Vous êtes sur la page 1sur 8

ISBN : 978-967-0582-32-0

Konsep Kepercayaan Kepada Ibu Melalui Pendekatan Indigenous: Satu Kajian Dalam
Kalangan Pelajar Di Universiti

Lailawati Madlan, Chua Bee Seok, Jasmine Adela Mutang, Sabariah Sharif, Ferlis Bahari, Alfred Chan
Huan Zhi, Surianti Rajuma
Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah

Rosnah Ismail
Universiti Malaysia Perlis

ABSTRAK Pembentang:
Lailawati Madlan
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti faktor yang menyumbang rasa percaya
anak kepada ibu melalui pendekatan indigenous. Seramai 719 orang pelajar
Sesi :
terlibat dalam kajian ini di mana 30 peratus adalah pelajar lelaki dan selebihnya 2.30 4.30 Ptg
BS 2
adalah pelajar perempuan. Soal selidik terbuka digunakan bagi mengenalpasti
item yang mengarah kepada rasa percaya dalam kalangan anak terhdap ibunya.
Analisis data menggunakan pengkategorian, pengkodan terbuka dan juga
pengkodan paksi Braun dan Clarke (2006). Dapatan kajian mendapati bahawa
kepercayaan yang paling tinggi daripada anak terhadap ibunya adalah disebabkan
oleh hubungan biologi iaitu ibu kandung dan ibu yang melahirkan iaitu sebanyak
36 peratus. Manakala faktor paling rendah yang mewujudkan konsep percaya
anak terhadap ibunya adalah kerana ibu yang mendidik dan mengasuh iaitu
sebanyak 11.3 peratus.

Kata Kunci: Kepercayaan, Anak, Ibu, Pendekatan Indigenous.

1
PENGENALAN

Latar Belakang
Kepercayaan antara ibu dan anak bermula apabila ibu melahirkan anaknya. Bayi yang baru lahir ini
akan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada ibu dalam menguruskan dirinya. Kepercayaan ini akan
disokong oleh tingkah laku yang ditunjukkan oleh ibu seperti cara dakapan, pegangan dan sebagainya.
Walaupun umur masih bayi, namun golongan ini mempunyai deria sensitiviti terhadap ibunya.
Namun demikian, kepercayaan anak kepada ibu akan dipengaruhi oleh faktor lain apabila anak
semakin dewasa disebabkan oleh pengaruh persekitarannya yang semakin luas seperti pendidikan
formal bermula dan kanak-kanak sehinggalah dewasa akan mula meletakkan kepercayaan mereka
kepada guru di sekolah dan juga rakan sebaya.

Walaubagaimanapun, sebagai individu yang boleh berkembang dan berhak mempunyai


pendapat sendiri, rasa percaya akan berkurang disebabkan oleh kematangan tersebut (Lamb, 2010).
Tetapi menurut Ainsworth (1989) ibu bapa akan terus untuk memberikan pengaruh yang kuat terhadap
kesejahteraan remaja walaupun terdapat perubahan pembangunan tertentu semasa peringkat remaja.
Menurut Armsden dan Greenberg (1987) terdapat tiga faktor yang menyumbang kepada kualiti
hubungan ibu bapa dan anak iaitu 1) kepercayaan, 2) komunikasi dan 3) perasaan diasingkan. Ketiga-
tiga faktor ini menyumbang terhadap keterikatan dengan ibu bapa sama ada dalam bentuk positif
ataupun negatif (Bogels, & Brechman-Toussaint, 2006; Ainsworth et al, 1978 dan Bowlby, 1988).

