Vous êtes sur la page 1sur 7

ANALISIS DAN PERBINCANGAN PEMBANGUNAN POLITIK DALAM KONTEKS

HUBUNGAN ETNIK DI MALAYSIA (1946-1963)

Setelah Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, Tanah Melayu dikuasai oleh Parti
Komunis Malaya (PKM) selama 14 hari kerana pada masa itu Tanah Melayu tidak
mempunyai sebuah kerajaan atau pemerintah. Seterusnya Tanah Melayu ditadbir oleh
Pentadbiran Tentera British yang kemudian digantikan dengan pentadbiran Malayan Union.
Pentadbiran Malayan Union diisytiharkan oleh British pada 1 April 1946 di King’s House,
Kuala Lumpur yang sekarang dikenali sebagai Carcosa Seri Negara. Gabenor pertamanya
ialah Sir Edward Gent.

Malayan Union tidak dapat diterima dan ditentang oleh sebahagian besar kaum
Melayu yang merupakan pribumi Tanah Melayu kerana sistem pentadbirannya banyak
mengenepikan hak-hak orang Melayu dan kedudukan Raja-raja Melayu. Penentangan
bertambah serius apabila kaum Melayu ini bersatu dan menubuhkan persatuan Melayu
untuk menentang Malayan Union. Kongres Melayu pertama diadakan pada 1 hingga 4 Mac
1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Kongres ini kemudian
bersetuju untuk menubuhkan United Malays National Organization (UMNO) untuk
menentang Malayan Union. Penentangan yang dilakukan adalah seperti menyuarakan
bantahan berterusan melalui akhbar dan mengadakan demostrasi aman. Melalui penubuhan
UMNO, kita dapat lihat permuafakatan dan kerjasama sebahagian besar kaum Melayu untuk
mempertahankan hak mereka dengan menentang Malayan Union.

Namun begitu, tidak semua penduduk Tanah Melayu pada waktu itu menolak
Malayan Union seperti golongan radikal Melayu dan imigran yang terdiri daripada kaum Cina
dan India. Hal yang demikian berlaku kerana, golongan ini bersetuju dengan konsep
kerajaan Malayan Union yang dianggap menguntungkan terutamanya kewarganegaraan
sama rata melalui prinsip jus soli. Penentangan sebahagian besar etnik Melayu dan
sokongan imigran yang terdiri daripada etnik Cina dan India terhadap Malayan Union jelas
menunjukkan bahawa persefahaman di antara ketiga-tiga etnik masih belum lagi terjalin di
Tanah Melayu pada masa itu.

Penentangan secara berterusan oleh sebahagian orang Melayu sejak bulan Januari
sehingga Mei 1946 memberi gambaran yang jelas kepada pihak British bahawa Malayan
Union memang tidak dipersetujui oleh kaum Melayu. Kemudian pihak British bersetuju
membentuk Persekutuan Tanah Melayu kerana tidak mahu orang Melayu menentang British
secara kekerasan. Persekutuan Tanah Melayu telah dibentuk pada 1 Februari 1948.
Pada tahun yang sama juga, Parti Komunis Malaya (PKM) kembali mengganas di
Tanah Melayu kesan daripada Persidangan Pemuda Komunis Asia yang diadakan di
Calcutta, India. Persidangan tersebut telah menggalakkan parti-parti komunis untuk
mengadakan pemberontakan bersenjata bagi mencapai matlamat mereka. Pemberontakan
PKM terus menjalankan aktiviti keganasan seperti menyerang balai polis, membakar kilang,
membakar bas, merosakkan landasan kereta api dan membunuh orang yang bersubahat
dengan pihak British. Pada 20 Jun 1948, Pesuruhjaya Tinggi British iaitu Sir Edward Gent
telah mengisytiharkan darurat di seluruh Tanah Melayu kesan peristiwa pembunuhan tiga
orang pengurus ladang berbangsa Eropah di Sungai Siput, Perak.

Pelbagai cara yang dilakukan oleh pihak British untuk menghadapi PKM antaranya
seperti Rancangan Briggs dan Perang Saraf. Pada tahun 1952, Sir Gerald Templer yang
merupakan Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu menyedari bahawa penggunaan
kekerasan dan senjata semata-mata tidak akan berjaya menghapuskan pengaruh komunis.
Perang Saraf ialah rancangan yang dilaksanakan oleh pihak British untuk menghapuskan
pengganas komunis melalui kempen “memenangi hati dan fikiran rakyat”. Melalui Perang
Saraf ini, kita dapat lihat rakyat Tanah Melayu yang berbilang kaum berjaya bersatu padu
dan menghapuskan perasaan perkauman untuk menjatuhkan kemaraan dan keganasan
PKM. Semangat bekerjasama ini dapat dilihat melalui satu kempen “Bulan Penduduk Tanah
Melayu Menentang Komunis” yang telah dilaksanakan dengan jayanya. Penduduk pelbagai
kaum yang terdiri daripada kaum Melayu, India dan Cina telah bersama-sama membawa
sepanduk mengutuk keganasan komunis. Mereka turut membakar patung-patung komunis.
Risalah menentang komunis juga diedarkan ke seluruh Tanah Melayu. Perang Saraf ini
telah berjaya menimbulkan kebencian terhadap komunis.

