Vous êtes sur la page 1sur 8

.

PENGENALAN

Pencetusan gerakan Islah oleh Sayid Jamaluddin al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh pada
tahun 1882 telah mempengaruhi kebangkitan semangat kebangsaan di Tanah Melayu. Golongan
pelajar di Tanah Melayu yang mendapat pendidikan di Timur Tengah, khususnya di Mesir telah
membangkitkan semangat kebangsaan. Mereka yang menuntut di Universiti al- Azhar telah terpengaruh
dengan idea pemulihan Islam yang dibawa oleh Sayid Jamaluddin al- afghani dan Syeikh Muhammad
Abduh. Pengaruh yang paling ketara datang dari golongan muda Islam di Timur Tengah terutamanya
Syeikh Mohammad Abduh yang tegas mengajak umat Islam kembali kepada ajaran-ajaran Islam yang
tulen, berpandukan kepada al-Quran dan Hadis tanpa terikat dengan tradisi dan perkara khurafat yang
bertentangan dengan ajaran Islam. Mereka yang terpengaruh dengan gerakan reformis Islam telah
pulang ke tanah air, dan memulakan Gerakan Islah di Tanah Melayu yang dikenali sebagai Kaum Muda.
Antara tokoh-tokoh gerakan islah ini ialah Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin, Syed Syeikh Ahmad
al Hadi, Haji Abbas bin Muhammad Taha dan sebagainya. Kemunculan tokoh-tokoh ini telah
melahirkan satu majalah yang dikenali sebagai al-Imam. Ia merupakan sebuah majalah yang telah
diterbitkan oleh golongan reformis Islam. Peranan yang dimainkan oleh majalah al-Imam adalah sangat
besar dalam memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat Melayu yang beragama Islam
terutamanya dari segi penentangan terhadap penjajah, kritikan terhadap golongan pemimpin dan ulama
serta masyarakat sendiri. Perkara yang lebih penting ialah al- Imam telah menjadi alat bagi
menyebarkan idea-idea golongan reformis bersabit dengan penjajahan Barat terhadap
masyarakat Islam.

2.0

LATAR BELAKANG AL-IMAM

Sebelum membincangkan ideologi al-Imam terhadap penjajahan British berkaitan dengan masyarakat
Islam, adalah lebih baik untuk mengetahui serba sedikit mengenai latar belakangnya. Nama al-Imam ini
diambil sempena dengan gelaran Syeikh Muhammad Abduh iaitu seorang tokoh reformis daripada
Mesir. Ia telah diterbitkan pada 23 Julai 1906 di Singapura.[1] Tokoh utama yang mengasaskan
penerbitan al-Imam ini adalah Syeikh Muhammad Tahir bin Jalaluddin. Beliau turut dibantu oleh
Sayid Syeikh bin Ahmad al-Hadi, Hj. Abbas bin Muhammad Taha, dan Syeikh Muhammad Salim
al-Kalili. Beliau telah mendapat ilham dan pengaruh daripada gerakan islah di Mesir yang dipelopori
oleh Syed Jamaluddin al-Afghani, Syeikh Muhammad Abduh dan Muhammad Rashid Ridha.
Ideologi yang disampaikan oleh ketiga-tiga tokoh itu telah menimbulkan kesedaran kepada beliau bagi
memurnikan semula ajaran agama Islam yang sebenarnya.[2]

Gambar 1: Syed Jamaluddin al-Afghani

Sumber: http://www.ibrahimstudio.blogspot.com/. Diakses pada 1 Oktober 2010.

Al-Imam telah digunakan dalam menyebarkan idea, mendidik dan mengkritik pemimpin dan masyarakat
Islam yang terlalu leka dengan persoalan bidaah, taklid buta serta kelalaian dalam menyempurnakan
tanggungjawab mereka terhadap agama dan bangsa. Intipati yang terdapat dalam majalah tersebut
adalah untuk mengajak umat Islam bagi membuka pintu ijtihad dan meninggalkan taklid buta, kembali
kepada ajaran al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad S.A.W serta menegaskan bahawa Islam
mewajibkan umatnya untuk menuntut ilmu pengetahuan sekaligus membawa ke arah kemajuan. Pada
dasarnya, al-Imam hanya berfokus kepada soal masalah agama. Namun, penerbitannya secara tidak
langsung turut membincangkan unsur-unsur yang berkaitan dengan politik.[3]

Gambar 2: Syeikh Muhammad Abduh

Sumber:http://sabriyunus.blogspot.com/2009/03/syeikh-muhammad-abduh.html. Diakses
pada 1 November 2010.