Kajian tentang kepercayaan banyak dilakukan dengan mengkaji hubungan konsep ini dengan
pembolehubah lain seperti kajian Ferrin, Bligh dan Kohles (2007) yang mengkaji kecenderungan
untuk mempercayai orang lain boleh memudahkan dan membangunkan sosial individu. Ini disokong
oleh beberapa pengkaji seperti Barefoot, Maynard, Beckham, Brummet dan Siegler (1998) yang
membuktikan bahawa terdapat hubungan yang signifikan di antara rasa percaya dengan penyesuaian
psikososial dalam kalangan remaja dan kanak-kanak. Namun tidak ramai yang mengkaji mengapakah
boleh wujudnya rasa percaya anak kepada ibu. Mungkin ini disebabkan oleh faktor asas di mana
apabila seorang anak dilahirkan maka ibu merupakan orang yang bertanggungjawab ke atas segala-
galanya dalam menyediakan keperluan dan juga memahami apa yang dialami oleh anaknya. Apabila
anaknya menangis ibu akan tahu apakah sebabnya, apabila anaknya mengalami emosi yang tidak
menentu ibu akan tahu apakah puncanya. Perapatan yang ditunjukkan oleh ibu secara tidak langsung
memberikan gambaran kepada anak bahawa ibu adalah seorang yang mengetahui segala-galanya.
Namun demikian, bukti empirikal yang mengkaji apakah asas kepercayaan anak terhadap ibu masih
kurang dan inilah objektif bagi kajian ini. Objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti faktor yang
menyumbang kepada rasa percaya anak kepada ibu dan perbezaan pembentukan kepercayaan terhadap
ibu bagi anak lelaki dan anak perempuan.

Kepercayaan (Trust)
Menurut Erickson (1950), kepercayaan merupakan sikap yang menyimpulkan tentang pemahaman
terhadap sesuatu kebaikan, keyakinan tentang kesamaan dan juga kesinambungannya terhadap yang
lain. Apabila dua orang yang sudah tidak saling percaya satu sama lain, maka apa yang terjadi adalah
mereka akan saling menghindar untuk berkongsi tentang perasaan dan impian mereka. Rasa percaya
dapat menjadikan diri seseorang lebih terbuka dan ia merupakan elemen yang sangat penting dalam
membina hubungan. Menurut Holmes dan Rempel (1989), kepercayaan bukanlah konsep yang statik,
tetapi boleh neutral dalam pelbagai keadaan.

Kajian yang dilakukan oleh Noriah Mohd. Ishak, Melor Md. Yunus dan I Piet Iskandar (2010)
melaporkan bahawa terdapat enam tema kepercayaan dalam kalangan remaja iaitu 1) maklum balas
(responsiveness), 2) persefahaman, 3) perkongsian kepercayaan, 4) harapan, 5) hormat, dan 6)
penerimaan (accessibility). Menurut kajian ini, faktor maklum balas adalah yang paling menyumbang
terhadap perkembangan hubungan di antara ibu bapa dan anak. Dalam erti kata lain adalah bagaimana
ibu bapa memberikan reaksi terhadap apa yang mereka inginkan semasa diperlukan, minat yang
ditunjukkan oleh ibu bapa terhadap apa yang dilakukan oleh anak, dan juga perhatian dan sokongan

2
terhadap kesejahteraan mereka. Menurut dapatan kajian ini juga ibu bapa akan memberikan reaksi
yang cepat sekiranya ia berkaitan dengan kewangan walau sesibuk mana pun mereka.

Walau bagaimanapun, responden dalam kajian ini juga menyatakan bahawa ada kalanya ibu
bapa terlalu memberikan perhatian terhadap kesejahteraan mereka seperti terlalu menjaga kesihatan
ataupun tidak boleh keluar rumah jika bersendirian nanti akan terjadi sesuatu. Responden lelaki
menyatakan ibu bapa mereka adalah lebih risau, sangat menyokong dan juga mudah bertolak ansur.
Manakala untuk responden wanita pula menyatakan bahawa ibu bapa mereka selalu merisaukan
tentang kehidupan sosial mereka dan jika dibandingkan kerisauan antara ibu dan bapa, ibu yang lebih
risau. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa ibu sentiasa mengambil berat terhadap perkara yang
berkaitan dengan anak-anaknya tanpa mengira apa pun bentuknya.

Teori Konsep Kepercayaan


Ramai pengkaji menggunakan teori rasa percaya daripada Erickson ataupun Rotters (Bernath dan
Feshbach, 1995). Mereka melihat rasa percaya daripada perspektif psikodinamik iaitu kepercayaan
merupakan asas dalam diri dan juga terhadap dunia. Menurut Rotters (1967) kepercayaan adalah
jangkaan umum terhadap seseorang agar menyimpan setiap apa yang dikatakan dan menunaikan apa
yang dijanjikan. Berdasarkan pengalaman yang diperoleh seseorang terhadap individu lain, akan
terbentuklah kebolehpercayaan dan seterusnya diperluaskan kepada rakan-rakan sosial yang lain yang
juga disebut sebagai kepercayaan interpersonal. Hubungan di antara kepercayaan dengan faktor lain
seperti interaksi sosial, fizikal dan trauma psikologi, ketidaksesuaian terhadap psikososial dan
sebagainya telah banyak dikaji dalam kalangan belia.

