Vous êtes sur la page 1sur 3

SEJARAH ASAL-USUL KAUM IBAN DI SARAWAK

Kaum Iban merupakan penduduk peribumi dan kaum majoriti di Sarawak Bumi Kenyalang. Dengan
peratusan majoriti yang lebih daripada 30% daripada jumlah peratusan penduduk di Sarawak
mengikut kaum maka kaum Iban merupakan kaum yang paling dominan di Sarawak samada dari
segi penentuan pengaruh politik dan sebagainya. Rata-rata kaum Iban di Sarawak telahpun
menerima agama sejak kedatangan pengaruh agama di Sarawak iaitu majoriti daripada mereka
adalah penganut agama Kristian dan selebihnya menganuti agama Islam. Untuk artikel kali ini,
Borneo Oracle akan cuba menyingkap sejarah asal-usul kaum Iban di Sarawak yang pada
hakikatnya satu pencarian yang begitu menarik dan unik berbanding dengan kaum-kaum lain di
Sarawak.
Artikel ini diberikan tajuk
Sejarah Asal Usul Kaum Iban di Sarawak.
Terdapat banyak kajian mengenai migrasi kaum-kaum di Sarawak terutama sekali bagi Kaum Iban.
Apa yang pasti kebanyakan migrasi kaum-kaum di Sarawak bertitik tolak daripada adat Berjalai
iaitu satu proses yang mana ianya dilakukan bagi mencari peluang yang lebih baik contohnya bagi
mencari tanah yang luas dan hidup di dalam keamanan serta makmur.
Terdapat 3 teori yang menyatakan asal usul kedatangan kaum Iban ke Sarawak iaitu berdasarkan
teori.
1. menyatakan bahawa mereka datang ke Sarawak melalui Tanjung Datu di Lundu.
2. menyatakan bahawa mereka datang ke Sarawak melalui Bukit Merudu yang terletak tidak jauh
dari Brunei (Sandin, 1967:3 & 26)
3. menyatakan bahawa mereka datang dari lembah Kapuas ke Sarawak melalui kawasan Kumpang.
Apa yang akan diketengahkan oleh Borneo Oracle adalah tentang asal-usul teori yang ketiga iaitu
yang lebih dominan kerana terdapatnya sumber-sumber lisan yang membuktikan bahawa
sebahagian besar dari kaum Iban berhijrah dari lembah Kapuas ke Sarawak melalui kawasan
Kumpang.
Kaum Iban Sarawak menurut cerita legendanya adalah berasal daripada Singalang Burung.
Singalang burung digambarkan sebagai dewa kepada segala burung enggang di alam mistik dan
merupakan Tuhan Perang bagi masyarakat iban tradisional (Sandin, 1977). Ianya bersangkutan
dengan Aki Lang Sengalang Burong Jagu Menaul Tuntung (burung helang) yang ditugaskan oleh
petara untuk memimpin segala kerja perang bagi masyarakat Iban kerana beliau memiliki semua
jenis pengaruh kesaktian yang tiada tolok bandingnya.
Berdasarkan kepercayaan kepada suatu peristiwa yang berlaku yang mana Singalang Burung telah
turun ke bumi daripada kayangan maka bermulalah episod dimana Singalang Burung telah
mewariskan keturunannya yang membentuk masyarakat Iban sekarang.
Kaum Iban tradisional sebenarnya lebih dikenali sebagai Dayak Laut dan mereka pada asalnya
berasal daripada Kalimantan, Indonesia dan kemudiannya berpindah ke Sarawak pada masa yang
hampir sama dengan kedatangan bangsa Eripah ke Asia Tenggara (Kedit, 1984). Mereka memasuki
Sarawak melalui Batang Air Kapuas, jalan masuk paling mudah bagi melintasi sempadan Sarawak-
Kalimantan (Jensen, 1966).
Pada asalnya Singalang Burung iaitu nenek moyang kaum Iban dengan pengikutnya telah mendiami
sepanjang Sungai Kapuas dan anak-anak sungainya di barat daya Pulau Borneo (Sandin, 1956).
Tetapi kemudian cucu Singalang Burung yang bernama Sera Gunting lebih meminati untuk
mendiami Banjaran Tiang Laju di bahagian barat Pulau Borneo. Walau bagaimanapun dikatakan
Singalang Burung tidak mengemari kawasan tersebut maka telah diadakan satu persidangan
dengan pengikut-pengikutnya di Merakai iaitu salah satu anak Sungai Kapuas untuk mengusulkan
perpindahan kaum Iban ke Batang Ai. Setelah kata sepakat diambil akhirnya, pengikut-pengikut
Singalang Burung telah memulakan penghijrahan mereka dan tempat yang kali pertama mereka
jejaki adalah daerah Kumpang, Sarawak dan terus menetap di Kumpang (Richards, 1949).
