Vous êtes sur la page 1sur 5

PELAN LANTAI BILIK DARJAH ABAD KE-21

Semasa pengurusan bilik darjah, guru memainkan pelbagai peranan penting. Bilik darjah
merupakan sebuah komuniti kecil dan menjadi tempat di mana seorang guru dan sekumpulan
murid saling berinteraksi. Oleh itu, guru bertanggungjawab untuk menguruskan bilik darjah
dengan bantuan murid-murid. Dalam usaha ke arah menyediakan persekitaran yang kondusif,
guru perlulah mengambil kira ciri fizikal sesebuah bilik darjah, faktor emosi dan sosial serta
peraturan dan rutin yang dibentukkan itu. Melalui persekitaran bilik darjah yang kondusif ini, guru
dapat menghasilkan murid yang lebih berdisiplin dan suasana harmoni dalam bilik darjah. Pada
masa yang sama, pembentukan suasana bilik darjah yang ceria dan menyeronokkan sudah pasti
dapat mengatasi isu ponteng sekolah. Pengurusan bilik darjah yang berkesan juga mampu
meningkatkan kualiti murid dan secara tidak langsung dapat mengurangkan masalah sosial yang
semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini. Oleh itu, dalam pelan bilik darjah yang saya bina
itu, terdapat beberapa elemen yang boleh mewujudkan persekitaran bilik darjah yang kondusif.

a) Pencahayaan dan pengudaraan

Pencahayaan dan pengudaraan adalah amat penting bagi keselesaan murid dan guru
semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Bilangan kipas, tingkap dan lampu
hendaklah cukup agar boleh memberi pencahayaan dan pengudaraan yang mencukupi. Guru
perlu memastikan alat elektrik ini berfungsi dengan baik dan melaporkan kepada pihak
bertanggungjawab jika terdapat kerosakan. Susun atur perabot dalam bilik darjah juga hendaklah
disusun dengan baik supaya tidak menghalang tingkap bagi mengelakkan berlakunya halangan
pencahayaan dan pengudaraan. Oleh itu, guru hendaklah membuka pintu dan tingkap untuk
pengudaraan. Kita sememangnya tidak boleh menafikan bahawa cuaca pada waktu petang
adalah sangat panas. Lantaran itu, pada waktu petang, pendingin hawa juga boleh digunakan
agar murid dapat memberi tumpuan semasa pengajaran dan pembelajaran.

b) Meja dan kerusi guru

Meja dan kerusi guru ditempatkan di belakang kelas yang berada di bahagian tengah.
Kedudukan meja guru ini adalah amat sesuai diterapkan dalam setiap bilik darjah. Meja guru juga
hendaklah menghadap meja murid bagi membantu berlakunya kontek visual antara murid dan
guru sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran. Kedudukan meja guru di belakang ini juga
tidak menghalang penglihatan murid pada papan putih dan papan interaktif semasa dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, kedudukan ini juga membolehkan guru membuat
pemantauan terhadap setiap murid dari setiap sudut. Apabila murid mengetahui setiap gerak-

16
gerinya diperhatikan, mereka akan membuat kerja berkumpulan atau individu dengan sebaiknya.
Dengan ini, kedudukan ini dapat mencapai keselesaan guru dan dapat merangsang semangat
untuk guru mengajar dan murid belajar. Meja guru tersebut mempunyai sebuah komputer di mana
guru boleh menggunakannya untuk mengajar murid selain penggunaan papan putih.

c) Kerusi dan meja murid

Bagi elemen kerusi dan meja murid, perkara utama yang mesti diberi perhatian ialah kuantiti
kerusi dan meja adalah mencukupi dan berada dalam keadaan yang baik dan selamat. Meja
murid adalah berbentuk bulatan di mana setiap meja boleh menempatkan lima murid. Meja
tersebut memudahkan pengajaran berpusatkan murid di samping dapat menggalakkan interaksi
antara murid semasa gerak kerja kumpulan. Selain itu, murid juga masih boleh fokus kepada
kerja sendiri. Susunan kelompok membolehkan murid berbincang, meluahkan pendapat, saling
membantu dan berkongsi bahan semasa gerak kerja berkumpulan. Setiap meja bulatan tersebut
mempunyai lima buah komputer di mana murid boleh menggunakannya semasa pengajaran guru.

d) Teknologi Maklumat dan komunikasi (TMK)

