Vous êtes sur la page 1sur 17

SEJARAH KAUM IBAN DI RUMAH PANJANG AYOM, NANGA LUAU, AWIK,

95400, SARATOK DARI TAHUN 1980 HINGGA TAHUN 2000


PENGENALAN
Kaum Iban merupakan penduduk peribumi dan kaum majoriti yang terdapat di negeri
Sarawak Bumi Kenyalang. Kaum Iban yang dikenali sebagai Dayak Laut (Sea Dayak) pada
masa dahulu merupakan kaum dominan yang tinggal di Sarawak dengan peratusannya
melebihi 30% daripada jumlah peratusan keseluruhan kaum di Sarawak. Mereka mendiami
daerah dan bahagian negeri Sarawak dari daerah Lundu di barat dan Limbang di timur laut
tetapi kepadatan penduduk Iban adalah di bahagian Kota Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Sibu,
Kapit, Bintulu dan Miri.1
Hampir kesemua kaum Iban di Sarawak telah menerima agama dari sejak tersebarnya
pengaruh agama di Sarawak.2 Kebanyakan kaum Iban di Sarawak pada hari ini menganut
agama Kristian tetapi masih mengekalkan adat resam dan pantang larang yang menjadi
lambang kaum Iban di Sarawak dan ada juga dalam kalangan mereka yang menganut agama
Islam. Kaum Iban di Sarawak kebanyakannya tinggal menetap di kawasan yang berdekatan
dengan sungai dan jalan raya. Hal ini kerana sungai merupakan nadi utama penduduk di
sesebuah rumah panjang. Pada masa dahulu, sungai merupakan sumber makanan, minuman
dan pengangkutan bagi kaum Iban di sesebuah rumah panjang. Terdapat beberapa buah rumah
panjang di Sarawak yang masih menggunakan sungai sebagai jalan pengangkutan. Kini,
kebanyakan rumah panjang dibina berhampiran dengan jalan raya untuk kemudahan
pengangkutan dan komunikasi antara kaum.
Dalam bahagian esei ini, penulis akan menjelaskan asal-usul kedatangan kaum Iban,
perkembangan yang berlaku dalam kalangan kaum Iban, adat resam, pantang larang dan
budaya yang masih diamalkan oleh kaum Iban di rumah panjang Nanga Luau, Awik, 95400
Saratok.
1

ASAL USUL KEDATANGAN KAUM IBAN DI RUMAH PANJANG AYOM, NANGA


LUAU, AWIK, SARATOK.
Menurut bekas ketua suku kaum di rumah panjang Nanga Luau iaitu Usang anak Gana,
kaum Iban di rumah panjang ini berasal daripada rumah panjang Ulu Luau, Sungai Baru dan
lain-lain yang sebulat suara untuk membina sebuah rumah panjang yang baharu. Rumah
panjang Nanga Luau ini dibina oleh pada tahun 1953 dan diketuai oleh Unak anak Belaka
sebagai ketua kaum Iban yang pertama di rumah panjang tersebut. 3 Rumah panjang ini dibina
kira-kira 13 km dari pekan Saratok.

Asal usul nama rumah panjang Nanga Luau


Menurut Puan Remi anak Kemendan, nama rumah panjang ini berasal daripada
sebatang sungai yang dinamakan Sungai Luau dimana sungai tersebut merupakan tempat
kaum Iban mandi.4 Sungai Luau merupakan anak sungai kepada Sungai Awik. Penempatan
rumah panjang Nanga Luau ini betul-betul dibina berdekatan dengan tempat di mana Sungai
Luau dan Sungai Awik bersambung, maka rumah panjang ini dinamakan Nanga Luau.
Perkataan nanga merupakan bahasa Iban yang bermaksud muara sungai.

Gambar 1: Sungai Awik pada tahun 2000.

Sejarah penubuhan rumah panjang Ayom, Nanga Luau, Awik, Saratok.