Terdapat tiga jenis rasa percaya menurut Earl (1987) iaitu percaya kepada orang lain yang
selaras dengan konsep pendekatan Rotters, kebolehpercayaan diri (self-efficacy) ataupun kemahiran
personel selaras dengan konsep yang diberikan oleh Bandura (1977) dan juga percaya diri (self-trust)
yang ditakrifkan sebagai kepercayaan seseorang terhadap keupayaannya untuk memenuhi tugas yang
berkaitan dengan kepakarannya. Peranan ibu bapa sangat penting dalam mempengaruhi perkembangan
rasa percaya pada anak. Pembangunan rasa percaya pada anak akan terencat jika ada percanggahan
tingkah laku daripada ibu ataupun bapa.

METODOLOGI

Responden dan Lokasi Kajian


Seramai 719 orang pelajar daripada salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia terlibat dalam
kajian ini. Daripada jumlah keseluruhan 719 orang pelajar yang terlibat, seramai 218 orang ataupun 30
peratus adalah pelajar lelaki dan selebihnya iaitu 501 orang ataupun 69.6 peratus orang adalah pelajar
perempuan.

Alat Pengukuran
Kajian ini menggunakan set soal selidik yang menggunakan soalan terbuka yang bertujuan untuk
mengukur asas atau faktor yang mengarah kepada rasa percaya dalam kalangan anak terhadap ibu
mereka. Set soal selidik yang digunakan telah diubahsuai daripada ukuran yang direka oleh Kim
(2008). Soal selidik dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian A merangkumi maklumat
demografi manakala bahagian B merupakan soal selidik yang bertanyakan tentang kenapa percaya
kepada ibu. Selain itu, soal selidik rasa percaya ini juga mempunyai lima soalan yang mengenal pasti
faktor rasa percaya terhadap bapa, pensyarah, anak, pekerja, penyelia, pasangan dan juga terhadap
kawan. Dalam kajian ini, soalan yang mengukur rasa percaya anak terhadap ibunya telah dianalisis
bagi menjawab objektif kajian ini. Soalan terbuka yang dianalisis dalam kajian ini adalah:
Mengapakah anda percaya kepada ibu anda?

3
Analisis data
Data akan dianalisis dengan menggunakan pendekatan indigenous psychology melalui proses
pengkategorian, pengekodan terbuka dan pengekodan paksi menurut Braun and Clarke (2006) bagi
menentukan kategori asas kepercayaan anak kepada ibu. Analisis statistik deskriptif yang melaporkan
kekerapan dan peratusan juga digunakan untuk melaporkan kekerapan respon responden kajian dalam
setiap kategori dan sub kategori kepercayaan yang telah dikenal pasti.

KEPUTUSAN DAN PERBINCANGAN

Pendahuluan
Berdasarkan analisis kajian, terdapat lima (5) kategori utama mengapa anak percaya terhadap ibunya
iaitu, kategori ibu kandung, kategori sifat ibu, kategori kerapatan, kategori sokongan dan bantuan serta
kategori mendidik dan mengasuh. Setiap kategori mempunyai sub kategori iaitu untuk kategori ibu
kandung, sub kategorinya adalah hubungan biologi dan juga ahli keluarga. Sub kategori bagi sifat ibu
pula adalah amanah dan juga berkongsi perasaan. Sub kategori bagi kerapatan pula ialah dekat dan
rapat serta ibu terbaik. Bagi kategori sokongan dan bantuan pula, sub kategorinya adalah kasih sayang
dan pengorbanan. Kategori yang paling sedikit iaitu mendidik dan mengasuh hanya mempunyai satu
kategori sahaja iaitu menjaga dan membesarkan. Keseluruhan dapatan kajian dapat dilihat dalam
Jadual 1.