Selain faktor udara, perabot dan ruang, persekitaran fizikal bilik darjah abad ke-21
memerlukan kemudahan teknologi yang bersesuaian. Penggabungjalinan elemen-elemen ini
menjadikan bilik darjah lebih menyeronokkan untuk proses pembelajaran. (Weinstein & Mignano,
2003). Di dalam setiap bilik darjah, sebuah komputer disediakan bagi guru dan setiap murid
dengan jaringan internet tanpa wayar untuk penggunaan murid dan guru bagi mencari maklumat
dengan cepat dan mudah. Guru juga perlu menyediakan peraturan penggunaan TMK. Tujuannya
adalah untuk membolehkan semua murid menikmati kemudahan ini di samping pengajaran dan
pembelajaran dapat berjalan lancar serta mengelakkan berlakunya penyalahgunaan komputer.
Selain itu, penggunaan papan interaktif, projektor dan kamera dokumen juga disediakan bagi
setiap bilik darjah. Penggunaan alat teknologi tersebut memudahkan pengajaran guru dan
pembelajaran murid. Di samping itu, penggunaan televisyen, radio dan pemain DVD adalah
sebagai media pembelajaran alternatif bagi murid di samping dapat menghiburkan murid.
Sehubungan dengan itu, guru perlu memastikan alat teknologi tersebut sentiasa dapat berfungsi
dengan baik dan melaporkan kepada pihak bertanggungjawab jika terdapat kerosakan.

e) Sudut bacaan

Di satu sudut di bahagian kiri belakang kelas dikhaskan sebagai sudut bacaan. Beberapa rak
yang memuatkan buku, kamus, peta, surat khabar, majalah, bacaan umum dan rujukan murid.

17
Bahan bacaan ini diperolehi daripada sumbangan murid dan guru. Oleh itu, murid akan berasa
bertanggungjawab untuk menjaganya kerana merasakan mereka juga menyumbangkan bahan
bacaan. Untuk mendapatkan hasil yang efektif lagi, guru bolehlah mengaplikasikan Model Akibat
Logikal Dreikurs di mana menekankan kepentingan guru memberikan kepercayaan dan
tanggungjawab kepada murid untuk bersama-sama menjaga disiplin di dalam bilik darjah.

f) Sudut bahan bantu mengajar (BBM) dan bahan bantu belajar (BBB)

Di satu sudut lagi di bahagian kanan belakang kelas dikhaskan sebagai sudut BBM dan BBB.
Dalam sudut ini, guru boleh menyimpan BBM dan BBB yang telah bina itu dengan lebih tersusun
untuk kegunaan murid dan guru lain. Terdapat beberapa rak telah digunakan untuk memuatkan
BBM dan BBB bagi matapelajaran yang pelbagai. Penggunaan BBM dan BBB sememangnya
adalah semakin meluas dan penting dalam pengajaran dan pembelajaran abad ke 21. Oleh itu,
guru boleh merekacipta pelbagai BBM dan BBB dan menggunakannya sebagai bahan
pengajaran alternatif yang dapat menarik minat dan fokus murid untuk belajar.

g) Sudut ruang santai

Sudut ruang santai terletak di bahagian kiri kelas. Dalam sudut ruang santai ini, tikar telah
dihamparkan dan diletakkan beberapa bantal untuk keselesaan murid. Ruang ini lebih bersifat
mesra kepada murid dan memberi suasana seolah-olah mereka berada di rumah. Dalam ruang
ini, terdapat televisyen, radio dan pemain DVD di mana guru boleh menggunakannya untuk
mengajar murid dengan memainkan CD atau DVD yang berunsur pembelajaran di samping murid
boleh menonton kartun kesukaan mereka untuk merehatkan minda mereka pada waktu rehat.

h) Sudut hasil kerja murid dan sudut maklumat

Sudut hasil kerja murid dan sudut maklumat ini pula terletak di bahagian tengah di antara
sudut bacaan dengan sudut BBM dan BBB. Di sudut ini, terdapat pameran hasil kerja murid dan
maklumat yang terkini atau isu semasa. Hasil kerja murid yang dipamerkan itu membolehkan
murid berasa gembira dan bangga dengan hasil kerja mereka. Murid boleh mempamerkan hasil
kerja dan maklumat tentang budaya dan amalan pelbagai kaum yang berbentuk 3D. Secara tidak
langsung, budaya dan iklim bilik darjah yang ingin diterapkan itu iaitu Sehati, Sejiwa dapat
direalisasikan.

i) Meja separuh bulat

Meja separuh bulat diletakkan di bahagian kanan kelas. Meja tersebut adalah untuk murid
berbincang mengenai aktiviti-aktiviti atau tugasan-tugasan tertentu di samping mereka boleh

18
membuat pembentangan hasil rekaan atau ciptaan mereka. Terdapat satu papan putih bergerak
diletakkan di bahagian dalam meja tersebut sebagai bantuan pembentangan hasil murid.