Kaum Iban di rumah panjang Nanga Luau mendirikan rumah menghadap ke arah
matahari terbit kerana mengikut ajaran nenek moyang. 5 Walau bagaimanapun, kedudukannya
bukanlah secara menegak menghadap matahari. Rumah panjang haruslah didirikan agak
serong sedikit kerana dipercayai kedudukan yang menegak menghadap matahari boleh
menyebabkan rumah menjadi panas. Selepas itu, barulah rumah boleh dibina oleh kaum Iban.
Rumah panjang yang dibina haruslah mengikut adat berumah supaya proses pembinaan dapat
dijalankan dengan baik.
Menurut ketua suku kaum Iban di rumah panjang ini iaitu Encik Ayom anak Embu,
rumah panjang Nanga Luau dibina kira-kira pada tahun 1953. Semasa penubuhan rumah
panjang tersebut, ia mempunyai ciri-ciri seperti berikut iaitu menggunakan tiang jenis kayu
dan tidak mudah reput seperti kayu terbelian. Bumbungnya dari daun rumbia seperti Biru,
3

Pantu, Mulong dan jenis daun tebal. Dinding rumah pula diperbuat daripada kulit kayu
seperti terentang atau buluh yang dikelar dan dibelah. Lantainya pula menggunakan papan.
Manakala tangga rumah pula diperbuat daripada sebatang kayu bulat yang ditakik dengan
beliong dan dipanggil sebagai tangga takik.6 Rumah panjang mempunyai tiga ruang iaitu
hujung rumah(tanju), ruang terbuka(ruai) dan bilik. Pada bahagian di atas ruai dan bilik pula
dipanggil sadau (peran) sebagai tempat tidur anak dara dan tempat menyimpan perkakas.
Pada tahun 1953, kos mereka membina rumah panjang adalah tidak lebih daripada
RM100 kerana rumah panjang tersebut hanya 4 pintu sahaja. 7 Tambahan pula, mereka
mempunyai kepakaran tersendiri dalam membina rumah panjang dan tidak perlu berbelanja
besar untuk mengupah orang lain bagi membina rumah panjang tersebut. Mereka bergotongroyong untuk membina rumah panjang tersebut.
Namun demikian struktur rumah panjang telah diubah sedikit pada tahun 2012
mengikut peredaran waktu. Lantai telah bersimen dan beratapkan atap zink. Dinding pula
adalah batu-bata. Malah, terdapat sesetengah penduduk mempunyai lantai yang telah dipasang
jubin.
Tempoh mereka menyiapkan rumah panjang tersebut ialah dalam tempoh 3 tahun.
Semasa mula-mula dibina pada tahun 1953, hanya 4 pintu sahaja di rumah panjang ini. Pada
tahun 1980 pula bertambah menjadi 16 pintu yang sama besar dan struktur binaannya dan
kemudian bertambah kepada 20 pintu pada tahun 2012 hingga sekarang.8

Gambar 2: Rumah panjang Ayom, Nanga Luau, Awik, 95400 Saratok pada tahun 1998.

Gambar 3: Keadaan hadapan rumah panjang Nanga Luau pada tahun 1997.

Gambar 4 : Keadaan belakang rumah panjang Ayom, Nanga Luau, Awik, 95400 Saratok
pada tahun 1998.

Pada tahun 1980 hingga tahun 2009, rumah panjang ini dikenali sebagai Rumah Usang,
Nanga Luau kerana ketua suku kaum di rumah panjang Nanga Luau pada masa itu ialah
Usang anak Gana. Kini, rumah panjang Nanga Luau ini dikenali sebagai Rumah Ayom,
Nanga Luau kerana ketua suku kaum di rumah panjang tersebut sudah bertukar kepada Ayom
anak Embu dari tahun 2009.

PERKEMBANGAN KAUM IBAN DI RUMAH PANJANG NANGA LUAU


Kaum Iban di rumah panjang Nanga Luau mempunyai perkembangan dari aspek populasi,
ekonomi, sosial dan pendidikan.

Populasi
Pada tahun 1953, rumah panjang ini hanya mempunyai 4 pintu sahaja dan meningkat
kepada 16 pintu pada tahun 1980 dan kemudian meningkat kepada 20 pintu hingga kini. Hal
ini bermaksud populasi penduduk di rumah panjang Nanga Luau telah meningkat dari tahun
1953 dengan anggaran 30 orang. Populasi penduduk di rumah panjang Nanga Luau
dianggarkan seramai 60 orang pada tahun 1980 dan meningkat kepada 98 orang pada tahun
2000. Kini dianggarkan seramai 102 orang penduduk yang tinggal di rumah panjang ini.
Peningkatan populasi berlaku di rumah panjang ini kerana kaum Iban tinggal menetap di
rumah panjang ini. Selain itu, penghuni rumah panjang turut bertambah kerana kedatangan
kaum Iban dari rumah panjang lain seperti rumah panjang Ulu Luau dan Sungai Baru.
Bilangan penghuni kaum Iban di rumah panjang ini turut meningkat disebabkan tahap
kesihatan yang juga meningkat kerana hospital Daerah Saratok terletak kira-kira 12 km dari
rumah panjang ini.

