Vous êtes sur la page 1sur 3

PERSIAPAN-PERSIAPAN UNTUK MENGHADAPI ALAM PEKERJAAN

OLEH : HASIF OTHMAN (5RKA)


(Jawapan Soalan BM 1 Peperiksaan Awal Tahun 2016)
Setiap individu mempunyai cita-cita tersendiri yang menjadi impian untuk
dicapai suatu ketika nanti. Kita sedia maklum bahawa setiap peringkat dalam
kehidupan seseorang individu berkait rapat dengan keperluan dan kematangan
masing-masing dalam menghadapi sesuatu situasi atau konflik. Misalnya
peringkat kanak-kanak dan remaja dikaitkan dengan alam persekolahan
manakala peringkat dewasa lebih cenderung kepada alam pekerjaan yang pada
dasarnya menentukan taraf hidup seseorang individu sama ada mampu
menampung keperluan diri, keluarga, dan sebagainya dalam menjalani
kehidupan yang semakin mencabar. Persoalannya, apakah persiapan-persiapan
yang wajar dilakukan untuk menghadapi alam pekerjaan. Justeru, bagi
merungkai persoalan ini, saya akan menerangkan secara teliti dan terperinci
tentang persediaan-persediaan yang perlu dilakukan untuk menghadapi alam
pekerjaan.
Antara persiapan untuk menghadapi alam pekerjaan adalah berkaitan dengan
kelayakan akademik yang sesuai dengan pengkhususan pekerjaan. Hal ini
kerana, jika seseorang individu ingin meneceburkan diri dalam sesuatu bidang
pekerjaan sudah tentu pihak majikan akan meneliti tentang kemahiran atau
kebolehan yang setaraf dengan sektor atau jabatan yang dapat dijawat melalui
kelayakan akademiknya. Sebagai contoh, individu yang mempunyai kelayakan
akademik dalam bidang perubatan kebiasaannya akan menceburkan diri dalam
bidang sama atau berkaitan dengan pengkhususan kemahiran seperti ahli
farmasi, doktor pakar, jururawat, pakar bedan dan sebagainya. Kesannya,
seseorang individu dapat menumpukan perhatian ketika di bangku sekolah
terhadap bidang yang berkaitan dengan pengkhususan pekerjaan yang sesuai
dengan cita-citanya agar dapat mengelakkan pengangguran akibat tidak
memenuhi kriteria yang sepatutnya ada apabila berkhidmat di bawah sesebuah
agensi sama ada kerajaan mahupun swasta. Justeru, jelaslah bahawa kelayakan
akademik amat penting bagi seseorang membuat persediaan menempuh alam
pekerjaan.
Selain itu, seseorang individu juga hendaklah bersedia dari segi fizikal dan
mental sebelum memasuki alam pekerjaan. Hal ini demikian kerana, seseorang
pekerja seharusnya mempunyai fizikal dan mental yang kuat untuk
membolehkan mereka menghadapi tekanan kerja yang boleh memudaratkan
bukan sahaja emosi malah kesihatan sekiranya tidak dapat ditangani dengan
baik. Contohnya, sekiranya seseorang individu tidak biasa melaksanakan
tugasan-tugasan yang berat dan menguji kesabaran secara tidak langsung dapat
menggangu emosi dan fikiran yang bercelaru sehingga satu tahap boleh
mengundang penyakit serius seperti tekanan darah tinggi, migraine, dan
sebagainya. Impaknya, apabila individu itu berkhidmat dalam pekerjaan, akan
menyukarnya untuk mengekalkan pretasi dan berkemungkinan besar boleh
dipecat oleh majikan. Natijahnya, jelaslah bahawa seseorang individu perlulah
bersedia dari segi mental dan fizikal sebelum memasuki alam pekerjaan.
Seterusnya, seseorang individu juga hendaklah mempertimbangkan tentang
prospek pekerjaan berkaitan bidang yang diceburi. Hal ini kerana, apabila
seseorang individu membuat pertimbangan awal berkaitan prospek pekerjaannya
membolehkan kadar perbelanjaan dan sumber pendapatan alternatif dapat
