Vous êtes sur la page 1sur 5

REFLEKSI

Alhamdulillah, saya berjaya juga menyiapkan tugasan projek Teknologi dalam Pengajaran dan
Pembelajaran EDU3105 tepat pada masanya. Saya juga berasa bersyukur kerana mampu
menyiapkan hampir 85% tugasan ini tanpa bantuan daripada Dr Tey dan rakan rakan. Hal ini
sedikit sebanyak merangsang minat saya untuk menguasai kemahiran komputer.
Pelbagai pengalaman baru yang telah saya perolehi hasil daripada melaksanakan tugasan
projek ini. Pengalaman pertama yang telah saya perolehi ialah bagaimana mahu berkomunikasi
dengan masayarakat luar apabila memerlukan bantuan mereka. Walaupun kita sering
berkomunikasi dan bersosial dengan pelbagai jenis manusia, namun cara pergaulan dengan
masyarakat terutama mereka yang bekerja di pejabat adalah lain. Saya sendiri berasa kurang
yakin ingin meminta pertolongan mereka terutama dalam keadaan waktu kemuncak urusan
perniagaan mereka. Walaubagaimanapun, saya cuba menyakinkan dan memberanikan diri
untuk meminta kebenaran merakam proses urusan perniagaan perkhidmatan di pejabat Tabung
Haji ini.
Pada mulanya, saya berbincang dengan ahli keluarga saya tentang cadangan merakam urusan
perniagaan perkhidmatan Tabung Haji bagi menyiapkan tugasan video Integriti. Ayah saya
mencadangkan agar kami terus meminta kebenaran dengan pengurus Tabung Haji tersebut
dan Alhamdulillah, mereka berbesar hati ingin membantu saya menyiapkan tugasan ini.
Pengurus mereka membenarkan saya merakam sesiapa sahaja kakitangan yang saya sukai
dan boleh mengadakan soal jawab. Memandangkan pada ketika itu adalah waktu kemuncak,
saya membuat keputusan untuk hanya merakam proses perniagaan mereka bagi mengelakkan
urusan perniagaan terganggu. Pengalaman ini cukup berharga bagi saya kerana ini kali
pertama saya melibatkan syarikat korporat bagi menyiapkan tugasan projek dan saya mampu
berkomunikasi dengan baik pekerja pekerja di situ.
Pengalaman lain yang saya perolehi melalui tugasan projek ini ialah bagaimana mahu membina
laman web dengan menggunakan pelbagai perisian baru. Saya akui kemahiran komputer saya
adalah tidak begitu bagus dan sekiranya saya tidak mempelajari subjek ini, berkemungkinan
besar saya langsung tidak tahu akan kewujudan pelbagai jenis perisian yang bagus dan cukup
membantu tugasan harian saya. Walaupun pembinaan laman web ini hanya menggunakan
perisian Microsoft Publisher, saya mendapati ada kawan kawan saya boleh menghasilkan
laman web yang cantik dan bagus setanding dengan perisian membina laman web yang lain.

Melalui tugasan membina laman web ini, saya merasakan saya semakin mahir dalam
penggunaan Microsoft Publisher yang mempunyai pelbagai fungsi yang lain.
Saya juga belajar bagaimana mahu menghasilkan bahan bantu mengajar yang boleh digunakan
di dalam kelas apabila saya berjaya menyiapkan satu laman web yang berkaitan dengan subjek
Rekabentuk dan Teknologi. Penggunaan laman web yang mudah dan tidak kompleks ini amat
mesra kanak kanak yang tidak mungkin boleh menguasai kemahiran berkomputer dengan
cekap lagi. Saya juga belajar bagaimana mahu menggunakan pelbagai jenis perisian lain
seperti Hot Potato yang membantu menjadikan laman web saya lebih interaktif. Penggunaan
perisian yang hebat ini telah diajar secara teliti oleh Dr Tey di dalam kelas dan sekiranya saya
tidak dapat menangkap apa yang diajar oleh Dr Tey, saya akan mengkaji sendiri penggunaan
perisian itu. Perisian yang diberikan oleh Dr Tey ini adalah amat penting dan boleh dijadikan
sebagai alat bantu mengajar yang bagus. Perisian seperti ini cukup membantu dalam
menghasilkan bahan bantu mengajar yang luar biasa dan boleh menarik minat murid dengan
baik.
Terdapat juga perisian perisian yang telah membantu saya dalam menyiapkan tugasan
projek bagi subjek lain. Oleh itu, saya amat bersyukur dapat mempelajari cara menggunakan
perisian ini dengan baik. Saya juga telah memperolehi pengalaman belajar benda baru dan
dapat berkongsi ilmu ilmu yang berkaitan dengan kemahiran komputer dengan kawan
kawan yang lain. Perisian perisian yang berkaitan dengan video juga turut membantu saya
mengedit dan menambahbaik keadaan video yang telah saya rakam sebelum ini. Saya juga
menggunakan perisian untuk video pada subjek subjek yang lain dan hal ini sangat
memudahkan saya menyiapkan kerja kerja harian.
Pengalaman lain yang saya perolehi melalui tugasan ini ialah bagaimana mahu membahagikan
masa dengan baik. Bebanan tugasan projek yang lain, kerja kerja seharian dan aktiviti luar
kampus sedikit sebanyak telah menganggu jadual waktu yang telah saya tetapkan untuk
menyiapkan tugasan projek EDU 3105 ini. Penangguhan demi penangguhan telah dilakukan
bagi membolehkan tugasan lain yang perlu dihantar segera dapat disiapkan secepat mungkin.
Hal ini menyebabkan tugasan projek EDU 3105 yang mempunyai terlampau banyak komponen
soalan ditangguhkan dan diberhentikan dahulu kerjanya. Ini sedikit sebanyak membebankan
saya kerana masih ada banyak lagi tugasan lain yang perlu disiapkan serentak dengan tugasan
ini.