Aspek Ekonomi
Pada sekitar tahun 1980, kaum Iban di rumah panjang Nanga Luau menjalankan aktiviti
bercucuk tanam, menternak binatang, memburu binatang di hutan dan menangkap ikan di
Sungai Awik dan Sungai Luau. Kaum Iban yang tinggal di rumah panjang Nanga Luau ini
kebanyakannya menjalankan aktiviti menanam padi sawah dan padi huma serta menanam
lada. Mereka juga menanam pelbagai tanaman sampingan untuk dijadikan sebagai sumber
makanan seperti jagung, sayur-sayuran dan buah-buahan. Mereka menanam sayur-sayuran
seperti sawi, kacang panjang, dan sebagainya. Kebiasaannya kaum Iban di rumah panjang
Nanga Luau ini akan menjual hasil tanaman mereka di pekan Saratok yang terletak kira-kira
7

13 km dari rumah panjang Nanga Luau. Kaum Iban di rumah panjang ini telah membina
jambatan gantung untuk memudahkan mereka pergi berulang-alik ke seberang Sungai Awik
dimana mereka meneroka tanah untuk aktiviti pertanian.9 Di tanah seberang rumah panjang
tersebut, kaum Iban di rumah panjang ini telah menanam pokok getah dan kelapa sawit.
Disebabkan perkara tersebut, kaum Iban di rumah panjang ini kebanyakannya bekerja sebagai
penoreh getah. Kaum Iban di rumah panjang ini turut menternak binatang seperti itik, lembu,
ayam, khinzir dan sebagainya.

Gambar 4: Jambatan gantung yang dibina pada tahun 1980 untuk memudahkan
penduduk pergi ke kebun seberang.

Kini, aktiviti pertanian dilakukan secara besar-besaran. Kebanyakan kaum Iban di


rumah panjang Nanga Luau ini mempunyai tanah sendiri untuk melakukan aktiviti pertanian.
Terdapat lebih kurang 12 orang penduduk rumah panjang ini mempunyai tanah sendiri untuk
menanam pokok getah dan kelapa sawit secara besar-besaran. Namun, disebabkan harga getah
yang merosot, hampir kesemua kaum Iban di rumah panjang Nanga Luau sudah tidak bekerja
8

sebagai penoreh getah lagi. Lebih kurang 3 orang penduduk di rumah panjang ini
menjalankan aktiviti menanam kelapa sawit secara besar-besaran kerana harga buah kelapa
sawit kini yang tinggi di pasaran. Kebanyakan penduduk di rumah panjang Nanga Luau ini
juga sudah banyak bekerja di bandar untuk mencari rezeki. Mereka mula terlibat dalam
bidang perindustrian seperti bekerja di kilang-kilang dan menjadi buruh. Ada juga di kalangan
mereka yang berkhidmat dengan kerajaan seperti menjadi polis, tentera dan ada juga yang
bekerja di pejabat.

Aspek sosial
Kedudukan rumah panjang yang strategik berhampiran dengan sungai telah
memudahkan aktiviti harian penghuni rumah panjang berjalan dengan lancar. Sungai
memainkan peranan penting kerana pada masa itu belum ada jalan darat yang
menghubungkan rumah panjang mereka. Oleh itu, sungai menjadi jalan pengangkutan air bagi
penduduk di rumah panjang ini, sebagai kegunaan domestik dan lain-lain. Kini, sungai jarang
digunakan oleh penduduk di rumah panjang ini kerana sudah ada jalan raya yang berturap ke
rumah panjang ini yang dibuat pada tahun 1996. Selain itu, rumah panjang ini turut sudah
menerima bekalan air dan bekalan elektrik sejak dari tahun 2004. Gelanggang badminton
turut dibina pada tahun 1997 untuk kemudahan kaum Iban di rumah panjang ini bersukan.10
Kaum Iban di rumah panjang ini mempunyai komunikasi dan interaksi yang baik antara
satu sama lain. Contohnya, mereka sering bertukar lauk-pauk dengan jiran di sebelah bilik
mereka. Kaum Iban di rumah panjang ini turut menubuhkan Kelab Memasak pada tahun 2014
untuk para wanita di rumah panjang bertukar-tukar resepi masakan.11 Mereka juga saling
tolong-menolong atau beduruk dalam melakukan sesuatu perkara terutamanya ketika
menyambut perayaan Hari Gawai, ketika aktiviti menanam padi dan ketika ditimpa kesusahan
seperti kematian. Amalan ini masih diamalkan oleh kaum Iban di rumah panjang Nanga Luau
9

