Vous êtes sur la page 1sur 13

1.

Bincangkan kepentingan etika profesion perguruan dalam konteks akauntabiliti


guru.
Pada abad ke 21 ini, guru mempunyai tanggungjawab yang amat besar. Peranan guru
bukan sekadar memberi pendidikan dan menyampaikan ilmu sahaja. Guru berperanan untuk
membimbing dan mendidik murid-murid supaya menjadi insan yang berpekerti mulia dan
sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni. Menurut Abdul Ghani & Abdul Rahman (2009), tugas
dan tanggungjawab guru tidak hanya terhad kepada penyampaian ilmu pengetahuan dalam
bilik darjah tetapi juga meliputi pembentukan sahsiah pelajar meliputi aspek perkembangan dari
segi intelek emosi dan jasmani supaya pelajar menjadi insan yang berilmu pengetahuan,
bermoral tinggi, harmonis dan seimbang. Oleh itu, guru mempunyai akauntabiliti pada taraf
pencapaian kemajuan serta kelakuan pelajar yang diajarnya.
Etika merujuk kepada peraturan perilaku, adat kebiasaan manusia dalam pergaulan antara
satu sama lain. Perkataan etika berasal daripada perkataan Yunani Ethos yang bererti normanorma, nilai- nilai dan ukuran ukuran bagi tingkah laku manusia yang baik (Noriati. Boon &
Wong, 2010). Maka kod etika adalah penting untuk membina sahsiah dan membentuk tingkah
laku guru yang baik. Sahsiah merupakan peribadi manakala keperibadian merujuk kepada
perihal peribadi, sifat, watak dan ciri- ciri yang khusus terdapat pada seseorang. Menurut
Shahabudin & Noor Miza (2014), bagi membina sahsiah dan keperibadian seorang guru, fokus
utama mestilah berasaskan Kod Etika Keguruan yang telah ditetapkan oleh Kementerian
Pelajaran Malaysia sebagai panduan. Kod etika merupakan garis panduan yang bertujuan
meningkatkan tahap kualiti, produktiviti dan disiplin dalam perkhidmatan dengan memberi
penekanan kepada aspek-aspek yang berkaitan dengan peraturan, peranan nilai, serta
tingkahlaku profesion. Pengetahuan etika perguruan yang berlandaskan nilai-nilai akhlak mulia
dapat membantu guru memainkan peranan yang begitu mencabar dalam dunia pendidikan.
Etika profesion perguruan telah dijadikan sebagai panduan untuk tingkah laku dan pegangan
guru semasa membuat keputusan dalam konteks pendidikan. Melalui etika perguruan inilah
masyarakat boleh menganalisis, menilai serta menentukan sama ada tingkah laku guru telah
mematuhi peraturan yang ditetapkan atau sebaliknya (Akhiar, Shamsina & Muhamad Kushairi,
2012).
Etika profesion perguruan juga merupakan satu set tingkahlaku atau tanggungjawab guru
terhadap masyarakat dan negara, pelajar, rakan sejawat dan ibu bapa. Garis panduan etika ini
bertujuan menjadikan bidang perguruan sebagai satu kerjaya yang professional yang disanjung

dan dihormati oleh masyarakat. Setiap warga pendidik wajar mengikuti dan mentaati nilai-nilai
asas etika dalam menjalankan tugas sebagai pendidik. Pengetahuan terhadap etika profesion
perguruan adalah amat penting dalam menjalankan tanggungjawab sebagai guru kerana
terdapat guru-guru yang masih melanggar tatasusila perguruan yang harus dielakkan. Di
halaman depan Buku Persediaan Mengajar dipaparkan ikrar agar semua guru mamatuhi dan
menjaga imej profesion.Oleh itu, Kementerian Pelajaran telah berusaha memperkenalkan
dasar-dasar dan garis panduan sejak dahulu lagi untuk menjadikan dan memartabatkan
profesion perguruan sebagi satu bidang professional dimana garis panduan ini disenaraikan
melalui kod etika profesion perguruan.
Akauntabiliti keguruan bermakna tanggungjawab yang harus difahami dan dilaksanakan
oleh seseorang guru. Akauntabiliti keguruan juga membawa maksud berkenaan dengan
tanggungjawab guru terhadap profesionalisme keguruan. Akauntabiliti atau tanggungjawab
seorang guru yang dimaksudkan di atas merangkumi akauntabiliti guru terhadap pelajar, diri
guru itu sendiri, sekolah, masyarakat dan negara , dan profesion keguruan amnya. Maka etika
profesion keguruan berkait rapat dengan akauntabiliti dimana setiap guru perlu untuk mengikut
setiap yang digariskan oleh kod etika profesion perguruan.
Etika profesion perguruan penting untuk menjadi seorang guru yang mahir dalam bidang
tugas mereka. Hal ini memerlukan seseorang guru itu menguasai ilmu pengetahuan yang luas.
Seorang guru perlu mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan terutama dalam bidang
mereka sendiri supaya dapat mendidik anak murid dengan lebih baik mencapai tahap yang
cemerlang. Contohnya seorang guru sains harus mendalami setiap tajuk yang terdapat dalam
mata pelajaran sains supaya dapat menjawab setiap persoalan yang akan ditanya oleh murid.
Hal ini demikian kerana,penguasaan ilmu sangat penting supaya apabila mengajar kelak dapat
membantu guru dari segi persediaan mental dan emosi juga dalam pesediaan alat atau bahan
bantu mengajar yang dapat meningkatkan pengajaran mereka di dalam kelas. Guru perlu untuk
mendalami bidangnya dengan menyertai kursus atau apa sahaja program yang dapat
memantapkan lagi pengetahuan mereka dalam subjek yang diajar.
Disamping itu, melalui etika profesion keguruan, guru akan mengetahui tentang fisiologi
dan psikologi kanak- kanak. Menurut Zainun Ishak (2006), guru perlu mempunyai kemahiran
yang khusus dan berpengetahuan mengenal pasti setiap tahap perkembangan kanak- kanak.
Dengan pengetahuan tersebut, guru dapat mengenalpasti beberapa sumber yang mengancam
keselamatan dan persekitaran kanak- kanak tersebut. Sebagai contoh, sekiranya terdapat

