Vous êtes sur la page 1sur 2

UMUM sedia maklum bermulanya 1 Januari 2014, kadar elektrik telah berubah.

Tenaga
Nasional Berhad (TNB) telah mengumumkan kenaikan tarif elektrik sebanyak 14.98
peratus atau 4.99 sen hingga 38.53 sen per kWh bagi Semenanjung Malaysia dan 5 sen
bagi Sabah dan Labuan.
Serentak dengan itu, masyarakat mencari pelbagai alternatif bagi menjimatkan kos
elektrik. Pengeluar produk elektrik menarik perhatian pengguna dengan mendakwa
penggunaan produk elektrik berteknologi inverter (penyongsang) boleh menjimatkan
kos elektrik.
Inverter dikatakan yang ada pada produk seperti microwave, pendingin hawa, peti sejuk
dan sebagainya boleh mengefisienkan penggunaan tenaga elektrik. Ia dapat
menjimatkan bil elektrik antara 10 hingga 30 peratus.
Persoalannya benarkah begitu? Ini kerana penulis mendapat rungutan daripada
masyarakat yang mendakwa bil elektrik mereka sama sahaja walaupun menggunakan
pendingin hawa dengan teknologi inverter. Sebenarnya, apakah itu inverter? Bagaimana
teknologi inverter dikatakan boleh mengurangkan penggunaan tenaga elektrik?
Berdasarkan pembacaan dan perkongsian pengalaman bersama-sama rakan dan
masyarakat setempat, dapat disimpulkan bahawa penggunaan produk elektrik
berteknologi inverter memang benar dapat mengurangkan penggunaan tenaga elektrik
dan sudah pasti menjimatkan bil elektrik. Walau bagaimanapun, penjimatan ini berlaku
dengan syarat.
Inverter dikenali sebagai satu alat atau peranti penyongsang arus elektrik. Dalam
keadaan biasa, keadaan arus elektrik adalah berarus terus. Dengan inverter, arus terus
ini akan ditukarkan kepada arus ulang alik berubah frekuensi.
Biasanya, inverter digunapakai pada peralatan elektrik yang dilengkapi motor atau
pemampat (compressor). Teknologi inverter dikatakan boleh mengawal kelajuan motor
atau pemampat mengikut keperluan.
Pemampat dalam sesuatu alat elektrik akan sentiasa berjalan pada kelajuan berbeza
tanpa fungsi hidup mati (on-off) sepertimana alat elektrik konvensional. Fungsi inilah
yang membantu pengurangan tenaga elektrik.
Sebagai contoh, katakan kita menghidupkan alat pendingin hawa dengan menetapkan
suhu 24 darjah celcius (24 oC). Bagi pendingin hawa tanpa inverter apabila ia
dihidupkan, motor elektrik akan beroperasi pada kelajuan maksimum bagi mencapai
suhu tersebut. Apabila suhu 24 oC tercapai, motor tersebut akan berhenti.
Namun, apabila keadaan bilik kembali panas, iaitu suhu melebihi 24oC, maka motor
elektrik itu akan aktif semula dan terus 'bekerja' untuk menurunkan suhu kembali
kepada 24 oC. Keadaan ini berterusan sehinggalah suis penghawa dingin dimatikan.
Motor yang 'bekerja' secara 'on off' ini mengakibatkan penggunaan tenaga kuasa yang
tinggi pada setiap kali ia mula memulakan 'kerja'. Kajian menunjukkan bahawa motor
elektrik akan menggunakan arus sebanyak hampir 7 kali ganda lebih tinggi daripada
biasa semasa memulakan operasinya.
Bagi alat elektrik dengan teknologi inverter, motor elektriknya akan sentiasa 'bekerja'
daripada mula suis dihidupkan sehinggalah pada ketika suis dimatikan. Kelajuan motor
dapat dikawal dan disesuai dengan suhu yang ditetapkan tanpa ada fungsi 'on off'.
Keadaan yang berterusan ini menyebabkan motor tidak perlu menggunakan tenaga yang
banyak ketika beroperasi. Pengurangan penggunaan kuasa bagi permulaan operasi juga
dapat dikurangkan. Penggunaan tenaga yang kurang bermaksud bil elektrik menjadi
lebih murah.
Untuk lebih mudah memahami, teknologi inverter bolehlah dikaitkan dengan amalan
seharian kita, iaitu istiqamah manakala alat elektrik tanpa inverter adalah amal yang
tidak istiqamah. Istiqamah bermaksud melakukan sesuatu secara berterusan manakala
tidak istiqamah bermaksud melakukan sesuatu secara 'on off'.
Dalam Islam, sesuatu amal yang dilakukan secara istiqamah walaupun sedikit adalah
lebih disukai Allah SWT daripada amal yang dilakukan secara tidak istiqamah walaupun
banyak. Hal ini bersesuaian dengan hadis Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Daripada Aisyah r.ha., Nabi SAW bersabda: "Wahai manusia lakukanlah amalan
mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu.
Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Berbalik kepada inverter, teknologi ini memang benar dapat menjimatkan kos elektrik.
Namun, penjimatan ini berlaku dengan syarat.
Pertama, alat elektrik berteknologi inverter biasanya lebih mahal daripada produk tanpa
inverter. Pengguna perlu membuat sedikit pengiraan mengenai kos pembelian dan
bandingkan dengan jumlah penjimatan yang dapat dibuat.
Kedua, inverter jimat jika penggunaannya melebihi tempoh masa tertentu. Ada pihak
mendakwa penjimatan hanya berlaku jika ia digunakan lebih daripada 6 hingga 8 jam.
Maksudnya, inverter hanya menjimatkan jika ia digunakan untuk tempoh masa yang
panjang. Justeru, alat elektrik seperti peti sejuk inverter lebih praktikal untuk
penjimatan kos elektrik berbanding pendingin hawa dan microwave oven.
Ketiga, sebarang kerosakan elektronik pada produk ini sukar dikesan. Jika berlaku
kerosakan, ia perlu dihantar kepada syarikat pengeluar. Hal ini secara langsung akan
meningkatkan kos perbelanjaan.
Justeru produk elektrik berteknologi inverter boleh digunakan sebagai alternatif bagi
mengimbangi kenaikan kadar elektrik. Namun, pengguna dinasihatkan untuk membuat
analisis kos-faedah terlebih dahulu memandangkan kos produk ini adalah lebih mahal
berbanding produk biasa.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140108/re_07/Teknologi-inverter-


istiqamah-dan-penjimatan-kos-elektrik#ixzz4g1MysN5p
© Utusan Melayu (M) Bhd

Vous aimerez peut-être aussi