Setiap terbitan al-Imam sentiasa mempersoalkan tentang faktor kemunduran umat Islam terutama
bangsa Melayu, mengecam sifat-sifat bangsa Melayu yang masih mundur di samping dijajah oleh bangsa
lain, pemalas, berpuas hati dengan diri sendiri dan suka berselisih. Walaupun begitu, penerbitan al-Imam
hanya bertahan sehingga 31 terbitan (1908) disebabkan kehabisan dana.[4] Antara matlamat al-Imam
adalah untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu tentang kemunduran mereka dan menggesa
mereka agar berusaha untuk mencapai kemajuan sosial dan ekonomi. Selain itu, menyeru umat Islam
agar kembali kepada ajaran al-Quran dan hadis.[5]

Gambar 3: Muhammad Rashid Ridha

Sumber: http://tekno-daie.blogspot.com/2010/10/tanzim-gamis-pusat-sesi-20102011.html.
Diakses pada 22 Ogos 2010.

Seterusnya adalah mengingatkan umat Islam agar jangan mencampuradukkan ajaran Islam dengan adat
dan kepercayaan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Umat Islam juga diseru agar merujuk kembali
kepada sejarah Islam dan sejarah negara bagi mendapat pengajaran dan sebagai panduan. Seterusnya
ialah menggesa agar raja dan pembesar menubuhkan persatuan yang bertanggungjawab untuk
meningkatkan pelajaran dan ekonomi orang Melayu. Orang Melayu juga digesa agar melanjutkan
pelajaran ke luar negeri sebagai satu cara mendapatkan ilmu dan menimba pengalaman daripada orang
Barat bagi memajukan bangsa mereka. Tambahan lagi, mereka memperjuangkan bahawa kaum wanita
juga harus diberi hak yang serupa dalam menimba ilmu dan pelajaran sama seperti kaum lelaki.[6]

3.0

TOKOH-TOKOH AL-IMAM

Setelah mengetahui latar belakang mengenai al-Imam, adalah lebih baik untuk mengetahui tokoh-tokoh
yang terlibat di sebalik penerbitannya. Antara tokoh-tokoh tersebut ialah Syeikh Tahir Jalaluddin alAzhari, Haji Abbas Muhammad Taha, Sayid Syeikh al-Hadi dan Syeikh Mohd. Salim al-Khalili.
Kesemua tokoh tersebut merupakan golongan intelektual yang telah terpengaruh dengan gerakan islah
di Mesir.

3.1

SYEIKH TAHIR JALADUDDIN AL-AZHARI

Tokoh intelektual yang pertama dalam penerbitan majalah al-Imam ialah Syeikh Tahir Jalaluddin al Azhari
yang berkelulusan dari Universiti al Azhar, Kaherah, Mesir. Syeikh Tahir telah dilahirkan di kota Tua,
Ampek Angkek, di Tanah Minangkabau, Sumatera Barat pada 7 Disember 1869.[7] Syeikh Tahir
Jalaluddin mempunyai latar belakang keluarga ulama yang kuat semangat perjuangannya menentang
penjajah Belanda.

Datuknya, Syeikh Alamuddin Tuanku Nan Tuo telah mati dipancung oleh Belanda atas tuduhan
menentang pihak penjajah.[8] Pada usia 11 tahun, beliau telah dihantar oleh keluarganya untuk
menuntut ilmu di Makkah selama lebih kurang 12 tahun. Pada tahun 1893 beliau pergi pula ke Kaherah
untuk belajar ilmu falak selama 4 tahun. Beliau telah menggerakkan islah melalui penerbitan al-Imam.
Dari aspek kesedaran politik, beliau mendapat pendidikan dan pengalaman semasa di Kaherah. Di
Makkah, masyarakat dan pemerintahnya masih dipegang oleh Islam tetapi di Kaherah sejak tahun 1882
sudah menjadi tanah jajahan British. Pengalaman inilah yang telah mempengaruhi pemikiran Syeikh
Tahir dalam menerbitkan al-Imam.

