Vous êtes sur la page 1sur 14

Unit 3 Kaunseling Individu Ideal -

UPM

Unit 3
Kaunseling Individu

Objektif

Setelah mengikuti unit ini, anda dapat

1. Memahami konsep kaunseling individu dan peringkat-


peringkatnya
2. Mengetahui tanggungjawab kaunselor dan klien
3. Mengetahui beberapa kemahiran asas kaunseling

3.1 Pengenalan
Kaunseling individu merupakan satu perhubungan yang melibatkan seorang kaunselor
dan seorang klien. Perhubungan ini dikaitkan dengan proses interaksi, menolong dan
pertemuan bersemuka antara kaunselor dan kliennya. Dalam era teknologi masa kini,
penggunaan elektronik mel juga telah diterimapakai sebagai perantara yang boleh
digunakan oleh individu yang bermasalah untuk berhubung dengan mereka yang
berada dalam profesyen kaunseling.

Perkhidmatan kaunseling tidak sama dengan memberi nasihat. Kaunseling merupakan


hubungan interaksi dua hala yang aktif di mana seorang kaunselor akan membantu
klien memahami diri dan alamnya. Kaunselor tidak boleh memaksa klien untuk
menurut kata atau nilai yang dipegangnya tetapi kaunselor boleh memainkan peranan
yang aktif dalam memudahkan klien melihat ke dalam dirinya. Proses ini akan
membantu klien memahami diri dari segi kelemahan dan kekuatan, punca masalah
yang sedang dihadapinya dan bagaimana dia boleh memainkan peranan untuk
menangganinya. Dalam erti kata lain, kaunseling individu memberi klien ruang untuk
meneroka, memahami dan mencari penjelasan kepada corak kehidupan yang sedang
dilaluinya dengan bimbingan seorang kaunselor. Harapannya melalui proses
kaunseling, klien akan berusaha untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik dan
efektif.

Perhubungan menolong yang wujud dalam perkhidmatan kaunseling menekankan


kepada kerahsiaan di mana identiti klien dan maklumat yang dikongsi semasa sesi
tidak boleh dihebohkan kepada umum. Kaunselor mesti menghormati hak
keistimewaan klien tersebut.

25
Unit 3 Kaunseling Individu Ideal -
UPM

3.2Siapa Itu Klien?

Klien ialah seorang individu yang bertemu kaunselor untuk mendapatkan


perkhidmatan kaunseling untuk membantu dirinya membuat keputusan, mengatasi
dilema, konflik dan kemusykilan yang sedang dihadapinya. Tidak semua individu
sesuai menjadi klien. Ivey dan Simek-Downing (1980) memberi gambaran tentang
ciri-ciri seorang klien seperti berikut.

Clients usually come for counseling because they have some degree of decisional
conflict and because they are blocked in their behaviors, thoughts and feelings. The
client frequently has unfinished business and needs to broaden his perspective, break
old behavior patterns, develop new behaviors, and choose fulfilling alternatives.
(ms. 29)

3.3 Bagaimana Seseorang Menjadi Klien

Seorang individu boleh terlibat dalam perhubungan kaunseling melalui beberapa cara.
Peterson dan Nisenholz (1995) memberi tiga kategori klien yang bertemu kaunselor.
Menurut mereka, terdapat klien yang datang secara sukarela, atas cadangan seseorang
atau dipaksa.

3.3.1 Sukarela

Klien yang memilih datang secara sukarela selalunya sedang mengalami perasaan
tidak menyenangkan. Dia menerima bahawa dia mempunyai masalah. Pada dirinya
timbul keinginan untuk mencari penyelesaian pada masalah tersebut dan ingin
memperbaiki diri dan mengukuhkan perhubungan dengan individu lain. Dia
mengetahui tentang keujudan perkhidmatan kaunseling dan mempercayai bahawa
perkhidmatan ini dapat membantunya. Tahap kejayaan individu yang begini juga
tinggi sebab mereka mempunyai pengetahuan asas tentang proses kaunseling dan
didorong oleh motivasi dalaman untuk memperbaiki diri.