Bagi menarik sokongan kaum Cina supaya menyokong usaha Perang Saraf ini, Sir
Gerald Templer melonggarkan syarat kewarganegaraan pada tahun 1952 sehingga
membolehkan seramai 1.2 juta orang Cina dan 180 ribu orang India menjadi warganegara
Tanah Melayu. Melalui kelonggaran syarat kewarganegaraan ini, kita dapat lihat
pengorbanan dan toleransi kaum Melayu yang cukup tinggi terhadap kaum lain demi
mewujudkan perpaduan dan kesejahteraan rakyat. Demi mewujudkan kerjasama antara
kaum untuk menentang keganasan komunis, kaum Melayu yang pada awalnya menentang
kerakyatan percuma diberikan kepada kaum Cina dan India akhirnya bersetuju agar mereka
diberikan status warganegara Tanah Melayu. Sikap toleransi yang ditunjukkan ini
memberikan implikasi yang besar terhadap kerjasama anntara kaum. Kesannya, kaum Cina
dan India turut sama bekerjasama menentang keganasan PKM. Akhirnya kita dapat lihat
rakyat Tanah Melayu tanpa mengira kaum dengan rela hati menawarkan diri untuk
menyertai pasukan keselamatan dan polis untuk mempertahankan tanah air daripada
keganasan PKM.

Sebenarnya usaha untuk mencapai perpaduan kaum di Tanah Melayu telah


dimulakan sejak tahun 1949 lagi melalui penubuhan Community Liaison Committee (CLC)
atau juga dipanggil sebagai Jawatankuasa Hubungan antara Kaum. Jawatankuasa ini
ditubuhkan berikutan syarat yang diberikan oleh pihak British sekiranya Tanah Melayu ingin
mendapatkan kemerdekaan iaitu kerjasama antara kaum. Kerjasama antara kaum penting
untuk menjamin kestabilan politik dan keharmonian masyarakat. Namun begitu, bagi pihak
British keadaan ekonomi dan politik yang stabil pula adalah untuk kepentingannya sendiri
iaitu mendorong kepada pertumbuhan ekonomi dan pelaburannya di Persekutuan Tanah
Melayu. Di peringkat awal, Jawantankuasa Hubungan antara Kaum (CLC) ini hanya
dianggotai oleh kaum Melayu dan Cina sahaja. Kaum Melayu diwakili oleh UMNO yang
diketuai oleh Dato’ Onn Jaafar manakala kaum Cina pula diwakili oleh Malayan Chinese
Association (MCA) yang diketuai oleh Tun Tan Cheng Lock. Kaum Melayu dan Cina yang
bergabung untuk menganggotai CLC ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa dua kaum
ini sudah bersedia untuk bekerjasama dan bermuafakat untuk membentuk hubungan antara
etnik yang baik dan harmoni agar kemerdekaan negara yang dijanjikan pihak British dapat
dicapai. Kemudian, kerjasama ini semakin kukuh apabila mulai bulan Ogos 1949, CLC turut
dianggotai oleh seorang wakil iaitu daripada kaum India, Ceylon, Serani dan Eropah.
Pengerusi CLC ialah Dato’ E.E.C. Thuraisingam dan penasihatnya ialah Sir Malcolm
MacDonald yang merupakan Gabenor Jeneral Asia Tenggara.