kanak- kanak yang suka memasukkan sesuatu benda atau bahan dalam mulut, guru perlu
segera menyimpan bahan beracun dan berbahaya ke tempat yang selamat jauh daripada
kanak- kanak tersebut. selain itu, guru juga perlu tahu tempat kanak- kanak biasanya merayau
dan memastikan kanak- kanak tersebut dapat dikawal. Pengetahuan seperti ini penting kerana
guru bertanggungjawab ke atas diri murid sepeuhnya ketika mereka berada di sekolah.
Mengelakkan mereka daripada sebarang bahaya adalah menjadi satu akauntabiliti yang wajib
ada dalam setiap guru seperti yang ada dalam etika profesion keguruan.
Selain itu, etika profesion keguruan penting untuk melahirkan guru yang berintegriti.
Menurut Robert T. Kiyosaki (2015), integriti bermaksud wholeness/ completeness, iaitu
kesempurnaan atau integriti sebagai soundness of moral principle yang merujuk kepada
keikhlasan dan kejujuran. Ertinya seorang guru perlu ikhlas daan sentiasa menunjukkan akhlak
yang baik kepada anak murid mereka. Seorang guru perlu menjalankan tanggungjawab
sepenuhnya dengan ikhlas tanpa dipaksa atau disuruh oleh orang lain atau menjalankan tugas
guru semata- mata kerana tugas bukan kerana keikhlasan dan kejujuran. Seorang guru perlu
ikhlas mendidik tanpa mengharapkan balasan atau bayaran kerana guru berakauntabiliti
terhadap pelajar untuk mendidik mereka. Guru- guru tidak boleh menganggap tugas guru
sebagai kerjaya makan gaji sahaja. Tetapi sebagai kerjaya yang bervisi dan bermatlamat untuk
mencapai wawasan 2020. Yahaya Don (2005) menyatakan bahawa guru adalah pengajar,
pengasuh atau pendidik memberi kesan besar dalam perkembangan personaliti, mental dan
fizikal setiap pelajar. Guru perlu menjalankan tanggungjawab mengajar dengan penggunaan
bahan pengajaran dan pembelajaran secara optimum. Guru tidak boleh memiliki sikap pilih
kasih dalam menyampaikan ilmu. Guru yang berintegriti tidak akan melihat perkauman sebagai
matlamat namun kelangsungan kecemerlangan murid dalam pendidikan adalah menjadi
matlamat utama. Guru juga perlu prihatin dalam mengasuh sahsiah pelajar untuk menjadi
pelajar yang baik.
Etika profesion keguruan juga penting untuk guru berpengetahuan dalam tugas mereka.
Menurut Mohd Ismail Othman (2006), tanggungjawab guru terhadap pelajar yang ada dalam
Tatasusila Profesion Perguruan yang antara lain menyebut

tanggungjawab tersebut ialah

mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar, bersikap adil terhadap setiap pelajar,
memberi contoh yang baik kepada pelajar, serta memelihara dan memperbaiki kecekapan
iktisas. Sekolah ialah sebagai loco parentis dimana guru memegang tanggungjawab yang
penting untuk menjaga pelajar. Guru hendaklah memastikan agar murid sentiasa diberi
penjagaan rapi dan dilindungi daripada sebarang risiko yang boleh mendatangkan bahaya