Jadual 1
Kategori dan Sub Kategori Kepercayaan Anak Terhadap Ibu

Kategori utama Bilangan Peratus Sub kategori Bilangan Peratus


(N) (%) (N) (%)
Ibu kandung 227 36.0 Hubungan Biologi 188 82.8
Ahli keluarga 39 17.2

Sifat ibu 116 18.4 Amanah 78 67.2


Perkongsian 38 32.8

Kerapatan 108 17.1 Dekat dan rapat 67 62.0


Ibu yang terbaik 41 38.0

Sokongan dan bantuan 108 17.1 Kasih sayang 58 53.7


Pengorbanan 50 46.3

Mendidik dan mengasuh 71 11.3 Menjaga dan 71 100.0


membesarkan

Hasil kajian mendapati kategori ibu kandung mempunyai peratusan yang lebih tinggi dalam
kepercayaan anak terhadap ibu iaitu sebanyak 36 peratus diikuti oleh kategori sifat ibu sebanyak 18.4
peratus. Seterusnya kategori kerapatan dan kategori sokongan dan bantuan masing-masing
mempunyai 17.1 peratus manakala kategori mendidik dan mengasuh mempunyai 11.3 peratus dan
paling sedikit.

Bagi kategori ibu kandung, sub kategori hubungan biologi mempunyai kekerapan yang paling
banyak kerana kebanyakan responden memberikan jawapan kerana ibu yang melahirkan saya....
menurut Erickson (1995) bahawa kepercayaan bayi pada ibunya ataupun penjaganya adalah apabila
ibu ataupun penjaganya seorang yang responsif. Sebaliknya rasa tidak percaya kalangan bayi akan
muncul sekiranya mereka perlu menunggu lama untuk diberikan perhatian. Disebabkan itulah bagi
seseorang yang baru menjadi ibu, perhatian yang diberikan pada bayinya sangat berlebihan
sehinggakan bayi tidak perlu menunggu untuk mendapatkan apa yang diinginkan contohnya minum
susu kerana ibu akan memberikannya bila tiba masanya untuk bayi minum susu. Bayi yang baru lahir
mempunyai masa tidur yang sangat panjang namun ibu harus membangunkan bayinya pada waktu

4
tertentu untuk meminum susunya. Keterikatan secara biologi ini menyebabkan pemahaman antara
keduanya sangat tinggi dan secara tidak langsung ia mewujudkan kepercayaan anak terhadap ibunya.
Dapatan kajian diperincikan dalam Jadual 2.

Jadual 2
Kategori dan Sub Kategori Ibu Kandung

Kategori Sub kategori Lelaki Peratus Perempuan Peratus


(N) (%) (N) (%)
Ibu kandung Hubungan biologi 60 85.7 128 81.5
Ahli keluarga 10 14.3 29 18.5

Sifat ibu yang amanah juga memberikan rasa percaya anak pada ibu dalam kajian ini. Tingkah
laku anak semasa kecil adalah selalu meminta kebenaran ibunya walau dalam perkara apa pun
termasuklah minta keizinan untuk masuk ke tandas ataupun mahu mandi. Mereka hanya mahu
mendengar ibu akan berkata ya sedangkan mereka boleh membuat keputusan sendiri. Tingkah laku
ini biasanya akan berkekalan sehingga dewasa namun dalam situasi yang tertentu disebabkan oleh
faktor pengaruh sekeliling seperti yang dilaporkan oleh Lamb (2010) di mana kekurangan rasa percaya
terhadap ibu akan berkurangan disebabkan oleh kematangan. Hasil kajian diperincikan dalam jadual 3.

Jadual 3
Kategori dan sub kategori sifat ibu

Kategori Sub kategori Lelaki Peratus Perempuan Peratus


(N) (%) (N) (%)
Sifat ibu Amanah 26 81.3 52 61.9
Boleh berkongsi 6 18.7 32 38.1
masalah/perasaan