Perundingan CLC in telah dijalankan selama hampir dua tahun. Dalam rundingan
awal tersebut, UMNO telah mengemukakan memorandumnya untuk mempertahankan
ketuanan Melayu. Namun, CLC menolak tuntutan tersebut. Kami berpendapat
berkemungkinan besar memorandum UMNO ditolak kerana dianggap berat sebelah oleh
kaum lain. Namun begitu, masalah ini dapat diselesaikan apabila satu kompromi telah dibuat
antara UMNO dan CLC. Sekali lagi UMNO yang mewakili kaum Melayu telah mengamalkan
toleransi demi mencapai persefahaman apabila hasil daripada kompromi UMNO-CLC ialah
kelonggaran syarat kerakyatan Persekutuan. Kaum lain selain kaum Melayu juga turut
menunjukkan sikap toleransi dan kerjasama yang cukup baik apabila bersetuju dengan
kelebihan yang diterima oleh kaum Melayu iaitu bantuan ekonomi dan pelajaran yang
diberikan kepada kaum Melayu. Perkara penting lain yang turut dipersetujui ialah pilihan
raya akan diadakan pada masa yang sesuai di peringkat Majlis Bandaran, Negeri dan Majlis
Perundangan Persekutuan. Selain itu,satu sistem pendidikan yang baru turut dibentuk yang
mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.
Cadangan ini dilaksanakan selepas tahun 1951. Kesemua persetujuan ini dicapai sebagai
satu kerjasama kaum untuk melahirkan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.

Selain daripada itu beberapa buah parti politik turut ditubuhkan sebagai usaha untuk
melahirkan perpaduan kaum. Antara parti tersebut ialah Independence of Malaya Party
(IMP) dan Parti Negara. Walaubagaimanapun, parti-parti lain yang berasaskan kaum
tertentu sepeti UMNO, MCA dan MIC, kemudiannya telah bekerjasama menubuhkan Parti
Perikatan. Sementara itu, Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) juga bekerjasama dengan
UMNO dalam Konvensi Nasional. Bagaimanapun, terdapat masalah yang timbul apabila
parti UMNO di bawah kepimpinan Dato’ Onn Jaafar telah mencetuskan idea ingin membuka
keahlian UMNO kepada bukan Melayu. Kemudian, idea ini ditolak oleh ahli UMNO.
Meskipun begitu, hal ini dapat diselesaikan apabila semasa UMNO diketuai oleh Tunku
Abdul Rahman, idea untuk bekerjasama dengan parti yang terdiri dari kaum lain dapat
direalisasikan dengan penubuhan Parti Perikatan bersama MCA dan MIC. IMP di bawah
pimpinan Dato’ Onn Jaafar juga menegakkan konsep kerjasama kaum dalam satu parti dan
membuka keahlian kepada semua kaum. Begitu juga dengan PAS yang membuka keahlian
parti kepada semua orang Islam tanpa mengira kaum. Sementara itu, Parti Negara pimpinan
Dato’ Onn Jaafar juga terbuka kepada semua kaum.

Di samping itu antara usaha lain untuk mencapai perpaduan kaum ialah melalui
sistem pendidikan. Sistem pendidikan ini dapat melahirkan perpaduan di kalangan generasi
muda Persekutuan Tanah Melayu seperti kata pepatah melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Kami bersependapat sekiranya kita mempunyai satu sistem pendidikan yang
sama pada waktu itu, rakyat Tanah Melayu akan dapat disatukan dengan perasaan taat
setia kepada negara dengan menjadikan sekolah dan guru sebagai medium. Sebelum
merdeka, terdapat lima jenis sistem sekolah iaitu sekolah agama Islam, sekolah vernakular
Melayu, Cina, Tamil dan aliran Inggeris. Kesannya, terdapat perbezaan politik, ekonomi,
dan sosial sehingga menghalang perpaduan. Setiap kaum juga dilihat terpisah mengikut
kebudayaan masing-masing. Malah, tidak ada satu bangsa kebangsaan yang boleh
menyatukan kaum pada waktu itu. Setiap sistem pendidikan yang dinyatakan sebelumnya
mempunyai perbezaan yang ketara dalam semua aspek. Oleh itu, semangat bersatu padu
dan persefahaman tidak dapat dilahirkan di antara mereka. Bagi sebuah negara yang
mempunyai masyarakat yang berbilang bangsa dan majmuk yang berusaha untuk
mendapatkan kemerdekaan keadaan tersebut amatlah bahaya.