Gambar 5: Syeikh Tahir Jalaluddin

Sumber: http://sukosenseistpm2.blogspot.com/. Diakses pada 1 November 2010.

3.2

SAYID SYEIKH AL HADI

Sayid Syeikh Ahmad al-Hadi telah dilahirkan di kampung Hulu, Melaka pada tahun 1867. Beliau telah
dihantar oleh keluarganya untuk menuntut di Kuala Terengganu bagi mendapatkan pendidikan Islam.
Selepas kembali ke Melaka, beliau telah dihantar ke Pulau Penyegat, Riau dan menjadi anak angkat
kepada Raja Ali Kelana Bin Raja Ahmad.[9] Ketika di sana, beliau telah berkenalan dengan tokoh-tokoh
ulama yang secara langsung telah memberi pendedahan awal kepada pergerakan reformis. Beliau telah
melawat Mesir dan Kaherah pada tahun 1903 serta telah memberi peluang kepada beliau merapatkan
diri dengan tokoh-tokoh islah terkemuka termasuk Syeikh Tahir Jalaluddin. Setelah melibatkan diri dalam
perjuangan al-Imam, bakatnya sebagai penulis telah menonjol dan mempunyai pengaruh yang meluas.
Beliau juga mempunyai kelebihan dalam bahasa Melayu yang dapat menyampaikan fikiran yang kritis
dan berkesan sehingga dapat meninggalkan kesan kepada pembacanya.[10]

Gambar: Sayid Syeikh al Hadi

Sumber: http://www.penang-traveltips.com/sheikh-al-hadi-house.htm. Diakses pada 1


November 2010.

3.3

HAJI ABBAS MUHAMMAD TAHA

Pada tahun 1905, seorang lagi tokoh intelek Islam telah kembali ke tanah air iaitu Haji Abbas Muhammad
Taha. Beliau telah dilahirkan di Tanjung Pagar, Singapura. Beliau juga telah dihantar oleh keluarganya ke
Makkah ketika usia remaja. Sebelum bertugas sebagai penolong pengarang al-Imam, beliau merupakan
seorang guru agama dan Imam masjid Tanjung Pagar serta pernah dilantik sebagai Kadi.[11] Kegiatan
dan hasil karyanya adalah sama dengan konsep yang diamalkan oleh Syeikh Tahir Jalaluddin. Akhirnya,
beliau telah diberi kepercayaan untuk menjadi orang kanan dalam mengendalikan al-Imam ketika
berusia 21 tahun.

3.4

SYEIKH MOHD. SALIM AL KHALILI

Syeikh Mohd Salim al-Khalili merupakan tokoh perniagaan yang telah memainkan peranan yang penting
dalam pengasasan dan pelancaran penerbitan al-Imam terutama dari segi kewangan. Latar belakang
beliau tidak diketahui dengan jelas namun sumbangan yang dilakukan oleh beliau sangat penting dalam
penerbitan al-Imam. Semasa al-Imam diterbitkan, beliau dirakamkan sebagai penerbit dan pemiliknya
oleh Straits Settlements Government Gazetes.[12] Menurut Muhammad Datuk Muda Linggi, Syeikh Mohd
Salim merupakan mudir pertama al-Imam, dan diikuti oleh Syeikh Tahir, Syeikh al Hadi, dan Haji Abbas.

4.0

IDEA AL-IMAM BERSABIT PENJAJAHAN BARAT KE ATAS MASYARAKAT ISLAM

Terdapat 5 idea yang dibincangkan dalam al-Imam bersabit dengan penjajahan Barat terhadap
masyarakat al-Imam. Ia terdiri daripada idea menentang penjajahan, menimba ilmu pengetahuan
daripada penjajah, teguran ke atas pemimpin Melayu, golongan agama dan masyarakat Islam.