kepada mereka. Oleh itu, guru perlu mengenalpasti pelajar yang brmasalah iaitu masalah dari
segi fizikal, peribadi, emosi dan dari aspek pembelajaran dan lain- lain kerana dalam konteks
akauntabiliti guru berperanan untuk membentuk pelbagai kemahiran kepada murid merangkumi
kemahiran belajar, bersosial, menguruskan emosi dan sebagainya.
Di samping itu, etika ini penting untuk guru mempunyai kreadibiliti yang baik dalam
menjaga amanah yang dipertanggungjawab oleh ibu bapa terhadap anak mereka di sekolah.
Kreadibiliti yang diberikan oleh ibubapa kepada guru perlu digunakan sebaiknya oleh guru
tersebut. Guru perlu menunjukkan kreadibiliti kepada ibu bapa dan murid iaitu dengan
menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dalam bilik darjah. Ini termasuklah menepati masa
mengikut jadual waktu serta menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan cara
berkesan. Mengutamakan kebajikan, kemajuan, dan keselamatan murid-murid daripada hal-hal
lain. Bersikap adil terhadap setiap orang pelajar tanpa mengira faktor-faktor jasmani, mental,
emosi, politik, ekonomi, sosial, keturunan atau agama. Guru juga perlu sentiasa mengambil
inisiatif untuk membentuk perhubungan dan pemuafakatan yang erat di kalangan guru dan ibu
bapa. Membantu ibu bapa dalam usaha mendidik dan membimbing anak-anak di sekolah.
Selain itu, guru juga memainkan peranan sebagai Guru Bimbingan dan Kaunseling atau
kaunselor Pelajar dalam proses pembentukan sahsiah pelajar. Sikap guru yang sentiasa
menunjukkan sikap yang positif dan menghormati ibu bapa akan mewujudkan suasana harmoni
di antara guru, murid dan ibu bapa. Seterusnya membimbing dan mengajar murid-murid dalam
bilik darjah tanpa meminta hadiah atau bayaran. Memberi contoh teladan yang baik seperti
berpakaian kemas , berbudi bahasa dan bersopan santun semasa bertugas. Maka, penting
untuk seseorang guru berkreadibiliti dalam menjaga tugas yang diamanahkan oleh ibu bapa
murid tersebut sepenuhnya demi kecemerlangan akademik dan sahsiah anak mereka.
Kemudian, etika ini turut penting untuk memberi pengetahuan kepada guru mengenai
etika yang perlu mereka ikut untuk ibu bapa. Sebagai ibu bapa, mereka pasti mengharapkan
anak-anak mereka mendapat keputusan yang baik dalam akademik. Oleh itu, mereka
meletakkan harapan tinggi supaya guru dapat meningkatkan penguasaan anak mereka dalam
akademik. Guru yang berakauntabiliti akan memberi tumpuan yang lebih kepada murid yang
lemah supaya mereka dapat menguasai ilmu yang diajar dan bagi pelajar yang sememangnya
cemerlang, perlu diberi latihan yang mencabar supaya mereka tidak bosan dengan akademik
mereka. Ibu bapa juga mengharapkan agar anak mereka dididik dengan sikap yang baik. Ibu
bapa mengharapkan nilai-nilai murni dapat diterapkan semasa mereka belajar didalam kelas
sepanjang masa. Apabila anak-anak mereka besar nanti akan menjadi seorang yang

