Vous êtes sur la page 1sur 9

PENGURUSAN BERETIKA: HALATUJU DAN CABARAN

oleh

YBhg Datin Zarinah Anwar

Timbalan Ketua Eksekutif, Suruhanjaya Sekuriti

di

Muzakarah Pakar Mengurus Kejayaan: Pengurusan Aset dan Tanggungan dari


Perspektif Islam

29 April 2003

Institut Kefahaman Islam Malaysia


YBhg. Tan Sri Dato Seri (Dr) Ahmad Sarji Abdul Hamid, Pengerusi Institut Kefahaman Islam
Malaysia (IKIM), Tan Sri-Tan Sri, Dato-Dato, para pembentang kertas kerja dan hadirin
sekalian.

Pengenalan

1. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penganjur Muzakarah Pakar
IKIM iaitu Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Pusat Perkembangan Industri Sekuriti
(SIDC) kerana menjemput saya untuk memberi ucap utama pada Muzakarah Pakar pada pagi
ini.

2. Di samping itu, saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak penganjur
kerana telah mengambil langkah untuk mengadakan forum yang akan membincangkan subjek
yang amat penting di dalam dunia perniagaan dan pasaran modal pada hari ini. Saya berharap
kehadiran pengarah-pengarah syarikat dan ahli-ahli pengurusan serta pengawal kewangan dan
juruaudit di forum ini akan dapat membawa kepada satu perbincangan yang produktif ke arah
meningkatkan kesedaran terhadap tanggungjawab dan peranan mereka di dalam pengurusan
syarikat masing-masing.

3. Apa yang berlaku sejak beberapa tahun yang lepas disebabkan oleh skandal korporat dan
krisis kewangan Asia telah banyak mencorak dan mengubah perspektif kita terhadap
pengurusan syarikat dan hal perlindungan pelabur.

4. Kegagalan syarikat-syarikat gergasi di Amerika Syarikat dan tidak kurang juga beberapa
syarikat-syarikat utama di Malaysia telah menunjukkan bahawa ada golongan tokoh-tokoh
korporat yang lebih mementingkan diri sendiri dengan membelakangkan nilai-nilai pengurusan
dan perniagaan yang baik dalam menerajui syarikat masing-masing. Pemegang saham majoriti
yang sering memegang jawatan pengurusan atasan lebih cenderung untuk memperkayakan diri
sendiri melalui pelbagai cara sehingga sesetengahnya sanggup melanggar undang-undang dan
memusnahkan nilai pelabur.

Etika dan Moral Melebihi Undang-Undang dan Tadbir Urus Korporat

5. Di dalam menangani hal ini, walaupun pihak pengawalselia boleh memastikan pembangunan
rangkakerja perundangan yang kukuh, tidak boleh dinafikan bahawa etika dan kesusilaan
adalah nadi kepada akauntabiliti dan tanggungjawab. Etika adalah satu isu utama di dalam
pasaran modal. Pasaran dan peserta pasaran banyak terdedah kepada penyalah gunaan
undang-undang dan tatasusila yang amat tinggi padahnya.

6. Kita telah lihat sendiri kes-kes seperti skandal BCCI dan dana pencen Maxwell, kejatuhan
Barings dan yang terbaru kegagalan Enron, penipuan WorldCom dan kejatuhan Xerox di
Amerika Syarikat. Tidak kurang juga skandal-skandal tempatan, dan yang terbaru berlaku
banyak kegagalan syarikat akibat daripada krisis kewangan 1997. Walaupun kebanyakan
kegagalan ini terbit daripada tadbir urus korporat yang lemah dan pelanggaran undang-undang,
pada asasnya, ia dibawa oleh kegagalan etika mereka yang terlibat.

7. Etika dan kesusilaan melibatkan norma-norma kelakuan serta kelaziman pentadbiran diri.
Justeru, ketika pihak pengawalselia boleh membangunkan satu rangkakerja perundangan dan
institusi yang kukuh untuk menguatkuasakan akauntabiliti dan tanggungjawab dan memastikan
amalan tadbir urus korporat yang baik, mereka tidak boleh menggubal etika dan kadar moral.

