Vous êtes sur la page 1sur 18

1.

0 Konsep dan pengertian tamadun

Sesebuah kerajaan awal di dunia wujud hasil daripada pembentukan sesebuah


tamadun. Terdapat pelbagai definisi tamadun yang dikemukakan daripada pelbagai
sudut yang berbeza. Dari sudut bahasa Arab, tamadun berasal daripada kalimah
maddana yang merujuk kepada perbuatan membuka bandar atau kota. Daripada
perkataan maddana, perkataan madani telah diterbitkan yang membawa maksud
satu cara hidup yang menzahirkan kehalusan budi pekerti yang terpuji. Oleh itu,
pengertian tamadun ini memberi penekanan kepada kehalusan budi pekerti serta
pencapaian pembangunan dalam pelbagai aspek kemajuan seperti sains dan
teknologi, kesusasteraan, kesenian dan sebagainya. Manakala, sifat-sifat yang
luhur, baik dan sopan akan membentuk peribadi dan masyarakat yang mempunyai
jati diri, berbudi pekerti dan bertatasusila bagi membentuk sesebuah masyarakat
atau negara bangsa (Ros Aiza, Abd Hakim, Dg Hafizah, & Siti Halimah, 2012).

Erti tamadun dari sudut bahasa Inggeris pula, tamadun bererti civilization
yang mana perkataan ini berasal daripada civitas dalam bahasa Latin yang
bermaksud bandar atau kota. Civilization ini juga menekankan kepada
penggabungan antara ketinggian budaya dengan kemajuan kebendaan. Manakala,
dari sudut bahasa Melayu, istilah yang digunakan ialah tamadun dan peradaban.
Perkataan peradaban yang digunakan ini pula adalah budaya yang bertunjang
kepada keluhuran nilai dan kehalusan budi yang mencerminkan adat resam dan
tradisi bangsa Melayu zaman berzaman (Chandra Muzaffar, Che Wan Jasimah,
Hashim Musa, & Mohd Zuhdi Marsuki, 2001). Berdasarkan definisi tamadun dari
pelbagai sudut yang berbeza ini sahaja sudah mencerminkan bahawa konsep
tamadun ini menggabungkan kedua-dua perkara iaitu kehalusan budi pekerti dan
pembangunan perbandaran atau penempatan.

Secara keseluruhannya, tamadun merujuk kepada suatu taraf pencapaian


daripada segi pembangunan sosial, keadaan masyarakat yang berperadaban atau
menjadi bertamadun. Pencapaian yang dapat dilihat dengan jelas dalam sesebuah
tamadun ini adalah dari aspek kesusasteraan, kesenian, sosial dan sebagainya.
Oleh itu, lahirlah ciri-ciri yang telah membentuk sesebuah tamadun. Antaranya ialah
wujudnya sistem kepercayaan dan agama, wujud penempatan masyarakat di
sesebuah kawasan, wujud sistem organisasi dan institusi sosial, pengkhususan

1
pekerjaan, sistem perundangan yang teratur dan lain-lain lagi. Melalui ciri-ciri ini,
maka terbentuklah beberapa tamadun yang terawal di dunia seperti tamadun
China,tamadun Islam, tamadun India dan tamadun Melayu. Antara tamadun yang
akan dibincangkan dalam tugasan ini ialah tamadun Melayu dan tamadun China
dari aspek keunikan seni bina, seni muzik, seni perhiasan dan seni penulisannya.

2.0 Tamadun Melayu

Tamadun Melayu merupakan sebuah tamadun yang telah lama wujud semenjak
wujudnya bangsa Melayu itu sendiri. Tamadun ini telah lama berkembang dalam
kebudayaan orang Melayu yang tergolong dalam kumpulan penduduk asal di rantau
Asia Tenggara. Menurut Ros Aiza, Abd Hakim, Dg Hafizah, dan Siti Halimah (2012),
tamadun Melayu merupakan sebuah tamadun yang dibentuk di suatu wilayah Asia
Tenggara yang disebut sebagai gugusan Kepulauan Melayu, Kepulauan Melayu-
Indonesia, Nusantara, Alam Melayu dan Tanah Jawi.

Antara faktor yang menjadikan tamadun ini sebagai tamadun Melayu adalah
kerana bahasa Melayu itu sendiri menjadi lingua franca di seluruh kawasan dan
majoriti penduduk tersebut adalah beragama Islam. Oleh itu, kewujudan tamadun
Melayu juga sering dikaitkan dengan penyebaran agama Islam di Alam Melayu. Hal
ini kerana nilai Islam menjadi anutan dan asas kepada pembentukan tamadun
Melayu (Abdullah Zhidi Omar, Roslina Suratnu, Mohd Nahi Abdullah, Mohd Hilmi,
Raudhah Ali, & Mahdi Shuid, 2015). Justeru, kebanyakan seni dalam tamadun
Melayu dipengaruhi oleh tamadun Islam disamping turut mengekalkan ciri-ciri
tamadun lain seperti tamadun India dan China.