bertanggungjawab, berinisiatif, proaktif serta bersedia untuk menghadapi segala cabaran hidup.
Selain itu, ibu bapa juga mengharapkan guru dapat membantu anak-anak mereka membina
kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, kemahiran membaca yang pantas serta mencari dan
memilih maklumat dengan baik, patriotik, kemahiran tentang bidang teknologi maklumat serta
kemahiran interpersonal dan intrapersonal yang baik untuk berhadapan dengan individu lain.
Guru juga perlu pandai mengendalikan masalah disiplin anak mereka tidak kira sama ada
masalah akademik, sosioemosi dan sebagainya.
Selain itu, etika profesion keguruan penting supaya guru dapat bersaing di peringkat
global. Untuk menjadi guru yang mampu bersaing di peringkat global guru perlu berakauntabiliti
terhadap profesion untuk melakukan peningkatan dalam profesionalisme diri melalui pelbagai
strategi seperti menghadiri kursus, diskusi intelektual, penyelidikan tindakan dan pembacaan
online. Seperti yang dilakukan oleh guru- guru yang diangkat menjadi antara guru terbaik
contohnya Nurjahan Sultan yang menjadi antara 50 guru terbaik dunia. Beliau mempunyai
pengalaman selama 22 tahun sebagai pendidik dan terpilih kerana kejayaan menghasilkan
program 'Let's Rhyme' bagi memudahkan proses pembelajaran bahasa Inggeris berdasarkan
nilai murni dan pemahaman budaya. Menurut Pati Anak Aleng (2014), transformasi dalam
pendidikan bertujuan untuk membangunkan pendidikan secara sistematik dan penyediaan
pendidikan yang berkualiti serta mencapai pendidikan bertarat dunia yang mampu bersaing di
pentas global. Maka tidak hairanlah akauntabiliti terhadap profesion memainkan peranan
penting untuk menghasilkan guru yang bertransformasi dalam memberi perubahan kepada
sistem pendidikan terutama pendidikan pada abad 21 ini.
Kesimpulannya, etika profesion keguruan perlu untuk diikuti oleh semua guru di
Malaysia. Dengan adanya Etika Profesion Perguruan, para guru di Malaysia akan dapat
merujuk dan mendapatkan garis panduan untuk menjadi seorang guru yang bertanggungjawab
dan berakauntabiliti terhadap semua pihak termasuk pelajar, ibu bapa, masyarat dan Negara
serta rakan sejawat. Etika Profesion Perguruan bukanlah untk membebankan individu yang
terlibat dalam profesion tersebut. Tujuannya adalah untuk membantu dalam guru yang
berkhidmat dalam bidang pendidikan untuk menjadi lebih komited, dan dapat memupuk
akauntabiliti dalam menjalankan kerja. Dengan pemahaman tentang kepentingan kewujudan
etika kerja, maka diharapkan guru-guru di Malaysia akan lebih menyedari keperluan diri mereka
mematuhi peratuan kod etika seperti yang tertera bagi menjaga imej profesion guru serta
memelihara kelancaran dalam pelaksanaan sistem pendidikan di Negara kita.

2. Analisis secara terperinci implikasi yang akan wujud kepada pelajar, masyarakat
dan negara sekiranya guru mengabaikan imej keguruan dalam konteks etika
profesion perguruan.

Profesion perguruan merupakan profesion yang tidak ditelan zaman dan kini kehebatannya
telah diperakui ramai. Semenjak tahun 1960-an sehingga kini profesion perguruan menjadi
rebutan besar para lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Masyarakat meletakkan harapan
tinggi kepada guru dan tumpuan sepenuhnya perlu diberikan terhadap tanggungjawab yang
perlu digalas dalam bidang kurikulum, kokurikulum juga pembinaan sahsiah anak didik. Guru
adalah selaku agen perubahan perlu memainkan peranan berkesan dengan cara sentiasa
meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing. Ibu bapa, guru-guru dan masyarakat
amat bergantung harap sepenuhnya kepada guru supaya dapat membentuk dan mendidik
anak-anak mereka menjadi insan yang berguna. Kepercayaan teguh yang diberikan oleh
masyarakat kepada guru-guru haruslah dijadikan sebagai pembakar semangat supaya guruguru dapat menjalankan tugas dengan lebih cekap dan efisyen. Namun, sejak akhir- akhir ini
kita sering mendengar isu-isu dan masalah keguruan yang hangat diperkatakan. Kes-kes
seperti guru menampar murid, murid didera guru sehingga mati, guru mengambil rasuah,
sikap guru yang kurang ajar, dan sebagainya sering dibincangkan melalui media massa. Isuisu seperti ini memberikan persepsi buruk kepada profesion keguruan. Guru seperti ini jelas
mengabaikan etika keguruan dan memberi kesan yang negatif kepada pelajar, masyarakat dan
negara.
Implikasi yang akan wujud terhadap pelajar ialah mereka akan tercicir dalam akademik.
Akademik adalah penting dalam menentukan kejayaan seseorang individu murid tersebut. Jika
dilihat secara kasar, faktor terjadinya implikasi ini adalah dari diri pelajar sendiri yang tidak
berinsiatif untuk memajukan diri mereka. Namun, salah satu faktor adalah silap seorang guru.
Isu yang diperkatakan memberi impak kepada murid adalah kerana guru mengabaikan imej
keguruan dengan sering tidak hadir ke sekolah dan menyebabkan murid terabai dan tercicir
dalam akademik mereka. Apabila guru mengabaikan imej keguruan contohnya seperti guru
ponteng atau tidak hadir ke sekolah, murid akan tercicir dalam pelajaran terutama apabila
melibatkan matapelajaran subjek teras seperti bahasa melayu, sains, matematik, bahasa
inggeris. Ini kerana pelajaran yang sepatutnya dikuasai oleh murid tidak dapat diaplikasikan
oleh mereka terutamanya dalam menjawab soalan-soalan ujian dan peperiksaan. Secara tidak
langsung murid-murid akan mengalami masalah pembelajaran di sekolah, lebih-lebih lagi

kepada murid yang mempunyai tahap kebolehan yang rendah. Hal ini menyebabkan murid
yang mempunyai kebolehan yang rendah akan hilang rasa seronok untuk ke sekolah kerana
merasakan tiada berguna untuk mereka ke sekolah lagi kerana guru tidak dapat membantu
mereka dalam

meningkatkan prestasi

akademik.

