.
Bangi, Malaysia: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Godwin R. K., & Wahlke, J. C. (1997). Introduction to political science. San Diego,
CA: Hartcourt Brace college publishers.
MahayuddinYahaya. (1998). Tamadun Islam. Shah Alam, Malaysia: Fajar Bakti.
ShamsulAmri. (2012). Kesepaduan dalam kepelbagaian. Dicapai dari
http://www.academia.edu/1955448/Kesepaduan_dalam_Kepelbagaian_Per
paduan_di_Malaysiasebagai_work-in-progress
Zaid Ahmad et al. (2010). Hubungan etnik di Malaysia. Ed.ke-2. Shah Alam,
Malaysia: Oxford Fajar.
Zulhilmi Paidi, & Rohani Abdul Ghani. (2003). Kenegaraan Malaysia: Isu-isu
dalam pembinaan negara. PTS Publication.

Vous aimerez peut-être aussi