2.1 Ciri-ciri Unik Tamadun Melayu

Disebabkan kepelbagaian pengaruh daripada tamadun lain yang memasuki


tamadun Melayu, maka tamadun ini mempunyai pelbagai ciri-ciri unik dari aspek
seni bina, seni muzik, seni perhiasan, seni kesusasteraan dan lain-lain. Ciri-ciri unik
dalam tamadun Melayu ini dapat dilihat pada seni bina, seni muzik, seni perhiasan
dan seni penulisannya. Malah, sebahagian ciri-ciri tersebut masih dikekalkan
keunikannya sehingga kini.

2.1.1 Seni Bina

2
Ciri-ciri unik seni bina tamadun Melayu dapat dilihat pada binaan rumah, masjid,
atau batu nisan. Dalam proses pembentukan tamadun Malaysia, banyak unsur dan
pengaruh daripada tamadun lain seperti tamadun China dan tamadun India telah
diterapkan selaras dengan nilai-nilai Islam yang menjadi teras tamadun Malaysia.
Pengaruh ini termasuklah dari segi bentuk binaan masjid dan beberapa bangunan
lain di Malaysia. Sebelum tamadun Melayu mencapai kemajuan dalam bidang sains
dan teknologi, kemampuan untuk mengolah bahan bagi mendirikan sebuah
bangunan juga terbatas. Bahan binaan asli yang bersifat organik seperti pelbagai
jenis pohon atau buluh, rumput dan daun telah digunakan bagi membina sebuah
atap. Manakala, bahan binaan bukan organik seperti tanah, batu-batan, pasir
sungai, batu karang dan sebagainya juga turut digunakan bagi menghasilkan
sebuah binaan.

Salah sebuah binaan peninggalan tamadun Hindu-Buddha di Alam Melayu


yang menggunakan bahan semula jadi organik ini dapat dilihat pada satu seni bina
yang dihasilkan dalam bentuk bangunan candi yang terdapat di Lembah Bujang,
Kedah (Lampiran 1). Namun, setelah tamadun Melayu mencapai kemajuan dalam
bidang teknologi, maka banyak bahan binaan yang baharu telah dicipta yang kini
telah mempengaruhi seni binaan tradisional. Kedatangan Islam ke tamadun Melayu
ini juga telah mengubah cara berfikir dan cara hidup penduduk tempatan selain
mengubah seni bina tempatan orang Melayu.

Seni bina tamadun Melayu banyak mempamerkan ciri-ciri unik pada


binaannya yang mana ciri ini dapat dilihat pada seni bina rumah, masjid, istana dan
seni bina makam. Seni bina Melayu dalam menghasilkan bangunan bukan sahaja
menjadi tempat perlindungan tetapi ia dibina sesuai dengan fungsinya (Azhar Mad
Ros, Azharudin Mohd Dali, Arbaiyah Mohd Noor, & Salinah Zainol, 2000).
Contohnya, seni bina masjid mempamerkan beberapa bahagian yang mempunyai
fungsinya yang tersendiri yang terdiri daripada menara, kubah, mihrab, mimbar dan
tempat berwuduk hasil daripada pengaruh tamadun luar. Seni bina masjid di
Malaysia juga banyak dipengaruhi oleh tamadun Islam. Sebagai contoh, Masjid
Wilayah Persekutuan telah dibina berkonsepkan tradisi Masjid Othmaniah, Turki
(Lampiran 2). Malah, masjid yang dibina oleh orang Melayu yang bercirikan masjid
atap tumpang kini dibina kepada bangunan konkrit dan berkubah (Ghazali
Darusalam, 2001). Bukan itu sahaja, seni bina rumah tempatan orang Melayu telah

3
berubah iaitu bentuk rumah mereka telah bertukar corak daripada rumah
berbumbung panjang yang bercirikan seni bina tradisi kepada rumah berbumbung
limas yang bercirikan seni bina moden seperti yang terdapat di Terengganu
(Lampiran 3).

Ciri-ciri seni bina tamadun Melayu masih dikekalkan sehingga kini. Hal ini
kerana tamadun Melayu merupakan asas kepada pembentukan Malaysia. Ciri-ciri
unik ini masih dapat dikekalkan sehingga kini kerana negara Malaysia mempunyai
hawa yang panas dan hujan yang selalu turun dengan lebat. Maka, rumah dan
bangunan dibina dengan berpanggung atau bertiang bertujuan untuk memberi
laluan atau pengedaran udara di dalam rumah (Mohd Firrdhaus, 2016). Menurut
Nurwahdatul Elya (2011) pula, rumah Tradisional Melayu yang bertiang dapat
mengelakkan daripada ditenggelami air banjir. Malah, bentuk bumbung yang curam
juga dapat memudahkan curahan air hujan. Oleh itu, banyak binaan yang kita lihat
pada hari ini masih mempamerkan ciri-ciri seni bina Melayu yang terdapat pada
rumah-rumah tradisional seperti rumah Minangkabau, rumah Limas Bungkus,
rumah Bumbung Panjang dan sebagainya.