Guru tidak bertanggungjawab dan

mengabaikan murid dalam memberi pendidikan yang cemerlang dan seimbang kepada mereka.
Di samping itu juga, implikasi yang wujud ialah murid akan rosak dari segi sahsiah dan
moral. Hal ini kerana, guru yang mengabaikan imej keguruan seperti menunjukkan tingkah laku
yang tidak elok akan menjadi salah satu punca berlakunya masalah disiplin. Isu guru yang
bergaduh di sekolah akan memberi pandangan kepada murid bahawa mereka juga boleh
bergaduh sebagaimana guru. Mereka akan bertindak di luar kawalan dengan mewujudkan
masalah disiplin seperti buli, mencuri dan sebagainya. Murid yang lebih agresif akan membuli
rakan murid yang lemah. Murid-murid ini juga akan bertindak di luar kawalan apabila cuba
merosakkan harta benda sekolah seperti meja dan kerusi di dalam kelas. Menurut Abdullah
Sani Yahaya (2006) guru yang sepatutnya memainkan peranan sebagai role model kadangkadang melakukan perbuatan negatif tanpa disedari membawa kesan buruk dalam
pembentukan sahsiah pelajar. Maka tidak hairanlah jika ada murid yang mengikut sahsiah guru
yang negatif seperti ponteng sekolah, bergaduh dan sebagainya. Ini menunjukkan guru tidak
bekerja berlandaskan etika profesion keguruan dan tidak bertingkah laku seperti yang
digariskan. Murid beranggapan jika guru boleh ponteng kelas dan bergaduh sebagai contoh,
mengapa mereka tidak boleh mengikut guru tersebut sedangkan guru adalah cerminan
kemenjadian murid di sekolah.
Selain itu, suasana interaksi yang mesra antara guru dan murid tidak akan dapat terjalin.
Hal yang demikian kerana mereka sudah hilang rasa hormat terhadap guru. Menurut
Hairunnaja Najimuddin (2007), interaksi dan hubungan yang kurang mesra antara kedua- dua
pihak yang dominan di sekolah iaitu guru dan pelajar boleh memberi kesan kepada tingkah laku
pelajar. Akibat dari salah faham, perasaan dendam, sakit hati, geram, kecewa dan marah yang
bercampur aduk pelajar akan bertindak agresif seperti membakar bilik guru, merosakkan bilik
darjah dan harta sekolah, memecahkan cermin kereta guru, memukul guru dan masalah,masalah disiplin yang lain. Seperti yang berlaku pada 24 Mei 2002 dimana seorang guru
dibelasah dengan kerusi oleh pelajarnya kerana sikapnya yang hilang sabar menampar murid
tersebut sebanyak dua kali. Hal ini jelas menunjukkan guru tersebut tidak dapat mengawal
emosinya dengan baik. Menurut Abdullah Sani Yahaya (2006), pendekatan yang perlu
digunakan oleh guru semasa mengendalikan pelajar- pelajar yang bermasalah disiplin mestilah