Sebahagian daripada kaum Iban ini telah dipengaruhi oleh seorang pemimpin yang lain iaitu Lelang
Belayan untuk mula membuat eksplorasi ke hulu Sungai Kumpang iaitu menghala ke Lubok Antu
dan Engkilili dan seterusnya menetap di kawasan Sungai Batang Lupar yang lebih dikenali sebagai
batang Ai. Dari Batang Ai, suku kaum Iban berpindah ke anak-anak sungai di Ulu Ai dan mula
membuat penempatan mereka dengan membina rumah panjang mereka yang unik di kawasan yang
dikenali sebagai Delok, Mepi, Jinggin, Engkari, Skrang dan Lemanak.
Setelah itu sekali lagi sebahagian daripada kaum Iban ini telah mula membuat eksplorasi dengan
berpindah dan lalu menetap di Sungai Undup dan Wong Tempangau (Sandin, 1994). Kaum Iban
yang berpindah ini adalah mereka yang dipimpin oleh Kajup dan mereka dikenali sebagai Iban
Undup.
Ternyata sekai perpindahan awal kaum Iban Sarawak adalah taburannya agak berselerak di
kawasan hulu Sungai Batang Lupar dan Batang Saribas di bahagian Sri Aman dan perpindahan ini
berlaku sejak diawal abad ke 19 dari Hulu Batang Lupar melalui sempadan Kalimantan menuju ke
daerah Rejang (Vinson, 1989).
Sementara itu satu lagi pemimpin anak buah Singalang Burung iaitu Gelungan telah membawa
pengikut-pengikutnya keluar daripada Merakai dan menuju ke Undup serta mendiami Bukit Balau.
Kaum Iban daripada pimpinan Gelungan ini disebut sebagai Iban Balau kerana menetap di kawadan
Bukit Balau iaitu penempatan terawal masyarakat Iban di Sri Aman.
Kemudian sekali lagi Gelungan telah membawa pengikut-pengikutnya untuk berpindah ke Sebuyau
dan sebahagian generasi kaum Iban ini dikenali sebagai Iban Sebuyau.
Sepatutnya penghijrahan masyarakat Iban terhenti di kawasan Sebuyau namun setelah kematian
pemimpin Gelungan, iban Sebuyau dikatakan telah berpecah dan ada yang berpindah ke Meredang,
Gayam, Lundu dan Samarahan.
Ketua-ketua suku kaum iban yang lain seperti Lanong, Kanyong, Meringgai dan Manggi telah
membawa pengikut-pengikut mereka berpindah ke Rantau Langkong, Tanjung Merarang, Sungai
Skrang dan Tisak.
Dan kerana itulah sememangnya Bahagian Sri Aman mempunyai jumlah penduduk Iban yang
tertinggi dibanding dengan tempat-tempat lain di Sarawak diikuti dengan Kapit, Kalaka (Saratok),
Mukah, Kuching, Saribas, Baram, Song dan Sarikei.
Inilah sekelumit sejarah asal-usul kaum Iban di Sarawak yang ternyata perjalanan nenek moyang
kaum Iban terdahulu sudah tentu penuh dengan onak nan berduri bagi memastikan kelangsungan
penghidupan kaum iban sekarang. Ianya adalah satu hakikat bahawa kaum Iban telahpun mendiami
segenap pelusuk Sarawak Bumi Kenyalang dengan membawa bersama segala budaya dan sastera
mereka sekali yang ternyata terlalu unik seperti kain pua dan lain-lain yang banyak berhubungkait
dengan dunia mistik dan tumbuh-tumbuhan.
Kaum Iban Sarawak mempunyai keunikan yang tersendiri baik dari segi bahasa mereka yang
ternyata telah mempengaruhi penghidupan kaum-kaum etnik yang lain di bumi Sarawak Bumi
Kenyalang. Untuk generasi muda Sarawak, keunikan inilah yang wajar kita pertahankan malah wajar
diangkat menjadi kebanggaan kita sebagai Bangsa Sarawak yang mempunyai toleransi kaum dan
agama yang terbaik yang tidak ada pada bangsa lain di Malaysia. Jangan kita malu untuk
memperkenalkan diri kita sebagai anak Iban berbangsa Sarawak kerana itulah asal usul kita yang
tiada pada sesiapapun kecuali kita. Borneo Oracle amat berharap agar ada lagi pencerakahan yang
mampu dikongsi untuk kita mengangkat artikel ini menjadi sempurna kerana ini adalah pandangan
dan ulasan Borneo Oracle secara peribadi berdasarkan kepada sumber rujukan yang kami ada.
Borneo Oracle sentiasa mengalu-alukan sebarang nilai-tambah informasi untuk perkongsian
bersama
LikeShow more reactions
CommentShare

Vous aimerez peut-être aussi