2.1.2 Seni Muzik

Menurut Ghouse Nasaruddin dalam Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai


Letchumanan (2008), muzik Melayu dibahagikan kepada empat jenis iaitu muzik
orang asli, muzik desa, muzik perantaraan dan muzik Melayu moden. Dalam
pembentukan asas muzik Melayu tradisional, muncul pula muzik drama dan muzik
instrumental. Muzik drama adalah muzik yang mengiringi persembahan teater
tradisi seperti Mak Yong. Manakala, muzik instrumental pula ialah bunyi-bunyian
yang terhasil daripada gabungan alat muzik seperti gendang dan nobat tetapi tidak
digunakan untuk mengiringi aksi seperti tarian atau lakonan.

Berbeza dengan pendapat daripada Samri Sainuddin (2003), seni muzik


Melayu dibahagikan kepada dua iaitu seni suara tanpa iringan muzik dan seni suara
dengan iringan muzik. Seni suara tanpa iringan muzik ini adalah lahir daripada
pengaruh Islam yang tidak menggemari alat-alat muzik. Contoh seni lagu tanpa
muzik yang dimainkan dalam masyarakat Melayu ialah dendang Siti Fatimah,
nazam, marhaban, nasyid dan qasidah. Manakala, lagu-lagu yang digabungkan
dengan muzik adalah seperti dikir, hadrah, beduan, ghazal dan kompang.

4
Setiap jenis muzik ini telah memaparkan keunikannya yang tersendiri
khususnya jika ia digabungkan dengan seni persembahan Melayu. Contohnya,
persembahan dikir barat sangat unik apabila digabungkan dengan iringan alat
muzik Melayu seperti rebana atau kompang. Terdapat juga beberapa peralatan alat
muzik tradisional Melayu yang masih dikekalkan sehingga kini. Antaranya ialah
rebab, rebana, kompang, gambus, serunai, gong dan nobat (Samri Sainuddin,
2003). Setiap peralatan in mempunyai fungsinya yang tersendiri. Lazimnya, alat-
alat muzik ini akan digunakan dalam majlis keramaian, perkahwinan, menyambut
orang kenamaan dan tetamu serta digunakan dalam persembahan nyanyian,
lakonan atau tarian (Abu Hassan Sham, Hashim Ismail, Hashim Musa, Rahmah
Bujang, & Yaacob Harun, 2001).

2.1.3 Seni Perhiasan

Pencapaian tamadun Melayu dalam kesenian juga dapat dilihat melalui seni
perhiasan yang dihasilkan oleh orang Melayu hasil daripada perkembangan
teknologi semasa. Antara seni perhiasan yang dihasilkan termasuklah seni
tembikar, seni kraftangan, seni tekstil, seni ukir dan seni anyaman. Menurut Mohd
Koharuddin Mohd Balwi (2005), masyarakat Melayu memang terkenal dengan
kemahiran dalam tekstil dan penghasilan kraftangan. Tekstil Melayu yang dihasilkan
merupakan kelengkapan pakaian yang digunakan sama ada sebagai pakaian harian
ataupun pakaian yang digunakan dalam acara adat.

Tekstil yang dihasilkan dalam masyarakat Melayu masih dikekalkan sehingga


kini kerana ia mempunyai ciri keunikannya yang tersendiri. Menurut Ros Aiza, Abd
Hakim, Dg Hafizah, dan Siti Halimah (2012), keunikan tersebut dapat dilihat pada
tekstil itu sendiri yang mana tekstil tersebut tidak ditenun, malah ia juga dilukis,
dicelup, bahkan disulam dengan benang ataupun kepingan emas. Bentuk motif
yang digunakan untuk menghasilkan tekstil juga adalah bermotifkan unsur
semulajadi seperti seperti corak organik dan corak geometri. Oleh itu, wujudlah
tekstil utama dalam tamadun Melayu seperti songket, batik, tenunan bercorak dan
kain sarung. Selepas itu, wujud pula alat hiasan berbusana sebagai pelengkap
kepada busana yang dihasilkan seperti butang baju, tali pinggang, dokoh, bunga
malai, tiara, tanjak, songkok, terendak dan sebagainya. Justeru, keunikan seni
perhiasan dari segi pakaian ini masih dikekalkan di Malaysia kerana tekstil yang

5
dihasilkan ini mendapat tempat dalam pasaran antarabangsa dan mempunyai nilai
komersial untuk bersaing dengan produk-produk luar negara yang lain disamping
mengekalkan ciri-ciri kemelayuan dalam tekstil tersebut.

