Vous êtes sur la page 1sur 10

1.

1 Pengenalan
Dalam kurikulum KBSR, kaedah pengajaran yang memusatkan pelajar, bahan dan
pengajaran dan pembelajaran berasaskan aktiviti telah menjadi fokus utama dalam
pengajaran dan pembelajaran Matematik di sekolah rendah sejak ia dilaksanakan dalam
tahun 1982. Dengan perubahan ini, kurikulum latihan perguruan di maktab-maktab
perguruan telah diubahsuai untuk melatih guru-guru yang bukan sahaja mempunyai
pengetahuan isi kandungan yang tinggi malah dapat menguasai kemahiran pedagogi
dalam melaksanakan pengajaran yang memusatkan bahan, pelajar dan aktiviti. Persoalan
yang sering ditanya ialah : Sejauh manakah kaedah pengajaran dan pembelajaran yang
didedahkan kepada guru pelatih semasa dia di Institut Perguruan dapat dipraktikkan di
sekolah ? Adakah amalan guru dalam pengajaran pembelajaran di bilik darjah
dipengaruhi oleh faktor-faktor lain seperti kelengkapan sumber dan bahan pengajaran,
saiz kelas dan faktor masa ?
Dalam beberapa tahun yang akan datang, semua sekolah di negara kita akan
mengalami proses pembestarian. Sekolah-sekolah bestari ini akan dilengkapi dengan
pelbagai sumber pelajaran dan bahan bantu mengajar yang merangkumi pelbagai media.
Oleh itu, guru-guru di sekolah harus menguasai kemahiran memilih dan
mengoptimumkan penggunaannya untuk mencapai dengan jayanya objektif pelajaran
yang telah dirancang. Guru-guru perlu bersedia menghadapi cabaran-cabaran dan
perubahan-perubahan yang dijangkakan dari segi amalan pengurusan pembelajaran di
bilik darjah khususnya dalam menguasai kemahiran menggunakan bahan bantu mengajar
dengan berkesan dan juga perubahan cara berfikir tentang kepentingan dan peranan
bahan-bahan dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik.
Sekarang Kurikulum KSSR yang telah dilaksanakan di semua Sekolah Rendah di
Malaysia mengalami transformasi yang sangat besar dari segi kurikulum dan mata
pelajaran yang diwujudkan. Lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan Gelombang Kedua
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang menuntut guru untuk melaksanakan
strategi pengajaran Abad ke-21, cabaran untuk semua guru di Malaysia sangat hebat
kerana mereka perlu lebih kreatif dalam merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran
bagi memenuhi kehendak murid generasi masa kini. Para guru tidak boleh lagi
menggunakan amalan yang biasa mereka gunakan dalam persediaan untuk
mempertingkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran dalam apa jua mata pelajaran
lebih-lebih lagi Matematik.

1.2 Kritikan Terhadap Artikel Berkaitan Pengajaran Dan Pembelajaran Tentang Wang
Lai Kim Leong, Khaw Ah Hong & Seah Ai Kuan dalam penulisan mereka yang
bertajuk Satu Kajian Mengenai Penggunaan Bahan Bantu Mengajar Dalam Pengajaran
Pembelajaran Matematik di Sekolah Rendah telah membuat kajian untuk meninjau
mengenai penggunaan bahan bantu mengajar dalam pengajaran pembelajaran Matematik
di sekolah rendah. Lapan puluh empat guru dari empat puluh dua sekolah rendah (dua
orang guru setiap sekolah) telah dipilih untuk mengambil bahagian dalam kajian ini. Data
kajian ini dikumpul dengan menggunakan borang soal selidik untuk mengetahui jenis
bahan bantu mengajar yang ada di sekolah, persepsi responden terhadap kepentingan dan
peranan bahan bantu mengajar dalam pengajaran dan pembelajaran matematik serta
kekerapan mereka menggunakan bahan bantu mengajar tertentu dalam pengajarannya.