tegas tetapi tidak beremosi. Tindakan guru terbabit yang menampar pelajar tersebut jelas
menunjukkan bahawa guru tersebut masih tidak professional dan menggunakan emosi untuk
mengatasi masalah yang dihadapi. Ini yang menyebabkan interaksi antara guru dan murid
menjadi tidak mesra dan mendatangkan suasana yang tidak harmoni antara guru dan pelajar.
Seharusnya seorang guru perlu professional dalam menangani masalah murid dan tidak
mengambil tindakan melulu yang menyebabkan timbul masalah yang akan menyusahkan guru
tersebut. Guru ini mengabaikan tanggungjawab pada diri kerana bersikap emosional sehingga
mengakibatkan kecederaan kepada dirinya semasa bertugas dan juga tidak bertanggungjawab
terhadap muridnya. Sedangkan seorang guru perlu professional menangani emosi dan tidak
mengambil tindakan yang boleh mengakibatkan masalah kepada diri mereka.
Seterusnya, guru yang mengabaikan imej keguruan akan mewujudkan persepsi negatif
ibu bapa kepada profesion keguruan. Ibu bapa ialah individu yang amat penting dalam
profesion keguruan serta insitusi pendidikan. Zaman dahulu, ibu bapa tidak menghiraukan
sekiranya guru merotan anak mereka kerana bagi mereka merotan itu adalah salah satu cara
untuk mengajar anak mereka menjadi orang yang berguna. Jika dilihat pada hari ini,
kebanyakan ibu bapa kurang untuk meletakkan penjagaan anak mereka sepenuhnya kepada
guru di sekolah. Malah, ibu bapa hari ini melihat isu merotan anak mereka adalah sensitif.
Adakah persepsi negatif ini terjadi kerana ibu bapa semakin hilang hormat kepada profesion
keguruan?. Jawapannya mungkin ya kerana ibu bapa pada harini ini terlalu prejudis kepada
guru. Maka tidak hairanlah sekiranya isu guru yang merotan juga adalah serius bagi mereka
kerana kurang kepercayaan yang diberikan disebabkan oleh sikap guru yang mengabaikan imej
keguruan. Hal ini turut terjadi kerana guru tidak mempunyai hubungan yang rapat antara murid
dan ibu bapa. Guru dan penjaga juga perlu mengambil kira tahap hubungan mereka dengan
anak. Jika anak mempunyai hubungan rapat dengan guru dan penjaga, maka hukuman fizikal
tidak akan menjejaskan emosi anak. Sebaliknya jika ibu bapa tidak rapat dengan anak,
hukuman fizikal mungkin akan mengakibatkan emosi anak terganggu seperti berdendam atau
marah kepada guru tersebut. Guru dan penjaga perlu memastikan mereka tidak berada dalam
keadaan marah dan beremosi ketika hukuman fizikal dilaksanakan. Mereka juga perlu tahu
bagaimana cara merotan yang tidak mendatangkan sebarang kecederaan kepada anak.
Apabila ibu bapa mengambil berat cara guru menguruskan anak, mungkin persepsi negative
akan dapat diubah dan diperbetulkan semula untuk kelangsungan pendidikan anak mereka.
Seterusnya, implikasi kepada masyarakat. Profesion keguruan adalah profesion yang
sentiasa disanjung oleh masyarakat sejak dahulu lagi. Malah sehingga kini apabila perkenalkan

diri kita sebagai guru, masyarakat akan lebih menghormati kita. Namun, semakin hari semakin
ramai guru yang mengabaikan imej keguruan dan tidak menjaga tatasusila mereka sehingga
menimbulkan kerisauan dan ketidakpercayaan masyarakat terhadap profesion keguruan.
Pelbagai isu yang timbul antaranya guru yang bekerja sambilan selepas waktu sekolah juga
menjadi punca mereka kurang dihormati. Misalnya, ada guru yang mengajar di kelas-kelas
malam atau tuisyen, menjual di pasar-pasar malam, menjadi pengawal keselamatan, menjadi
ejen syarikat insurans dan lain-lain lagi. Oleh itu, ada kalangan masyarakat yang menganggap
guru ini tamakkan duit dan mengabaikan tugas utamanya, iaitu mengajar dan mendidik. Bagi
mereka, guru yang bekerja ini dianggap daif dan naif. Guru-guru ini dianggap setaraf, bahkan
hidup susah seperti mereka juga. Oleh itu, guru bukanlah golongan yang perlu dihormati seperti
dulu. Sudah menjadi tanggapan umum bahawa guru boleh dijadikan model dalam kehidupan
bermasyarakat. Namun, pandangan dan tanggapan positif masyarakat kian menipis apabila ada
sesetengah guru yang melanggar etika keguruan. Ini termasuklah guru yang selalu ponteng
kelas dan keluar dari kawasan sekolah atas urusan peribadi. Malah ada guru yang sanggup
menghisap rokok dan bersembang dengan guru yang lain sambil diikuti ketawa hilai. Lebih
malang lagi apabila ada guru yang telah memperdaya dan melakukan hubungan seks dengan
pelajarnya. Segala perbuatan negatif ini tentunya boleh mengikis kepercayaan dan
penghormatan masyarakat terhadap guru.
Seterusnya ialah masyarakat akan menganggap sekolah adalah sebuah institusi
pendidikan yang teruk dan tidak dapat menjadi tempat untuk pembentukan sahsiah dan
akademik anak mereka. Hal yang demikian kerana, setiap murid di sekolah sangat
mempercayai apa yang dikatakan oleh guru mereka. Apa yang diperkatakan oleh guru itu lebih
terkesan di hati mereka berbanding ibu bapa. Maka masyarakat akan merasa takut untuk
meletakkan anak mereka dengan guru di sekolah sekiranya guru tidak menjalankan tugas yang
diamanahkan oleh mereka dengan baik. Ibu bapa dan masyarakat risau sikap guru yang tidak
elok akan mempengaruhi anak mereka. Sikap guru- guru yang tidak professional akan memberi
tanggapan kepada masyarakat bahawa sekolah adalah sebuah pusat pembelajaran yang tidak
memberi kesan positif kepada anak mereka. Masyarakat akan beranggapan bahawa disiplin
tidak akan dapat ditangani oleh guru, suasana pembelajaran dan pengajaran tidak berjalan
seperti yang mereka mahukan dan sebagainya. Sukar untuk kita ubah persepsi ini kerana
masyarakat yang pada mulanya sangat menyanjung insititusi pendidikan namun kita sebagai
guru tidak menjalankan tugas dengan sebaiknya menyebabkan kesan kepada persepsi
masyarakat berubah.