Selain itu, seni perhiasan juga dapat dilihat pada seni anyaman yang
dihasilkan oleh masyarakat Melayu. Seni anyaman yang dihasilkan ini diperbuat
daripada buluh, nipah, daun, lidi, rotan dan akar (Samri Sainuddin, 2003). Ini
bertujuan untuk dijadikan sebagai perhiasan dalam rumah serta membuat barang-
barang kegunaan seperti perkakas rumah. Antara hasil anyaman yang telah
dihasilkan adalah topi, tudung saji, bakul anyaman dan tikar. Sehingga kini,
masyarakat Melayu masih menggunakan hasil kraftangan tersebut dalam
kehidupan seharian atau digunakan untuk tujuan komersil bagi menjana
pendapatan.

2.1.4 Seni Penulisan

Seni penulisan dalam tamadun Melayu juga tidak kurang pentingnya dalam
mayarakat Melayu masa kini. Seni penulisan ini juga dapat dilihat dari segi
kesusasteraan yang dihasilkan dalam tamadun Melayu. Sebelum kedatangan Islam,
sastera dalam tradisi Melayu dibahagikan kepada dua jenis iaitu lisan dan tulisan.
Sastera lisan pula dipecahkan kepada dua bentuk iaitu bentuk cerita dan bukan
cerita. Sastera lisan bentuk cerita adalah seperti legenda (Mahsuri), mitos,
penglipurlara (Malim Deman), cerita binatang (Sang Kancil) dan cerita jenaka (Pak
Pandir) yang membawa kisah-kisah lampau. Manakala, sastera lisan bukan cerita
seperti peribahasa, pantun, mantera dan sebagainya pula menggambarkan falsafah
hidup, nilai-nilai serta sikap sesuatu masyarakat pada masa dahulu (Samri
Sainuddin, 2003).

Kesusasteraan Melayu klasik ini mempunyai keunikannya tersendiri dan


disampaikan sama ada bentuk lisan ataupun tulisan serta diturunkan dari satu
generasi ke generasi yang lain. Oleh hal yang demikian, sastera lisan berbentuk
cerita ini masih dikekalkan sehingga kini kerana cerita ini mempunyai nilai yang
tersendiri di samping mengandungi nilai dan ciri-ciri masyarakat setempat. Malah,
cerita yang disampaikan ini juga bertujuan untuk hiburan dan pengajaran walaupun
terdapat unsur-unsur khayalan yang dicampurkan dengan kenyataan atau fakta.

6
Justeru, kita dapat lihat dengan jelas bahawa cerita-cerita haiwan, jenaka, mitos dan
lain-lain ini masih lagi diceritakan kepada kanak-kanak bertujuan untuk hiburan dan
memberi nilai pengajaran dalam kehidupan mereka.

3.0 Tamadun China

Menurut Soo Khin Wah (2001), tamadun China merupakan salah sebuah tamadun
yang tertua di dunia dan berkesinambungan sehingga kini. Tamadun ini mempunyai
sifat-sifat terbuka dalm berinteraksi dengan tamadun-tamadun dunia lain, bersifat
integratif dan dinamik walaupun sering dicabar oleh tamadun yang lain. Walau
bagaimanapun, tamadun ini berjaya mengekalkan identitinya sebagai suatu
tamadun dan berjaya mengekalkan kesinambungannya tanpa terpengaruh dengan
tamadun yang lain.

3.1 Ciri-ciri Unik Tamadun China

Terdapat beberapa ciri-ciri unik dalam tamadun China dari aspek seni bina, seni
muzik, seni perhiasan dan seni penulisan. Melalui analisis yang dilakukan, terdapat
beberapa ciri unik dalam tamadun China yang masih dikekalkan sehingga kini.
Berikut merupakan ciri-ciri unik yang dibincangkan dalam setiap aspek kesenian:

3.1.1 Seni Bina

Terdapat beberapa seni bina dalam tamadun China yang dapat dilihat dari segi
binaan pada tembok, istana, kota dan sebagainya. Seni bina yang dihasilkan ini
mempunyai ciri keunikannya yang tersendiri sehingga boleh dipertahankan dan
dikekalkan sehingga sekarang. Seni bina dalam tamadun China mempunyai
beberapa ciri utama iaitu semua kota mempunyai satu tembok yang bertujuan
untuk pertahanan dan keselamatan. Menurut Teo Lay Teen (2001), tembok ini dibina
bukan sahaja untuk mengelilingi kota, malah ia juga bertujuan untuk memagari kuil-
kuil, istana dan rumah-rumah kediaman. Tembok kota ini unik kerana mempunyai
pintu yang dibuka pada waktu fajar dan ditutup pada waktu malam.
Tembok kota ini juga biasanya dikelilingi oleh menara dan parit lebar yang
penuh dengan air yang dalam. Salah satu tembok kota yang telah dihasilkan dalam
tamadun China ialah Tembok Besar China (Lampiran 4). Tembok ini merupakan
tembok yang paling besar dan terpanjang di dunia. Berdasarkan ciri unik yang