3.3.2 Cadangan / Rujukan

Individu yang berada di dalam kategori ini tahu dia mempunyai masalah tetapi tidak
dapat mengenal pastinya atau tidak tahu siapa yang boleh membantu. Individu yang
rapat dengannya mungkin memberi beberapa cadangan untuk membantunya dan juga
mencadangkan beberapa agensi yang mungkin boleh membantunya secara lebih
sistematik. Oleh sebab rujukan dan cadangan ini datang daripada sumber luaran
bukan dari motivasi dalaman maka tahap kejayaan mungkin kurang.

3.3.3 Paksaan

Individu ini mungkin dihantar untuk perkhidmatan kaunseling atas perintah


mahkamah atau pihak berkuasa yang lain seperti guru, majikan atau pegawai

26
Unit 3 Kaunseling Individu Ideal -
UPM

kebajikan masyarakat. Oleh kerana klien dipaksa maka klien mungkin tiada inisiatif
untuk berubah.

3.4Siapa Itu Kaunselor?

Kaunselor adalah individu yang memilih bidang kaunseling sebagai profesyennya.


Dia mungkin didorong oleh minat pada bidang tersebut atau dipengaruhi oleh faktor-
faktor lain. Peterson dan Nisenholz (1995) menyatakan terdapat empat keperluan
yang cuba dipenuhi oleh individu yang memilih kaunseling sebagai kerjaya. Antara
keperluan yang telah dikenal pasti ialah

1. keinginan untuk membuat perubahan,


2. keinginan untuk menjadi berguna dan menjaga orang lain,
3. keinginan untuk memahami dan menyelesaikan masalah sendiri, dan
4. keinginan kepada kuasa, pengaruh dan status.

Keinginan untuk memenuhi keperluan di atas mungkin disedari oleh sesetengah


kaunselor tetapi terdapat juga kaunselor yang memberi alasan minat semata-mata.
Keinginan tersebut boleh membawa kesan dan juga kesan dalam proses
perkembangan diri seorang kaunselor tetapi yang penting kaunselor mesti meletakkan
kepentingan klien sebagai matlamat utamanya.

3.5 Ciri-Ciri Seorang Kaunselor

Sebagai seorang kaunselor, seseorang itu mesti mempunyai tahap kemahiran


kaunseling yang tertentu. Latihan khusus dan keupayaan mengaplikasi teori-teori
kaunseling semasa mengendalikan sesi amat penting. Selain daripada itu, seperti
bidang professional yang lain individu ini juga perlu melengkapkan diri dengan
beberapa ciri yang tertentu.

Dalam membincangkan bentuk tanggungjawab professional berkaitan amalan


kaunseling, Boy dan Pine (1980) menghuraikan tentang enam ciri utama yang perlu
dipunyai oleh seorang kaunselor professional. Ciri-ciri tersebut dapat membantu
seorang kaunselor itu untuk menjalankan tugas masing-masing dengan cekap dan
berkesan. Enam ciri utama yang telah dikenalpasti ialah:

1. sentiasa mementingkan klien


2. mempunyai dan mematuhi kod etika tugas dan peranan
3. mempunyai kelayakan yang sesuai dalam bidang kaunseling
4. mempunyai sistem pengiktirafan (pelesenan) atau program latihan yang
diakreditasikan
5. menganggotai pertubuhan yang berkaitan dengan kaunseling
6. sentiasa berusaha mempertingkatkan kecekapan diri.

27
Unit 3 Kaunseling Individu Ideal -
UPM

Pengarang yang lain seperti George dan Cristiani (1995), dan Peterson dan Nisenholz
(1987) pula menyenaraikan ciri-ciri berikut sebagai sesuai dipunyai oleh mereka yang
ingin bergelar kaunselor professional.

1. mesra
2. senang didampingi
3. bersikap terbuka
4. ikhlas untuk menolong; tidak berpura-pura
5. sedar akan nilai dan kepercayaan yang dimiliki olehnya
6. bersedia mengambil risiko
7. berupaya menjalin hubungan baik dengan orang lain
8. bertanggungjawab di atas tindakan yang diambil
9. boleh berjenaka
10. pandai berkomunikasi
11. berpengetahuan
12. mempunyai nilai etika dan moral yang tinggi
13. boleh dipercayai
14. ada kekuatan mental
15. bertenaga dan tinggi motivasi

Kaunselor yang mempunyai sebahagian besar daripada ciri-ciri di atas telah didapati
senang diterima oleh klien dan berjaya meninggalkan kesan positif ke atas perubahan
diri klien (Corey & Corey, 1993).