Dapatan kajian telah menunjukkan bahawa secara purata, sekolah -sekolah
mempunyai dua pertiga daripada dua puluh tujuh jenis bahan bantu mengajar yang
dinyatakan. Lebih daripada 95 % responden berpendapat bahawa penggunaan bahan
bantu mengajar amat penting untuk meningkatkan minat, perasaan ingin tahu dan
kefahaman murid terhadap konsep -konsep matematik yang akan di ajarnya. Dari segi
kekerapan menggunakan bahan bantu mengajar, sebilangan besar responden selalu
menggunakan bahan bantu mengajar yang dinyatakan dalam pengajaran topik terpilih.
Kekerapan menggunakan bahan audio visual dan komputer dalam pengajaran dan
pembelajaran matematik amat rendah iaitu lebih daripada 64 % responden langsung tidak
menggunakannya dalam pengajaran di bilik darjah.
Peratusan responden yang kadang - kadang sahaja menggunakan bahan bantu
mengajar yang dinyatakan dalam pengajar topik wang (57.1%), perpuluhan(46.4 %),
timbangan berat(40.5 %), isipadu cecair (46.4 %), ruang (39.3 %), kad imbasan( 45.2%)
serta permainan (53.6 %) untuk aktiviti pengukuhan dan penilaian agak tinggi. Data juga
menunjukkan peratusan yang lebih tinggi jika bahan bantu mengajar digunakan untuk
menjalankan aktiviti di bilik darjah, misalnya penggunaan wang palsu untuk aktiviti jual
beli, aktiviti sukat menyukat dengan menggunakan bikar/silinder dan lain-lain.
Kajian ini menunjukkan pada kebiasaannya guru tidak hanya menggunakan
kaedah penerangan sahaja ketika mengajar berkaitan tajuk wang walaupun dalam situasi
seharian murid pada kebiasaannya tidak boleh lari dari menggunakan wang dalam aktiviti
harian mereka. Guru juga tidak boleh mengambil mudah terutamanya apabila mengajar
murid di peringkat sekolah rendah. Salah konsep penerimaan berkaitan operasi yang
melibatkan wang akan memberi impak yang sangat tinggi kepada murid bukan sahaja
ketika belajar di dalam kelas malahan dalam situasi seharian mereka. Dapat dilihat dalam
kajian ini para guru menggunakan berbagai-bagai bahan bantu mengajar untuk mengajar
tajuk ini agar murid dapat memahami tajuk ini dengan lebih berkesan.
Fatimah Salleh dalam penulisan beliau bertajuk Strategi bagi Membantu Murid
Sekolah Rendah Menguasai Matematik telah membuat kajian berkaitan Pengukuhan
konsep-konsep asas matematik harus dibuat di peringkat awal persekolahan. Masalah
timbul apabila guru mengajar matematik kepada murid prasekolah secara hafalan atau
menggunakan kertas dan pensel, tanpa merujuk kepada bahan-bahan manipulatif atau
permainan yang boleh membekalkan pengalaman sebenar kepada murid. Kadang-kadang
istilah tertentu yang digunakan juga tidak memberi makna kepada murid dan menjadikan
pembelajaran kurang berkesan. Contohnya dalam konsep numerasi yang sering kali
membawa kepada masalah penggunaan wang dalam kehidupan sehariannya.