7
terdapat pada Tembok Besar China, maka tembok ini masih dikekalkan sehingga
kini kerana ia menjadi warisan yang dikagumi serta menjadi pusat tumpuan
daripada penduduk seluruh dunia. Tambahan pula, Tembok Besar China ini turut
diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Oleh itu, ia dijadikan sebagai
pusat pelancongan dan menjadi sumber ekonomi dan pendapatan negara sehingga
kini.
Seni bina tamadun China juga mempamerkan ciri yang unik dari segi
struktur, bentuk bumbung, dan warna yang banyak dipengaruhi oleh tradisi
masyarakat Cina. Bangunan-bangunan lama yang dibina kebanyakannya diperbuat
daripada material seperti kayu dan batu-bata. Hal ini kerana kayu merupakan bahan
binaan struktur utama dan juga digunakan sebagai medium untuk membuat ukiran,
lukisan dan perhiasan tradisional. Struktur bangunan lama ini diperbuat daripada
batang kepingan kayu yang disambung dengan rekaan cantuman yang khas dan
tanpa dipaku. Tiang pula diperbuat kayu balak besar dan batu kapur manakala jubin
digunakan untuk membuat lantai, dinding, makam, jambatan dan tugu peringatan
(Teo Lay Teen, 2001).
Menurut Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan (2008),
kayu juga digunakan secara meluas dalam seni bina China yang menghasilkan
beberapa ciri khas seni bina China. Antaranya ialah struktur bingkai kayu yang
digunakan dapat menentukan keluasan dan kedalaman ruang. Kayu yang
digunakan juga membolehkan pelbagai warna yang boleh digunakan untuk
mengecatnya.Oleh itu, sebuah platform telah dibina untuk mengelakkan kayu
daripada dimakan anai-anai selain menjadikan bangunan kelihatan lebih teguh,
sofistikated dan mewah. Seni bina China juga menunjukkan ciri-ciri unik tersebut
pada dinding, tiang atau bumbung bangunan seperti gambar naga, burung phoenix,
pemandangan, bunga dan burung.
Walau bagaimanapun, seni binaan tamadun China yang masih wujud
sehingga kini sangat berkurangan. Hal ini kerana sebahagian besar binaan yang
diperbuat daripada kayu tidak dapat bertahan lama kerana pengaruh iklim dan
cuaca. Antara bangunan kayu yang masih kekal sehingga kini adalah seperti Kota
Larangan yang terletak di Beijing, China yang kini menempatkan Muzium Istana
(Lampiran 5). Kota Larangan ini juga terkenal di negara China dan dunia kerana
keluasannya, mempunyai reka bentuk yang indah, serta merupakan sebuah
bangunan yang megah dan mewah. Bangunan ini masih kekal kerana ia telah

8
diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia pada tahun 1987 oleh UNESCO dan telah
disenaraikan sebagai himpunan terbesar struktur kayu yang terpelihara di dunia
(Universiti Utara Malaysia, 2017).
3.1.2 Seni Muzik

Tamadun China juga turut mempunyai ciri-ciri yang unik dalam seni muzik. Menurut
Mashitah Sulaiman dan Adibah Sulaiman (2011), muzik Cina klasik merupakan salah
satu sistem muzik yang paling lama dan paling berkembang dalam dunia ini. Muzik
klasik masyarakat China bermula di istana, perayaan rakyat dan peristiwa yang
berkaitan dengan agama dipercayai bermula pada tahun 2697 S.M.. Dalam buku Li
ji telah merekodkan bahawa muzik yang dihasilkan adalah hasil harmoni antara
langit dengan bumi. Confucius juga menyokong pendapat ini yang menyatakan
bahawa muzik yang teragung adalah muzik yang berharmoni dengan alam sekitar
dan muzik ini merupakan suatu cara untuk manusia menunjukkan kegembiraannya
(Ros Aiza, Abd Hakim, Dg Hafizah, & Siti Halimah, 2012).

Terdapat dua pembahagian muzik dalam perkembangan muzik tamadun


China iaitu muzik rakyat dan muzik golongan atasan. Muzik rakyat ini merupakan
asas perkembangan muzik Cina kerana ia berkaitan dengan kehidupan rakyat,
manakala muzik golongan atasan pula muncul yang telah mengubahsuai muzik
rakyat. Alat-alat muzik Cina dikategorikan mengikut bahan akustik yang digunakan
dan cara sesuatu alat itu dimainkan. Bahan yang digunakan adalah termasuk
logam, batu, tanah liat, sutera, kayu, labu dan buluh. Manakala, cara sesuatu alat
muzik itu dimainkan adalah seperti meniup, genderang, memetik dan menggesek.
Antara contoh alat muzik Cina ialah pipa yang berbentuk pir dan mempunyai antara
4 atau 5 tali (Lampiran 6).