4.1

MENENTANG PENJAJAHAN BARAT

Pihak British telah menerapkan sistem sekularisme ke atas sistem pentadbiran, ekonomi dan
sosial Tanah Melayu. Dalam sistem pentadbiran, unsur yang melibatkan agama telah diasingkan sama
sekali. Penasihat dan residan yang dilantik oleh penjajah bagi menasihati pemerintah dalam bidang
pentadbiran telah bertindak mengasingkan unsur agama dalam pemerintahan. Walaupun mereka
diberikan peranan bagi menasihati pemerintah, namun secara realitinya mereka menguasai tampuk
pemerintahan. Pemerintah hanya sebagai boneka dan hanya mempunyai kuasa ke atas hal yang
berkaitan dengan agama Islam dan adat. Kehidupan rakyat semakin mundur dan kekayaan ekonomi
hanya dinikmati oleh penjajah.[13]

Penerapan sistem sekularisme terutama ke atas pendidikan telah menimbulkan perasaan bimbang
dalam kalangan reformis terutamanya Syeikh Tahir Jalaluddin al Azhari. Beliau bimbang penularan
fahaman tersebut akan mempengaruhi anak-anak yang belum memahami hakikat ajaran Islam yang
sebenarnya. Ia seterusnya membawa kepada perasaan tidak puas hati dan seterusnya menggunakan alImam untuk menyampaikan ideologi mereka. Rencana yang disampaikan menerusi al-Imam jelas
menunjukkan keradikalan mereka.[14]

Selain itu, al-Imam telah menggunakan isu-isu yang berlaku ketika itu bagi memberikan kesedaran
kepada masyarakat. Antaranya ialah isu berkaitan dengan:

4.1.1

AMALAN ATAU DASAR APARTEID

Al-Imam telah mengambil kesempatan menggunakan isu amalan atau dasar aparteid bagi
membangkitkan kesedaran masyarakat tempatan supaya tidak terlalu ghairah untuk menjadi orang
bawahan imperialis. Menerusi artikel yang bertajuk Amerika dan Jepun , al-Imam telah mengkritik
pihak kerajaan tempatan di San Francisco yang telah menahan kanak-kanak Jepun daripada bersekolah
di San Francisco dan California. Bagi masyarakat Amerika, mereka tidak bersetuju anak-anak bangsa
Jepun bersekolah bersama-sama dengan anak mereka. Di samping itu diskriminasi ke atas bangsa Afrika
iaitu orang kulit hitam turut dilakukan. Mereka telah mengasingkan bangsa tersebut disebabkan tidak
setaraf dengan diri mereka. Dasar aparteid ini boleh dibuktikan dengan jelas apabila bangsa Afrika telah

diberikan lorong khas hanya boleh digunakan oleh kenderaan dan binatang sebagai laluan mereka
sahaja. Orang Amerika tidak akan menggunakan jalan tersebut kerana bangga dengan bangsa mereka.
[15] Menerusi isu ini, ia telah menarik minat orang Melayu untuk berfikir tentangnya dan mengaitkannya
dengan situasi yang mereka hadapi ketika itu. Seterusnya, ia telah membawa kepada kebangkitan untuk
menentang penjajah.

4.1.2

PENINDASAN PIHAK BELANDA

Al-Imam telah mengkritik tindakan Belanda yang menghina orang Jawa. Penghinaan yang
dilakukan tersebut berhubungkait dengan kebudayaan dan adat resam orang Jawa. Sebagai contoh,
penjajah Belanda telah mengarahkan orang Jawa duduk di atas tanah manakala mereka duduk di kerusi
dalam majlis-majlis. Selain itu, penindasan berkaitan cukai juga ke atas orang Indonesia juga telah
disebarkan oleh Straits Times dikatakan oleh al Imam bahawa orang Indonesia tidak dapat lari
dari tekanan orang Belanda. Tindakan Belanda ini telah mendapat kritikan oleh al-Imam kerana ia
dengan jelas menunjukkan diskriminasi penjajah terhadap penduduk Indonesia yang majoritinya
beragama Islam.[16] Penindasan yang dilakukan ini telah menyedarkan masyarakat Melayu bahawa
penjajah bukanlah berusaha untuk membangunkan mereka, tetapi sebenarnya mendiskriminasi diri
mereka. Kesannya, ia telah menimbulkan bibit-bibit nasionalisme bagi bangkit menentang
penjajah.

4.1.3

PRO-JEPUN

Dalam menjatuhkan penjajahan Barat, al-Imam telah bertindak dalam menyebarkan berita mengenai
perkembangan politik dunia Timur. Kekalahan Rusia terhadap Jepun telah dijadikan satu harapan
kepada bangsa-bangsa di Asia Barat dan juga Timur untuk berhadapan dengan kolonialisme
dan imperialisme Barat. Al-Imam telah menyeru agar negara-negara Asia mencontohi Jepun
yang mampu berdiri sendiri dan berjaya mengalahkan penjajah Barat menerusi artikel
Islam dan Jepun. Al-Imam telah memainkan peranannya dalam menjadikan Jepun sebagai kuasa
yang mampu membimbing negara-negara Asia dan menjadikan kuasa Eropah sebagai musuh.[17] Ia
juga telah menimbulkan kesedaran dalam masyarakat Islam di Asia Tenggara bahawa mereka juga
mampu mengalahkan kuasa penjajah.