Di samping itu seorang juga perlu menunjukkan sifat menyayangi dan menghormati
dirinya dan tidak memperalatkan orang lain untuk memenuhi keperluannya.
Kaunselor yang berjaya berasa selamat menjadi dirinya yang sebenar, dan tidak
bergantung kepada orang lain untuk mendapatkan penghormatan dan penghargaan
daripada klien-kliennya.

3.6 Suasana Teraputik

Suasana teraputik merujuk kepada suatu persekitaran yang boleh membuatkan


seseorang merasa selesa, selamat, diterima, dipercayai, dihormati dan dihargai.
Terdapat beberapa kualiti yang mempunyai nilai teraputik yang boleh menggalakkan
seorang klien menerima proses kaunseling. Rogers (1961) dan George dan Cristiani
(1995) bersetuju bahawa dua suasana utama iaitu rasa kepercayaan dan penerimaan
perlu wujud sebelum suasana teraputik boleh terbentuk. Rasa kepercayaan adalah
teras kepada perhubungan kaunseling. Klien kerap kali merasa bimbang dan takut
semasa pertama kali bertemu kaunselor. Sekiranya klien merasa kaunselor sebagai
seorang yang boleh dipercayai maka dia akan berani mengambil risiko untuk
berkongsi tentang pemikiran, perasaan, kebimbangan dan ketakutannya. Apabila rasa
kepercayaan terhadap kaunselor meningkat, potensi untuk klien berkembang dan
berubah juga menjadi semakin positif.

Sikap menerima diri klien akan menggalakkan kaunselor mendengar dan memberi
sepenuh perhatian kepada cerita klien. Kaunselor akan mengelak daripada membuat

28
Unit 3 Kaunseling Individu Ideal -
UPM

penilaian awal. Dia akan menghargai diri klien sebagai seorang yang unik dengan
pandangan, nilai dan kelakuannya. Sikap menerima ini juga akan menunjukkan
kepada klien bahawa kaunselor menghormatinya sebagai individu yang mempunyai
harga diri. Di pihak klien pula, dia merasai difahami dan dihargai. Rogers di dalam
bukunya On Becoming a Person (1961) memberi gambaran bagaimana sikap
penerimaan kaunselor boleh memberi kesan positif ke atas perubahan diri klien:

If I can create a relationship characterized on my part: by a genuineness and


transparency in which I am my real feelings by a warm acceptance of and prizing of
the other person as a separate individual; by a sensitive ability to see his work and
himself as he sees them; Then the other individual in the relationship: will experience
and understand aspects of himself which previously he has repressed; will find
himself becoming better integrated, more able to function effectively; will become
more similar to the person he would like to be; will be more self-directing and self-
confident; will become more of a person, more unique and more self-expressive; will
be more understanding, more acceptant of others; will be more able to cope with the
problems of life more adequately and more comfortably (ms. 37-38)

Dengan kehadiran kedua-dua ciri tersebut, kaunselor berada pada kedudukan selamat
dan yakin bahawa dia telah berjaya menyediakan satu suasana untuk klien terus
menghadirkan diri untuk proses kaunseling yang selanjutnya. Untuk memastikan yang
klien terus merasa dihargai, diterima dan selesa, suasana teraputik perlu dibentuk.

Terdapat tiga kualiti yang perlu ada untuk suasana teraputik wujud iaitu kongruen
(congruence, or genuineness), kefahaman empati (empathic understanding) dan
menghargai atau menghormati (positive regard or respect). Kongruen bermaksud
kebolehan kaunselor untuk menjadi dirinya yang sebenar tanpa perlu berpura-pura
atau bertopeng. Dia menggunakan tanggungjawabnya sebagai kaunselor untuk
mendekati dan menerima klien. Dia berupaya berkongsi pengalaman dan perasaannya
dengan ikhlas. Apa yang dikatakan, itulah yang sebenarnya. Situasi begini akan
memudahkan klien mempercayai keikhlasan kaunselor dan proses kaunseling boleh
berjalan dengan lancar.