Oleh hal yang demikian, seni muzik sangat penting dalam perkembangan
tamadun China. Hal ini kerana muzik Cina mempunyai ciri-ciri unik yang tersendiri
dan dimainkan dalam pelbagai keraian seperti upacara istana, perayaan rakyat dan
upacara keagamaan. Menurut Suffian Mansor (2003), selain memberikan hiburan
kepada pendengar, muzik juga digunakan sebagai salah satu cara untuk memberi
nasihat dan gambaran kepada masyarakat ketika itu. Malah, pengaruh muzik Cina
juga dapat dilihat pada muzik tamadun-tamadun lain seperti muzik Korea dan muzik
Vietnam hasil daripada interaksi antara tamadun. Pengaruh muzik Cina yang

9
tersebar ke Korea masih digunakan dalam upacara keagamaan dan masih
dikekalkan sebagai muzik sembahyang sehingga kini.

Walau bagaimanapun, hanya beberapa seni muzik sahaja yang telah


dikekalkan dalam masyarakat Cina di Malaysia. Antara aktiviti muzik yang sering
dimainkan adalah Opera Cina dan Orkestra Cina dengan menggunakan alat muzik
yang diimport daripada China.

3.1.3 Seni Perhiasan

Seni perhiasan juga tidak kurang pentingnya dalam tamadun China. Seni perhiasan
ini termasuklah seni ukir, seni tembikar, seni logam, perabot dan pakaian. Salah
satu contoh seni perhiasan dalam tamadun China ini dapat dilihat dengan jelas
pada batu jed yang digunakan dalam masyarakat China. Menurut
Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan (2008), jed
mempunyai kedudukan yang istimewa dalam masyarakat Cina. Abdullah Azmi
Abdul Khalid, Loh, W.L., dan Thami Munisah Mohd Yusoff (1993) juga menyatakan
bahawa batu jed ini juga digunakan dalam pemujaan dan perhiasan. Walaupun ia
tidak mempunyai nilai komersil, tetapi ia dinilai untuk kekerasan, tekstur dan warna.
Semasa zaman Dinasti Shang dan Chou, batu jed ini digunakan secara meluas
untuk membuat senjata, alat kebesaran dan alat perhiasan yang melambangkan
objek binatang dan manusia.

Batu jed ini juga dianggap sebagai lambang pangkat dan kedudukan. Selain
itu, ia turut melambangkan kebaikan, keluhuran budi pekerti, kemuliaan dan
keindahan (CRI Online, 2014). Melalui hasil kajian sains dan teknologi, bagi orang
yang sering memakai jed, bahan-bahan kimia yang terdapat dalam jed seperti
unsur galian silika dapat menyerap ke dalam tubuh badan si pemakai menerusi kulit
mereka. Hal ini amat berkesan dalam membantu untuk merawat penyakit (CRI
Online, 2010). Oleh itu, penggunaan batu jed ini masih lagi dikekalkan sehingga kini
kerana ia mempunyai fungsi dan dikatakan memberi manfaat kepada tubuh
manusia. Sebagai bukti, batu jed ini dapat dilihat pada perhiasan barang kemas
seperti cincin, rantai, gelang, serta perhiasan rumah.

10
3.1.4 Seni Penulisan

Seni penulisan dalam tamadun China ini dapat dilihat pada seni kaligrafi, bahasa
dan kesusasteraan. Bahasa Cina dapat mengekalkan identitinya walaupun negara
China pernah ditakluki oleh orang asing seperti Mongol dan orang Manchu. Sifat
tulisan Cina yang berbentuk grafik ini pula telah meninggalkan kesan terhadap
kesusasteraan China dan penyebarannya. Antara sumbangan terbesar tamadun
China adalah dalam bidang kesusasteraan. Menurut Ros Aiza, Abd Hakim, Dg
Hafizah, dan Siti Halimah (2012), dua bidang sastera yang dipandang tinggi oleh
orang Cina adalah puisi dan prosa.

Antologi puisi China yang terawal ialah Shi Jing yang mengandungi 305 buah
koleksi nyanyian atau puisi yang dikumpulkan oleh Konfusius semasa pemerintahan
dinasti Chou. Menurut Abdullah Zhidi Omar, Roslina Suratnu, Mohd Nahi Abdullah,
Mohd Hilmi, Raudhah Ali, dan Mahdi Shuid (2015), puisi China yang dihasilkan ini
mempunyai ciri unik iaitu berkait rapat dengan muzik kerana sifatnya yang padat
dan singkat serta mempunyai fungsi sosial dan politik selain memfokuskan kepada
fungsi sastera sahaja. Antara contoh antologi puisi Cina ialah Chu Ci (Nyanyian Chu)
yang berasal daripada muzik dan tarian.

Menurut Ros Aiza, Abd Hakim, Dg Hafizah, dan Siti Halimah (2012) pula, prosa
dikategorikan kepada tiga jenis genre iaitu Fu (puisi bercampur prosa), pianwen
(prosa selari) dan bagu wenzhang (eight-legged essay) yang menjadi kayu
pengukur paling utama dalam menggredkan calon peperiksaan perkhidmatan

11
awam. Teo Lay Teen (2001) juga menyatakan bahawa prosa jenis bagu ini
mensyaratkan bahawa penulis perlu mematuhi pelbagai syarat dari segi kandungan
dan bentuk apabila menulis. Oleh itu, prosa jenis bagu begitu dominan dalam
bidang penulisan Cina selama berabad-abad. Melalui ciri-ciri yang terdapat dalam
kesusasteraan Cina, maka dilihat dengan jelas bahawa penggunaan prosa dan puisi
Cina masih dikekalkan sehingga kini kerana ia masih digunakan sebagai bahan
rujukan yang berkisarkan tentang sejarah serta corak hidup masyarakat Cina dalam
bidang politik, ekonomi dan budaya.