sehingga kini. Apabila tiba musim menanam dan menuai padi, mereka akan beduruk untuk
menanam dan menuai padi.
Dari segi agama dan kepercayaan, kebanyakan kaum Iban di rumah panjang Nanga
Luau sudah menerima pengaruh agama Kristian tetapi masih mengekalkan tradisi adat resam
dan ciri-ciri kebudayaan mereka yang menjadi lambang tradisi kaum mereka. Menurut Puan
Remi anak Kemendan, kaum Iban di rumah panjang Nanga Luau pada tahun 1980 masih
mengamalkan kepercayaan animisme. Menurut hikayat lisan masyarakat Iban, mereka
menyembah Dewa Sempulang Gana yang memberikan keberkatan kepada kehidupan khasnya
untuk hasil pertanian.12 Dewa Sengalang Burong adalah dewa yang disembah kerana dewa ini
adalah Dewa Perang yang menolong masyarakat Iban dalam ekpedisi memburu kepala atau
ngayau. Dua watak ini merupakan dewa utama dalam kepercayaan masyarakat Iban. Namun
tidak dapat dinafikan ada dewa lain seperti Raja Anda Mara Raja tuah yang memberikan
kekayaan dan kesenangan dalam kehidupan masyarakat Iban.
Watak ghaib ini dapat dikesan melalui ayat-ayat suci yang dinyanyikan menerusi puisi
ritual seperti pengap, renong semain dan juga leka biau. 13 Semasa puisi ritual ini dimainkan,
adalah dipercayai bahawa para dewa ini akan datang ke sesuatu majlis dan festival untuk
melihat masyarakat Iban yang menyeru mereka. Para ketua adat dan pemuisi ritual akan
menjalankan upacara ritual yang sepatutnya mengikut kesesuaian majlis untuk menyambut
kedatangan para dewa ini. Hal ini penting bagi mengelakkan mereka dilanda musibah kerana
gagal memberikan penghormatan kepada para dewa yang dijemput ke majlis yang diadakan.
Tetapi di sini bukan bermaksud yang para dewa dapat dilihat dengan mata kasar.
Menjelang tahun 1994, sebahagian masyarakat Iban di rumah panjang Nanga Luau
telah menganut agama Kristian. Namun, terdapat sebilangan mereka masih mengamalkan
kepercayaan animisme. Kebanyakan mereka bersembahyang di gereja Anglican di gereja

10

St.Peter. Tingkah laku mereka telah berubah menjadi lebih baik setelah menganuti agama
Kristian.14

Pendidikan
Kaum Iban di rumah panjang Ayom turut mempunyai perubahan dari segi pendidikan.
Pada tahun 1980, dianggarkan lebih kurang 12 orang sahaja yang mendapat pendidikan di
rumah panjang ini, namun kini lebih daripada 12 orang penduduk di rumah panjang ini
berjaya dalam pendidikan mereka. Kebanyakan penduduk di rumah panjang ini mendapat
pendidikan di Sekolah Kebangsaan St. Peter Saratok, Sekolah Kebangsaan Malong Saratok,
Sekolah Menengah Kebangsaan Saratok dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bahasa Melayu
Saratok.15 Mereka ke sekolah dengan menggunakan kenderaan sendiri seperti kereta,
motorsikal dan ada juga segelintir mereka ke sekolah dengan menaiki van tambang.

BUDAYA DAN ADAT RESAM KAUM IBAN DI RUMAH PANJANG NANGA LUAU
Kaum Iban mempunyai adat resam yang unik dan mereka berpegang teguh kepada
adat tersebut dalam kehidupan mereka. Kaum Iban di rumah panjang Nanga Luau ini masih
mengamalkan sebahagian daripada budaya dan adat resam yang diamalkan oleh nenek
moyang mereka.