Kategori kerapatan juga menjadi faktor rasa percaya anak terhadap ibu. Menurut Parked dan
Buriel (2006) ibu meluangkan banyak masa bersama anak secara puratanya dan lebih
bertanggungjawab jika dibandingkan dengan bapa. Malahan, ibu juga cenderung mempunyai
pengetahuan yang lebih banyak tentang pengalaman seharian anaknya (Crouter, Helms-Erikson,
Updegraff dan McHale, 1999). Begitu juga dapatan daripada Armsden dan Greenberg (1987) di mana
kepercayaan telah dipupuk daripada peringkat awal dan ia dipengaruhi oleh kepekaan ibu terhadap
keperluan si anak. Anak merasa percaya kepada ibu apabila mereka dapat merasakan diri mereka
selamat (secure) melalui perapatan (attachment) yang ditunjukkan seperti ibu yang memahami,
menghormati, selalu memberikan perhatian pada anak dan juga tahu apa yang mereka perlukan. Gaya
perapatan yang ditunjukkan oleh ibu ataupun penjaga menjadi peramal kepada kualiti hubungan antara
anak perempuan dengan ibunya pada masa hadapan (Bowly, 1988). Oleh itu menurut Rossi dan Rossi
(1990) hubungan di antara anak remaja dengan ibunya akan lebih rapat dan saling memberikan
sokongan selain daripada boleh berkongsi tentang kehidupan mereka. Dalam erti kata lain, jalinan
hubungan emosi dan juga saling bergantungan antara keduanya akan lebih tinggi berbanding
hubungan anak dengan ayahnya (Fischer, 1991). Dapatan dinyatakan dalam jadual 4.

Jadual 4
Kategori dan Sub Kategori Kerapatan

Kategori Sub kategori Lelaki Peratus Perempuan Peratus


(N) (%) (N) (%)
Kerapatan Dekat dan rapat 15 57.7 52 72.2
Ibu yang terbaik 11 42.3 20 27.8

5
Wujudnya rasa percaya anak terhadap ibunya juga disebabkan oleh sokongan dan bantuan
yang diberikan oleh ibu seperti kasih sayang dan sanggup berkorban apa saja demi anaknya. Sokongan
dan bantuan diberikan dengan harapan agar anak dapat belajar dan boleh berdikari apabila sampai
masanya kelak. Namun ada kalanya sokongan dan bantuan yang diberikan berlebihan sehingga
meningkatkan tahap kebergantungan anak kepada ibunya. Anak akan menjadi tidak berdikari dan
boleh mendatangkan masalah dalam pergaulan sosial dan juga terhadap perkembangan personaliti
seperti kurang percaya diri. Kajian oleh Noriah Mohd. Ishak, Melor Md. Yunus dan I Piet Iskandar
(2010) mendapati ada kalanya ibu bapa terlalu memberikan perhatian terhadap kesejahteraan anak
mereka seperti terlalu menjaga kesihatan ataupun tidak boleh keluar rumah jika bersendirian nanti
akan terjadi sesuatu menyebabkan nak menjadi rimas atau merasa terkongkong walaupun tujuan
sebenar ibu bapa adalah untuk kebaikan mereka. Hasil dinyatakan secara terperinci dalam jadual 5.

Jadual 5
Kategori dan Sub Kategori Sokongan Dan Bantuan

Kategori Sub kategori Lelaki Peratus Perempuan Peratus


(N) (%) (N) (%)
Sokongan dan Kasih sayang 12 57.1 46 52.9
bantuan Pengorbanan 9 43.9 41 47.1

Kategori terakhir dalam kajian ini adalah mendidik dan mengasuh. Responden merasa percaya
kepada ibu mereka disebabkan ibu yang memberikan didikan dan asuhan kepada mereka dari kecil
sehinggalah dewasa tanpa meminta balasan. Oleh yang demikian, asuhan ibu secara jelasnya
memberikan pengaruh yang sangat besar kepada perkembangan anak. Gaya yang digunakan
bergantung pada pengalaman yang ada pada ibu dan tidak kira apa saja bentuknya akan diterima oleh
si anak. Hasil disimpulkan dalam jadual 6.