Beliau lebih menggunakan kaedah pendekatan pembelajaran yang
menyeronokkan dan menggembirakan. Pengajaran yang menggembirakan akan
mengambil kira sikap murid yang biasanya kurang berminat dan bimbang terhadap mata
pelajaran Matematik, pembelajaran peringkat asas harus dapat menarik minat dan
menyumbang kepada keupayaan murid membina ilmu matematik. Pengajaran konsep-
konsep asas Matematik lebih menarik perhatian murid apabila diintegrasikan dalam
aktiviti seperti permainan. Dienes (1960) mengemukakan beberapa prinsip pembelajaran
Matematik; antaranya, permainan adalah aktiviti formal bagi kanak-kanak. Melompat ke
belakang sambil mengira secara menurun akan membekalkan idea penting dalam operasi
tolak di samping latihan fizikal untuk perkembangan motor kasar kanak-kanak. Begitu
juga dengan permainan tangga ular, congkak, batu seremban, permainan garis nombor
dan domino. Banyak lagi permainan yang popular dalam budaya pelbagai masyarakat di
Malaysia ini boleh dimanfaatkan di samping permainan lain dalam pasaran yang direka
cipta khusus untuk membantu pembelajaran Matematik seperti Maths Scrabble dan
domino. Permainan yang dirancang oleh guru boleh diselaraskan dengan konsep-konsep
asas matematik supaya wujud pengukuhan idea tentang aspek abstrak dalam
pembelajaran Matematik. Pengalaman yang menggembirakan murid akan kekal lebih
lama dalam ingatan mereka dan membantu mereka dalam proses pembelajaran.
Pendekatan konkrit kepada abstrak: Bagi murid yang masih menghadapi masalah
pembelajaran Matematik hingga ke peringkat menengah, aktiviti bagi mereka haruslah
sesuai dengan peringkat pembelajaran menengah. Walaupun perkembangan intelek
mereka sepatutnya berada pada peringkat formal iaitu 12 tahun ke atas, ramai lagi yang
masih memerlukan konteks atau idea yang konkrit dalam memahami unsur-unsur abstrak
Matematik lebih-lebih lagi dalam penggunaan wang yang sering kali mereka lakukan
dalam situasi seharian.
Choy Sau Kam, Khaw Ah Hong dan Lai Kim Leong dalam kajiannya yang
bertajuk Satu Kajian Kes Tentang Jenis dan Kekerapan Penggunaan Kaedah Pengajaran
dan Pembelajaran Matematik oleh Guru Pelatih KDPM Semester Empat (Ambilan Julai
1999) telah menulis berkaitan jenis kaedah pengajaran dan pembelajaran serta
kekerapannya yang telah digunakan oleh guru pelatih MPBL dalam proses pengajaran
dan pembelajaran matematik semasa menjalankan Praktikum Fasa I di sekolah rendah
masing-masing. Peserta Kajian adalah terdiri daripada lima orang guru pelatih KDPM
Pengkhususan matematik Semester IV (Ambilan Julai 1999) yang telah tamat
melaksanakan Praktikum Fasa I. Kajian ini mengumpul data dengan memeriksa rekod
dalam Buku Rancangan Mengajar. Kekerapan atau frekuensi sesuatu kaedah
dikumpulkan daripada Buku Rancangan Mengajar.
Temuduga berpandukan soalan berstruktur juga diadakan dengan lima orang
peserta yang terpilih di mana penekanan diberi kepada bahagian data yang merupakan
penjelasan pelajaran tentang mengapa peserta kajian lebih cenderung menggunakan
kaedah eksposisi dalam pengajaran dan pembelajaran matematik. Analisis data hasil
daripada Buku Rancangan Mengajar menunjukkan lebih kurang 98 % Rancangan
Mengajar ditulis adalah dirancangkan menggunakan kaedah eksposisi.
Analisis data hasil daripada Buku Rancangan Mengajar menunjukkan 49 daripada
50 Rancangan Mengajar ditulis adalah dirancangkan menggunakan kaedah eksposisi.
Hanya satu rancangan mengajar ditulis dengan menggunakan kaedah induktif sahaja.
Melalui Dokumen Temubual (DT) kelima-lima peserta kajian mengakui bahawa mereka
lebih cenderung menggunakan kaedah ekposisi dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Matematik di sekolah rendah semasa Praktikum I. Hasil kajian ini telah menunjukkan
kelima-lima peserta berpendapat bahawa Kaedah Eksposisi membolehkan guru
menyampaikan isi pelajaran dengan cepat dan teratur, menjimat masa, objektif pelajaran
dapat dicapai dalam masa yang singkat. Kaedah Eksposisi juga mudah untuk
dilaksanakan selain amat bersesuaian dengan topik dan kemahiran yang diajar pada masa
itu
Empat peserta mengatakan saiz kelas yang agak besar, kesempitan kelas tidak
membenarkan mereka mengadakan kaedah lain yang merupakan kumpulan aktiviti.