Seterusnya kesan kepada negara. Negara dapat didefinisikan sebagai tempat yang
mana mempunyai sempadan, pemerintah, warganegara dan juga kedaulatan. Imej baik
sesebuah negara itu dapat dilihat melalui sifat, tingkah laku serta akhlak wargenegaranya
dalam

kehidupan

seharian.

Sesuatu

perlakuan

serta

masalah

yang

berlaku

bakal

membantutkan hasrat negara bagi mencapai negara maju menjelang tahun 2020.
Sebagaimana yang kita tahu, tamadun yang maju adalah sebuah tamadun yang bukan sahaja
tinggi pencapaian serta pembangunannya akan tetapi maju juga dari aspek rohani serta
sahsiah warganegaranya. Kesan daripada guru yang mengabaikan imej keguruan ialah hasrat
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) tidak akan tercapai. Hal yang demikian
kerana setiap apa yang dirancang untuk melahirkan murid yang digariskan dalam PPPM iaitu
sebelas anjakan yang dinyatakan tidak akan tercapai. Pendidikan negara akan terus berada
dalam kelompok bawah dan tidak dapat bersaing di peringkat yang lebih tinggi. selain itu,
negara juga akan kehilangan generasi anak muda yang berwibawa dan mempunyai jati diri
yang tinggi. Ketamadunan dalam diri generasi anak muda akan luntur dan pembangunan
sahsiah mereka akan turut terjejas. Profesion perguruan tidak lagi dipandang sebagai profesion
yang mulia oleh masyarakat sekaligus menjejaskan sistem pendidikan negara. Pihak institusi
negara luar juga akan memandang rendah terhadap institusi pendidikan di negara kita dan tidak
akan menjalinkan hubungan antarabangsa yang serius dengan negara kita.
Secara kesimpulannya, etika profesion keguruan adalah penting untuk menjadi panduan
setiap guru di Malaysia dalam menjalankan tugas masing- masing. Demi menjaga martabat
profesion keguruan ini, setiap guru perlu mematuhi kod etika yang digariskan untuk
mengelakkan daripada terjerumus kepada isu isu yang boleh merosakkan imej guru tersebut.
seandainya masih ada guru yang mempunyai isu maka perlulah dielakkan daripada mereka
menjawat jawatan dalam bidang professional ini. Maka, semua pihak perlu mengembleng
tenaga dalam menangani isu- isu ini terus menular dalam kalangan guru supaya kelangsungan
martabat professional keguruan ini dapat dikekalkan.

10

RUJUKAN
Abdullah Sani Yahaya. (2006). Mengurus Disiplin Pelajar. PTS Professional. Kuala
Lumpur.
Abdul Ghani Abdullah & Abd. Rahman Abd. Aziz. (2009). Mengurus Tingkah Laku
Pelajar. PTS Professional Publishing Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.
Akhiar Pardi, Shamsina Shamsuddin & Muhamad Kushairi Jusoh. (2012). Asas
Kepimpinan Dan Perkembangan Profesional Guru. Kuala Lumpur: Freemind Horizons.
Hairunnaja Naajmuddin. (2005). Memahami dan Membimbing Remaja Nakal. PTS
Professional Publishing. Kuala Lumpur.
Mohd Ismail Othman. (2006). Menangani Disiplin di Sekolah. Utusan Publications &
Distributors. Kuala Lumpur.
Noriati, A. R., Boon Pong Ying & Wong Kiet Wah (2012). Asas kepimpinan dan
perkembangan profesional guru. Shah Alam: Oxford Fajar.
Pati Anak Aleng. (2014). Transformasi Pendidikan dan Pembangunan Insan. PTS
Akademia. Batu Caves: Selangor
Robert T. Kiyosaki. (2015). Guide To Investigating (Edisi Bahasa Melayu). PTS
Professional Sdn. Bhd. Batu Caves. Selangor.
Shahabuddin Hashim & Noor Miza Abdul Rahman (2014). Kaedah Pengajaran &
Pembelajaran Kerohanian Kanak- Kanak. PTS Media Groups Sdn. Bhd. Batu Caves: Selangor.
Yahaya Don. (2007). Kepimpinan Pendidikan di Malaysia. PTS Professional Publishing
Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.
Zainun Ishak. (2006). Panduan Kesihatan Dan Keselamatan Kanak- Kanak. Utusan
Publications & Distributors Sdn. Bhd. Ceras: Kuala Lumpur.