Bukan itu sahaja, drama Cina juga merupakan salah satu bentuk sastera yang
berbentuk puisi yang menarik kerana ia digubah mengikut bunyi muzik tertentu.
Antara contoh drama Cina yang paling menarik ialah zaju. Menurut Teo Lay Teen
(2001), zaju bukan sahaja berfungsi untuk memberi hiburan, tetapi ia juga
berperanan sebagai pengkritik sosial yang berjaya mendapat tempat dan simpati
daripada penonton. Hasil daripada perkembangan drama yang semakin giat dan
popular ini juga telah melahirkan opera Cina yang menjadi salah satu kegemaran
ramai masyarakat Cina dan persembahan opera Cina ini masih dikekalkan sehingga
kini.

5.0 Rumusan

Kesimpulannya, ciri-ciri yang mendasari sesebuah tamadun dapat dilihat melalui


pembangunan bandar atau kota. Di samping itu, ciri-ciri seperti tingkah laku yang
luhur dan budi pekerti yang halus perlu dimiliki dalam sesebuah masyarakat
bertamadun. Malah, kemajuan sesebuah tamadun dapat dilihat dari segi
pencapaiannya dalam pelbagai bidang seperti bahasa dan kesusasteraan, seni bina,
seni muzik, seni perhiasan, seni penulisan dan sebagainya. Hal ini penting bagi
meneruskan kemajuan sesebuah tamadun agar terus berkekalan sehingga kini.
Namun, pencapaian dalam sesebuah masyarakat bertamadun tidak akan
berkembang sekiranya pencapaian dalam bidang material tidak dilengkapi dengan
unsur-unsur moral atau kerohanian. Oleh itu, tamadun Melayu dan tamadun China
yang dibincangkan dalam tugasan ini banyak memberikan sumbangan terhadap
kehidupan sesebuah tamadun masa kini khususnya di negara Malaysia. Ditambah
lagi dengan kemajuan dalam bidang teknologi, maka seni-seni yang dihasilkan

12
dalam kedua-dua tamadun ini dapat dipelihara dan dipulihara ciri-ciri keunikannya
agar terus berkekalan sepanjang zaman.

6.0 REFLEKSI

Melalui tugasan kerja kursus ini, saya dapati bahawa pentingnya kemajuan
sesebuah tamadun dalam pelbagai bidang seperti bidang bahasa dan
kesusasteraan dan bidang kesenian. Hal ini penting kerana tanpa kemajuan dan
pencapaian dalam bidang tersebut, maka keunikan yang mencerminkan sesebuah
tamadun tidak akan berkembang dan mudah hilang ditelan zaman. Namun,
sesebuah tamadun yang hebat akan berusaha untuk mengekalkan keunikan dan
kemajuannya walaupun diancam dan dipengaruhi oleh tamadun-tamadun yang lain.
Contoh ini dapat dilihat pada tamadun China yang telah berjaya mengekalkan
identitinya dan berkesinambungan sehingga kini walaupun sering dicabar oleh
tamadun yang lain. Hal ini demikian kerana sifat-sifat terbuka yang diamalkan oleh

13
tamadun tersebut telah berjaya untuk berinteraksi dengan tamadun yang lain
dengan baik di samping dapat mengekalkan identitinya yang tersendiri.

Seterusnya, saya berpendapat bahawa hasil interaksi antara tamadun juga


penting bagi menghasilkan budaya, agama dan kepercayaan masing-masing. Hal ini
penting kerana tanpa wujudnya interaksi antara sesebuah tamadun dengan
tamadun yang lain, maka pertukaran dan silang budaya tidak akan berlaku. Ini akan
menyebabkan sesebuah tamadun itu mudah mengalami kemerosotan dan tidak
mempunyai keunikan yang boleh dikekalkan sehingga kini. Melalui ciri-ciri unik
tamadun Melayu dan tamadun China yang telah saya bincangkan dalam tugasan
ini, saya percaya bahawa interaksi antara dua tamadun ini juga turut berlaku
melalui pelbagai cara dan hasil interaksi ini telah berjaya membawa beberapa
perubahan dan asimilasi budaya dalam kedua-dua tamadun. Misalnya, pengaruh
tamadun China dalam tamadun Melayu dapat dilihat pada seni bina masjidnya yang
mempunyai ciri-ciri binaan China pada bumbungnya. Oleh itu, saya dapat buktikan
bahawa interaksi antara tamadun sangat berpengaruh dalam pencapaian sesebuah
tamadun yang maju.