Menyedari masalah ini, beberapa laporan pelajaran dikeluarkan bagi merapatkan


jurang perbezaan pendidikan dan membentuk semangat perpaduan di kalangan penduduk
Tanah Melayu. Laporan Pelajaran merupakan satu dokumen yang mengandungi peraturan
untuk menjadi panduan sistem pendidikan negara. Laporan ini memberi cadangan untuk
melahirkan sistem pendidikan kebangsaan Tanah Melayu supaya setiap murid dapat belajar
menerusi sistem pendidikan yang sama. Sistem Pendidikan Kebangsaan juga merupakan
satu tatacara pengendalian sistem pendidikan yang menekankan keseragaman sukatan
pelajaran dan penggunaan bahasa kebangsaan yang sama. Antara cadangan Laporan
Pelajaran di Tanah Melayu ialah Laporan Barnes 1951, Laporan Fenn-Wu 1951, Ordinan
Pelajaran 1952 dan Laporan Razak 1956. Keempat-empat laporan pelajaran ini mempunyai
kaitan antara satu sama lain. Laporan Barnes telah menjadi asas laporan pelajaran yang
seterusnya. Laporan ini mencadangkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai
bahasa pengantar di sekolah rendah dan bahasa Inggeris di sekolah menengah. Walau
bagaimanapun, Laporan Fenn-Wu telah menolak penggunaan bahasa Melayu dan bahasa
Inggeris sebagai bahasa pengantar sekolah kebangsaan. Mereka menuntut bahasa
Mandarin sebagai bahasa pengantar sekolah Cina. Keadaan ini menyebabkan matlamat
untuk menggunakan sistem pendidikan sebagai alat perpaduan masyarakat Tanah Melayu
tidak dapat dilaksanakan. Oleh itu, Ordinan Pelajaran tahun 1952 diadakan dan menerima
cadangan Laporan Barnes. Laporan Razak 1956 juga menerima cadangan Laporan Barnes
tetapi demi menjaga keharmonian politik, Laporan Razak membenarkan penggunaan
bahasa pengantar vernakular ini akan beransur-ansur menjadi sekolah umum yang akan
menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Dasar pendidikan kebangsaan
dalam Laporan Razak telah dilaksanakan pada tahun1961.

Seperti yang telah dinyatakan di atas, pihak British akan memberikan kemerdekaan
kepada Tanah Melayu sekiranya masyarakat berbilang kaum dapat bekerjasama dan
bersatu padu di dalam suasana harmoni. Antara bukti adanya kerjasama antara kaum untuk
mencapai kemerdekaan ialah kewujudan Sistem Ahli. Sistem Ahli bertujuan melatih
penduduk tempatan dan kaum lain menerajui pentadbiran di Tanah Melayu. Idea ini
dicetuskan oleh Dato’ Onn dalam perbincangannya dengan Sir Henry Gurney. Cadangan ini
selaras dengan hasrat British untuk menjalankan dasar dekolonisasi. British juga
berpendapat bahawa Sistem Ahli ini akan mengurangkan tekanan pihak Parti Komunis
Malaya. Sistem Ahli dibincangkan dan dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja
Melayu pada tahun 1950. Rundingan antara pihak British dengan wakil penduduk Tanah
Melayu telah diadakan di King’s House, Kuala Lumpur. Sir Henry Gurney telah menjemput
Dato’ Onn Jaafar (Yang Dipertua UMNO), Dato’ Hamzah Abdullah (Menteri Besar Selangor),
Raja Uda dan Dato’ Nik Ahmed Kamil yang mewakili UMNO dan kaum Melayu, Dato’ E.E.C.
Thuraisingam mewakili kaum India serta Encik Yong Shook Lin dan Dr. Lee Tiang Keng
yang mewakili masyarakat Cina. Mereka semua telah bersetuju dengan pendekatan Sistem
Ahli. Antara ciri-ciri Sistem Ahli ialah ahlinya terdiri daripada Sembilan anggota iaitu lima
orang penduduk dan empat orang pegawai British. Daripada lima orang penduduk Tanah
Melayu itu, tiga orang Melayu, seorang Cina dan seorang India. Sistem Ahli merupakan
tapak asas untuk melatih orang tempatan ke arah berkerajaan sendiri. Ia juga merupakan
permulaan proses perpaduan kaum di Tanah Melayu kerana ahli-ahlinya merupakan
gabungan pemimpin daripada pelbagai kaum di negara ini. Asas penting untuk mencapai
kemerdekaan yang disyaratkan oleh British ialah mendapat sokongan seluruh penduduk
Tanah Melayu. Antara anggota Sistem Ahli ialah Dato’ Onn Jaafar (Ahli Hal Ehwal Dalam
Negeri), Dr. Lee Tiang Keng (Ahli Kesihatan), Dato’ E.E.C. Thuraisingam (Ahli Pelajaran),
Dato’ Mahmud Mat (Ahli Tanah, Perlombongan dan Perhubungan) dan Tunku Yaakob
Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah (Ahli Pertanian dan Perhutanan).