ditentukan untuk mengelakkan pembaziran masa, wang, dan tenaga. Contohnya,
sebelum berkhidmat dalam sesebuah agensi, seseorang individu perlulah
menekankan faedah sampingan yang bakal diperoleh selain daripada gaji pokok
yang ditawarkan seperti elaun tambahan, bonus, suasana tempat kerja, peluang
kenaikan pangkat, jarak ke tempat kerja dan sebagainya agar dapat menjamin
kedudukan kewangan yang stabil. Impaknya, individu dapat menyeimbangkan
kadar perbelanjaannya sesuai dengan pendapatan yang diperoleh untuk
menjamin tabungan dan kejadian luar jangka ketika berkhidmat dalam sesebuah
sektor pekerjaan. Bak kata pepatah sediakan payung sebelum hujan. Tuntasnya,
jelaslah bahawa prospek pekerjaan seseorang individu perlu dipertimbangkan
sebelum menceburi alam pekerjaan.
Di samping itu, persediaan-perssediaan yang perlu dilakukan untuk
menghadapi alam pekerjaan ialah mempunyai kemahiran komunikasi yang baik.
Hal ini kerana, apabila seseorang itu mempunyai komunikasi yang baik dapat
membantunya menyesuaikan diri dengan suasana tempat kerja melalui khidmat
nasihat dan pergaulan yang baik sesama rakan sekerja pada masa yang sama
mengelakkan perasaan hasad dengki sesama rakan sekerja. Contohnya, individu
yang pandai menjaga tutur kata dan adab sesama rakan akan mudah digauli serta
mendapat bimbingan khususnya ketika memasuki alam pekerjaan yang bukan
sahaja melibatkan komunikasi sesama rakan sekerja dan majikan, malah para
pelanggan, klien, pelabur dan sebagainya bergantung kepada bidang masing-
masing. Kesannya, kita dapat memperoleh kepercayaan majikan serta pelanggan
dalam memberi komitmen dalam tugasan secara profesional yang dapat
dijadikan motivasi atau penggerak untuk berkhidmat dalam sektor yang diceburi.
Natijahnya, sudah terang lagi bersuluh bahawa kemahiran berkomunikasi amat
penting sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan.
Sementelahan pula, persediaan-persediaan yang perlu dilakukan untuk
menghadapi alam pekerjaan ialah bijak membahagikan masa. Hal ini demikian
kerana seseorang yang dapat membahagikan masa dengan baik dapat
mengurangkan risiko menghadapi masalah tekanan akibat prestasi kerja yang
tidak selari dengan dengan kitaran biologi seseorang. Misalnya, jika seseorang
gagal membahagikan masa kerja dan masa tidur akan menyebabkan
produktivitinya menurun berpunca daripada gejala kekurangan tidur semata
mata untuk menyiapkan tugasan yang tertangguh. Kesannya, seseorang itu akan
sukar untuk melengkapi keperluan hidup yang sihat dari segi
rohani,jasmani,emosi,dan sebagainya jika tidak membahagi waktu dengan baik
kerana pepatah Arab pernah menyebut waktu bagaikan pedang, sekiranya kita
tidak memotongnya dia akan memotong kita. Justeru jelaslah bahawa
pengurusan masa amat penting sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai persediaan yang boleh dilakukan untuk
menghadapi alam pekerjaan. Sehubungan itu, semua pihak khususnya individu
seharusnya berganding bahu bagai aur dengan tebing dalam usaha bagi
melahirkan generasi yang professional dan syumul dalam pelbagai sektor
pekerjaan.Oleh hal yang demikian,diharapkan pelbagai program dan bengkel
dapat terus dijalankan untuk memberikan pendedahan kepada anak-anak muda
tentang pelbagai bidang pekerjaan untuk menjana taraf hidup dan pertumbuhan
ekonomi negara.

Vous aimerez peut-être aussi