Budaya menyimpan harta pusaka


Kaum Iban menyimpan pasu, gong, dan tempayan yang dipanggil tajau. Ia diwarisi
secara turun-temurun, bernilai, dianggap suci, dan dihormati. 16 Tajau berfungsi sebagai harta
simpanan dan diperoleh secara tukar barang. Tempayan atau tajau dalam kalangan masyarakat
11

Iban lazimnya dijadikan alat menyimpan beras bagi kegunaan harian. Ia merupakan barangan
warisan dalam masyarakat Iban dan diwarisi secara turun-temurun dari satu generasi ke
generasi yang lain. Sukar untuk menentukan usia sebenar sesebuah tajau, namun lazimnya
setiap keluarga mewariskan sekurang-kurangnya sebuah tajau untuk ahli keluarga mereka.
Memiliki tajau juga dikaitkan dengan kekayaan dan kemurahan rezeki iaitu semakin banyak
tajau terutama berisi beras, maka pemiliknya dianggap kaya-raya dan berharta. Terdapat tujuh
jenis tajau paling tinggi nilai dalam masyarakat Iban iaitu guchi, sergiu, ningka petanda,
menaga, rusa, salang-salang dan alas. Semakin berusia tajau tersebut, maka semakin tinggilah
nilainya. Dulu, jika orang berani dan berhuma pun mendapat hasil padi yang banyak serta
mampu membeli tajau, orang itu digelar Raja Berani. Menurut sumber, orang Iban tidak
membuat tajau, sebaliknya dibeli daripada saudagar China dan orang Melayu selain dibeli
atau ditukar dengan orang Iban dan suku kaum lain di Borneo sejak beratus-ratus tahun
lampau. Tajau diperbuat daripada tanah liat dan setiap tajau mempunyai keunikan tersendiri
dari segi ukiran, bentuk, ketinggian, saiz dan warna. Selain mengisi beras dan melambangkan
kekayaan, tajau sebenarnya mempunyai banyak fungsi termasuk digunakan semasa kematian
dan upacara penyembahan(ritual atau belian).17 Orang Iban pada zaman dahulu menyifatkan
tajau sebagai kelengkapan hidup dan mati mereka. Mereka beranggapan bahawa semasa
hidup, tajau digunakan untuk menyimpan beras manakala semasa mati pula, tajau dijadikan
barang yang dibawa si mati (baiya) yang akan dikuburkan bersama. Dulu orang Iban percaya
tajau akan membawa kesenangan kepada roh si mati di dunia lain dan ada juga orang Iban
menjadikan tajau yang sederhana besar sebagai keranda untuk menyimpan mayat bayi atau
kanak-kanak sebelum dikebumikan. Namun, tajau untuk keranda bayi atau kanak-kanak
berbeza daripada tajau biasa kerana 'mulutnya' lebih besar dan tidak berwarna-warni atau
diukir. Semasa masih mengamalkan kepercayaan lama, ada menyimpan tajau berisi mayat itu
dalam tanah dan ada juga di atas pokok yang tinggi. Namun, tradisi itu tidak meluas dan
hanya diamalkan di perkampungan tertentu. Bagaimanapun, tradisi menyimpan mayat dalam
12

tajau dan menjadikan tajau sebagai barang pembawaan si mati tidak dipraktikkan lagi
terutamanya generasi baru. Selain itu, tajau juga digunakan untuk membayar hukuman dalam
adat Iban, digunakan semasa perayaan tertentu seperti Gawai Tajau dan Gawai Kenyalang dan
upah kepada dukun.18

Adat Upacara Miring


Upacara miring ialah adat resam kaum Iban di rumah panjang Nanga Luau yang masih
diamalkan sehingga kini walaupun kebanyakan penduduk di rumah panjang tersebut sudah
menganut agama Kristian. Upacara Miring ini adalah menyediakan persembahan korban yang
berbentuk makanan dan bahan-bahan lain masyarakat Iban tradisional seperti pulut, ketupat,
juadah kuih muih seperti penganan iri, bertih beras, telur, rokok daun, tembakau dan
sebagainya.19 Namun demikian, semua kaum Iban di Sarawak percaya bahawa persembahan
yang dilakukan melalui upacara miring ini adalah khas untuk Tuhan yang diharapkan
memberkati hidup mereka. Upacara Miring bukan hanya untuk dijadikan persembahan yang
disediakan untuk para dewa, bahkan untuk kegunaan kaum Iban bagi menguatkan roh dan
semangat individu seperti piring untuk persediaan mengembara (bejalai jauh), dan piring
untuk keberkatan diri sendiri (ngintu diri) serta untuk tujuan pengampunan jika seseorang itu
pernah ditimpa kecelakaan (piring ngampu).