Selain itu, kerjasama kaum yang dapat kita lihat untuk mencapai kemerdekaan ialah
melalui kelonggaran syarat kerakyatan Persekutuan. Jawatankuasa Hubungan antara kaum
yang ditubuhkan pada tahun 1949 telah membuat cadangan melonggarkan syarat
kerakyatan kepada imigran supaya mereka mencurahkan taat setia sepenuhnya kepada
Persekutuan Tanah Melayu. Kelonggaran juga bermatlamatkan untuk mengelakkan
golongan imigran daripada terus terpengaruh dengan Parti Komunis Malaya. Kelonggaran
syarat kerakyatan ini dibuat di peringkat Persekutuan dan Negeri. Dengan kelonggaran ini,
rakyat raja Tanah Melayu bukan sahaja terdiri daripada kaum Melayu dan orang Asli tetapi
juga golongan imigran. Oleh itu, kerakyatan sesebuah negeri Melayu telah berubah. Inilah
asas penting kerakyatan kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu. Sebagai tukar ganti
kepada kelonggaran kerakyatan Persekutuan dan negeri, Lembaga Pembangunan Industri
Desa atau Rural Industrial Developmant Authority (RIDA) telah ditubuhkan. Nama RIDA
kemudiannya degantikan dengan nama Majlis Amanah Rakyat (MARA) ada tahun 1966.
Pihak British telah menubuhkan RIDA dengan tujuan untuk meningkatkan taraf
sosioekonomi orang Melayu. Penubuhan RIDA juga sebagai satu cara memujuk orang
Melayu supaya bersetuju dengan kelonggaran kerakyatan Persekutuan dan Kerakyatan
Negeri 1951. Tukar ganti ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa kerjasama erat antara
orang Melayu dengan kaum lain penting demi merealisasikan perpaduan kaum.

Di samping itu, pertubuhan Parti Perikatan juga dilihat sebagai usaha kerjasama
kaum untuk mencapai kemerdekaan. Parti Perikatan telah ditubuhkan sebagai satu usaha
parti pelbagai kaum untuk mewujudkan kerjasama. Pemimpin parti UMNO, MCA dan MIC
berpendapat bahawa penubuhan Parti Perikatan akan melahirkan perpaduan dan
keharmonian pelbagai kaum. Pihak British juga menyokong kerjasama antara parti kerana
melalui kerjasama tersebut akan wujud suasana politik yang stabil dan kepentingan
ekonominya di Persekutuan Tanah Melayu akan terjamin. Parti Perikatan ini menjadi bukti
persefahaman dan permuafakatan hubungan antara kaum apabila pada tahun 1952,
pakatan UMNO Kuala Lumpur dengan MCA Selangor dalam pilihan raya Bandaran Kuala
Lumpur telah memenangi 9 daripada 12 kerusi yang dipertandingkan.Hal ini turut
membuktikan bahawa rakyat Tanah Melayu menyambut baik kerjasama antara kaum. Pada
tahun 1954, satu Konvensi Nasional telah diadakan. Pakatan UMNO-MCA telah berjaya
dibentuk. Kerjasama ini deperluaskan lagi ke seluruh Persekutuan Tanah Melayu bagi
memenangi pilihan raya negeri. Pada tahun 1955, MIC pula masuk ke dalam Parti Perikatan
dan menyertai pilihan raya Majlis Perundangan Persekutuan. Pilihanraya tersebut semakin
jelas menunjukkan persefahaman antara kaum apabila Parti Perikatan telah memenangi 51
daripada 52 buah kerusi yang dipertandingkan.

Kerjasama antara kaum merupakan satu pakatan politik yang murni sehingga dapat
melahirkan perpaduan kaum di Persekutuan Tanah Melayu. Kerjasama ini boleh menjadikan
senjata yang berkesan untuk menolak pengaruh komunis di kalangan penduduk Tanah
Melayu yang mengancam perkembangan ekonomi sejak tahun 1948. Kerjasama antara
kaum yang wujud dalam parti Perikatan telah melemahkan pengaruh Parti Komunis Malaya.
Kerjasama Parti Perikatan dalam setiap pilihan raya telah menunjukkan bahawa dasar
kerjasama kaum dan politik merupakan pendekatan terbaik bagi masyarakat berbilang
bangsa. Keharmonian dijalin dapat mengelakkan perselisihan kaum. Inilah dasar kerjasama
Parti Perikatan yang telah memberikan kejayaan dalam setiap pilihan raya yang ditempuhi.
Parti Perikatan mengamalkan dasar bermuafakat dan berkongsi kuasa dalam pengurusan
sesebuah negara. Berdasarkan peristiwa-peristiwa yang disebutkan di atas kita dapat lihat
dengan jelas bahawa setiap masalah boleh diselesaikan dengan cara yang dapat diterima
oleh semua pihak. Kunicnya, sikap hormat-menghormati, bertoleransi dan bertimbang rasa
patut menjadi amalan kita semua.

Vous aimerez peut-être aussi