Walaubagaimanapun, saya belajar menguruskan masa dengan lebih baik apabila saya mula
berbincang dengan rakan tentang apa yang perlu disiapkan di dalam tugasan projek ini dan
saya cuba membahagikan masa mengikut keutamaan kehendak tugasan yang ada.
Pengalaman seperti ini mengajar saya menjadi seorang lebih bertanggungjawab dan berdikari
dalam menyiapkan apa sahaja kerja yang telah diberikan kepada saya. Pembahagian masa ini
turut boleh difleksibel bagi mengelakkan berlakunya keletihan yang melampau terjadi. Saya
juga menekankan aspek rehat sebentar bagi mengelakkan stress dan tekanan berlaku yang
juga boleh menyebabkan saya berasa putus asa untuk menyiapkan tugasan.
Pelbagai lagi pengalaman yang diperolehi dan dikutip hasil daripada perlaksanaan tugasan
projek EDU 3105 ini. Tidak kira pengalaman manis atau pahit, saya belajar mengakui kesilapan
dan kekhilafan diri sendiri yang tidak serius dalam menyempurnakan sesuatu perkara.

Masalah yang dihadapi semasa menjalankan tugasan ialah kekangan masa yang melampau.
Sepatutnya tugasan dihantar setelah pulang daripada program PBS namun kami meminta
penangguhan kerana pada masa tersebut terdapat banyak tugasan yang perlu dihantar
serentak. Saya mendapati perlaksanaan tugasan projek EDU 3105 ini agak rumit dan saya
kurang memberikan keutamaan kepada subjek ini. Selain daripada kerana terlampau banyak
tugasan projek yang lain, kekangan masa berlaku kerana kami sering terjebak dengan aktiiti
luar kampus. Kami telah terpaksa menjalani aktiviti perkhemahan selama 4 hari dan setelah
pulang ke kampus, saya lebih banyak berehat berbanding menyiapkan tugasan. Pelbagai
program dan aktiviti yang dijalankan pada masa yang serentak adalah satu kesulitan yang agak
sukar untuk diatasi.
Saya mengatasi masalah ini dengan cuba menyiapkan sebahagian kecil tugasan setiap hari
agar tidak terbeban di saat saat akhir. Saya telah menetapkan beberapa tarikh akhir bagi
sesuatu perkara yang ingin saya lakukan dalam tugasan projek ini. Hal seperti ini cukup
membantu saya mengatur tugasan yang ada mengikut keutamaan. Saya juga telah
membahagikan bahagian bahagian tugasan projek mengikut tahap kesukaran dan keutamaan
bagi membolehkan saya menguruskan masa dengn lebih baik.saya juga mengisi waktu waktu
terluang dengan cuba menambahbaik bahagian bahagian yang tidak begitu elok atau
memuaskan hati saya.