4.1.4

KEBANGKITAN TURKI

Al-Imam sentiasa menyiarkan berita-berita tentang Turki bagi membersihkan maruahnya daripada
dicemari oleh musuh-musuhnya. Kempen memburukkan kerajaan Turki oleh kuasa-kuasa Eropah
khususnya Rusia telah menyebabkan al-Imam berasa bertanggungjawab untuk mempertahankan Turki.
Bagi memulihkan maruah Turki dan membuktikan kemampuannya, al-Imam telah menunjukkan
kemajuan pendidikan, telegraf, kereta api dan kekuatan angkatan perang.[18] Menerusi isu yang
diutarakan oleh al-Imam ini, ia telah membangkitkan semangat orang Islam bahawa mereka
bukannya bangsa yang lemah dan mampu untuk mengalahkan pihak penjajah. Ia seterusnya
membawa kepada kesedaran nasionalisme sekaligus membawa kepada reaksi penentangan
ke atas penjajah.

5.0

MENIMBA ILMU PENGETAHUAN DARIPADA PENJAJAH BRITISH

Walaupun menentang penjajahan British, namun golongan reformis melalui al-Imam turut
menyarankan agar masyarakat Islam menimba ilmu pengetahuan daripada Barat. Tujuannya
adalah untuk memastikan masyarakat Islam khususnya Melayu agar tidak berterusan mundur. Selain itu,
untuk mengurangkan kadar buta huruf masyarakat Islam dan meningkatkan bilangan masyarakat yang
boleh membaca dan menulis. Ini jelas diperlihatkan menerusi matlamat al-Imam itu sendiri iaitu
menggesa orang Melayu agar melanjutkan pelajaran ke luar negeri sebagai satu cara untuk
mendapatkan ilmu dan menimba pengalaman daripada orang Barat dalam memajukan bangsa Melayu
itu sendiri. Menurut Syeikh Tahir Jalaluddin, cara untuk mengatasi kelemahan orang Melayu
adalah dengan meningkatkan lagi ilmu pengetahuan mereka. Beliau bersetuju dengan pendapat
Muhammad Abduh yang menyatakan bahawa perubahan harus dilakukan dari dalam masyarakat
terlebih dahulu sebelum melakukannya kepada keseluruhan struktur masyarakat.[19] Oleh itu,
pendidikan merupakan medium utama yang patut dituntut oleh umat Islam agar dapat berdiri setanding
dengan bangsa lain.

6.0

TEGURAN TERHADAP PEMIMPIN MELAYU

Al-Imam telah bertindak menyedarkan pemimpin Melayu terutama Raja-raja Melayu tentang
tanggungjawab mereka sebagai pemerintah. Mereka diingatkan supaya mengutamakan
kepentingan rakyat lebih daripada orang asing. Di samping itu, pemerintah juga harus mendalami
pentadbiran tanpa terlalu bergantung kepada pegawai-pegawai kerajaan sahaja. Selain itu, harus
bersikap adil, amanah, dan menjaga kebajikan rakyatnya serta tidak harus mengambil kesempatan
terhadap rakyat dan menyelewengkan arahan-arahan kerajaan. Namun, terdapat juga pemimpin Melayu
yang mengamalkan rasuah yang menyebabkan terhapusnya nilai kemanusiaan terhadap golongan
rakyat.[20]

Sifat tamak menyebabkan pendapatan negara tidak sampai kepada perbendaharaan negara dan
akibatnya negara menjadi huru-hara serta dengan mudah dijajah oleh kuasa-kuasa Barat. Walaupun
memberi teguran terhadap pemimpin Melayu, namun majalah al-Imam turut mengangkat sebilangan
kecil daripada pemimpin tersebut. Sebagai contoh, Johor telah mendapat pujian daripada al-Imam kerana
pemerintahnya iaitu Sultan Abu Bakar telah berjaya memajukan negerinya. Al-Imam juga mengatakan
bahawa peranan British bukan satu-satunya punca kemajuan sesebuah negeri. Hal ini kerana orang
tempatan atau orang Melayu juga mampu memainkan peranan tersebut. Orang tempatan mempunyai
kebijaksanaan dan kelebihan tersendiri dan hanya memerlukan pendidikan yang sempurna. Al-Imam
telah menanamkan bibit-bibit kebencian kepada penjajah agar masyarakat setempat sedar dengan
perbuatan mereka dan kemampuan sendiri.[21]