8. Seseorang yang beretika dan seseorang yang mematuhi undang-undang, ada


perbezaannya. Undang-undang tidak dapat mengenal pasti kesemua bentuk etika kerana
berkelakuan etika bukan sahaja memerlukan seseorang itu mengelak dari melakukan perkara
yang salah tetapi juga melakukan perkara yang betul.

Tuan-tuan dan Puan-puan

Perlunya Etika dalam Pasaran, Syarikat dan Pengawalseliaan

9. Walaupun penguatkuasaan undang-undang boleh membantu untuk memperbaiki kelakuan


dan mengenakan humuman yang berat kepada mereka yang bersalah, nilai, etika dan
kesusilaanlah sebenarnya yang dapat mengelakkan daripada berlakunya sifat tamak dan
materialisme yang ketara di dalam masyarakat perniagaan. Oleh itu pendekatan dalam
meningkatkan kesedaran bagi mewujudkan tadbir urus korprat yang baik hendaklah
berpandukan kepada pendekatan pelbagai disiplin (multidisciplinary approach) iaitu displin
pasaran, displin diri dan disiplin pengawalseliaan.
Disiplin Pasaran

10. Proses pembentukan modal bergantung kepada keyakinan pelabur ke atas integriti dan
keadilan pasaran modal dan juga kepada cara sesebuah pasaran berfungsi. Sekiranya pihak
pelabur merasakan hak mereka tidak dilindungi, mereka akan mengelak dari menyertai pasaran
tersebut.

11. Dengan adanya disiplin pasaran, syarikat-syarikat akan mendapat perangsang untuk
menjalankan perniagaan dengan jujur dan cekap. Oleh itu, penilaian pasaran ke atas prestasi
sesebuah syarikat perlu digambarkan melalui harga saham syarikat tersebut, serta tarafan
kreditnya. Syarikat yang gagal ujian ini akan mengalami kesulitan untuk menjana modal baru.

12. Sebagai contoh, harga saham sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Kuala
Lumpur (BSKL) yang telah gagal melakukan penzahiran mandatori seperti yang dikehendaki
oleh undang-undang sekuriti telah menjunam sebanyak 48% dalam masa lapan hari walaupun
pada tempoh yang sama, indeks komposit BSKL (KLCI) jatuh sebanyak 14.5%. Sebuah lagi
syarikat yang menjalankan transaksi pinjaman dengan pihak berkaitan (related party
transaction) telah mengalami kejatuhan harga saham sebanyak 33% dalam masa lapan hari
manakala pada tempoh yang sama KLCI hanya jatuh sebanyak 7%.

Contoh-contoh ini jelas menunjukkan peningkatan kesedaran dan tindakbalas pasaran terhadap
aktiviti-aktiviti yang tidak jujur serta pengurusan yang tidak beretika yang telah memusnahkan
nilai pelabur.

13. Walaubagaimana pun, ini tidak selalunya berlaku kepada pasaran yang berfungsi dengan
kurang baik. Krisis kewangan Asia 1997 membuktikan kesan pasaran yang gagal bertindak dan
menghukum syarikat yang lemah tadbir urus korporatnya. Apabila ini berlaku, maka perlunya
pihak pengawalselia untuk masuk campur bagi meningkatkan tahap tadbir urus korporat bagi
memastikan pasaran yang adil, cekap dan telus, serta mengambil tindakan terhadap mereka
yang bertanggungjawab di atas kegagalan yang berlaku.

14. Namun petunjuk harga dan tarafan kredit adalah hanya satu aspek disiplin pasaran. Ianya
perlu disokong oleh tindakan aktivis pemegang saham. Pelabur institusi terutamanya memiliki
kebolehan, malah tanggungjawab, bagi menentukan supaya pengurusan bertanggungjawab di
atas kegagalan mengurus dan mentadbir dengan betul.
15. Pembangunan masyarakat pemegang saham yang matang dan aktif merupakan satu
cabaran kepada Malaysia. Pemegang saham minoriti di Malaysia (malah di Asia) pada
umumnya adalah pasif, mengutamakan pendekatan keluar daripada bersuara atau exit over
voice. Sebaliknya, evolusi tadbir urus korporat di dunia Anglo-Amerika menunjukkan dana-
dana pencen dan institusi-insitusi pelabur besar mereka telah menggunakan pengaruh dan
kuasa mereka bagi memastikan kelakuan korporat yang wajar.

