Vous êtes sur la page 1sur 3

TEKS UCAPAN

SEMPENA MAJLIS PENUTUPAN BULAN PATRIOTISME


PERINGKAT SEKOLAH 2016

Assalamualaikum w.b.t

Selamat Pagi , Salam 1 Malaysiadan Salam Sehati Sejiwa kepada warga SK Jalan Kuantan 1.

Yang Dihormati Encik Abd Razak bin Sulaiman, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.

Ketua-ketua Panitia, guru-guru dan murid-murid yang dikasihi.

Bersyukur kita kerana sekali lagi kita dapat bersama-sama berkumpul pada hari ini sempena Majlis
Penutupan Bulan Patriotisme Peringkat SK Jalan Kuantan 1 bagi tahun 2016.

Guru-guru dan murid sekalian,

Sesungguhnya, kehadiran warga SK Jln Kuantan 1 pasti akan menyemarakkan lagi program kita
pada pagi ini dan seterusnya memberi sokongan yang padu dalam aktiviti yang telah dianjurkan oleh
Panitia Sejarah/PJ/Muzik/Moral/PSV.

Saya amat berharap majlis seumpama ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim,
persefahaman, kemesraan dan kerjasama sesama kita. Jalinan kesemua faktor ini penting bagi
menjamin perpaduan dan keharmonian warga SK Jalan Kuantan 1 khususnya serta rakyat di negara
ini amnya.

Terlebih dahulu di kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan
syabas kepada ahli jawatankuasa induk serta ahli jawatankuasa kecil sambutan Majlis Penutupan
Bulan Patriotisme kerana usaha gigih tuan-tuan dan puan-puan merencana, merancang, menyusun
sekali gus menzahirkan pelbagai aktiviti yang telah direalisasikan pada majlis sambutan ini di
peringkat sekolah.

Hasil permuafakatan dan canaian idea yang bernas ahli jawatankuasa induk dan ahli jawatankuasa
kerja Majlis Penutupan Bulan Patriotisme ini maka lahirlah pelbagai program dan aktiviti yang
dirasakan cukup mantap dalam melahirkan warga SK Jalan Kuantan 1 yang patriotik serta
nasionalis.

Guru-guru dan murid sekalian,

Sesungguhnya, aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan ini kesemuanya berpaksikan kepada satu
matlamat iaitu menyemai semangat patriotisme dan nasionalisme dalam kalangan kita semua
sebagai warganegara. Ibarat kata bidalan, jika tidak lalu dandang di air, di gurun dirangkakan. Inilah
saatnya bagi kita semua menumpahkan taat setia dan meluahkan kecintaan buat negara Malaysia
yang tercinta.

Sebagai warganegara, kita seharusnya berasa bertuah menjadi sebahagian daripada rakyat negara
yang berdaulat dan merdeka kerana kita dapat mengecap kehidupan dalam suasana yang harmonis,
aman serta sejahtera.Dengan nikmat kemerdekaan, rakyat di negara ini hidup lebih selesa, harmoni
dan makmur serta bertolak ansur dalam menjalin hubungan sekali gus perpaduan kaum. Perpaduan
adalah suatu nikmat yang amat berharga dan tidak ternilai harganya.
Oleh itu, ia perlu dibelai, dipupuk dan dipelihara dalam diri kita semua agar kemerdekaan Malaysia
dapat dipertahankan sampai bila-bila walaupun jasad, nyawa serta maruah menjadi taruhan. Hatta
SK Jalan Kuantan 1 sebagai institusi melahirkan modal insan yang berguna sudah menjadi tugas dan
tanggungjawab kita semua untuk menjadi nadi serta penggerak utama dalam arus pembangunan
negara.

Kita juga seharusnya menggembleng tenaga secara bersepadu dalam mencorakkan murid-murid
yang berjiwa patriotisme dan kental akar umbi nasionalismenya. Mereka inilah yang bakal menjadi
barisan pelapis kepimpinan negara suatu hari nanti.

Pada saat kita berkonvoi mengibarkan Jalur Gemilang, saya menyeru kepada semua warga SK jalan
Kuantan 1 merenung sejenak kepada perjuangan yang telah dilalui oleh pejuang-pejuang
kemerdekaan terdahulu. Dek kerana usaha gigih dan pengorbanan mereka tanpa mengharapkan
apa-apa ganjaran, kita sebagai anak cucu mereka boleh hidup dalam suasana penuh aman dan
damai.

Guru-guru dan murid sekalian,

Apabila kita mengibar Jalur Gemilang, secara tidak langsung dapat memupuk perpaduan dalam
kalangan kita semua tanpa mengira latar belakang agama yang kita anuti, warna kulit yang
menyaluti tubuh badan kita, pangkat atau darjat.

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Kata-kata azimat tersebut sudah cukup menggambarkan
betapa kita perlu bersatu hati. Sejarah telah membuktikan betapa keagungan sesuatu empayar itu
bukan hanya terletak kepada kepimpinan yang bijak bestari semata-mata tetapi semangat jati diri
dan permuafakatan rakyat.

Elemen-elemen tersebutlah menjadi rahsia dan tonggak kekuatan mereka. Saya amat bertuah dan
berbangga kerana warga SK Jalan Kuantan 1 selama hari ini telah menunjukkan sikap yang positif,
saling membantu serta bekerjasama dalam setiap bidang pekerjaan. Ia cukup sejajar dengan budaya
kerja kita yang mementingkan semangat berpasukan.

Benarlah sudah kata bidalan, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing dan pasti apa jua
pekerjaan yang dilakukan akan berhasil. Dalam setiap aktiviti yang dianjurkan di peringkat sekolah,
warga SK Jalan Kuantan 1 telah membuktikan permuafakatan dan perpaduan yang telah terjalin
sekelian lamanya menjadi resipi kelancaran penganjuran program tersebut.

Saya amat berharap sikap sebegini dapat diteruskan dari semasa ke semasa kerana perjalanan kita
sebagai institusi pendidikan ini masih jauh. Saya ingin menyeru warga SK Jalan Kuantan 1
teruskanlah usaha meggembleng tenaga dan upaya membangunkan SK Jalan Kuantan 1 agar
menjadi sekolah yang terbaik.

Sebelum mengakhiri ucapan saya pada pagi ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan syabas dan
tahniah kepada ahli jawatankuasa induk dan ahli jawatankuasa kerja yang telah melaksanakan
pelbagai aktiviti sepanjang Majlis Penutupan Bulan Patriotisme Peringkat SK Jalan Kuantan 1 bagi
tahun 2016.

Sehubungan dengan itu, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Penutupan Bulan Patriotisme
Peringkat SK jalan Kuantan 1 bagi tahun 2016.
Sekian, terima kasih.

Vous aimerez peut-être aussi