Kefahaman empati pula merujuk kepada keupayaan kaunselor memberi maklumbalas


secara sensitif tentang perasaan dan pengalaman klien seolah-olah dia sendiri pernah
mengalaminya. Dia mendengar seperti mana klien mendengar dan dapat merasai apa
yang dirasai klien. Dalam erti kata lain, kefahaman empati bermakna kaunselor
melihat sesuatu situasi dari perspektif klien. Ini juga bermakna kaunselor perlu
membebaskan dirinya daripada cepat membuat penilaian atau menghukum klien.
Rogers (1961) menerangkan kesan empati ke atas salah seorang kliennya.

If I am truly open to the way of life as experienced by another person if I can take
his world into mine then I run the risk of seeing life in his way, of being changed
myself, and we all resist change. So we tend to view this other persons world only in
our terms, not in his. We analyze and evaluate it. We do not understand it. But when
someone understands how it feels and seems to be me, without wanting to analyze or
judge me, then I can blossom and grow in that climate. (ms. 90)

29
Unit 3 Kaunseling Individu Ideal -
UPM

Dengan cara menghargai atau menghormati klien, seorang kaunselor memberitahunya


bahawa dia diterima seadanya. Kaunselor tidak menilai, melabel atau menghukum
klien berdasarkan tindakan atau perasaannya. Kaunselor menerimanya dengan fikiran
dan perasaan terbuka. Kaunselor boleh menunjukkannya secara terbuka melalui kata-
kata yang disesuaikan dengan kelakuan dan nada suara. Kata-kata seperti Saya
mengambil berat tentang diri anda, Saya risau tentang anda, memberitahu klien
perasaan kaunselor secara terbuka.

Selain daripada lima kualiti yang disebut di atas, pemilihan tempat yang sesuai dan
kondusif juga memainkan peranan penting. Tempat yang terlalu terbuka di mana
identiti dan butir perbualan klien dapat didengari oleh individu lain dianggap tidak
memenuhi syarat menjaga kerahsiaan klien. Tempat yang tertutup tanpa tingkap juga
boleh menimbulkan rasa cemas dan bimbang di hati klien. Mizan Adiliah dan
Halimathun (1997) memberi beberapa garis panduan tentang suasana bilik yang
sesuai. Menurut mereka, keadaan bilik kaunseling mestilah tidak terlalu panas,
sempit, bising atau dekat dengan tempat laluan orang ramai. Kerusi tidak
menyakitkan pinggang, atau bergoyang-goyang sehingga mengganggu tumpuan klien
atau kaunselor. Warna cat bilik yang terlalu terang seperti merah atau biru gelap juga
boleh mengganggu tumpuan sesi. Sebaliknya warna-warna lembut seperti merah
jambu, kuning cair atau ungu boleh memberi kesan ketenangan kepada diri klien.

Ringkasnya untuk mewujudkan suasana teraputik kaunselor perlu memastikan dirinya


dilengkapi dengan beberapa kualiti yang sesuai; dan pada ketika yang sama juga
memberi perhatian kepada persekitaran di mana sesi kaunseling hendak dikendalikan.

3.7 Kemahiran Asas Kaunseling

Terdapat beberapa kemahiran yang perlu dikuasai oleh seorang kaunselor sebelum dia
memulakan sesi kaunseling dengan klien. Setiap kemahiran yang dipelajari
diaplikasikan dengan penekanan yang berbeza-beza bergantung kepada keperluan sesi
dan peringkat kaunseling. Secara ringkasnya, antara kemahiran yang perlu dikuasai
oleh seorang kaunselor adalah seperti berikut.

3.7.1 Melayan

Kemahiran melayan mula digunakan sebelum sesi kaunseling berjalan. Kaunselor


menunjukkan sikap menerima kehadiran klien dengan menjemput sendiri klien masuk
ke dalam bilik. Memberi senyuman dan bertanya khabar adalah antara respon
permulaan yang boleh membuatkan klien merasa selesa. Selain daripada itu, melayan
juga melibatkan gerak tubuh badan seperti mengadakan kontak mata dengan klien,
duduk dengan menundukkan badan sedikit ke arah klien dan mengelakkan daripada
menyilang tangan di dada memberitahu klien bahawa kaunselor senang menerima
kedatangan klien.