7.0

TEGURAN TERHADAP GOLONGAN ULAMA

Sejak keluaran al-Imam yang pertama, ia telah mengingatkan golongan ulama tentang
tanggungjawab mereka terhadap masyarakat Islam. Ulama perlu membawa masyarakat agar
cenderung kepada pengislahan pendidikan yang lebih meluas fungsinya. Al-Imam juga menekankan
bahawa golongan ulama perlu menggunakan pengaruh mereka untuk memperbaiki
kepincangan masyarakat ekoran daripada tindakan-tindakan yang dilakukan dalam
pemerintahan negeri yang menyalahi agama Islam. Di samping itu, al-Imam juga telah
mengingatkan golongan ulama agar memperbetulkan diri mereka kerana kelalaian pada masa
lepas telah menjadi sebahagian daripada faktor jatuhnya umat Islam.

Disebabkan ini bangsa asing dengan mudah menjajah masyarakat Islam. Seterusnya, al-Imam juga telah
mengkritik ulama yang cenderung pada harta dan berpura-pura warak tetapi tidak bertindak
ke atas masalah sosial yang berlaku. Tambahan lagi, al-Imam telah menentang golongan
tarekat yang menjadikan pelajarnya taksub kepada ketuanya. Al-Imam turut mempersoalkan
kesahihan ilmu yang disebarkan oleh golongan tarekat dan amalan terekat di sisi Islam serta
membuktikan bahawa pengetahuan yang mereka gunakan tidak berkesan bagi menentang penjajahan.
Untuk menentang penjajah, umat Islam perlu mendapat pendidikan yang tinggi agar dapat berdiri sendiri
dan tidak mudah dijajah.[22] Ideologi yang disampaikan menerusi al-Imam ini telah memberi kesedaran
kepada masyarakat agar tidak terlalu taksub dengan tarekat dan sekaligus bangkit menentang penjajah.
8.0

TEGURAN TERHADAP MASYARAKAT ISLAM

Menerusi al-Imam, usaha untuk memecahkan benteng kekolotan di kalangan masyarakat Islam dan
membawa ke arah kemajuan dalam segala bidang menurut prinsip Islam telah diterapkan.[23] Rata-rata
masyarakat Islam pada ketika itu terlalu berserah kepada takdir kerana taksub dengan konsep
Qada dan Qadar. Ini menyebabkan mereka tidak ingin berusaha untuk menentang penjajah dan
membiarkan mereka terus dijajah.[24] Menurut Syeikh Tahir Jalaluddin, beliau menyatakan
bahawa kejayaan manusia di dunia berpunca daripada usaha dan ikhtiarnya. Ia tidak
mempunyai kaitan dengan Qada dan Qadar. Seseorang itu tidak seharusnya menyerah secara pasif
dengan apa yang menimpa mereka dan menganggapnya sebagai kudrat Tuhan semata-mata. Maksud
Qada dan Qadar sebenarnya ialah segala perkara yang berlaku dalam dunia ini sebenarnya berlaku atas
faktor sebab dan akibat. Tuhan hanya menjadi tenaga penggeraknya sahaja dalam perkara tersebut.

[25] Al-Imam telah digunakan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat agar tidak berserah kepada
takdir semata-mata. Menerusi usaha yang bersungguh-sungguh dan menerapkan unsur agama Islam
yang sebenar dalam kehidupan, sudah pasti masyarakat Islam akan maju ke hadapan.