j) Rak

Selain itu, untuk membina persekitaran yang kondusif juga, guru bolehlah menyediakan rak
buku, rak fail, rak murid dan rak guru Rak buku dan rak fail digunakan untuk menyimpan buku
latihan atau buku kerja serta fail perbadi atau fail pencapaian murid dengan lebih teratur. Rak
murid pula membolehkan murid menyimpan barang mereka dengan kemas. Setiap murid
mendapat satu ruang rak tersebut. Rak guru pula diletakkan di kedua-dua belah meja guru bagi
memudahkan guru untuk menyimpan fail-fail.

k) Papan kenyataan

Papan kenyataan berada di sudut bacaan dan sudut BBM dan BBB. Pada papan kenyataan
ini dimuatkan jadual tugasan murid, jawatankuasa murid, hasil kerja murid, gambar aktiviti murid
dan poster tentang budaya dan amalan berbilang kaum sebagai rujukan dan hiburan. Dalam
jadual tugasan ini, murid dibahagikan mengikut turutan hari dan tugas membersihkan kelas. Ini
dapat melatih sifat bertanggungjawab dan kelas akan sentiasa kelihatan bersih. Dalam
jawatankuasa murid pula, setiap murid diberi satu jawatan untuk dipegang di mana murid berasa
bahawa mereka memainkan peranan penting dalam kelas mereka. Dengan menampal hasil kerja
pula, guru dapat melahirkan rasa bangga murid apabila mereka melihat hasil kerja mereka
dipamerkan dan secara tidak langsung merangsang minat mereka untuk belajar. Dalam hasil
kerja murid pula dapat memberi input yang berfaedah kepada murid lain. Gambar aktiviti murid
pula membolehkan murid mengimbas kembali memori mereka semasa menjalankan aktiviti atau
lawatan. Tujuan mempamerkan poster tentang kebudayaan dan amalan pelbagai kaum pula
adalah untuk menanam semangat perpaduan dalam diri murid di mana mereka lebih mengenali,
menghargai dan menghormati budaya dan amalan kaum lain dan kaum masing-masing.

l) Papan putih/ papan putih bergerak

Papan putih diletakkan di bahagian tengah depan bilik darjah manakala papan putih bergerak
pula diletakkan di bahagian dalam meja pembentangan hasil kerja. Penggunaan papan putih ini
memudahkan pengajaran guru manakala papan putih bergerak memudahkan pembentangan
hasil kerja murid.

19
m) Permaidani

Permaidani ini terletak di bahagian tengah kelas yang dikelilingi dengan meja murid. Dalam
ruang ini, guru boleh lebih mendekati dengan murid semasa P&P. Murid dikehendaki duduk di
atas permaidani manakala guru pula duduk di atas kerusi agar tidak menghalang penglihatan
murid semasa pengajaran dan pembelajaran di samping murid lebih fokus kepada pengajaran
guru.

n) Bakul sampah, penyapu dan penyodok

Bakul sampah, penyapu dan penyodok terletak di belakang kelas di antara sudut BBM dan
BBB dengan sudut hasil kerja murid dan sudut maklumat. Dengan adanya bakul sampah,
kebersihan bilik darjah dapat dijaga kerana murid-murid perlu membuang sampah ke dalam bakul
sampah. Murid juga boleh menyapu sampah mengikut jadual tugasan murid yang telah
ditetapkan itu.

o) Kotak pertolongan cemas

Kotak pertolongan cemas ini diletakkan di hadapan kelas. Setiap kelas perlu mempunyai
kotak pertolongan cemas kerana kita tidak dapat menjangka bila berlakunya kemalangan.
Dengan adanya kotak ini, rawatan kecemasan dapat diberikan dengan segera apabila berlakunya
kemalangan.

p) Jam dan kalendar

Jam perlu diletakkan di depan kelas untuk melatih murid menghargai masa. Kalendar pula
digunakan untuk rujukan tarikh. Dalam kalendar turut dicatatkan beberapa hari dan peristiwa
penting seperti Hari Kebangsaan, hari perayaan, hari jadi dan sebagainya. Ini dapat melatih murid
supaya peka dengan peristiwa penting sebegini.

q) Pemadam api

Pemadam api diletakkan di bahagian belakang bilik darjah sebagai langkah keselamatan.
Penggunaan pemadam api boleh mengelakkan sebarang kebakaran yang tidak dapat dijangka.

Kesimpulannya, pengurusan sebuah bilik darjah yang baik dan kondusif merupakan salah
satu punca yang mendorong kepada keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, guru
perlulah sentiasa memastikan pengurusan bilik darjah adalah teratur. Kesannya, murid di sekolah
dapat belajar dalam persekitaran yang selesa dan tenang di samping dapat melahirkan murid
yang cemerlang dan berkualiti tinggi.

20

Vous aimerez peut-être aussi