Kaedah ini juga membolehkan mereka mengawal kelas dengan mudah. Tiga peserta
berpendapat bahawa murid-murid dapat memahami pengajaran dengan mudah dan murid
sukar memahami kaedah pengajaran dan pembelajaran Matematik yang lain kerana tahap
pengetahuan murid rendah. Seorang peserta mengatakan bahawa guru pembimbing
gunakan kaedah eksposisi dan murid-murid sudah biasa dengan cara mengajar ini. Dia
terpaksa mengikut bimbingan guru pembimbing. Seorang peserta mengatakan bahawa dia
perlu mengajar dengan memberi tunjuk ajar dengan contoh-contoh dan penerangan
(algoritma pengiraan) membolehkan murid-murid menyelesaikan masalah yang terdapat
dalam buku aktiviti atau latihan-latihan yang diberikan dalam lembaran kerja.
Secara keseluruhan, penyelidik-penyelidik kajian berpendapat guru-guru pelatih
dalam kajian ini kurang pengalaman dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di
kelas. Ini mungkin adalah kerana segala teori mengenai perkembangan dan pertumbuhan
kanak-kanak yang dipelajari dalam kelas psikologi pendidikan tidak dapat memberi
mereka kemahiran yang mencukupi tentang bagaimana hendak mengawal sebuah kelas
yang aktif lagi nakal. Buat pertama kali dalam kehidupan mereka sebagai guru pelatih,
mereka mahu mencuba beberapa kaedah pengajaran yang berpusatkan murid, tetapi
mereka berhadapan dengan masalah mententeramkan dan memotivasikan kelas yang
terdiri daripada 40 orang murid atau lebih.
Penyelidik-penyelidik kajian berpendapat guru-guru pelatih dalam kajian ini lebih
minat teknik demonstrasi-latihan iaitu guru menyelesaikan soalan-soalan contoh dan
kemudian murid membuat latihan berpandukan contoh yang telah diberi. Aktiviti
pengajaran lebih tertumpu kepada asuhan penguasaan kemahiran melalui beberapa siri
latih tubi, tanpa melibatkan kefahaman konsep yang jelas dan bermakna. Mereka lebih
suka melatih murid-murid menguasai kemahiran khusus dan mengingati fakta-fakta.
Justeru itu, mereka lebih memastikan murid-murid menghasilkan jawapan yang betul
bagi soalan dalam buku teks, lembaran atau buku aktiviti matematik. Peserta kajian
berpendapat bahawa kaedah eksposisi amat sesuai digunakan untuk mengajar konsep and
kemahiran dalam peringkat perkembangan atau membuat penerangan tentang sesuatu
peraturan sebelum melakukan aktiviti kumpulan.
Masa pengajaran dapat dijimatkan dan pengendalian aktiviti akan lebih kemas dan
teratur. Didapati juga penggunaan alat bantu mengajar adalah terhad kepada kad manila
dan abacus atau dekak-dekak. Mungkin amalan pengajaran seperti tidak ada keperluan
mendesak kepada alat bantu mengajar. Keperluan hanyalah terhad kepada pensel atau pen
dan kertas sahaja. Tidak hairanlah pelajaran matematik menjemukan, membosankan dan
menyebabkan ramai murid benci kepada Matematik.