16. Adalah diharapkan dengan penubuhan Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti
(MSWG) dapat menggalakkan penyertaan proaktif oleh pelaburpelabur institusi di dalam
bidang tadbit urus korprat untuk meningkatkan ketelusan serta nilai pelaburan dalam jangka
masa panjang.

Disiplin Syarikat (sendiri)

17. Disiplin tadbir urus korporat juga bergantung kepada etika dan integriti dalam syarikat, atau
dengan perkataan lain, disiplin diri oleh pihak pengurusan.

18. Tadbir urus korporat yang baik bermula daripada bilik lembaga pengarah sendiri. Adalah
penting bagi sesebuah syarikat untuk memiliki ahli pengarah bebas yang kukuh. Bebas dalam
konteks ini bermakna bebas daripada pengaruh pengurusan dan bebas daripada sebarang
hubungan perniagaan yang boleh mempengaruhi seseorang pengarah itu apabila membuat
sesuatu keputusan. Oleh itu, Peraturan Penyenaraian BSKL (KLSE Listing Rule) dan Kod
Tadbir Urus Korporat memerlukan satu per tiga daripada ahli lembaga pengarah terdiri daripada
pengarah-pengarah bebas. Namun, perlu diingatkan bahawa walaupun integriti dan kejujuran
dikehendaki di setiap peringkat di dalam sesebuah organisasi, kesudahannya terletak kepada
Ketua Eksekutifnya (CEO) yang perlu memainkan peranan sebagai role model dalam
mempamerkan dan menyampaikan nilai-nilai yang wajar kepada yang lain. Peranan lembaga
pengarah dan Ketua Eksekutif terutamanya telah mendapat perhatian yang serius sejak krisis
korporat Amerika Syarikat yang berlanjutan dan juga krisis Asia 1997. Alan Greenspan,
Pengerusi Federal Reserve semasa memberi keterangan di Dewan Rakyat Amerika Syarikat
baru-baru ini menyatakan: Saya telah benar-benar menyedari betapa pentingnya apa yang
difikirkan dan dibuat oleh seseorang Ketua Eksekutif di dalam soal tadbir urus. sebenarnya
Ketua Eksekutif itu adalah fulkrum tadbir urus korporat.

19. Undang-undang menetapkan agar pihak pengarah bertindak secara jujur dan tekun pada
setiap masa di dalam menjalankan tugas-tugas mereka.
20. Kod Tadbir Urus Korporat pula menumpukan perhatian terhadap keperluan bagi pegawai-
pegawai utama syarikat tersenarai bertanggungjawab dan telus dalam menjalankan tugas-tugas
mereka. Ini termasuk menentukan integriti sistem kawalan dalaman syarikat dan sistem
pengurusan maklumat termasuk pematuhan undang-undang.

21. Walaubagaimana pun, adalah penting diingatkan bahawa ketika kita boleh menggubal
undang-undang memperuntukkan kebebasan lembaga pengarah dari segi kerakraban dan
hubungan mereka dengan syarikat, kita tidak boleh mengawalselia kebebasan berkaitan
dengan pemikiran mereka. Sebagai contoh, apabila pengarah bebas begitu rapat dengan
syarikat atau Ketua Eksekutifnya tetapi dalam bentuk yang tidak begitu ketara sehingga boleh
dikaitkan dengan definisi undang-undang mengenai kebebasan pengarah, maka pengarah-
pengarah ini tidak boleh lagi dianggap pengarah bebas. Oleh itu, etika memainkan peranan
penting dalam memberi panduan kepada kelakuan yang jujur dan betul.