30
Unit 3 Kaunseling Individu Ideal -
UPM

Ia juga memberitahu klien bahawa kaunselor bersedia memberi sepenuh tumpuan


untuk mendengar percakapan klien.

3.7.2 Memberi Dorongan Minima

Kemahiran ini digunakan pada awal sesi kaunseling untuk menggalakkan klien terus
bercerita. Antara contoh dorongan minima ialah seperti menganggukkan kepala,
senyuman, wajah yang tenang atau menggunakan separa bahasa seperti Mmm!
Mmm!, Hmm! Hmm!.

3.7.3 Mendengar

Mendengar merupakan kemahiran yang paling asas dan penting dalam proses
kaunseling. Kaunselor yang mendengar dengan baik percakapan klien akan dapat
memahami dengan tepat apa yang cuba disampaikan oleh klien. Proses mendengar
dari perspektif kaunseling memberi penekanan kepada mendengar isi kandungan yang
diperkatakan, perasaan yang dilahirkan melalui tingkah laku tanpa lisan, juga
mendengar perasaan yang dinyatakan (Mizan Adiliah & Halimathun, 1997).
Sekiranya kemahiran ini berjaya dikuasai dengan baik ia akan memudahkan
penggunaan kemahiran kaunseling yang lain.

3.7.4 Refleksi

Refleksi adalah keupayaan kaunselor memahami klien dari sudut pandangan klien itu
sendiri. Refleksi boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu refleksi isi, refleksi
perasaan dan refleksi pengalaman. Refleksi isi ialah menyatakan semula idea yang
disampaikan oleh klien menggunakan perkataan yang ringkas, padat dan tepat.
Refleksi perasaan ialah kaunselor menyatakan semula perasaan dan sikap klien
samada yang terang atau yang tersembunyi. Refleksi pengalaman merangkumi
pemerhatian kaunselor ke atas pertuturan lisan dan gerak tubuh badan klien semasa
berkongsi pengalaman atau perasaan. Cara duduk, nada suara, air muka, pergerakan
mata dan seluruh bahasa tanpa lisan klien akan diberi perhatian oleh kaunselor.

3.7.5 Paraprasa

Paraprasa adalah respon kaunselor dalam ayat yang pendek terhadap isi percakapan
klien. Kemahiran ini sesuai digunakan di peringkat awal hubungan kaunseling kerana
ia merupakan penyataan semula kenyataan dan mesej yang dikatakan klien, dan
kaunselor mengulangnya semula untuk mendapat kepastian klien.

3.7.6 Menyoal

31
Unit 3 Kaunseling Individu Ideal -
UPM

Kemahiran menyoal boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu menyoal soalan tertutup
dan soalan terbuka. Soalan tertutup menghadkan jawapan kepada satu atau beberapa
perkataan sahaja. Tujuannya untuk mendapatkan maklumat yang khusus atau untuk
mendapatkan kepastian bagi sesuatu fakta. Soalan tertutup melibatkan perkataan
seperti Adakah ?, Siapakah?, Berapakah ?, Bilakah ?, dan Dimanakah
?

Soalan terbuka pula memberi peluang kepada klien untuk membincangkan,


menjelaskan atau menghuraikan sesuatu isu dengan panjang lebar. Ia memberi ruang
kepada klien untuk meluahkan perasaannya mengikut arah yang dipilihnya sendiri
dikhususkan oleh kaunselor (George & Cristiani, 1995; Mizan Adiliah & Halimathun,
1997). Soalan terbuka boleh menimbulkan rasa selesa dan kurang defensif di pihak
klien. Soalan yang digunakan kerapkali dimulakan dengan Bagaimana ?,
Mungkinkah ? dan Apakah ?

3.7.6 Meminta Penjelasan

Kaunselor menggunakan kemahiran ini sekiranya terdapat kekeliruan atau perubahan


pada percakapan, tingkahlaku atau emosi klien. Ia bertujuan untuk kaunselor
memastikan dia benar-benar memahami perasaan yang sedang dialami oleh klien.

3.7.7 Merumus

Kemahiran merumus merangkumi aspek mengulang dan menjelaskan apa yang


diucapkan oleh klien. Kaunselor merumus sesuatu perbincangan dengan menekankan
perkara-perkara penting atau tema-tema utama yang mengandungi isi dan perasaan
klien. Merumus juga memudahkan usaha memfokus permasalahan klien. Terdapat dua
bentuk rumusan yang digunakan dalam sesi kaunseling iaitu rumusan kecil dan
rumusan besar.