Adat Perkahwinan Kaum Iban di Rumah Panjang Nanga Luau


Adat perkahwinan dalam kalangan kaum Iban agak unik kerana terdapat
beberapa peraturan yang dilakukan sebelum seseorang itu layak menjadi suami isteri. Bagi
kaum Iban di rumah panjang Nanga Luau, usia pengantin lelaki perlu 22 tahun. Si gadis pula,
tiada umur khusus yang ditetapkan. Perkahwinan yang sempurna bagi kaum Iban ialah
13

perkahwinan yang mematuhi kehendak adat. Pihak yang melanggar mana-mana adat
perkahwinan dikehendaki membayar denda untuk mengelakkan pasangan suami isteri ditimpa
kesusahan. Terdapat beberapa peringkat tertentu dalam perkahwinan kaum Iban iaitu merisik,
meminang, bertunang, majlis perkahwinan dan selepas majlis perkahwinan.20
Perkahwinan biasanya ditentukan oleh pengantin lelaki. Sekiranya seorang teruna
telah berkenan kepada seorang gadis, ibu bapanya atau wakil akan bertandang ke rumah gadis
untuk merisik. Perjumpaan kedua belah pihak ini juga dikenali sebagai berbunga-bunga atau
berjarum-jarum. Ketika itu syarat-syarat perkahwinan akan ditentukan termasuklah berian
dan sebagainya. Keluarga pihak lelaki akan menghantar rombongan meminang gadis jika
hasil pertemuan itu menggalakkan. Rombongan pihak lelaki biasanya tidak kurang daripada 5
orang dan paling ramai 20 orang yang terdiri daripada orang-orang tua. Syarat-syarat
perkahwinan akan ditentukan termasuklah berian atau mas kahwin serta lain-lain yang
berkaitan. Setelah mencapai kata sepakat, ayah pihak lelaki menanggalkan lapit atau ikat
pinggang perak atau sebilah pedang sebagai tanda pertunangan. Seterusnya kedua belah pihak
akan berbincang tentang tarikh dan hari perkahwinan. Mulai saat itu, perempuan itu tidak
boleh lagi menerima kunjungan teruna selain tunangnya. Dua atau tiga hari kemudian wakil
pihak lelaki akan memaklumkan berita pertunangan tersebut kepada saudara-mara dan jiran
tetangga.
Menjelang tahun 1998, terdapat perubahan sedikit dalam peringkat perkahwinan kaum
Iban di rumah panjang Nanga Luau. Peringkat perkahwinan yang masih diamalkan adalah
bertunang dan majlis perkahwinan. Kaum Iban di rumah panjang Nanga Luau memilih
pasangan mengikut cita rasa mereka dan apabila mendapat persetujuan daripada kedua-dua
pasangan.21 Usaha mencari pasangan bergantung pada keadaan di rumah itu, kalau keluarga
itu besar, anak-anak mereka lambat dikahwinkan. Sebaliknya, apabila anggota keluarga di
rumah itu kecil, anak-anak mereka akan dikahwinkan secepat mungkin dengan harapan
menantu dapat membantu keluarga membuat kerja-kerja tertentu. Majlis Perkahwinan akan
14

dilangsungkan pada tarikh yang ditetapkan oleh pihak pengantin. Semasa majlis perkahwinan
berlangsung, saudara mara akan dijemput hadir bagi memeriahkan majlis.