Pada pendapat saya kaedah ini adalah amat tidak sesuai jika digunakan ketika
guru baru mula memperkenalkan tajuk wang kepada murid yang berada di Tahap 1
kerana sudah pasti mereka tidak dapat memahami dengan lebih baik. Murid-murid pada
tahap ini akan lebih sesuai menggunakan benda maujud sebagai bahan bantu dalam sesi
pembelajaran mereka. Sekiranya murid telah memahami konsep wang dengan jelas pada
Tahap 1 maka kaedah ini akan lebih sesuai digunakan di peringkat pengajaran dan
pembelajaran mereka ketika berada di Tahap 2. Ini kerana konsep yang lebih tinggi
berkaitan wang diperlukan oleh murid di Tahap 2 dan selari dengan teknik penyoalan
guru yang lebih bercirikan soalan KBAT.

1.3 Cadangan Untuk Mempertingkatkan Strategi Pengajaran Dalam Tajuk Wang


Bagi mempertingkatkan strategi pertama yang saya pilih untuk pengajaran dalam
tajuk wang ini saya mencadangkan kaedah permainan digunakan bagi menarik minat
murid. Permainan menjadi satu keperluan semula jadi bagi kanak-kanak. Situasi
bermain boleh digunakan dalam pengajaran guru di bilik darjah untuk mencapai
objektif- objektif pendidikan. Permainan adalah satu cara bagi melatih pelajar memperoleh
sesuatu maklumat berdasarkan pada mesej yang tersirat di sebalik permainan yang
dijalankan. Kaedah bermain sesuai untuk pendidikan pra sekolah dan sekolah rendah. Kaedah
ini boleh digunakan dalam pengajaran Matematik terutamanya bagi tajuk wang. Ia dapat
menjadikan pengajaran di sekolah menjadi menarik dan praktikal. Guru boleh
menggunakan permainan Sayidina dalam bilik darjah bagi mengajar murid untuk
berurusan secara langsung dalam bidang perniagaan dan mempelajari kaedah
menjimatkan wang. Di samping belajar murid dapat merasai secara langsung perasaan
memperoleh keuntungan dan kerugian dalam hidup mereka.
Permainan merupakan satu cara melatih murid sebagai seorang manusia dan
merupakan satu teknik yang baik untuk menjadikan pengajaran di sekolah lebih menarik
dan praktis. Kanak-kanak akan memperoleh pembelajaran yang paling berkesan
sekiranya mereka mempelajari sesuatu sesuai dengan minat, tujuan dan tahap mereka.
Kaedah permainan bukan sahaja dapat menghiburkan hati pelajar malah turut membantu
mereka bagi menguasai pemahaman berkaitan sesuatu pengajaran yang disampaikan oleh
guru. Seiring dengan perkembangan penilaian dan pentaksiran peperiksaan masa kini,
kaedah ini dapat menggabung jalin Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam
kaedah pembelajaran seharian murid. Ini akan lebih memudahkan mereka menjawab
soalan berbentuk KBAT dengan lebih mudah tanpa rasa takut dan gentar.
Antara ciri-ciri penting yang menjadikan kaedah ini menarik ialah:
1. Ada berbagai-bagai jenis permainan dalam pengajaran pembelajaran seperti
permainan berbentuk manipulatif, fizikal dan permainan bahasa.
2. Permainan manipulatif yang digunakan adalah termasuk teka-teki, sifir dan
sebagainya.
3. Permainan fizikal dalam pergerakan, koordinasi, kecekapan dan kemahiran fizikal.
4. Mengandungi unsur bermain dengan menggunakan bahan-bahan yang maujud dan
daya kreativiti pelajar yang dimiliki murid dapat mewujudkan suasana belajar yang
menyeronokkan dan bermakna.

Prinsip-prinsip dalam kaedah permainan juga sangat penting untuk diberi


penekanan oleh guru bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat
dilaksanakan dengan lebih berkesan. Guru hendaklah menentukan tujuan, objektif dan
permainan yang hendak dimainkan. Mereka juga mestilah membimbing, memberi
panduan dan bantuan dalam menyelesaikan masalah dalam permainan. Namun
demikian, perlu diingat oleh para guru, permainan yang dipilih hendaklah bersesuaian
dengan tahap perkembangan minda dan fizikal murid. Guru hendaklah mengambil kira
keselamatan murid jika sekiranya permainan atau alatan yang digunakan dalam
permainan itu mungkin mengakibatkan kemalangan.