Rumusan kecil dibuat beberapa kali dalam satu sesi. Ianya bertujuan untuk membantu
klien dan kaunselor mengingat semula apa yang dibincangkan, memberi fokus kepada
isu tertentu dan memastikan persepsi kedua-dua pihak berada di tahap yang sama.
Rumusan kecil juga digunakan untuk memulakan sesi baru supaya ia dapat membantu
klien mengingat kembali apa yang telah dibincangkan pada sesi yang lalu.

Rumusan besar digunakan untuk menamatkan sesi. Kaunselor merumuskan kembali


segala yang telah dibincangkan dan perkara yang telah dipersetujui. Rumusan besar
boleh menjadi panduan kepada klien untuk mengetahui tentang perkembangan
sesinya dan langkah yang perlu diambil untuk tindakan seterusnya. Rumusan besar
hanya dibuat sekali dalam satu sesi.

3.7.8 Konfrantasi

Konfrantasi digunakan apabila hubungan antara klien dan kaunselor telah kukuh.
Penggunaanya boleh disalah anggap oleh klien sebagai hendak mencabar, mengajar

32
Unit 3 Kaunseling Individu Ideal -
UPM

atau hendak memalukannya. Egan (1994) dan Mizan Adiliah dan Halimathun (1997)
memberi lima contoh keadaan di mana konfrantasi kerap digunakan. Konfrantasi
digunakan apabila terdapat percanggahan antara

1. apa yang dikatakan oleh klien tentang dirinya dengan apa yang dilakukannya,
2. apa yang dikatakan pada satu masa dengan apa yang dikatakan pada masa lain,
3. tingkah laku bertentangan dengan apa yang dikatakan,

4. pengalaman kaunselor dengan klien bertentangan dengan apa yang dikatakan


oleh klien mengenai dirinya, dan
5. menyatakan tentang tingkah laku klien yang didapati tidak sesuai, sebagai
maklumat tambahan mengenai diri klien. Tujuan konfrantasi digunakan dalam
sesi kaunseling adalah untuk memberi klien perspektif lain dalam usaha
meneliti diri.

3.7.9 Interpretasi

Interpretasi bermakna kaunselor menjelaskan makna perkara atau isu yang dibawa
oleh klien mengikut fahaman kaunselor dan dari perspektif yang baru. Kemahiran ini
menggalakkan klien melihat event atau rentetan peristiwa yang berlaku dalam
hidupnya dari perspektif yang lain.

3.8 Peringkat-Peringkat Kaunseling Individu

Terdapat pelbagai model yang boleh digunapakai untuk mengendalikan sesi


kaunseling individu. Untuk tujuan kursus ini enam- peringkat model diperkenalkan.
Model ini adalah gabungan model Mizan Adiliah dan Halimathun (1997) dan
Peterson dan Nisenholz (1995). Pada setiap peringkat akan diterangkan tentang
objektif diikuti oleh tugas kaunselor, kemahiran yang sesuai digunakan dan tugas
klien.

3.8.1 Menyediakan Pra Sesi

Pada peringkat ini, kaunselor perlu menyediakan diri dengan mengetahui serba
sedikit tentang profil klien. Ini boleh dibuat dengan meminta klien mengisi borang
biodata.

3.8.2 Membentuk Hubungan

Objektif

Membina perhubungan dengan klien Membantu klien mengenal pasti dan


menerangkan masalah yang dihadapi

Tugas kaunselor

33
Unit 3 Kaunseling Individu Ideal -
UPM

Pada peringkat ini, kaunselor akan berusaha mewujudkan hubungan yang baik
dengan klien.