PENILAIAN

Berdasarkan kepada idea-idea al-Imam bersabit dengan penjajahan Barat terhadap masyarakat Islam,
dapat dinilai bahawa peranan yang dimainkan oleh majalah al-Imam adalah begitu meluas merangkumi
pelbagai aspek. Walaupun majalah al-Imam dilihat berunsurkan politik dan agama, namun ia sebenarnya
mempunyai matlamat tersendiri bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat Islam.
Kemunculan tokoh-tokoh reformis seperti Syeikh Tahir Jalaluddin, Sayid Syeikh al-Hadi, Haji Abbas
Muhammad Taha dan Syeikh Mohd Salim al Khalili dalam menerbitkan majalah al-Imam harus dipuji.
Perjuangan mereka dalam memberi kesedaran kepada masyarakat Islam telah membuka minda dan
pemikiran rakyat untuk bangkit menentang penjajahan dan tidak hanya menerima Qada dan Qadar
semata-mata tanpa usaha.

Ideologi-ideologi al-Imam yang cenderung mengkritik dasar penjajah barat, kritikan dan teguran kepada
golongan pemerintah serta golongan ulama juga dilihat telah menyebabkan rakyat mula menyedari
perlunya perubahan dalam diri setiap individu untuk memperjuangkan hak dan kepentingan mereka.
Teguran terhadap pemimpin dan ulama pula adalah bertujuan memperbaiki kelemahan dan kesilapan
mereka agar lebih bersikap amanah, telus dan bertanggungjawab dalam mentadbir dan menjadi contoh
kepada rakyat.

Selain itu, al-Imam juga dilihat bukan sahaja mengkritik dan mengutuk dasar penjajah tetapi telah
menggunakan peluang yang sedia ada dalam meningkatkan pendidikan dan kemajuan
masyarakat di Tanah Melayu. Al-Imam telah menggalakkan masyarakat Islam menimba ilmu
pengetahuan daripada Barat. Orang Melayu telah digalakkan untuk melanjutkan pelajaran ke luar
negeri dan menimba ilmu dan pengalaman Barat bagi memajukan bangsa mereka. Tambahan pula, alImam bukan sebuah majalah yang hanya untuk dibaca oleh masyarakat setempat. Pengisian atau
kandungan yang terdapat dalam majalah ini boleh membuatkan pembacanya sedar akan semangat
nasionalisme bagi mempertahankan tanah airnya dari terus dijajah dan sikap segelintir pemimpin yang
tidak bertanggungjawab perlu diperbaiki dan disedarkan.

PENUTUP

Secara keseluruhannya, dapat disimpulkan bahawa gerakan Islah di Timur Tengah telah melahirkan
golongan reformis Islam di Tanah Melayu. Golongan ini yang dikenali sebagai kaum Muda telah
memainkan peranan yang penting dalam membangkitkan semangat nasionalisme bermula dengan
memupuk kesedaran dalam diri masyarakat melalui penerbitan majalah seperti al-Imam. Majalah alImam merupakan sebuah majalah yang berunsurkan politik dan agama Islam. Ia adalah berbeza sama
sekali dengan majalah-majalah lain. Al-Imam telah memberikan sumbangan yang besar dalam
mencetuskan kesedaran pemikiran dalam kalangan masyarakat Islam. Idea-idea yang terdapat di
dalamnya telah memberikan kesedaran nasionalisme bagi membangkitkan penentangan terhadap
penjajah. Walaupun pengeluarannya hanya sehingga 31 terbitan dan terhenti pada tahun 1908, namun
impak daripadanya terus menular dan tidak terkubur begitu sahaja. Perjuangan dalam memberi
kesedaran kepada masyarakat telah diteruskan oleh Haji Abbas Mohammad Taha dan ini dapat
dibuktikan menerusi penerbitan majalah Neracha dan Tunas Melayu sehinggalah kepada penerbitan
akhbar Utusan Melayu. Penerbitan al-Imam telah meninggalkan kesan yang besar ke atas orang Melayu.
Gagasan islah yang diperjuangkan oleh majalah ini disambut oleh orang Melayu. Menerusinya, mereka
telah menyedari bahawa kelemahan yang mereka hadapi terjadi disebabkan kegagalan mereka dalam
memahami dan mengamalkan ajaran Islam dalam erti kata yang sebenarnya. Melalui kesedaran yang
ditanam dan dalam usaha menyebarkan kesedaran ini, pendukung islah telah mengambil inisiatif
menerbitkan akhbar yang berunsur islah. Oleh itu, peranan yang dimainkan oleh al-Imam sangat besar
dalam membetulkan akidah umat Islam di samping menentang penjajahan.

Vous aimerez peut-être aussi