Justeru, melalui ciri-ciri yang terdapat dalam kedua-dua tamadun ini, saya
dapat simpulkan bahawa nilai kerjasama dan kepimpinan yang berwibawa dan
berkaliber akan dapat mempertahankan nilai budaya dalam sesebuah tamadun
dalam jangka masa yang panjang. Sifat daya saing yang tinggi dan semangat yang
kuat dalam diri seseorang individu perlu dipertingkatkan agar mudah untuk
menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran pada masa akan datang. Oleh itu,
sikap tamadun masyarakat Cina dan Melayu pada masa dahulu dalam memajukan
tamadun mereka perlu dicontohi agar kita sentiasa berusaha meningkatkan
pencapaian diri dalam pelbagai aspek lahiriah dan rohaniah.

7.0 RUJUKAN

Abdullah Azmi Abdul Khalid, Loh, W.L., & Thami Munisah Mohd Yusoff. (1993). Atlas
sejarah: Malaysia dan dunia. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Abdullah Zhidi Omar, Roslina Suratnu, Mohd Nahi Abdullah, Mohd Hilmi Rozali,
Raudhah Ali, & Mahdi Shuid. (2015). Tamadun Islam dan Tamadun Asia.
Petaling Jaya: Sasbadi Sdn. Bhd.
Abu Hassan Sham, Hashim Ismail, Hashim Musa, Rahmah Bujang, & Yaacob Harun.
(2001). Bahasa, kesusasteraan, kesenian, proses sosialisasi dan pembudayaan

14
masyarakat Melayu. Dlm. Tamadun Islam dan Tamadun Asia. Kuala Lumpur:
Universiti Malaya.
Azhar Mad Ros, Azharudin Mohd Dali, Arbaiyah Mohd Noor, & Salinah Zainol.
(2000). TITAS Kertas 1. Selangor: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Chandra Muzaffar, Che Wan Jasimah, Hashim Musa, & Mohd Zuhdi Marsuki. (2001).
Pengenalan ilmu ketamadunan. Dlm. Tamadun Islam dan Tamadun Asia. Kuala
Lumpur: Universiti Malaya.
CRI Online. (2010, Jun 7). Penjelasan tentang batu jed. Dimuat turun pada 31 Mac
2017 dilaman web: http://malay.cri.cn/701/2010/06/07/242s111929.htm
CRI Online. (2014, April 24). Batu jed. Dimuat turun pada 31 Mac 2017 dilaman web:
http://malay.cri.cn/621/2014/04/24/27s148526.htm
Ghazali Darusalam. (2001). Sumbangan sarjana dalam tamadun Islam. Kuala
Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Mashitah Sulaiman & Adibah Sulaiman. (2011). Tamadun Islam dan Tamadun Asia.
Negeri Sembilan: Universiti Sains Islam Antarabangsa.
Mohd Firrdhaus Mohd Sahabuddin. (2016). Rumah tradisional Melayu: Antara sains,
seni dan realiti. Dimuat turun pada 31 Mac 2017 dilaman web:
http://www.majalahsains.com/rumah-tradisional-melayu-antara-seni-sains-
kuno-realiti/
Mohd Koharuddin Mohd Balwi. (2005). Peradaban Melayu. Johor: Universiti Teknologi
Malaysia.

Nurwahdatul Elya. (2011). Rumah-rumah tradisional di Malaysia. Dimuat turun pada


31 Mac 2017 dilaman web: http://elya-iz.blogspot.my/
Roz Aiza Mohd Mokhtar, Abd Hakim Mohad, Dg Hafizah Ag Basir, & Siti Halimah
Putung. (2012). Tamadun Islam dan tamadun Asia. Selangor: Penerbitan
Multimedia Sdn. Bhd.
Samri Sainuddin. (2003). TITAS: Tamadun Melayu. Perak: Quantum Books.
Sivachandralingam Sundara Raja & Ayadurai Letchumanan. (2008). Tamadun dunia
kertas 1. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Teo Lay Teen. (2001). Tamadun Cina: Kesusasteraan, kesenian, sains dan teknologi
Cina. Dlm. Tamadun Islam dan Tamadun Asia. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Universiti Utara Malaysia. (2017). Perkembangan tamadun China dan Kota
Larangan. Dimuat turun pada 31 Mac 2017 dilaman web:
https://www.coursehero.com/file/21052954/KOTA-LARANGAN2pptx/?
openRetag=true

15
LAMPIRAN 1

16
Gambar 1: Candi di Lembah Bujang, Kedah

LAMPIRAN 2

Gambar 2: Masjid Wilayah Persekutuan

LAMPIRAN 3

Gambar 3: Rumah berbumbung limas, Terengganu

LAMPIRAN 4

17
Gambar 4: Tembok Besar China

LAMPIRAN 5

Gambar 5: Kota Larangan, Beijing


LAMPIRAN 6

Gambar 6: Alat muzik China Pipa

18

Vous aimerez peut-être aussi