Adat Perayaan Gawai Dayak dan Gawai Lain


Secara tradisi kehidupan kaum Iban diatur oleh adat mereka yang amat rapat berkait
dengan sistem pertanian berhuma (bumai) padi. Di atas kepercayaan kepada semangat padi
maka pelbagai perayaan (gawai) dilakukan pada masa tertentu disepanjang tahun. Gawai
diketuai oleh beberapa ketua tertentu bergantung kepada jenis dan tujuannya.
Kaum Iban di rumah panjang Nanga Luau ini juga menyambut perayaan yang dikenali
sebagai perayaan Hari Gawai. Perayaan ini disambut setiap tahun iaitu pada 1 Jun sebagai
tanda berakhirnya musim menuai padi. Hari Gawai dianggap bermula apabila masyarakat
Iban berkumpul di serambi umum rumah panjang di mana terletaknya ranyai iaitu pokok
istiadat.22 Pada hari perayaan, mereka akan mengenakan pakaian tradisional yang diperbuat
daripada manik-manik yang diwarisi turun-temurun. Hari Gawai disambut dengan amat
meriah. Mereka akan berkumpul bersama dan bersukaria bagi mengeratkan hubungan
silaturahim antara satu sama lain
Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang perayaan seperti persembahan ngajat, minum
arak beras (tuak) dan aktiviti lain yang menghiburkan. Pada perayaan Gawai, kaum Iban akan
menyembahkan makanan dan arak kepada dewa kekayaan sebagai tanda kesyukuran dan
terima kasih atas hasil tuaian yang baik. Upacara penyembahan ini perlu mengikut adat iaitu
wakil masyarakat Iban akan membacakan mantera dan seterusnya darah ayam akan
direnjiskan pada persembahan tersebut. Perayaan ini akan berakhir apabila ranyai dibuang.

15

Di sepanjang tahun, masyarakat Iban merayakan suatu jenis Gawai tertentu


bergantung kepada tahap bertani dan juga kehidupan seluruhnya. Gawai kecil adalah
semacam doa selamat setelah berjaya mendapat sesuatu atau pun terelak dari bahaya.
Gawai

utama

ialah

yang

berkaitan

dengan

pertanian

padi

seperti Gawai

Batu dan Gawai Benih. Jika berlaku ancaman nyawa masyarakat maka diadakan Gawai
Kenyalang atau Gawai Burung, suatu perayaan amat besar yang melibatkan seluruh Rumah
Panjang dan jarang dilakukan. Satu lagi Gawai terbesar ialah Gawai Antu yang
memperingatkan arwah-arwah nenek moyang mereka.

PANTANG LARANG KAUM IBAN DI RUMAH PANJANG NANGA LUAU


Pantang larang sewaktu mengandung
Menurut Puan Remi anak Kemendan, kaum Iban di rumah panjang Nanga Luau masih
mengamalkan pelbagai pantang larang sehingga kini. Antaranya ialah pantang larang sewaktu
mengandung. Dalam tempoh 7 bulan, wanita yang mengandung dan suaminya dikenakan
pelbagai pantang larang. Mereka dilarang menggali parit di kawasan padi atau di mana-mana
sahaja dan dilarang menanam pokok pisang supaya si bayi tidak berkepala besar. Suami isteri
tidak boleh mengetuk telur menggunakan pisau atau kayu kerana dikhuatiri bayi akan cacat
penglihatan. Mereka juga tidak boleh membawa kura-kura ke dalam bilik bagi mengelakkan
bayi tidak tersekat di dalam rahim semasa dilahirkan.23

16

PENUTUP
Kesimpulannya, pengkaji mendapati bahawa kaum Iban di rumah panjang Ayom,
Nanga Luau, Awik, 95400 Saratok ini mempunyai perkembangan dari aspek populasi,
ekonomi, sosial, politik dan pendidikan. Mereka juga masih mengamalkan pelbagai budaya
dan adat resam kaum yang diwarisi oleh nenek moyang. Kaum Iban di rumah panjang ini juga
masih mengamalkan pantang larang bagi ibu yang mengandung.
Melalui kajian ini, pengkaji mendapati kaum Iban mempunyai keunikan yang
tersendiri. Budaya dan resam resam serta pantang larang larang kaum Iban patut terus
diamalkan oleh generasi kaum Iban pada masa hadapan kerana hal tersebut menunjukkan
identiti kaum Iban sendiri. Selain itu, pantang larang kaum Iban juga patut terus diamalkan
supaya generasi muda pada masa hadapan masih mengenali tradisi kaum Iban.

17

Vous aimerez peut-être aussi