Kelebihan menggunakan kaedah permainan ini ialah murid-murid tidak berasa
bosan bahkan mendapat pengalaman baru yang lebih menyeronokkan. Ia juga dapat
melatih murid-murid berinteraksi dengan bebas sesama mereka. Guru dapat mengenal
dengan mudah kemampuan dan kelemahan murid semasa bermain serta sesuai dengan
sifat semula jadi murid yang inginkan hiburan. Selain itu, kaedah permainan juga dapat
Merangsang motivasi belajar, mengembangkan daya imaginasi dan membantu kanak-
kanak dalam menyelesaikan masalah.
Namun demikian, dalam setiap kelebihan perlulah diingat pasti ada kelemahan.
Kaedah permainan ini pastinya akan menambah atau membebankan guru untuk
menyediakan alat bantu mengajar kerana setiap guru kebiasaannya mempunyai waktu
yang sangat terhad kerana mereka juga perlu menyelesaikan berbagai tugasan yang lain.
Tidak semua tajuk pelajaran dapat menggunakan kaedah ini. Selain itu, ia juga pastinya
akan menambahkan lagi penggunaan wang sekolah bagi membeli bahan-bahan
permainan. Kadang kala disiplin murid juga mungkin tidak terkawal oleh guru. Ada
ketikanya mungkin juga mengakibatkan kelekaan kepada guru mengajar dan murid yang
sedang belajar dengan mainan di samping mengambil masa yang lama.
Strategi kedua yang saya pilih ialah Kaedah Tunjuk Cara atau lebih dikenali
sebagai Demonstrasi. Demonstrasi bermaksud mempertunjukkan, mempertontonkan,
memperagakan. Kaedah demonstrasi merupakan satu cara menyediakan secara langsung
objeknya atau prosesnya atau cara melakukan sesuatu. Ianya satu cara untuk melatih
pelajar memerhati dan melakukan sesuatu aktiviti mengikut prosedur. Ia melibatkan
demonstrasi guru atau seorang individu di hadapan kelas untuk menunjukkan sesuatu
aktiviti atau prosedur atau langkah. Cara ini sesuai untuk pengajaran amali bagi tajuk
wang terutamanya jika melibatkan operasi penambahan, penolakan, pendaraban dan
pembahagian.
Ciri-ciri penting dalam proses pengajaran pembelajaran di mana seseorang guru
berbuat sesuatu dengan kehadiran pelajar untuk menyaksikannya. Perlu diingat setiap
aktiviti yang akan dilaksanakan mestilah melibatkan aktiviti penerangan dengan guru
menunjukkan cara membuat sesuatu. Ia juga akan melibatkan juga aktiviti pendengaran,
penglihatan dan percubaan daripada kalangan murid-murid. Setelah dilaksanakan
langkah-langkah tadi ia sudah pastinya dapat memusatkan perhatian pelajar-pelajar
kepada langkah-langkah dan peraturan yang terlibat dalam sesuatu proses. Aktiviti
demonstrasi ini pada kebiasaannya akan lebih efektif jika guru berupaya menggunakan
alat pandang dengar.
Prinsip-prinsip pengajaran demonstrasi perlu lebih difahami oleh para guru
sebelum memilih untuk melaksanakannya di dalam bilik darjah. Guru hendaklah
menentukan topik, objektif dan kandungan tunjuk cara terlebih dahulu. Alatan disediakan
dan disusun mengikut langkah demonstrasi yang tertentu yang telah dipilih oleh guru.