Menurut Mizan Adiliah dan Halimathun (1997) antara tingkah laku yang sesuai
ditonjolkan oleh kaunselor adalah seperti berikut:

1. menunjukkan tingkah laku lisan yang mesra


2. menunjukkan keinginan untuk menolong
3. mendengar apa yang diperkatakan

4. mendengar dan memahami perasaan dan erti yang tidak dinyatakan


5. tidak cepat membuat tanggapan dan penilaian
6. tidak banyak bercakap tetapi cuba lebih mendengar dan memahami
(ms.18- 19)

Selain daripada tingkah laku di atas, kaunselor juga menstruktur sesi dengan
memberitahu klien tentang jangkamasa sesi, hak klien, kerahsiaan, tanggungjawab
klien dan proses kaunseling. Menjadi tanggungjawab kaunselor untuk mengekalkan
fikiran positif dan pada masa yang sama mengamati masalah dan keadaan klien.

Kemahiran

Memandangkan ini adalah peringkat awal dalam perhubungan kaunseling, maka jenis
kemahiran yang digunpakai adalah untuk membuatkan klien berasa selamat, diterima,
dihormati dan didengari. Antara kemahiran yang sesuai digunakan ialah melayan,
mendengar, memberi dorongan minima, paraprasa dan menyoal.

Tugas klien

Pada peringkat ini, klien dikehendaki memainkan peranan aktif dengan berkongsi
fikiran, perasaan dan pengalaman. Klien perlu membantu kaunselor mengenal pasti
masalah yang dihadapinya.

3.8.3 Penilaian Masalah

Objektif

Meneroka dan menganalisis masalah.

Tugas kaunselor

Tugas kaunselor adalah untuk mendapatkan maklumat yang relevan untuk memberi
makna kepada masalah dan menganalisis maklumat tersebut untuk mencari punca
masalah. Masalah boleh berpunca daripada tiga keadaan iaitu (i) diri sendiri, (ii) orang
lain, tetapi melibatkan diri klien, dan (iii) takdir. Setelah punca masalah dapat dikenal
pasti kaunselor bersama klien akan menganalisis secara terperinci. Kaunselor

34
Unit 3 Kaunseling Individu Ideal -
UPM

menganalisis samada pemikiran, perasaan, tingkah laku atau pengalaman lampau


yang menyebabkan klien menghadapi masalah pada masa kini.

Kemahiran

Pada peringkat ini, kemahiran mendengar, menyoal, memberi dorongan minima,


paraprasa dan refleksi akan terus digunakan. Menggunakan kemahiran tersebut,
kaunselor terus berusaha membentuk hubungan teraputik dengan klien. Di samping
itu, kaunselor juga perlu mengumpul maklumat dan berbincang dengan klien tentang
punca masalahnya. Secara kognitif, kaunselor akan aktif mengamati dan mencari
punca masalah, serta menganalisa dan menilai maklumat yang dikumpul.

Tugas klien

Klien perlu membantu kaunselor mengenal pasti kelemahan yang ada pada dirinya
yang mungkin mengekalkan masalah yang dihadapi. Klien juga menguatkan azam
untuk membuat perancangan untuk mengatasi masalah tersebut.

3.8.4 Penyataan Masalah

Objektif

Menentukan objektif; membentuk pelan intervensi

Tugas kaunselor

Kaunselor bersama klien akan meneliti semula maklumat yang telah dikumpul.
Setelah ianya dipersetujui kaunselor akan membentuk matlamat yang hendak dicapai
oleh klien. Matlamat perlu untuk setiap perhubungan kaunseling. Ianya dibentuk hasil
daripada perbincangan antara klien dan kaunselor setelah masalah klien dikenalpasti.
Matlamat memberi panduan kepada sesi. Ia juga boleh dianggap sebagai ekspektasi
atau perubahan yang ingin dicapai oleh klien selepas melalui sesi kaunseling.

Kemahiran

Kemahiran yang digunakan pada peringkat ini lebih kepada untuk membantu
menperjelaskan semula punca masalah dan membentuk matlamat sesi. Selain daripada
kemahiran yang telah disebut sebelum ini, kemahiran yang lebih mencabar seperti
konfrantasi dan membuat interpretasi juga memainkan peranan penting.

Tugas klien

Peringkat ini memerlukan klien memberi tumpuan dan kerjasama sepenuhnya dalam
membantu kaunselor menentukan matlamatnya. Klien juga perlu mengakui keperluan
bekerja aktif untuk mengatasi masalahnya.