11

REFLEKSI KENDIRI
Pertama-tamanya, bersyukur saya ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya, saya dapat
menyiapkan tugasan EDU 3083 Asas Kepimpinan dan Perkembangan Professional Guru ini.
Kerja kursus ini memerlukan saya menulis dua buah esei mengenai kepentingan etika profesion
perguruan dalam konteks akauntabiliti guru serta implikasi yang akan wujud kepada pelajar,
masyarakat dan negara sekiranya guru mengabaian imej keguruan dalam konteks etika
profesion keguruan.
Saya mempelajari banyak perkara di sepanjang saya melaksanakan kerja kursus ini.
Antaranya ialah saya menjadi lebih peka terhadap isu-isu yang timbul dalam bidang pendidikan,
tidak kira ia berlaku pada beberapa tahun dahulu mahu pun sekarang. Selama ini, saya hanya
melihat isu yang terjadi dari kaca mata seorang pelajar, tetapi pandangan saya kini semakin
luas apabila saya dapat meneliti isu yang sama melalui sudut seorang guru.. Sensitiviti
terhadap isu-isu semasa ini juga mengingatkan saya supaya sentiasa bersedia dalam
menempuh dunia pendidikan sebenar. Hal ini kerana, guru bekerja dengan murid lalu tindakan
yang diambil oleh seseorang guru pasti akan memberi kesan kepada murid sama ada negatif
atau positif.
Selain itu, kerja kursus ini telah menyedarkan saya akan pentingnya seorang guru
berpegang teguh kepada etika profesion keguruan. Saya dapat mengetahu tentang
tanggungjawab guru kepada murid, kepada ibu bapa, masyarakat, rakan sejawat serta
profesion dan juga negara. Saya menyedari sebagai guru kelak, saya akan menggalas
tanggungjawab yang sangat berat dalam merealisasikan pendidikan Malaysia untuk meletakkan
negara salah sebuah Negara yang mempunyai pendidikan bertaraf dunia. Saya juga perlu
menyedari bahawa murid sekarang tidak seperti dahulu dimana murid sekarang sudah
berkembang seiring dengan kemajuan negara. Maka untuk mendidik mereka bukan mudah
dimana memerlukan pelbagai kaedah pengajaran, dan pengetahuan ilmu yang luas dalam
menyampaikan pengajaran kepada murid saya kelak.
Seterusnya, pendedahan terhadap isu dan cabaran semasa dalam dunia pendidikan ini
mengajar saya bahawa kerjasama antara guru dan ibu bapa adalah penting. Sebarang masalah
atau isu yang dihadapi oleh guru perlu diambil berat oleh pihak sekolah untuk menangani
masalah yang dihadapi. Ibu bapa dan masyarakat juga perlu didedahkan agar isu yang
dihadapi oleh guru pada masa kini dapat ditangani dan tidak menjadikan profesion perguruan
satu profesion yang semakin hilang martabatnya.

12

Jelas, hubungan dua hala yang baik antara dua kuasa besar ini adalah perlu demi menjamin
perkembangan murid yang sepenuhnya, iaitu bukan sahaja meliputi aspek tingkah laku malah
prestasi akademik dan kokurikulumnya.
Sementara itu, saya berpendapat bahawa semua pihak hendaklah mengambil berat
dalam isu guru yang semakin berleluasa ini. Pihak yang berwajib seperti Kementerian
Pendidikan Malaysia dan juga pihak sekolah boleh merangka program untuk mengurangkan
faktor yang menjadi penyebab kepada isu yang berlaku dalam kalangan guru. Justeru, melalui
kerja kursus ini, saya belajar bahawa kita semua bergerak di dalam satu sistem. Dari peringkat
kementerian hingga di sekolah, kita bekerja bersama-sama dan bukannya secara individu
mahupun bekerja untuk kepentingan sesiapa. Saya percaya bahawa jumlah isu yang timbul
dalam bidang pendidikan boleh dikurangkan sekiranya setiap pihak berfikiran sedemikian,
seterusnya meringankan bebanan dan cabaran yang harus digalas oleh guru pada masa akan
datang.
Saya berharap agar segala maklumat yang diperolehi menjadi tunjang kepada diri saya
dalam menghadapi cabaran dunia pendidikan. Sebagai bakal guru, saya akan berusaha
bersungguh-sungguh dalam membantu murid dan memberi peluang pendidikan yang optima
kepada mereka dan menjalankan tanggungjawab yang diberikan sebaik mungkin. Akhirnya,
saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan sekelas yang banyak membantu
saya dalam menyiapkan kerja kursus ini. Ucapan terima kasih juga kepada pensyarah kami,
Encik Azman bin Mohamed Nor di atas bimbingan, bantuan dan tunjuk ajar beliau kepada kami.
Semoga ilmu yang diperolehi ini dapat saya manfaatkan untuk menjadi guru yang berguna
sewaktu di sekolah kelak..

13

Vous aimerez peut-être aussi