Tempat demonstrasi hendaklah disediakan untuk memastikan semua murid dapat
menyaksikannya dengan jelas. Jika demonstrasi itu menggunakan alat, pastikan
keselamatan murid terlebih dahulu daripada alat atau bahan yang mungkin boleh
mengakibatkan kemalangan. Guru hendaklah memberitahu murid tujuan demonstrasi dan
aktiviti yang hendak dilakukan supaya mereka dapat mencontohi dan dapat
melakukannya dengan baik.
Kelebihan kaedah demonstrasi dalam pengajaran dan pembelajaran antaranya
adalah memberi peluang kepada murid untuk benar-benar memahami apa yang hendak
dipelajari setelah melalui prosedur yang ditunjukkan. Ia juga akan membuatkan murid
menguasai konsep dan prinsip dengan mudah. Selain itu, kaedah demonstrasi dapat
meningkatkan ingatan murid terhadap langkah-langkah pelaksanaan sesuatu eksperimen
atau demonstrasi. Keyakinan murid juga dapat ditingkatkan untuk menjalankan sesuatu
aktiviti selain membolehkan murid mencontohi sesuatu perlakuan dengan lebih mudah.
Kelebihan teknik tunjuk cara atau demonstrasi ini ialah memperkenalkan bahan
pembelajaran baru kepada murid melalui penglihatan dan pendengaran.
Antara kelemahan kaedah demonstrasi ialah kaedah ini sangat memerlukan
perancangan dan persediaan yang rapi dan teliti oleh guru sebelum sesi tunjuk cara atau
demonstrasi dilaksanakan di dalam bilik darjah. Perlu diingatkan juga kepada para guru
yang mana kadang kala kaedah ini memerlukan bahan dan alat sebenar yang mungkin
membahayakan murid dan guru sekiranya tidak diselia dengan betul. Ada waktunya
berkemungkinan disiplin bilik darjah tidak terkawal di samping tidak semua pelajar akan
dapat memahami dan membuat dengan betul.
1.4 Penutup
Tajuk wang adalah di antara tajuk yang sering menjadi tajuk kesukaan murid
terutamanya kepada murid yang berada di Tahap 1. Ini disebabkan buat pertama kalinya
mereka berada di persekitaran sekolah yang mana jauh dari kawalan ibu bapa mereka dari
segi penggunaan wang dalam kehidupan seharian mereka. Jika guru berjaya memilih
kaedah yang tepat dan sesuai, ini akan lebih memberi kefahaman yang baik kepada murid
berkaitan konsep penggunaan wang dalam kehidupan mereka. Ia bukan hanya penting
dari sudut konsep Matematik sahaja, ia juga amat penting dari segi moral dan nilai
kehidupan murid terutamanya murid-murid di sekolah rendah.
Kaedah atau pendekatan yang tepat sudah pastinya akan membawa impak yang
sangat besar dalam kehidupan mereka kerana di peringkat menengah lebih banyak mata
pelajaran yang berkaitan wang akan dipelajari seperti mata pelajaran Perdangangan,
Prinsip Akaun, Ekonomi Asas, Sains Rumah Tangga, Kemahiran Hidup Bersepadu dan
lain-lain lagi

Rujukan:
1. Amir Salleh (1996). Ringkasan Laporan Kajian Penilaian KBSM: Survey
Sekolah (Fasa II). Kertas yang dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan
Penilaian KBSM. IAB: KPM.
2. Jemaah Nazir Sekolah (1996). Pelaksanaan Program KBSM Dalam Bilik Darjah.
Kertas kerja yang dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Penilaian KBSM.
IAB: KPM.
3. Kementerian Pendidikan Malaysia (2001). Pembelajaran secara konstruktivisme.
Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum
4. Munirah, G., Syarifah Norhaidah, S. I., Zurida, I., Shafia, A. R., & Fatimah, S.
(2004). Pembinaan kerangka kepekaan nombor murid tahap satu. Laporan
kajian FRGS. Universiti Sains Malaysia
5. Voo, A. (1996). Kesepaduan Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Matematik
KBSM. Kertas yang dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Penilaian
KBSM. IAB: KPM.

Vous aimerez peut-être aussi