Masalah lain yang saya hadapi semasa menjalankan tugasan ini ialah saya tidak begitu tahu
bagaimana mahu mengedit video menjadi lebih baik. Pada hakikatnya, saya hanya tahu
mencantum beberapa video menjadi satu melalui perisian Windows Live Movie Maker dan
perkara ini juga memakan masa yang agak lama sebelum saya mahir mencantum video. Saya
juga tidak tahu apakah kandungan yang sesuai untuk ditambah ke dalam video yang telah saya
rakam. Saya bagaikan kekeringan idea untuk mengedit video saya menjadi lebih menarik
apatah lagi dengan tiada pengalaman dalam perkara perkara sebegini. Walaupun terdapat
perbincangan yang berlangsung antara saya dan rakan rakan, saya mendapati idea idea
yang dikemukakan tidak menepati cita rasa dan kemahuan saya dalam video tersebut.
Apa yang saya lakukan bagi mengatasi masalah ini ialah dengan melihat contoh contoh video
yang menarik di laman YouTube. Pelbagai jenis video yang dipaparkan sama ada secara formal
atau tidak formal mempunyai jalan cerita dan bahan yang sangat menarik. Saya juga ada
melihat video video yang telah dihasilkan oleh rakan rakan bagi mendapatkan maklumat
yang lebih baik daripada mereka. Saya juga ada belajar secara persendirian dengan rakan
yang telah mahir menggunakan Windows Live Movie Maker. Belajar secara persendirian ini
sebenarnya membantu menjana idea dengan lebih berkesan memandangkan saya tidak begitu
gemar belajar secara berkumpulan yang lebih banyak membuang masa pada pendapat saya.
Masalah lain yang telah saya hadapi ialah kekurangan sumber berkaitan dengan tajuk yang
saya pilih. Saya lebih banyak menggunakan buku teks berbanding menggunakan rujukan lain
memandangkan tajuk ini agak sukar untuk dirujuk pada internet. Walaupun begitu, saya
terpaksa menggunakan buku teks ini dalam tempoh yang sekejap kerana terdapat kelas lain
yang ingin menggunakan buku teks itu. Buku teks Kemahiran Hidup Sekolah Kebangsaan
adalah terlampau sedikit bagi jumlah pelajar RBT membuat rujukan. Saya berasa agak sedih
dengan situasi ini berlaku kerana saya tidak dapat mengkaji dan menggunakan buku teks ini
semaksimum yang boleh.
Saya mengatasi masalah kekurangan sumber ini dengan mengimbas muka surat yang saya
perlukan bagi mengelakkan saya tertinggal butir butir penting topik tersebut. Saya juga
berusaha mencari maklumat di dalam internet dan hanya menjumpai sebahagian kecil sumber
yang boleh membantu saya. Segala maklumat yang saya perolehi telah saya kumpulkan dalam
satu file bagi memudahkan saya membina laman web dan membuat rujukan. Saya juga
mendapatkan maklumat melalui Buku Panduan Guru Kemahiran Hidup Sekolah Kebangsaan

bagi menyalin data data tentang sesuatu topik dengan lebih baik. Penggunaan buku ini sedikit
sebanyak membantu saya menyiapkan tugasan projek laman web ini.

Pengalaman saya menjalankan tugasan ini sangat mampu meningkatkan kefahaman saya
tentang penghasilan media untuk pengajaran dan pembelajaran. Sebagai contoh, dengan
belajar cara pembinaan laman web, saya telah memperolehi ilmu baru yang boleh digunakan
sebagai bahan bantu mengajar interaktif saya sendiri. Saya juga boleh mengaplikasikan ilmu ini
dalam semua mata pelajaran di sekolah dan bahan bantu mengajar seperti ini adalah lebih
menarik dan lebih kedepan berbanding bahan bantu mengajar yang lain. Selain itu, ilmu dalam
merakam dan mengedit video adalah sesuatu yang baru bagi saya namun masih lagi boleh
digunakan dalam penghasilan media untuk pengajaran dan pembelajaran muid murid. Saya
belajar bagaimana mahu menghasilkan satu paparan video yang dapat menarik perhatian
semua dan ini akan membantu melancarkan lagi aktiviti pengajaran dan pembelajaran saya.
Walaupun terdapat kesulitan dalam menyiapkan tugasan projek EDU 3105 ini, saya berjaya
juga menyiapkan sebaik yang boleh saya laksanakan. Saya berharap apa sahaja yang ada di
laman ini boleh dimanfaatkan dan dikongsi sesama kita. Terima kasih daun keladi.

NUR FARA AYUNI BINTI ABDUL RAFFAR


PISMP AMBILAN JANUARI 2012 RBT 1