Disiplin Pengawalseliaan

22. Seperti yang kita maklum, tiga objektif utama pengawalseliaan pasaran modal ialah (1)
perlindungan pelabur, (2) memastikan pasaran yang adil, cekap dan telus, dan (3) pengurangan
risiko sistemik.

23. Apabila etika dalam pasaran gagal, apa yang boleh menghalang sebarang bentuk penipuan
dalam pasaran modal ialah penguatkuasaan yang efektif. Di Malaysia, pengawalseliaan
pasaran modal dijalankan bersama oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC), Polis dan Suruhanjaya
Syarikat Malaysia (SSM). Justeru, adalah perlu untuk agensi-agensi tersebut terus bekerjasama
dengan baik dalam meningkatkan usaha-usaha penguatkuasaan.

24. Undang-undang hanya akan berkesan jika pihak pengawalselia menjalankan


penguatkuasaan dengan adil dan konsisten dan menangani pelanggaran undang-undang
dengan pantas supaya pelabur dan integriti sistem pasaran dapat dilindungi.

25. Pengawalseliaan walau bagaimanapun datang dengan kosnya. Kecenderungan untuk


bertindak secara berlebihan di waktu berlakunya sesuatu krisis dengan menambahkan lagi
undang-undang dan peraturan hendaklah diurus dengan betul. Perlu dipastikan bahawa
keperluan penguatkuasaan tidak diiringi dengan pengawaseliaan berlebihan. Malah, SC
mengamalkan falsafah no more regulation than necessary.
Hadirin sekalian,

Penzahiran dan Ketelusan dalam Tadbir Urus Korporat

26. Dalam proses meningkatkan pelbagai disiplin seperti yang saya huraikan tadi ke arah
mewujudkan etika dan moral yang baik, aktiviti penzahiran dan ketelusan (disclosure and
transparency) merupakan satu elemen pembangunan yang penting dan kritikal.

27. Penzahiran yang tinggi dalam aktiviti-aktiviti korporat melalui penzahiran yang sesuai dan
berkaitan adalah penting dalam mengekalkan daya tarikan pelabur kepada syarikat-syarikat
tersenarai dan memastikan pasaran modal yang kental dan kukuh.

28. Namun adalah sukar untuk bercakap tentang penzahiran korporat tanpa mengambil kira
elemen-elemen lain yang perlu menjadi rakan kepada penzahiran seperti pengawalseliaan dan
penguatkuasaan yang kukuh, tindakan aktivis pemegang saham dan pengurusan yang
profesional dan beretika seperti yang telah saya huraikan tadi.

29. Pada persekitaran yang memerlukan penzahiran dan ketelusan yang tinggi terutamanya
apabila pasaran beralih kepada regim berasaskan penzahiran (DBR), akauntabiliti dan
peningkatan tahap profesionalisme penasihat korporat dan ahli-ahli profesional yang berkaitan
adalah semakin mencabar dan diperlukan. Akauntabiliti mereka adalah sama kritikalnya dengan
akauntabiliti pengarah dan pengurusan syarikat.

30. Kaji selidik oleh McKinsey pada tahun 2000 mendapati kebanyakan pelabur sanggup
membayar harga yang lebih tinggi untuk saham-saham syarikat yang mengamalkan tadbir urus
korporat yang baik daripada saham-saham syarikat yang ditadbir urus dengan lemah, walaupun
prestasi kewangan kedua-dua adalah sama.

31. Selain daripada itu, pengamalan standard penzahiran yang tinggi akan memberi manfaat
kepada syarikat-syarikat, terutamanya semasa persekitaran pasaran yang tidak menentu.
Sebagai contoh, kajian terbaru ke atas hampir 400 buah syarikat di Asia Tenggara oleh Todd
Miton dalam Journal of Financial Economics mendapati mutu penzahiran yang tinggi
menunjukkan prestasi harga saham yang lebih baik semasa Krisis Kewangan Asia 1997
1998.
Langkah-langkah meningkatkan Tadbir Urus Korporat di Malaysia

32. Usaha-usaha pembaharuan dalam bidang tadbir urus korporat telah diberi penekanan lebih
mendalam apabila krisis kewangan Asia berlaku. Ini bermula dengan pewujudan Jawatankuasa
Tahap Tertinggi Kewangan untuk Tadbir Urus Korporat pada tahun 1998 dan penerbitan
Laporan Jawatankuasa Kewangan ke atas Tadbir Urus Korporat pada tahun 1999 dengan lebih
70 cadangan khusus.