Jadual 6
Kategori dan Sub Kategori Mendidik dan Mengasuh

Kategori Sub kategori Lelaki Peratus Perempuan Peratus


(N) (%) (N) (%)
Mendidik dan Menjaga dan 26 36.6 45 63.4
mengasuh membesarkan

KESIMPULAN

Kajian ini dijalankan adalah untuk mengenalpasti faktor yang menyumbang rasa percaya anak kepada
ibu. Hasil kajian mendapati secara keseluruhannya terdapat lima kategori yang mewujudkan rasa
percaya anak terhadap ibunya iaitu ibu kandung (mengandungi sub kategori, hubungan biologi dan
ahli keluarga), sifat ibu (terdiri daripada sub kategori, amanah dan perkongsian), perapatan (terdiri
daripada sub kategori, dekat dan rapat serta ibu yang terbaik) sokongan dan bantuan (terdiri daripada
sub kategori, kasih sayang dan pengorbanan) serta mendidik dan mengasuh (terdiri daripada sub
kategori, menjaga dan membesarkan). Dapatan kajian ini boleh memberi panduan kepada ibu dan anak
dalam meningkatkan kerapatan hubungan mahupun membaiki hubungan di antara ibu dengan anak
mereka. Landasan daripada hubungan baik antara ibu dan anak, konflik keluarga dan masalah rumah
tangga boleh dikurangkan. Daripada itu juga masalah sosial seperti tingkah laku devian anak, anak lari
dari rumah dan sebagainya boleh dikurangkan. Dapatan daripada kajian ini juga boleh digunakan oleh
pengkaji lain dalam mengkaji hubungan sebab akibat isu ini. Data kajian ini juga boleh digunakan
untuk membentuk ukuran kepercayaan yang berdasarkan konteks indigenous.

6
RUJUKAN

Armsden, G. C., & Greenberg, M. T. (1987). The inventory of parent attachment: Individual
differences and their relationship to psychological well-being in adolescence. Journal
of Youth and Adolescence, 16, 427-455.

Bandura, A. (1977). Self-efficacy: Toward a unifying theory of behavior change.


Psychological Review, 84, 191-215.

Bernath, M.S., & Feshbach, N.D. (1995). Children Trust: Theory, assessment, development,
and research direction, Applied & preventive Psychology 4:1-9.

Barefoot, J. C., Maynard, K. E., Beckham, J. C., Brummett, B. H. H. K., & Siegler, I. C.
(1998). Trust, health and longevity. Journal of Behavioral Medicine, 21, 517526.

Bowlby, J. (1988). A secure base: Parent-child attachment and healthy human development.
New York: Basic Books

Earl, W. L. (t987). Creativity and self-trust: A field study. Adolescence,22,419-432.

Erikson, E. (1950). Childhood in society. New York: Norton.

Erikson, E. H. (1995). Childhood and society. London: Vintage.

Fischer, L. R. (1991). Between mothers and daughters. Marriage and Family Review, 16,
237-248.

Ferrin, D. L., Bligh, M. C., & Kohles, J. C. (2007). Can I trust you to trust me? A theory of
trust, monitoring, and cooperation in interpersonal and intergroup relationships.
Group & Organization Management, 32, 465499.

Lamb, M. E. (2010). The role of the father in child development. New Jersey: John Wiley &
Sons Inc.

Noriah Mohd Ishak, Melor Md. Yunus dan I Piet Iskandar (2010). Trust, communication and
healthy parental attachment among Malaysia academically talented college students.
Procedia Social and Behavioral Science, 1529-1536.

Ainsworth, M. D. S. (1989). Attachment beyond infancy. American Psychologist, 44, 709-


716.

Holmes, S., & Rempel, J. K. (1989). Trust in close relationships. In C. Hendrick (Ed.), Close
Relationships (p. 187-220). Newbury Park: Sage Publications.

Bogels, S. M. & Brechman-Toussaint, M. L. (2006). Family issues in child anxiety:


Attachment, family functioning, parental rearing and beliefs. Clinical Psychology
Review, 26, 834 856.

Ainsworth, M. D. S., Blehar, M. C., Waters, E., & Walls, S. (1978). Patterns of attachment.
Hillsdale, New Jersey: Erlbaum Associates.

Bowlby, J. (1988). A secure base. Basic Books: New York.

Parke, R. D., & Buriel, R. (2006). Socialization in the family: ethnic and ecological
perspectives. In N. Eisenberg, W. Damon, & R. Lerner (Eds.), Handbook of child

7
psychology (6th ed.).. Social, emotional, and personality development, Vol. 3 (pp.
429504) New York: Wiley.

Crouter, A. C., Helms-Erikson, H., Updegraff, K., & McHale, S. M. (1999). Conditions
underlying parents knowledge about childrens daily lives in middle childhood:
between- and within-family comparisons. Child Development, 70, 246259

Rossi, A. S., & Rossi, P. H. (1990). Of human bonding: Parent-child relations across the life
course. New York: Aldine de Gruyter

Vous aimerez peut-être aussi