35
Unit 3 Kaunseling Individu Ideal -
UPM

3.8.5 Pelan Tindakan

Objektif

Membentuk pelan tindakan

Tugas kaunselor

Kaunselor berbincang dengan klien untuk membentuk pelan tindakan. Mereka akan
membincangkan alternatif yang dipilih dengan mengambil kira kelebihan dan
kekurangan setiap pilihan. Garis panduan tentang langkah yang perlu diikuti akan
dikenal pasti. Kaunselor akan menentukan jangka masa sesuatu perubahan harus
berlaku. Selain itu kaunselor juga bertanggungjawab menilai kejayaan dan kegagalan
sesuatu alternatif yang dipilih klien melalui maklumbalas yang diterimanya.

Kemahiran

Kemahiran yang disebut pada peringkat yang sebelum ini masih digunapakai pada
peringkat ini. Kaunselor perlu menilai progress klien, memberi tunjuk ajar dan
memberi tugasan di mana perlu. Sekiranya sesuatu pilihan itu gagal, kaunselor perlu
mengenal pasti puncanya.

Tugas klien

Komitmen dan kesungguhan klien amat diperlukan pada peringkat ini. Klien perlu
berusaha memperolehi kemahiran berfikir dan kemahiran membantu diri supaya
usahanya untuk berubah berhasil. Sekiranya kaunselor memberinya tugasan, klien
mesti cuba melaksanakannya. Dia mesti aktif menilai semula kemajuan dan berusaha
mengatasi kesusahan dan kesulitan yang menghalangnya untuk mencapai matlamat
yang telah dibentuk.

3.8.6 Menamatkan Sesi

Objektif

Pengukuhan pembelajaran

Tugas kaunselor

Apabila sesi kaunseling telah sampai ke penghujungnya maka tugas kaunselor adalah
untuk menamatkan sesi dan membantu mengukuhkan pembelajaran yang diperolehi
klien. Kaunselor perlu memastikan objektif klien tercapai dan dia dapat
mengaplikasi pembelajaran yang diperolehi semasa sesi di dalam pergaulan
seharian.

36
Unit 3 Kaunseling Individu Ideal -
UPM

Kemahiran

Kemahiran yang digunakan lebih kepada menstruktur sesi untuk penamatan,


menyemak semula kemajuan dan pencapaian matlamat dan pengukuhan
pembelajaran yang diperolehi.

Tugas klien

Sebelum klien menamatkan sesi kaunseling dia perlu menilai semula kemajuan,
membentuk strategi pengawalan, menjangka kesulitan yang bakal timbul dan
mengukuhkan pembelajaran yang dia terima sepanjang sesi.

Apabila seorang klien telah memberi komitmen untuk mengadakan perhubungan


kaunseling maka dia dijangka akan melalui kesemua peringkat yang telah digariskan
di atas. Dia mungkin mengambil satu sesi sahaja untuk melalui kesemua peringkat
tersebut atau memerlukan beberapa sesi atau pertemuan sebelum masalahnya
diselesaikan.

3.9 Rumusan

Setelah anda mengikuti unit, adalah diharapkan anda telah dapat memahami siapa
yang dimaksudkan sebagai klien dan siapa kaunselor, suasana teraputik yang boleh
membantu proses kaunseling, kemahiran yang sesuai dikuasai oleh kaunselor dan
peringkat-peringkat kaunseling individu.

3.10 Aktiviti

1. Nyatakan ciri-ciri seorang klien.

2. Huraikan dua cara bagaimana seseorang menjadi klien

3. Bincangkan bagaimana keinginan yang disebut oleh Peterson dan Nisenholz


(1995) boleh menjejaskan keberkesanan kaunselor menjalankan
tanggungjawabnya.

4. Sekiranya anda menjadi seorang klien, ciri-ciri peribadi yang manakah


menjadi keutamaan di dalam memilih seorang kaunselor. Kenapa?

5. Bagaimana seorang kaunselor boleh membentuk suasana teraputik?

6. Huraikan peringkat-peringkat yang terdapat dalam kaunseling individu.

7. Dari pengamatan anda, cuba bincangkan tentang tugas dan tanggungjawab


klien di dalam memastikan matlamatnya tercapai.

37
Unit 3 Kaunseling Individu Ideal -
UPM

8. Nyatakan dan beri contoh yang sesuai tentang penggunaan kemahiran berikut:
Mendengar; konfrantasi; refleksi.

38

Vous aimerez peut-être aussi