33. Setelah hampir empat tahun Laporan Jawatankuasa Kewangan ke atas Tadbir Urus
Korporat diterbitkan, sebahagian besar daripada cadangan telah dilaksanakan dan dicapai
seperti (i) penerbitan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia, (ii) pemindaan menyeluruh ke atas
undang-undang, peraturan dan pengawalseliaan untuk mengukuhkan rangkakerja
pengawalseliaan, (iii) meningkatkan langkah-langkah latihan dan pendidikan agen-agen tadbir
urus korporat di segenap peringkat, (iv) menubuhkan Badan Pengawas Pemegang Saham
Minoriti (MSWG) dan (v) mengenalkan garispanduan fungsi juruaudit dalaman untuk syarikat
tersenarai (PLCs). Terbaharu pada tahun ini ialah pindaan dan pembaharuan ke atas peraturan
dan garispanduan berkaitan industri sekuriti seperti keperluan meningkatkan penzahiran dalam
prospektus dan permohonan korporat.

34. Usaha-usaha untuk meningkatkan tadbir urus korporat tidak berakhir dengan Laporan
Jawatankuasa Kewangan ke atas Tadbir Urus Korporat. Untuk langkah jangka panjang, Pelan
Induk Pasaran Modal (CMP) telah dibentuk pada awal 2001 untuk membangunkan agenda
tadbir urus korporat dalam beberapa bidang utama seperti penggalakkan aktivisme pemegang
saham, meningkatkan standard perlindungan pelabur dalam urus niaga pihak berkaitan, dan
meningkatkan kesedaran dan akauntabiliti pengarah syarikat, pengawal kewangan dan
pengurusan, dan juga memperkukuhkan peranan juruaudit syarikat tersenarai.

Tan Sri Tan Sri, Dato Dato dan hadirin sekalian,


Penutup

35. Untuk terus maju ke hadapan, nilai-nilai utama yang menjadi pendasar kepada tadbir urus
korporat yang baik seperti layanan saksama, tanggungjawab, ketelusan dan akauntabiliti perlu
diselami oleh semua pihak yang terbabit, bukan sahaja di peringkat organisasi tetapi juga di
setiap peringkat individu. Justeru, seperti pengarah yang memiliki akauntabiliti kepada
pemegang saham, badan-badan profesional juga memiliki tugas yang sama untuk melindungi
kepentingan awam; justeru mereka juga tertakluk kepada pelbagai kod profesional dan etika
peribadi yang menuntut objektiviti dan integriti pada tahap tertinggi.

36. Nilai-nilai asas seperti ketelusan dan akauntabiliti bukanlah suatu perkara yang baru dan
asing dalam Islam. Nilai-nilai ini tidak muncul dengan tiba-tiba hanya kerana adanya skandal-
skandal korporat yang telah berlaku. Sememangnya nilai-nilai ini telah tercatat dalam al-Quran
dan al-Sunnah di mana setiap tingkah laku seseorang sememangnya perlu berlandaskan
kepada kedua-dua sumber ini kerana ini adalah panduan kepada manusia dalam menjalankan
tanggungjawab kita.

37. Saya percaya bahawa dalam persekitaran yang semakin mencabar yang akan
membezakan di antara kejayaan dan sebaliknya adalah nilai pengurusan beretika. Ini adalah
kerana etika itu tidak hanya melarang kita dari melakukan perkara-perkara yang ditegah tetapi
menggalakkan kelakuan yang terpuji.

Sekian, terima kasih.

SURUHANJAYA SEKURITI

Vous aimerez peut-être aussi